DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 22 February 2015

Dia Yang Terpilih - Bab 2

LANTAI bumi sejak semalam disimbahi air mata dari langit kini kelihatan berlopak-lopak. Rumput yang melata di bumi tumbuh menghijau bagaikan baru sahaja mendapat kuasa penyubur.

Aku mula menyudahkan kekemasan tudung yang agak sukar dibentuk ini. Entah kenapa hari ini terasa semuanya payah bagiku. Naziah mengajak aku menemaninya ke rumah neneknya. Katanya ada kenduri. Mulanya aku hendak menolak memandangkan moodku telah berubah sehingga 360 darjah namun mengenangkan dia telah banyak berkorban untukku, apalah salahnya jika aku menemaninya sebentar.

Sekurang-kurangnya hilang sedikit rasa remuk di jiwa mengenangkan sikap si dia terhadapku. Sayup-sayup aku terdengar orang memberi salam. Sudah tentu Naziah sudah sampai seperti yang dijanjikan.

“Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam... Zie, naik dulu. Aku tengah bersiap.” Jeritku dari dalam bilik. Entah dia dengar atau tidak. Aku terdengar pula suara emak menjawab salam Naziah, sudah tentu Naziah tidak mendengar jawapan salamku sebentar tadi.

“Waalaikumussalam. La... Zie rupanya. Dah tak kenal mak cik, lain sangat rupanya.”

Aku ketawa kecil dengan celoteh emak menyambut kedatangan Naziah. Sudah tentu emak terpegun dengan kecantikan Naziah yang sudah pandai bergaya. Naziah ketawa kecil dengan kata-kata emak. Malulah tu apabila dipuji. 

“Lain apanya mak cik, sama macam dulu juga.” Balas Naziah mengundang tawaku di dalam bilik. Sama apanya, cuba tengok gambar dulu dan sekarang. Bagai langit dan bumi bezanya.

“Maaf mak cik, semalam Zie tak sempat nak jumpa mak cik. Nak cepat sangat, takut la nak lalu lorong dekat simpang tu malam-malam buta. Sorang diri pulak tu.” 

“Takpelah Zie, ini pun dah jumpa kan. Makin cantik dan berseri-seri kamu ni mak cik tengok. Tentu dah ada pasangan, kan…” teka emak. Aku telan liur. Bimbang pula rasa hati, takut nanti soalan itu bakal berjangkit kepadaku pula. 

“Zie... duduk dulu. Aku nak baiki tudung, tak menjadi pulak hari ni.” Aku jenguk kepalaku dari dalam bilik. Emak dan Naziah terjongket bahu, terkejut mungkin dengan kehadiranku seketika itu. Aku ketawa kecil.

“Kus semangat...” kata Naziah sambil tangannya melekat di dada. Emak mencerlung tingkahku. 

“Ha... kan betul tekaan mak cik...” 

Ah! Masih berkisar tentang itu rupanya walaupun aku cuba mengalihkan tumpuan. Emak masih berusaha mengorek rahsia hati Zie. Mungkin emak mahu mengorek perihal anaknya juga.

“Ni mak cik nak tanya Zie... Maira dah berteman ke belum?” perlahan emak bertanya namun aku mendengarnya dengan jelas.

Hatiku dihambat debar. Apakah temanku itu akan membocorkan perihal aku dan si dia. Aku berharap sangat Zie akan menyimpan hal ini daripada pengetahuan emak. Bukan aku tidak mahu bercerita tapi tengoklah apa yang telah terjadi. Tidak seperti apa yang kami rancang, dan aku terlalu bimbang andai janji si dia tidak tertunai seperti semalam. Lama  Naziah terdiam, kukira tentu dia memikirkan jawapan yang sepatutnya diberikan.

“Maira tu mak cik, berderet yang nak. Tapi dia tu la... jual mahal sangat.” Hanya itu yang mampu terkeluar dari mulut Naziah. Aku menarik nafas lega. Terima kasih Zie... ucapku dalam hati.

“Siapalah yang dia tunggu tu Zie. Risau mak cik.” Tanya emak perlahan. Hatiku menjadi sebak mengenangkan perhubunganku dengan si dia. 

“Errr... Maira tak siap lagi ke mak cik?”

