DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 10 February 2015

Titik Mula Cinta Bab -10

HEI… kau jangan…. kesian dia tau… kalau abang kau betul sukakan dia, kenapa diam je tak bertegur sapa. Dia pun ada perasaan jugak. Dia pun dapat rasa jugak sama ada orang suka atau tak suka pada dia…”

“Nantilah.. biar aku bincang dengan abang aku... tapi rasanya lagi senang kalau aku cakap kat mama aku...” 

“Eh... korang ni... semua nak mengadu pada mak ke?”

“Engkau tak tau abang aku Nad... dia bukannya tak suka... tapi tak ada masa nak layan semua tu...” Fauzi memberikan alasan yang dia tahu tidak munasabah sekali.

“Habis, kalau tak sempat nak layan bakal isteri, buat apa dia bertunang... buat apa dia nak kahwin... baik dia kahwin je dengan kerja dia tu...” Fauzi terdiam. Betul juga cakap Nadia.

“Aku kesian tengok kawan kita tu... dia gelisah... Macam-macam dia fikir. Dia kata abang kau tak sukakan dialah. Dia kata yang abang kau ada orang lainlah. Siap kata emak kau sebenarnya yang sukakan dia, lepas tu paksa abang kau kahwin dengan dia. Betul ke gitu Fauzi?” Tanya Nadia meminta kepastian terhadap persoalan-persoalan yang Fazila luahkan
kepadanya tiga hari yang lalu. 

Ada juga persoalan yang dia sendiri tambah demi untuk mendapatkan kepastian tentang perasaan Faris pada kawan baiknya. Persoalan yang turut sama mengganggu mindanya sejak tiga hari lalu. Lantas bila sahaja ada waktu terluang  sebelum dia melelapkan mata, dia terus menelefon Fauzi untuk bertanyakan tentang hal ini.

“Taklah...” Berkerut kening Fauzi mendengarkan tanggapan yang melanda ruang fikiran Nadia dan Fazila. Aduhai... suka sekali kedua-dua sahabatnya ini menelah sesuatu mengikut kata hati. Kalaulah mereka tahu cerita sebenar, barangkali apa pula tanggapan yang akan mereka buat.

“Atau kau je yang sebenarnya sukakan dia... kau tak dapat, jadi kakak ipar kau pun tak apalah, kan? Asal dapat selalu tengok muka dia?” Soal Nadia lagi.

“Isyyy... kau ni... melalut sampai macam tu pulak... Suka sangat fikir yang bukan-bukan...”

“Yalah.. mesti macam tu, kan? Kau sendiri tau taste Fazila... suka yang lebih matang... kan?”

“Isyy... kau ni... teruk betul...”

“Tak adalah... aku agak je... kalau betul, kesianlah kat dia... jadi mangsa match maker.. kalau yang jadi calon tu ada perasaan, tak apa jugak... ini buat tak tau je... aku tak sanggup tengok dia kecewa nanti...” 

“Tak apalah... aku taulah macam mana nak selesaikan masalah ni... kau tengok aje nanti...” Kata Fauzi penuh yakin. 

“Okey... aku tunggu. Dahlah... aku dah mengantuk ni... tak pasal-pasal pulak aku kena tidur lewat... kena selesaikan masalah kawan aku... tapi... mestilahkan... that’s what friends are for...”

“Okeylah... aku pun dah mengantuk... good night... Bye...”

“Bye...”

Fauzi mematikan talian telefon tangannya. Dia mengeluh keras. Sangkanya semua masalah itu telah selesai selepas dia berhadapan dengan abangnya tempoh hari. Rupa-rupanya ini jadinya. Sia-sia saja dia memberikan alamat emel Fazila dan juga akaun facebook temannya dua bulan yang lalu. 

Rupa-rupanya abangnya masih lagi tidak menghubungi Fazila sejak dari tarikh itu. Sungguh semua ini membuatkan dia berasa geram.

 
BETUL MAMA... takkan Nadia bohong kut... dia kan rapat dengan Ila...” Kata Fauzi sambil menyambut pinggan berisi mihun yang mamanya hulurkan kepadanya. Cepat-cepat dia menyuap juadah sarapan pagi yang dimasak oleh mamanya itu. Dia sudah lewat ke tempat kerja sebenarnya, tetapi untuk menolak pelawaan mama bersarapan bersama, sungguh dia tidak sampai hati. 

