DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 12 February 2015

Episod Cinta Harlys - Prolog



 
HARITH melipat sejadah yang baru digunakan seketika tadi dan diletakkan di atas kerusi yang sudah sedia ada di dalam bilik hotel itu. Hotel Biru Laguna. Itulah nama hotel yang sedang dia menginap kerana perlu menghadiri kursus singkat di sini. Di bandar besar Kuala Lumpur. Pelikkan? Nama hotel sangat unik dan sedap didengar tetapi berdiri megah di tengah-tengah bandaraya metropolitan yang sentiasa sibuk. Sibuk dengan gelagat manusia yang pelbagai ragam.

Ding.. Dong…

Bunyi loceng mengejutkan Harith daripada lamunan pendeknya. Pantas dia berpaling. Badan yang keletihan dan niat mahu merehatkan diri di atas katil empuk terbantut. Hatinya sudah berasa tidak enak sebaik terpandang jam tangan yang diletak di atas kabinet kecil di tepi katil. Satu pagi. Masakan room service pagi-pagi buta begini. Dia sangat pasti yang dia tidak memesan apa-apa dengan kakitangan hotel. Tapi siapa? 

Ding.. Dong…

Bunyi loceng itu bergema lagi petanda si tetamu tidak sabar sekali. Dalam kegusaran di hati, dia pulas juga tombol pintu bilik. Dan berdiri di hadapannya sekarang adalah seorang perempuan seksi. Memakai baju sendat bertali halus dan seluar pendek yang hanya menutup punggung hingga ke paras paha. Melolot matanya seketika sebelum beristighfar panjang. Astaghfirullah! Godaan apakah ini ya Allah? Bisik hati kecilnya. Pantas matanya dipaling memandang ke arah pintu bilik.

“Encik, encik kena tolong saya. Ada orang gila sedang kejar saya, tolong saya encik,” rayu perempuan itu. Suaranya saja sudah mengocak imannya. Astaghfirullahhalazim! Sekali lagi bibirnya mengungkap istighfar.

“Apa yang saya boleh tolong?” Harith menyoal pada perempuan yang nampak kegelisahan di hadapannya kini. Tanpa dipelawa, perempuan itu terus menapak masuk ke dalam bilik Harith. Tercengang Harith dengan tingkah selamba dan tidak beradab itu. Tak sempat dia nak halang.

“Tolong tumpangkan saya seketika di dalam bilik ini. Saya janji, lepas orang gila tu tinggalkan hotel ni, saya akan pergi dari sini. Tolonglah encik!” luah perempuan itu bersungguh. Mata perempuan itu sudah meliar memandang ke kiri dan ke kanan. Gila! Berdua-duaan dengan seorang bukan muhrim adalah berdosa besar! Tak, dia takkan sesekali menumpangkan perempuan ini di sini!

“Maaf cik, jika itu pertolongan yang cik minta, saya tidak dapat membantu. Adalah lebih baik jika cik beredar dari bilik ni atau ke bilik lain tapi bukan saya dan bukan di sini!” sehabis bersopan dia menuturkan kata.

“Tapi encik, tolonglah saya. Jika orang gila itu menjumpai saya, dia akan bunuh saya. Tolonglah encik, saya merayu sangat-sangat,” rayu perempuan itu. 

“Tak, tak boleh! Berdua-duaan dengan seorang wanita yang bukan muhrim adalah berdosa besar. Maaf, saya tak dapat menolong. Saya minta jasa baik cik, tolong keluar dari bilik ni sebelum apa-apa yang tak diingini berlaku,” pinta Harith. Dia tidak pernah dan tidak mahu bersekongkol dengan perempuan di hadapannya tika ini. Bukan dia tidak mahu menghulurkan bantuan tetapi pertolongan yang diharapkan tidak kena pada masa dan tempat! 

Dia sedar, di antara seorang perempuan dan lelaki pasti ada syaitan yang akan sentiasa ada untuk memporak-perandakan hidup anak Adam. Gelaran peguam syarie bukan tiket untuk dia lepas dari godaan syaitan laknatullah kerana peguam syarie itu juga manusia biasa yang punya kekurangan di mana-mana.

“Baiklah, encik. Maaf mengganggu,” ujar perempuan itu lemah. 

Lemah sekali perempuan itu mengatur langkah merapati pintu bilik. Tapi belum pun sempat dia menarik tombol pintu, kedengaran loceng bilik dibunyikan beserta dengan ketukan di pintu. Harith gamam. Sejak bila pintu itu tertutup? Rasanya tadi pintu itu masih terbuka luas. Matanya tajam menikam pandang ke arah perempuan itu yang jelas terkejut. Ya Allah! Bala apa pula yang mendatang ni? 

Bunyi loceng dan ketukan yang semakin membingitkan telinga masih kedengaran. Lambat-lambat Harith mengatur langkah merapati tombol pintu. Hatinya sudah berlagu tidak enak. Dengan lafaz bismillah, tombol pintu dia pulas perlahan. Wajah lima orang lelaki yang lengkap mengenakan songkok dan kopiah di atas kepala sedang berdiri tegak di hadapannya kini. 

