“LAMA gila awak buat air ni. Berjambang bagai dah saya menunggu.” Amboi kut ya pun nak berangan, janganlah tinggi sangat, bos. Dah memang berjambang dah pun! getus Abby dalam hati.
Jambang apa yang tumbuh dalam masa lima minit? Jambang ke jamban? Hendak sahaja Abby menyumpah seranah bosnya itu. Kerek nak mampus! Harap muka aje kacak, tapi perangai macam tahi! kutuk Abby dalam hati. Geramnya, kalaulah bosnya ini sebesar kutu, sudah lama ditindas sampai lebur! Lagi sedap kalau diketuk lima puluh kali dalam masa sesaat dengan tukul! Biar terbenam kepalanya ke dalam tanah.
Tanpa sedar, Abby tergelak-gelak dengan imaginasinya mengerjakan bosnya yang kerek itu. Alangkah indahnya jika dapat mengenakan orang seperti itu. Tambah-tambah jika orangnya ialah Arrayyan Zainuddin! Melihat muka derita Arrayyan bakal menerbitkan rasa bahagia di
jiwanya.
“Gelak seorang diri. Kenapa dengan awak ni? Saya tak diberitahu oleh Diela pun tentang masalah mental awak.” Selamba sahaja Arrayyan bersuara kerek.
“Bukan bos. Maaf, saya ketawakan ayat bos tu. Boskan memang dah ada jambang, buat apa nak salahkan saya?” Selamba Abby menjawab. Dia tergelak kecil. Mujurlah masih punya alasan untuk dijawab. Kalau tak? Mana nak cekau jawapan kartun? Arrayyan panas hati dengan jawapan yang diterimanya tadi.
“Tak apa. Gelaklah puas-puas. Besok, tahulah awak kena dengan saya macam mana. Jangan tiba-tiba awak nak berhenti kerja sudah. Saya takkan terima alasan bodoh,” ugut Arayyan. Terus Abby menutup mulutnya. Diletakkan muk kopi itu ke atas meja Arrayyan.
“Maaf bos. Ni dia air yang bos minta,” kata Abbysambil tertunduk-tunduk.
“Lambat betul membuat kopi. Diela itu dulu pun tidaklah selambat ini.” Selamba sahaja Arrayyan mengungkit nama Diela. Lagi seronok membandingkan Diela yang bertelinga besar dengan Abby yang bermata besar ini! Nak tengok sikit, apa reaksi Abby bila dibandingkan dengan Diela. Mata dipandang Abby dari atas hingga ke bawah dengan riak megah. Aik! Dia relaks aje? Takkan tak jealous?
“Maafkan saya bos, saya berkenalan dengan pekerja-pekerja kat sini tadi. Itu yang lambat sikit tu.” Abby menjawab perlahan. Dia tertunduk-tunduk. Tidak berani menentang mata Arrayyan yang cantik itu. Boleh terkena sawan dia melihat mata Arrayyan yang galak menatap anak matanya. Tajam menikam sukma tembus kat hati! Eh?
“Awak ni memang ada saja kan alasan?” Arrayyan mengerutkan keningnya. Bengang kerana setiap amarahnya dijawab selamba oleh Abby. Rasa macam nak tikam sahaja gadis bertubuh ala-ala model ini. Daripada tikam baik aku tibai! Esh! Maksiat. Maksiat!! Arrayyan spontan meraup mukanya. Boleh dia fikir tak elok macam tu sekali?
“Bukan bos, saya bercakap benda yang betul.” Abby masih lagi mempunyai jawapan berani mati untuk soalan kerek bosnya itu. Arrayyan mengeluh. Dahi dipicit-picit penuh serabut. Tengok, masih lagi menjawab! Pekerja apalah macam ni. Diela, kau akan aku cari sampai mati. Mana kau kutip pekerja biadab macam ni? Semput jantung aku!
“Apalah malang nasib aku dapat pekerja yang macam ni? Yang telinga capang dah berhenti, dapat yang bermata besar macam koala pula! Alasannya beribu.” Arrayyan mengeluh kuat. Fail-fail ditolak ke tepi dengan kasar. Abby mengetap bibirnya kuat-kuat. Kalau boleh ditumbuk lumat mulut Arrayyan tika ini, sudah pasti dia melakukannya. Mujurlah kau bos aku, getus Abby dalam hati.
