DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 25 February 2015

Isteri Dambaan Dia - Bab 7

JAM di pergelangan tangan ditilik sekilas. Sedar sudah terlewat namun Nediesha masih berlenggang kangkung. Kedudukan yang disandangnya di Sirna Jaya tidak membuatkan dia terkejar-kejar menghambat masa. Nediesha belum menunjukkan disiplin yang bagus baik dari segi pengurusan masa atau kerja. Jika pekerja lain berebut untuk punch card, dia terkecuali. Jangan haraplah dia mahu terikat dengan disiplin kedatangan seperti itu.

Pintu lif yang separa ternganga menampakkan susuk tubuh yang dikenali membuatkan dia kalut menekan butang naik. Lif ternganga luas kembali dan Nediesha berjaya menerpa masuk. Senyum lebar dia apabila dapat berdua dengan Rifqi dalam ruang yang sempit itu.

“Morning Rifqi,” ucap Nediesha tanpa sekelumit pun segan untuk menegur pekerja bawahan seperti Rifqi. Sepatutnya Rifqi yang perlu mulakan sebagai menghormati jawatan yang disandang Nediesha tapi memandangkan dia arif benar kedegilan melampau Nediesha
terhadapnya. Dia enggan beramah-tamah dengan gadis itu. Nanti makin naik tocang, dia juga yang menanggung rimas. Rifqi tunduk tetapi tetap membalas ucapan selamat pagi anak majikannya itu. Nampaknya wajah cantik yang bersolek nipis itu tidak laku untuk Rifqi bila dia lebih berminat tenung muka lantai yang dipijaknya.

Tidak mahu mengalah tubuh langsingnya dibawa rapat ke badan tegap yang memakai kemeja biru berjalur putih itu. 

“Rifqi… cakap cukup bulan mahu tebus janji.” Rifqi jarakkan tubuhnya ke tepi dinding. Sebelah kening Rifqi berkerut.

“Saya segan nak pelawa Cik Nediesha jika sekadar ke kedai mamak.”

“Saya tak kisah Rifqi. Asal dapat keluar dan makan bersama awak.” 

Rifqi dongakkan kepala. Terdetik menyesal dengan kelancangan mulutnya. Baginya Nediesha tidak akan ingat barangkali.

“Maaf saya perlu memungkirinya.”

“Orang macam awak rupanya tak boleh dipercaya. Hari tu bukan main berani, sekarang cuba lari pula,” Nediesha memprovoke. Rasa dipermainkan pula. Dia tidak sabar menunggu Rifqi mengajaknya keluar makan tapi sehingga ke hari ini Rifqi buat tidak tahu.

Pintu lif terbuka. Rifqi dan Nediesha sama-sama atur langkah keluar dari kotak besi itu.

“Cik Nediesha betul nak makan di kedai mamak?”

“Sure!”

“Tengah hari ni saya bawa. Lepas tu jangan ungkit lagi soal makan bersama cik.”

“Baiklah. Pukul satu nanti saya tunggu awak dalam kereta. Saya pandu, awak tunjuk arah.”

“Tak perlu naik kereta. Kedai mamak yang saya maksudkan tu hujung bangunan ni saja. Kalau tak suka, saya boleh batalkan.”

“Rifqi, kalau kedai mamak tu mana boleh. Budak-budak ofis ramai lepak sana. Malulah nanti.”

“Kalau macam tu cancel. Saya gerak dulu.” Nediesha cekak pinggang melihat tubuh Rifqi yang mula menjauh. Dia tahu Rifqi sengaja mengelak. Sengaja mengajaknya ke kedai mamak agar mereka tidak jadi keluar berdua. Kaki yang berbalut Vinci merah bertumit dua inci itu dihentak keras. Marah pada kekalahan yang diterimanya. 


MEMBUKA KOTAK mesej dari nombor yang tidak dikenali membuatkan hati Rifqi celaru. Mana tidaknya, mesej rayu-rayuan. Gadis yang memperkenalkan namanya Artina tempoh hari yang menghantarnya. Patah perkataan yang tertera di dada skrin dibaca sekali lagi. 

Rifqi… sehingga kini saya masih mengharapkan awak. Awak boleh menipu tidak mengenali saya. Memberi a lasan salah nombor namun saya yakin awaklah Rifqi yang pernah bertakhta di hati saya... Rifqi bungkam seketika sebelum jari-jemarinya menekan aksara untuk membalas mesej berkenaan. Bukan berniat mahu terus melayan tetapi mahu membetulkan keadaan. Kasihan pula kepada gadis yang telah salah orang itu. Cik Artina, sekali lagi saya katakan. Saya bukan Rifqi yang cik maksudkan. Maaf, saya betul-betul tak kenal Rifqi Ekhsan yang cik harapkan itu. Saya doakan cik akan bersua kembali dengannya suatu masa kelak. 

