AKU menjeling jam di pergelangan tangan. Hampir masuk waktu asar. Kelibat dan bayangannya masih juga belum muncul. Apakah dia telah melupakan janji-janjinya. Beg pakaian yang telah diisi dengan beberapa helai baju kurung kuletakkan di sebelah pintu. Naziah mempamerkan wajah kelatnya. Aku tahu dia sudah bosan menunggu.
“Maira, betul ke dia janji dengan kau ni nak datang ambil kita?” Entah soalan untuk kali yang ke berapa aku ditanya. Betullah kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Dia tanpa sengaja telah menyeksa kami. Aku keresahan, pun begitu masih mampu mengukir senyum buat si teman yang masih memuncung.
“Betullah... apa tak betulnya.”
“Habis tu, dah pukul berapa ni? Batang hidung dia pun tak nampak.”
“Kita tunggulah kejap lagi. Tentu dia ada hal la tu.” Aku pertahankannya walaupun sebetulnya aku cuba untuk mengiakan kata-kata Naziah.
Naziah mendengus. Keresahannya tidak sama dengan keresahan yang kualami. Hatiku rasa tidak enak apabila memikirkan kelewatannya. Tidak seperti yang dijanjikannya tempoh hari. Ia terjadi tidak seperti yang kami rancangkan. Beberapa kali aku melihat handphone di tangan.
Masih tidak berbunyi hatta pesanan ringkas sekalipun belum menjamah masuk. Naziah sudah terlelap di atas sofa. Aku kejutkan Naziah setelah aku membuat keputusan.
“Zie... Zie... bangun Zie...” Naziah terpisat-pisat menenyeh biji matanya.
“Dia dah sampai?” cepat sahaja dia bangun sambil membetulkan pakaiannya yang renyuk di tubuh. Aku cuma diamkan diri melihat reaksinya.
“Mana dia? Dah pukul berapa ni?”
“Dah pukul 6 petang.”
“Hah! Pukul 6? Mana dia? Tak jemput dia masuk dulu.” Aku geleng kepala.
“Jomlah, apa lagi kau tercegat kat situ.” Naziah mengheret beg pakaiannya hingga ke muka pintu.
“Dia tak datang.” Langkah Naziah termati di situ.
“Hah... kau biar betul Maira. Habis yang kau kejut aku tadi tu kenapa?” dia kelihatan terpinga-pinga. Kasihan pula aku melihat diri Naziah yang tadinya lena diulit mimpi terganggu tidurnya.
“Aku nak ajak kau balik kampunglah ni. Kita balik dengan kereta kau.” Jelasku mengharap agar dia mengerti ketika ini hatiku sudah separuh pergi.
“Habis... dia macam mana?” soalnya dalam nada hairan. Aku cuma mampu jongketkan bahu, tidak tahu hendak berkata apa melainkan diam seribu bahasa.
“Isy... lelaki ni pun satu. Kalau tak jadi, cakap la awal-awal. Menyusahkan orang ajalah.” Bebel Naziah membuatkan hatiku bertambah walang.
“Aku minta maaf Zie.” Pohonku setelah melihat kemarahan jelas terpancar pada wajah Naziah. Sungguh tidak aku sangka begini pula jadinya.
“Kenapa pulak, bukan kau yang salah, tapi dia. Dia yang seharusnya minta maaf. Kau dah telefon dia?” Aku mengangguk perlahan. Aku melarikan pandanganku pada wajah Naziah. Tidak sanggup aku bertentang mata dengannya ketika ini.
“Dah tu, dapat?”
“Dia offkan telefon dia Zie.” Dengan sebak aku memberitahu Naziah.
Sungguh aku tidak mengerti, mengapa begini sekali lelaki itu memperlakukan aku. Apakah dia terlupa pada hari yang dijanjikan? Apakah silapku kerana tidak mengingatkannya? Aku buntu memikirkan sikapnya. Jika benar dia belum bersedia, aku rela kami menangguhkannya dahulu. Tapi dengan sikapnya begini, membuatkan aku jadi keliru.
