SATU hari baru bermula meninggalkan hari semalam yang takkan mungkin berpatah kembali dan tentu sekali menjadikan hari semalam sebagai satu lagi sejarah yang terlakar tiada pengulangan dan takkan ada kekurangan.
Aku tarik perlahan-lahan kerusi di meja makan, sarapan yang sama terhidang membuatkan aku kurang berselera untuk menjamahnya. Kurang berselera atau penangan Kamil Hakim yang mengubah aku menjadi seperti ini? Ya Allah... apa sudah jadi dengan hidupku ini?
“Hei pagi-pagi dah termenung depan rezeki. Apa kes kau ni Maira? Kalau ya pun teringatkan si mamat tu, takkan sampai macam ni. Dulu kau juga yang nasihatkan aku, tak baik monyok depan rezeki. Sekarang terbalik pulak.” Bebelan Naziah bagaikan angin lalu menyapa telingaku.
Aku mengunyah roti bakar yang disediakannya. Makanan itu terasa bagaikan melekat di kerongkong, terasa amat payah sekali untuk ditelan. Apa kena pula aku ni? Aku bagaikan baru tersedar. Entah berapa kurun Naziah membebel, sedikit pun tidak masuk ke telingaku. Begitu kuat aura Kamil Hakim sehingga mampu membunuh moodku hari ini. Aku mencari kelibat Naziah, entah bila pula dia menghilangkan diri.
“Zie... Zie...” Aku laungkan namanya setelah mata kasarku tidak dapat mengesan di mana jasadnya pergi.
“Apa dia kau ni? Nak apa?” Naziah muncul dari arah belakang membuatkan aku betul-betul tersentak. Suaranya yang sedikit keras mengejutkan aku.
“Kalau ya pun nak menyahut, janganlah main sergah macam tu. Terkejut aku, tahu tak!” Rasa geramku mula menjalar dengan sahutannya.
“Yang kau tu, kuat sangat berangan sampaikan aku bercakap pun kau buat dek aje. Layanlah lagi kerja tanpa gaji kau tu.” Marahnya.
Aku meneguk milo panas yang disediakannya tapi airnya sudah pun suam-suam kuku. Naziah duduk bertentangan denganku. Sesekali matanya memerhatikan gerak-geriku, mahu juga aku ketawa melihat gayanya.
“Putera idaman kau tak telefon ke malam tadi, sampai mood kau hari ni berubah habis.” Naziah mula membuka topik yang sememangnya mahu aku elakkan. Perasan juga dia akan
perubahan sikapku.
“Kau nak keluar pukul berapa ni? Aku rasa malas la pulak nak temankan kau orang berdating. Kau dengan dia sedap-sedap lepas rindu, aku pulak yang melopong.” Sengaja aku mengalihkan topik perbualan, tidak mahu Naziah menyoal lebih lanjut tentang Kamil Hakim.
“Ala temankanlah aku, bukan selalu pun. Lagipun kau kan tahu aku ni pemalu orangnya.” Pujuk Naziah sambil matanya dikerdipkan beberapa kali. Kononnya mahu aku termakan pujukannya itu
“Haah pemalu la sangat. Siapa yang tak kenal kau ni Zie, satu kampung kenal tau. Sebut aje nama Naziah, orang dah tahu anak siapa. Kalau aku ni lain la, gadis paling sopan dalam kampung kita tu. Sampai orang pun tak tahu mak aku ada lagi anak dara selain daripada Acu dan Imah tu tau.”
“A’aa yalah kau memang sopan, ayu gitu. Tapi aku rasalah, semua orang akan ingat bila aku sebut budak yang selalu suka ikat rambutnya bertocang dua. Aku rasa macam nak imbas kembalilah zaman kanak-kanak kita. Siapa ek budak perempuan yang curi rambutan gula batu kat kebun Pak Seman tu ya? Siapa pula budak perempuan bertocang dua yang mandi parit ikut si Pian, kena bedal sampai berbirat meraung satu kampung? Kau kenal tak siapa budak tu Maira?” soalnya sambil mengangkat kening double jerknya.
Aku mengecilkan mataku. Dia memang sengaja hendak kenakan aku.
“Kalau kau lupa, biar aku sebut nama penuhnya. Nak?”
“Eh! Apa ni Zie. Itu zaman kanak-kanak tak semonggeh la... masa kecik dulu tu, aku ikut aje apa si Pian buat. Bukan aku nak buat pun. Rela dalam paksa tau tak.” Bela aku sungguh-sungguh walaupun itu tidak akan merubah apa-apa.
