DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 February 2015

Oops! Suami Aku Bukan Duda - Bab 3

RUTIN pagi-pagi aku kat taska adalah menyambut bayi dan kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapa mereka. Seawal jam tujuh pagi lagi aku harus berada di taska. Mula-mula  kerja dulu bukan main mengeluh sebab terpaksa bangun awal pagi.

Semasa di kampung, aku liat juga nak bangun awal. Biasanya sekitar pukul 6.30 pagi baru aku mencelikkan mata. Kalau aku tersedar awal pun, aku akan pejamkan mata sehingga jam loceng aku berdenting pada pukul 6.30 pagi. Umi selalu marah sebab lepas tu aku akan kelam-kabut untuk berkejar ke sekolah. Itulah Qistina Airisa yang suka buat kerja pada saat-saat terakhir. Bila awal terasa awal, bila masa sudah semput baru nak gelabah tak tentu hala.

Alamak, Danish dah sampai dengan bapa dia. Buat senaman muka sikit pagi-pagi ni biar orang nampak kita ni berseri-seri. Mereka nak tinggal anak pun senang hati. Cuba kalau buat muka orang tak cukup tidur, mahu mereka cari taska lain.

Itulah kau, Qistina... Malam-malam suka tunggu TV padahal TV tu bukannya ada kaki nak lari ke mana-mana cuma siarannya saja yang bertukar. Bab siaran itulah yang aku tak tahan. Kat kampung mana ada Astro, jadi tak banyak cerita menarik. Tapi kat rumah kakak aku ni ada ‘kuali’ di atas bumbung. Jadi, aku ambillah peluang itu. Menonton filem yang seronok dan filem yang heronya ganteng-ganteng bak kata orang Indonesia. Hehehe...

“Cikgu… Cikgu… Cikgu…”

“Ya… Saya,” balas aku sedikit gugup. Gugup bukan sebab hati dah terjatuh tau tapi sebab kontrol ayu. Bimbang dikata aku ni hanyut entah ke mana.

“Cikgu fikir apa?” soal Luqman Hakimi. 

Boleh pula bapa Danish ni tanya aku macam tu?

Kenapa? Dia rasa aku ni tengah fikir masalah negara ke? Aku ni bukannya menteri nak fikir itu semua, bapa Danish oi. Aku ni tengah fikir betapa seronoknya semalam dapat menikmati
drama bersiri yang ada Fahrin Ahmad berlakon. Hesy, tak sabar aku nak tengok episod seterusnya malam ini.

“Cikgu, ni beg Danish.”

Aku menyambutnya. “Okey.”

“Cikgu, nak tanya sikit boleh?” Si penyoal meminta izin untuk bertanya. Dah nak tanya, tanya ajelah bapa Danish oi.

“Nak tanya apa erk?” balas aku berbasa-basi sahaja.

“Cikgu ni nama apa?” Kelasnya soalan. Soalan macam budak main pondok-pondok.

“Cikgu Qistina Airisa, papa.” Si kecil tolong jawab. Jimat air liur aku. Walaupun Danish pelat utuk menyebut nama aku. Maklumlah, susah nak sebut huruf Q.

“Ooo…” balas Luqman Hakimi. Mungkin kerana soalan yang dia tuju kepada aku telah dijawab oleh anaknya sendiri. Itulah, macam tak ada soalan lain nak tanya. Setakat hendak tahu nama aku, baik kau tanya Danish di rumah. Semestinya dia tahu nama cikgu kesayangannya ini. Danish tu bukannya bayi berumur empat bulan sampai tak reti nak sebut nama aku. 

Eh… Kejap… Kenapa pula bapa Danish ni sibuk hendak tahu nama aku? Penting ke untuk dia tahu nama aku? Penting kut…. Penting apa pula seorang bapa nak tahu nama pengasuh? Alahai... Apa pasal dengan aku ni? Soalan yang tidak seberat mana tu habis berat aku fikir.

“Ermmm... Cikgu umur berapa, ya?” Luqman Hakimi teragak-agak untuk bertanya. Mukanya nampak bingung seolah-olah berfikir sendiri sama ada betul atau tidak soalan yang dilontar kepada aku.

Apa kes pula dia ni nak tahu umur aku bagai? Aku mula berasa pelik apabila bapa kepada budak jagaan aku pagi ini banyak mulut dan masa untuk tanya aku macam-macam soalan. Macam-macam ke, Qistina? Bukankah baru dua soalan? Itu pun soalan pertama telah dijawab oleh anaknya.