Mohon jangan SMS atau call saya lagi. Butang hantar ditekannya. Tetapi tidak sampai enam
puluh saat zikir daripada Ustaz Akil Hayy bergema. Sah nombor perempuan yang sedang menagih cinta teman lama. Nak angkat ke tak ni? Rifqi berkira-kira seorang diri lalu deringan yang di setnya itu mati sendiri.

Baru dia hendak meletakkan telefon Sony Xperia Miro itu, zikir beralun lagi. Lidahnya turut berzikir sama sebelum dengan lembut hati, dia menekan butang jawab. Salam yang dihulur tidak disambut sebaliknya dihadiahkan dengan bunyi esakan. Memang sudah parah perempuan ini. Adakah gadis ini penghuni hospital bahagia yang telah lari dari wad? Mengapa pula nombor dia yang menjadi sasaran? Rifqi menggosok dada.

“Cik Artina janganlah menangis. Sorry jika mesej saya itu buat cik bersedih. Saya faham apa yang cik rasa tapi cik juga  kena faham yang saya bukan Rifqi yang cik cari.” Nediesha di hujung sana pecah ketawa tapi dia tekap telefon supaya tawanya tidak didengari. Selepas itu, diujinya pula Rifqi.

“Kalau betul awak bukan Rifqi saya... buktikan. Saya mahu lihat sendiri rupa awak.”

“Cik Artina janganlah begitu. Kita saling tidak mengenali. Tak elok rasanya mahu bersua muka.” Rifqi mulai resah. Mana mungkin dia mahu berjumpa dengan perempuan yang sudah dicapnya miring itu. 

“Awak sengaja mengelak, bermakna awaklah Rifqi saya.”
 

“Macam inilah. Saya hantar MMS pada awak tunjuk wajah saya. Hendak hantar melalui whatsapp, telefon saya tak ada line internet. Boleh ke?” Rifqi beralah. Malas mahu melarutkan perbualan.

“Gambar... semua orang boleh hantar Rifqi. Saya sama sekali tak percaya. Melainkan awak sudi temui saya.” 

“Beginilah... hujung minggu ni kita jumpa. Awak boleh SMS nama tempat pada saya. Insya-Allah saya cuba datang.” 

“Baiklah kalau begitu. Terima kasih. Sayang awak!” Rifqi jatuh rahang. Lembik lututnya mendengar ungkapan sayang. Jantungnya umpama direntap berderai ke lantai. Sejuk mencengkam tulang belulangnya. Talian telah ditamatkan tapi telefonnya masih kejap dipegang. Musibah tidak dia cari... cinta tidak dia buru. Dirinya  dirantai persoalan yang berat menjerut jiwa. Artina dan Nediesha dua orang gadis yang datang serentak mengganggu hidupnya. Seorang di alam maya dan seorang lagi di alam realiti. Apakah ini petunjuk yang hatinya bersedia untuk dimiliki? Serasa terlalu cepat membuat konklusi. Hipotesis itu belum tentu benar untuk dijadikan rumusan. Justeru itu Rifqi enggan memikirkannya. Hal hujung minggu itu akan dia bincangkan dengan Zamri nanti.

BILIK MESYUARAT yang berhawa dingin itu dirasakan panas oleh Rifqi. Mesyuarat kecil itu sepatutnya dihadiri oleh pekerja di bahagian pemasaran sahaja. Dia sama sekali tidak menyangka Nediesha akan turut serta. Dia sedar jawatan yang disandang gadis itu memungkinkan segalanya. Namun sungguh dia tidak betah. Itu presentation pertamanya. Gugup terkumpul di dalam dada, senaknya tidak tertahan. 

Mata Nediesha terlalu tajam merenungnya. Dirinya bagai telah ditelanjangkan oleh pandangan itu. Malah mata itu nampak seperti dikerdipkan kepadanya. Dia yang perasan  atau itu kenyataan?

Hendak tak hendak prentation harus dimulakan jua. Meski tidak selesa dengan kehadiran Nediesha dia tetap mahu mempersembahkan yang terbaik di depan Nik Rizal. Jika presentationnya disukai maka idea baru untuk pasaran Sirna akan dibawa kepada Engku Masitah. Inilah masanya dia menunjukkan kebolehan. Slide telah dipasang. Rifqi mengumpulkan semangat untuk bersuara dengan lantang.

“Seperti yang kita sedia maklum, produk Sirna merupakan produk yang mahal. Memang ia berkualiti, sayangnya tidak semua golongan boleh menggunakannya. Jadi di sini saya ingin cadangkan supaya produk syarikat kita boleh digunakan oleh golongan yang berpendapatan 
biasa.”

“Maksud awak, kita kurangkan harga produk kita?” Tanya Nik Rizal selaku ketua jabatan pemasaran. 