Ah sudah... semua kisah-kisah nakal aku sewaktu bergelar kanak-kanak dibongkarkannya. Malu apabila diingat kembali kenakalan yang tiada batasan.
“Hah tau pun kau takut. Temankan aku ek, Maira.” Pujuk Naziah lagi. Aku menggelengkan kepala, sengaja mahu menderanya. Bukannya apa, suka melihat muncungnya seperti cencurut itu.
“Maira please... please... temankan aku ek.”
“Tak nak!” Aku cuba berkeras.
“Okey... Macam ni. Lepas kau temankan aku, kita pergi Mid Valley. Aku belanja kau tengok wayang. Okey...” Naziah cuba mengumpan aku. Tanpa banyak kerenah, aku anggukkan kepala. Tidak mahu mendera perasaannya yang sedang dilamun cinta. Tawarannya juga menarik.
“Kau dengan dia serius ke ni? Takde keinginan nak ke jinjang pelamin? Jangan bercinta lama sangat Zie. Nanti kemanisan bercinta cepat pudar. Bercinta selepas kahwin kan best.”
“Kau ni kan kalau berkhutbah mengalahkan imam Masjid Negara. Kalau kena kat batang hidung sendiri, baru tahu macam mana Maira. Memang la bercinta selepas kahwin best, tapi nak cari yang betul-betul jujur dengan kita, satu dalam sejuta, payah ya amat.” Naziah menundukkan kepalanya sambil jari-jemarinya bermain di permukaan cawan.
Kata-katanya ada benarnya juga. Tapi sejak aku mengenali Badli, aku rasa Bad bukanlah lelaki jenis begitu. Hmm... entah apa lagi yang masih belum mampu membukakan pintu hatinya.
“Aku bukannya tak nak kahwin cepat, tapi kami sekarang ni kan tengah mencari keserasian. Lagipun aku dengan dia baru lagi dalam proses mengenali hati budi. Biarlah aku kenal dia dulu. Lainlah kau. Dah kenal Kamil tu lama. Mesti dah masak dengan perangai dia, kan.” Ujar Naziah lalu menghirup milo suam-suam kukunya itu.
Aku hanya mampu tersenyum. Benarkah aku mengenali hati budi Kamil Hakim walaupun telah lama aku kenali dia? Bagiku lama atau tidak perkenalan seseorang itu bukanlah kayu pengukurnya, yang penting keserasian.
“Kau dengan Kamil tu macam mana? Kalau dah sama-sama suka, tak baik tangguhkan. Suruhlah dia cepat-cepat masuk meminang. Jangan tunggu lama-lama... nanti dikebas orang.” Naziah menyanyi riang di hujung kata-katanya.
Aku hanya menjeling geram. Nampaknya dia masih lagi mahu mengenakan aku.
“Pukul berapa nak keluar ni?” Aku mengubah topik, mahu lari daripada persoalan yang masih belum mampu aku huraikan.
“Kenapa? Kau nak kita keluar awal ke?”
“Taklah... kalau lambat lagi nak keluar, sempat lagi aku basuh baju.”
“La... malam tadi kau tak basuh lagi ke? Balik kerja semalam bukan main lagi aku tengok kau bawak bakul ke hulu ke hilir.”
“Sebab tak basuh la ni aku tanya kau pukul berapa nak keluar. Jadi... masih sempat lagi la aku basuh, kan.”
“Dah! Pergilah cepat.”
“Okey mem, opss! Lupa nak pesan kat kau. Tolong kemaskan yang ada atas meja ni ya. Terima kasih.” Naziah menjeling geram dengan keletahku. Aku ketawa kecil apabila matanya dijegilkan.
PENAT MENUNGGU. Dari duduk di bongkah kayu, beralih pula duduk bersimpuh. Bayangan Badli tidak juga kelihatan. Cuaca mulai membahang. Aku pandang wajah Naziah yang keresahan. Kalau ikutkan hati, rasanya ingin sahaja aku tinggalkan dia di situ. Namun tidak sampai hati pula.
“Mana perginya pakwe kau ni Zie? Jadi ke tidak dia datang ni? Dah berpeluh aku tunggu. Karang aku balik je...”
“Ala... Maira. Tunggu la kejap lagi, aku yakin dia pasti datang tu. Tak pernah dia mungkir janji. Kalau tak jadi sekalipun, dia pasti hubungi aku. Sabar la. Kita tunggu kejap lagi, kalau dia tak datang juga kita balik.” Naziah memujukku.