“Perlu ke seorang bapa kepada penghuni taska ini tahu umur pekerja nurseri ni?” Tanpa menjawab soalan daripada Luqman Hakimi, aku terus menyoalnya. Air muka Luqman Hakimi kelihatan berubah. Dia mati kata-kata. Rasa darah panasnya menyerbu ke muka.

“Saja hendak tahu. Maklumlah, cikgu kan orang baru. Lagipun sebelum ni memang saya selalu bertanya umur pekerja nurseri,” balas Luqman Hakimi.

Aku tertawa kecil. Terasa asing kata-katanya itu. Entah apa-apalah bapa Danish ni. Buang tabiat ke apa? Sebelum dia sibuk-sibuk nak tahu umur aku, lebih baik dia balik tanya bini dia hendak makan apa pagi ni? 

“Cikgu… Jomlah,” ajak Danish yang sudah mula bosan dengan drama aku dan bapanya.

Aku memaut bahu Danish dengan mesra. “Jom.” 

Luqman Hakimi terkulat-kulat melihat aku berlalu masuk ke taska dengan anaknya. Biar dia tahu aku tak suka suami orang yang menggatal. Sudah bergelar suami dan bapa tu, tidak perlulah untuk mengusyar mana-mana anak dara seperti aku. Huh! Betul ke dia sedang mengusyar aku tadi? Bukankah dia sekadar bertanya umur? Cepatnya kau ni buat konklusi sendiri, Qistina.

Aku mengintai di balik tingkap. BMW milik bapa Danish telah pun menderum pergi. Tiba-tiba terbit rasa bersalah pula dalam hati ini. Bukan rasa bersalah sebab jual mahal tapi bimbang jika dikata aku ni tidak mesra pelanggan. 

Weh, Qistina... Kau ni bukannya kerja di kaunter pembayaran nak kena senyum dua puluh empat jam. Tak ada maknanya mesra pelanggan.


LUQMAN HAKIMI menghenyakkan punggung ke atas kerusi empuk di pejabatnya. Dia teringatkan cikgu yang menjaga Danish di taska. Sikap selamba gadis itu menggeletek hatinya. 

Nasib baik ketawanya tidak meletus di depan cikgu muda itu. Berapalah umur dia agaknya? Tanya umur pun dah jual mahal, belum lagi aku tanya tinggal kat mana, dah ada pakwe ke belum... 

Gulp! Pakwe? Buat apa aku nak tahu dia ada pakwe ke tak? Aku bukannya nak mengurat dia pun tapi sekadar hendak tahu tentang dirinya. Dia kan cikgu kesayangan anak aku. Tapi masalahnya, dengan pekerja taska lain sebelum ni tak pula mulut aku gatal nak bertanya. Aiseyman! 

Entah kenapa aku rasa Qistina Airisa tu mempunyai sesuatu keistimewaan. Keistimewaan yang aku sendiri tidak pasti. Aku bagaikan ditarik satu kuasa untuk mencari keistimewaan gadis itu. Keistimewaan yang mungkin tidak aku temui pada gadis-gadis di kota metropolitan ini. 

Qistina Airisa, gadis berbaju kurung juga bertudung. Dia bukan gadis yang membuka aurat. Dia nampak begitu sederhana. Wajahnya bersih tidak dicalit sebarang mekap. Dia selamba dan bersahaja dalam berbicara. Jelas gadis itu tidak hipokrit. Dia tidak menyembunyikan dirinya yang sebenar. Pada pandangan Luqman Hakimi, Qistina seperti jinak-jinak merpati. Tidak mudah sebenarnya gadis sebegitu untuk didekati.

Tok-tok!

Pintu bilik Luqman Hakimi diketuk sekaligus mematikan monolog Luqman Hakimi. Dia tersedar lantas cepat-cepat memberikan arahan. “Masuk.”

Terjongol kepala setiausahanya. “Encik Luqman, Datuk Khalid dah sampai.”

“Okey. Awak suruh dia masuk,” balas Luqman Hakimi. Baru dia teringat yang dia mempunyai mesyuarat dengan lelaki separuh abad itu.

“Baik, encik,” jawab setiausahanya sebelum berlalu. Luqman Hakimi, sekarang masa untuk bekerja. Sila berikan perhatian. Jangan sampai terlepas projek dengan Datuk Khalid pula. 

Cik Qistina Airisa, sila keluar dari minda saya, ya. Jangan ganggu saya untuk seketika, bisik Luqman Hakimi. Lagaknya seperti memberi arahan kepada Qistina walhal arahan itu untuk dirinya sendiri. Serta-merta bibirnya membiratkan senyuman tipis.

