Dua tahun kemudian...
Indah mengerling jam di pergelangan tangannya dan dia mengetuk-ngetuk jarinya ke atas permukaan meja. Orang yang keluar masuk kafe itu dipandang dengan harapan, orang yang ditunggu-tunggu tiba namun dia hampa. Dia sudah lambat untuk pergi bekerja.
“Perlu ke aku tunggu?” soal Indah perlahan. Indah mengambil keputusan untuk pulang, namun tiba-tiba muncul gerangan yang ingin menemuinya. Indah tergamam melihat penampilan orang itu jika dibandingkan dengan dirinya yang biasa-biasa sahaja.
“Assalamualaikum, auntie.” Indah mengucapkan salam dengan penuh sopan santun.
“Hmmm...” Puan Sri Maria duduk lalu menyilangkan kakinya. Dia memandang Indah dari atas hingga bawah bersama senyuman sinis.
“Silakan duduk.” Puan Sri Maria mempelawa Indah.
Indah segera menarik kerusi. Dia tersenyum kepada mummy Rykal. “Apa khabar, auntie?”
Puan Sri Maria tersenyum sinis. “Panggil saya Puan Sri. Dah lama awak tunggu?”
Indah tersenyum kecil. Kenapa dia rasa seperti ibu Rykal tidak menyukainya? Dia cuba mengusir semua tanggapan buruk itu seraya memberikan senyuman manis kepada ibu kekasihnya. Mungkin Puan Sri Maria juga kekok sepertinya kerana ini adalah kali pertama mereka bersua muka. Dia dapat melihat ibu Rykal mempunyai selera fesyen yang tinggi. Dari hujung kepala hingga ke hujung kaki semuanya memakai barangan berjenama.
Puan Sri Maria memerhatikan fesyen pakaian Indah. Walaupun tidak berjenama tetapi tetap nampak bergaya. “You have a great sense for fashion.”
Indah tersenyum manis lagi. Malu apabila dirinya dipuji. “Biasa-biasa saja, Puan Sri.”
Puan Sri Maria tersenyum sinis. “Orang bawahan memang selalu begitu apabila dipuji sedangkan dalam hati sudah kembang setaman.” Pedas ayat yang keluar dari bibir merah bergincu Bobbi Brown itu.
Indah tersentap dan dia mengangkat kepalanya memandang Puan Sri Maria. Dia agak keliru dengan maksud sebenar Puan Sri Maria. Apakah Puan Sri Maria mahu memberitahunya sesuatu?
“Saya dengar perniagaan Puan Sri bertambah maju. Murah rezeki Puan Sri.” Indah cuba beramah. Dia sedaya upaya mahu mengambil hati mummy kekasihnya.
Puan Sri Maria semakin tersenyum sinis. Dia dengan sengaja meletakkan beg tangan Burberry miliknya di atas mejaitu. “Nampaknya kau tahu pasal perkembangan syarikat aku.
Kenapa? Kau dah pasang impian nak bolot semua harta aku ke?”
Indah tergamam. Ayat yang baru dia dengar benar-benar membuatkan dirinya bagaikan insan yang tiada maruah. “Apa maksud Puan Sri?”
Puan Sri Maria tergelak kecil lalu memberikan jelingan tajam kepada Indah. “Jangan buat-buat tak faham. Aku rasa kau lebih faham apa yang aku maksudkan, betul tak?”
“Saya betul-betul tak faham. Cuba Puan Sri terangkan dekat saya.”
“Kau rapat dengan anak aku kerana kau nak kesenangan hidup, bukan? Kau nak kikis semua kekayaan anak aku. Betul tak?”
Indah mengetap giginya sambil beristighfar dalam hati. Dia cuba mengawal rasa sebak yang serta-merta bertandang dalam hatinya. Tangannya dikepal kuat.
“Kenapa kau diam? Betulkan apa yang aku cakap ini?” Puan Sri Maria terus berkata tanpa mempedulikan perasaan Indah.