Kesian juga aku melihat kerutan pada wajahnya. Make-upnya pun sudah kelihatan semakin cair aku lihat. Hampir satu jam kami menunggu. Batang hidung buah hati pengarang jantung Naziah itu belum juga munculnya.
“Cuba kau hubungi dia lagi. Manalah tahu dia tidur mati ke, terlupa ke apa? Itulah... orang lain bercinta, dia pun nak bercinta. Tapi tak pandai jaga hati kekasih, baik tak payah bercinta kalau macam ni gayanya.” Aku mula membebel.
Aku lihat wajah Naziah keresahan, wajah bersalahnya membuatkan aku turut rasa kasihan. Apa punya kawanlah aku ni. Langsung tidak memikirkan perasaan teman sendiri. Kalau aku sebagai peneman sudah rasa macam ni, apatah lagi dia.
“Tak dapat dihubungilah. Jomlah kita balik.” Naziah menarik tanganku, mengajak aku balik. Aku tidak berganjak dari tempatku. Kasihan pula melihat dia begitu.
“Kita tunggu sekejap lagi. Kalau dia tak datang-datang juga, kita balik. Aku bagi masa penalti, lepas ni takde dah aku nak temankan kalau macam inilah punya gayanya berdating.” Aku kembali duduk sambil tanganku ligat memerhati telefon bimbit di tangan. Alangkah indahnya jika Kamil Hakim menghubungiku. Sekurang-kurangnya tidaklah aku bosan sangat menunggu begini.
Naziah tersenyum kelat sambil menguis ketulan ais di dalam cawan plastik di tangannya. Satu minit... sepuluh minit menunggu akhirnya Naziah berlalu hampa menghampiri keretanya. Aku hanya mampu memandang dengan rasa hati yang berbuku di dada. Belum pun sempat Naziah membuka pintu kereta, terdengar satu suara melaungkan namanya. Jelas kedengaran.
“Zie! Zie!”
Kami berpaling. Lelaki itu tercungap-cungap berhenti betul-betul di hadapan kami. Senyuman bersalah yang dihulurkan membuatkan Naziah memandang tepat ke arah aku. Lalu berkalih ke arah teman lelakinya itu semula.
“Maaf. Bad terlambat Zie... tayar pancit tengah jalan. Nak beritahu Zie. Kebetulan pulak telefon Bad kehabisan bateri, minta maaf sangat-sangat buat Zie tertunggu lama. Nasib baik Bad sempat kejar, kalau tak... melepas la.” Terang lelaki itu yang masih lagi kedengaran menahan lelah. Rambutnya kelihatan berserabai. Ingin tergelak juga aku melihat keadaannya. Tapi tidak sanggup pula aku ketawa di hadapannya.
“Kami dah nak balik.” Ucap Naziah tiba-tiba. Suaranya kedengaran seperti orang merajuk. Aku memandang ke arahnya. Hei minah ni... kawan tu punyalah lelah nak sampai ke sini, senang-senang aje nak balik. Takkan dah batal datingnya kut. Badli terpinga-pinga. Naziah menutup pintu keretanya. Aku memandang ke arah teman lelaki Naziah yang turut memandangku. Terkejut juga aku dengan tingkah Naziah. Begitu jarang sekali dia mempamerkan rajuknya. Badli yang keletihan kelihatan hampa.
“Err... Badli datang naik apa tadi?” Aku bertanya walaupun Naziah sudah pun berada di dalam keretanya.
“Tumpang kawan, dia tengah cari parking. Kalau Zie nak balik, takpelah. Memang saya yang salah.” Tuturnya perlahan sambil menghadiahkan senyum tawar buatku. Aku serba salah. Macam mana hendak memujuk Naziah yang sedang merajuk. Lelaki ini tidak tahu memujukkah atau malu dengan kehadiranku di situ?
“Anis Humairah Najla…” Siapa pula yang menyebut namaku? Siap menyebut nama penuhku pulak tu. Tapi macam pernah aku dengar suaranya. Aku berpaling. Tergamam aku seketika apabila pandanganku bertaut pada redup mata Kamil Hakim yang tersenyum macho. Walaupun nampak santai dengan pakaiannya yang hanya bert-shirt tanpa kolar dan seluar jeans lusuh, pun begitu nampaknya dia begitu tampan di mataku. Aku memandangnya tanpa berkelip. Kagum dengan rupanya yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Jatuh cintakah aku ketika melihat ketampanannya? Ah! Dosa kering lagi... Cepat-cepat aku menundukkan wajah.
“Mil... kau kenal ke kawan Zie ni.” Suara Badli memecah kebisuan yang tercipta antara aku dan Kamil Hakim. Kamil Hakim hanya mengangguk.