“Hmmm... entahlah budak tu. Itulah... mak cik dah beritahu dia, kalau nak keluar siaplah awal-awal. Ini tidak. Kamu tahulah sikap degilnya tu, bukan nak dengar cakap orang,” bebel emak.

“Apa yang mengumpat Maira ni mak... Zie?” Emak dan Naziah sama-sama memandang ke arahku. Aku pamerkan wajah semanis mungkin.

“Tak mengumpat pun, mengata aje.” Balas Naziah bersahaja.

“Samalah tu. Aku dah siap ni. Mak, Maira pergi dulu.” Aku menyalami tangan emak, dia menghadiahkan sebuah senyuman.

“Mak cik... Zie pergi dulu ya,” giliran Naziah pula menyalami emak.

“Hati-hati bawak kereta, jangan lama sangat. Nanti boleh la kamu kenal dengan tunang Imah.” Ujar emak di muka pintu.

“Wah, tunang Imah nak datang ya mak cik. Ini berita baik.” Ucap Naziah gembira.

“Mak, kami pergi dulu.” Aku segera membuka pintu kereta Naziah, lagi lama aku di situ makin lambat pula tibanya. Bukannya dekat rumah nenek Naziah dari sini. Hampir satu jam perjalanan.

“Pukul berapa keluarga tunang Imah nak datang?” soal Naziah memecah kesunyian. Radio diperlahankan. 

“Entah la, lupa pulak aku nak tanya tadi. Kenapa?”

“Apalah kau ni, macam tak suka aje Imah kahwin dulu. Tapi kenapa diaorang datang ek?” soal Naziah yang tenang memandu.

“Nak tetapkan tarikh la tu.” Aku cuba meneka sendiri. Naziah ketawa kecil.

“Nampaknya Imah kahwin dulu la daripada kau, kan Maira. Opah macam mana? Terpaksa la dia menurut kepala batu cucunya yang sorang ni, ye tak?” Aku ketawa mendengar Naziah mengenakan aku. Memang aku keras kepala tapi cuma hal-hal tertentu sahaja.

“Hmm... entah la Zie. Tapi aku tak rasa opah akan mengalah dengan aku. Kalau kau kata aku keras kepala, opah lagi berganda keras kepala daripada aku. Cuma dia belum mahu tunjukkan lagi keras kepalanya tu.”

“Habis tu kau macam mana?”

Aku memandang wajah Naziah. Apa pula maksud soalannya itu? 

“Macam mana apa? Aku macam ni la.” Balasku. 

“Kau ni... tak faham aku. Dia tak ada telefon kau sampai sekarang ke?” soal Naziah tegas.

Aku cuma geleng kepala, tidak mahu Naziah membuka cerita tentang si dia yang menyepikan diri sejak dari semalam. Dan hari ini aku sengaja tinggalkan telefonku di dalam  bilik sebagai tanda protesku akan sikap tidak bertanggungjawab si dia itu. Sayu dan terluka aku saat ini mengenangkan dia yang memungkiri janjinya.

Aku tahu Naziah sedang mencuri pandang ke arahku. Aku bercakap seperti orang tidak mempunyai perasaan. Dia seperti terseret sama dalam masalah aku. Hanya dialah teman yang memahami sekeping hati ini. Dari raut wajah kerisauannya itu, jelas kelihatan yang dia begitu mengambil berat. 

“Eh! Maira... kau nampak tak tu?” suaranya sedikit terjerit membuatkan jantungku berdegup laju. Apa sudah jadi? Aku memandang wajah Naziah yang sedang memandang cermin pandang belakang.

“Apa dia Zie?” soalku cemas apabila melihat Naziah seperti kekalutan.

“Tu... kau nampak tak?” tekan Naziah bersama muncung di bibirnya mengarahkan pada cermin pandang belakang. Apa yang ingin ditunjukinya kepadaku? Aku jadi bingung.

“Apa Zie?”

“Pian.” Sebaris nama itu terlucut dari bibirnya. Aku berusaha untuk menoleh ke belakang tapi ternyata apa yang dikatakan Naziah itu langsung tidak kutemui. Aku menjeling Naziah sekilas. Geram. Sempat lagi dia bergurau dalam keadaanku begini.

