DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 9 February 2015

Kurelakan Kasihmu - Bab 5

NAJWA melihat di sekeliling tempat yang terasa asing baginya itu. Inilah kali pertama kakinya menjejaki negeri Perlis ini setelah 8 tahun. Dulu, di negeri inilah dia bersekolah bersama-sama Arissa. Najwa mengusung beg pakaiannya, satu digalas di bahunya manakala satu lagi dipegangnya erat-erat. Kereta sewa yang dinaikinya tadi diparkir berhampiran kawasan perumahan itu. Rumah teres dua tingkat menjadi rumah sewa sementaranya kini.
 

Tanpa melengahkan masa lagi, Najwa melangkah ke arah pintu pagar rumah bernombor 33 itu. Dia diberitahu, dia bakal menyewa bersama seorang lagi penyewa lain yang sudah lama menyewa di situ. Najwa menelan air liur, dia agak gemuruh mahu berjumpa dengan bakal teman serumahnya itu. Entah bagaimanalah orangnya.

Berkali-kali juga Najwa memberikan salam, barulah salamnya dijawab dari dalam rumah. Kuat juga suara gadis itu. Rasanya suara gadis itu memang mampu membuatkan seluruh perumahan ini bergegar. Rasa lucu pula, lalu Najwa tersenyum sendiri. Najwa memandang wajah seorang gadis comel yang berjalan menghampirinya beserta sebuah senyuman manis.
 
“Saya Najwa, penyewa baru kat rumah ni. Awak ni mesti Tinie kan? Mak cik Eton ada beritahu pasal awak kat saya...” suara serak-serak basah Najwa itu membuatkan gadis comel
tadi tersenyum lebih lebar. Mungkin gembira menyambut kedatangan Najwa sebagai teman serumahnya. 

“Ya, saya... Nice to meet you... Jomlah masuk rumah dulu. Kita kena berkenalan lebih rapat ni... Hee... Bestnya dapat teman serumah. Dah lama dah saya dok tunggu-tunggu nak ada teman serumah... Biasalah bila duduk rumah sorang-sorang ni, bosan. Macam nak gila pun ada kadang-kadang tu...” seloroh Tinie di dalam loghat utara sambil tertawa kecil. Najwa juga tertawa. Sporting jugak rupanya housemate aku ni. Rasanya okey kut dia ni...

“Okey, jomlah...” balas Najwa perlahan, masih dalam saki-baki ketawanya tadi. Mereka berjalan beriringan menuju ke dalam rumah selepas berjabat salam sesama mereka.



HAMPIR SEPETANG dia dan Tinie berborak, Najwa meminta diri untuk naik ke bilik. Kebanyakannya, mereka bersembang tentang perihal diri Tinie. Ternyata kehidupan Tinie jauh lebih bahagia daripadanya. Ada ahli keluarga yang ramai, seorang tunang yang menyayanginya sepenuh hati dan juga kerjaya Tinie yang agak bagus iaitu ketua kerani.

Manakala Najwa pula hanya menyebut tentang ahli keluarganya yang sudah tiada sahaja, tidak lebih daripada itu.Dia tidak mahu kisah silamnya dan juga kisah mengenai Irfan diketahui oleh sesiapa. Kisah hatinya yang masih luka berdarah, dipendamkan begitu sahaja demi meneruskan sisa-sisa hidup yang ada. Dia perlu cekal dan tabah menghadapi dugaan yang Allah SWT berikan buatnya. 

Najwa melabuhkan punggungnya ke atas katil empuk di dalam bilik yang sederhana besar itu. Badannya dibaringkan dan pandangannya dihalakan ke siling bilik tersebut yang kosong. Angin daripada kipas dinding yang tergantung di sebelah kirinya dibiarkan membelai-belai kulit pipinya yang halus.

Tanpa dipinta, air matanya bergenang lalu jatuh berderai ke pipi. Dia terlalu menderita. Dia tidak boleh duduk berseorangan begini, tentu kisah silamnya akan kembali berputar-putar di dalam benaknya. Beban deritanya, hanya dia dan Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Beban yang selama ini ditanggungnya seorang diri. 

