DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 9 February 2015

Titik Mula Cinta - Bab 3

SIAPA kawan Ila ni? Tak pernah cerita pun pada mak dengan abah?” Encik Dahlan bertanyakan soalan yang sejak semalam bersarang di mindanya selepas Puan Norhayati menceritakan tentang kawan Fazila yang mengajak anaknya itu menjadi tourist guide keluarganya.

“Kawan satu kelas abah... dia cuti kat sini dengan keluarganya. Kata dia... sampai hari Ahad nanti mereka kat sini. Hari ni mak dia nak pergi Rantau Panjang. Itu yang dia ajak Ila. Ila dah cakap Ila tak tahu jalan, tapi dia mintak jugak Ila  temankan. Terpaksa Ila ajak Kak Rini sama.”

“Pukul berapa diaorang sampai?”

“Entahlah... tadi dia cakap dah dekat nak sampai nanti dia telefon,”

“Kawan lelaki, kan? Mak kata namanya Fauzi?”

“Ha’ah...” Jawab Fazila hanya dengan sepatah kata. Dia cukup tahu apa yang ada di minda abah dan bersedia dengan apa saja soalan yang akan ditanya nanti.

“Hmmm... jaga diri tu baik-baik. Ila tu perempuan...” Lega rasa hatinya bila abah tidak membebel. Setakat menasihati sebegitu, tidaklah hatinya berasa serba salah untuk mengikut keluarga Fauzi nanti.

“Insya-Allah bah.. Ila kenal dia, kami rapat... dia tu baik bah... lagi pun Kak Rini kan ada...” Kata Fazila sambil meyakinkan dirinya sendiri tentang keluarga Fauzi yang akan dia temui sekejap saja lagi.

“Walaupun dah kenal... kenalah jaga-jaga jugak. Yang Ila kenal tu, dia. Keluarganya entahkan macam mana pun kita tak tau ... dia tu pun entah macam mana kita tak tau...” Sampuk Puan Norhayati menggambarkan kebimbangan yang dirasakan sejak semalam.

“Mak pun rasa macam tak sedap hati je... sejak semalam mata ni asyik bergerak-gerak je... hati asyik berdebar aje... macam tak senang je rasanya nak lepaskan Ila pergi hari ni...” Sambungnya lagi.

“Sambil-sambil tak sedap hati, siap juga nasi dagang tu ye? Macam nak sambut tetamu istimewa je...” Kata Encik Dahlan dengan nada bergurau. Emak mencebirkan bibirnya mendengarkan kata-kata abah.

“Alah... kebetulan ikannya dah ada... berasnya pun dah ada... buat ajelah. Kita pun boleh makan jugak. Memang Yati dah bercadang nak buat nasi dagang pun pagi ni bang...”

“Apa-apa pun... Ila yang suka... nanti dah balik Skudai, susahlah nak jumpa nasi dagang sedap macam gini lagi...” Kata Fazila sambil mengangkat ibu jarinya. Senyuman terukir di bibir walapun dalam hati bertandang debaran yang menggila.

“Kak Ila... ada orang telefon,” kedengaran jerit Ayis dari ruang hadapan rumah teres di Taman Perumahan Kos Rendah Tanjung Chat, yang terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu itu.

“Haa... mesti itu dia...” Kata Fazila sambil berlari ke ruang hadapan untuk menjawab telefon. Perlakuan spontan anak gadisnya itu dipandang penuh minat oleh Encik Dahlan. Matanya kembali tertancap ke wajah isterinya.

“Seronok semacam aje Ila tu Yati? Ada apa-apa ke?” Dia bertanya penuh makna.

“Entahlah bang... Yati pun rasa semacam je... berdebar-debar je...”

“Patutlah orang tu masuk meminang dia tak nak... orang ni masuk dia tolak... dah ada pilihan hati rupanya...” Kata Encik Dahlan lagi sambil tersengih. Puan Norhayati turut tersenyum.

“Mak... diaorang dah nak sampai tu. Dah dekat dah...” Kedengaran Fazila menjerit dari ruang hadapan. 

“Hei... tengoklah anak dara abang tu... terjerit-jerit... kalau orang dengar malu je... hmm,” keluh Puan Norhayati sambil menggelengkan kepalanya.