“Ee... teruk betullah dia tu.” Naziah menggelengkan kepalanya.
Dadaku dirudum sebak, beginikah jadinya perancangan kami? Sedih. Ya sedih... waktu dan ketika ini aku terasa amat sedih sekali. Di manakah perginya janji-janjinya? Jika dia tidak dapat tunaikan sekalipun, bukankah lebih baik kalau aku dimaklumi juga.
“Kau tak apa-apa Maira?” Naziah memeluk bahuku tanda memberi semangat ketika hatiku mula dilanda kecewa.
“Tak... tak... jomlah gerak. Dah lewat ni, nanti sampai kampung, hari dah gelap.” Aku cuba selindung kekecewaan di hati. Naziah hanya mengikut. Dia tidak banyak cakap. Nasib baik la dia memahami aku ketika ini. Jika disoalnya banyak kali, sudah tentu empangan mataku yang cuba kutahan pecah berderai.
IMAH MENYAMBUT kepulanganku dengan wajah yang sangat ceria. Aku tahu isi hatinya waktu ini. Kepalanya terteleng-teleng mencari kelibat si dia. Aku tahu itu, namun aku berlagak selamba di depannya. Dia memandangku apabila hanya aku yang melangkah naik. Naziah hanya sempat menghulurkan tangan di depan tangga rumah sahaja, tidak sempat juga menunggu kedatangan emak yang lama tidak berjumpa dengannya. Dia juga mahu segera pulang untuk menjenguk ibunya yang telah lama ditinggalkan.
“Lama baliknya Maira?” Soal ibu yang muncul dengan wajah tersenyum.
Sebak melihat wajah emak yang semakin dimamah usia. Aku tahu kepayahan emak membesarkan tiga orang anak gadisnya. Tangan emak kucium tanda hormat. Dari raut wajah emak aku yakin Imah belum memaklumkan lagi tentang hasrat kepulanganku itu kepada emak dan opah. Lega, itu yang dapat kurasakan kini. Aku menarik nafas panjang melepaskan rasa sebalku sejak tadi.
“Kenapa tak ajak Zie naik tadi? Lama sungguh mak tak jumpa dia.” Soal emak lagi setelah soalan pertamanya terlupa kujawab.
“Zie datang esok aje mak, lagipun dia takut balik sorang-sorang. Lorong kat rumah dia tu kan gelap.” Jawabku sambil tercari-cari kelibat opah.
“Hai kak… Kak Zie tu dah lama jadi orang bandar sampai nak balik ke rumah sendiri pun takut. Acu yang kecik ni pun berani tau.” Usik Acu yang mula menyelongkar beg pakaianku. Ada bendalah yang dicarinya tu. Aku cuba mempamerkan wajah ceria agar tidak terkesan di mata mereka bahawa hati dan perasaanku separuh gembira. Hanya mata Imah sesekali menikam mataku. Akhirnya dia berlalu meninggalkan kami. Acu! Isy budak ni... apa yang dibuatnya dengan beg kak long tu?” Marah emak melihat perangai pelik adik bongsuku. Jarang dia berperangai begitu kecuali denganku.
“Acu cari barang Aculah mak.” Jawabnya selamba.
“Barang apa? Kak long tak duduk pun lagi ni ha. Beg dia kau dah selongkar sampai ke isi perut.” Marah mak kepada adikku yang berperangai buruk.
“Ala... mak. Kak long dah cakap dia belikan Acu tudung. Ni Acu carilah barang Acu.”
“Tuannya tak bagi pun lagi, kau dah macam ni. Ya Allah... Mak tak ajar kau buat perangai macam tu.” Mak mula bertindak. Sebelum dia meneruskan niatnya untuk meleteri Acu, lebih baik aku menyelamatkan keadaan.