Sudah dua minggu haidnya lewat. Najwa bimbang jika dia hamil akibat daripada perbuatan lelaki durjana itu. Irfan. Nama yang tidak akan sesekali dia lupakan. Lelaki itulah yang telah memusnahkan segala sisa-sisa impiannya untuk hidup tanpa gangguan sesiapa selepas dia kehilangan ahli keluarganya.

Ya Allah, kuatkanlah hati aku untuk menempuh dugaan yang Engkau berikan ini... Hanya satu yang aku pinta, lindungilah aku daripada mengandungkan benih lelaki dayus itu... Lindungilah aku... Aminn... Dan air mata Najwa terus mengalir deras meratapi nasibnya dalam perasaan yang penuh kehibaan... 




Hampir dua bulan berlalu...

BUTIK BARU Najwa yang baru beroperasi sebulan yang lepas kelihatan penuh dengan pelanggan-pelanggan muda dan juga pertengahan umur. Kebanyakan mereka adalah perempuan. Alhamdulillah... Di mana sahaja dia membuka butik, perniagaan Najwa sentiasa memberangsangkan. Rekaannya memang selalu menjadi kegemaran penggemar-penggemar fesyen feminin dan juga muslimah. 

“Syiha, boleh tak tunjukkan rekaan terbaru saya dekat cik ni?” laung Najwa kepada salah seorang pekerjanya yang baru sahaja diambil bekerja seminggu yang lepas. Termasuk Najwa sendiri dan juga Syiha, terdapat 4 orang yang bekerja di butik itu. Saleha dan Taharah kelihatan tersenyum ke arah Najwa yang sedang memerhatikan mereka bekerja. Biasalah mata majikan ni memang tajam sikit. Tetapi tidak dinafikan, Najwa adalah seorang majikan yang baik. Mereka bertiga memang selesa bekerja di butik tersebut. 

“Assalamualaikum!” tegur seseorang daripada arah belakang Najwa. 

Hampir tercabut nyawanya kerana terlalu terkejut. Mana tidaknya, kan dia sedang khusyuk memerhatikan pekerja-pekerjanya melayani para pelanggan. Tiba-tiba pula ada orang yang menyergah dari belakang, mestilah terkejut beruk! 

“Waalaikumussalam, Tie! Kenapa suka sangat buat aku terkejut ni, hah? Nak kenalah kau ni!” rungut Najwa apabila ternampak sengihan Tinie yang agaknya sudah sampai ke telinga itu. 

“Eh, sorrylah. Aku bukan berniat pun nak terkejutkan hang!” balas Tinie dengan wajah bersalah. Loghat utaranya kedengaran lagi. Dia duduk di sebelah Najwa yang sedang memegang sehelai baju kebaya labuh berwarna merah hati. 

“Yelah, aku maafkan. Lain kali, kalau kau buat aku terkejut lagi, siaplah kau aku kerjakan!” ugut Najwa separuh bergurau. Dia tertawa kecil melihat wajah Tinie yang berpura-pura cuak. Gadis itu juga tertawa kecil kemudiannya. 

“Eh, lawalah baju kebaya yang hang pegang tu. Rekaan baru hang, eh? Serius memang cantiklah! Tapi, aku macam pernah nampak...” puji Tinie lalu segera mencapai baju kebaya
yang dipegang Najwa.  Najwa tersenyum kecil. Dia mengangguk-angguk.

“A’ah... Rekaan baru aku. Kan aku ada tunjukkan kat kau masa aku lukis rekaan baju ni kat atas kertas hari tu!”

“Oh, betullah! Patutlah macam pernah nampak...” kata Tinie sambil menepuk dahi. Dia tersengih-sengih, malu sendiri. Najwa hanya menggeleng-geleng.

“Cik, dekat butik ni ada tak rekaan untuk ibu mengandung? Saya nak belikan baju untuk isteri saya...” tanya seorang pelanggan lelaki yang baru sahaja memasuki butik Najwa.