Mak Cik Hasmah mengeluh keras. Sungguh hati anak lelaki sulungnya itu keras sekali. Lepas satu, satu kerenahnya. Dalam diam dia bagaikan memberontak. Memang tiap patah kata yang keluar dari bibirnya tidak pernah Faris sangkal, namun setiap perlakuan anak sulungnya itu begitu menduga akalnya sebagai seorang ibu. Apa lagi yang dia tunggu? Masihkah dia menggantung harap pada kenangan yang sedikitpun tidak menyebelahinya? Pening jadinya memikirkan kerenah anak sulungnya itu.

“Mama rasa Faris tu masih ingatkan kak Auni ke mama?” Tanya Fauzi tiba-tiba.

“Hesy... dahlah... jangan sebut lagi nama tu...”

“Tapi mama... dia kan tahu... dia tak sepatutnya harapkan kak Auni lagi.”

“Memang la tau... macam jugak orang yang bercinta... masing-masing tau... apa yang halal, apa yang haramnya dalam bercinta... tapi masih buat jugak benda-benda yang tak sepatutnya. Itulah... kalau ikutkan hati sangat...” Rungut Mak  Cik Hasmah dengan nada kesal.

Menyelinap rasa kesal di hatinya kerana membiarkan Faris terlalu lama larut dalam kenangan cintanya yang terdahulu. Mana pernah dia menyangka semua akan jadi sebegitu menyakitkan buat mereka semua. Kalau dia sebagai ibu pun dapat merasakan betapa sakitnya apa yang Faris alami, apa lagi dengan tuan punya diri. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Faris tidak pernah meluahkan perasaannya namun dia tahu Faris sangat kecewa dengan takdir yang telah tertulis buat dia dan Auni. Hampir separuh mati Faris dan Auni menderita
dalam dugaan yang Allah berikan pada mereka. Dugaan yang tak pernah terfikir dek akal manusia. Namun kebijaksanaan dan kekuasaan Allah tidak ada yang pernah mampu untuk
menduga. Dia yang tahu segala rahsia bagi setiap apa yang dititipkan buat hamba-Nya. Lantaran itulah Mak Cik Hasmah sebaiknya cuba untuk membuat Faris terus untuk bertahan supaya Auni juga mampu untuk terus bertahan. Namun sampai bila mereka mampu berbuat begitu seandainya masing-masing masih menyimpan keindahan mimpi-mimpi semalam? 

Semua masalah ini tidak sedikitpun dia rahsiakan daripada Dahlan dan Norhayati. Telah dia jelaskan semuanya semasa mereka berbincang tentang pertunangan anak-anak mereka sebelum majlis itu berlangsung dua bulan lalu. Nasib baik Dahlan dan Norhayati memahami semuanya dan menasihatkan supaya semua itu dirahsiakan daripada Fazila, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Mereka bimbang sekiranya anak gadis mereka menolak perhubungan ini. Perhubungan yang bukan sahaja diharap dapat menyambung silaturahim dua keluarga yang terpisah  sekian lama, namun juga diharap berupaya untuk menyelamatkan dua jiwa yang terlalu larut dalam kekecewaan akibat daripada cinta yang terlarang.

“Hari minggu ni mama nak engkau cancel semua urusan engkau. Mama nak kita pergi rumah dia. Kalau dia dah segan sangat nak balik jenguk mama, biar kita yang pergi jenguk dia. Kau telefon dia, tanya bila masa dia tak kerja, kita pergi jumpa dia masa tu. Biarlah, kalau mama ni terpaksa buat appointment semata-mata nak jumpa anak. Kalau bukan sebab Ila, mama tak pergi. Tapi semua ni tak boleh dibiarkan. Menjadi-jadi pulak degil abang kau tu... pening kepala mama ni Fauzi...” Kata Mak Cik Hasmah dengan nada suara yang penuh dengan kebimbangan. Sungguh dia bimbang mengenangkan masalah yang baru tiba di pendengarannya itu.

HATINYA CUKUP bimbang. Fauzi menelefonnya memberitahu tentang kedatangan mama mereka petang nanti. Faris pasti segalanya berpusatkan kepada dirinya dan juga perkahwinan yang akan dilangsungkan nanti. Dan bila itu berlaku, tentu segalanya akan kembali mengungkit kenangan silam yang tak pernah lekang daripada ingatannya. Yang sentiasa mengiringi setiap degup nadinya yang berdetak.