Indah menarik nafas panjang lalu dihembus perlahan-lahan. “Saya berdiam diri kerana saya masih menghormati Puan Sri sebagai orang yang lebih tua daripada saya. Saya tidak mahu dianggap kurang sopan apabila membalas kata-kata Puan Sri sebentar tadi. Lagipun manusia cenderung meluahkan apa sahaja perkataan yang tidak elok ketika sedang berada dalam emosi yang marah. Saya tidak mahu kurang ajar dekat seorang wanita yang sebaya dengan ibu saya kerana saya masih ada rasa hormat.”
Puan Sri Maria terkedu. Dia terdiam mendengar bicara yang petah dari mulut Indah. Perlahan-lahan dia mengeluarkan sekeping sampul surat besar berwarna putih lalu diletakkan di hadapan Indah.
“Apa ini?” soal Indah dengan pandangan yang penuh tanda tanya.
“Aku dapat tahu yang kau pernah tolak tawaran daripada School of Fashion di Seoul. Kenapa kau tolak tawaran itu?”
“Saya tak ada duit nak sambung belajar di sana. Saya bukannya anak orang kaya, Puan Sri,” terang Indah. Memang tiga tahun dahulu dia ada menerima tawaran itu tetapi dia menolak kerana waktu itu dirinya memang kesempitan wang.
“Jadi sekarang aku berikan jalan untuk kau sambung belajar di sana. Aku akan berikan kau biasiswa daripada Yayasan Maria milik keluarga aku.”
Indah merenung mata milik Puan Sri Maria. Dia tidak percaya dengan bicara wanita itu. “Kenapa Puan Sri mahu taja saya?”
“Aku tahu kau ada bakat dan kau boleh pergi lebih jauh dalam bidang ini jika bakat kau digilap dan diasah dengan cara yang betul.”
“Adakah Puan Sri memandang rendah dengan tahap pendidikan di negara kita? Maksud Puan Sri, saya tak boleh menjadi pereka fesyen jika saya belajar di sini?”
“Maksud aku, kau perlu diberikan lebih pendedahan dengan trend fesyen luar negara. Kau ada bakat dan aku tahu kau juga memang mahu ke sana bukan? Setiap pelajar seni reka mesti ada impian untuk ke sana kerana di situ telah lahir ramai pereka fesyen bertaraf antarabangsa. Atau kau mahu aku hantar kau ke School of Fashion di New York? Di situ memang cawangan induknya.”
Indah menggeleng. Dia segera bangun lalu mencium tangan Puan Sri Maria. “Maafkan saya, auntie. Saya tak mahu terima semua ini kerana saya tidak layak.”
“Peluang ini masih terbuka untuk kau. Jadi cubalah kau fikir-fikirkan dahulu.” Puan Sri Maria sempat memberikan pesanan sebelum Indah pergi.
Indah duduk termenung di pondok menunggu bas setelah tamat syif kerjanya. Dia sedang menunggu Rykal mengambilnya kerana tadi buah hatinya itu sudah berjanji. Indah mengeluh. Dia tahu dirinya memang tidak sepadan dengan Rykal yang punya segalanya. Dia hanya seorang gadis biasa yang tidak punya apa-apa melainkan sebuah rumah yang berupa kabin kecil di bahagian roof-top pangsapuri itu dan seorang nenek yang uzur. Dia juga tidak percaya macam manalah mereka berdua boleh jatuh cinta.
Pin! Pin! Bunyi hon kereta mengejutkan Indah daripada lamunannya.
“Sakinahku!” Rykal menjerit dari dalam kereta.
Indah segera berlari masuk ke dalam kereta Hyundai Tucson berwarna putih itu. “Ganggu kerja awak ke?”
“Tak langsung. Saya ni pulak yang tak boleh buat kerja sebab asyik ingat dekat awak.” Rykal mengambil beg pakaian di atas riba Indah lalu diletakkan di seat belakang. Indah hanya memandang dengan ekor matanya.
Indah tersenyum mengejek. “Mengada-ada betullah awak ni.”
Rykal tersenyum menampakkan giginya yang cantik tersusun. “Itulah, saya ajak awak kahwin cepat-cepat tak nak. Jual mahal!”
Indah memandang Rykal yang sudah mula memandu. “Awak tahu kan yang saya masih ada setahun lagi pengajian dan saya kena tanggung nenek? Saya tak nak menyusahkan awak.”