“Err.. Ada apa encik semua datang ke mari?” soal Harith selepas menghulurkan salam. Dia cuba berlagak sehabis tenang yang mungkin.

“Kami menerima aduan daripada seseorang yang mengatakan di dalam bilik ini sedang berlaku maksiat. Boleh kami masuk?” pinta salah seorang dari mereka. Dengan hati yang berat, dia luaskan juga pintu bilik. Nak bersoal jawab banyak-banyak nanti dikatakan cuba mengelak pula. Lantas dia membiarkan saja mereka masuk ke dalam bilik hotel itu. Di dalam hati tidak putus-putus mengungkap nama Ilahi. Hati Harith sudah dapat mengagak
apa yang akan berlaku. 

“Encik, perempuan ni siapa? Adik atau isteri? Boleh tunjukkan bukti?” soal lelaki yang telah bercakap dengannya tadi. Lelaki itu meminta kad pengenalan pula selepas itu. Dengan berat hati, Harith dan perempuan itu turuti jua. 

“Encik, saya tak ada apa-apa hubungan dengan dia ni. Dia cuma selamatkan saya dari orang gila. Orang gila tu kejar saya tadi. Dia tak salah, saya yang salah,” perempuan itu bersuara. Bersungguh sekali dia bertutur mahu para lelaki di hadapannya ini percaya.

Harith hanya mampu menggelengkan kepala. Mulutnya sudah terkunci rapat. Serasanya semua ini sangat berat sekali.

“Jangankan orang gila, orang waras pun sanggup kejar kalau tengok perempuan pakai macam ni! Semua kedai kain kat Malaysia ni dah bangkrap ke?” Sinis dan pedas kata kata lelaki yang berbaju biru itu. 

Perempuan yang mendengar kata-kata itu semakin berangin dan panas.

“Encik, kalau dengan lelaki macam tu, tak sanggup saya. Dengan baju Melayu dan kain pelikat, kolot betul!” herdik perempuan itu spontan. Tercengang Harith. Tadi elok saja merayu dengannya tapi sekarang sesuka hati mengherdik orang seperti dia tidak punya harga diri.

“Ah, tak payah cakap banyak. Ikut kami, cerita aje kat balai!” arah lelaki yang berkopiah itu. Allah! Ungkap Harith antara dengar dan tidak. Wajah emak dan ayah di kampung tergambar di ruang mata. Jika semua ini sampai ke pengetahuan mereka, apa yang dia nak jawab? Seorang yang dikatakan alim, selalu ke masjid, menjadi imam surau kampung, ditangkap basah! Dalam terpaksa mereka akur walau pada mulanya perempuan itu memberontak dan melawan.

Oleh sebab tak mahu memanjangkan kes, Harith akur dengan permintaan keluarga perempuan itu. Dengan dua kali lafaz, Harith sah menjadi suami kepada Syarifah Arlyssa Waheeda Binti Syed Zakaria berwalikan abang perempuan itu, Syed Yusri. Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menjadi saksi dan lokasi pernikahan koboi itu. Arlyssa ditemani oleh Syed Yusri dan mamanya yang hanya memperkenalkan diri sebagai Puan Aini. Manakala Harith hanya keseorangan. Tiada saudara atau teman yang menemani dia di sini. 

Usai akad nikah, Harith mahu segera berlalu dari situ kerana dia akan terbang balik ke Terengganu pada hari itu juga memandangkan tiket kapal terbang sudah ditempah dan esok dia akan bekerja seperti biasa. Tetapi langkahnya terhalang.

“Hei, you!” jeritan itu mematikan langkahnya. Dia mematungkan diri. Tiada rasa mahu berpaling dan memandang ke wajah itu.

“Mula dari hari ni, you dengan I tak ada apa-apa hubungan. Anggap saja kita tak pernah kenal. Jika you jumpa I di mana-mana, jangan tegur I. You dengan hidup you, I dengan hidup I. Faham?!”

“Hmm…” Hanya itu yang keluar dari mulut Harith. Rasanya dia dengan perempuan itu memang tak pernah ada hubungan. Perkahwinan yang baru dilalui ini hanya untuk menutup mulut orang-orang surat khabar. Dia ni anak orang besar-besar ke?

“Ada apa lagi?” malas Harith menyoal. Matanya memandang ke jam tangan yang tersarung di pergelangan tangan. Sebetulnya dia sedang mengejar masa. Kurang dari tiga jam lagi dia sepatutnya sudah terbang balik ke Terengganu. 

“Nope!” Lalu, Harith terus mengatur langkah pergi. Dia perlu sampai secepat yang mungkin di lapangan terbang. 

Masa semakin berlalu pergi. Tinggallah perempuan yang baru bergelar isterinya itu. Entah bila lagi mereka akan bertemu lagi, dia tak tahu.

No comments:

Post a Comment