DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 24 February 2015

Setulus Kasih Indah - Bab 5

Indah hanya mendiamkan diri sahaja. Dia memutarkan pandangannya ke sekeliling taman rekreasi itu. Melihat gelagat orang ramai. Dia berpaling memandang Rykal di sebelahnya apabila lelaki itu asyik mengeluh sahaja.

“Sudahlah, Rykal. Ada betulnya juga cakap mummy awak tu. Memang kita berdua ni terlalu muda untuk berkahwin.” 

Rykal meraup rambutnya ke belakang. “Saya betul-betul kecewa dengan mummy. Dia layan saya macamlah saya ini budak kecil. Dia langsung tak fikir perasaan kita berdua.”

Indah menghela nafas. “Rykal, tak baik cakap mummy awak macam itu. Awak ni pun sabarlah sedikit beberapa tahun lagi. Bukannya saya lari pun.”

Indah memberikan sedikit kata-kata nasihat kepada Rykal. Namun dia tahu kenapa mummy Rykal tak izinkan mereka kahwin. Mummy Rykal benci akan dirinya! 

“Sakinahku, awak tak faham perasaan saya ke? Setiap detik bersama awak merisaukan hati saya kerana saya selalu terfikir berapa lama lagi masa yang saya ada untuk bersama awak. Saya juga sering risau apabila memikirkan yang awak akan dirampas lelaki lain. Saya tidak mahu kehilangan awak. Awak Sakinah saya.”

Indah menelan liur. Bagaimana harus kita bersama jika mummy awak tak restu, Rykal? Saya tidak mahu awak menjadi anak derhaka. Kalaulah awak tahu yang saya juga sangat- sangat cintakan awak! rintih Indah dalam hati. Rykal memandang wajah Indah yang sangat jelita baginya. Gadis pujaannya ini tetap cantik biarpun tanpa sebarang mekap di wajah. “Sakinahku, apa kata kita kahwin lari? Saya ada seorang pak cik yang tinggal di Johor. Kita nikah di sana.”

Indah terus terbangun dari duduknya. “Awak gila ke? Rykal, tolonglah jangan bagi saya sakit jantung sampai kena masuk hospital lagi. Saya baru aje keluar dari hospital ni.”

“Saya gila sebab awak, tahu tak? Saya nak awak jadi yang sah untuk saya. Biar saya senang untuk melindungi awak dari jantan bangsat tu.”

“Sudahlah, Rykal. Tak payahlah kita bercakap pasal hal ini lagi. Jomlah kita balik. Tadi awak cakap nak singgah pejabat sekejap, kan?” soal Indah. Kemudian mereka berdua terus menuju ke pejabat Rykal. 

Puan Sri Maria menghempaskan telefon pintar miliknya ke atas meja. Dia baru sahaja mendapat panggilan daripada salah seorang pekerja anaknya yang memberitahu bahawa Indah datang ke pejabat anaknya itu.

“Tak tahu malu! Belum ada apa-apa sudah berani ikut ke pejabat. Nampak sangat kau nak mengikis harta anak aku, Indah.” Puan Sri Maria membebel sendirian.

“Nampaknya kau cuba nak bermain api dengan aku, Indah. Aku tak akan biarkan kau terus berleluasa. Kau tunggu sajalah.” Puan Sri Maria tersenyum sinis. Di dalam otaknya sudah penuh rancangan untuk memisahkan Indah dan anak lelakinya. Memang Indah tidak pernah buat salah dengannya tetapi dia membenci gadis itu kerana dia bencikan orang miskin. Dia pasti akan malu dengan saudara-maranya jika bermenantukan seorang yang miskin seperti gadis itu. Dia tidak boleh biarkan semua itu berlaku.

Indah yang baru sahaja lepas memberikan neneknya ubat segera membuka pintu apabila mendengar ketukan yang bertalu-talu pada waktu malam. Dia tergamam apabila melihat orang yang sedang berdiri di hadapannya. “Puan Sri…” Puan Sri Maria membetulkan blaus yang dipakai.

“Keluar sekejap. Aku nak cakap dengan kau.” Indah segera menapak keluar dari kabin yang menjadi rumahnya itu. Pintu ditutup perlahan kerana tidak mahu neneknya mendengar perbualan mereka.

Puan Sri Maria menghulurkan sampul surat yang sama seperti pertemuan pertama mereka dahulu. “Aku mahu kau ke Seoul.”

