DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 February 2015

Oops! Suami Aku Bukan Duda - Bab 4

AKU menggeliat kemalasan. Seronoknya hari minggu boleh bangun lewat. Mentang-mentanglah tak perlu ke taska, aku qada tidur sampai jam sebelas pagi. Selepas solat subuh pagi tadi, aku terus buat qada tidur. Sekarang aku dah puas tidur. Masa sekarang adalah untuk mengisi perut aku yang sudah berbunyi.

Aku mencapai tuala di penyidai lalu melangkah masuk ke bilik air untuk membersihkan diri. Usai menyarungkan baju T-shirt dan seluar trek, aku keluar dari bilik.

“Azfan main apa ni?” Aku menegur anak saudara aku yang leka melekatkan cantuman pada permainan puzzle.

“Main puzzle, mak su. Mehlah tolong Azfan buat.”

“Kejap lagi mak su tolong. Sekarang mak su nak makan. Mak su laparlah,” balas aku sambil memegang perut. Aku memang lapar pun. Niat tadi memang hendak terus terjah ke dapur tetapi apabila nampak Azfan, aku tegurlah dia dulu.

“Mak su makan cepat sikit tau,” pesan anak saudara aku itu.

“Okey,” kata aku sambil mengangkat tangan tanda berjanji.

Aku menapak ke ruang dapur. Aku tengok Kak Ina berada di singki. Mencuci pinggan barangkali. 

“Morning, Kak Ina,” bisik aku di telinga Kak Ina. Kak Ina berpaling dengan terkejut. “Hesy! Budak ni apa pasal main bisik-bisik ni?!” marah Kak Ina.

“Alah, nak usik sikit pun tak boleh.” 

“Meremang bulu roma akak, tau tak!”

“Hek eleh, itu pun nak meremang bulu roma. Ni bukan detik dua belas malam tapi detik dua belas tengah hari. Mana ada hantu tersesat punya,” tempelak aku. Tudung saji aku buka. Ada bihun goreng. Aku menelan liur.

“Oh! Tahu dah dua belas tengah hari. Sedap kamu membuta. Nanti kalau dah berlaki, kebulur laki kamu tu nanti.” Kak Ina membebel. Aduh! Kakak aku ni mengalahkan mak nenek.

Aku yang baru hendak menyenduk bihun ke atas pinggan sedikit tersentak. “Apa Kak Ina ni cakap pasal laki bagai? Aduh! Qis tak sukalah bab tu.”

“Suka tak suka pun, sampai masa kena berlaki juga.” Sinis saja bunyinya.

“Dahlah, kak. Terbantut selera orang ni karang.” Kak Ina mencekak pinggang. Nak bersilat ke apa Kak Ina ni? Setakat silat gayung tu aku boleh lawan punya. 

“Ada akak kesah? Kalau selera kamu terbantut pun, bukan akak yang lapar tapi perut kamu.” Aku dah tak peduli lagi apa yang dibebelkan oleh Kak Ina. Perut berbunyi minta diisi tapi telinga pula yang mendapat habuan. Bihun goreng terus aku suapkan ke mulut. Laju aku mengunyah bihun tu bagai seminggu tak jumpa makanan.

“Argh! Kak Ina, air! Terlekat ni!” Tekakku tidak sempat bekerja dengan cepat, menghantar bihun ke perut. Apa lagi? Tersekat di kerongkonglah. Gelojohnya adik Norina ni.

“Ya Allah budak ni. Makan pakai sumbat!” marah Kak Ina. Pantas dia menuangkan air Milo untuk aku. 

“Aaah… Lega,” kata aku selepas meneguk air Milo yang sudah sejuk itu. 

Kak Ina menggosok belakang tengkuk aku. “Makan tu  baca bismillah ke tak?”

Aku tersengih. “Baca dalam hati.”

Kak Ina mencebik. Aku terus menyambung makan. Kemudian dia menyambung bicara.  “Lepas zohor nanti Qis tukar baju, kita keluar.”

Kakak aku ni mesti hendak pergi merendek. “Nak pergi mana, kak?”

“Kita pergi Masjid India. Kat sana banyak kain murah-murah,” balas Kak Ina dengan rasa teruja. Hah sudah! 

“Habislah duit Qis…” Aku mengeluh. Aku bukan kedekut sangat untuk beli tapi duit gaji aku nak simpan. Yalah, perjalanan hidup aku lepas ni kan nak sambung studi. Tentu banyak aku nak pakai duit untuk tujuan itu. 

“Kalau tak nak habis duit, tak payahlah beli. Teman akak saja.”

“Kalau setakat teman, baik orang duk kat rumah. Macam nilah... Kak Ina belanja Qis, ya?”

“Huh! Tengok bajetlah macam mana.” Aku memuncungkan bibir. 

“Kedekut tahi hidung masin.”

Kak Ina yang baru hendak keluar dari ruang dapur kembali menoleh. “Hah! Apa dia?”

