DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 February 2015

Hantu Punya Bos - Bab 9

“ASSALAMUALAIKUM.” Abby memberi salam. Dia menanti Arrayyan untuk mengarahkan dia masuk. Dia hendak berbincang dengan Arrayyan mengenai perkara ini. Pekerja lain tidak seharusnya dijadikan tempat untuk Arrayyan melampiaskan amarahnya. Jika benar Arrayyan berasa bengang, maka sepatutnya Arrayyan bersemuka dengannya sahaja kerana dia yang menyebabkan pekerja lain ketawa.

“Assalamualaikum.” Dia memberi salam lagi. Kali ini, barulah ada respons daripada Arrayyan. Sesudah Arrayyan mengarahkan dia untuk masuk, dia melangkah ke dalam pejabat luas Arrayyan dengan rasa takut. Takut dijerkah lagi walaupun dia tahu dia akan dijerkah juga. Debaran di dada usah dikata. Bagai tidak mengenal erti surut.

“Awak nak apa?” Dingin sahaja soalan Arrayyan. Dia masih bengang dengn kejadian tadi. Abby menunduk-nundukkan  kepalanya bagaikan baru ditepuk dengan zink. Takut dia menghadap muka Arrayyan yang masih menyinga itu. Takut diterkam. Isk. Mintalah dijauhkan.

“Saya... Saya nak minta maaf kepada bos pasal tadi. Saya tak sengaja.” Abby berkata sambil menunduk. Arrayyan menyandar ke kerusi sambil jemarinya mengetuk meja. Sinis senyuman dipamerkan. Mukanya masih merah padam lagi menahan malu akibat menjadi bahan ketawa satu pejabat. Kedua-dua belah siku ditongkatkan ke meja. Jemari kedua-dua belah tangan disulamkan dan dirapatkan ke bibir sementara matanya tajam mencerun memerhati Abby. Abby semakin kegelisahan ditenung begitu.

“Kalau saya tak maafkan awak atas sikap kartun SpongeBob awak yang menyakitkan hati saya ni, awak nak buat apa?” Arrayyan menyoal lagi. Dia samakan aku dengan SpongeBob? Tersangatlah tak patut! Hati Abby menggumam geram. Eh? Dia tengok kartunlah, Abby! Hahaha!

“Saya minta maaf bos, saya bertanggungjawab kepada setiap apa yang terjadi tadi. Bos janganlah potong gaji mereka.” Abby mula merayu. Kedua-dua belah tangannya disatukan memohon ampun. Arrayyan lagi galak mengenakan Abby. Hah, tahu pun nak pakai mata Garfield. Senyuman sinis sekali lagi dipamer.

“Kalau saya tak potong gaji mereka, saya potong gaji awak sebanyak lima puluh peratus. Awak okey dengan syarat saya ni?” soal Arrayyan kerek ala-ala pandangan David Carruso dalam drama CSI Miami. 

Siapa suruh kau cari pasal dengan aku? Kau ingat, muka kau lawa, mata kau bulat, bodi kau cantik, aku akan tunduklah? Mata besar! Jalan lembab. Melatah pula tu! Memang hancur habis. Sayang aje, bila melatah, macammacam dia merepek. Arrayyan menggumam.

Abby serba salah dengan syarat yang dikemukakan oleh Arrayyan itu. Habislah gaji dia nanti! Macam mana dengan dia? Dia juga berada dalam kesusahan sekarang. Tapi, dia tidak boleh bersikap pentingkan diri. Itu tanggungjawabnya. Seperti yang pernah dikatakannya kepada Azham semalam. Dia yang bertanggungjawab kepada gaji kawan-kawannya pada bulan ini. Habislah dia dimarahi semua pekerja nanti!

“Tapi bos...” Abby cuba menyangkal. Dia tidak mahu korbankan gajinya juga. Alamak! Banyak pula masalahnya.

“Tak ada tapi-tapi lagi!” Arrayyan berkata tegas. Abby mengetap bibirnya. Habislah aku. Keputusan harus dibuat. Sama ada bersetuju atau tidak dengan syarat Arrayyan itu.

“Baiklah bos.” Akhirnya Abby bersuara. Mengalah.

“Baiklah apa? Awak okey dengan gaji awak dipotong sebanyak lima puluh peratus atau awak okey dengan gaji kawan-kawan awak yang dipotong?” soal Arrayyan sinis. Abby menundukkan kepalanya lantas merenung hujung kasut. Sedih.

“Saya rela dipotong gaji daripada mengecewakan ibu, abah dan orang yang melindungi saya. Suka hati boslah. Saya hanya mengikut arahan dan kata-kata majikan saya. Saya faham kenapa gaji saya dipotong. Asalkan bos tak potong gaji kawan-kawan saya.” Abby berkata dengan nada perlahan tetapi cukup jelas di pendengaran Arrayyan. 