“Tak menyempat-nyempat nak bersiaplah tu. Kita suruh terus siap dari tadi dia kata lambat lagi. Ini ha... orang dah nak sampai baru nak tergesa-gesa...” Keluh Encik Dahlan yang juga tidak puas hati dengan sikap anak gadisnya itu. 


DI DALAM bilik Fazila jadi serba salah. Satu persatu pakaian dicubanya. Rasanya seperti semuanya tidak kena. Semalam dia bercadang untuk memakai baju kurung. Pagi tadi pula dia mengubah fikiran, lantas dia menggosok sehelai baju labuh berupa jubah ringkas yang selalu dikenakannya apabila bertandang ke rumah saudara maranya. Bila dia melihat baju itu tersarung di badannya kali ini, terasa terlalu formal pula untuk dipakai pergi membeli-belah. 

Selepas beberapa kali membelek pakaian yang terlipat kemas di dalam almari, akhirnya dia memilih sehelai baju T labuh berlengan panjang, bersama sehelai jeans longgar berwarna biru. Dia melengkapkan semuanya dengan sehelai tudung yang disarungkan ringkas di kepala. Selepas melihat bayangnya di cermin beberapa kali, dia tersenyum puas hati. Tidaklah terlalu formal rasanya.  

Sejak dari tadi kedengaran emak dan abah telah menyambut kehadiran tetamu. Kedengaran riuh sekali seperti masing-masing begitu gembira dengan pertemuan ini. Pelik juga rasa di hati, baru pertama kali bertemu sudah kedengaran begitu mesra sekali.

Ah... biarlah mereka, yang penting dia perlu cepat-cepat siap. Segan juga rasanya kerana membiarkan tetamu menunggunya. Malah Ayis pula sudah beberapa kali mengetuk pintu biliknya sejak dari tadi, meminta supaya dia cepat keluar. Entah mengapa dia bagaikan sengaja melambat-lambatkan diri untuk bersiap. Dan entah mengapa debaran di hati terasa kian menggila di saat itu.

Akhirnya, apabila pintu bilik yang dia kongsikan bersama semua adik-adik perempuannya itu diketuk untuk kali yang ketiga, Fazila tahu dia tidak sepatutnya berlengah lagi. Dengan tarikan nafas dan bacaan Bismillah untuk menenangkan debaran yang entah mengapa mengganggunya saat itu, Fazila membuka pintu biliknya yang berhadapan dengan ruang tamu. 

Terasa segan sekali apabila dia melihat Fauzi dan emaknya serta dua orang lagi ahli keluarganya sedang duduk di kerusi ruang tamu, berbual dengan abah. Kelibat emak sudah kelihatan masuk ke dapur. Pastinya untuk menyediakan sarapan pagi.

“Amboi... lamanya anak dara bersiap...” Usik abah, menyebabkan merona wajahnya saat itu.

Dia memandang ke wajah abahnya sambil mencemikkan mukanya dengan aksi manja. Tanpa sedar yang dia juga diperhatikan oleh empat pasang mata. Matanya melirik ke arah Fauzi dan jelas kelihatan sahabatnya itu sedang mentertawakannya. Makin merona wajahnya.

“Kenapa Ila tak cakap yang Fauzi ni anak Kak Hasmah ni... Kawan abah dulu ni...” Kata Encik Dahlan dengan nada riang. 

Terkejut Fazila mendengarkan kata-kata abahnya itu. Cepat-cepat dia menghampiri emak Fauzi dan menyalami wanita yang kelihatan beberapa tahun lebih tua daripada abah.

Perempuan di hadapannya itu menarik dan memeluk tubuhnya erat sekali. Perlakuan yang membuatkan dia makin terkesima. 

“Ini rupanya Ila. Dah besar sekarang... masa duduk kat Melaka dulu umurnya berapa ye Dahlan?” Tanya emak Fauzi kepada abah.

“Tiga tahun kak...”

“Hmmm... patutlah hati ni berdebar-debar aje sejak dari semalam. Rupanya nak jumpa kawan lama...” Kata emak Fauzi pula.

Sedikit sebanyak Fazila dapat meneka apa yang berlaku. Bila masa pula mereka ni berkawan? Seingatnya, dia tidak pernah kenal wanita di hadapannya ini.

“Mesti Ila tak ingat... kalau dah umur tiga tahun mana nak ingat lagi, kan? Dulu manja betul dengan Faris ni. Mana pergi pun dia mesti nak ikut. Si Fauzi ni pulak suka sangat mengusik dia. Selalu sangat menangis kena usik... siap Faris pulak yang kena pujuk... ingat tak Faris?”