“Mana ada. Kau ni merepek aja!”

“Betullah Maira. Aku tak tipu. Dia ada balik ke?” soal Naziah bersungguh-sungguh. 

“Kau ni, kalau ya pun rindukan Pian bawak kereta tu elok-elok sikit. Aku tak nak mati lagi tau! Kahwin pun belum ni.”

“Betullah Maira...” ada rajuk pada suaranya. Aku sangkakan Naziah bergurau, rupanya dia serius dengan kata-katanya apabila dia menjeling geram.

“Aku tak nampak la. Kau ni pun…. Mana?” marahku sambil sekali lagi berusaha menoleh ke belakang. Memang betul, aku langsung tidak nampak sesiapa di belakang. Kereta Naziah meluncur laju. Mana sempat aku nak melihat sesusuk tubuh yang diperkatakan Naziah tadi.

“Kalau betul dia tu Pian, kenapa kau tak berhenti aje tadi?”

“Macam mana aku nak berhenti. Aku sendiri pun tak berapa nak pasti tadi. Tapi aku rasa dialah Maira. Betul... aku tak tipu...” katanya bersungguh-sungguh.

“Hmm... ikut suka kau la Zie. Kalau kau nak confirmkan lagi, nanti petang kita singgah rumah Abang Din ek.” Aku ketawa kecil sengaja mahu mengenakan Naziah. 

“Kau ni... mula la tu nak menyakat aku.” Rajuknya dengan muka cemberut.


AKU MEMANDANG halaman rumah. Tiada kereta terparkir. Tentu keluarga bakal besan emak masih belum sampai. Aku lihat wajah Imah semakin berseri-seri, sesekali terdengar suara Acu yang mengusik sakan kak ngahnya. Aku tumpang gembira melihat kegembiraan mereka sementara hatiku masih berkabung dengan janji manis si dia.

“Dah la tu Acu, tak baik sakat kak ngah macam tu.” Suara emak melarang. Tapi Acu terus-terusan mengusik Imah. 

Opah sedari tadi asyik tersenyum. Bagaikan tidak sabar untuk merealisasikan hasratnya. Kuih-muih yang Imah sediakan sudah terhidang di atas meja. Wah! semuanya sudah nampak teratur. Aku tambah sedikit lagi dengan kuih yang dikirimkan oleh nenek Naziah tadi di meja itu. Nampak seperti kenduri-kendara pulak jadinya.
 
Salam dari luar kedengaran. Imah memandang wajahku lalu dia menundukkan wajah tatkala aku mengenyitkan sebelah mataku kepadanya. Wajahnya mula merona merah. Malu agaknya apabila aku menyakatnya begitu. 

Opah berjalan laju ke pintu menyambut kedatangan tetamu yang ditunggu-tunggu. Aku dan Naziah pula berlalu ke dapur. Imah mengekor dari belakang. Biarlah urusan itu hanya orang tua yang selesaikan. Aku jadi pelayan, sudah. 

“Kau rasa kan Maira, tunangan Imah tu hensem tak?” soal Naziah sambil menjeling Imah. Imah di sebelahku tersipu-sipu malu apabila Naziah sengaja menyakatnya begitu, malah suara itu sengaja dikuatkan. 

“Tentulah hensem. Imah pun cantik sangat.” Pujiku ikhlas.

“Kau dah pernah tengok ke tunang Imah?” soal Naziah tiba-tiba. Aku tersengih.

“Belum...” jawabku sepatah. 

Naziah membulatkan matanya, terasa tertipu agaknya dengan kata-kataku tadi.

“Kalau tak hensem, takkanlah adik aku boleh tunggu dia sampai tiga tahu Zie. Tiga tahun tau,” usikku menambahkan lagi malunya.

“Pihak lelaki nak tetapkan tarikh? Diaorang nak buat bulan berapa Imah? Eee... tak sabarlah Kak Zie nak tengok Imah naik pelamin.”

“Kak Zie dulu la, baru Imah.” Jawabnya malu-malu. Jelas kelihatan wajahnya merona merah. Naziah menjuihkan bibir. Kononnya tuding kepadaku.

“Takde calon lagi ke?” soal Imah berani.

