~ Last Entry ~
AZAN
Subuh yang berkumandang mengejutkan Citra daripada tidur. Dia memisat-misatkan
matanya memandang jam yang berada di atas meja sisi. Dia berpaling ke sisi,
kelihatan Rasfal masih lagi lena diulit mimpi. Wajah itu nampak tenang saat
memejamkan mata.
“Lebih baik awak tidur daripada terjaga.
Kalau terjaga asyik nak membebel je,” ucap Citra sendirian. Dia merenung wajah
Rasfal dengan senyuman nipis tersungging di bibir.
“Mancungnya hidung dia,” komen Citra
sambil cuba menyentuh hidung Rasfal. Tetapi perbuatannya terhenti apabila
Rasfal bergerak dan mengalih posisi tidurnya.
“Amboi seronok nampak tidur. Tak ingat
nak solat ke?” bebel Citra. Dia bangkit lalu duduk mengadap Rasfal. Lengan
Rasfal digoncangkan sedikit.
“Bos, bangun. Solat subuh,” kejut Citra
sambil menggoncang lengan Rasfal.
“Hmmmm…”
gumam Rasfal namun matanya tetap terpejam.
“Bangunlah kita solat subuh sama-sama,”
ujar Citra lagi.
Rasfal mendengus dengan mata yang masih
terpejam. Dia menarik selimut lalu menutupi seluruh badan dan kepalanya. Suara
Citra begitu membingitkan telinganya. Selama ini tiada siapa pun yang
mengganggu tidurnya di waktu pagi tapi hari ini dia dikejutkan oleh Citra.
Memang mendatangkan kemarahan.
“Kalau bos tak nak bangun tak apa, nanti
saya panggilkan mama mintak tolong kejutkan bos. Nak?” soal Citra.Dia menjenguk
wajah Rasfal yang bertutup dengan selimut. Dia pasti sekejap lagi Citra akan
membuka selimut.
Sebaik saja mendengar perkataan mama,
pantas saja Rasfal membuka mata. Selimut yang menutupi kepalanya ditarik
sebelum wajah Citra dipandang.
“Yang kau memekak pagi-pagi buta ni
kenapa? Aku nak tidur pun tak senang,” bebel Rasfal sambil menggosok matanya.
“Nak tidur apa lagi? Dah subuh ni.
Sembahyanglah dulu,” ujar Citra.
Rasfal terdiam. Selama ini belum pernah
ada orang yang mengingatkannya pasal solat apatah lagi untuk mengejutkannya
solat subuh. Jika dia tinggal di rumah mamanya pasti mamanya yang akan
membangunkannya tetapi apabila dia tinggal sendirian di apartment, subuhnya lepas entah ke mana. Sekarang, Citra pula yang mengambil
alih tugas Datin Rohana. Rasfal menghembuskan nafasnya dengan kuat.
“Kau sembahyang dulu nanti aku
sembahyang,” balas Rasfal sambil cuba membaringkan tubuhnya kembali.
Tetapi dengan pantas Citra menarik
lengan Rasfal menghalang lelaki itu daripada tidur.
“Bos jadi imam saya. Saya takkan
sembahyang kalau bos tak sembahyang sekali,” ugut Citra dengan serius.
Rasfal mencebik. “Ikut suka kaulah. Dosa
kau, kau sendiri yang tanggung,” balas Rasfal malas.
Citra menggarukan kepala. Bagaimana dia
hendak memaksa Rasfal supaya turut sama solat subuh dengannya?
“Eh takkan awak tak tahu, dosa isteri,
suami yang tanggung. Awak tahukan dosa orang yang meninggalkan solat ni amatlah
besar. Kalau awak tinggal solat, balasannya Allah akan campakkan awak ke dalam
neraka jahanam selama enam puluh tahun. Sehari di dunia ibarat setahun di
akhirat. Awak bayangkanlah berapa lama yang awak dapat bertahan kalau tinggal
di neraka disebabkan awak tinggal solat subuh semata-mata nak sambung tidur,”
ujar Citra seolah-olah bercerita pada budak-budak kecil. Dia mengetuk-ngetuk
dagu seolah-olah mengira sesuatu.
Rasfal dapat rasakan bulu romanya
meremang. Tak dapat difikirkan oleh akalnya apa yang dikatakan oleh Citra. Tapi
bagaimana dengan solat-solat yang ditinggalkan sebelum ini? Dapatkah Allah
mengampuni dosa-dosa yang telah dilakukannya? Soal hati Rasfal insaf.
