DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 February 2015

Isteri Dambaan Dian - Bab 1




SAAT niqab yang menutup separuh wajahnya dibuka, Artina Nediesha terkedu sendiri. Wajah redup yang terlayar di hadapannya sudah menusuk masuk ke bebola mata. Nediesha hilang dalam dunianya tatkala dirinya dibawa mengembara di dalam mata yang bening itu.

Nediesha bingkas daripada lenanya. Serta-merta mimpi indah tadi menguasai hati. Nediesha termenung beberapa saat kerana dia tidak mampu mengingati lelaki yang telah membuka purdah pengantinnya.

“Aku mimpi kahwin pakai niqab. Pakai tudung pun tak, macam mana boleh bermimpi pakai niqab? Lepas tu tak nampak pula pengantin lelakinya. Hesy!” Gumam Nediesha sendirian. 

Dagunya diketuk berkali-kali ingin mengimbas mimpi itu. Namun akhirnya badan kembali direbahkan ke tilam. Mahu menyambung tidur dan berharap mimpi itu dapat dilariknya lagi.
 
“Cik Diesha! Cik Diesha! Engku nyuruh in bangun.”

Suara bibik di luar pintu mengganggu Nediesha yang mahu menyambung lenanya. Nediesha merengus.

“Ya tahulah!” Laungnya dari dalam. Sempat bantal kecil dilemparkan ke dinding bagi melepaskan amarah. Geram pula dia apabila gagal melarutkan mimpi indahnya.


MATA ENGKU Masitah memerhatikan wajah mencuka anak daranya.

“Diesha ni kenapa? Tunjuk muka tak siap pula pada mama. Tak ingat ke hari ni first day masuk ofis?” Nediesha masih tunjuk muka bosan. Roti bakar disuap perlahan ke mulutnya.
 

“Ma, Diesha baru saja balik dari UK. Rehat pun belum. Hari ini mama dah paksa Diesha masuk kerja.” 

“Dah dua minggu kamu balik Diesha. Tak puas lagi ke enjoy sampai kematu kaki nak naik ke Sirna Jaya?”


“Bukan macam tu ma. Kat Sirna Jaya tu daddy, Kak Tini dan Abang Rizal kan dah ada. Kalau Diesha rehat lama sekalipun Sirna tak lumpuh.” Engku Masitah tidak jadi suap bihun goreng ke mulut. Sudu diletak di tepi pinggan.


“Memang Sirna tak lumpuh tapi mata mama ni yang lumpuh tengok kamu.”


“Laa apasal pulak?” aju Nediesha dengan muka ketat.


“Konon kamu kata nak rehat tapi siang malam kamu keluar. Lepak sana sini habiskan duit mama. Mana tak sakit mata dan hati mama ni.”


Nediesha juih bibir. Leteran Engku Masitah degil untuk dihadamkannya.


“Alah berapa sen sangatlah duit mama Diesha habiskan. Sirna tu tak bankrap pun sebab Diesha.”


“Diesha sekarang ni pukul 9 pagi. Kamu jangan lengahkan masa. Pukul 10 mama nak Diesha sudah berada di Sirna Jaya. Daddy, Tini dan Rizal awal-awal pagi sudah ke Sirna.”


“Mama?”


“Mama ikut Diesha ke Sirna hari ni. Mama sudah arahkan kakitangan buat majlis sikit untuk sambut kedatangan Diesha.”


Nediesha mengangguk setuju bersama keluhan. Jika diikutkan hati, Nediesha tidak mahu bekerja di Sirna Jaya. Dia sama sekali tidak berminat berkhidmat di syarikat Engku Masitah. Kalau boleh, dia ingin menimba pengalaman di tempat lain. Cukuplah daddy, Artini dan Rizal yang ‘makan gaji’ di situ. Namun apakan daya dia cuma seorang anak. Dia tidak mahu melawan cakap ibunya.


Sirna Jaya Kosmetik Sdn. Bhd adalah syarikat milik Engku Masitah. Syarikat itu telah lama maju dan berkembang di Malaysia. Engku Masitah adalah penaung dan pemegang syer terbesar di Sirna Jaya. Manakala Datuk Rosli iaitu bapa Nediesha adalah antara barisan lembaga pengarah memerangkap CEO. Dialah yang menguruskan Sirna Jaya sepenuhnya bersama dengan kakak Nediesha iaitu Artini Nadila dan suaminya Nik Rizal.