“Dia dah ada dik, tapi itulah... liat sangat nak kahwin. Tunggu apa lagi, entahlah...”

“Ehh! Ehh! Sedapnya mengata, aku tunggu kau la... kata nak naik pelamin sama-sama.” Bidasnya lalu kami sama-sama ketawa. Ketawa mati tatkala melihat emak menjeling dari atas. Mungkin tidak suka mendengar ilai tawa anak daranya yang terlepas laku.

“Errkk... bila masa pulak aku nak naik pelamin dengan kau Zie? Aku nak naik sorang-sorang la,” balasku perlahan sambil menjeling geram. Imah ketawa sopan. 

“Zie, kau ada bau tak?”

“Bau? Bau apa? Kau ni merepek ajalah.” Naziah cuba menghidu.

“Betul... Kau ada bau tak?” 

“Takde pun. Kau kentut ke? Isy... tak senonoh la.”  Naziah cuba menghidu bau yang aku katakan tadi. Sesekali mukanya berkerut. Aku hampir tergelak sakan tapi aku tahankan juga.

“Bukan itulah ngok! Kau ada bau nasi minyak tak?” kataku sambil menjeling ke arah Imah yang tertunduk malu. 

“Hahaha... apalah kau ni Maira. Aku ingatkan bau apalah tadi.” Suara Naziah pecah berderai. Dia cepat-cepat menutupi mulutnya. Bimbang nanti akan didengari tetamu di luar.

“Syhhh... syhhh... dah nak mula.” Aku meletakkan jari telunjuk di bibir meminta tumpuan pada apa yang hendak diperkatakan pihak keluarga lelaki. Jujur aku katakan, aku pula yang berdebar-debar menunggu butir bicara mereka. Imah sedari tadi tersenyum sambil menunduk. 

“Makde Esah apa khabar?” sopan Haji Khalid mula berbicara. Dapat aku bayangkan, beginikah nanti apabila keluarga si dia datang merisikku? Hatiku dikulum sebak mengenangkan hasrat tidak kesampaian itu.

“Alhamdulillah Khalid, makde macam nilah. Sihat,” ucap opah ceria. Sudah lama dia menantikan saat ini. Saat hasrat mereka bakal ditunaikan. Opah dan emak bagaikan tidak  sabar mahu menerima menantu. Kuintai di balik tirai, wajah-wajah ceria terpamer di depan mata. Alangkah bahagianya andai hari ini aku juga memperkenalkan lelaki yang bakal menjadi suamiku.

“Dah lama rasanya kami tak jengah makde. Abang Khalid ni asyik sibuk aje. Dah nak pencen pun sibuknya mengalahkan menteri pulak.” Sampuk si ibu. Mesra bunyinya. 

“Biasalah Rohana, kamu kenalah banyakkan bersabar. Kalau ikutkan kerja, memang tak pernah habis. Makin hari semakin menimbun. Macam cucu sulung Mak Esah juga, asyik kerja aje sampai nak fikir pasangan hidup pun tak sempat.” Keluh opah membabitkan diriku pula.

“Orang sekarang Makde Esah, tentu dah ada calon tu. Cuma tunggu masa aje nak temukan dengan Makde Esah.” Ujar si ayah mengundang tawa isi rumah. Aku di dapur cuba menutupi keresahan itu walaupun Imah sudah mencuit-cuit bahuku.

“Nab macam mana sekarang ni?” Hajah Rohana berkalih pula bertanya khabar kepada emak. Agaknya beginilah apabila kawan lama tak berjumpa. Bukan sehari mereka kenal. Kata emak, sejak dari kecil lagi mereka tinggal sekampung tapi selepas berkahwin mereka semua berpindah. 

“Nab macam nilah Ana... masih sihat.” Jawab emak tersipu-sipu.

“Dah lama saya tak berziarah ke kubur arwah Hamid Makde. Insya-Allah, ingatkan petang nanti sebelum balik nak singgah sekejap.” Opah cuma tersenyum. Aku cuba mengintai wajah bakal emak mentua Imah namun sedikit terlindung. Dari tutur katanya aku pasti tentu bakal emak mentua Imah baik orangnya. 