Terus hati dan fikiran Najwa menjadi berkecamuk selepas mendengar perkataan ‘ibu mengandung’. Mana tidaknya, sudah hampir dua bulan haidnya tidak datang. Bagaimana jika dia mengandungkan benih daripada lelaki yang telah merosakkannya kira-kira dua bulan yang lalu? Kening Najwa berkerut-kerut, dahinya sudah dibasahi peluh dingin.

“Wawa, orang tu tanya tu. Jawablah!” panggil Tinie yang agak pelik melihat wajah Najwa yang tiba-tiba berubah. Najwa tersentak daripada lamunannya. Dia tersenyum pahit membalas senyuman lelaki tadi. 

“Maaf, encik. Kami tak jual pakaian... Emm... Pakaian... Pakaian perempuan hamil...” balas Najwa lambat-lambat. Wajahnya terus dibasahi peluh dingin.

“Oh, kalau macam tu, tak apalah. Saya cari kat butik lain. Terima kasih, eh...” sahut lelaki itu sambil berlalu. Tinie memandang pelik ke wajah Najwa yang sudah berpeluh agak banyak padahal penghawa dingin di dalam kedai itu begitu kuat. Cukup untuk membuatkan tubuh Tinie terketar-ketar kesejukan. Tinie menggerakkan bahu Najwa yang sedang mengelamun lagi. 

“Hang okey ke tak? Awat ni, Wawa oi?”

“A... Aa... Aku okey...” getus Najwa perlahan. Matanya dilarikan daripada bertentangan dengan mata Tinie yang sedikit membesar itu. Bimbang gadis itu tahu bahawa dia berbohong. 

“Kalau okey, tak apalah. Haa, sebenarnya aku datang sini nak bawakan makanan kegemaran hang. Aku masak lebih sikit tadi, teringat kat hang bila tengok gulai ikan yu ni... Lagipun, aku cuti hari ni. Tu yang ada masa datang jenguk hang ni!” kata Tinie sambil mengeluarkan satu bekas makanan dari dalam beg kertas yang berada di atas ribaannya.

“Ye ke? Baiknya housemate aku ni! Bertuah aku dapat housemate macam kau. Baik hatilah kau ni!” tersenyum lebar Najwa, terkelip-kelip matanya memandang Tinie.

“Biasalah! Tengoklah siapa housemate hang! Aku memang pun baik!” puji Tinie pada dirinya sendiri. 

“Aisehh, perasan pulak dia!” Najwa tertawa sambil memerhatikan tingkah laku Tinie yang sedang membuka tudung bekas makanan tersebut. Gadis itu mengajukan bekas makanan itu ke arah Najwa. Bau aroma gulai ikan yu itu begitu kuat menyucuk hidung Najwa. Dengan tidak semena-mena, Najwa terus memicit hidungnya dengan kuat. Entah mengapa gulai kegemarannya itu membuatkan tekaknya terasa meloya pula pada hari ini. Hilang seleranya terhadap gulai tersebut.

“Err... Kau letak je kat sana... Sana...” 

“Eh, awat pulak ni? Bukan ke hang suka gulai ikan yu ni? Hari ni macam tak suka pulak!” balas Tinie, sedikit berjauh hati. Yalah, penat-penat dia masakkan untuk Najwa. Tengok-tengok pula, gadis itu seperti tidak mahu memakan gulai masakannya tersebut.

“Bukan! Bukan macam tu, Tie... Aku macam tak ada selera sikit nak makan hari ni. Tekak aku ni macam meloya semacam aje, Tie...” ujar Najwa dengan jujur.

“Eh, sebelum ni hang suka sangat dengan gulai ni. Pantang nampak atau bau, mesti hang serbu! Hari ni hang boleh meloya pulak bila bau gulai ni sampai kat hidung hang? Biaq betui? Hang mengandung ke apa ni, Wawa! Selalunya perempuan mengandung saja yang suka loya tak tentu pasal ni. Tambah-tambah, loya kat makanan favorite sendiri!” kata Tinie
separuh bergurau. Memang niatnya hanya mahu mengusik Najwa. Biasalah usik-mengusik di antara kawan-kawan. 