“Yelah-yelah. Aku tak nak tanggung dosa
kau tu. Jomlah kita solat,” ajak Rasfal sambil bangun daripada katil.
Citra tersenyum kemenangan. Ternyata
bukan susah untuk memujuk Rasfal asalkan kena dengan gaya dan tidak terlalu
memaksa lelaki itu.
“Macam inilah jejaka idaman Malaya,”
ujar Citra sambil ketawa kecil. Dia berjalan mengikuti langkah Rasfal.
Rasfal menghentikan langkah dan
berpaling.
Citra yang tidak sempat menghentikan
langkah akhirnya terlanggar tubuh Rasfal. Dia mengaduh kesakitan.
“Yang kau ikut aku ni kenapa?” soal
Rasfal pelik.
“Saya nak sembahyanglah,” balas Citra.
“Aku pun. Kau nak mandi sekali dengan
aku ke?” soalan Rasfal membuatkan wajah Citra merona merah.
“Ishhh, awak ni ke situ pulak,” jawab
Citra sambil menundukkan wajah. Dia kembali duduk di birai katil sambil
menunggu Rasfal yang sudah melangkah masuk ke dalam bilik air.
“Lain kali jangan nak membebel je.
Tengok kiri kanan kalau jalan,” ujar Rasfal sambil mengulum senyum mengingati
gelagat Citra yang agak kelam-kabut. Dia melangkah masuk ke dalam bilik air
selepas mencapai tuala mandi.
Manakala Citra hanya mampu menekup
wajahnya dengan bantal. Malu ditegur oleh Rasfal.
CITRA
melangkah turun ke tingkat bawah setelah selesai solat subuh yang diimamkan
oleh Rasfal. Rasa tenang hatinya saat mendengar bacaan doa yang dialunkan oleh
Rasfal. Ternyata bukan lelaki itu tidak mampu untuk menjadi imam, tetapi sikap malas
membuatkan Rasfal lalai dalam menunaikan perintah Allah yang wajib ini.
Dari jauh Citra dapat menghidu bau
sambal tumis dari arah dapur. Lalu, kakinya dipanjangkan ke ruang dapur.
Kelihatan Kak Rokiah sedang tekun mengacau sesuatu di kuali.
“Assalamualaikum, kak..” sapa Citra
sambil berdiri di sisi Kak Rokiah yang sudah tersenyum manis.
“Waalaikummusalam, Citra. Awal kamu
bangun,” balas Kak Rokiah dengan senyuman penuh makna.
“Mestilah kena awal. Lepas subuh kan tak
elok tidur. Nanti rezeki lari,” ujar Citra sambil tersengih. Dia membetulkan
tudungnya yang sedikit senget.
“Suami kamu tu mana? Mesti tak bangun
solat kan? Ras tu memang liat nak bangun pagi. Sebab itulah dia pindah rumah,
tak nak kena bebel dengan datin,” ujar Kak Rokiah sambil tangannya lincah
mencuci ayam yang telah dipotong.
“Abang Ras dah bangun. Solat pun dah cuma
dia penat. Dia sambung tidur semula,” balas Citra.
“Baguslah kalau dia dah bangun dan
solat. Sekurang-kurangnya kamu boleh ingatkan dia pasal solat. Dah jadi ketua
keluarga ni, dia kena jaga semua tu,” ucap Kak Rokiah.
Citra hanya menganggukkan kepala. Kalau
Rasfal itu senang diajar bolehlah juga tapi kadang-kadang lelaki itu ikut mood.
Silap langkah dia yang akan ditengking oleh Rasfal. Bukan sekali hatinya
terluka dengan kata-kata Rasfal malah berkali-kali dia bersabar dengan setiap
kata-kata Rasfal yang tajam merobek hati.
“Insya-Allah, kak. Kak Kiah masak apa?
Nak Citra tolong ke?” soal Citra cuba mengubah topik perbualan.
“Eh tak payahlah. Nanti datin marah akak
pulak. Kamu pergilah duduk kat depan tu. Tengok berita ke. Bila dah siap, nanti
Kak Kiah panggil,” ujar Kak Rokiah sambil menepis tangan Citra yang cuba
menghiris timun untuk dijadikan ulam nasi lemak.
