DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 February 2015

Oops! Suami Aku Bukan Duda - Bab 10

QISTINA, sekejap.” Aku dah agak, tak sah bapa Si Danish ni kalau tak tegur aku. Asal datang hantar atau ambil anak, dia tidak lupa untuk menyapa aku. Alahai... Kau dah jadikan hobi ke mr. widower?

“Ya, Encik Luqman Hakimi. Ada apa boleh saya bantu?” Aku berbasa-basi sahaja.

“Awak ni tinggal kat mana?” Huh! Soalan tak menarik langsung. Soalan macam gaya budak sekolah menengah baru belajar mengurat. Padanlah dengan kau, Qis. Kau kan budak sekolah menengah yang baru habis sekolah.

“Saya rasa itu tidak penting untuk saya beritahu kepada orang luar. Saya tidak mahu jawapan saya nanti mengundang bahaya kepada saya sekeluarga.”

“Kenapa mengundang bahaya? Saya tidak berniat jahat pun. Saya sekadar ingin tahu.”

“Ada apa-apa lagi, Encik Luqman? Saya perlu memulakan kerja saya di taska ini dengan segera. Saya tidak boleh curi tulang dengan melayan bapa kepada kanak-kanak bawah jagaan saya.” Begitu diplomatik aku berbicara. Kalau  dia buat-buat tidak faham, memang sah otak dungu. Bukannya tunggang-langgang pun bahasa aku.

“Tak ada apa-apa. Cuma saya amat berharap agar Qistina dapat memberi peluang kepada saya. Peluang untuk mengenali diri Qistina dengan lebih dekat.” Mengenali aku dengan lebih dekat? Maaf seribu kali maaf, mr. widower. Aku tidak pernah dan tidak akan sudi untuk itu.

Harapan Luqman Hakimi untuk mendapatkan peluang, aku biar tidak berbalas. Aku tidak menyatakan apa-apa pun kepadanya. Sebaliknya, aku terus membawa Danish masuk ke dalam taska. Kalau dia cerdik pandai, tentu dia boleh baca maksud reaksi aku. Jadi sewajarnya dia tidak perlu mengorak langkah jauh untuk mendekati aku.

LUQMAN HAKIMI baru selesai bermesyuarat dengan kakitangan Luqman Holdings. Laporan mengenai perkembangan projek mega syarikat mereka telah pun dibentangkan. Luqman Hakimi berpuas hati dengan komitmen pekerja-pekerjanya. Dia juga mampu tersenyum dengan projek bernilai ratusan ribu ringgit itu.

Sebelum dia kembali ke biliknya, dia ada meminta setiausahanya untuk masuk ke biliknya. Ada sesuatu yang ingin dia tanyakan kepada setiausahanya yang telah berkahwin itu. 

“Ya, Encik Luqman. Ada apa?” tanya Saleha yang telah lima tahun menjadi setiausaha kepada CEO Luqman Holdings. 

“Ermmm… Saya nak tanya pendapat awak, tapi bukan pasal kerja.”

“Okey, tanyalah,” kata Saleha dengan mesra. Dia tidak kesah untuk memberi pendapat meskipun di luar bidang kerja. Apalah sangat pendapat daripada seorang setiausaha sepertinya...

“Pada pandangan awaklah, kan… gadis muda memang tak suka ke berkawan dengan lelaki baya saya?” 

“Saya rasa tiada masalah, Encik Luqman. Tapi terserah kat individu tu sendiri. Kalau dia tidak kesah dengan perbezaan usia, semestinya dia rasa okey saja berkawan dengan lelaki yang jauh lebih tua.”

“Sekalipun beza usia berbelas tahun?”

“Contoh macam sayalah kan, saya tak kesah pasal umur. Yang penting lelaki tu ikhlas dan jujur hendakkan saya,” kata Saleha dengan meletakkan dirinya sebagai contoh supaya majikannya itu lebih faham.

“Bagaimana pula dengan lelaki yang sudah mempunyai anak macam saya?”

“Tak kesahlah ada anak sekalipun. Janji single, bukan suami orang.”

“Itu awak, Saleha. Kalau anak dara lain belum tentu.”