“Biarlah mak, bukan ada apa pun dalam beg Maira. Lagipun dia tu kalau tahu ada barang untuknya, dia selongkar la. Kalau takde, tak beraninya dia nak selongkar mak.” Bela aku pada perbuatan Acu. Adikku sudah melarikan diri sebaik sahaja barang yang dicarinya berada di genggaman.
“Kak... terima kasih daun keladi, lain kali beli lagi yerk.” Aku ketawa dengan pantun dua kerat Acu. Tudung Ariani warna pink telah berada dalam pelukannya. Riang sungguh Acu mendapat tudung yang dimintanya aku beli tempoh hari.
“Ajarlah adik kau buat macam tu Maira, nanti melekat sampai ke besar.” Marah emak berjangkit pula kepadaku.
“Opah mana mak? Maira tak nampak pun.” Aku mula bertanyakan tentang opah. Sedari tadi kelibat opah belum kelihatan lagi.
Imah datang bersama seteko teh O kegemaranku. Dengan lenggang-lenggok dia berjalan. Sesiapa memandang pun boleh jatuh hati. Bukan aku tidak tahu sudah ramai yang masuk meminangnya sebelum dia bersetuju dengan pilihan opah. Tapi sudah jodoh dia dengan bakal cucu saudara opah, nak buat macam mana, kan. Bertuah la kau lelaki dapat adik aku yang lemah gemalai ni, nak dibandingkan dengan aku ni, lemah tu ada, gemalai itu yang takdenya.
“Opah ke mana lagi, kalau tak ke masjid,” terang emak sambil tangannya lincah menyulam baju kurung. Aku kira pasti ada yang menempah sulamannya. Cantik hasil kerja tangan emak. Kenapalah aku tidak mewarisi kepandaian emak.
“Masjid? Sorang-sorang? Kenapa Imah tak ikut? Kan selalunya Imah temankan opah.”
“Imah bendera merah la kak,” jawab Imah tersipu malu.
Alahai dik... dengan akak pun kau malu. Apatah lagi dengan orang yang belum kau kenali. Bagaimana Imah apabila berhadapan dengan bakal suaminya nanti? Apakah dia akan mengira pasir di tanah sehingga habis, baru berani dipandangnya wajah lelaki itu?
“Opah pergi dengan Haji Din dan Kak Min kau tu,” jawab emak sambil tangannya lincah membuat sulaman pada lengan baju kurung tempahannya.
“Kak Min ada balik mak.” Soalku sedikit teruja apabila mendengar nama Kak Min, teman sepermainanku.
“Dah semingu ada kat kampung. Katanya dah boleh tukar kat sini. Ada baiknya juga mengajar kat kampung ni, nanti boleh la tengok-tengokkan ayahnya tu. Takdelah Haji Din tu sunyi sangat.”
“Iye. Alhamdulillah... ada jugak anaknya yang temankan Pak Din tu kan mak. Itulah mak, dari dulu lagi Maira dah suruh mak masuk meminang Pak Din tapi mak tak nak. Jual mahal.” Usikku bersahaja. Emak menjeling keras ke arahku, akhirnya aku dan Imah terburai ketawa melihat wajah emak begitu.
“Mengarut aje kamu ni. Kak Min kau tu dah lama minta tukar ke sini. Baru sekarang dia dapat. Zaman sekarang, kalau tak pakai kabel besar susah yang amat. Makan masa bertahun-tahun baru dapat.” Wah! Pandai juga emak bercerita ya. Tapi suka sangat dia bahasakan Kak Min tu ‘Kak Min kau’ macam aku ada kakak pulak rasanya. Aku hanya mampu ketawa dalam hati melihat cara emak meluahkan perasaannya.
