“DANISH rindu cikgu,” kata Danish sebaik tiba di taska. Tangan aku diraihnya. Sopan Danish mengucup tanganku.
“Cikgu pun rindu Danish,” balas aku lalu merangkul Danish ke dalam pelukan. “Rindu sangat. Rinduuu... Rinduuu... Rindu...” Aku menciumnya bertubi-tubi. Macamlah setahun tak jumpa padahal tak sampai pun seminggu.
“Kat bapa Danish ni tak rindu ke?” usik satu suara. Aku luku juga karang kepala si empunya suara tu.
Aku mengerling tajam Luqman Hakimi. Sungguh tidak malu kau, ya? Di depan Danish pun bilang rindu bagai. Kalau tak fikir sekarang ni di depan taska, mahu aku membentak dan mencaci. Tak kesahlah dia nak saman mulut ke apa... Aku jelak dengan duda, tahu tak?!
“Jeling papa orang, eh?” soal Danish sekilas. Aku tersentak. Alamak! Lama ke aku kerling bapa dia sampai budak kecik ni pun boleh perasan? Ini dah membuatkan pipi aku berbahang.
“Eh, taklah. Cikgu tengok pokok bunga di belakang papa Danish tu.” Aku mencipta alasan yang aku kira logik untuk akal kecilnya. Tapi memang ada pokok pun di belakang Luqman
Hakimi. Pokok bunga kertas. Memuncung mulut aku menuju ke arah pokok bunga yang telah jadi subjek aku itu.
“Hahaha…” Terbahak-bahak si duda itu ketawa. Lucu sangat agaknya apabila dia aku gantikan dengan pokok bunga. Aku pun pelik bin ajaib kerana dia mudah ketawa dengan katakata aku. Sidang hadirin sekalian, adakah ia melucukan? Kalau lucu, silalah ketawa sama sebab aku terasa ingin mencekik lehernya.
“Huh!” Aku mendengus kasar. Aku layang wajah cemberut. “Jom Danish masuk taska.” Aku mendukung Danish. Sengaja aku dukung sebab aku ingin cepat masuk ke taska. Malas aku hendak mengadap muka encik duda itu.
Luqman Hakimi memerhatikan aku masuk. Bibirnya masih dengan baki ketawa. Aku tidak mahu menoleh. Aku dilanda rasa geram tahap ketiga. Sesedap rasa sahaja dia gelakkan aku.
Entah apa-apa dia tu... Dia yang entah apa-apa atau aku yang tak tahu apa? Hesy! Aku ketuk dagu sendiri.
LUQMAN HAKIMI tersengih seorang di dalam pejabatnya. Wajah Qistina Airisa yang berona kemerahan tadi menjelma di matanya. Dia sendiri kurang mengerti mengapa dia begitu senang ketawa di depan gadis itu. Hatinya gembira tatkala dapat mengusik dan bercakap dengan gadis itu.
“Weh kawan, senyum seorang nampak?” tegur Farid. Luqman Hakimi berpaling ke arah Farid. “Masuk bilik aku main redah, ya. Aku panggil sekuriti baru tahu.”
“Macam tak biasa,” kata Farid yang sudah melabuhkan punggung ke atas kerusi di depan sahabatnya itu. Selamba sahaja dia bersandar dan menegangkan urat.
“Kau ni datang tak bagi tahu,” ngomel Luqman Hakimi. Perasaan malu terbit jua dalam hatinya andai Farid nampak dia senyum seorang diri. Harap-harap tak dikatakan miring oleh Farid.
“Aku lalu area ni, sebab tu singgah pejabat kau, bro. Nak jenguk kawan baiklah katakan. Aku tengok mimik muka kau tadi macam ada something. Kau angau ke, Luq?”
“Angau? Apa benda angau tu? Ada nama spesifik lain tak?” Sengaja Luqman Hakimi bertanya. Buat kes ‘buah keranji dalam perahu’ gitu.
“Kalau dah sengih seorang, berkhayal... Tu orang panggil angaulah, bro.”
“Ooo... Memang pun aku angau kepada budak lepas SPM.” Dengan bersahaja Luqman Hakimi menuturkannya. Erk! Terlepas cakap ke memang sengaja nak cakap aku ni?
“Hahaha...” Terkekek-kekek Farid ketawa. Dia ingatkan temannya itu membuat lawak. Farid menekan-nekan perutnya.
“Pandai kau berlawak. Sakit perut aku.”
“Aku seriuslah, Farid Badli!” Intonasi suara Luqman Hakimi meninggi. Tak senang pula dia diketawakan oleh sahabatnya. Tak normal ke andai dia jatuh hati dengan gadis muda?
Terbeliak mata Farid. Sebesar mata ikan lolong pun ada. “Kau biar betul?!”
“Betullah. Dia jaga Danish kat taska,” balas Luqman Hakimi tanpa berselindung. Baik terus-terang saja kat Farid ni. Selama ni pun segala hal aku banyak kongsi dengan dia.
“So, kau fall in love dengan budak umur tujuh belas tahun?”
“Fall in love ke tak, aku belum pasti. Yang nyata aku suka dia dan Danish juga sukakan dia.”
“Suka ke, cinta ke, samalah tu, Luq. Masalahnya sekarang ni, dia tu budak bawah umur,” tempelak Farid dengan jari telunjuknya naik ke atas.
“Apa pula bawah umur? Tahun ni dah lapan belas tahun dan aku tak kata aku nak kahwin dengan dia sekarang. Aku cuma dalam proses mengurat dia saja.” Farid mengurut dadanya.
“Kusss... Lega semangat aku. Kalau tidak, mahu mati terkejut aku dengan tindakan kau tu.”
“Jadi, kau serius nak pikat dia?” soal Farid.
