DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 9 February 2015

Titik Mula Cinta - Bab 2

FAUZI mengeluh perlahan sambil matanya buntang memandang ke skrin telefon. Memang cukup susah berurusan dengan gadis ini. Terlalu banyak tindakan Fazila yang dia tidak dapat jangkakan. Baru dua hari lepas dia telah berpesan supaya Fazila memberitahunya sebelum gadis itu balik ke kampung. Dia ingin keluar dengan gadis manis itu.

“For the sake off friendship,” katanya pada Fazila. Dalam diam Fazila tersenyum bagaikan bersetuju. Sangkanya itulah yang akan berlaku, walaupun ada sedikit ragu dengan sikap Fazila waktu itu. 

Namun hatinya tetap berlagu dan dia cukup teruja menanti saat-saat itu. Malah dia sudah merancang untuk membawa Fazila ke satu tempat istimewa. Manalah tau kalau-kalau Fazila berubah fikiran tentang hubungan mereka. Mungkin ada sedikit ruang buatnya. Dia masih tidak mahu kalah dalam mengatur harapan. 

Tetapi lain pula jadinya. Malam ini Fazila pulang ke kampung tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Kalau bukan Nadia yang menghantar SMS memberitahunya tentang perkara ini sebentar tadi, tentu dia tidak akan tahu langsung. Bila dia mengubungi telefon Nadia, dia diberitahu mereka sudah pun berada di perhentian bas Kulai untuk menghantar Fazila pulang ke kampung. Kalaupun dia datang, pasti tidak sempat untuk menemui Fazila.

Selepas berbual seketika, Fazila minta untuk memutuskan talian. Tak selesa katanya kerana terpaksa bercakap dalam nada berbisik. 

“Macam kekasihlah pulak pakai bisik-bisik gini, Kalau cakap kuat-kuat nanti satu stesen bas ni dapat dengar suara saya...” Itu kata Fazila dalam gurauannya sebentar tadi.

Tapi memang dia akui, suara Fazila yang perlahan itu bagaikan berbisik menyapa hati. Manja dan lembut sekali. Dia tahu bukan Fazila sengaja bersuara lunak sebegitu. Sememangnya Fazila sopan bila berbicara malah dalam setiap tingkah lakunya. Walaupun dia tahu adakalanya Fazila cuba untuk buat-buat supaya perwatakannya kelihatan kasar terutamanya apabila berada di kalangan teman-teman yang majoritinya lelaki. Namun Fazila tidak mampu menyembunyikan kelembutan yang ada dalam dirinya itu.

Sikap itulah yang begitu memikat hati lelakinya. Sedikit pun Fazila tidak menggunakan sifat kewanitaannya untuk mengambil kesempatan. Dia tahu, berada dalam dunia lelaki Fazila cuba mengelak daripada mempergunakan sifat kewanitaannya untuk mengambil kesempatan. Dia sanggup melakukan sendiri semua kerja-kerja kasar yang perlu dilaksanakan bagi menyiapkan tugasan mereka. Malah seringkali dia menolak bila ada yang sanggup menawarkan diri untuk membantu dia menyiapkan projek-projek yang perlu mereka hantar.

Dia tidak seperti sesetengah teman-teman perempuan lain yang selalunya akan meminta bantuan kawan-kawan lelaki mereka untuk menyiapkan projek di bengkel kejuruteraan. Ada sesetengahnya pula sanggup keluar bersama juruteknik-juruteknik bengkel yang kesemuanya lelaki sebagai balasan terhadap bantuan yang diberikan dalam kerja-kerja mereka.

Sejak dia mengenali Fazila apabila mereka bersama dalam kelas killer subject, Thermodinamik di tahun kedua pengajian, hatinya telah terpikat. Namun telah puas dia  berusaha untuk memenangi hati gadis manis itu. Kini, bagai sudah malas untuk dia terus berusaha lagi. Fazila dengan tegas telah mengisyaratkan ‘NO’ kepadanya, maka dia perlu menghormati keputusan itu walaupun hatinya pernah sakit seketika dulu. Nasib baik Fazila menjelaskan tentang pendiriannya tentang sebuah perhubungan. Hanya itu yang buat dia dapat menerima kenyataan.