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Kening aku angkat setingginya.

Melihatkan tindakan refleks aku itu, Kak Ina mendekatiku lalu berbisik. “Dik, cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar. Mengata akaklah tadi tu.”

“Eh, tak. Mana ada. Qis cakap bihun ni terlebih masin.”

“Banyaklah kau terlebih masin. Dah licin satu pinggan baru kau tahu masin,” tempelak Kak Ina. Aku jongketkan bahu. Hakikatnya, bihun tu memang tak masin. Alasan refleks daripada aku. Alasan yang datang tanpa diundang.

Huh! Telinga lintah apa kakak aku tu? Sebenarnya kakak aku nan seorang tu bukanlah dalam kategori tangkai jering merangkap kedekut. Aku saja aje cakap macam tu. Mulut Qistina Airisa ni kan main lepas saja. Maaf ya, kak. Nasiblah akak dapat adik perempuan macam Qis ni. Ermmm... Rehat sekejap tentang kisah aku. Sekarang ini kita rentas kehidupan umi di kampung menguruskan warungnya. Alahai, rindunya kat umi.

Dulu, masa arwah abah ada, umi tak buka warung lagi. Umi cuma buat kuih dan nasi lemak untuk dihantar ke kedai-kedai kopi sahaja. Setiap pagi umi akan bangun awal untuk memasak nasi lemak dan membuat kuih karipap, donat dan  kuih ketayap. Kalau arwah abah tak sempat hendak pergi hantar kuih dan nasi lemak, Kak Ina yang akan pergi hantar. Kadang-kadang umi menjaja kuih dan nasi lemaknya itu. Aku kagum dengan ketabahan umi. Selepas abah meninggal kerana diserang angin ahmar, umi memberanikan diri untuk membuka gerai. Asalnya gerai tu kecil saja tapi lama-kelamaan menjadi warung. Alah, macam kedai-kedai kopi kat kampung lainlah. Menjual air dan nasi. Sekarang ni umi ada seorang pekerja yang membantunya membuat air di warung. 

Dengan duit hasil warung itulah Kak Ina menyambung pelajaran. Kak Ina berjaya mendapat ijazah perguruan di institut perguruan. Alhamdulillah, Kak Ina aku tu sudah berjaya sebagai
guru. Sekarang ini dia jadi guru penolong kanan di sekolahnya. Namun ada sesuatu yang aku sedih dengan Kak Ina. Sehingga kini aku masih tidak faham kenapa dia masih bertahan dengan perkahwinannya. Memang dia berkahwin suka sama suka dengan Abang Zaman, tetapi masalahnya sekarang dia sudah diduakan.

Kalau akulah dengan kerjaya yang profesional macam tu, tak hairanlah setakat Abang Zaman tu. Betul ke tak hairan? Yalah, Abang Zaman tu bukannya hartawan pun setakat jadi
jurutera saja. Bagi aku, kakak kesayangan aku tu boleh dapat suami yang jauh lebih baik daripada Abang Zaman. Abang Zaman pun dah ada isteri kedua. Kalau aku, simpang malaikat 44 untuk bermadu. Hesy! Kalau aku lagi. Itu kan Kak Ina bukan aku.

Walaupun di dalam tubuh kami mengalir darah yang sama, mana mungkin hati dan pemikiran sama. Yang aku tahu, Kak Ina itu mempunyai tahap kecekalan dan kesabaran yang tinggi berbanding aku. Padan dengan jawatan guru penolong kanan sekolah yang disandangnya. Kalau kurang kesabaran, tidak terdidik anak-anak muridnya. Aku tabik spring dengan insan bernama Norina. Norina a.k.a. Kak Ina. 

“Qis, buat apa lagi kat dapur tu?” Terdengar suara Kak Ina melaung dari ruang tamu. Hah buat apa? Aku kan berkhayal tadi. Menerobos masa silam. “Kejap, Qis nak basuh pinggan.” Cepat-cepat aku bangun dari kerusi bersama pinggan dan gelas yang telah kosong. 

Pinggan dan gelas itu aku basuh di singki. Selepas itu  aku terus menapak ke ruang tamu.



LUQMAN HAKIMI melayan Danish bermain di halaman rumah. Mereka berdua bermain bola bersama-sama. 

“Papa… Danish dah penat,” rengek Danish. Luqman Hakimi menghampiri anaknya. 

“Kesiannya anak papa. Dah penat rupa-rupanya. Jom kita minum dulu.”

“Jom,” balas Danish.

Mereka berdua duduk di atas kerusi.

“Papa, Danish sukalah dengan Cikgu Qistina tu,” kata Danish yang terkenangkan pengasuhnya di taska. 

“Kenapa Danish suka dia?” tanya Luqman Hakimi.

“Dia baik. Dia sayang kat Danish,” jawab Danish dengan muka yang comel.

“Bukan ke semua cikgu baik kat Danish?”

