DIA yang Maha Tahu akan sesuatu yang diaturnya. Sejak pertemuan singkat itu hatiku masih berdebar-debar, masih kurang percaya dia yang kutemui sebentar tadi.
Ketenangan yang aku harapkan daripada sebuah pertemuan bagaikan medan perang apabila sedari tadi jantungku bagaikan sudah tidak reti untuk bertenang ditambah pula Naziah yang cuba mengorek rahsia. Aku dihujani pertanyaan, bagaikan peluru tabur yang cuba mengenai sasaran.
Dari riak wajahnya, aku yakin Naziah seolah-olah tidak sabar mahu tahu bagaimana aku mengenali Kamil Hakim, lelaki yang tampak sempurna di matanya. Aku hanya tersengih mempamerkan baris gigi yang putih bersih. Tahu akan renungan matanya dan aku pasti dia akan mengoreknya beberapa saat lagi. Aku sudah bersedia bukan bersedia untuk menjawab tapi bersedia untuk cuba menutupi rahsia hati ini.
“Siapa mamat tu Maira, macam dan kenal lama aje aku tengok kau orang ni...” soalan pertama menerjah telingaku sebaik sahaja aku masuk ke perut kereta proton wira merah miliknya. Aku masih mendiamkan diri, sengaja mahu melihat sejauh mana dia mahu mengenali Kamil Hakim.
“Diam pulak dia ni. Kau berangan dah sampai mana ya...” Intonasinya jelas menunjukkan dia tidak berpuas hati denganku. Bagiku bukan masanya lagi untuk aku bercerita lebih lanjut siapa Kamil Hakim. Pertemuan itu bagaikan satu mimpi buatku dan aku masih kurang percaya akan pertemuan yang tidak disangka-sangkakan ini.
“La... kau tengok aku ni buat apa? Tengoklah jalan tu, nanti tak pasal-pasal lain pulak jadinya. Aku belum kahwin lagi tau.” Aku sengaja mahu lari dari topik yang mengganggu fikirannya ketika ini dan aku juga tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku ketika pertemuanku dengan Kamil Hakim baru bermula. Tanpa banyak soal, Naziah meneruskan pemanduannya dengan cermat dan membiarkan aku hanyut dalam duniaku sendiri.
Fikiranku melayang mengingati pertemuan tadi. Walaupun dalam keadaan segan yang masih menebal, aku tetap melayani setiap pertanyaan Kamil Hakim. Namun persoalan tentang janji itu langsung tidak disentuhnya. Masih ingatkah dia akan janji itu atau sengaja mahu membiarkan aku dengan teka-teki yang tiada jawapannya atau mungkin ada lagi pertemuan yang lain?
Aku memujuk hati, mungkin dia tidak mahu membicarakannya ketika ini. Pasti akan ada pertemuan kedua dan dia akan memilih masa yang sesuai nanti. Janji itu aku lupakan buat seketika. Tidak mahu pertemuan pertama ini setelah enam tahun terpisah menjadi pertemuan terakhir kami. Aku ada meminta dia membuat miss call pada handphoneku dan kami bertukar-tukar nombor telefon. Daripada caranya, aku tahu dia tidak mahu lagi kami terputus hubungan seperti dahulu dan terpaksa menunggu masa yang terlalu lama untuk pertemuan kedua.
“Kau sempat ambil nombor telefon dia tak?” pertanyaan Naziah membuatkan aku tersentak.
“Hah!”
“Apasal la aku dapat kawan yang kuat berangan macam kau ni. Kau nak jadi Minah Jenin alaf baru ke? Asyik berangan aje kerjanya. Berapa gaji kau dapat setiap kali kau berangan ni ha?” marahnya.
Aku hanya diam sambil tersengih. Memang itu hobiku nak buat macam mana. Jawapan itu hanya terluah di hatiku sendiri, tidak mahu mendengar bebelan sahabatku yang bagaikan mak cik apabila berleter.
“Kau ada ambil nombor telefon dia tak?”
“Ada... kenapa?”
Naziah hanya diam tanpa menjawab soalanku. Aku gagau handphone di dalam beg, aku terlupa hendak menyimpan nombor telefon Kamil Hakim sebenarnya. Aduh! Padam pulak. Tentu kehabisan bateri.
“Aku rasa mesti ada sesuatu antara kau dengan dia ni. Entah-entah masa kat pejabat tadi pun aku rasa kau tengah berangankan dia tak?” duganya membuatkan aku sedikit berdebar. Aku tidak mahu rahsiaku pecah saat ini.
“La... kan tadi aku dah cakap, tadi aku teringatkan zaman-zaman aku belajar dulu.”
“Habis, dia tu bukan kawan zaman kau belajar ke?”
“Memanglah dia tu salah seorang kawan aku belajar dulu. Dah lama kami tak berhubung. Tiba-tiba aje terjumpa kat sini, itu yang buat aku terperanjat.”
“Eloklah tu kalau dah jumpa, masing-masing dah bertukar nombor telefon. Tak lama lagi aku rasa bibir kau akan dihiasi kuntum-kuntum senyuman la Maira. Harumlah office kita nanti ya. Hensem juga mamat tu, jangan lepaskan peluang ni Maira. Nak harapkan Pian tu masuk meminang kau, nampak gayanya tak kahwinlah kau,” usiknya. Aku hanya ketawa. Benarkah bagai dikata atau mungkin itu semuanya hanya akan menjadi angananku sahaja?