“Bila kau nak balik KL Pudji,” tanya temannya Tojo yang sejak dari tadi memerhatikannya. Tertanya-tanya bila melihatkan teman yang sejak dari dia mematikan talian telefonnya tadi diam melayan perasaan sehinggakan suasana hingar di warung tempat mereka makan ini sedikit pun tidak Fauzi hiraukan.

“Esok kut...” jawab Fauzi. Bagaikan baru tersedar di mana dia berada saat itu. Tempat yang memang tidak sesuai untuk melayan perasaan.

“Huh.. pelik aku dengan kau ni. Kan dah lama kau hantar laporan final project kau tu? Tunggu apa lagi?” 

“Tak adalah... lepas ni mana ada aku nak datang ke sini lagi. Jadi aku nak nikmati hari-hari terakhir aku kat sini. Bila dah mula kerja nanti, mana boleh lepak macam ni lagi...”

“Kau dah contact ke Texas Instruments beritahu yang kau dah habis belajar ni?”

“Belum... malas lagi. Aku nak rehat dulu seminggu dua. Diaorang pun mana ada set tarikh bila aku kena mula kerja. Cuma diaorang pesan, kalau dah clear semua subject, baru contact diaorang. So, relex la bro...” 

"Dah puas lepak kat sini la ni ye? Itu yang kau baru nak balik tu... entah-entah Fazila pun balik esok kut?” Tojo meneka. Dia tahu perasaan Fauzi terhadap teman sekuliah mereka yang jinak-jinak merpati itu.

Fauzi diam. Malas hendak bertekak dengan Tojo yang seringkali mengusiknya bila saja nama Fazila disebut. Bukan hanya Tojo yang tahu tentang perasaannya terhadap Fazila, malah semua teman-teman lain pun tahu. Tapi itu semua tidak menjadi masalah buat dirinya. Mungkin ada yang mengutuknya, mengatakan dia bertepuk sebelah tangan. Namun bukannya ramai lagi gadis sebegitu, Fazila seorang gadis manis yang terlalu menjaga maruah dan peradabannya.

“Dia dah nak balik pun... sekejap lagi naik bas...” Katanya lirih.

“Huh... kau tak pergi hantar ke?” Kata Tojo dengan nada terperanjat.

“Tak... dia naik bas kat Kulai. Dia tumpangkan barang-barang dia kat rumah Nadia, sebab itu dia naik bas sana. Sikit pun dia tak beritahu aku yang dia nak balik malam ni,” rungut Fauzi.

Tiba-tiba Tojo ketawa kuat sekali sehinggakan beberapa orang pelanggan yang turut menjamu selera di warung tempat mereka melepak itu memandang mereka penuh minat.

“Ehhh... apasal kau gelak?” Tanya Fauzi.

“Aku dah agak dah... hahaha... mesti kau bercakap dengan dia tadi, kan? Sampaikan macam ayam berak kapur kau tenung handset kau tu...” Kata Tojo dalam tawa yang masih terus bersisa.

“Tak serik-serik lagi ke... kan dah kena reject...”

“Engkau jangan mengutuk aku lebih-lebih. Mana pulak aku kena reject... We are friends okay... and will always be friend... ”

“BFF la ye...” Tojo ketawa lagi...

“Kau tengok sini... apa yang ada pada Fazila yang boleh buat engkau benci dia? She’s almost perfect... Well for her looks... yes... dia tak la cantik macam Taylor Swift, tapi quite okey jugak, kan...” Fauzi cuba mempertahankan gadis yang dia minati itu. 

“Yalah... tapi takkanlah kau sampai gila bayang macam ni...”

“Hei... mana ada aku gila bayang okey... dah dia kata dia tak suka couple dengan yang sebaya... aku terima ajelah. Aku hormat pendirian dia. And for that, we’re still friends. Dan aku hormati dia sebagai kawan.”