Berderau darah Najwa selepas mendengar kata-kata usikan Tinie itu. Jantungnya kini sudah berdebar tidak keruan.  Dia takut dan bimbang. Kegelisahan kini terpancar jelas daripada sinar wajahnya yang sedia resah sejak kedatangan lelaki tadi. Bagaimana jika betul telahan Tinie itu? Adakah aku sedang hamil? Ya Allah! Najwa memegang kepalanya sendirian.

“Wawa? Hang okey?” tanya Tinie prihatin. Dia bimbang tersilap cakap atau bergurau yang bukan-bukan dengan Najwa yang menyebabkan gadis itu tiba-tiba hilang mood. Tapi, rasanya aku tak ada pula bergurau yang bukan-bukan. Lagipun, aku bergurau saja... Tinie cuba menyedapkan hatinya sendiri. 

Tiba-tiba sahaja Najwa terbangun daripada duduk. Dia memandang wajah Tinie yang sedang dilanda tanda tanya. Gadis itu kelihatan bingung dengan apa yang sedang difikirkan
oleh Najwa. 

“Aku nak keluar sekejap. Kau tengok-tengokkan butik aku kejap, eh? Kejap aje... Dalam setengah jam macam tu, aku baliklah...” getus Najwa dalam resah yang cuba dikawal.

“Err... Okey. Tapi hang okey atau tak tu? Macam tak okey aja... Aku ada tersalah cakap ka?” soal Tinie dengan kerutan di dahi. Masih ingin memastikan.

“Aku okey, Tie... Aku nak keluar kejap je. Teringat pasal satu hal yang aku belum settlekan... Kau tolong tengoktengokkan budak-budak aku tu bekerja, ya?”

“Okey, okey...” balas Tinie dalam perasaan lega. 

“Okey, aku keluar kejap. Assalamualaikum!” laung

Najwa seraya melangkah keluar dari butik tersebut. 

Tinie hanya memandang langkah Najwa dengan pandangan penuh tanda tanya. Gulai ikan yu yang terbuka, ditudungnya semula dengan penutup bekas makanan. Dia memandang seketika ke arah bekas makanan itu sambil menggaru-garu sedikit kepalanya yang tidak gatal. Dia sungguh bingung kini. Apa agaknya yang berada di hati dan fikiran Najwa? Gadis itu sungguh perahsia dan suka memendam perasaan. Tinie perasan itu.



TAN SRI Haji Zainal menghempaskan beberapa fail tebal di atas meja kerjanya. Dia sungguh tertekan dengan masalah demi masalah yang melanda. Semuanya kerana Irfan tidak boleh menumpukan perhatian di dalam setiap tugasan yang diberikan. Dan semua itu gara-gara kerana dosa anak lelakinya itu yang telah meragut kesucian gadis tidak berdosa. Sudah hampir dua bulan anaknya itu cuba menjejaki gadis itu, namun masih hampa. Hasilnya, segala kerja Irfan banyak yang terbengkalai. 

“Saya rasalah, Tan Sri... Baik Tan Sri gugurkan aje kedudukan Encik Irfan tu buat sementara waktu. Saya tengok dia macam tak dapat nak tumpukan perhatian aje? Saya rasa
dia tu ada masalah peribadi kut? Tapi, mana boleh campurkan masalah peribadi dengan soal kerja, kan? Macam nilah hasilnya, Tan Sri...” Encik Borhan tersenyum sinis memandang wajah Tan Sri Haji Zainal yang sedang tertekan. Inilah peluang untuk dia masuk campur menghasut dan meracuni fikiran Tan Sri Haji Zainal supaya Irfan berjaya disingkirkan dari syarikat itu. 