“Mana anak kamu? Tak nak naik ke rumah ke?” soal opah membuatkan aku dan Naziah saling berpandangan. Hati masing-masing sudah tidak sabar melihat siapakah gerangan lelaki bertuah itu. Sejak dari tadi aku juga tercari-cari siapakah bakal adik iparku itu. Kelibatnya ditunggu-tunggu. Tiba-tiba dadaku disapa sebak. Betapa bahagianya Imah di mataku menemui cinta hatinya. Aku pula masih teroleng-oleng menanti noktah yang jelas daripada si dia. Terasa diri bagai dipermainkan.

“Ada kat bawah Makde. Dia suruh kami naik dulu. Kebetulan terjumpa kawan lamanya. Itu yang dia lambat sikit.” Jawab si ibu.

Oh! Dia ada kawan di sini rupanya. Tentu dia selalu juga merisik khabar tentang Imah daripada temannya itu. Pemalu juga bakal adik iparku itu. Padan benarlah dengan Imah. 

“Kenapa tak ajak naik sekali kawannya tu. Acu... Acu... panggil abang kamu tu naik. Nak malukan apanya. Dah tak lama kita nak jadi keluarga.”

Terkedu aku dengan layanan opah pada bakal cucu menantunya. Aku, Imah dan Zie saling bertatapan. Akhirnya Imah mengalah. Wajahnya sudah kemerahan. Malu tapi mahu. Itulah yang dapat kugambarkan perasaannya ketika ini. 

“Begini Makde... kedatangan kami sekeluarga ke sini ada perkara yang hendak dibincangkan.” Lambat-lambat suara itu memecah keriuhan. Aku menyiku Imah yang semakin menundukkan wajah. Naziah sedari tadi tidak sudah-sudah mengusik. Kasihan adikku.

Opah tersenyum menantikan kata-kata seterusnya. Kami di dapur tidak usah cakap. Kalau boleh saat dinyatakan hasrat itu bagaikan mahu meraikan dengan bunga api. Aku pula yang tidak sabar-sabar. Imah sudah malu, lalu dia sengaja mengalihkan perhatian dengan melakukan kerja-kerja dapur. Tak senang duduk jadinya apabila dia tahu mereka sedang membincangkan hal yang penting itu.

“Hal ini berkaitan anak kita Nab...” si ibu membantu suaminya menyatakan hajat kedatangan mereka setelah suaminya itu seakan sukar untuk menyatakannya. Aku masih tidak berganjak dari tempatku memerhati tingkah mereka walaupun sedikit terlindung. Suara itu seperti pernah menyapa telingaku.

“Elok sangat la tu Khalid, Ana. Lagipun budak berdua tu dah lama bertunang. Rasanya memang patut kita bincangkan pasal mereka sekarang ni. Makde takde halangan kalau  kamu nak menetapkan tarikhnya. Lagipun anak kamu pun sudah habis belajar. Dah bekerja pun. Eloklah kita satukan mereka tu. Kata orang tak elok bertunang lama-lama.” Ujar opah.

Memang sudah terlalu lama mereka bertunang, aku juga mahu disegerakan perkahwinan mereka. Melihat keadaan Imah, memang elok sangatlah. Atau opah sedang menungguku? Awak, di mana awak? Saya perlukan awak. Hatiku terasa mahu menangis saat ini. Bahuku ditepuk. Naziah menggelengkan kepalanya. Lalu aku hadiahkan dia dengan senyuman pahit. Perasaan juga dia dengan sikapku. 

“Mana airnya Nab? Kuih yang bersusun-susun tadi tu mana? Hidanglah.” Pinta opah bersungguh-sungguh. Aku dan Naziah saling berpandangan lalu ketawa kecil. Inilah masa yang ditunggu-tunggu. Mendapat kelulusan daripada opah. Sekejap lagi bolehlah kami menatap wajah lelaki milik hati Imah.

“Tak payah susah-susah la Nab, Makde, kami pun baru sudah minum tadi.” Bantah Mak Cik Rohana. Namun aku tahu itu sekadar berbahasa.

“Tak ada susahnya Ana. Imah yang buatkan. Kamu pun bukannya selalu datang. Takkanlah kamu datang ni kami tak jamu apa-apa.” Balas emak tersenyum meleret. 