Tojo ketawa lagi. Fauzi diam, mengetap bibirnya geram. Sakit hati rasanya dengan sikap Tojo yang memperli dirinya. Bukan dia tidak tahu Tojo juga pernah cuba mendekati Fazila di awal persahabatan mereka dulu. Dan bukan dia tidak tahu bahawa Fazila pernah buat tidak tahu pada Tojo. Cemburulah tu. Sekurang-kurangnya Fazila masih tetap mahu berkawan dengannya sedangkan dengan Tojo, Fazila hanya buat layan tak layan sahaja. Itulah kalau kerjanya asyik mengutuk dan memperli orang sahaja. Tentunya orang tidak suka. 

“Alah... kalau dia tak suka yang sebaya... engkau pulak sayang sangat kat dia... kenapa kau tak rekomenkan dia pada abang kau tu...” Terdiam Fauzi mendengarkan kata-kata Tojo.

 

“BILA DAPAT tau keputusan permohonan sambung belajar Ila tu?” Fazila tersenyum gembira mendengarkan pertanyaan emaknya itu. Jari-jemarinya pantas menyusun pinggan-pinggan yang telah di basuh ke atas rak pinggan. Dia kembali semula ke singki untuk mengambil pinggan-pinggan lain yang telah siap dicuci. Berada dalam keluarga yang besar, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu setiap kali pulang bercuti.

“Dah ada dah mak... semalam Ila semak kat website UTM. Ni nak beritahu mak la ni... Sebenarnya hari tu lagi Ila dah dapat tahu. Memang Ila terus dapat tawaran sambung sarjana tu. Cuma tunggu tawaran rasmi je. Lepas ni Ila nak pergi rumah kak Rini, nak tumpang print maklumat-maklumat dan borang-borang yang nak kena isi.”

“Bila tarikh daftarnya Ila?

“Empat sampai enam haribulan September ni. Dua minggu lagi tu mak.”

“Sekejap aje rasanya, kan? Dah dekat dua bulan Ila duk kat rumah ni. Sekarang dah nak pergi lagi...” Rungut Puan Norhayati.

“Ala mak... janganlah sedih gitu. Ila kan pergi belajar. Insya-Allah kalau berjaya nanti Ila kerja. Nak jadi engineer, Ila tak mampu. Siang malam nak kena hadap masalah kat kilang... hee tak laratlah rasanya. Kalau berjaya dan boleh terus sampai buat PhD, Ila boleh jadi pensyarah,” kata Ila untuk mengukuhkan alasannya supaya emaknya tidak sedih dengan pemergiannya kali ini.

“Mak faham Ila... saja je mak cakap gitu... Mak cuma sedih sebab Ila nak pergi lagi. Jauh pulak tu...”

“Bukannya lama mak... setahun je...” 

Puan Norhayati mengeluh perlahan. Walaupun sedih dia tetap menyokong cita-cita anak gadisnya itu. Sekurang-kurangnya jika Fazila menjadi pensyarah, beban kerja tidaklah seberat kerja sebagai jurutera di kilang. Dia pernah dengar bagaimana beratnya kerja di kilang yang tidak mengenal waktu siang dan malam daripada anak saudaranya yang bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Shah Alam. Kalau lelaki, mungkin tidak mengapa. Tetapi bagi perempuan, tentunya kurang sesuai kerja sebegitu sedangkan mereka nanti akan punya tanggungjawab lain yang lebih besar setelah berkahwin
dan berkeluarga nanti. 

“Ila tahu kan mak dengan ayah tak boleh hantarkan Ila masa nak pergi nanti...” Kata emaknya setelah lama diam. 

“La... tak apa mak... Ila kan dah biasa kat sana. Ila pergi sorang aje nanti. Macam biasalah...”

“Ila tahulah kan... Johor tu jauh... tiket basnya mahal... nanti lari pulak budget abah bulan ni...”

“Tak apa mak... jangan bimbang ... Ila faham...” Katanya tegas untuk melegakan kebimbangan emaknya itu.

“Belanja nak belajar nanti macam mana?”