“Shut up! I know my son well... Kamu tak perlu beri saya nasihat atau apa-apa. Saya panggil kamu ni, nak suruh kamu tolong settlekan perkara-perkara di dalam fail tu! Bukan suruh kamu buruk-burukkan anak saya!” bentak Tan Sri Haji Zainal. Berubah terus air muka Encik Borhan yang tadinya begitu galak tersenyum sinis.

“Tapi, Tan Sri... Cubalah tengok. Ni semua kerja-kerja Encik Irfan... At last, saya jugak yang nak kena settlekan. Kalau terus macam ni, lingkuplah syarikat... Ini nasiblah Tan Sri sanggup check satu persatu. Lepas ni kalau ada yang Tan Sri terlepas pandang, macam mana? Mesti jadi masalah punya! Saya sebagai penolong Encik Irfan memang nampak sangat kelakuan dia yang dah banyak berubah. Dulu dia komited dengan kerja. Tapi sekarang ni...” hasut Encik Borhan lagi dengan perasaan tidak berpuas hati.

“Kamu tak ada hak nak cakap begitu pasal ketua kamu yang juga merupakan anak lelaki saya! Ambil fail-fail itu dan keluar. Siapkan sebelum hujung minggu ini! Pastikan kerja-kerja kamu teliti, faham?!” bertambah berang pula Tan Sri Haji Zainal ketika ini mendengar kata-kata Encik Borhan yang banyak benarnya itu.

“Emm... Maafkan saya, Tan Sri. Saya keluar sekarang juga. Jangan risau, saya akan pastikan kerja-kerja yang Tan Sri bagi ni, saya siapkan sebelum hujung minggu ni dengan seteliti-telitinya... Saya minta diri dulu, ya Tan Sri...” ujar Encik Borhan sebelum berlalu. Dia tertawa di dalam hati melihat wajah Tan Sri Haji Zainal yang tertekan itu.

Dia yakin, tidak lama lagi tentu pangkat Pengarah Urusan akan menjadi miliknya. Inilah peluang dia merebut pangkat tersebut walaupun daripada anak pemilik syarikat ini sendiri. Lagipun, memang dia layak. Irfan itu lama-lama nanti akan jadi pemilik syarikat ini juga. Jadi, buat apa dia hendak tunggu lama-lama untuk pangkat Pengarah Urusan? Ini adalah jalan pintas untuk dia memiliki pangkat tersebut. Kalau tidak, dia terpaksalah menunggu masa Tan Sri Haji Zainal bersara. Dan tentunya lambat lagi masa yang ditunggu-tunggu itu akan tiba.

“Mimi, minta Irfan ke bilik saya sekarang jugak!” suara keras Tan Sri Haji Zainal hampir-hampir membuatkan jantung Mimi luruh.

Apa pula yang dibarankan oleh Tan Sri Haji Zainal agaknya? Sejak dua menjak ini, orang tua itu asyik hendak melenting saja. Dan selalu sangat Irfan dipanggil masuk ke biliknya. Apa agaknya dua beranak itu selalu bicarakan di waktu kerja begini?

Tanpa membuang masa lagi, Mimi bergegas ke bilik Irfan. Selepas memaklumkan ketuanya itu, dia terus duduk menyambung kerjanya yang masih berlambak. Bayangan Irfan yang berjalan di hadapan mejanya hanya dihantar dengan ekor matanya sahaja. Dia malas mahu masuk campur. 

Irfan berhenti di hadapan meja kerja abahnya selepas orang tua itu menyuruhnya masuk. Dia tahu apa yang bakal diperkatakan oleh abahnya itu. Tentu orang tua itu mahu menekannya lagi. Sejak mengetahui mengenai perbuatannya terhadap Najwa, Tan Sri Haji Zainal kerap kali naik baran. Setiap kali Irfan memberitahu bahawa dia gagal menjejaki Najwa, dia akan dimarahi oleh Tan Sri Haji Zainal berkali-kali. 

Irfan menelan air liur melihat wajah baran abahnya. Jantungnya berdebar kencang bagai memberitahu bahawa sesuatu yang tidak dijangkakan akan berlaku. 

