DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 15 February 2015

Something Stupid - Bab 1

ZARA... you boleh tolong I tak?” Suara manja Zarina menyapa Zara dari arah belakang. Zara yang pada ketika itu sedang mengibas-ngibas wajahnya dengan sehelai kertas akibat cuaca panas terik berpaling lambat-lambat menghadap wajah ayu Zarina. Asyik-asyik minta tolong sahaja. Dia sudah tidak ubah seperti ‘kuli batak’ kepada Zarina. Hendak mengeluh, dia bimbang Zarina bakal terasa hati dengannya. 

Siapa yang tak kenal Zarina? Dia perempuan paling popular di UiTM Jengka mengalahkan artis sahaja. Sebab apa dia menjadi popular begitu? Kerana dia sering berdampingan dengan jejaka pilihan ramai. Syed Irsyadul Firdaus. Sebab kedua, dia gedik terlampau dan sebab ketiga, dia sering menarik perhatian dengan menyertai pertandingan yang diadakan  oleh pihak universiti. Pertandingan menyanyi dia masuk juga meskipun suara up sikit sahaja dari suara katak panggil hujan. Hanya dia yang berani memalukan diri sendiri seperti itu. 

Zara sendiri tidak tahu apa istimewanya lelaki yang bernama Syed Irsyadul Firdaus itu walhal, lebih ramai lagi lelaki yang lebih kacak daripada lelaki itu. Namun tidak dapat dinafikan oleh Zara bahawa lelaki itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri iaitu, lesung pipit dan senyuman manisnya... memang tiada tandingan.

Mungkin kerana itulah Irsyad menjadi jejaka pilihan ramai. Pernah sekali Zara terdengar ada seorang pensyarah muda yang jatuh hati kepada Irsyad. Gila! Sebegini kuatkah aura seorang lelaki bernama Irsyad? Setahu Zara, Irsyad yang sering diperhatikan dalam diam ini merupakan seorang lelaki yang sangat sombong dan bongkak. Tidak hairanlah jika dia digandingkan dengan Zarina, si gadis metropolitan yang sombong, bongkak, gedik dan suka mencari publisiti. 

Ada pelajar yang kata mereka sedang hangat bercinta. Ada juga yang berkata sebaliknya. Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, Zarina itu bukan kekasih Irsyad kerana mereka belum pernah mendengar Irsyad memanggil Zarina dengan panggilan ‘sayang’, ‘dear’ atau mana-mana panggilan manja.

Tidak seperti pasangan bercinta yang lain. Irsyad hanya memanggil Zarina dengan panggilan Rina sahaja. Namun, panggilan tidak menentukan hubungan seseorang. Ada juga suami isteri yang hanya berbahasakan ‘aku kau’. Jadi tak mustahil bagi yang bercinta membahasakan nama mereka. Alasan itu tidak kukuh untuk dijadikan bukti bahawa mereka
berdua tidak bercinta! 

Zara sendiri pernah melihat dengan mata kepalanya sendiri betapa Irsyad mengambil berat akan Zarina. Sewaktu si ‘Drama Queen’ itu berpura-pura jatuh sakit, Irsyad lah yang menghantarnya ke klinik dan mereka keluar makan bersama-sama. Nah! Ini buktinya. Takkanlah mereka tidak bercinta? 

Tapi, siapa sebenarnya di hati Irsyad? Irsyad sendiri sudah jelas menunjukkan sikap ‘buaya tembaganya’ apabila Zara perasan, mata Irsyad sering terpaku melihat seorang rakan kelasnya yang merupakan model sambilan di beberapa buah majalah. Gadis itu merupakan sahabat karibnya sendiri.

Shila! Shila merupakan seorang gadis yang sangat cantik. Rambut panjang yang sentiasa dibiar tidak berikat itu benar-benar menunjukkan karismanya. Setiap style yang digayakan oleh Shila bakal menjadi ikutan pelajar di universiti itu. Shila memang pandai bergaya. Bonus untuk dia! 

Pernah juga Zara terlihat shila dan Irsyad bertepuk tampar. Mereka bergurau senda di pasar Rabu. Buntang mata Zara melihatnya. Mujurlah Irsyad hanya crush dia. Tapi, dia hanya mampu mencintai dalam diam. Kenapalah hati dia boleh jatuh kepada lelaki yang ‘buaya’ seperti Irsyad? Tidak ada yang lebih baik dari itukah?