“Tercegat apanya lagi? Blahlah!” halau Arrayyan geram. Tidak suka sungguh dia melihat wajah Abby itu. Memanglah comel tetapi mulutnya, eeee! Melawan! Arrayyan paling pantang dengan orang yang tidak tahu menghormatinya. Tangan Arrayyan mengibas-ngibas ke arah pintu.
Abby mencemik geram sebaik sahaja dia memusingkan badannya ke belakang dan dia membuat muka meluat. Ingat aku ni nyamuk ke apa? Harap muka aje handsome tapi perangai kalah hantu. Hati sudah mendecit geram. Dia keluar dengan lenggak-lenggok modelnya ke pejabat kecilnya. Bosan betul!
Sambil-sambil membelek-belek beberapa buah fail, Arrayyan mencuri pandang Abby yang duduk tak diam sekali di dalam pejabat kecilnya. Sekejap Abby dilihat tertunduk ke bawah dan sekejap-sekejap terlenggak-lenggak ke atas. Sekejap dia tergaru-garu kepalanya dan sekejap-sekejap dia tepuk dahi. Seketika kemudian, kelihatan Abby menghantuk-hantukkan
kepalanya ke meja berkali-kali.
kepalanya ke meja berkali-kali.
“Meh sini aku hantukkan kuat-kuat! Menyemakkan biji mata aku aje,” bebel Arrayyan geram. Ada benda yang dicarilah tu. Sakit mata Arrayyan melihatnya. ‘Apa pasal minah ni buat semak mata aku sangat ni? Apa yang sebenarnya dia cari? Aduh. Berterabur bulu mata aku melihatnya. Kelam-kabut dan tersangatlah meloyakan tekak dengan gaya dia yang macam beruk ada kutu tu,’ bebel Arrayyan sendirian dalam hati. Kalau nak diikutkan hatinya, mahu sahaja dia menjerkah Abby. Dia bukannya boleh melihat pekerjanya berkeadaan macam itu. Sebiji macam orang terkena tungau! Arrayyan menekan pembaz.
“Abby, masuk bilik saya sekarang,” arahnya. Dia tidak boleh melihat keadaan Abby yang mengganggu konsentrasinya itu. Hilang fokus dia hendak membuat kerja. Tidak lama kemudian, Abby memasuki bilik pejabat Arrayyan dengan muka berkerut. Tentu dia pelik dipanggil beberapa kali oleh Arrayyan pada hari ini.
“Awak tak reti beri salam ya?” soal Arrayyan bengang. Terkejut dia melihat Abby sudah tercegat di hadapan matanya. Entah bila gadis itu masuk, dia pun tak tahu. Khusyuk sangat membuat kerja sampaikan dia tidak menyedari bahawa Abby telah pun masuk. Nyaris tak terpelanting pen di tangan.
“Maaf bos, tapi waktu bos tekan buzzer tadi, bos tak beri salam pun. Lagi satu, saya dah ketuk pintu bos dan beri salam. Tapi bos buat derk aje. Diela ada cakap, bos dia memang pesen macam ini. Dia cakap kalau kali ketiga pintu diketuk tanpa respons, dia suruh serbu masuk.” Selamba jawapan yang dijawab Abby.
Arrayyan rasa macam tertelan tanah dengan jawapan yang diterimanya. Aduhai Abby! Mulut berpuaka. Dia rasa tergugat bila carta mulut puakanya kini akan dikongsi bersama seorang gadis seperti Abby. Argh! Tak minat berkongsi carta! Rasa tergugat sungguh dia dengan Abby.
Memang Abby itu jenis yang macam inikah? Macam mana Diela boleh berkawan dengan dia? Tapi apa nak hairan? Gajah berkawan dengan koala. Okeylah tu. Akibat rasa geram dengan Abby, tanpa sengaja dia menggenggam jemarinya kuat.
‘Apa ni? Siapa bos sekarang ni? Aku ke dia? Sabar! Ingat janji kau kepada papa, Ayan. Hari pertama aje, bawa bersabar dengan pekerja baru.’ Dia meniup semangat bagi dirinya sendiri. Kalau diikutkan hatinya, pasti sudah lima enam kali Abby dimaki atas sebab mulutnya yang begitu pandai menjawab.
“Kenapa bos panggil saya?” Abby mematikan lamunan Arrayyan. Arrayyan tersentak.