“Ya, abah panggil Ir? Kalau pasal Najwa lagi, Ir mintak ampun dan maaf. Ir masih belum dapat jumpa dia...” 

Tan Sri Haji Zainal menarik nafas dalam-dalam lalu dilepaskan sekaligus. Dia cuba bertenang. Ya, kali ini dia mahu bercakap baik-baik dengan Irfan. Tiada gunanya juga dia asyik mahu marah-marah pada anaknya itu. Selepas yakin yang dia sudah bertenang, Tan Sri Haji Zainal berpaling menghadap wajah suram Irfan.

“Ini terakhir abah mintak. Please go on a vacation... Tenangkan fikiran dan fikirkan balik kat mana yang kau belum cari lagi. Ajaklah Fizul, Afiq atau Zakwan atau sesiapa pun kawan kau untuk temankan kau... I think this is the best way for you to figure it out... Abah bagi kau masa selama sebulan untuk cari budak Najwa tu... Kalau tak jumpa jugak, biar abah pulak yang cari guna cara abah sendiri!” ujar Tan Sri Haji Zainal dengan wajah yang agak tenang.

“Tapi, abah? Nanti syarikat ni macam mana pulak? Lama tu kalau Ir cuti sampai sebulan!” Irfan bertanya kerisauan. Takkanlah semudah itu abahnya ingin melepaskan dia daripada
segala tanggungjawab di syarikat itu?

“Kalau kau ada kat sini pun, hati kau tu tak ada bersama, buat apa? Sama aje... Kau bukannya tahu buat kerja dalam keadaan minda kau yang macam tu! Abah dah tengok banyak kerja-kerja kau. Semuanya buat kepala abah ni haru biru! So, abah rasa baik kau ambil cuti. Fikirkan balik segalagalanya... Jangan risau, kerja-kerja kau nanti abah suruh Encik Borhan yang tolong ambil-alih buat sementara waktu ni...” Tan Sri Haji Zainal berkata lembut, masih cuba bertenang.

“Maafkan Ir, abah... Sebab buatkan abah rasa macam ni. Ir tahu, abah malu dengan perbuatan Ir... Ir memang berdosa dengan semua orang. Ir malu dengan abah, dengan Najwa, lebih-lebih lagi Ir malu dengan Allah... Semua ni memang salah Ir sebab terlalu ego dan ikutkan sangat godaan nafsu dan syaitan...” rintih Irfan dalam sebak.

Dia berjalan ke arah abahnya lalu melutut memegang kaki orang tua itu. Kepalanya dilabuhkan ke atas ribaan Tan Sri Haji Zainal. Air matanya mengalir membasahi seluar lelaki tua itu. Tan Sri Haji Zainal yang mendengar, terus melepaskan sebuah keluhan kecil. Hatinya sedikit tersentuh. 

“Sudahlah, Ir. Nasi dah pun jadi bubur... Kau dah tak boleh nak patah balik. Yang kau boleh buat sekarang ni, perbetulkan apa yang patut... Selagi dosa kau terhadap gadis tu belum terampun, selagi itulah hidup kau tak tenang. Abah ni sayangkan kau, sebab tulah abah marah-marah kau suruh kau cari gadis tu sampai dapat. Orang tua-tua ni kalau marah tu, tandanya dia sayangkan orang yang dia marah tu. Abah tak sanggup tengok anak abah hidup dalam keadaan tidak tenang macam ni... Jangan sampai ummi kau dapat tahu, nanti penyakit darah tinggi dia menyerang pulak...” luah Tan Sri Haji Zainal sambil mengurut dahinya.

Perasaan risau dan bimbang masih tidak berkesudahan. Keningnya yang lebat dan agak beruban kini sudah bercantum apabila kerutan di dahinya bertambah. Betapa kasihnya dia terhadap anak-anaknya sehinggakan dia tidak mahu menyaksikan hidup anak-anaknya tidak bahagia...

No comments:

Post a Comment