“Insya-Allah mak... Ila dah ada simpanan. Tawaran belajar tu sekali dengan biasiswa. Yuran mereka akan bayar dan dapat elaun seribu sebulan. Lagipun duit pinjaman PTPTN masa belajar hari tu ada Ila simpan sikit-sikit. Ila dah tau nak belajar lagi jadi Ila dah simpan siap-siap untuk buat belanja belajar ni nanti. Untuk hidup sebulan dua tu Insya-Allah ada. Nanti kat sana, Ila cari kerja yang sesuai... boleh buat belanja selama masa belajar... sementara nak dapatkan biasiswa tu...” katanya penuh yakin. Nasib baik keputusan peperiksaannya yang lalu agak memberangsangkan dan mampu melayakkan dia mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana pula.

“Kerja apa Ila nak buat.. tak ganggu Ila belajar ke nanti?” Tanya Puan Norhayati dengan nada bimbang. 

“La... kat sana banyak kerja mak... boleh mengajar kat pusat tuisyen, kedai makan... dan banyak lagi. Tapi Ila ingat nak ambil upah mengajar tuisyen dari rumah ke rumah.  Bukan mengajar sangat sebenarnya... Cuma temankan anakanak orang kaya yang sentiasa sibuk, kat rumah mereka. Ramai senior Ila yang buat kerja gitu. Dapatlah buat belanja harian...”
 
“Habis... tak kacau masa belajar ke?”

“Tak la mak... kami buat masa hari minggu je... tak kacau masa belajar pun. Lagipun kalau yang kerja macam tu, kita boleh aturkan hari bila kita free...”

“Ohhh... mak tak nak nanti ganggu masa belajar Ila je...’

“Tak... Insya-Allah mak, pandailah Ila atur masa Ila nanti...”

“Mak cuma nak tengok Ila berjaya... tak nak nanti hidup macam mak dengan abah ni...” kata Puan Norhayati dengan nada sedih. Fazila mampu mengesan nada sedih pada kata-kata emaknya itu. Cepat-cepat dia meletakkan pinggan terakhir di tangannya ke atas rak pinggan dan kembali ke sisi emaknya dan terus memeluk tubuh tinggi lampai separuh gempal wanita separuh usia itu.

“Mak... jangan cakap gitu... hidup kita ni sederhana... tapi kita bahagia kan mak...” Katanya kepada Puan Norhayati yang hanya menyambut kata-kata itu dengan senyuman. Fazila jadi insaf seketika. Dia tahu keadaan keluarganya bagaimana. Dengan cuma abah seorang yang bekerja sebagai seorang Ketua Kerani di sebuah jabatan kerajaan, tentunya perbelanjaan mereka perlu dirancang sebaiknya. Emak yang hanya mengambil upah menjaga anak jiran mereka bukannya mempunyai pendapatan tetap. Sekadar dapat membantu sedikit keperluan keluarga yang agak besar itu.

Enam orang adik-adiknya Sharida, Hafiz, Aiman, Razman, Ayis dan Noni, masih lagi memerlukan perbelanjaan yang besar dalam persekolahan mereka. Dia tidak risau akan Sharida kerana adiknya itu sudah mendapat tajaan penuh dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam pengajiannya di Institusi Perguruan Batu Rakit, Terengganu.

Yang masih sepenuhnya di bawah tanggungan abah sekarang ialah lima orang adik-adiknya yang lain, yang kesemuanya masih lagi bersekolah. Tambahan lagi dua adiknya, Hafiz dan Aiman akan menjalani peperiksaan SPM dan PMR tahun ini. Sebagai anak sulung dia terpaksa akur dengan keadaan hidup mereka.

Terdetik rasa kesal kerana masih mahu melanjutkan pengajian sedangkan keluarganya begitu memerlukan bantuan daripadanya. Namun kata-kata semangat daripada abah membuatkan Fazila nekad untuk meneruskan tekadnya. Dia tidak mahu bekerja di kilang walaupun kerja sebegitu mampu menawarkan pendapatan yang lumayan. Dia merasakan jawatan sebagai seorang jurutera begitu tidak sesuai dengan nalurinya. Lalu dia menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian dan mencapai hasratnya untuk menjadi seorang pensyarah. Abah cukup bersetuju dengan hasratnya itu. Malah menyokong penuh cita-citanya itu.