Dulu Rosli hanya pekerja biasa di Sirna Jaya tetapi kerana jodohnya bersama Engku Masitah, dia kini bergelar Datuk dan dihormati ramai. Namun Datuk Rosli tidak tegas dan banyak mengalah kepada Engku Masitah. Mungkin kerana dia sedar siapa dirinya di sisi Engku Masitah dan keluarganya. 


NEDIESHA SILANG kaki. Diasahnya kuku sekejap. Selepas itu mata pandang wajah kakaknya. Artini datang menziarahi bilik yang baru dihuninya ke?

“Kak Tini suka kerja kat sini?”


“Kenapa Diesha tanya? Ini kan syarikat keluarga kenapa pula tak suka...” jawab Artini dengan senang hati. 


“Tak penat ikut telunjuk mama?” Perli Nediesha.

“Apa maksud Diesha?” Mata dicerlung kepada si adik. Perlian Nediesha dibalas dengan soalan. Diri masih kurang jelas dengan persoalan yang ditanyakan.


“Masa Kak Tini belajar dulu kos dan universiti mama yang tetapkan. Tamat belajar tempat bekerja dan jawatan mama pilihkan. Bila nak kahwin calon suami mama yang aturkan. Lepas ni apa pula?”


Artini menggeleng perlahan. Dia tahu Nediesha sedang menyindir dirinya yang tidak pernah membantah.


“Diesha akak bahagia dan senang dengan mendengar kata mama. Kak Tini tak rasa mama menyusahkan akak. Kenapa Diesha rasa mama dah susahkan Diesha?”


“Yup. Diesha bukan macam akak. Diesha nak hidup cara Diesha dan buat pilihan sendiri.”


“Apa kurangnya pilihan mama Diesha? Kos terbaik mama pilihkan untuk Diesha supaya ilmu itu dapat Diesha guna untuk majukan lagi Sirna Jaya. Universiti tersohor pula tu di UK. Diesha masuk ke Sirna Jaya hari ni bukan dengan jawatan biasa. Jadi kenapa Diesha tiba-tiba persoalkan apa yang mama pilih buat kita?”


“Kak Tini bahagia dengan Abang Rizal?” Dibangkit pula nama suami Artini sebagai penyedap topik. 


“Diesha tengok?” Artini angkat kening. Balas dengan soalan juga.


“Bahagia kut...”


“Bukan kut Diesha. Memang kami bahagia.”


“Baguslah. Abang Rizal tak kisah bekerja di sini?”


“Kalau dia tak suka, dah lama dia cabut Diesha.”


“Erm… what's ever. I don't feel happy if I was in your place.”


“Sebab Diesha yang timbulkan rasa tu. Cuba Diesha reda dan terima segalanya. Bahagia akan datang dengan sendiri Diesha.”


“I can try tapi Diesha tak boleh janji akan jadi sebaik Kak Tini.”


“All the best dik. Kak Tini keluar dulu.” Bahu Nediesha ditepuknya perlahan.


Nediesha meraup rambut ikalnya. Sungguh jiwanya kosong di sini. Hati dan kakinya tidak pernah sudi untuk ke Sirna Jaya. Sambutan meriah menyambut kedatangannya tadi dirasakan terlalu hambar. Hanya senyuman plastik mampu dipamerkan untuk menyembunyikan rawan di jiwanya. Empat tahun dia menderita di UK kerana terpaksa mengemudi aliran yang tidak diminatinya. Kos perniagaan bukan minat Nediesha namun dia paksakan hati. Kini dia tidak sanggup sengsara di bumi sendiri apabila terpaksa menghabiskan usianya untuk berkhidmat di Sirna Jaya Kosmetik. Dalam masa yang sama dia juga amat takut sekiranya nasib dia dan Artini sama. Maaf dalam hal pasangan hidup. Dia tidak mampu untuk berkompromi. Hatinya tidak sesuci Artini.


TENGAH HAR
I itu Nediesha makan tengah hari bersama Datuk Rosli.


“Daddy… Diesha nak cakap sikit ni dengan daddy. Kalau Diesha cakap dengan mama, kata-kata ni tak bermakna pun untuk dia,” tuntas Nediesha sambil memotong kepingan daging di dalam pinggannya.