“Alah, bosanlah tengok berita pagi-pagi
ni. Citra nak tolong Kak Kiah,”
“Tak payah. Pengantin baru mana boleh
buat kerja. Kamu mesti penat kan, pergi rehat,” ujar Kak Rokiah menolak
pertolongan Citra.
“Mana ada penat. Citra bukan buat apa
pun. Duduk atas pelamin je,” balas Citra tidak mahu mengalah.
“Apa bising-bising ni? Dari tingkat atas
abang dengar,” sampuk satu suara membuatkan Kak Rokiah dan Citra berpaling.
“Eh Abang Qeeb. Abang nak pergi mana
ni?” soal Citra apabila melihat Raqeeb yang sudah siap berpakaian sukan. Nampak
kacak walaupun kelihatan santai.
“Abang nak pergi jogging. Nak ikut ke?”
pelawa Raqeeb dengan senyuman. Terserlah lesung pipit di belah kanan pipi
lelaki itu.
Citra memandang Kak Rokiah yang sudah
menggelengkan kepala. Dia tersengih. Cadangan yang baik tu. Bisik hatinya.
“Boleh jugak, abang. Dah lama Citra tak
jogging. Semalam dahlah makan banyak. Entah berapa banyak lemak berkumpul dalam badan Citra ni,” ujar
Citra sambil menepuk perutnya. Dia ketawa kecil.
Raqeeb hanya ketawa melihat keletah
Citra yang sentiasa ceria. Senyuman memang tidak pernah lekang daripada bibir
gadis itu.
“Kalau macam tu, Citra pergilah salin
baju. Takkan nak jogging pakai kain,” tegur Raqeeb sambil menunjukkan ke arah
kain kembang yang dipakai oleh Citra.
Citra tersengih malu. Hampir dia
terlupa.
“Abang tunggu kejap,” pinta Citra.
“Citra jangan lupa minta izin dengan
Ras. Nanti dia bangun tengok kamu tak ada, bising pulak,” Kak Rokiah
mengingatkan.
Citra hanya mengangguk dan tersenyum.
“Kamu tengoklah tu Qeeb. Kontra betul
perangai Citra dengan Ras. Seorang ceria, seorang lagi asyik nak tayang muka
ketat 24 jam. Pening Kak Kiah dengan perangai Ras. Harap-harap bila dah kahwin
dengan Citra ni, perangai dia boleh berubah,”
Raqeeb terdiam. Dia pasti ada sebab
kenapa Rasfal bersikap seperti itu dan sebab itu adalah dirinya sendiri. Dahulu
adiknya itu bukan seorang yang panas baran dan bukan juga seorang yang ego
tetapi masa telah merubah Rasfal menjadi seorang yang keras hati. Dek kerana
satu peristiwa, hidup adiknya itu turut berubah.
“Insya-Allah, Kak Kiah. Citra tu gadis
yang baik tentu dia dapat merubah Ras walaupun akak tahukan Ras tu perangainya
macam mana. Qeeb percaya walaupun dia cuba tunjuk perangai ego dia, tapi
sebenarnya dalam hati Ras tu lembut cuma dia tak nak pamerkan saja.” Ujar
Raqeeb sambil tersenyum nipis.
“Kamu ni bila pulak nak bawak calon
menantu untuk datin. Umur dah lanjut dah. Nanti tak sempat pula nak timang
anak,” tempelak Kak Rokiah.
Raqeeb tersengih sambil menggarukan
kepalanya yang tidak gatal.
“Qeeb tak sedia lagilah nak kahwin,
kak.” Jawab Raqeeb memberi alasan.
“Tak bersedia? Umur dah nak masuk 34
tahun, kamu cakap tak sedia? Atau kamu menunggu seseorang ni?” soal Kak Rokiah
dengan mata yang membulat.
“Errr…mana
ada tunggu sesiapa. Qeeb nak tumpu pada kerjaya Qeeb dulu sebelum tumpukan pada
rumahtangga,” balas Raqeeb.
“Pandailah kamu bagi alasan. Nanti akak
nak mintak datin carikan calon isteri untuk Qeeb,” ujar Kak Rokiah selamba.
Raqeeb terkejut.
“Janganlah, kak. Nanti mama paksa saya
kahwin pulak,”
“Elok sangatlah tu. Daripada mama paksa
kamu kahwin lebih baik kamu cari calon sendiri,” balas Kak Rokiah selamba.