Faris memperlahankan motosikal berkuasa tingginya lalu memasuki tempat parkir The Orion. Shift malamnya tamat awal pagi tadi dan dia hanya inginkan rehat di saat ini. Terlalu
penat rasanya setelah hampir 10 jam dia bersama surgery teamnya berhempas pulas demi untuk menyelamatkan pesakit jantung yang perlu mereka bantu. 

Namun panggilan telefon daripada Fauzi di awal pagi tadi yang memberitahunya tentang kedatangan mereka berdua petang ini membuatkan dia yakin, pastinya dia tidak akan mampu untuk melelapkan mata nanti. Dia bagai sudah tahu apa yang akan mama bicarakan. Seperti yang disebut oleh Fauzi dalam perbualan mereka di telefon sebentar tadi. Semua salah faham ini perlu dia jelaskan. Tapi mama bukanlah seorang yang mudah untuk diyakinkan.

“Itulah... hari tu aku dah cakap, berhubunglah dengan dia... kau buat tak kisah...”

“Aku dah cuba... aku dah buat akaun facebook... yang aku rasa langsung tak perlu bagi aku... aku dah cuba cari id dia yang kau bagi pada aku dulu... aku dah request friendship pada id dia tu... tapi sampai sekarang dia belum terima aku... dah dekat dua minggu tu... habis aku nak buat macam mana...” Bentak Faris dalam keadaan marah. Keletihan akibat daripada berjaga sepanjang malam untuk menyelesaikan tugasnya buat dia bagaikan hilang pertimbangan.

Alangkah baiknya jika Fauzi berada di hadapannya saat ini. Sudah tentu Fauzi dapat melihat kesungguhan yang dia lakukan demi untuk menghubungi gadis itu. Tidak pernah dia rasakan sebodoh ini sehingga sanggup melakukan sesuatu yang dia rasakan membuang masanya sahaja. Dia bukan seorang yang punya banyak masa untuk bersosial melalui laman web. 

“Habis tu lepas kau request friend dengan dia, bila kali terakhir kau check dia online ke tak?”

“Hei... aku bukannya ada masa nak layan facebook sepanjang masa...” Kata Faris lagi. Geram dengan tuduhan yang diberikan.

“Ya Allah... kau ni buta IT betullah... kan aku dah kata... dia tak ada telefon, jadi itulah saja cara untuk kau hubungi dia... kau tak cuba email pulak ke?”

Faris diam memendam perasaan geram. Kalau ikutkan hati mahu saja dia menengking adiknya itu. 

“Kalau dia ada telefon, kan senang... bagi je nombor telefon dia... bila-bila masa aku free bolehlah aku call dia...” 

“Kalau nak... seribu daya... kalau banyak alasan itu maknanya tak nak... bila ditanya nak ke tak, kau tak jawab, tapi sikap kau ni macam tak nak...” Faris mengetap lagi bibirnya. ‘Suka hati dialah sama ada dia nak atau tidak,’ rungutnya dalam hati.

“Dahlah... aku malas nak bersoal jawab dengan engkau... kau jawab ajelah soalan-soalan mama petang nanti...” Kata Fauzi.

Dan bila dia mematikan talian, hatinya jadi tambah geram dengan tuduhan Fauzi. Kenapa hanya dia yang dipersalahkan bila dia tidak menghubungi Fazila. Kenapa Fazila tidak dipersalahkan sedangkan gadis itu yang tidak menerima friend request yang dia hulurkan? Dan mengapa terlalu sukar gadis itu untuk dihubungi?

Tak mungkin dia tidak mampu untuk membeli sebuah telefon tangan. Berapalah sangat harga sebuah telefon tangan yang paling murah? Hanya untuk berhubung dan menerima SMS, dia tidak perlukan telefon yang mahal dan canggih. Tak mungkin dia tidak punya wang untuk membeli satu untuk kegunaannya sendiri. Bukankah itu satu keperluan yang amat penting dalam dunia sekarang? Dia masih lagi merasa tidak percaya bahawa masih ada lagi orang yang tidak memiliki sebuah telefon bimbit.


KEDATANGAN PUAN Hasmah disambut mesra oleh Faris. Di awal pertemuan seperti biasa mamanya membebel kerana sudah lama dia tidak pulang walaupun jarak rumah mereka tidaklah begitu jauh. Namun setelah dia memeluk mesra orang tua itu dan memberikan alasan yang biasa diucapkannya tentang kesibukannya, bebel mama jadi berkurangan. Hanya jelingan Fauzi sahaja yang masih mengingatkan dia tentang masalah yang masih menghantui dirinya yang pasti akan disebut mama dalam sedikit masa sahaja lagi. 