“Amboi-amboi kalau bab mengata orang ni, kaulah juara antara juara. Aku dengan dia kawan ajalah, takde apa-apa. Kau jangan nak fikir yang bukan-bukan pulak.” Aku cuba, tidak mahu saat pertemuan ini disulami gosip yang boleh membunuh jiwaku andai sebaliknya terjadi.
“Ala... mula-mula kawan, lepas tu kawan tapi mesra, naik setingkat lagi jadi teman istimewa, cukup tahun makan nasi minyak la aku.”
Indahnya kata-kata Naziah. Pertemuan ini baru bermula dan aku tidak tahu sejauh manakah hubungan ini akan berkembang atau bertemu titik noktahnya. Semuanya aku serahkan kepada Yang Maha Esa. Dia yang berhak menentukannya.
USAI MENUNAIKAN solat isyak aku berbaring kemalasan merenung siling putih yang masih kukuh letaknya. Gambaran wajah Kamil Hakim yang dihiasi kuntum-kuntum senyuman terbayang di layar mataku saat ini. Aku mengerdipkan mata, cuba untuk menghapuskan wajahnya namun hanya seketika bayangan itu menghilang.
Kata-kata Naziah siang tadi menjadi kenyataan apabila bibirku mula menguntum senyuman saat terbayang wajah tampan milik Kamil Hakim. Aku menekup bantal yang sering menjadi peneman tidurku ke muka. Malu pula rasanya apabila selalu terbayang wajah jejaka itu, sedangkan dia entah bagaimana. Kepenatan seharian duduk di kerusi empuk langsung tidak terasa sedangkan setiap malam aku akan menyapukan ubat panas untuk menghilangkan rasa lenguh-lenguh yang kadangkala mencucuk daging betisku. Ajaib betul pertemuan ini. Rasa sakitku kian hilang malahan langsung tidak terasa.
Aku berpusing ke kiri dan kanan cuba mencari posisi yang selesa untuk melelapkan mata barang seketika. Pun begitu ternyata ia tidak berhasil. Puas berpusing, tiba-tiba mataku tertumpu pada album yang telah lama tersimpan. Perlahan-lahan aku mengambilnya dari rak bersebelahan meja solek. Terlalu banyak kenangan sewaktu belajar dahulu dan kini keinginan untuk menatap kembali gambar-gambar lama mulai menjentik tangkai hati.
Satu per satu kubelek album berkulit keras yang tersimpan sejuta memori indah aku dan teman-teman. Kerinduan semakin menerjah setiap kali menatap wajah Julia dan Sarah teman sebilikku yang sehingga kini masih belum ada tanda-tanda akan bersua kembali. Sesekali bibirku disulami ketawa kecil apabila beberapa keping gambar lama berjaya mencuit hatiku.
Sedang asyik menatap album yang penuh dengan nostalgia, tiba-tiba aku dikejutkan dengan deringan telefon bimbit. Kenangan silam nan indah bertaburan entah di mana. Telefon Nokia N71 kesayanganku sengaja aku biarkan berdering. Aku tidak mengenali nombor tersebut. Malas mahu menjawab, kubiarkan sahaja deringannya mati sendiri.
Aku menyambung kembali aktiviti yang terganggu sebentar tadi. Tidak berapa lama kemudian deringannya kembali bernyanyi. Aku menutup album dengan kuat, sakit hati dengan si pemanggil yang tidak pernah berputus asa mendail sedari tadi.
“Hello, kelai lobi Ah Meng... mau tuti baju oo... ini kelai sulah mau tutup maa… esok saja lu latang hantar lobi...” ambik kau, dapat sebiji. Aku ketawa perlahan, biar padan dengan mukanya.
“Errr... Sorry Ah Moi... saya tersalah nombor.” Suara itu??? Macam pernah aku dengar... Ah tidakkkk!!! Kamil Hakim!!! Hatiku menjerit lantang.
Talian itu segera aku matikan. Peluh kecil mulai timbul, alunan jantungku juga semakin tidak selari, terbayang akan wajah Kamil Hakim ketika ini. Kuketuk kepala beberapa kali, geram dengan apa yang baru sahaja aku lakukan tadi. Kenapalah perkara sekecil itu tidak mampu aku tangani. Memang aku tak sempat menyimpan nombor telefonnya. Bateri handphone pula ‘kong’ memang kenalah.
Tidak mahu Kamil Hakim tersalah sangka dengan nombor telefon yang kuberikan lewat pertemuan tengah hari tadi, aku berdoa agar dia menghubungi aku lagi. Memang silap aku. Dadaku kembali berdebar. Janganlah Kamil Hakim berputus asa. Aku menanti dengan sabar dan berharap agar Kamil Hakim menghubungiku untuk kali kedua. Telefon bimbit aku genggam erat.
Seminit... dua minit... dan sepuluh minit berlalu. Ternyata Kamil Hakim tidak lagi menghubungiku. Mood untuk menatap gambar-gambar lama tadi terus mati dan akhirnya aku tertidur keletihan.
No comments:
Post a Comment