“Entah la mama... dah lama sangat...” 

Garau kedengaran suara itu di telinga Fazila. Ingin sekali dia mengangkat muka menatap wajah itu, tetapi entah mengapa ada rasa malu yang menyapa hati. Dia sendiri hairan dengan apa yang dirasakan itu. Selalunya dia tidak begitu. Dia bukan jenis pemalu orangnya. Tetapi kali ini... dan... ah... kenapa ada debar di hati... Sungguh berbeza suara itu daripada suara Fauzi yang selalu kedengaran ceria.

“Mak cik duduk dulu ye... Ila nak ke dapur, tolong mak...” Katanya sambil melemparkan senyuman manis kepada Fauzi yang juga diam tidak menyapa. Sebelum berlalu ke dapur sempat lagi Fazila bersalaman dengan adik perempuan Fauzi yang memperkenalkan dirinya sebagai Farisya. Lantas dia mengajak Farisya turut sama ke dapur.

Dalam sibuk keluar masuk dari dapur ke meja makan untuk menghidangkan juadah sarapan pagi, telinga Fazila sedikit pun tidak dibiarkan sepi dari mendengar perbualan abah
dengan Mak Cik Hasmah, mama Fauzi. Kedengaran satu persatu cerita lalu yang mereka bualkan. Seorang demi seorang sahabat yang mereka sebut, bertanyakan perkhabaran lama. Sesekali kedengaran Fauzi dan abangnya Faris menjawab pertanyaan-pertanyaan yang abah tanyakan kepada mereka. Hmmm... abah kalau dah bercakap, memang susah mahu berhenti, rungut Fazila dalam hati.

Akhirnya setelah semuanya siap, emak menjemput semua untuk sama-sama menghadap meja menjamu selera dengan juadah pagi itu. Nasi dagang berlaukkan gulai ikan aya serta sambal ikan, juga sedikit kuih-muih yang abah belikan awal pagi tadi di warung berhampiran. Kelihatan laju sekali semuanya makan, terutamanya Fauzi. Sememangnya tadi emak telah berpesan kepada Fazila supaya memberitahu Fauzi dan keluarganya supaya tidak bersarapan di tempat lain kerana juadah istimewa telah disediakan untuk mereka.

“Sedap nasi dagang ni... mana nak jumpa yang rasa macam ni kat KL tu...” Puji Fauzi apabila dia dihulurkan dengan mangkuk nasi tambah. Tersenyum emak bila dipuji begitu.

"Ala... tu nak cover malu sebab makan banyaklah tu...’
 
“Ini biasa je Fauzi, banyak lagi kedai-kedai yang jual nasi dagang sedap kat sini,” kata emak merendah diri.

“Tapi mak cik... masakan kat rumah macam ni lagi sedap... homemade orang putih kata... mana boleh tanding...” Jawab Fauzi lagi yang kelihatan sudah hilang malunya dengan emak dan abah.

“Eh.. nanti akak nak la resepinya Yati... dulu ada cuba buat, belajar dengan jiran... orang Kelantan jugak... tapi tak jadi macam ni...” Kata Mak Cik Hasmah.

“Ala.. Senang aje mama... ambil aje Ila ni jadi menantu... boleh suruh dia yang masakkan. Kan Faris?” Kata Fauzi sambil mengangkat keningnya kepada Faris, tanpa segan mengusik Fazila di hadapan semua orang. Kata-katanya itu mengundang tawa semua yang ada.

Saat itu Fazila merasa sungguh malu. Tidak tahu di mana mahu dia letakkan mukanya. Sungguh Fauzi nak kena agaknya, detik hatinya. Matanya turut mengerling selintas untuk melihat reaksi Faris. Pertama kali bertentang mata, terasa bertambah panas wajah Fazila apabila dia mendapati lelaki itu turut merenungnya dengan senyum terukir di bibir. Ah, sungguh dia merasa tidak selesa berada di dalam situasi sebegini.

“Alah... nak suruh Ila masak? Alamatnya makan nasi mentahlah jawabnya. Bukannya pandai pun dia tu. Masa mak cik engkau masak ni pagi tadi, dia tengah tidur lagi. Kalau nak tau Ila ni, kalau tak dipaksa datang ke dapur menolong, alamatnya berpeluh sorang-soranglah mak cik kamu kat dapur tu,” usik abahnya pula.