“Encik Luqman ni dah jatuh cinta kat anak dara mana? Hebat sangat ke dia sampai Encik Luqman yang handsome lagi kaya ni dia tak nak pandang?” Meletus ketawa Luqman Hakimi. “Saya ni handsome?”

“Handsomelah juga,” puji Saleha, jujur.

“Tak apalah, Saleha. Terima kasih atas perkongsian pendapat itu. Saya menghargainya, tapi jangan pula awak bercerita kepada staf kat luar tu tentang apa yang saya tanya.”

“Baik, Encik Luqman. Saya janji. Tak sudi ke nak bagi tahu saya siapa gadis itu?” Sempat lagi Saleha mengusik majikannya. Luqman Hakimi menggeleng-gelengkan kepalanya.

“No… No… No, Saleha.”

Saleha tersenyum nipis sahaja sebelum angkat kaki dari bilik majikannya. Dia faham, mana mungkin Luqman Hakimi akan memberitahunya mengenai hal peribadi itu. Namun dia tumpang gembira kerana majikannya sudah menemui seseorang. Seseorang yang mungkin telah menawan hatinya dan seseorang itu pasti bakal menjadi suri dalam hiduplelaki itu kelak.

SUDAH SETENGAH jam azan asar berkumandang dan aku pun sudah selesai menunaikan kewajipan aku kepada-Nya. Aku ingat pesan umi supaya tidak melengahkan waktu solat. Jika azan berkumandang, cepat-cepat umi suruh aku solat. Katanya kita akan dapat banyak pahala sekiranya solat pada awal waktu. 

Lagipun kalau aku tidak solat asar di taska, aku pasti lewat menunaikannya di rumah. Balik dari taska pukul enam petang, setengah jam kemudian baru sampai di rumah. Itupun kalau balik dengan Kak Ina. Kalau balik dengan bas atau teksi, pukul tujuh baru sampai di rumah.
Sekejap lagi, mr. widower tu akan tiba untuk mengambil Danish. Aku tidak mahu mereka alasan hari ini. Nanti apa pula kata Kak Isma? Nampak sangat aku cuba mengelak. Karang tak pasal-pasal aku jadi bahan gosip di taska ini.

“Danish, jom sayang. Papa dah datang tu,” ajak aku kepada Danish yang masih leka bermain dengan robotnya.

“Alah. Danish nak main robot ni lagi,” rengek Danish.

“Danish boleh main lagi tapi esoklah pula. Cikgu janji, cikgu simpan RoboCop ni elok-elok untuk Danish. Cikgu tak bagi orang lain ambil terutamanya Mia,” pujukku, lembut.

“Betul?” Danish angkat jari telunjuknya dengan wajah comel.

Aku mengusap bahunya. “Betul, sayang. Pernah ke cikgu tipu Danish?”

Danish geleng. “Okeylah, Danish bagi cikgu simpan.” Robot di tangannya sudah dihulur kepada aku. Mudah sungguh dia termakan kata-kata.

“Good boy! Cikgu tambah satu lagi bintang kasih sayang untuk Danish.” Menjadi kebiasaan apabila Danish mendengar kata, aku akan memberinya bintang kasih sayang. Bintang kecil-kecil yang aku buat sendiri dengan kertas warna-warni. Danish ada balang untuk aku masukkan bintang kasih sayang itu untuknya. Tak pernah sekali pun dia tinggalkan balang itu di taska. Setiap kali hendak balik, dia akan masukkan balang yang ada bintang itu ke dalam beg kecilnya. Setakat ini balang bintangnya sudah separuh penuh.

“Satu aje? Danish nak banyak. Nak beribu-ribu lemon,” pinta Danish dengan menggawangkan kedua-dua belah tangannya.

Aku mencuit hidungnya. “Setiap hari cikgu bagi satu bintang kasih sayang, nanti lama-lama jadilah beribu-ribu lemon, sayang.”

Danish sengih. Teratur barisan giginya. “Dahlah. Danish kena balik sekarang. Kasihan papa… Lama tunggu anak kesayangannya ni.”

Danish menurut. Sebutir bintang kasih sayang berwarna hijau aku masukkan ke dalam balang kacanya lalu balang itu Danish simpan elok-elok di dalam beg yang selalu dibawanya ke taska. Dia mengekori aku. Sebelah tangan aku memimpin erat tangan Danish dan sebelah lagi memegang begnya.
 