“Kak... kak... mak suruh bawa air ngan kuih ke depan.” Acu terjongol di muka pintu. Kami bertiga hampir terjerit dengan kelakuan Acu yang tak semonggeh itu. Bercakap kuat seperti kami bertiga ini pekak. 

“Kau sini Acu. Akak cubit karang. Tak boleh sopan sikit ke bercakap tu?” marahku. Adik bongsuku itu cuma tersengih-sengih. Aku dan Imah membawa air dan kuih yang diminta. Zie turut membantu. 

Imah menatang dulang minuman, wajahnya ditundukkan. Malu dan segan berhadapan dengan bakal mentua agakku ataupun malu bertentang mata dengan tunangannya. Maklumlah hanya berhubung melalui e-mel sahaja. 

Naziah mengekor di belakangku. Masing-masing melemparkan senyuman tatkala mataku melihat sesusuk tubuh lelaki yang baru melangkah masuk. Aku terpegun. Mata saling bertatapan tanpa bicara. Hanya hati yang tertanya-tanya. Bagaimana dia boleh berada di sini? Untuk apa  kedatangannya ke mari?

“Kamil...” hanya nama itu yang mampu terlucut dari bibirku. Dia... ya, memang dia! Naziah berpaling ke arah Kamil Hakim di ambang pintu. Piring kuih yang kupegang bagaikan mahu terlungkup ke lantai. Nasib baik aku cepat tersedar. Tanganku menjadi lemah, selemah degupan jantungku. Ketar lututku, berdiri kaku di situ. Hanya Tuhan yang tahu apa yang kurasakan. Naziah juga sepertiku. Dia juga tidak bergerak. 

“Ha Maira... Zie... kenapa tercegat kat situ? Bawa kuih tu ke mari.” Sapa opah membuatkan aku kembali berada di alam sedar.

Pandanganku jatuh pula pada tetamu yang sedang duduk, mereka turut memandangku dengan wajah kehairanan. Hajah Rohana pula tidak berkelip menatapku. Jantungku mula berdetap laju. Ada sesuatu yang belum aku ketahui. Apakah semua ini penamat pada sebuah penantian yang begitu panjang bagiku?

Kamil Hakim masih berdiri kaku di muka pintu. Agaknya dia sudah lumpuh untuk melangkah. Naziah memandang tepat wajahku. Agaknya pelbagai persoalan yang ada dalam benaknya. Aku gagahi diri untuk melangkah walaupun terasa kepala lututku semakin longgar. Diakah ini tunangan Imah? Lelaki yang pernah kutolak lamarannya ketika opah beria-ia ingin menyatukan kami. 

Ya Allah... tabahkan hatiku Ya Allah. Apakah ini dugaan-Mu buatku? Kiranya inilah ujian buatku, moga kau kukuhkan hatiku dengan keimanan dan ketabahan. Aku merintih dalam hati, menyaksikan kedatangan Kamil Hakim sebagai tunang Imah. Aku memaniskan wajah di hadapan bakal ibu dan bapa mentua Imah. Senyumanku disambut tawar oleh ibu Kamil Hakim. Aku mengerti dan faham akan senyuman itu. Sepahit senyuman Hajah Rohana, pahit lagi kekecewaan yang aku telan. Ini masalah Kamil Hakim rupanya. Sanggup dia bohongi aku. Apa salah aku kepadanya? Sampai hati dia mempermainkan diriku.

“Ini anak sulung Nab, Maira...” emak perkenalkan aku kepada Hajah Rohana.

Aku menghulurkan tanganku. Walaupun Hajah Rohana mengenaliku, dia berpura-pura tidak mengenali aku. Mungkin sedaya upaya dia menutupi pertemuan itu daripada pengetahuan semua orang. Dia resah saat mata kami bersatu. Ada rasa sayu di situ. Sejuk tanganku ketika tangan kami bersambutan. Aku tahu Hajah Rohana tidak menyangka pertemuan ini menjadi serumit begini.

“Cantik anak sulung Nab.” Puji Hajah Rohana sambil mengerling Kamil Hakim yang entah bila sudah duduk bersila di sebelahnya.

“Yang itu pula Zie, teman baik Maira.” Perkenal emak kepada Hajah Rohana.