Matanya sudah berkaca-kaca bila mengenangkan ibu dan abahnya. Sejurus sahaja dia mengucapkan kata-kata itu, dia terus meninggalkan pejabat Arrayyan. Sebelum dia menutup pintu, sempat lagi dia mengucapkan kata-kata maaf dan terima kasihnya kepada Arrayyan.
 

“Terima kasih bos. Sekali lagi, saya minta maaf.” Dia meninggalkan Arrayyan sendirian tanpa meminta diri. 


ARRAYYAN menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Apa pasallah dia rasa tak sedap hati melihat mata Abby yang berkaca-kaca tadi? Rela dipotong gaji daripada menghampakan kedua-dua orang tua? Aduhai! Sebaknya rasa hati. Berlakon aje ek? Eh, macam tulus sangat! Arrayyan meraup mukanya berkali-kali. Dalam benci, dia jadi simpati kepada Abby. Tentu Abby orang susah. Kenapa dia harus bersimpati kepada perempuan tak cukup lidah tu? Entahlah! Benci betullah perempuan ni. Pandai dia main drama!

Dia membelek-belek resume Abby. Gambar yang tertera, Abby memakai kaca mata. Tentu sahaja dia rabun dan memakai kanta lekap. Patutlah mata hitam bukan main besar lagi. Ada sebab rupa-rupanya. Comel. Eh? Barulah Arrayyan tahu, Abby pernah bekerja di Syarikat Seth & Kay. Syarikat perlancongan yang baru beberapa tahun bertapak di bumi Malaysia dan diterajui oleh seorang lelaki tua berpangkat Dato’ yang kaya. Boleh tahan. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. 

“Helo, assalamualaikum. Arrayyan Zainuddin, Syarikat Avaloft.” Arrayyan memberi salam.

“Waalaikumussalam. Ini Arrayyan, pengurus besar dari Syarikat Avaloft, kan?” soal satu suara garau di hujung talian. Suara seorang lelaki tua. Arrayyan berkerut. Sudah diberitahu namanya awal tadi. Lagi mahu tanya? 

“Ya saya. Ada apa ya? Ini siapa? Macam mana Encik boleh tahu nombor persendirian saya?” Arrayyan menyoal dengan kening berkerut-kerut. Siapakah di hujung talian? 

“Saya Dato’ Rahman. CEO Syarikat Seth & Kay...” sahut suara tua di hujung sana. Arrayyan terbuntang. Baru lagi dia membaca resume Abby tadi. Adakah dia menyeru nama syarikat itu tadi?

“Ya, ada apa yang boleh saya bantu?” soal Arrayyan dengan ramah. Hatinya sudah penuh dengan tanda tanya akan tujuan Dato’ Rahman menelefonnya.

“Saya hendak memberitahu tentang salah seorang pekerja Encik yang bernama Baity. Dia bekas pekerja saya.” Kata-kata lelaki tua itu berjaya menarik perhatian Arrayyan. Kenapa seorang bekas majikan menelefon majikan baru semata-mata untuk membincangkan tentang seorang bekas pekerjanya?

“Ya.. ya... Saya ada pekerja baru yang bernama seperti yang Dato’ sebutkan tadi,” ujar Arrayyan. 

“Saya nak beritahu tentang dia. Segalanya tentang dia,” beritahu lelaki tua di hujung talian. Arrayyan semakin tertarik. Ada apa-apakah yang dia perlu tahu tentang Abby? Entah kenapa, mmang dia teringin nak tahu tentang Abby. 

“Ya?” Arrayyan menyoal dengan kening berkerut.

“ABBY, masuk pejabat saya sekejap.” Arrayyan memanggil Abby yang dilihatnya sudah berkemas-kemas untuk pulang. Waktu pejabat sudah habis. Abby yang mendengar arahan itu segera ke bilik Arrayyan. Semua pekerja sudah balik. Dia jadi takut. Arrayyan akan menjadi seperti majikan lamanyakah? Sengaja menanti sehingga semua pekerjanya pulang dan mengajaknya melakukan perkara sumbang? Mujurlah dia terselamat! Tapi kali ini terselamatkah dia jika tenaga muda seperti Arrayyan? Err.. Abby! Jangan fikir yang bukan-bukan!