“Em... ni.. mak nak tanya ni. Macam mana... setuju tak dengan hajat Mak Cik Senah kau tu?” Tiba-tiba Puan Norhayati membuka kembali bicara setelah agak lama mereka diam. Fazila mengeluh perlahan sambil memejamkan matanya.

“Ala mak... Ila nak belajar lagi...” Katanya dengan nada  manja.

“Dah lama mereka tanya... kalau tak nak cakap ajelah... boleh diaorang cari yang lain...”

“Tak nak la mak... tak nak kahwin lagi sekarang...” 

“Mak pun risaulah tengok Ila ni... orang macam mana la yang dia nak. Orang tu masuk, dia tolak, orang ni masuk, dia tolak...” Rungut Puan Norhayati. 

Fazila diam. Dalam hati berkata, “entahlah mak...”

“Ila... mak tanya ni...” Kata Puan Norhayati selepas seketika mereka diam tanpa bicara.

“Tanya apa...” Masih dalam nada manjanya.

“Ila nak lelaki yang macam mana... cubalah kenal-kenal dulu... manalah tau kot-kot tersangkut...”

“Biarlah dulu mak... kalau ada jodoh, Ila kahwin la nanti...”

“Hmmm... Inilah yang mak dengan abah risaukan...” 

Fazila diam. Bungkam jadinya. Dia pun tidak tahu apa alasannya untuk meneruskan kata.

RING…RING…ring….
 
Telefon talian tetap rumahnya berbunyi minta diangkat. Fazila yang sedang berehat di atas katil di biliknya cepat-cepat bangun dan berlari ke meja telefon yang letaknya bersebelahan dengan pintu bilik tidurnya. 

“Helo,” dia menyapa penuh sopan.

“Assalamualaikum,” kedengaran satu suara di hujung talian. Seakan-akan pernah dia mendengar suara itu. Tetapi tak mungkin, bisik hatinya.

“Waalaikumussalam,”

“Boleh saya cakap dengan Fazila?”

“Ya. Saya...”

“Hei Ila... tak kenal aku ke?”

Siapa? Mesra semacam saja bunyinya. Berkerut dahi Fazila memikirkan suara siapakah di hujung talian itu.

“Siapa ye?”

“Akulah... Fauzi.”

“Eh.. Fauzi. Tak camlah suara awak...” Katanya perlahan. Memang suara teman yang itulah yang dia sangkakan tadi. Nyata tepat sekali sangkaannya itu.

“Yelah... suara kita ni manalah orang tu nak cam.”

“Taklah... tak pernah pun awak call saya kat rumah, tiba-tiba hari ni call pulak. Ada apa-apa ke?” 

“Rindu...”

Fazila tersenyum sendiri. ‘Rindu? Pada aku?Hmmm...’ keluh Fazila dalam hatinya.

Fauzi diam di hujung sana, mungkin menunggu reaksi daripada Fazila. Fazila pula tak mampu untuk berkata-kata buat seketika. Tidak pasti sebenarnya bagaimana untuk memberikan respons pada kata-kata Fauzi sebentar tadi. Setelah agak lama mereka diam, Fauzi bersuara semula. Mungkin sudah tidak sabar untuk menunggu jawapan daripada Fazila.

“Kau apa khabar?”

“Baik... awak?”

“Baik juga. Kau dah confirm nak terima tawaran buat sarjana tu, kan?

“Ha’ah... dah...” Jawab Fazila ringkas. Diam lagi menanti kata-kata seterusnya daripada Fauzi.

“Aku pun, bulan Oktober ni dah mula kerja.”

“Eh... ye ke? Kat mana? Texas Instrument ya? Jadi ke awak kerja kat situ?” Kata Fazila menunjukkan nada ceria. 

“Ha’ah... Texas Instrument KL. Syarikat tu dah confirm terima aku...”

“Alhamdulillah... Tahniah... tahniah...” 