“Kawan yang kau ceritakan pada aku tu?” sambung Badli lalu melirik senyum menatap wajahku, seakan tidak percaya.
Entah apa cerita yang diolah oleh Kamil Hakim kepada Badli, aku tidak pasti. Aku melihat mereka tersenyum sesama sendiri. Aku bertambah malu apabila empat pasang mata menjamah wajah yang sudah pun mulai terasa bahangnya. Naziah keluar dari perut kereta apabila melihat kami masih lagi kaku di tempat masing-masing.
“Kau tak nak balik ke Maira?” soal Naziah memandang tepat kepadaku. Wajahnya kelihatan kelat, aku tahu hatinya sebal dengan apa yang berlaku. Tapi kalau difikirkan dengan logik akal, takkan nak salahkan si Badli sepenuhnya. Bukan lelaki itu tahu pun bila tayar keretanya hendak pancit.
“Dah nak balik…” tuturku perlahan sekadar memberitahu kepada Kamil Hakim.
“Cepatnya nak balik. Kami baru sampai ni. Bad, kau tak beritahu buah hati kau ke pasal tayar pancit tadi.”
“Aku dah beritahu dia, Mil. Tapi dia macam merajuk aje dengan aku.” Badli memandang ke arah Naziah, mengharapkan agar Naziah membatalkan hasratnya.
“Dah tahu dia merajuk, kau pujuklah.” Kamil Hakim menepuk belakang Badli.
Aku berharap Naziah mengubah keputusannya saat ini. Dari pandangan mataku, Kamil Hakim juga berharap aku tidak segera meninggalkannya.
HUBUNGANKU DENGAN Kamil Hakim bertambah rapat. Biarpun aku sering diusik oleh Naziah tentang hubungan kami, aku hanya buat muka selamba. Apa yang pasti, perasaanku terhadap Kamil Hakim kembali bercambah. Setiap kali Naziah bertemu dengan Badli, pasti aku akan bersama. Tapi jangan silap faham. Aku tidak pernah menawarkan diri untuk menemankannya sehingga menjadikan aku ini mak sanggup. Ini semua aku lakukan kerana setiap kali perjumpaan mereka, pasti Kamil Hakim turut serta.
Kelihatannya kami juga seperti pasangan kekasih pada pandangan mata orang yang tidak tahu akan sebenarnya hubungan kami. Naziah begitu memahami perasaanku ketika berdepan dengan Kamil Hakim. Kadangkala Naziah dan Badli meninggalkan kami berdua, memberi ruang agar kami selesa bersembang.
Saat pertemuan beginilah kami dapat mengintai kembali saat-saat manis bergelar siswa dan siswi. Tasik yang tenang itu sebagai saksi setiap pertemuan yang diatur Naziah dan Badli. Peluang yang diberikan tidak kami sia-siakan. Kami juga sering mengimbau kenangan-kenangan sewaktu di kampus dahulu. Aku cukup senang dengan penampilan dan karakter Kamil Hakim. Dia kelihatan bersahaja ketika bercerita, malah kami bagaikan pasangan sehati sejiwa. Keserasian yang jitu membuatkan aku sedikit pun tidak kekok apabila bersama dengannya. Malahan hubungan kami lebih akrab dari dulu. Namun riak tenang di wajahnya itu langsung tidak mampu mendamaikan sekeping hatiku ini. Apakah dia lupa akan nota yang dikirimkan kepadaku itu? Atau dia sengaja mahu menduga perasaanku. Aku perlu bertenang dan bersabar. masa akan terjawab juga nanti.
“Awak pernah baca tak kisah dongeng zaman kanak-kanak dulu?” Aku menjeling wajah Kamil Hakim. Hairan juga tentang pertanyaannya atau dia sekadar membina topik untuk menjadikan kami tidak kekok bersama.
“Kisah dongeng? Eh awak ni biar betul. Takkan minat cerita Cinderella, Rapunzel kut?” Sengaja aku menyindir.
“Kenapa pulak tak? Bukan cerita tu aje, snow white pun saya suka. Awak tak percaya ek.”
Serius! Aku memandang wajahnya yang bersahaja bagaikan langsung tak terkesan yang aku sedang membayangkan kisah waktu kanak-kanaknya saat ini. Apa pula yang hendak dia sampaikan.