Kata-kata abah yang mulanya disangkanya akan menjadi penyelamat dirinya, rupa-rupanya turut sama menjadikan dia bahan lawak untuk mereka. Sungguh dia tidak menyangka yang abah juga akan turut mengusiknya di hadapan mereka. Ah, malu... malu...

“Abah ni,” katanya separuh merajuk sambil bangun untuk ke dapur. Menyibukkan diri untuk mengambil air minuman yang telah luak di dalam teko. Rasanya bagaikan tidak mahu dia keluar semula ke ruang makan bila mendengarkan gelak tawa mereka yang menghantar dia ke dapur sebentar tadi. 

Sesungguhnya ahli keluarga Fauzi memang mesra orangnya. Sekian lama tidak berjumpa tidak membataskan kemesraan antara mereka dengan emak dan abah yang sememangnya peramah. Tambahan lagi mereka sebenarnya sudah kenal lama, cuma terpisah oleh waktu. Cuma Fazila melihat Faris agak pendiam orangnya, tidak seperti Fauzi, mamanya dan Farisya.

Sejak mereka tiba tadi, baru beberapa kali lelaki itu bersuara. Itu pun hanyalah untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang ditujukan kepadanya. Selain daripada itu, dia lebih banyak tersenyum sahaja. Agak jauh berbeza perwatakannya daripada Fauzi dan Farisya yang asyik riuh berkata-kata, mengusik dan bergurau dalam berbicara.

“NASIB BAIK Kak Rini sanggup temankan Ila. Kalau tak, tak tau rasanya macam mana nak hadap keluarga ni,” bisik Fazila semasa mereka menjemput kakak sepupunya untuk turut bersama menjadi tourist guide keluarga Fauzi. 

“La... kenapa pulak?” Tanya Kak Rini yang usianya hampir tiga tahun lebih tua daripada Fazila. Kak Rini masih belum berkahwin dan bertugas sebagai seorang kerani. Orangnya cepat mesra dan memang sangat suka membeli-belah. Sesuai sekali Fazila memilih kakak sepupunya ini untuk membantunya.

“Manalah Ila tau jalan nak ke Rantau Panjang tu...” Rungut Fazila.

“Dah tu... kenapa terima... kenapa tak tolak aje...” 

“Tak sampai hatilah pulak kak...”

“Tak sampai hati ke... atau...” Meleret suara Kak Rini mengusiknya. Matanya menjeling kepada kedua-dua lelaki yang berada dalam kereta yang sedang menunggunya.

“Hensem tu... dua-dua mamat tu... yang mana satu... yang adik ke... yang abangnya?” Sambung Kak Rini lagi. 

Aduhai... Fazila mencebirkan bibirnya tanda tidak suka diusik. Kenapalah semua orang asyik mengusiknya hari ini? Sungguh tak faham rasanya. Namun begitu dia sungguh-sungguh  rasa bersyukur kerana Kak Rini sanggup menemaninya. Kalau tidak, sudah pasti dia akan menolak pelawaan mereka.

Sikap Kak Rini yang peramah nampaknya mampu memeriahkan suasana yang sudah sememangnya ceria. Sepanjang perjalanan, mereka berbual bagaikan sudah lama kenal. Ada sahaja celoteh yang membuatkan mereka ketawa. Berada di kalangan keluarga itu, bagaikan menonton rancangan Maharaja Lawak. Ada sahaja perkara lucu yang diperkatakan hinggakan tak kering gusi dibuatnya. 

Ternyata Mak Cik Hasmah, mama Fauzi memang suka membeli-belah. Tiba sahaja di Rantau Panjang, dia kelihatan bagaikan tidak sabar-sabar untuk memulakan aktiviti membelibelah. Satu persatu kedai ingin dia jelajahi sehinggakan hampir semua deretan kedai yang ada di situ dikunjunginya. Gerai-gerai di dalam pasar juga dijelajahi satu persatu. Tangannya sarat membawa beg plastik berisi pelbagai barangan yang dibeli. Dan semua yang ada turut menjadi mangsanya, terpaksa menjadi kuli tukang angkut barangnya. Adoiii...