“Bagus la macam tu mak. Tak la sunyi sangat Pak Din tu. Haaa Mak... anak lelaki Pak Din si Pian tu ke mana mak? Dah lama tak nampak.” Soalku apabila teringatkan teman sepermainanku dahulu. Sudah lama aku tidak melihatnya walaupun jarak rumah kami hanya 50 meter sahaja tetapi terasa bagaikan 500km.
Emak senyum lawa. Ha... tentu emak pun macam Naziah juga, suka fikir yang bukan-bukan.
“Haa... Kak Maira merisik anak teruna Pak Din ek? Haaaa... ada apa-apa ke? Abang Pian tu hensem tau kak. Untung la siapa dapat lelaki hensem macam tu. Teruna pujaan dara.” Tiba-tiba Acu menyampuk.
Aku menjegilkan biji mataku. Hesy budak ni, kalau nak menyakat tu tak tengok orang langsung. Alahai dik... kalau kau tahu hati kakakmu ini telah terisi, pasti kau takkan mengusik begitu. Dah tentu ‘abang’ kak long kau ni lagi hensem tau.
“Apalah Acu ni, akak cuma tanya aje. Pelik sangat ke soalan akak tu, sampai Acu boleh syak macam tu pulak. Dah pandai Acu sekarang ni ya. Kalau tak pass periksa, akak kahwinkan dengan Abang Pian tu, baru padan muka.” Sengaja kuseriuskan kata-kataku. Acu terpisat-pisat. Imah ketawa kecil, itulah yang mampu dilakukan apabila kami mula riuh.
“Eleh... malu la nak mengaku tu. Abang Pian tu, sesuai sangat dengan Kak Maira.”
Usikan Acu tentang Pian mengundang rasa kecewaku terhadap dia. Lelaki itu terus menyepikan diri tanpa sebarang panggilan. Tidak mahukah dia menjelaskan kepadaku apa yang telah terjadi antara kami? Aku menghela nafas panjang, kegembiraan ini sekadar untuk menutup kelukaan hatiku. Aku tidak mahu mereka nampak akan kekusutan fikiranku ketika ini.
“Hesy... budak ni suka masuk campur hal orang-orang tua. Kerja sekolah dah siap ke belum?” soal emak cepat-cepat mematikan gurauan kami.
Acu kalau sudah mengilai, langsuir pun takut dengar suaranya. Acu tersengih-sengih bersahaja dan dengan perlahan dia melangkah meninggalkan kami bertiga.
“Mak, Maira minta diri dululah. Mata dah ngantuk ni, mandi pun belum ni ha.” Aku memohon diri.
“Kamu dah makan? Kalau belum, nanti mak panaskan lauk.”
“Dah mak. Maira dah makan dengan Zie sebelum sampai sini tadi.”
Mak cuma mengangguk, mengiringi langkahku dengan ekor matanya.
BELUM PUN sempat aku berbaring, Imah muncul. Melihat akan aku mahu membaringkan tubuh, dia serba salah.
“Maaf kak long, tentu kak long penatkan. Tidurlah.”
“Takdelah Imah, kak long baring aje. Mata tak mengantuk lagi.” Bohongku walaupun mataku memang sudah layu. Tidak sanggup aku menghampakan adik tersayang demi melihat wajah bahagianya.
“Imah tak ganggu akak ke?” soalnya ragu-ragu.
Aku hanya menganguk. Imah melangkah menghampiri katilku. Dia duduk di hadapanku. Aku mula menepuk bantal dan menegakkannya lalu disandarkan ke kepala katil mencari sedikit keselesaan untuk berbual-bual dengannya. Aku pandang wajah Imah yang sedikit mendung, tidak seperti mana menyambut kepulanganku tadi.
“Kenapa ni Imah.” Aku melihat keresahan pada wajahnya. Resah yang sengaja disembunyikan di sebalik wajah lembutnya itu. Imah bagaikan takut-takut untuk meluahkan rahsia hatinya.