Indah mengerutkan dahi. “Saya sudah cakap dengan Puan Sri yang saya tak mahu. Saya tak ada duit yang banyak untuk ke sana, Puan Sri.”

“Aku akan berikan kau biasiswa di bawah yayasan naungan aku. Kali ini kau tiada pilihan lagi.” 

“Tapi kenapa Puan Sri beria-ia mahu menaja saya pergi ke sana?”

“Aku tidak mahu kau rapat dengan anak aku. Lagipun aku tahu kau memang berbakat dalam bidang ini. Jadi sebagai seorang pencinta fesyen, aku rasa sangat sayang jika biarkan kau begitu sahaja.”

Kini fahamlah Indah akan tujuan utama Puan Sri Maria. “Sebenarnya Puan Sri nak pisahkan saya dengan Rykal, kan?”

“Ya. Kerana aku tak mahu gadis miskin seperti kau menjadi menantu aku.”

“Macam mana pulak kalau saya masih terus berhubung dengan Rykal walaupun saya di Seoul?” 

“Kau jangan cuba nak mainkan aku. Kau tahu tak yang kau dah terhutang budi dekat aku?”
 
Indah mengerutkan dahi. Dia tidak faham dengan apa yang Puan Sri Maria katakan. “Saya terhutang budi dengan Puan Sri?”

“Aku yang selesaikan hutang ayah tiri kau dekat lintah darat itu, tahu? Kalau kau tak nak ikut cakap aku, jadi kau mesti bayar balik RM50 K dekat aku.” Indah menelan liur. “RM50 K?”

“Aku rasa lebih baik kau ikut sahaja arahan aku. Aku tahu kau miskin. Jadi mustahil kau ada wang sebanyak itu.” Indah menggigit bibir. Memang betul dia tiada duit sebanyak itu tetapi duit boleh kumpul. Namun, pasti ia memakan masa yang lama.

“Baiklah, saya akan pergi tapi…”

Puan Sri Maria merengus kasar. “Tapi apa?”

“Macam mana dengan nenek saya? Tak mungkin saya tinggalkan dia seorang diri di sini. Dia sudah tidak ada sesiapa lagi selain saya.” Indah meluahkan kebimbangannya. 

“Itu kau jangan risau. Nenek kau boleh duduk di rumah kebajikan milik keluarga aku. Aku akan jaga dia untuk kau.”

Indah mendiamkan diri seketika. Ikutkan hati, dia mahu membawa nenek sekali tetapi dia bukannya ada duit yang banyak pun. Mungkin lebih baik nenek duduk di rumah kebajikan itu. Nanti selepas tamat pengajian, dia akan ambil neneknya balik.

“Baiklah.”

“Kau isi borang di dalam tu dan siapkan beg kau. Esok orang aku akan hantar tiket kapal terbang untuk kau.”

“Baiklah, Puan Sri.” Indah membalas dengan nada yang perlahan.

“Ingat, kau jangan berani nak beritahu dekat Rykal tentang pemergian kau ini. Aku tak mahu dia tahu kau ke sana. Kau juga mesti ingat yang aku memang tak suka tengok kau dengan Rykal.”

Indah memejamkan matanya sambil menahan sendu. Dia menghantar pemergian wanita itu dengan mata yang sudah berair. Akhirnya, hilang sahaja kelibat Puan Sri Maria, Indah terduduk di atas lantai dengan esakan yang mula kedengaran. Beginikah pengakhiran cintanya? Adakah gadis miskin sepertinya tidak layak untuk mencintai dan dicintai? Rykal mengetuk lagi pintu kabin yang menjadi rumah Indah. Sudah berpuluh-puluh kali dia ketuk tapi tiada seorang pun yang menyahut. Nombor Indah sudah berpuluh-puluh kali didail namun tidak berjawab. Rykal membuat keputusan untuk berlalu pergi.

Ketika itu Indah yang berada di dalam pesawat mula menangis hiba. Dia memegang kad ucapan hari lahir yang Rykal berikan kepadanya tahun lepas. Tandatangan Rykal diusap perlahan bersama air mata yang mencurah turun ke pipi. Maafkan saya, Rykal! Saya terpaksa tinggalkan awak. 