Rykal mencebik. “Sakinahku, awak tak akan menyusahkan saya sebaliknya awak akan menggembirakan saya kalau awak menjadi isteri saya yang sah. Awak sendiri pun tahu kan yang saya memang dah stabil dari sudut kewangan. Syarikat saya dah berjaya pun tembus pasaran US. Tak lama lagi kami akan keluarkan collection baru tau. Setakat nak tanggung yuran pengajian awak dan jaga nenek itu perkara mudah sahajalah.”
Indah mengeluh. Memang dia mahu sangat menjadi suri dalam hati Rykal tetapi rasanya itu semua mustahil kerana Puan Sri Maria tidak menyukai dirinya. Mereka tidak setaraf.
“Ada collection baru? Mesti cantik-cantik, kan? Saya teringin sangat nak tengok.” Dia cuba mengalih topik perbualan mereka.
Rykal mengeluh. Begitulah Indah apabila diajak berbincang mengenai perkahwinan mereka. Pasti ada sahaja helah yang dia buat. Dia sendiri tidak faham kenapa Indah tidak mahu berkahwin dengannya sedangkan dia sudah stabil daripada semua segi. Sekarang, dia sudah mempunyai sebuah syarikat pakaian dan syarikatnya sedang berada di puncak kejayaan ketika ini. Jenama pakaiannya sudah diiktiraf sebagai jenama antarabangsa. Dia juga sudah punya tiga biji banglo dan empat buah kondominium serta dua buah penthouse hasil titik peluhnya sendiri. Kereta-kereta mewah janganlah disebut. Memang berderet. Itu belum dikira lagi asetnya di luar negara.
“Nanti awak ikutlah saya pergi majlis perasmiannya.” Rykal menjawab acuh tak acuh. Dia berjauh hati dengan Indah.
Indah menelan liur. “Rykal, awak merajuk dengan saya ke?”
Rykal tidak membalas langsung. Dia mahu Indah tahu yang dirinya sudah penat menunggu.
“Rykal, janganlah merajuk. Awak buat saya nak menangis tahu tak? Please, janganlah merajuk.” Rykal sengaja menguatkan suara radio. Matanya tetap tidak memandang Indah di sebelahnya. Dia memandu dengan hati yang merajuk.
Indah menahan air matanya daripada gugur. “Rykal, awak janganlah macam ini. Saya minta maaf.”
Rykal mengeluh perlahan apabila mendengar esakan kecil di sebelahnya. Dia menghentikan kereta di bahu jalan. Nasib baik jalan tidak sibuk. Rykal menumbuk stereng keretanya.
“Sakinahku, janganlah menangis. Saya minta maaf okey.”
Indah masih teresak-esak. Dia memandang Rykal dengan mata yang sembap. “Kenapa awak suka panggil saya Sakinah? Semua orang panggil saya Indah. Cuma awak sahaja yang suka panggil saya Sakinah.” Rykal tersenyum. “Kenapa awak nak tahu? Awak tak suka ke saya panggil macam itu?”
“Suka malah saya sangat suka apabila awak memanggil Sakinahku. Ia umpama bunyi peranggu loceng angin yang merdu. Ia berbunyi merdu apabila angin membuainya membuatkan hati saya tenang dan rasa seperti ingin selalu mendengar awak menyebut Sakinahku. Tidak kira di mana dan bila.”
Rykal tersenyum lebar. “Mendengar awak berbicara begitu membuatkan saya semakin tak sabar nak mengikat awak di sisi saya selamanya.”
Indah mengeluh untuk ke sekian kalinya. Perlu ke dia beritahu Rykal tentang apa yang mummy Rykal cakap tadi? Dia tidak mahu kekasih hatinya ini bergaduh dengan Puan Sri Maria pula.
Rykal kembali meneruskan perjalanan mereka. “Saya lupa nak tanya awak. Macam mana dengan mummy saya? Awak jumpa dia tengah hari tadi, kan?”
“Yup. Mummy awak sangat baik dan cantik.” Indah tidak mahu Rykal mengetahui sifat mummynya.
“Lagi? Awak berbual apa dengan dia?” Rykal bertanya kerana dia teruja mahu mengetahui.
“Mana boleh beritahu awak. Itu urusan orang perempuan.” Rykal mengangkat kening. Dia tersenyum nakal.