BOLEH KITA sambung soalan pagi tadi?” tanya Luqman Hakimi sewaktu dia datang untuk mengambil Danish di taska. Ya Allah mamat ni. Sempat lagi. Dahlah dia penjaga yang paling lewat datang ambil anak petang ni, tapi nak juga dia bangkitkan soalan pagi tadi. Mentang-mentanglah soalan dia tu belum dijawab. Kuat benar ingatan si mata empat ni.


“Maaf encik, taska dah nak tutup. Jika ada soalan berbangkit rasanya kita sambung minggu depanlah, ya,” balas aku dengan senyuman sinis.

“Minggu depan tu lambat, cikgu. Soalan ni kalau dibiarkan tertangguh tanpa jawapan memang tiada penyelesaiannya. Harap cikgu dapat memberi pertimbangan.” 

Uih! Kelasnya dia ni susun ayat. Agak-agaknya kertas Bahasa Malaysia masa SPM dia dapat A plus plus plus. Aku ni BM dapat A tolak saja tau. Huhuhu... Sedih. Mungkin SPM tahun dia senang. Tengok dia ni kan dah berumur bermakna SPM dia dah lama berlalu. Format pun tak sama dengan format SPM aku tahun lepas. SPM sekarang lagi susah, tahu tak Encik Luqman Hakimi? Apa yang kau melalut ni, Qis? marah hatiku sendiri.

“Boleh ke cikgu bagi pertimbangan?” pinta Luqman Hakimi sekali lagi apabila aku belum berkutik.

“Boleh… Boleh… Sila ulang soalan old version awak yang pagi tadi tu. Saya ni pelupa orangnya,” tutur aku dengan muka sepuluh sen. Aku yang kuat ingatan ni sanggup mengaku
nyanyuk. Biasalah, berlakon aje kan. 

“Kuat makan mangga muda ke apa cikgu ni? Soalan yang masih panas-panas pagi tadi tu boleh lupa,” sindir Luqman Hakimi.

Aduh! Kali ni aku yang terkena. Pandai rupa-rupanya dia main ayat perli. Ingat aku aje yang hebat. Kau ingat aku ni bunting ke nak lahap mangga muda? Aku tahulah orang yang kuat makan asam akan mudah jadi pelupa tapi tak payahlah sindir aku macam tu. Bukannya dia pernah tengok aku makan mangga muda pun.

“Saya tak suka mangga mudalah. Saya suka mangga yang telah masak. Yang manis.” Sedikit tegas aku tuturkan ayat tersebut. Mood geram sudah melanda.

“Oh, suka mangga manis. Esok saya tolong belikan. Nak berapa kilo?” Soalan yang sudah keluar dari topik asal sengaja diaju oleh Luqman Hakimi.

“Tak apalah, encik. Terima kasih. Ambil beg anak encik ni. Saya hendak pulang. Jumpa lagi minggu depan.”

“Kut ya pun, jawablah dulu umur cikgu berapa,” ujarnya dengan kaget kerana terpaksa menyambut beg yang sudah hampir jatuh. Beg Danish yang aku beri tergesa-gesa tu nyaris jatuh sebab dia belum bersedia hendak ambil. Nasib baik Danish tengah layan game di dalam kereta. Kalau tak, tentu dia dah tarik tangan bapanya untuk masuk dalam kereta. Budak manalah suka menunggu lama-lama.

Aku buat-buat tidak dengar. Pekakkan seketika telinga aku ini. Kaki terus aku ayun berlalu darinya. Aku bosan hendak melayan lagi. Kalau tak ingatkan dia bapa Danish, mahu saja aku ketuk dengan selipar aku. Tak pasal-pasal lekat cap ‘SIRIM’ dekat bahu dia tu.

Hairan bin ajaib pula aku dengan Si Luqman Hakimi ni. Sejak dua menjak ni, dia kerap tegur aku. Macam ingin berborak-borak dengan aku. Sebelum ni tak pula dia bersikap begitu. Sekadar ambil dan hantar Danish. Kalau dia bersuara pun sekadar ucap terima kasih. Adakala langsung tak bercakap apatah lagi hendak senyum.

Tetapi sekarang apabila dia dah tak jadi bisu, aku pula yang tak senang. Aku rasa macam ada sesuatu. Kalau dia tu bujang seratus peratus, aku tak hairan. Ini bapa orang. 

Aku ni buat silap tang mana sampai dia tidak malu untuk bergurau dengan aku? Hendak kata aku ni pernah kenyit mata kat dia, mustahillah. Memang aku tak buat kerja macam tu. Hendak kata aku senyum lebih-lebih pun aku rasa sengihan aku masih pada tahap normal.

Tolong! Siapa boleh jawab ni?

No comments:

Post a Comment