“Bukan harga, tetapi kita hasilkan dia dalam bentuk mini. Bermakna lebih kecil kuantiti bahan. Jadi dengan itu harganya mesti rendah, bukan. Lebih kurang macam set percubaanlah.”

Nik Rizal menggerakkan pen di tangannya seolah-olah sedang memikirkan idea Rifqi itu. 

“Relevan ke Rifqi buat begitu? Kandungan bahan yang sedikit bermakna ia cepat habis digunakan. Bukankah itu akan menambahkan kos pengeluaran pada bahagian packaging?”

“Kos itu tidak melampau sekiranya produk mini Sirna laris di pasaran.”

“Rifqi, I guess Engku Masitah will not agree with you. Selama ini memang produk kita bukan sasaran pada orang yang tidak berduit. So, buang masa sajalah kita cuba,” Nediesha membuat bantahan.

“Cik Nediesha, cadangan ini belum sampai ke tangan Datuk Rosli ataupun Engku Masitah. Kenapa Diesha pula yang pandang rendah pada usaha Rifqi? Abang yang arrange bahagian ni. Abang izinkan Diesha join supaya dapat lihat dan belajar, bukan memangkah idea orang 
lain.”

“Encik Rizal, saya bukan memangkah. I just said my opinion. If you think this is a good idea you can make proposal and submit to Engku Masitah. I don’t mind!” Berlaku sedikit ketegangan di antara Nediesha dan Nik Rizal. Namun Rifqi yang masih berdiri di hadapan tetap tenang.

“Cik Nediesha, jual produk tidak boleh memilih pelanggan. Jangan letakkan jurang untuk pasarkan barangan. Saya akui Sirna telah gah hari ini. Apa sangatlah saranan saya tu. Saya tak kisah pun sebenarnya jika cadangan ni tak diluluskan tapi saya kesal jika cik membuat keputusan sebelum mencubanya terlebih dahulu.”

“Apa-apa ajelah.” Nediesha bingkas. Dia buat muka bengang. Dalam hati, kan bagus jika dia datang pegang tangan aku. Memujuk dengan kata cinta. Adess! Memang aku sudah gila. Sengaja bertelagah di dalam bilik mesyuarat untuk mencari perhatian.

Toing! Tak betul sungguh si Nediesha ni... 


PELUANG HARUS dicari untuk mendekati Rifqi. Nampak kelibat Rifqi di pantri dan Nediesha cepat atur langkah. 


“Ehem… buat kopi ke?” Tegur Nediesha. Badannya disandarkan ke dinding.

“Ya buat kopi.” Rifqi menoleh. Berdebar hatinya ditegur Nediesha.

“Buatkan untuk saya juga.” Pinta Nediesha dengan gaya menggoda. Ah sudah! Rifqi mula tak tentu arah. Namun mug kosong tetap dicapai. Kopi tetap dibancuh. Saat mug dihulur, hujung jari mereka berlaga menyebabkan Rifqi sedikit tersentak. Tetapi Nediesha buat tidak tahu malah sengihnya sudah berkuasa dua.

“Rifqi, malam ni saya ambil awak, kita keluar dinner. Bagi alamat rumah sewa awak.” Selamba cengkadak Nediesha meminta.

“Hah?”

“Alamat.” Berkhayal ke dia ni tak dengar apa aku cakap. 

“Maaf Cik Nediesha, saya tak keluar dengan perempuan malam-malam.”

“Makan aje pun, bukan buat apa-apa.” Nediesha mencebir. Dalam hati geram mencanak dengan sikap lelaki itu. Boleh diumpamakan macam ikan takutkan mata kail. 

“Maaf sekali lagi. Saya pergi dulu. Ada kerja yang belum  siap.” Kaget Rifqi memberi alasan demi mengelakkan diri.

“Awak sepatutnya kena keluar dengan saya untuk pujuk saya. Tak nampak ke saya bengang dalam meeting tadi?” 

“Cik Nediesha saya tak faham. Apa kaitannya makan malam dengan meeting?” Bingung Rifqi dibuatnya. Kepalanya jadi gatal tiba-tiba. Apa lagi garulah.

“Dengan kita keluar bersama awak berpeluang untuk rapat dengan saya. Hal ini sangat menguntungkan sebab saya dapat pujuk mama dan daddy untuk terima usul awak.”

“Cik Nediesha cakap begitu, berunsurkan rasuah tahu tak. Pasal usul saya tu, Encik Rizal yang uruskan. Dia telah bersetuju untuk submit proposal kepada Engku Masitah.” 

“Ambik baliklah kopi ni. Saya tak nak minum.” Nediesha ketap bibir.

Terkebil-kebil Rifqi memandang mug yang diletakkan Nediesha. Sah merajuk. Aduhai...

No comments:

Post a Comment