“Fazila apa khabar Faris?” Sebaik sahaja mereka duduk di ruang tamu, mama terus membuka bicara. Sudah dia mengagak, tentu mama tidak akan mampu untuk buang masa  bagi hal-hal remeh-temeh. Mama seperti yang dia dan semua orang kenali... the straight to the point person. 

Terdiam seketika dibuatnya bila soalan cepu emas itu ditanya. Memang mama selalu bertanyakan soalan-soalan yang di luar jangkaan. Walaupun sudah tahu persoalan itu yang akan menjadi tajuk perbualan, masih lagi seseorang tidak dapat menduga apa yang akan ditanya. Lantas akan buat seseorang itu terdiam seketika mencari jawapannya.

Mak Cik Hasmah mencabut tudung yang dipakai lalu menyangkutnya di penyandar sofa berbentuk L yang dia duduki. Fauzi pula terus membaringkan dirinya di atas bahagian L sofa tersebut dan mula menekan alat kawalan jauh televisyen untuk mencari siaran yang ingin dia tonton saat-saat santai begini. Akhirnya dia temui rancangan masakan yang menyajikan pelbagai juadah yang menarik. Larut dia dalam rancangan yang ditontonnya. Namun masih lagi telinganya begitu peka menanti jawapan yang akan diberikan oleh Faris terhadap persoalan yang keluar dari mulut mama tadi.

“Faris... tak dengar ke mama tanya apa ni?” Suara Mak Cik Hasmah sedikit keras kini. Menuntut jawapan dari bibir anak sulungnya.

“Baik... agaknya mama...” 

“Agaknya?” Berkerut kening Mak Cik Hasmah. 

“Yalah mama.. dia jauh kat sana. Manalah Faris tau...”

“Faris tak berhubung dengan dia?”

Faris diam seketika. Bila kelihatan seperti Mak Cik Hasmah mahu memberikan komennya, dia terus menjawab dengan sepatah kata, “tak...”

“Hmmm... betullah cakap Fauzi tu...” Mak Cik Hasmah berbicara sendirian. Wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak puas hatinya.

Faris cuma diam dan terus bangun dan melangkah ke dapur untuk mengambil minuman. Dia mengeluarkan sekotak jus epal daripada peti ais dan menghidangkannya di atas dulang
bersama tiga biji gelas. Kemudian dia membuka beg plastik yang dibawa oleh mamanya sebentar tadi untuk melihat apa yang dibawa untuk hidangan petang mereka. Semerbak bau
durian memenuhi nostrilnya. 

‘Wah... jemput-jemput durian...’ Bisik hatinya. Lantas dia membawa kesemuanya ke meja kopi di hadapan sofa tempat mama dan Fauzi duduk.

“Kalau dah ada isteri nanti, jangan harapkan isteri aje yang buat semua tu.. suami kenalah tolong bantu jugak...” Sindir mama membuatkan dia terkedu seketika. Lantas sebaris senyuman dari bibir anak sulungnya itu singgah di pandangan Mak Cik Hasmah. Senyuman yang sering membuatkan Mak Cik Hasmah kalah, tak mampu terus marah-marah pada anaknya yang satu ini. 

“Ni mama nak tanya ni... kenapa Faris tak berhubung dengan Ila... dah lebih tiga bulan kamu berdua bertunang... kau tak mula kenal-kenal lagi ke dengan dia?” 

Faris terus menjamah jemput-jemput durian yang masih suam itu. Memang dia sukakan durian walaupun tidak suka makan banyak-banyak. Fauzi yang sebentar tadi asyik dengan rancangan masakan di televisyen sudah mula menumpukan perhatian kepada makanan yang terhidang di hadapannya pula. Masing-masing asyik sekali dengan jemput-jemput durian buatan mama mereka itu.

“Faris...”

“Ya mama...” Lambat-lambat dia menjawab panggilan mamanya.

“Dengar ke tak apa mama tanya tadi? Anak-anak ni memanglah suka buat mama susah hati... tak boleh ke kalau jangan buat mama macam ni...” Rungut Mak Cik Hasmah sambil wajahnya mula keruh dan kelihatan ada air yang mula merembes di genang matanya.

“Faris dengar mama... janganlah macam ni.. Faris dah lama tak jumpa mama. Takkan jumpa sesekali mama nak sedihsedih?” Katanya sambil bangun lantas duduk di sebelah Mak Cik Hasmah. Dia meraih tangan mamanya lalu menggenggam erat jemari yang sering membelainya dalam detik-detik sedih dan gembira yang pernah dia lalui.