Luqman Hakimi yang bersandar di sisi kereta mewahnya menanggalkan cermin mata hitamnya sebaik melihat aku dan Danish mendekatinya. Pintu kereta di sebelah pemandu dibukanya untuk Danish. Danish membolos masuk lalu mendapatkan gadjetnya yang tersedia di dalam kereta mewah itu.

“Qistina, saya belanja awak minum petang. Lepas tu saya hantar awak balik.” Cepat sahaja Luqman Hakimi mempelawa.

Letihnya aku dengan dia ni. Pagi tadi dia tanya alamat rumah aku. Apabila aku tak bagi tahu… Nah! Sekarang hendak belanja minum. Siap nak hantar aku balik. See that. Tujuan utamanya adalah hendak tahu tempat tinggal aku. Inilah jenis manusia yang tidak reti untuk berputus asa. Nasiblah badan.

“Maaf. Saya tak mahu.” Aku menolak tanpa rasa ragu-ragu. 

Dia berjeda seketika. Ada riak hampa di balik kumis nipisnya. “Tempoh hari tu kakak awak ke?”

Tanya pasal kakak aku pula. Mr. widower ni amat merimaskan aku. “Ya, kakak saya. Kenapa?”

“Biar saya telefon dia, minta izin untuk belanja awak minum,” bicaranya dengan lembut namun itu sama sekali tidak akan menjadikan aku bersifat alkali. Dia takkan boleh meneutralkan aku yang berasid ni. Ingat dia dah reda apabila pelawaannya aku tolak mentah-mentah. 

Lemasnya aku. Pelbagai taktik rupa-rupanya encik duda ni. Banyak pengalaman mengurat perempuan ke apa dia ni? Biasalah, orang pernah berkahwinlah katakan. “Saya tidak perlu izin dia kerana saya sendiri boleh memutuskan. Saya memang tak sudi dengan pelawaan awak.” 

Dia mengerutkan dahi sebagai tanda tidak berpuas hati dengan jawapan aku. “Kenapa Qistina tidak boleh bertolak ansur dengan saya?”

“Kenapa saya mesti bertolak ansur dengan Encik Luqman? Waktu kerja saya untuk menjaga anak encik sudah pun tamat. Sekarang ini adalah masa peribadi saya. Jadi, saya berhak untuk membuat keputusan sendiri mengenai masa peribadi saya itu!” beritahu aku dengan lantang. 

Entah tahap keberapa rasa geram aku saat ini. Yang penting, aku mesti menjelaskan prinsip aku. Dia jangan ingat gadis belasan tahun seperti aku ini mudah digoda. Aku bukan dalam kategori itu. 

“Saya tidak faham kenapa Qistina tidak mahu berkawan dengan saya,” lirih suaranya seolah-olah ada sedikit kekesalan di situ.

“Encik Luqman tidak perlu berteka-teki sendiri. Encik Luqman kena ukur baju di badan sendiri. Saya hanya bekerja di sini untuk sementara waktu. Selepas ini, saya akan masuk universiti. Selari dengan usia saya yang masih muda bermakna perjalanan hidup saya masih jauh. Saya langsung tidak berminat untuk berkawan dengan mana-mana lelaki especially mr. widower macam Encik Luqman!” Tegas dan berani aku menuturkannya. Tak kesahlah kalau dia rasa aku dah menjatuhkan air mukanya. 

Jatuh ke air muka dia? Aku bukan cakap di depan orang ramai pun. Anak dia pun duduk di dalam kereta. Mustahil untuk budak kecik dengar dan faham apa yang aku cakap kat bapa dia. 

Luqman Hakimi sedikit tersentap dan aku takut pula untuk memandang wajah duda handsome itu. Aku tahu di sebalik kaca matanya itu, dia memandang aku dengan pandangan yang tajam. Bagai helang ingin menyambar ayam. Scarynya aku! 

Sebelum dia membentak, lebih baik aku cabut lari. Kemudian aku terus meninggalkan Luqman Hakimi. Aku perlu bersedia untuk pulang selepas duda itu berambus pergi.

No comments:

Post a Comment