“Qeeb nak cari dekat mana, kak? Qeeb
baru je balik Malaysia ni,” ujar Raqeeb mulai takut dengan kata-kata Kak
Rokiah. Buatnya betul Kak Rokiah mengadu pada Datin Rohana memang masaklah dia
kena paksa dengan mamanya itu. Bukannya dia tidak kenal dengan Datin Rohana
yang sudah lama mengidamkan dia berumah tangga.
“Kalau kamu cari pasti jodoh tu ada.
Jodoh tu takkan jauh dari kamu. Kalau jauh pun pasti akan mendekat bila tiba
masanya. Asalkan kamu berusaha untuk cari jodoh tu,” ujar Kak Rokiah dengan
penuh makna.
“Qeeb rasa nak cari calon macam Citra.
Baik, sopan-santun dan hormat orang tua,” ucap Raqeeb tiba-tiba.
“Abang Qeeb, Citra dah siap…” sampuk suara
yang lembut itu menghentikan perbualan Raqeeb dan Kak Rokiah. Mereka berdua
berpaling dan tersenyum melihat Citra yang kelihatan comel memakai seluar sukan
dan t-shirt lengan panjang.
“Okey, kalau macam tu jomlah kita
pergi,” ujar Raqeeb sambil melangkah ke arah Citra.
“Citra dah bagitahu Ras belum? Nanti dia
tercari-cari pulak Citra,” Kak Rokiah bersuara.
Citra tersengih kemudian dia
menggelengkan kepala.
“Belum, kak. Abang Ras tengah tidur,
Citra tak nak ganggu. Abang tak marah kut lagipun Citra keluar dengan Abang
Qeeb bukannya dengan orang lain,” jawab Citra.
Padahal memang dia tidak mahu Rasfal
tahu ke mana dia pergi lagipun mereka sudah bersetuju untuk membawa haluan
masing-masing. Jadi Citra rasa tidak salah rasanya kalau dia mengikut Raqeeb
bersenam lagipun Raqeeb abang kandung Rasfal walaupun dia tahu Rasfal dan
Raqeeb ada sengketa yang tidak diketahui oleh orang lain.
“Kak, Qeeb gerak dululah. Nanti panas
pulak tak jadi jogging namanya,” pintas Raqeeb sebelum sempat Kak Rokiah
berkata-kata.
“Yelah, yelah. Jangan balik lambat
sangat,” pesan Kak Rokiah.
Raqeeb dan Citra hanya menganggukkan
kepala.
CITRA
termengah-mengah mengejar langkah Raqeeb yang semakin jauh ke hadapan. Sesekali
dia berhenti sambil memegang lutut. Peluh yang menitis di dahi dilap
menggunakan sapu tangan yang dibawa.
“Abang Qeeb! Tunggulah dulu!” jerit
Citra sambil menghembuskan nafas dengan kuat. Laju betul Abang Qeeb ni lari.
Kata jogging tapi dah macam lari 400 meter. Bebel Citra dalam hati.
Larian Raqeeb terhenti. Dia berpaling ke
belakang. Senyuman terukir di bibirnya melihat Citra yang kelihatan
termengah-mengah. Perlahan-lahan dia menghampiri Citra.
“Takkan dah pancit kut?” usik Raqeeb
sambil berdiri di hadapan Citra.
Citra mendongak. Dia perasan beberapa
orang gadis yang turut berjogging di taman rekreasi itu menjeling pada Raqeeb.
Citra tersenyum dalam hati. Pasti gadis-gadis itu terpikat melihat ketampanan
Raqeeb yang tinggi lampai ala-ala model ini.
“Penatlah, bang. Dah lama tak jogging.
Abang tu jogging ke berlari? Laju sangat…” komen Citra sambil mencebik.
Raqeeb ketawa kecil.
“Masa abang duduk kat luar negara dulu,
abang selalu jogging tiap-tiap pagi jadi dah terbiasa. Itu yang laju semacam
tu,” balas Raqeeb tersengih.
“Citra tak sempat nak jogging, bang.
Lepas subuh je mesti kena gerak pergi kerja. Balik pulak malam. Kadang-kadang
duduk rumah dalam dua tiga jam je lepas tu kena kerja balik,” ucap Citra.
Dia mengorak langkah menuju ke arah
bangku yang disediakan. Punggungnya dilabuhkan di bangku itu. Sambil bibirnya
mengeluh kecil.