“Habis yang Faris buat mama susah hati tu kenapa...” Faris diam.

“Mama dapat tahu Ila mengadu yang kau tak pernah hubungi dia... kau ni sebenarnya nak ke tidak, kahwin dengan dia?” Faris mengeluh. 

Berat sekali pertanyaan mama itu untuk dia jawab secara jujur. Namun dia tahu dia pastinya tidak akan mampu untuk membiarkan pertanyaan itu berlalu tanpa jawapan.

“Mama bukannya apa Faris... mama tak mahu lagi Faris asyik duk mengenang kisah lama. Faris kena tutup buku lama, buka buku baru...” Faris diam lagi.

“Kalau engkau tak mula berkenalan dengan dia, sampai bila nak kenal? Sampai bila nak suka?” Tiba-tiba Fauzi pula yang menyampuk. 

Hanya kebisuan yang menyambut kata-katanya itu. Apabila melihat Faris bagaikan buat tidak tahu sahaja, Fauzi kembali menumpukan perhatiannya kepada televisyen yang sedang terpasang. 

“Tapi mama, macam mana nak kenal kalau kami jauh. Dah la tu... dia tak guna telefon pulak tu...” 

“Faris kena faham. Dia tu tengah belajar lagi. Mana dia ada duit nak beli. Mak abah dia bukannya orang senang nak belikan benda-benda macam tu...”

“Bukannya mahal mama... dia pun mesti dapat biasiswa ke... pinjaman ke... beli yang biasa-biasa sudahlah...” 

“Senang aje engkau bercakap ye Faris... mentang-mentang duit kau tu banyak...” Fauzi mula tergelak. Untuk kesekian kalinya dia dapat melihat kebodohan abangnya itu. Wajah Faris yang juga terkejut dengan kata-kata mama mereka itu juga buat dia mahu ketawa sekuat-kuat hatinya. 

“Kau memanglah rasa seratus dua tu tak banyak. Tapi bagi orang yang tengah belajar macam Ila tu, sepuluh sen pun berharga. Mak abah dia bukan orang senang. Abah dia pun bukannya gaji besar. Mak dia pula kena ambil upah jaga anak orang semata-mata nak tambah keperluan keluarga. Adik-adik dia ramai. Semua tengah belajar. Dia anak yang sulung. Jangan dibandingkan dia dengan engkau. Engkau belajar dapat biasiswa penuh. Mama ni berkerja... dan walaupun gaji mama tak besar, cukuplah buat tanggung kamu tiga beradik...”

Entah mengapa terasa begitu terkesan dengan apa yang mamanya katakan itu. Bagaikan tersedar daripada lena yang panjang, dia merasakan selama ini dia begitu asyik dengan kemewahan yang dia n ikmati daripada hasil penat lelah dia belajar hingga mampu hidup mewah. Dulu dia juga pernah susah, namun sejak dia berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh, kesusahan yang dialaminya juga makin berkurangan. Dan bila Fauzi dan Farisya juga berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh, keadaan keluarga mereka menjadi semakin baik.

Keadaan terus berpihak kepada mereka bila mereka bertiga mendapat biasiswa semasa melanjutkan pengajian ke universiti sama ada di dalam atau di luar negara. Dan bila dia tamat pengajian dan kini bertugas sebagai seorang doktor, semua kesusahan yang pernah mereka alami seakan-akan menjadi sejarah dalam hidup. Sungguh dia bagaikan sudah lupa. Terlalu larut dalam dunianya yang dikelilingi dengan segala bentuk kemewahan. Seketika datang sedar di hatinya. Sedar tentang kesusahan yang Fazila dan juga orang lain alami.

“Alah... kalau engkau rasa murah, belilah satu bagi untuk dia... kan, mama?” Kata Fauzi tiba-tiba. Sememangnya inilah yang telah dia bincangkan bersama mama semasa mereka di dalam perjalanan ke sini tadi.

“Kalau Faris betul-betul sayangkan mama, buat betul-betul... pergi beli telefon untuk Ila tu. Lepas tu ambil cuti, pergi jumpa dia kat sana. Bagi sendiri kat tangan dia. Kalau nak mama temankan, beritahu awal-awal.”

Terlopong Faris mendengarkan perancangan mamanya itu.

No comments:

Post a Comment