“Saya memang suka cerita-cerita macam tu. Jangan tak tahu, saya pernah curi-curi baca buku tu daripada adik perempuan saya. Buku tu sempena hadiah hari jadi mak buat adik. Seronok sangat tengok adik menjerit gembira dan awak nak tahu... kalau boleh, waktu tu saya nak rampas aje buku tu dari tangan dia. Saya selalu bayangkan yang saya jadi hero bertemu dengan tuan puteri yang cantik jelita lalu saya larikan puteri tu. Saya pernah menyorok di belakang rumah baca buku tu tau. Asyik sangat membaca, sekali dapat tangkap daa... satu rumah ejek dan gelakkan saya.”
Aku mengecilkan mataku. Dia hanya ketawa melihat mimik mukaku yang jelas nampak keliru.
“Saya tahu apa yang ada dalam kepala otak awak tu Maira. Mesti awak ingat saya ni lelaki lembut, kan.” Aku hampir menghamburkan gelak, nasib baik aku sempat kontrol ayu. Kalau tak, jatuhlah saham ni. Sememangnya apa yang dikatakan oleh Kamil Hakim memang benar. Memang itu yang aku fikirkan.
“Kenapa awak minat baca cerita-cerita macam tu? Setahu saya budak lelaki ni suka mainan yang lasak-lasak, jarang nampak yang suka baca buku. Conteng buku ada la...”
“Entah la. Saya pun tak tahu kenapa. Tapi rasa-rasanya saya sukakan bukunya yang berwarna-warni. Itu yang dapat menarik minat saya membaca tu.” Aku hanya mengangguk.
“Ermm... awak main anak patung tak?” Dengan suara perlahan, aku bertanyakan kepadanya. Wajahnya begitu serius apabila aku bertanyakan soalan itu.
“Isy awak ni… walaupun saya suka baca buku macam tu, tak semestinya saya jadi lembut. Saya lelaki tulen tau,” tegasnya. Aku melepaskan tawa yang tidak mampu ditahan lagi.
“Jangan ceritakan pada orang lain tau. Malu saya nanti.” Kamil Hakim memberi amaran kepadaku. Aku tergelak sakan melihat kesungguhan wajahnya.
“Okey... saya tak bocorkan kisah kanak-kanak awak yang pelik tu. Janji!” Aku mengangkat tangan apabila melihat dia masih merenungku. Mungkin tidak berapa yakin dengan janjiku sebentar tadi, ditambah lagi dengan wajahku yang tidak henti-henti tersenyum.
“Kenapa awak ceritakan pada saya? Rahsia besar tu...”
“Sebab saya percayakan awak. Saya suka berkongsi cerita dengan kawan yang boleh saya percaya.” Aku hanya mengangguk tanda faham, begitu terharu dengan penghargaan yang diberikan. Memberi kepercayaan kepada seseorang itu sangat mudah, tapi memegang kepercayaan itu amat payah.
“Zaman kanak-kanak awak macam mana? Mesti awak banyak buku-buku macam tu, kan.” Aku menggelengkan kepala. Kamil Hakim merenungku. Mungkin kurang percaya dengan bahasa tubuh yang aku isyaratkan kepadanya.
“Saya tak suka menghadap buku, apatah lagi buku-buku macam tu. Mak tak pernah belikan. Saya hanya budak kampung Mil. Duit yang ada hanya untuk buat belanja harian. Walaupun tak mempunyai buku-buku macam tu, tak bermakna zaman kanak-kanak saya muram, kan. Aktiviti harian saya padat tau.” Aku hanya ketawa kecil dengan kata-kataku sendiri.
Kenangan sewaktu kecil mula terimbas satu per satu. Aku semakin melebarkan senyuman apabila ada kenangan sehingga kini masih belum luput dalam ingatan.
“Padat? Maksud awak zaman kanak-kanak awak dulu banyak dihabiskan untuk membantu emak awak?” Aku menyambung tawa, lucu mendengar soalannya. Kamil Hakim bertambah hairan melihat aku semakin riang.
“Aktiviti saya padat sebab setiap hari saya wajib menghadap Pian.” Aku ketawa lagi di hujung kata apabila wajahnya ternyata berada dalam situasi keliru. Makin suka pulak aku mengusiknya.
“Awak kenal Pian, kan.” Aku cuba mengajukan soalan itu kepada Kamil Hakim. Wajahnya sedikit berubah. Masakan dia sudah lupa siapa Pian yang aku maksudkan.
“Ala... Pian yang satu grup dengan awak tu, yang suka kacau saya dan kawan-kawan saya. Takkan tak ingat.”
“Pian tu kawan awak masa kecil ke?”