Raqeeb mengikuti langkah Citra. Dia
melabuhkan punggung di sebelah Citra.
“Citra buat dua kerja dalam satu masa?”
soal Raqeeb ingin tahu.
Citra hanya menganggukkan kepala. Dia
tersenyum dalam kepahitan.
“Selepas Citra tahu arwah ibu boleh
melihat kalau dibedah, Citra nekad untuk buat dua kerja dalam satu masa. Masa
itulah Citra jumpa dengan Abang Ras. Dia banyak tolong Citra,” ujar Citra.
Raqeeb menganggukkan kepala. Simpatinya
tertumpah dengan nasib Citra.
“Mesti Citra cintakan Ras sangat kan?”
soal Raqeeb tiba-tiba.
Citra terdiam. Cinta itu tidak akan ada
untuk Rasfal cuma rasa terhutang budi itu masih berbekas dalam hati Citra
kerana Rasfal sanggup memberikan pertolongan saat dia memerlukan. Tetapi
pertolongan itu telah memerangkap dirinya dengan Rasfal. Sampai bila
pembohongan ini mampu bertahan, Citra tidak mempunyai jawapan yang pasti.
“Errr…abang
bila nak kahwin?” soal Citra tanpa menjawab soalan Raqeeb.
“Eh abang pulak yang kena? Soalan abang
pun Citra tak jawab,” balas Raqeeb.
“Alah, jawapan tu tak penting. Abang tu
yang penting sekarang. Adik abang dah kahwin, abang bila lagi. Kiranya macam
abang ni dah langkah bendul tau,” ujar Citra dengan suara yang sengaja
diceriakan.
“Langkah bendul? Apanya? Abang lelaki
tak ada istilah langkah bendul tau,” bantah Raqeeb sambil ketawa kecil. Ada
saja kata-kata Citra yang mencuit hatinya.
“Yelah, adik kahwin dulu daripada abang.
Kira macam langkah bendullah tu,” jawab Citra tersengih.
Raqeeb hanya ketawa dan menggelengkan
kepalanya. Terasa senang dia berbual dengan Citra. Gadis itu sangat ceria
orangnya malah wajahnya cukup tenang dan menenangkan hati Raqeeb.
“Abang tak rasa nak kahwin lagi, Citra.
Abang nak fokus pada galeri lukisan abang dulu. Banyak benda yang perlu abang
fikirkan lagi,” dalih Raqeeb.
“Abang ada galeri lukisan? Wow,
bestnya,” ujar Citra teruja.
Raqeeb berpaling memandang wajah Citra.
Dia tersenyum manis.
“Citra minat dengan lukisan ke?”
“Minat sangat, bang. Tapi waktu Citra
terbatas untuk melukis. Lagipun Citra tak ada kelengkapan untuk melukis jadi
kalau Citra tension sangat, Citra lukis dekat kertas je. Citra jadikan melukis
tu hobi Citra tapi Citra tak tahu pula yang abang ni pelukis,” ujar Citra.
“Abang macam Citra juga. Mula-mula
jadikan melukis ni macam hobi tapi bila dah lama-lama tu abang rasa why not abang ketengahkan bakat abang
ni. So, abang bukalah galeri lukisan
bersama-sama dengan kawan abang dekat Malaysia ni. Sekarang ni dia nak
berhijrah ke Jepun jadi abang terpaksalah ambil alih pulak galeri lukisan tu,”
terang Raqeeb. Citra menganggukkan kepala.
“Mesti cantik-cantik lukisan abang kan?”
“Eh tak adalah secantik mana. Mungkin
lukisan Citra lebih cantik. Nanti bila abang buat pameran, Citra datanglah ya,”
ujar Raqeeb lembut.
Citra tersenyum manis. Raqeeb memang
cukup mesra, jauh berbeza dengan Rasfal yang hanya tahu menyakitkan hati. Bisik
hati Citra.
“Mestilah Citra datang. Mesti seronok,”
balas Citra sambil membayangkan suasana di dalam galeri lukisan Raqeeb. Memang
dia meminati lukisan sejak kecil malah lukisan itu dijadikan tempat untuk dia
meluahkan perasaan saat hatinya sedang gusar. Apabila melukis, dia dapat
rasakan yang dia sedang berada di dunia lain.
“Ini yang abang suka nak dengar ni.