“Kenapa awak menyemakkan pandangan mata saya, Abby? Kenapa awak tak duduk diam dalam bilik awak? Tak cukup selesakah bilik kerja awak tu? Saya tengok awak dah sebiji macam beruk banyak kutu. Tergaru sana sini,” tegur Arrayyan tanpa memandang wajah Abby. Tangannya begitu tekun menulis sesuatu. Menconteng dalam erti kata sebenarnya. Dia bengang dengan Abby tadi. Sebab itulah sampai tangan rasa nak menconteng saja.
Entahlah kenapa, dia begitu suka sekali mencari kesalahan Abby. Mungkin kerana dia tidak dapat melunaskan rasa marah dia lantas dia mencari kesalahan Abby kut? Entahlah. Yang pasti, dia langsung tidak suka kepada kewujudan Abby di pejabatnya! Dia tak suka!!!
Dia merasakan seolah-olah Abby ditakdirkan untuk berada di situ, memanaskan hatinya dan mempersendakan dirinya. Abby begitu pandai menjawab sehingga dia rasa tercabar. Kenapa ada gadis yang bermulut macam aku ni? Eee, tak puas hati betul aku. Sudahlah awal pagi tadi lagi dia buat semua pekerja mentertawakan aku dengan gelaran binti dia tu. Aduhai! Aku benci kau, budak! Arrayyan mengutuk Abby dalam hati.
Abby berkerut. Itu pun salah? Macamlah dia suruh Arrayyan perhatikan dia!
“Saya mencari sesuatu. Buku nota Diela. Dia ada tulis tugasan sebagai PA kepada bos kat dalam tu. Kalau bos rasa, saya ni menyemakkan mata bos, ada baiknya bos tekun bekerja dan jangan pandang ke bilik saya. Nanti saya taruk langsir ya kat dalam bilik tu supaya bos tak rasa serabut dengan saya lagi. Saya memang macam ni. Mudah kalut orangnya.” Abby menjawab dengan lembut dan lurus. Arrayyan menconteng laju kertas tadi lantas mencekupnya dengan geram. Masya-Allah budak inilah! Menjawab lagi. Semakin luntur rasa sabarnya.
Abby terperanjat. Alahai. Apa pasal pula bos ni renyukkan kertas tu? Tadi, bukan main tekun dia membacanya.
“Ini, awak ambil ni, awak taip semula.” Arrayyan menyerahkan kertas yang direnyuknya tadi kepada Abby tanpa memandang wajah gadis itu. Abby tertelan liur. Apa yang Arrayyan nak marah sangat ni? Dia jawab soalan yang perlu.
“Kenapa bos renyukkan? Lepas tu, mulalah mintak saya taip balik! Saya pun ada kerja lain ni, bos...” Abby merungut. Memanglah dia bukan pekerja yang baik. Arrayyan ketap bibir menahan marah. Papa! Kenapa papa setuju nak ambil dia bekerja di sini? Kaki sudah menghentak-hentak lantai dengan kuat manakala tangan pula menepuk meja beberapa kali. Geram. Geram! Abby ketap bibir rapat. Takut dengan keadaan Arrayyan itu.
Memanglah Arrayyan ada meminta kepada Diela untuk Abby menggantikan Diela namun, Abby tetap dinilai oleh Arrayyan dan papanya. Dan papanya bersetuju dengan mudah. Melihat saja senyuman dan jawapan dari mulut Abby, terus papanya setuju. Dato’ Zainuddin kata, Abby sesuai sangat bekerja di situ kerana Abby berfikiran matang dan tetap pendirian. Menyampah! Kalau dulu aku tahu dia jadi PA aku, aku rela tak berPA sampai mati. Matang apa macam ni? dengus Arrayyan.
“Awak ni, tolonglah sekali aje, jangan menjawab apa yang saya arah. Saya suruh taip balik dan awak taip baliklah!” Arrayyan masih mengawal nadanya walaupun sudah tinggi. Terkancing giginya akibat menahan geram yang teramat.
“Baiklah bos, kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu.” Abby meminta diri lantas keluar dari bilik yang panas itu.
Bukannya bilik itu tidak berhawa dingin tetapi perangai bosnya itu telah memanaskan hatinya. Sabar ajelah hati. Dada digosok perlahan dengan mimik muka meluat. Dia membuka kertas yang direnyuk oleh Arrayyan itu. Alahai. Sudah berconteng sakan. Tentu Arrayyan bengang dengan jawapannya lantas diconteng kertas itu semahunya. Habis! Memenatkan aku aje nak kena tulis balik. Menyusahkan betullah Encik Arrayyan Zainuddin ni.