“A’aa kenapa? Pian tak pernah beritahu awak dia kenal saya ke? Saya dengan dia jiran sekampung, rumah opah dengan rumah dia tak jauh mana pun. Setiap petang Pian dan Zie akan datang jemput saya kat rumah. Kami main sama-sama. Nasib baik la mak saya jenis yang tak mengongkong. Kami main pun tak jauh. Dekat sekitar rumah aje. Jadi petang-petang mak la yang mengawasi kami.” Aku terdiam seketika mengorek kembali cerita zaman kanak-kanak yang sudah lama berlalu.
Mengimbas kembali saat itu membuatkan aku bagaikan ingin kembali pada zaman kanak-kanak yang amat sukar dilupakan.
“Awak dan Pian main apa?” soalnya setelah lama aku terdiam.
“Macam-macam. Main masak-masak, main kahwin-kahwin dan yang paling best... saya suka mandi parit. Pian akan jadi kepalanya. Ada sekali tu, kami mandi tanpa pengetahuan mak tapi last-last dapat juga ditangkap oleh mak. Berbirat badan kena rotan. Lepas tu saya dah tak ke parit lagi. Sakit kena rotan tu masih terasa tau!” Ngilu pula aku apabila teringatkan badan yang menerima bedalan emak.
“Uih lasak juga awak ni ya.”
“Tengok orang la…” kataku dalam ketawa. Dia juga turut ketawa sama.
“Boleh saya tanya sesuatu.” Kamil Hakim merenung ke dalam anak mataku. Kami bertentangan mata seketika. Jantungku mulai berdebar. Aku melarikan pandangan, kalah pula pada renungan matanya yang jernih.
“Alahai Encik Kamil, bukan aje setakat satu... beribu-ribu lemon pun saya sanggup.” Kataku mengundang gelaknya. Aku cukup senang mendengar tawanya.
“Awak dengan Pian ada apa-apa ke sebelum ni?” Aku kembali memandang wajahnya ketika soalan itu menjamah cuping telingaku. Apakah dia cemburu tentang hubungan kami waktu kecil dahulu? Tidak masuk akal pula.
“Maksud saya... err... Awak dan dia pernah bercinta?” Aku hanya ketawa kecil mendengar soalan yang tidak disangka itu. Masakan Kamil Hakim tidak merasai apa yang aku rasai terhadapnya dulu, kini dan selamanya. Di hatiku hanya ada dirinya.
“Siapa yang bawak cerita ni? Kami tak pernah bercinta pun. Saya anggap dia macam abang saya sendiri. Dia tu tua dua tahun dari kita. Tapi itulah... tak sangka pula saya, kami dapat masuk universiti yang sama.” Terangku bersungguh-sungguh. Aku tidak mahu dia tersalah sangka. Masakan aku nak bercinta dengan Pian, hendak bertentang mata pun aku sudah lari.
“Ooooo... kalau Pian awak anggap macam abang, saya pula macam mana? Apa anggapan awak?” Dia merenungku dengan sepasang matanya yang bercahaya. Ah! sudah... soalan itu boleh mematikan urat sarafku. Tadi bukan main lagi berani, sanggup nak jawab walaupun beribu-ribu lemon soalan. Apa dah jadi ni? Aku terdiam seketika mencari jawapan yang bernas. Takkan aku nak jawab aku meminatinya dalam diam kut.
“Kawan.” Jawabku. Mak aii... Lain yang ingin aku nyatakan, lain pula yang keluar dari mulutku. Aku mengecilkan mataku sambil menundukkan wajah. Kesilapan teknikal yang tidak sepatutnya berlaku saat ini tapi itulah yang terjadi.
“Kawan...” ucap Kamil Hakim sepatah mengulangi jawapanku.
“Habis tu, awak anggap saya apa pulak?” Sengaja aku mahu mencungkil rahsia hatinya pula.
Dia merenung tepat ke wajahku. Kami bertentang mata sekali lagi. Dadaku bergetar seketika menanti jawapan yang akan terkeluar dari bibirnya. Pernyataan yang sekian lama aku nantikan daripadanya.
“Friend,” jawabnya sepatah lalu menghamburkan tawanya. Aku hanya tersenyum tawar. Tidak kelakar dengan lawaknya yang sememangnya tidak lawak.
Aku bingkas bangun lalu menghampiri Naziah dan Badli. Rasa kecewa dengan luahan Kamil Hakim cuba aku sembunyikan.
