SEKEJAPNYA dua hari bercuti. Hari ini dah kena kerja balik. Kenalah mengadap budak-budak kecil kat taska ni. Bukannya ramai mana pun pun budak-budak kat taska ni. Adalah dalam dua puluh lima orang. Taska tempat aku kerja ni kira besar jugalah. Dapat menempatkan lima orang bayi dan dua puluh orang lagi kanak-kanak yang berusia satu tahun ke atas. Tahun depan kalau yang baya-baya Danish, dia orang tak duduk kat sini dah. Budak-budak tu semua akan beralih ke tadika.
Belum puas jalan-jalan dengan Kak Ina, hari ini sudah perlu masuk kerja. Kak Ina ada belikan aku kain pasang masa pergi Masjid India. Dia suruh aku jahit supaya boleh pakai ketika melapor diri ke UiTM nanti. Dia beli dua pasang untuk aku dan sepasang untuk umi. Aha, kan dah cakap dia bukan tangkai jering. Sebelum pergi memang dia cakap macam liat nak beli tapi apabila dah sampai, habis dia balun. Dia yang kelabu mata pula pilih untuk aku. Itulah Norina kakak kesayangan aku.
Sesekali tu nak tergelak pun ada dengan dia. Mana taknya, dia beli kain tu macamlah dia yang nak pakai. Pilih ikut selera dia. Kalau ikut selera dia maknanya evergreenlah aku. Aku manalah suka corak-corak klasik ni. Tak mahu aku nampak tua sebelum usia. Bertelagahlah dulu aku dengan dia walhal kami bukan nak beli sedozen pun. Buat pening kepala mamak India tu saja.
Azfan yang ikut aku dengan Kak Ina pun boleh give up, inikan pula tuan kedai. Aduh! Parah kakak aku. Maklumlah, apabila dia yang keluarkan duit, banyak ragamlah. Lepas tu Kak Ina belanja aku makan piza lagi. Tiba-tiba aku teringat peristiwa semalam.
“Tak apa, kak. Time ni akak keluar duit, nanti bila Qis dah kaya, Qis pula belanja akak. Masa tu bukan piza lagi, kak... Tapi belanja dekat Palace of Golden Horses Hotel.” Itulah kata-kata aku saat kakak aku buat duckface masa aku oder piza spesial yang agak mahal harganya.
“Banyaklah kau punya Golden Horses! Restoran Istana Bambu tu pun belum tentu.” Sekali dia ketuk bahu aku dengan beg duit dia. Gurau-gurau manja. Hehehe...
“Cikgu…” Cuping telinga aku sudah diusik dengan suara Danish. Habis pergi bayangan kelmarin yang datang bertamu dalam minda.
“Danish…” balas aku, mesra. Budak cute itu kuraih. Dia mencium tangan aku. Danish memang pandai mengambil hati aku.
“Boleh cikgu jawab soalan yang berbangkit minggu lepas?” Kali ni suara Luqman Hakimi pula menjengah ke jendela telinga aku.
Aku mengecilkan mata aku. Aku menganalisa kata-kata itu. Itulah kata-kata daripada orang yang tidak pernah berputus asa. Sentiasa ingat soalan yang belum aku jawab. Entah apalah yang istimewa jawapan aku tu sehingga dia masih mengungkit. Apalah nasib Danish dapat bapa macam tu... Jangan nanti kau repot kat mak kau cakap bapa kau menggatal dengan pekerja taska sudah. Tidak sanggup aku dicaci oleh bini orang yang sedang amarah lagi cemburu buta.
“Errr... Sebenarnya apa kepentingan Encik Luqman bertanyakan umur saya?”
“Saja hendak tahu. Takkanlah hendak tahu umur pun tak boleh.”
“Well, umur saya tujuh belas tahun. Bulan November ni baru lapan belas tahun. Puas hati?” soal aku setelah soalan berbangkitnya itu aku jawab.
“Mudanya, cikgu. Kenapa tak further study?” Dasar mangkuk ayun. Ada lagi soalan. Perlukah aku jawab atau aku harus menjadikan soalan itu soalan yang bakal diungkit?
“Saya akan further study tapi bukan sekarang. Insya-Allah, hujung tahun ni,” jawab aku penuh diplomasi.
“Oh, macam tu. Cikgu ni asal mana, ya?” Pagi-pagi sudah buat telinga aku berasap.
Bertubi-tubi soalan ni mengalahkan wartawan hiburan pula. Aku dah bagi betis dia nak paha pula. Kalau ikukan hati aku yang membara ni, mahu saja aku marah. Sudah ada bini dengan anak tu buatlah cara sudah berpunya. Janganlah berangan nak pikat anak dara macam aku ni sebab aku bukannya jenis melayan.
Tahulah dia tu orang kaya. Setakat hendak beristeri dua tiga tu lebih daripada mampu. Tapi janganlah usyar aku. Orang macam aku mana mungkin jadi bini muda. Berlambak lagi lelaki bujang di dalam dunia ni. Janganlah dikejar aku yang tak seberapa ni kerana walaupun kucing tumbuh tanduk sekalipun, mana mungkin aku bersuamikan laki orang. Cukuplah aku melihat kakak aku dimadu. Kalau aku tak sanggup tengok dia dimadu, sudah pasti aku juga tidak mahu menjadi madu.
“Saya berasal daripada alam ciptaan Tuhan ni. Bawah langit atas bumi.” Terpacul jawapan yang tidak matang dari bibir aku sekaligus jawapan yang boleh buat hati orang mendidih. Ah! Lantaklah, biar dia tahu aku tidak suka diusul soalan sebegitu rupa. Macam yang aku kata, kalau dia bujang trang tang-tang, tanyalah sejuta soalan pun aku pasti tidak kesah. Soalan yang sejuta itu akan aku jawab dengan lemah gemalai dan berbunga-bunga.