Seronok abang dapat kawan baru yang sealiran dengan abang. Tapi Citra tak jawab
soalan abang lagi,” ucap Raqeeb tersengih.
“Soalan apa?” soal Citra berpura-pura
tak tahu. Dia mengalihkan pandangan ke hadapan.
“Sebanyak mana cinta Citra pada adik
abang tu?” soal Raqeeb ingin tahu. Dia tidak mahu hati Rasfal terluka lagi.
Citra menggarukan kepalanya yang beralas
tudung. Dia serba-salah. Bagaimana ingin mengatakan cinta jika hatinya tidak
pernah mencintai Rasfal. Hanya hubungan sebagai pekerja dan majikan walhal
mereka suami isteri yang sah. Sebelah hati Citra tidak sanggup untuk berbohong
tentang perasaan tetapi segalanya sudah terlambat. Hidupnya sekarang memang
penuh dengan pembohongan.
“Errr…Citra
rasa Citra nak sambung jogging lagilah, bang.” Ujar Citra mengalih topik
perbualan. Dia bangun daripada duduk dengan tergesa-gesa.
Kalau boleh dia ingin mengelak daripada
menjawab soalan yang membabitkan perasaan. Mungkin ini cara terbaik. Saat Citra
ingin meneruskan larian, tiba-tiba saja kakinya terpijak kulit pisang yang
berada di tengah jalan. Tanpa sempat bertindak, akhirnya Citra jatuh tertiarap
di atas track jogging.
“Citra!” panggil Raqeeb terkejut melihat
Citra yang tiba-tiba jatuh terjelopok.
“Aduh!” Citra mengaduh kesakitan dan
cuba untuk bangun.
Raqeeb menghampiri Citra lalu melutut
memandang Citra yang sudah berkerut seribu. Wajah itu jelas menggambarkan yang
dia sedang kesakitan.
“Citra okey ke? Ada luka dekat
mana-mana?” soal Raqeeb cemas.
“Entahlah, bang. Rasa lutut ni macam
berdenyut-denyut je,” ujar Citra sambil menilik tapak tanganya. Jelas kelihatan
calar balar di tapak tangannya dan mengeluarkan darah.
“Mari sini abang tengokkan,” ujar Raqeeb
sambil cuba memegang lutut Citra.
Tetapi dengan pantas Citra menghalang.
Dia tidak akan membiarkan Raqeeb melihat lukanya.
“Eh, tak apalah bang. Sikit je ni,” ujar
Citra.
“Sikit apanya? Tengok seluar Citra tu
dah terkoyak sikit. Macam berdarah je tu,” balas Raqeeb sambil menunjukkan ke
arah seluar Citra yang terkoyak.
Citra mengetap bibir menahan pedih pada
lututnya yang sudah terdedah. Tetapi Citra tetap menahan muka selamba.
“Kita baliklah, bang.” Ajak Citra.
“Kita pergi klinik dululah. Abang
risaulah tengok luka Citra ni,” ujar Raqeeb prihatin.
Citra menggelengkan kepala dengan
pantas.
“Citra tak nak. Lagipun sikit je ni.
Membazir je pergi klinik. Kita balik ya? Citra boleh sapu ubat dekat rumah,”
ujarnya mengharap Raqeeb faham keadaannya.
“Baiklah, jom kita balik. Nak abang tolong
ke?” soal Raqeeb risau apabila melihat Citra yang kelihatan sukar untuk bangun.
Citra menggelengkan kepala. Sedaya upaya
dia cuba untuk bangun tanpa pertolongan Raqeeb walaupun abang iparnya itu cuba
untuk memegang tangannya. Dahi Citra berkerut lagi saat ingin melangkah. Terasa
kakinya sedikit tegang.
“Maafkan abang ya, abang tak jaga Citra
dengan baik,” ucap Raqeeb perlahan sewaktu berjalan beriringan dengan Citra.
Citra berpaling. Dia sedikit terharu
dengan kata-kata Raqeeb. Dia tersenyum.
“Abang tak salah, Citra yang cuai,”
balas Citra tersenyum nipis.
Raqeeb menarik nafas lega. Tetapi jauh
dalam hatinya tetap rasa bersalah apabila melihat Citra yang terhincut-hincut
berjalan. Bagaimana dia ingin berhadapan dengan Rasfal nanti?
No comments:
Post a Comment