Dari ekor mata, dapat aku lihat Kamil Hakim masih berani menatap wajahku. Aku hadiahkan dia dengan senyuman sinis. Biar dia mengerti bahawa hati aku sakit apabila  dibohongi. Dia lantas tunduk merenung lantai. Pasti dia rasa bersalah dengan apa yang berlaku hari ini. Aku sudah mendapat jawapannya, jadi selepas ini aku kira tidak perlulah aku menuntut atau mendengar apa-apa pun jawapan daripadanya. Aku menghadiahkan dia dengan jelingan tajam saat dia mengangkat kepalanya sebelum aku berundur memberi peluang kepada Naziah untuk bersalaman dengan Hajah Rohana. Mata tua itu langsung tidak melepas pandang ke arahku.

“Kamil...” sapa Naziah. Opah dan emak memandang wajah Naziah.

“Err... sebenarnya kami dah kenal Kamil Hakim, opah, mak cik. Kamil kawan Maira.” 

Naziah bersuara. Aku tidak mampu menahan Naziah daripada membocorkan perhubungan kami. Aku sudah tidak senang duduk. Imah di belakang aku pandang wajahnya. Nyata dia  juga terkejut. Aku mulai dilanda bimbang andai Imah mengetahui akan perhubungan kami.

“Tak sangka pula dapat jumpa kat sini. Bakal adik ipar rupanya. Kecilnya dunia ni, kan Kamil.” Sindir Naziah lalu ketawa kecil.

Aku menarik nafas lega apabila Zie langsung tidak menceritakan sejauh mana perhubungan kami. Sebaik mungkin aku tutupi air muka aku dari pandangan mereka, lebih-lebih lagi daripada Imah. 

“Oh... ya ke? Patutlah Kamil tengok Maira macam tengok jembalang aje. Kawan rupanya,” jawab opah sambil ketawa, disusuli emak. Namun ketawa hambar pula daripada pihak sana. Ada riak gusar dapat aku kesan. Hatiku tertanya-tanya.

“Kenapa tak beritahu? Itulah... tunang adik sendiri pun tak kenal, rupanya kawan sendiri.” 

Opah seperti memerliku. Aku hanya menekur lantai, punah sudah segala impian. Imah mencuit lenganku seakan ingin bertanya lebih lanjut. Jelas wajahnya sedikit berlainan. Aku hanya mampu tersenyum tawar. Hatiku hancur saat ini. Hati tabahlah buat seketika, jangan kau hadirkan mutiara itu sebelum tiba masanya. Kuntum-kuntum senyum tawar Kamil Hakim tidak lagi mampu mengubah hatiku yang terluka. Apakah kedatangannya untuk memutuskan pertunangan dengan adikku? Aku dapat menekanya begitu apabila melihat riak-riak gelisah pada wajah mereka. Lebih-lebih lagi air muka ibu Kamil Hakim dan dia sendiri.

Tidak! Imah tidak akan menjadi mangsa dalam keterlanjuran aku mencintai Kamil Hakim. Aku tidak sekali-kali akan membiarkan Kamil Hakim mengakhiri pertunangan ini dengan jalan perpisahan. Tidak! Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini dalam menangani persoalan ini Ya Allah. Kenapalah Kamil Hakim tidak menceritakan perihalnya kepadaku? Patutlah sedari tadi jantungku berdegup laju. Dia rupanya tunangan orang, malahan tunang adikku sendiri. Kejamkah aku cuba merampas kebahagiaan Imah? Lara hatiku semakin berpanjangan. Bilakah ia akan bernoktah? 

Aku mengangkat wajah apabila kurasakan aku mampu menentang wajah Kamil Hakim yang kian menunduk. Aku memandang wajah Haji Khalid yang kelihatan berkerut dahinya. Agaknya dia sudah dapat mengagak daripada air muka kami. Dia berkalih pula merenung wajah anak lelaki tunggalnya, mungkin juga sedang membaca fikiran anaknya itu. Haji Khalid kembali merenungku. Aku tunduk mengalah. Agaknya dia sudah mengingati wajah anak sulung Abdul Hamid, walaupun waktu itu aku berusia 12 tahun. 