KISAH SEMALAM ditinggalkan, muncul pula hari baru untuk diharungi. Pagi yang ceria seakan mengizinkan kisah-kisah kami yang baharu bermula. Cahaya yang muncul di sebalik hati yang selama ini tersembunyi bagaikan bersatu dengan nafas baharu lalu menyimpul satu makna pada sebuah pertemuan. Semakin hari semakin terbau keharuman kasih kami. Dari hari ke sehari Kamil Hakim semakin kerap menelefonku. Satu perkembangan yang sama sekali tidak aku duga. Bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang. Bukankah itu yang aku
harapkan selama ini? Aku menghenyak kasar tubuhku di atas sofa lembut berwarna biru tua itu.
“Maira... ermm kalau aku tanya kau sikit, jangan marah ek...” ucapnya perlahan. Aku memandang wajah selambanya, soalan yang hendak ditanya itu telah dulu dapat kubaca dari sisi intonasinya.
“Kau dengan Kamil Hakim macam mana sekarang? Ada perkembangan terbaru?” Aku hanya senyum lalu menjongketkan bahu. Memang tepat jangkaanku, tidak dapat diragui lagi.
“Dah keluar banyak kali, bergayut pun beratus-ratus jam. Masih takde perkembangan ke? Musykilnya aku dengan hubungan kau orang ni. Nak kata tak bercinta, tapi tengok gayanya mengalahkan aku yang bercinta ni. Kat rumah bergayut, kat ofis pun sama. Hei Maira... kalau tu tak namanya bercinta, habis tu namanya apa ek?” Aku menggaru kepala cuba mentafsir hubungan yang aku sendiri tiada jawapannya.
“Macam tu ke orang bercinta? Kau dengan Badli macam tu ek?”
Naziah merenung ke dalam anak mataku, takut juga aku kalau-kalau dia dapat membaca hatiku yang kini sedang mekar. Jadi untuk mengelakkan diri daripada ketahuan, aku bermuka selamba.
“Kebanyakan macam itulah... aku dengan Badli takdelah sampai macam kau orang ni. Ligat semacam aje aku tengok. Ni aku nak cakap sikit. Kalau suka sama suka tu, jangan tunggu lama-lama Maira. Nanti dikebas orang, melopong pulak kau. Kalau kau tak nak, bagi kat aku.”
“Aik terbalik pulak kau ni. Sepatutnya kau cakap macam tu pada dia tau, bukan pada aku. Aku ni gadis sunti, masih tebal dengan perasaan malu.” Sangkalku dengan cadangan Naziah
walaupun aku pasti dengan perasaanku terhadap Kamil Hakim. Namun untuk berterus terang dengannya aku tidak mampu. Rasa malu yang masih menebal ini aku perlu pertahankan.
“Alah malu-malu kucing konon. Zaman sekarang apa yang nak dimalukan Maira. Siapa cepat, dia dapat. Ni aku nak beritahu kau sesuatu...” Naziah terdiam. Matanya masih tertancap pada tv.
“Apa dia? Kata nak beritahu aku sesuatu.” Puas menunggu dia bersuara akhirnya aku bertanya. Naziah memandangku sambil membuat muka tidak bersalahnya.
“Zaman sekarang, orang lelaki dah makin berkurangan, kau tau tak. Kau tengok sekarang ni, berapa ramai yang mati katak atas jalan raya tu. Berapa ramai yang meringkuk dalam penjara dengan pelbagai kesalahan. Cuba kau fikir, kalau kau tak ambil peluang ni dari sekarang, bila lagi? Kau nak tunggu siapa lagi Maira? Umur kita makin meningkat, bukan makin menurun. Dah ada yang baik depan mata, takkan kau nak biarkan macam tu aje. Jangan sampai kau gigit jari sendiri sudah.”
Rupanya itu yang ingin diberitahunya. Buat suspens aje. Aku hanya diam mendengar nasihat berguna Naziah. Betul juga apa yang dikatakannya itu. Aku masih menunggu siapa sebenarnya? Dia sudah di depan mata. Selama enam tahun aku kehilangannya, masakan aku ingin kehilangannya lagi. Namun aku masih keliru. Bagaimana pula perasaannya terhadapku? Kamil Hakim masih begitu. Masih mengurung perasaannya daripada bebas terbang ke arahku.
“Tahun ni Imah dah nak kahwin. Opah kau kan dah pesan, dia nak kau kahwin dulu dari Imah. Kau kena fikir juga hajat opah kau tu Maira. Kalau kau dah berkenankan Kamil tu dan Kamil tu pun sama suka kan kau, tak payah tunggu lama-lama. Suruh dia masuk meminang. Aku tengok Kamil pun padan benar dengan kau. Badli pun ada cakap yang Kamil tu selalu juga ceritakan pasal kau.” Naziah sudah menghadapku. Wah! Terkejut juga aku mendengar cerita Naziah. Bagaikan tidak percaya Kamil Hakim bercerita tentang aku kepada Badli. Adakah dia merasakan apa yang aku rasa ketika ini?