“Maaf cikgu kalau saya ni banyak tanya. Saya pergi dulu.” Dengan sopannya Luqman Hakimi mengundur diri.
Ai, tersentap ke? Tua-tua pun mudah sentap. Ada aku kesah?
Aku membawa Danish masuk ke dalam taska dan si banyak tanya itu pula membolos masuk ke dalam perut kereta mewahnya.
Kau tak takut ke dia buat aduan kepada majikan kau yang kau seorang yang biadab, Qis? Sombong dengan bapa budak asuhan di taska. Lepas ni, kau akan hilang kerja. Aku diberi amaran oleh diriku sendiri. Tak kesah, aku boleh minta kerja kat tempat lain, jawab hati aku dengan bongkak.
Tak sayang nak tinggal Danish?
Aku memandang wajah Danish. Sayang… jawab aku sendiri.
Kalau sayang, janganlah sombong sangat. Jawablah dengan baik dan bersopan santun. Kita kan orang Melayu, ada adab sopan. Awakkan perempuan, kena ada lemah lembut. Aku terus dinasihati hatiku sendiri.
“Danish dah makan? Kalau belum makan, kita makan dahulu sebelum belajar,” tanya aku dengan lembut kepada Danish.
“Danish dah minum susu kat rumah,” jawab Danish.
“Itu susu. Sekarang Danish dengan kawan-kawan kena makan Corn Flakes dulu. Lepas tu baru kita mula belajar.”
“Baik, cikgu,” kata Danish dengan patuh. Dia akur mengikut aku ke ruang makan. Di situ telah ramai kawan-kawannya sedang menunggu.
LUQMAN HAKIMI memandu keretanya dengan perlahan menyusur jalan raya. Keadaan lalu lintas pada waktu pagi memang sibuk. Semua orang berlumba-lumba untuk ke tempat kerja. Semua jalan utama di bandar raya Kuala Lumpur sudah mula sesak.
Dia mendengar alunan lagu di corong radio Hot FM. Lagu daripada Akim AF mendayu-dayu di halwa telinganya.
Hatinya sedikit terasa dengan jawapan Qistina namun dia tidak menyalahkan gadis itu. Dengan umur belasan tahun itu, mana mungkin Qistina jadi sematang dirinya. Qistina terlalu muda untuk mengenali erti hidup. Qistina juga masih muda untuk bergelar seorang ibu.
Gadis itu mungkin suka dengan anaknya tetapi tidak suka kepada dirinya. Qistina bekerja di taska itu, mestilah dia baik dengan Danish. Dia sendiri terlalu muda untuk memberi kasih sayang persis seorang ibu.
Mana mungkin Qistina akan memenuhi impian Danish untuk menjadi mama Danish. Qistina sendiri telah memberitahu yang dia akan menyambung pelajarannya hujung tahun ini. Jelas sekali yang Qistina hanya bekerja sementara di taska itu. Gadis semudanya sudah pasti akan menyambung pelajaran. Bukan seperti zaman dahulu ketika anak gadis belasan tahun sudah bergelar ibu.
Rasanya dia perlu menahan niatnya daripada terus cuba mendekati gadis itu. Dia tidak boleh bermimpi pada siang hari dek permintaan anaknya. Itu adalah sesuatu yang mustahil untuk dipenuhi.
DATIN ROHANI keluar minum dengan kawannya, Datin Suraya di sebuah coffee house. Dia dan Datin Suraya telah lama berkawan. Mereka berdua sama-sama rajin berpersatuan.
“Ani, bila anak lelaki you tu nak kahwin?” tanya Datin Suraya mengenai Luqman Hakimi.
“Entahlah, Sue. Luqman tu memilih sikit. Lagipun dia nak seorang isteri yang boleh jaga Danish,” jawab Datin Rohani.
“Sayang benar dia dengan Danish, ya?”
“Ya. Teramat sayang. Dia tak kesah tak kahwin lagi demi kebahagiaan Danish.”
“Itulah kan. I nak tolong cari pun takut dia tak berkenan.”
“I pun dah banyak kali perkenalkan dia dengan anak gadis kawan-kawan kita tapi Luqman menolak. Dia langsung tak berkenan.”
“You tak kesah ke kalau nanti Luqman pilih gadis biasa jadi menantu you?” soal Datin Suraya. Dia hendak tahu juga sama ada kawannya itu cerewet atau tidak dalam hal memilih
menantu.
Datin Rohani menghela nafas perlahan. Sepuluh saat kemudian dia bersuara. “I tak kesah siapa pun pilihan Luqman janji mereka bahagia. I cuma harap bakal isteri pilihannya nanti benar-benar dapat menjaga Danish dengan baik.”
Datin Suraya meneguk kopi putih yang berada di depannya. Dalam hatinya, dia juga bersetuju begitu.
“Baguslah macam tu. Kita sebagai ibu kena terima siapa pun pilihan anak kita. Yang penting dia bahagia.”
Datin Rohani mengangguk kepala. Dia tidak berbohong kepada sahabatnya itu. Dia ikhlas dalam butir bicaranya itu. Dia bukanlah dalam kategori Datin yang riak. Dia sama sekali tidak cerewet dalam hal calon menantu. Cukuplah dengan derita yang pernah dilaluinya menjadi menantu yang tidak diterima oleh mertua. Tidak mungkin dia sekejam itu untuk membuat orang lain pula merasa sengsara. Sementelah lagi kepada isteri Luqman Hakimi kelak.
Yang penting bakal isteri Luqman Hakimi kelak tahu menguruskan rumah tangga. Tidak meninggalkan solat, ikhlas menerima Danish dan menghormati dirinya.
No comments:
Post a Comment