“Hmm... kalau Imah ada benda nak cakap, baik Imah cakap. Jangan pendamkan dalam hati, nanti hilang serinya.” Imah ketawa lembut mendengar usikanku, cuba menutupi keresahannya barangkali.
“Ada-ada je kak long ni. Hmmm... kak long, boleh Imah tanya sikit.” Tuturnya satu per satu.
“Imah nak tanya apa? Tanya ajalah.” Aku dapat mengagak apa soalan yang hendak ditanyakannya. Bersediakah aku untuk berterus terang dengannya?
“Hmm… mana teman lelaki yang kak long cakapkan tu? Imah tak nampak pun.” Jantungku berdegup pantas. Imah serba salah jadinya. Aku membetulkan duduk. Mencari sedikit kekuatan untuk bercerita hal yang sebenarnya.
“Imah dah beritahu mak dengan opah belum pasal ni?”
“Kan kak long dah pesan jangan beritahu mak dan opah, kak long dah lupa?” soal Imah kembali. Aku hanya tersenyum. Imah seorang yang berpegang pada janji.
“Tak... kak long tak lupa. Nasib baik Imah belum beritahu lagi,” aku tunduk merenung cadar.
“Kenapa kak?” Ada kerutan pada wajah Imah yang putih bersih itu.
“Hmm... dia tak jadi datang dik. Tak boleh nak tinggalkan kerjanya tu.” Bohongku. Aku tidak ada cara lain lagi untuk menjawab soalan Imah, moga-moga Imah tidak bertanya lebih daripada itu. Apakah yang perlu kujawab selain mencipta alasan begitu?
“Pelik.” Kata Imah sepatah walaupun perlahan namun dapat kudengarinya dengan jelas.
“Apa Imah?”
“Takde apa-apalah kak. Takpelah kak, mungkin dia banyak urusan tu.” Pujuk Imah pula.
“Kak… hmm…”
“Ya Imah... ini tentu pasal tunang Imah, kan. Kenapa dengan dia?” Imah tersenyum simpul. Manis sungguh wajahnya dihiasi tahi lalat di pipi. Imah mengangguk kecil. Kesopanan dan malunya terserlah.
“Keluarganya nak datang.”
“Iye... patut la muka Imah nampak berseri-seri bagai bulan purnama. Rupanya buah hati nak datang.” Usikku bersungguh-sungguh. Aku mahu merawat rasa kecewaku yang semakin tertimbus dengan berita Imah.
“Bila mereka nak datang? Eee... tak sabar akak nak tengok bakal suami Imah tu. Tentu hensem, kan...” Imah semakin malu diusik begitu. Memang begitu fitrah seorang wanita apabila berkaitan hati. Pasti malu itu datang sendiri.
“Baik Imah pergi tidur dulu. Esok tentu nak bangun awal, kan. Jangan sampai tak boleh tidur sudah.” Dia yang tak boleh tidur atau aku yang akan terkebil-kebil malam ini. Imah pasti diulit mimpi indah, aku pula didatangi mimpi gundah.
“Tapi kak...”
“Apa lagi dik?”
“Bagaimana kalau keluarga mereka datang untuk mempercepatkan tarikhnya kak?”
“Kalau macam tu, baguslah kita cepatkan. Imah... ini bukan cepat tapi dah lambat sangat ni. Tiga tahun Imah tunggu dia, Imah kata cepat lagi? Apalah adik ni.” Imah ketawa kecil.
“Kak long pulak macam mana? Opah tentu takkan benarkan Imah kahwin dulu daripada kak long.” Ucapnya lambat-lambat.
“Imah jangan bimbang pasal tu okey. Tahulah kak long macam mana nak buat. Yang penting, Imah kena tidur awal. Esok mereka sekeluarga nak datang, kan…” Imah mengangguk malu. Dia beredar setelah aku menolak badannya mengisyaratkan supaya dia segera ke biliknya dan aku masih sempat merawat rawan di hati.
No comments:
Post a Comment