“Ya, ada apa bos?” soal Abby sebaik sahaja dibenarkan masuk ke pejabat Arrayyan. Dia melangkah ke meja Arrayyan yang sedang merenungnya dengan renungan maha tajam dengan penuh tertib dan berhati-hati. Haraplah Arrayyan mahu berbincang mengenai hal kerja sahaja. Kenapalah muka Arrayyan ini serius sangat? Dia tersalah makan nasikah? Takkanlah sekali pun tak ada momen lucu dalam hidupnya sampai nak tersenyum segaris pun dia tak mampu ukir? Pelik juga Abby dengan Arrayyan ini.

“Saya nak tanya awak sesuatu. Awak pernah bekerja di Syarikat Seth & Kay sebelum ni?” soal Arrayyan dengan muka tanpa riak. Abby mengangguk-anggukkan kepalanya. Memang benar. Kenapa ya? Hati Abby mula rasa tak sedap apabila nama syarikat lama tempatnya bekerja dulu disebut. Arrayyan sudah mula mendengus.

“Ya saya.” Abby menjawab dengan jujur. Memang dia pernah bekerja di syarikat perlancongan itu. 

“Boleh saya tahu, kenapa awak berhenti kat syarikat itu?” soal Arrayyan dingin. Mukanya semakin tegang. Matanya mencerlung memandang Abby. Rahangnya bergerak-gerak. Abby semakin tak tentu arah.

“Sa.. Saya yang minta berhenti,” jawab Abby tergagap-gagap.

“Awak minta berhenti atau awak dipecat, Abby?” soal Arrayyan dengan nada yang mula meninggi. Abby terkaku. Pucat mukanya. Habislah! Tentu sahaja Dato’ Rahman itu menghubungi Arrayyan dan menyebarkan fitnah tentangnya seperti yang pernah dilakukannya terhadap syarikat-syarikat lain. Adakah dia akan diberhentikan tak lama lagi? Oh tidak! Di mana dia hendak bekerja lagi?

“Sa.. Sa.. Saya yang berhenti begitu sahaja, bos,” jawab Abby takut-takut. Meskipun dia sedang berkata jujur, namun dia masih takut dengan segala akibat sekiranya Arrayyan lebih mempercayai Dato’ Rahman berbanding dengannya. Arrayyan berdiri tegak. Matanya mencerlung memandang Abby.

“Awak jangan nak bohong!!!” jerkah Arrayyan kuat bersama hentakkan kedua-dua belah tangan ke meja sehingga Abby, tanpa sengaja menghentak tangannya ke meja kerja Arrayyan dengan kuat. Membalas renungan maha tajam Arrayyan dengan riak bengis.

“Aku tak bohong la, bongok!!!” Dia menjerkah kembali. Arrayyan terduduk semula ke kerusinya sehingga hampir melurut ke lantai. Terkejut dia akibat dijerkah sebegitu oleh Abby. Muka gadis itu tersangatlah menakutkan. Bengis bersama dengusan nafas yang nik turun. Abby terkejut. Melatah, dia tahu! Tetapi dia tetap rasa tercabar! 

“Awak panggil saya bongok?!!” Arrayyan menjerkah semula. Kuat! Abby bertambah terperanjat. 

“Memang kau bongok!!! Eh, bangang! Eh! Bukan-bukan.. eee! Hantu punya bos!” jerkah Abby geram. Kaki  dihentak-hentak ke lantai dengan geram bersama penumbuk yang dikepal-kepal. Lama-lama dia menekup mulutnya. Terperasan pada latahannya yang semakin menjadi-jadi itu. 

“Ya Allah. Saya minta maaf bos! Sumpah saya terkejut. Ya Allah! Maafkan saya, bos.” Abby meminta maaf kalut setelah tersedar daripada latahannya. Mulutnya itepuk-tepuk kuat dengan kedua-dua belah tangannya. Saat itu, Arrayyan sudah ternganga dan hampir terbaring di kerusi sandarnya akibat terlalu terkejut. Dia memegang dadanya. Alamak! Berombak kencang! Dia kata aku bongok, bangang dan HANTU? Apa? Berani betul perempuan ni! Arrayyan tersedar akan keadaan dirinya yang terlalu kronik akibat terkejut dengan sikap Abby itu, lantas berdiri. Dia memandang Abby seperti nak telan hidup-hidup tanpa perencah.

“Kau inilah! Kalau aku marah kau, kau marah aku balik, kan? Kurang ajar sangat dah! Mulut tu, kalau aku dapat lempang laju-laju guna tapak kaki aku ni, memang best sangat!” Arrayyan mengamuk dengan gigi yang terkacip rapat. Bahasanya sudah bertukar menjadi kau dan aku. Geram sungguh dia. Mujurlah tiada pekerja di situ yang melihat dirinya yang ditengking oleh Abby dan hampir melurut ke lantai tadi. Kalau tidak, mana dia nak sembunyikan muka kacaknya itu? Sebelum ni, tiada seorang pun manusia yang berani membuntangkan mata kepadanya dengan riak bengis seperti Abby dan Abby berjaya memecahkan rekod itu! Gila.