Pertemuan abah mengunjunginya dengan membawa aku waktu itu membuka hatinya untuk berbesan dengan abah. Dan takdirnya aku menolak lamaran itu tika dia datang menuntut janji.

“Beginilah Makde... semua dah ada. Maira pun dah kenal Kamil Hakim rasanya. Eloklah kami nyatakan hasrat kedatangan kami ke sini.” Hajah Rohana memandang wajahku bersilih ganti dengan Kamil Hakim.

Saat ini jantungku bagaikan tidak berdenyut lagi. Janganlah Hajah Rohana memutuskan pertunangan Kamil Hakim dengan Imah. Aku tidak sanggup melihat Imah kecewa di tangan aku sendiri. Aku tidak sanggup melihat senyuman itu luput di bibirnya.

Ya Allah tabahkanlah hatiku menerima apa sahaja ketentuan-Mu Ya Allah. Aku hanya mampu berdoa. Janganlah Mak Cik Rohana membuat keputusan yang bukan-bukan. Pohonku dalam hati.

“Kalau boleh kami mahu menetapkan tarikh nikahnya Kamil dan Imah, Makde.” Lancar sahaja Hajah Rohana menuturkan kata-katanya. Aku menarik nafas lega. Rasa bebanan sebentar tadi hilang begitu sahaja. Aku pandang wajah Naziah yang sedikit hampa. Apakah temanku itu turut merasa kecewa? Haji Khalid memandang wajah Hajah Rohana bagaikan kesepakatan mereka tidak menjadi.

Kamil Hakim mengangkat wajahnya. Terkejut mungkin dengan apa yang baru sahaja disampaikan oleh emaknya. Dia melirik kepadaku yang sedang tersenyum tawar. Nampak jelas di matanya perasaan kecewa itu.

“Mak…” Suara Kamil Hakim perlahan memanggil emaknya. Kamil Hakim gelisah sendiri.

“Kamil Hakim dah tak sabar Makde. Sebab itulah kami cadangkan eloklah kita satukan mereka. Macam yang Makde cakaplah, tempoh pertunangan tak elok dipanjangkan lagi. Pihak perempuan macam mana?” Lancar Hajah Rohana membuat keputusan. Wajah anaknya langsung tidak dipandang. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan aku waktu itu.

“Makde takde halangan Ana. Makde yakin Imah juga takde masalah, cuma...” Opah sudah mengatakan persetujuannya tapi masih ada hal yang nampaknya menjadi halangan. Jiwaku sudah melayang sedari tadi. Apa yang dibincangkan mereka sudah tidak menjadi hal bagiku.

“Cuma apa Makde?” ada resah pada wajah Hajah Rohana. Dia saling berpandangan dengan Haji Khalid.

“Cuma Makde harap perkahwinan Imah dilangsungkan selepas kakaknya.”

Aku terkejut saat opah menyatakan hasratnya di depan keluarga Kamil Hakim. Apakah aku akan tetap berkahwin walaupun aku tidak lagi mempunyai calonnya? Dengan siapa? Aku genggam tangan Naziah yang setia menjadi kekuatan ketika aku sudah tidak berdaya lagi. Imah tersenyum manis memandang wajahku. Aku membalas senyumannya bersama genangan air mata. Berakhirnya sebuah kisah cinta hatiku yang tidak mungkin kesampaian. Hajah Rohana dan Haji Khalid pula menarik nafas lega.

“Kalau itu permintaan Makde, kami takde halangan. Tapi kalau Maira dah ada calon, eloklah kita segerakan.” Ucap Haji Khalid menyentap jantungku. Hendak disegerakan??? Impianku sudah musnah! Bagaimana hendak disegerakan?

“Berilah kami masa. Insya-Allah tidak akan ke mana gunung dikejar. Eh! Jemput minum, makanlah kuih tu Ana, Khalid, Kamil... silakan. Air pun dah sejuk tu.” Pelawa emak ramah.

Naziah menggenggam erat tanganku. Memberi sedikit kekuatan yang bagaikan sudah tidak bertapak lagi di jiwa. Jika boleh aku terbang waktu ini, sudah tentu aku terbang pergi daripada menjadi saksi kehancuran kasih sendiri yang tidak kesampaian.

No comments:

Post a Comment