“Hai Abby, awak ada masalah ke dengan bos?” Azham menyoal Abby sebaik sahaja ternampak Abby keluar dari bilik Arrayyan dengan muka mencuka. Abby tersenyum kepada pemuda kacak itu. Azham memang kacak. Tersangatlah kacak. Lebih kacak daripada bosnya. Tetapi, mungkin disebabkan oleh senyuman Azham yang tak pernah lekang dari bibir kut? Kan manis kalau senyum macam ni? Sejuk hati sesiapa yang memandang.
‘Bos tu tak pernah senyum. Mana nak tahu macam mana senyumannya? Mungkin Encik Arrayyan dah diajar sejak kecil supaya jangan senyum. Kalau senyum, berdosa, masuk api neraka!’ Abby membentak dalam hati.
“Saya tak ada masalah dengan dia. Dia yang ada masalah dengan saya. Biasalah. Kalau dapat bos muda memang macam ini, kan? Baran lain macam.” Abby menjawab selamba. Dia mengerling sekilas ke arah Arrayyan yang sedang membelek kertas di dalam pejabatnya. Azham tergelak.
“Awak ambil tugas ini dengan lebih tenang berbanding dengan Diela pada mula dulu.” Azham bersuara. Abby berkerut. Tenang apa? Rasanya dialah yang paling kalut antara dia dengan Diela.
“Saya tak adalah tenang mana. Tapi, kalau saya gelabah, mesti orang ingat saya dah nak terbersalin kat sini. Kalau saya tersasul atau tersalah, saya mula gelabah. Contohnya macam, kalau satu tanggungjawab tu saya terabaikan, saya akan rasa bersalah dan mula menggelabah. Bukan sikit-sikit tapi sangat-sangat gelabah.” Entah kenapa Abby berkata begitu pun dia tak tahu sebenarnya. Riak mukanya bersungguh-sungguh bercerita kepada Azham.
Dia teringat kepada ibunya. Kerana kasih dan cinta kepada ibu dan ayah, dia sanggup berkorban tentang perasaannya. Dia sanggup dimaki oleh Arrayyan jika itulah yang harus dilakukan untuk membalas budi ibu dan ayahnya. Itulah tanggungjawab dia sebagai anak, bukan?
“Yalah. Macam awak tersalah sebut nama bos tadi juga, kelakar betul. Kita orang semua ingatkan awak akan dimaki sebab bos tu pantang kalau pekerjanya melakukan sedikit pun kesalahan. Dia nak semua kerja yang sampai ke tangan dia, perfect!” Azham berkata sambil tergelak kecil. Kelakar bila dia terkenang semula bagaimana Abby menyebut nama Arrayyan pagi tadi. Puas ditahan tawanya.
“Itu saya memang tak sengaja. Sebab saya dah set dalam kepala otak nak bintikan nama Diela. Sampai tak ingat kepada nama bos.” Abby membela diri. Memang betul apa yang dikatanya itu. Memang dia tidak perasan terbintikan nama Arrayyan. Azham tersenyum dan mengangguk,
“Kami tahu. There is no one who dare to mess up with him, right? Takkan la awak tiba-tiba nak cari gaduh dengan bos baru.” Azham bersuara. Abby mengangguk-anggukkan kepalanya. Betullah. Siapa sanggup cari pasal dengan bos besar? Gilalah orang tu. Sudahlah bosnya yang ini terkenal dengan perangainya yang mengalahkan hantu.
“Abby,” panggil Azham perlahan bila Abby mula menapak pergi. Abby berpaling. Kening terangkat sebelah. Muka Azham dilihat dengan riak pelik. Azham tersenyum manis.
“Tapi saya rasa, awak boleh.” Azham bersuara. Bertambah pelik Abby sampai berkerut-kerut dahinya.
“Boleh apa?” Abby menjongketkan keningnya. Pelik!
“Boleh tundukkan bos.” Azham berkata lantas pergi duduk semula ke mejanya. Abby mengangkat bahunya. Entah apa yang Azham ni dah merepek. Nak tundukkan orang yang tak pandai menunduk seperti Arrayyan? Memang tersangatlah tak masuk akal!
No comments:
Post a Comment