Puan Sri Maria tersenyum puas hati. Dia berjalan masuk ke dalam walk in wardrobe miliknya. Dia berjalan sambil tangannya menyentuh satu per satu pakaian miliknya yang tergantung di almari besar itu. Sampai di satu sudut, dia menolak cermin yang dijadikan dinding dan terbuka satu jalan lalu dia masuk ke dalam. Sebaik sahaja dia memijak lantai itu, semua lampu terbuka. Puan Sri Maria tersenyum melihat koleksi beg tangan miliknya. Beg tangan daripada pelbagai jenama antarabangsa disusun secara teratur di atas rak berwarna putih dan ada sesetengahnya diletakkan di dalam almari kaca buatan Itali. Dia berpusing ke belakang apabila terdengar derap langkah seseorang.

“Puan Sri, pereka fesyen yang Puan Sri panggil itu sudah datang. Dia sedang menunggu Puan Sri di Cahaya.” Pembantu rumahnya yang masih muda itu datang memberitahunya.

Puan Sri Maria mengangguk. “Katakan kepada dia setengah jam lagi saya jumpa. Berikan dia kudapan sementara saya ke sana.” Puan Sri Maria memberi arahan dan dia segera berjalan keluar menuju ke arah walk in wardrobe untuk memilih pakaian yang sesuai. Dia mahu berjumpa dengan pereka fesyen terkenal. Jadi, mestilah dia harus bergaya. 

Puan Sri Maria memilih sehelai mini dress paras lutut berwarna merah cili jenama Vera Wang. Dress pendek yang terdedah di bahagian bahu itu terletak cantik di badannya yang masih seperti anak dara berumur 20 tahun. Maklumlah, dia dahulu bekas model terkenal.

Setelah memastikan penampilannya kemas, dia segera turun ke bawah. Dia tergamam apabila terserempak dengan Rykal di muka pintu. “Hah, kenapa ni?” Rykal hanya meneruskan langkahnya mendaki anak tangga. Soalan mummynya tidak dijawab. Hatinya sedang galau sekarang ini.

Puan Sri Maria hanya tersengih sinis. Dia tahu kenapa anaknya bermuram begitu. Langkahnya diatur kemas menuju ke sebuah kotej comel yang terletak di kawasan belakang vila. Untuk ke sana, dia perlu berjalan melalui satu kawasan padang yang luas. Kawasan vila milik arwah suaminya ini memang besar dan mewah.

Rykal menghempaskan badannya ke atas katil empuk miliknya. Dia mengambil alat kawalan jauh di sebelahnya lalu dia menghidupkan pemain lagu. Dalam beberapa saat, bunyi petikan piano bergema di dalam biliknya yang besar itu. Rykal memejamkan matanya sambil meletakkan lengan di atas dahi. 

Dia sedang risau memikirkan kehilangan Indah. Dia bingung dengan Indah yang tidak mengangkat panggilannya.

“Aku ada buat salah ke?” Dia bertanya sendiri.

“Sakinahku, di mana awak sekarang?” Rykal mengeluh lalu dia bangun dan bersandar di kepala katil. Dia risau jika ada sesuatu yang terjadi kepada Sakinahnya.

Rykal bangun lalu dia keluar dari biliknya. Dia berjalan laju menuju ke sebuah kotej kecil yang terletak selang tiga buah kotej dari tempat mummynya sedang berada. Dia membuka lampu dan kotej itu terus terang-benderang. Dia berjalan bersama senyuman apabila melihat barisan lukisan wajah Indah yang dia lukis sendiri. Sampai di satu sudut, dia melihat ke dinding kotej itu dan tangannya menyentuh gambar-gambar Indah yang memang ditampal di situ. Senyumannya semakin lebar apabila dia memandang sekeping gambar. Di dalam gambar itu mulut Indah sedang melopong. Dia masih ingat lagi bagaimana panjangnya muncung Indah apabila dia mencuri-curi menangkap gambar Indah ketika itu.

“Sakinahku, kenapa dengan awak? Saya risau pasal awak sekarang ini.” Rykal berbisik sendiri. 

Rykal mengeluh untuk ke sekian kalinya. Dia betul-betul risaukan keselamatan Indah sekarang ini. Dia takut jika Indah diapa-apakan oleh Hassan. Lelaki bedebah itu pasti
akan mencari peluang untuk meminta duit daripada Indah.

No comments:

Post a Comment