“Saya minta maaf, bos. Sumpah saya tak sengaja.” Abby bersuara sedih. Takut melihat mata bosnya yang tajam menikam anak mata hitamnya.

‘Sabar ajelah aku!’ Hati Arrayyan menyabarkan dirinya. Dia mengurut-urut dada.

“Sekarang aku nak kau, packing barang-barang kau, dan kau balik dan jangan datang sini lagi. Aku tak nak pekerja murahan macam kau.” Arrayyan berkata lantas berjalan ke pintu pejabatnya. Abby ternganga tidak percaya. 

“Bos? Bos cakap apa ni?” Abby menyoal pilu. Sedih bila dia dicop sebagai perempuan murahan tanpa diketahui apa yang menyebabkan dia dipandang sebegitu hina oleh bosnya. Apa lagi yang Dato’ Rahman buat cerita ni? Takkanlah sebab Abby menolak untuk menjadi isterinya yang entah keberapa itu dia nak gelapkan masa depan Abby? Atau, sebab dia termakan sepakan Abby pada hari dia ingin mengambil kesempatan dahulu? Tapi, itu salah siapa? Bukan Abby punya salah yang menyebabkan dia berlaku ganas terhadap bekas majikannya yang gila seks itu. 

“Kau jangan ingat aku tak tahu yang kau pernah cuba menggoda Dato’ Rahman. Dia telefon aku dan ceritakan segala perilaku busuk kau tu kepada aku! Dia kata, sekarang kau dalam proses nak goda aku pula. Kau nak harta aku, kan? Supaya nanti senang kau hidup!” Arrayyan mengamuk. Bahu Abby terhinggut. Dek akibat terlalu terkejut dengan nama yang meniti di bibir Arrayyan, dia tidak melatah! Memang dasar... Dato’ tu memang dah melampau. 

Kalau aku tenyeh dahi dia dengan belacan dan cili, memang seronok sangat! Hati Abby mengamuk. Air matanya menitis setitis demi setitis. Benarlah apa yang pernah diugut oleh lelaki tua itu sewaktu Abby menolaknya. Teruknya dia difitnah. Sehingga sebegitu rupa Arrayyan membencinya. ‘Aku takkan biarkan masa depan kau cerah! Aku akan malapkan kerjaya kau.’ Kata-kata berunsur ugutan itu sentiasa menghantui Abby. Abby mengusap dadanya. Sebak terasa di situ. Sukar bernafas dan terasa lelah! Lelah dengan nasibnya yang sentiasa malang ini. 

“Bos, saya tak...” Abby cuba membela malangnya, Arrayyan bertindak menarik lengannya dan menghalau dia keluar.

“Aku tak nak dengar alasan lagi sebab aku benci perempuan yang suka memberikan alasan macam kau! Sekarang kau ambil barang-barang kau dan berambus!” jerkahnya dengan gigi terkacip. Abby tidak dapat menahan rasa hati. Sungguh dia sedih.

“Ambil ni sekali dan jauhkan diri kau dari aku!” Sekeping cek dicampak ke muka Abby. Abby menyambut dan melihat kertas itu beberapa kali. Lima ribu? Untuk apa? Abby menggeleng. Cukuplah dia difitnah. Dia mengoyak cek itu dan mencampakkan kepada Arrayyan semula. Dia berlari ke bilik pejabatnya bersama sedu-sedan. 

Dia merasakan seolah-olah dia itu perempuan tak bermaruah meskipun dia masih mempunyai maruah. Dato’ Rahman memang jahanam punya orang! Setan bertanduk lapan. Jin bertanduk tujuh dan hantu berkepala babi! Abby mencaci bekas majikannya dalam hati. Sementara dia mengemas alatannya, dia melihat Arrayyan sudah melangkah keluar dari pejabat dengan muka bengis sambil membawa beg bimbitnya. Arrayyan tidak langsung memandang ke arahnya.

Sekali pun jika Arrayyan hendak memecatnya, janganlah sampai dia berhenti tanpa menegakkan kebenarannya. Sekarang, dia murah di mata sesiapa. Sungguh dia malu! Malu dengan fitnah orang yang tergilagilakan dia. Tanpa mengesat air mata, Abby laju mengemas
barangnya. Baru lagi hari kedua dia bekerja di situ. Sedih sungguh dia dengan apa yang menimpanya ini. 

“Ibu, maafkan adik.” Akhirnya, hanya itu yang mampu ditangisi...

No comments:

Post a Comment