Memikirkan Irsyad dan Zarina, kepala Zara berdenyut-denyut! Dua kali lima sahaja perangai mereka berdua. Zarina juga pernah menunjukkan sikap playgirlnya. Pantang nampak lelaki bertubuh tegap dan kacak, dialah yang paling gembira. Terkinja-kinja mengalahkan si beruk yang mencuri pisang. Setiap kali dia pandang Aiman pun begitu juga.
 
Zara cukup menyampah dengan dua orang itu. Seorang sentiasa perasan popular, gedik, mengaku diri cantik dan seorang lagi sentiasa berlagak macho, kelihatan tenang sehingga menyebabkan hatinya berdetak hebat setiap kali bersua muka. Entah apalah nasib dia jatuh cinta pada orang yang salah!

“Eh! Zara... Helo!” Petikan jari dengan reaksi gedik gadis di hadapannya mematikan lamunan Zara. Terkejut dia melihat wajah Zarina di hadapannya. Kegedikan gadis itu terserlah apabila dia memetik jarinya sebentar tadi. Hendak mempamerkan riak toya, rasanya Zara masih belum sampai hati lagi. Kalau kaki, mungkin tak lama lagi sampailah agaknya kaki dia ke muka Zarina. Gedik amat!

“Hah? Oh! You nak mintak tolong apa eh?” Soal Zara dengan senyuman plastik. 

Geram memikirkan kebodohan dirinya sendiri yang sanggup berpanas semata-mata untuk menyaksikan perlawanan bola di celah keramaian itu. Biasalah, sebenci mana pun dia terhadap Irsyad, namun di dalam hatinya, dia tetap meminati lelaki itu. Namun, Irsyad bukanlah tujuan sebenar dia ke situ. Dia ke sana atas alasan si abang yang menjemputnya. Si abang bakal beraksi di perlawanan bola sepak itu.

Zara tahu Irsyad bakal beraksi dalam perlawanan itu,jadi dia bersetuju dan menerima ajakan abang kesayangannya.Dua dalam satu! Satu, dia hendak menyokong si abang. Dua, diahendak mencuci mata memerhati Irsyad.

Bercakap tentang Aiman barulah Zara teringat, buat masa ini, tiada seorang pun yang tahu apa sebenarnya hubungan Aiman dengan dia di kampus itu kerana mereka tidak mahumenghebohkannya. Untuk apa? Sebenarnya, masing-masing cuba mengelakkan diri daripada menjadi orang tengah kepada sesiapa yang meminati Aiman ataupun dirinya sendiri. Lagi pula, macam tak logik shaja mereka hendak menghebahkan hubungan kekeluargaan mereka secara  tiba-tiba!

“Kaki I lenguh sangat. You tengoklah high heel I ni tinggi mana? You tolong belikan I air kat tepi sana boleh? I haus sangat. I nak air oren.” Zarina mengeluarkan arahan. Belum lagi Zara berkata ‘okey’ dia sudah membuat pesanan. Zara memandang kasut tumit tinggi zarina. Hampir terkeluar biji matanya melihat kasut tinggi Prada gadis itu. Satu, sebab kasut tu kasut mahal. Dua, sebab apa yang nak pakai kasut tinggi di tempat begini?

‘Teramatlah tinggi!’ Komen Zara di dalam hati sesaat sahaja dia melihat kasut setinggi empat inci yang dipakai Zarina itu. Ada ke patut? Pergi padang ini pun nak berkasut tumit tinggi bagai? Gila agaknya? Mahu terbenam tumit halus itu ke dalam tanah.

Eh... helo Rina! Kita hanya nak tengok perlawanan bola sepak sahaja. Bukannya kita dekat runaway show or whatever. Kita ni dekat padang bola dan bukannya dekat dalam dewan serba canggih! Dan kita ni dekat tengah panas terik, tapi you pakai macam nak masuk pertandingan ratu cantik sedunia itu pasal apa? Mekap berinci-inci tebalnya. Selalu sangat memalukan diri dengan berpakaian pelik seperti ini. Menakutkan. Kalah Amy Winehouse lagi!