“Cakaplah... daddy dengar sayang,” balas Datuk Rosli.


“Diesha tak mahu bekerja di Sirna.” Berterus terang itu lagi baik. Terus kepada agenda utama. Tidak perlu sebarang pembayang.


Berlapis dahi Datuk Rosli yang luas itu. Suapan nasi di mulut terhenti.


“Kenapa pula Diesha?”


“Diesha mahu berdikari. Memilih kerja dan position sendiri.”


“Diesha tak suka ke jawatan yang mama bagi?”


“Bukan macam tu daddy. Diesha belajar ikut pilihan mama jadi untuk kerjaya biarlah Diesha yang memilihnya sendiri.”


“Diesha perlu memahami. Mama memaksa bersebab. Sirna Jaya milik Diesha dan Artini. Jadi siapa yang perlu kemudi kalau bukan kalian berdua?”


“Daddy dan Abang Rizal kan ada.”


“Daddy dah tua Diesha. Rizal pula menantu. Lambat laun Diesha dan Artini yang perlu ambil alih. Belajarlah dari sekarang.”


“Tapi Diesha tak suka kita semua terlalu ikut telunjuk mama. Daddy namanya je CEO Sirna tapi keputusan mama yang tentukan. Kak Tini tu konon CFO tapi kalau tak dapat kelulusan mama, jawatan dia tu gah pada nama saja. Hakikatnya pangkat tu tak bernilai pun untuk mama,” pangkah Nediesha bersama tebaran serkap jarang. Tahukah dia tugas yang digalas Artini sebagai Chief Financial Officer itu berat. Kewangan kan nadi syarikat semestinya bos besar perlu ambil berat. 


“Diesha baru beberapa jam tiba di Sirna tapi banyak pula hal dalaman Sirna yang Diesha tahu. Hairan juga daddy.” 

“Diesha anak mama dan daddy. Bukan ukuran masa dan hari Diesha di Sirna tapi berapa lama Diesha mengenali isteri daddy tu.”

“Diesha... Diesha... jangan paranoid sangat dengan mama. Apa yang berlaku di Sirna tak seteruk yang Diesha fikirkan.”


“Well… macam mana pula dengan hal di Teratak Masitah? Daddy jadi macam lembu dicucuk hidung. Hati Diesha yang sakit.”


“Astaghfirullahalazim Diesha cakap apa ni? Kata-kata Diesha tu seolah-olah mahu memburukkan hal rumah tangga daddy. Gaya Diesha tu nampak sangat terlalu prejudis  dengan mama sendiri. Ini ke ilmu yang Diesha bawa balik dari UK?”


“Diesha penat daddy. Daripada kecil kena ikut perintah mama. Tak boleh kata tidak. Daddy sendiri pun tak berani say no pada mama. Kak Tini pun sama. Diesha rasa macam hilang hak apabila jadi anak Engku Masitah.”


“Hak apa yang Diesha nak? Hidup dalam kemewahan dan penuh kasih sayang tapi hari ini Diesha cakap Diesha hilang hak. Daddy tak faham apa yang Diesha nak sampaikan?” 



“Diesha mahukan hak untuk membuat pilihan sendiri,” ujar Nediesha angkuh. Aduh! Nediesha ni... dapat pangkat COO pun tak berpuas hati lagi. Dulu pangkat tu dibiarkan kosong. Memang khas untuk dia. Kerja yang ada, Artini dan Rizal yang uruskan.

“Contoh?”


“Diesha mahu bekerja jauh dari Sirna. Diesha mahu pilih sendiri jawatan dan syarikat di luar sana.” 


“Siapa Diesha, nak pilih jawatan di syarikat orang? Apa pengalaman seorang fresh graduate seperti Diesha?”


“Diesha akan menjalani temu duga seperti orang lain.”


“Fine! Daddy boleh buat begitu tapi tetap di Sirna bukan di kompeni lain.”


Nediesha tertawa sinis. 


“Daddy… dengan Diesha boleh pula daddy bertegas tapi kalau depan mama haram. Pijak semut pun belum tentu mati semut tu.”

“Diesha jangan kurang ajar dengan daddy!” Nediesha menelan liur payau. Suara amaran itu milik Engku Masitah. Nediesha tidak berani angkat kepala.

No comments:

Post a Comment