“Ya. Tapi tak sama macam Cikgu Qistina. Dia tak pernah marah Danish. Hari-hari dia layan Danish main.” Luqman Hakimi tersenyum mendengar kata-kata Danish. Sebelum ni Danish tak pernah puji pekerja di taska. 

Dia gembira kerana anaknya telah mendapat pengasuh yang serasi dengan jiwanya. Sebelum kedatangan Qistina, banyak kali juga Danish merengek tidak mahu pergi ke taska. Pernah dia terdetik untuk menukarkan Danish ke taska lain pada masa itu. Namun sekarang dia sudah mampu menarik nafas lega. 

“Papa... Boleh tak Danish nak... Cikgu Qistina jadi mama Danish?” Si kecil mula membuat permintaan. Luqman Hakimi terperanjat. Dia bagai tidak percaya dengan kata-kata anaknya. Danish bukannya sudah bersekolah ingin bertutur sebegitu sekali. Danish pun masih pelat selari dengan usianya.

“Boleh tak, papa?” tanya Danish sekali lagi sambil menggoyang-goyangkan tangan papanya.

“Tak boleh, Danish.” Hanya itu yang mampu dijawab oleh Luqman Hakimi. Bagaimana dia ingin mengiakan sedangkan dia dan Qistina belum mempunyai apa-apa hubungan lagi? Sementelah lagi hatinya belum terdetik begitu. Dia sendiri sedang berusaha untuk mengenali gadis itu. Lagipun sikap dingin yang ditunjukkan oleh Qistina menjelaskan yang dirinya tidak disukai gadis itu. Dia sedar dia sudah berumur bahkan telah mempunyai anak. Tidak mungkin gadis muda seperti Qistina akan memandangnya.

“Kenapa tak boleh?!” jerit Danish. Dia mula hendak buat perangai kerana merasakan yang kehendaknya itu tidak akan dipenuhi papanya.

“Danish, sayang. Cikgu Qistina tu cuma mengasuh Danish. Dia bukan nak jadi mama Danish.” Luqman Hakimi memujuk anaknya dengan lembut.

“Danish nak Cikgu Qistina juga!” Danish membentak.

“Haaa... Yalah.” Luqman Hakimi mengalah. 

“Dah, sayang... Minum air ni,” kata Luqman Hakimi seraya mengambil jus oren untuk diberi kepada anaknya. 

Mendengarkan papanya berkata begitu, Danish minum jus oren itu dengan gembira. Bibirnya sudah menguntum senyum.

Luqman Hakimi mengelus-elus rambut hitam berkilat milik anaknya itu. Rambut Danish sahaja yang menyerupai dirinya. Yang selebihnya baik mata, hidung atau pun mulut langsung tidak menyamai wajahnya.

Tiba-tiba dia didera perasaan hiba. Melihat wajah Danish membuatkan dia teringatkan wajah seseorang. Seseorang yang amat dia sayangi. Seseorang yang telah meninggalkan alam fana ini. Seseorang yang telah lama pergi dari hidup Danish. Dari hidup seorang kanak-kanak kecil yang belum mengerti apa-apa. Yang belum tahu tentang kehidupan.

Alhamdulillah, kasihnya tumpah kepada Danish. Dia sama sekali tidak akan membiarkan Danish bersedih. Dia telah berjanji kepada dirinya akan sentiasa membahagiakan Danish. Dia rela melupakan kebahagiaan sendiri daripada membiarkan darah dagingnya itu menangis. Dia sama sekali tidak akan membuat Danish sengsara.

Lantaran itulah dia masih belum beristeri. Siang dan malamnya dia hanya memikirkan Danish. Setiap hari dalam hidupnya adalah untuk Danish. Dia tidak mahu Danish merasa hidupnya tidak lengkap tanpa kasih sayang seorang ibu. Biarlah dia seorang sahaja yang menjadi ibu dan bapa Danish. Dia tidak mudah untuk membawa orang luar menjadi pengganti ibu Danish. Hatinya amat takut mengenangkan kes penderaan yang kerap berlaku dewasa ini.

Sekarang ini Danish sudah pandai meminta seorang ibu walhal Luqman Hakimi sendiri belum berfikir ke arah itu. Dia mengerti perasaan budak kecil. Apabila sudah bersama dengan orang yang mengasihi dirinya, sudah tentu naluri ingin memiliki itu wujud.

Bagi pihak dirinya, dia akan berusaha untuk mengenali orang yang telah membawa perasaan itu kepada anaknya. Apabila telah kenal mana tahu hati akan terusik. Apabila hati sudah terusik, tidak mustahil naluri ingin memiliki akan terbit. Pada saat sudah terbit naluri itu, maka akan tercapailah impian Danish untuk memiliki mama idamannya itu. 

Insya-Allah, Danish... Papa akan buat apa sahaja untuk Danish, desis hati kecilnya.

No comments:

Post a Comment