‘Ya Allah, Rina! Tak malu ke draw attention sampai macam ni?’ Kutuk hati Zara. Ingin sahaja dia hamburkan amarahnya kepada Zarina tetapi ditahankan sahaja. Bimbang jika tiada sesiapa mahu menegurnya lagi. Mulut Zara pun bukannya baik sangat. Brek pun asyik tak makan! Takut-takut nanti ada pula kes budak terjun bangunan membunuh diri disebabkan kata-kata pedas yang terbit dari mulutnya.

Belum pun memberi jawapan bagi permintaan Zarina, Zarina sudah bertindak menghulurkan sekeping not merah kepada Zara. Zara hendak membuka mulut, namun segera dicantas oleh Zarina.

“Thanks Zara sayang.” Ucapnya bersahaja lantas berlalu pergi. Zara ternganga tidak percaya. Hampir bergolek ke tanah biji matanya akibat terkejut melampau. Belum pun dia menolak permintaan Zarina, gadis itu telah pergi terlebih dahulu. Ee... memang nak kena! 

Lambat-lambat Zara melangkah ke gerai yang dimaksudkan oleh Zarina tadi. Perjalanan ke gerai itu mengambil masa hampir lima minit. Memang rentung betul kulit dibuatnya. Dengan beratur panjang lagi! Dia membeli air yang dipesan oleh Zarina tadi dengan muka mencuka. Geram! Dia turut membeli air mineral dua botol untuk dirinya dan Aiman menggunakan duitnya dan juga air oren dua botol menggunakan wang Zarina. Untuk Zarinalah kedua-dua air oren itu. Tadi kata haus sangat! Memang dapatlah! 

Zara melangkah ke padang semula dengan langkah besar. Panas terik! Kalaulah ada yang memandang ke arah dia sekarang, pasti ramai yang menganggap dia itu bekerja sebagai watergirl! Huh! Zarina ini melampau sangat tahu tak! Mulutnya terkumat-kamit menyumpah si gadis gedik. Penat sungguh dihamba abdikan oleh Zarina. Sebelum ini pun sama.

‘Tunggulah suatu masa nanti, memang kena dia dengan aku!’ Bebel Zara sendirian sambil mempercepatkan langkahnya. Perlawanan bakal bermula.

“Nah! You punya.” Zara menghulurkan air yang dipesan Zarina berserta baki. Zarina berpura-pura terkejut dengan kehadiran Zara dan Zara cukup perasan pada reaksi gedik Zarina itu. ‘Fake!’ Jerit hatinya geram.

“Opps! Ya Allah! So sweet of you! Thanks ya, sayang. I ingatkan you dah lupa. Lambat betul you pergi beli.” Sempat lagi dia menyindir Zara. Zara mendengus. Bukannya Zarina mahu menghargai usaha dia beli air tadi malah, disindirnya pula. Geram betul!

“Erm... lamalah. I beratur panjang tadi. Tengah panas terik pula. Sampai rentung kulit muka I ni. You bukan tahu pun. Yalah, sedap duduk goyang kaki kat sini kan.” Balas Zara sambil mengibas-ngibas mukanya dengan tangan. Menggedik cara Zarina. Berubah air muka Zarina apabila melihat Zara sedang meniru caranya bercakap.

“Oh! Sorry.” Luahnya. Zara terus pergi meninggalkan Zarina tanpa membalas kata-kata Zarina. Geram! Dia ingin mencari tempat teduh untuk punggungnya berlabuh. Penat sungguh dia berjalan ke sana ke mari tadi. Mujurlah matanya tertancap pada sebuah kerusi kosong. Di tempat yang teduh pula tu. Cepat-cepat dia mengambil tempat di kerusi itu kerana bimbang ditakluki orang lain.

Zarina yang mendapat tempat duduk di barisan hadapan itu mencemikkan mukanya tidak puas hati apabila melihat Zara mendapat tempat duduk di tempat teduh sedangkan dia mendapat tempat duduk panas. Tak adil! Dia bergerak ke arah Zara minta untuk ditukarkan tempat duduk. Tidak rela dia hendak berpanas di situ.

“Yang... boleh tak kita tukar tempat duduk?” Soalnya mengada. Rambut kerintingnya dipintal-pintal. Zara sudah menahan diri dari membuat muka di hadapan Zarina. ‘Tak lama hidup budak Zarina ni!’ Hatinya membentak geram. 