“Of course,” balas Luqman Hakimi dengan optimisnya.
“Habis... Budak tu suka kau ke tak?”
“Ha... Itulah problemnya.” Luqman Hakimi melepaskan keluhan kecil. “Qistina Airisa tu jual mahal. Payah sikitlah kut.”
“Qistina Airisa? Cantiknya nama. Mesti tuannya pun lawa. Kalau tak, masakan kawan aku ni berkenan.”
“Dia memang cantik, sopan dan pakai tudung,” ujar Luqman Hakimi dengan matanya terbayang Qistina Airisa di dalam kotak ingatan. Ayu sungguh gadis itu dengan kening halus bagai diandam, matanya redup dengan bulu mata yang melentik tambahan lagi hidung mancung terletak seperti Izara Aishah. Bibirnya pula merah asli bak delima merekah.
“Tapi, aku tak rasa kau orang sesuai,” bidas Farid yang tidak berapa setuju dengan gadis muda yang disukai sahabatnya. Kacau Luqman Hakimi berkhayal saja Si Farid ni. “Beza umur kau dengan dia lima belas tahun, tau tak?!”
“Tak mustahil pun andai itu yang telah ditentukan sejak azali,” kata Luqman Hakimi dengan yakin. Benar, siapa kita untuk menolak jodoh yang sudah tersurat? Cuma masih awal bagi Luqman Hakimi mengatakan yang Qistina Airisa itu tertulis di lohmahfuz untuknya.
“It’s up to you. Kau boleh cuba tapi janganlah berharap sangat. Jangan kau letak harapan yang terlalu tinggi. Nanti bila jatuh, sakitnya tidak terperi.” Farid memberi nasihat.
Dia tidak yakin gadis semuda Qistina Airisa mampu menjadi isteri sahabatnya sekaligus menjadi ibu kepada Danish. Dia juga merasakan yang Datin Rohani tidak akan bersetuju bermenantukan gadis belasan tahun malah hanya mempunyai sijil SPM sahaja.
Baginya, Luqman Hakimi hanya dibuai mimpi. Barangkali kerana terpaku dengan keayuan gadis belasan tahun yang pandai menjaga kanak-kanak di taska.
AKU MUNDAR-MANDIR di dalam taska. Aku gelisah sebab aku semakin rimas dengan si duda itu. Sekarang dah pukul lima petang. Sekejap lagi si duda miang tu pasti datang untuk mengambil Danish. Aku ni dah cuak benar dengan dia. Kalau boleh tak nak jumpa dia.
“Kak Isma, kejap lagi kalau Encik Luqman tu datang, Kak Isma tolong bawa Danish ke kereta, ya,” pinta aku kepada Kak Isma.
“Eh… Eh, kenapa akak pula? Kan kamu yang selalu hantar Danish ke kereta. Yang sambut budak tu pagi-pagi pun kamu. Lagipun Si Danish tu sukakan kamu.”
“Kak Isma, please.” Aku merayu. Kedua-dua belah tangan bersatu dan aku letak ke dada sepertinya sangat memerlukan pertolongan. Di dalam kepala, aku ligat berfikir alasan yang terbaik untuk diberi nanti. Kak Isma pandang aku dengan pandangan yang pelik.
“Kamu ni kenapa, Qistina?”
“Tak ada apa-apa, kak. Saya cuma sakit perut,” dalih aku. Ekspresi wajah untuk seseorang yang ada apendiks cuba aku lakonkan sebaik yang mungkin. Kak Isma mengerutkan keningnya. Aku pandang ke arah lain dan pura-pura menggosok perut.
“Saya pergi toilet dulu.” Terkocoh-kocoh aku berlari ke arah tandas. Ada gaya macam pelari pecut seratus meter. Hehehe… Biasalah, berlakon kena lebih, baru orang yang kena tipu percaya. Kata tadi berlakon ada apendiks. Apendiks kena masuk tandas ke? Lantaklah Labu. Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya.
Aku berkurung di dalam tandas lebih sepuluh minit. Selepas itu, aku keluar senyap-senyap macam pencuri. Mengambil tempat di hujung sudut untuk mengintai sama ada Danish telah pulang dengan bapanya atau tidak.
“Dia balik dah. Tak perlu kau dok intai sangat. Lama Qis dalam toilet tadi. Sembelit ke apa?” Suara Kak Isma mengejutkan aku. Kan dah kena perli. Aku tersengih bak kerang busuk. Nasib baik mr. widower tu sudah balik. Ini bermakna aku telah selamat daripada jangkitan gatal miang keladi. Melampaunya kau, Qis. Encik Luqman Hakimi tu tak sampai lagi tahap tu, tapi kau yang tuduh dia begitu. I don’t care because I don’t like widower.
Sebelum Encik Luqman itu berada pada tahap bahaya iaitu menyukai aku, lebih baik aku elakkan diri. Macam orang kata, lebih baik mencegah daripada mengubati. “Dia suruh akak kirim salam kat cik adik manis yang bernama Qistina Airisa.”
Gulp! Si duda tak sedar diri tu boleh sampaikan salam melalui Kak Isma. Menempah maut apa dia tu? Ini bermakna sudah terang lagi bersuluh dia mahu orang lain tahu yang dia sukakan aku. Erk! Kirim salam aje pun. Bukannya suruh hantar flying kiss, Qistina Airisa oi. Gelabah tahap gaban kau ni. Relakslah, jangan emosi sangat. Cool!
“Waalaikumussalam,” balas aku perlahan sebelum berlalu untuk mencapai beg tangan. Petang ini aku terpaksa pulang ke rumah dengan teksi. Tadi Kak Ina cakap, dia ada hal. Jadi dia tak sempat untuk berkhidmat sebagai pemandu tak bergaji aku.
No comments:
Post a Comment