“Kamil cerita pasal aku?”
“Tengok tu... sebut aje pasal Kamil Hakim, muka kau dah berseri-seri. Tak betul ke apa yang aku cakap?” Aku tidak endahkan kata-katanya, yang lebih mengujakan hati, aku ingin tahu apa yang Kamil Hakim ceritakan kepada Badli.
“Dia cerita apa Zie? Ooo... jadi selama ni kau dah tahulah si Kamil tu selalu cerita pasal aku pada Badli...”
“Hei tolong sikit. Aku pun baru dapat tahu dari Badli malam tadi. Itu yang aku tanya kau ni. Macamlah kau tak tahu perangai aku ni Maira, mana nak simpan rahsianya dengan kau. Kalau kau tu lainlah. Penuh rahsia dan misteri.” Aku hanya merenung skrin tv yang sedang memaparkan berita terkini. Mengakui benar kata Naziah itu.
“Apa yang dibualkan Kamil Hakim tentang aku pada Badli.” Perlahan pertanyaan itu kulontarkan kepada Naziah yang masih mendiamkan diri.
“Apa yang dia cerita, kau tak tanya Bad ke?” Aku ulang kembali soalanku apabila Naziah masih menumpukan sepenuh perhatiannya pada skrin tv. Fikiranku sudah tidak mampu ditumpukan pada berita yang disampaikan oleh pembaca berita walaupun siaran beritalah yang paling aku gemari.
“Ala cerita zaman remaja kau oranglah. Zaman kampus dulu... Hai, bersemangat nampak nak tahu ceritanya. Tadi bukan main lagi nafikan yang kau orang bercinta.” Naziah memerli, aku hanya senyum sambil memeluk bantal kecil di atas riba. Apalah yang diceritakan Kamil Hakim kepada Badli tu. Baru sahaja aku ingin merangka misi untuk mengorek cerita yang hendak disampaikan oleh Naziah, handphoneku pula berbunyi. Memang mengganggu betul. Aku dan Naziah sama-sama berpaling dan sudah tentu apa yang ada dalam fikiran kami sama, tapi tak serupa.
“Hah, panjang pun umur pakwe kau tu Maira. Nampak gayanya kau dululah makan nasi minyak daripada aku. Hai, bertuahnya badan... ada orang sayang.” Aku baling bantal kecil yang kupeluk tadi ke arahnya, dia sempat mengelak sambil tergelak-gelak mengejek. Ah! Biarkan... dia memang cemburu agaknya. Telefon bimbit yang terletak di sofa kuambil. Lagu Dealova dendangan Once semakin nyaring bunyinya. Salah satu lagu yang menjadi kesukaanku.
Aku tatap skrinnya, ternyata nama Kamil Hakim tertera di skrin kecil itu. Tanpa sedar, senyuman menguntum di bibirku dan dek kerana senyuman itu Naziah sempat mengenakan diriku sekali lagi.
“Hah... apa kau duk renung tu. Lepas tu senyum sorang-sorang. Takkan malu dengan aku kut. Angkat la, kesian mamat tu tunggu.”
Aku mengangkat kening dan segera beredar dari situ setelah panggilan itu kusambut. Sempat lagi aku menjeling Naziah yang sedang memerhati tingkahku dan dia hanya mampu menggeleng sambil bibirnya dijuihkan.
“Assalamualaikum...” dengan penuh sopan aku memberi salam.
“Waalaikumussalam...”
“Ada apa awak telefon saya ni?” tanpa tersengaja aku mengajukan soalan itu. Bukan main lagi aku menyoal. Kononnya mahu jual mahal, tapi dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya hatiku kala ini menerima panggilannya.
“Err... saja. Tak boleh ke?” soal Kamil Hakim pula.
“Takde la, siapa cakap tak boleh.” Bagaikan kelu lidah untuk berbicara dengannya dan aku rasa Kamil Hakim sama sepertiku apabila talian sepi seketika.
“Err... awak buat apa tu? Sibuk ek?”
“Takde buat apa-apa pun. Sesaja duk berborak dengan Zie.”
“Ermm… awak tak keluar ke mana-mana ke hari ni?” soalnya dan kami larut dengan panggilan yang sememangnya aku tunggu-tunggu itu. Dan ribut perasaan bertamu lagi untuk sekian kali bagaikan mengungkap rasa indah yang sedang bercambah.
No comments:
Post a Comment