“Sorrylah. I tak boleh duduk tengah panas. Muka I rentunglah nanti.” Sengaja Zara mengajuk cara percakapan Zarina. Zarina mengetap bibirnya geram. Sabar! 

“Tapi...” Belum sempat dia memberi alasan, Zara terlebih dahulu memotong  percakapannya.

“Sorry, I penat sangat. Dah lama I berdiri dekat tengah panas tu tadi. I tak tahan. Kalau you nak duduk tempat teduh, you duduk tepi tangga tu sebab tempat you tadi dah ada orang duduk. Game pun dah nak start.” Zara berkata selamba sambil mengerling ke arah kerusi yang Zarina tinggalkan tadi sudah pun diambil orang. Zarina ternganga memandang ke arah
‘bekas-kerusinya’ tadi.

“I nak duduk mana?” Soal Zarina membentak. Zara angkat bahu tanpa riak simpati. Zarina meninggalkan Zara sambil menghentak-hentakkan kakinya. Geram. dia terpaksa duduk di tepi tangga. 

Perlawanan bola bermula juga akhirnya. Zara hendak tergelak melihat kesungguhan abangnya berlari mendapatkan bola. Ini satu kerja gila. Hanya orang tak berapa betul saja yang bersungguh mengejar bola yang satu itu ke hulu ke hilir, ke utara ke selatan. Macam orang tak ada kerja! Kutuk Zara di dalam hati. Tercuit hatinya melihat abangnya bersungguh-sungguh mengejar bola. Buat apalah Aiman bersusah payah nak kejar bola yang satu itu. Kat kedai berlambak! 

Mengapalah dia perlu hadir ke situ melihat abangnya berlari seperti orang tercicir anak. Kau tu yang gila, Zara! Dah tahu ini satu kerja gila, kau pergi tengok juga. Kutuk hatinya selamba. Zara menggeleng-gelengkan kepalanya apabila melihat si abang kesayangannya jatuh dek ingin menanduk bola yang melayang tinggi. Sipi-sipi pun bola itu tidak kena kepala Aiman. Memalukan dan melucukan! Terkekeh-kekeh dia gelak sendirian.

Zara dapat melihat kesungguhan abangnya dan Irsyad mengejar bola. Skil Irsyad menggelecek bola juga boleh tahan hebatnya. Tidak kurang juga dengan skil yang ditunjukkan oleh abangnya. Tidak sampai separuh minit pertama perlawanan, kumpulan UiTM Jengka berjaya membolosi gawang gol pihak lawan melalui sepakan padu Irsyad. Wah! Bersorak riang penonton menyaksikannya. Siapa lagi yang terjerit-jerit mengalahkan orang gila kalau bukan Zarina? Beria benar dia tergedik-gedik di tengah panas. Lupa terus yang dia itu sedang cover ayu.

Huh! Menyampah Zara melihatnya. Kalau dia tahu macam inilah dugaannya duduk menghadap si minah eksyen ini, baik dia duduk di dalam bilik baca novel! Lagi senang hidup dia. Sudah berapa lama pembacaannya tergendala dek banyak sangat komitmen dengan aktiviti-aktiviti pelik seperti ini. Petang semalam, dia berjoging. Kelmarin, dia pergi kutip kupon MPP dan kolej untuk membolehkan dia duduk di kompleks siswi pada semester akan datang. Kasihan kak Damya Hanna. Novel dia dah bertahun Zara beli, baca pun baru beberapa bab. Bukan tak best. Best sangat... Cuma, yalah. Masa tak mengizinkan dia untuk menyudahkan bacaan novel Sepi Tanpa Cinta itu.

Baru lagi fikirannya hendak belayar ke Australia, lamunan Zara terhenti dek bunyi riuh rendah suara orang. Matanya tertancap pada si lelaki yang berguling-guling kesakitan di tengah padang. Ya Allah! Aiman! Aiman cedera di tengah padang. Perlawanan dihentikan buat seketika. Zara terkocoh-kocoh berlaru turun mendapatkan abangnya yang diusung ke tepi pandang.

“Aiman!” Jeritnya kalut.

No comments:

Post a Comment