“Sakinahku, awak lupa ke yang saya ini bekas playboy di UTHM? Hal-hal orang perempuanlah yang paling saya mahir.”
Indah mencebikkan bibir. “Saya tak pernah lupa yang awak ini ialah lelaki ‘terhot’ di kampus kita. Awak bagaikan bintang yang bersinar manakala saya hanyalah tahi bintang. Mana boleh saya lupa detik-detik seorang bintang jatuh cinta pada tahi bintang seperti saya.”
Rykal mengerling jam di dashboard kereta lalu kembali memandu kereta membelah jalan raya. Hari sudah semakin gelap. Lebih baik dia segera menghantar Indah pulang ke rumah. Indah pasti penat setelah seharian sibuk dengan kuliah dan kerja di kafe.
“Sakinahku, adakah awak tahu bagaimana indahnya cahaya tahi bintang itu ketika ia merentasi langit dalam kegelapan malam? Masya-Allah, ia sangat cantik. Bersinar terang dalam kegelapan malam.”
Indah tersenyum kecil. Kata-kata Rykal sentiasa membuatkan dia rasa seperti dirinya berada di awangan. “Awak ni kalau bercakap memang saya kalah tau. Ayat-ayat awak tu pulak memang manis tahap gula-gula kapaslah. Memang playboy sejati betul.”
“Saya tak menipu, Sakinahku. Biarlah awak kata yang bicara saya ini tersangat manis atau apa-apa sahaja. Tetapi saya mahu awak tahu yang saya memang ikhlas mencintai awak. Saya mahu awak tahu bahawa kecantikan awak tidak dapat ditandingi oleh semua gadis yang pernah keluar dengan saya.”
Indah tersengih lebar. Dia membuka seat-belt dan bersedia untuk turun. “Rykal, ambilkan beg saya di belakang. Tangan saya tak sampailah.”
Rykal berpusing dan hampir sahaja dia terpeluk Indah yang duduk di sebelahnya. Mereka berdua terkaku namun hanya seketika. Rykal segera memberikan beg pakaian itu kepada Indah.
“Esok kuliah pukul berapa?”
“Esok kuliah petang macam biasalah. Awak nak hantar saya jugak ke esok?”
Rykal mengangguk. “Saya tunggu di sini macam biasa.”
“Awak tak busy ke esok? Kata ada collection baru. Mestilah awak sibuk, kan?”
“Sakinahku, untuk awak apa sahaja saya sanggup lakukan. Kirim salam dekat nenek dan kata dekat dia hujung minggu ni saya bawa dia pergi pemeriksaan kesihatan di hospital.” Rykal sempat menitip pesanan.
“Tak payahlah, awak. Saya boleh bawak nenek pergi hospital kerajaan sahaja nanti. Membazir duit awak sahaja bawak nenek saya pergi hospital swasta.”
“Suka hati sayalah. Saya cuma nak nenek kesayangan saya itu mendapat rawatan terbaik sahaja.” Indah menghentakkan kakinya. Dia keluar dari kereta Rykal dan sempat lagi dia menjelirkan lidah kepada lelaki itu. “Bye-bye. Bawak kereta elok-elok. Assalamualaikum.”
Rykal mengangguk faham dan dia memandang sehinggalah kelibat Indah hilang di sebalik tangga. Dia kembali meneruskan perjalanannya. Dia masih belum membuat keputusan untuk tidur di rumah yang mana satu malam ini.
Indah duduk termenung lagi di luar malam itu. Setelah memberikan neneknya ubat dan menunggu neneknya tidur, barulah dia keluar. Indah berjalan ke hulu ke hilir sambil memintal-mintal hujung rambutnya. Dia sedang mempertimbangkan tawaran Puan Sri Maria. Jika dia menerima tawaran itu pasti masa depannya akan cerah kerana setiap pereka fesyen yang dilahirkan dari universiti itu sudah menempa nama di peringkat antarabangsa. Tetapi dia tidak boleh tinggalkan nenek keseorangan di Malaysia kerana nenek cuma hanya ada dia sahaja. Rykal! Dia tidak sanggup berpisah dengan kekasih hatinya itu.
“Ah! Kusut betullah!” Indah menjerit kecil.
No comments:
Post a Comment