Setelah hampir dua jam berjalan Mak Cik Hasmah kelihatan sudah mula keletihan. Lalu Kak Rini mengajak mereka berehat seketika dan menjamu selera di sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis kuih-muih dan makanan ringan. Masing-masing memilih juadah yang mereka gemari.

Fauzi, Farisya dan Kak Rini memilih pulut durian manakala Fazila, Mak Cik Hasmah dan Faris pula memilih pulut pauh. Kemanisan pulut yang dimakan bersama buah mangga dan santan itu kelihatan amat digemari oleh Mak Cik Hasmah. Habis sepiring pulut yang dihidangkan. Faris pula kelihatan seperti tidak begitu menggemari rasa hidangan tersebut.
Mungkin kerana lemak santan yang digunakan membuatkan dia merasa muak untuk menghabiskannya. 

“Kenapa tak habiskan ni Faris?” Kata Mak Cik Hasmah menegur anaknya.

“Manis la mama... buah mangga ni dah habis. Kalau ada lagi, taklah manis sangat sebab buah tu masam-masam sikit...”

“La... kan dah memang makanan orang Kelantan ni manis-manis semuanya... macam orang-orangnya la...” Kata Fauzi menyampuk.

Mulutnya laju sekali mengunyah pulut durian yang terhidang di hadapannya. Pulut durian kurang manis rasanya kerana pelanggan sendiri yang menambah gula di dalam hidangan itu. Jadi bagi mereka yang suka manis, boleh menambah gula dengan kadar yang banyak, tetapi kalau yang tidak suka manis, bolehlah kurangkan gulanya. Tetapi untuk pulut pauh, pulutnya itu sendiri telah digaul dengan santan dan gula. Dan dihidangkan dengan santan pekat yang telah dimasak dan dicampur dengan sedikit garam untuk menaikkan rasa lemak santan tersebut.

“Kalau nak kurangkan manis, tambahlah buah pauhnya...” Perlahan Fazila memberikan cadangan. 

“Ha’ah... tambahlah... nanti kuranglah sikit rasa manisnya...” Kata Mak Cik Hasmah sambil senyum. 

Faris terus memberikan senyuman kepada Fazila sehinggakan terkedu seketika Fazila melihatkan senyuman itu. Cepat-cepat dia melarikan pandangannya kepada Mak Cik Hasmah untuk menutup debaran di hatinya. Perilakunya itu dipandang dengan penuh minat oleh Fauzi. 

Hati anak muda itu sedikit terguris, tetapi cuba untuk tidak diendahkannya. Dia meyakinkan dirinya bahawa semua ini adalah takdir. Dia tidak boleh memaksa Fazila untuk menyukainya. Dan jika Fazila sukakan Faris, seperti apa yang dia lihat sekarang, dia harus menerima semua itu dengan tangan terbuka. Dia tidak pernah melihat gadis ini tergamam dan malu-malu sebegitu di hadapan mana-mana lelaki sebelum ini. Mungkinkah Faris orangnya? 

Semua perkara yang diinginkan Fazila kelihatan begitu berpihak pada Faris. Faris memenuhi semua kriteria yang pernah Fazila sebut kepadanya dahulu tentang calon suami yang dia mahu. Lebih berusia, lebih matang, lebih baik, dan... lebih hensem... aduhai... terjerut perasaannya mengingatkan kata-kata Fazila itu. Namun dia menghormati kehendak gadis itu meskipun dia tahu syarat yang terakhir itu cuma satu gurauan yang keluar dari bibir munggil Fazila. 

Fazila bukanlah seorang yang terlalu memilih untuk berkawan. Dia mesra orangnya dan tidak pernah membuatkan orang marah padanya. Selalu dia mengambil berat tentang kesusahan teman-temannya. Meskipun begitu, ada juga keadaan di mana gadis ini melakukan saja apa yang dia mahu sesuka hatinya.

Walaupun tidak sempurna, Fazila masih lagi antara calon yang memenuhi kehendaknya dalam senarai calon gadis-gadis yang dia minati. Adakalanya mulutnya telus dalam berkata, namun sifat itulah yang membuatkan Fauzi menyukainya. Fazila bukan seorang yang suka berpura-pura hanya untuk memuaskan hati orang lain. Dia bukan seorang yang hipokrit. Dan Fauzi tahu, Faris juga sukakan gadis yang sebegitu. Selera mereka biasanya sama.

No comments:

Post a Comment