“Tahniah untuk kau jugak... bila kau nak balik semula ke Skudai?”

“Insya-Allah hari Sabtu ni, satu haribulan sembilan saya ke sana. Saya daftar empat haribulan sembilan. Saya kena pergi awal sikit, banyak benda nak uruskan ...”

“Satu haribulan? Lusalah tu? Dah beli tiket ke?” 

Makin hairan Fazila dibuatnya. Kenapa pula Fauzi menelefonnya hanya untuk bertanyakan soalan sebegitu? Semestinya dia sudahpun membeli tiket untuk kembali ke Skudai. Tak berapa hari saja lagi untuk dia mulakan kembali pengajiannya itu.

“Dah...”

“Kau jual balik boleh...”

Makin Fazila terkejut dengan permintaan Fauzi itu. 

“Kenapa?”

“Aku nak bagi kau satu tugas baru...”

“Ehh... Saya tak fahamlah maksud awak ni.”

“Kau nak buat kerja sambilan tak?”

“Maksud awak?”

“Nak jadi tourist guide tak?”

“Eiii, tak fahamlah...”

“Aku tengah bercuti kat Kota Bharu ni. Tu yang nak ajak kau jadi tourist guide aku.”

Fazila jadi hairan, rasanya tidak pernah pun Fauzi memberitahunya yang dia akan datang bercuti ke sini. Atau mungkin dia yang terlupa. Dan, sekarang Fauzi meminta dia untuk menjadi tourist guidenya pula. Manalah dia tahu sangat jalan-jalan di sini. Walaupun dia tinggal di sini hampir lima belas tahun, dia bukanlah seorang yang selalu ke sana-sini. 

Ke bandar Kota Bharu yang letaknya hanya lebih kurang 2 kilometer dari rumah pun dia tidak akan pergi sendirian, kalau tidak dibawa oleh emak atau abah.

“Oh... bila awak datang ke sini?” Katanya cuba untuk menutup kekalutan yang timbul dalam hatinya saat itu. 

“Semalam. Tak pandailah nak jalan kat sini. Ini yang aku call kau ni. Kot-kot kau sudi temankan aku.” 

“Hmmm...”

“Haaa... tergagap kau. Ini mesti tak nak ni, kan?”

“Tiket saya tu macam mana?” Fazila beralasan.

“Macam ni, aku belikan tiket lain untuk kau. Boleh?”

“Ehhh...” Kaget Fazila dengan cadangan Fauzi yang  lebih merupakan paksaan itu.

“Okey set, aku belikan tiket untuk kau hari Ahad, dua haribulan. Siap hantarkan lagi ke stesen bas. Kalau kau nak balik ke kampus dengan aku pun boleh. Kami pun dah nak balik ke KL hari Ahad tu nanti sebab Isnin abang aku dah start kerja. Kalau hantarkan kau sampai ke JB pun kami sanggup. 

Kau nak?”

“Ehhh... mana boleh, mak saya mesti tak benarkan, keluar berdua dengan awak.”

“Aku bukan datang seoranglah... keluarga aku pun ada jugak. Kami datang satu kereta ni. Tolonglah Ila... mak aku nak sangat shopping kat Rantau Panjang tu. Kami tak tau macam mana nak pergi ke situ...”

“Eh... saya malulah... dengan keluarga awak,” makin kaget dia jadinya.

“La.. apa nak malu, bukannya suruh jumpa bakal mak mentua. Suruh jadi tourist guide aje.” Berderau darah Fazila mendengarkan kata-kata Fauzi yang polos itu.

“Nantilah... saya tanya mak dulu.”

“Okey... tanya tau, lepas sepuluh minit nanti aku telefon balik. Please make it positif okey...”

“Tengoklah...” 

Jawab Fazila dengan rasa serba salah. Untuk menolak, dia tidak sampai hati. Untuk menerima, dia rasa seperti tidak sepatutnya.

Puan Norhayati mempersetujui permintaan itu dengan dua syarat. Pertama, Fazila mesti mengajak sesiapa yang emaknya kenali bersama. Lega rasa di hatinya kerana memanglah dia amat memerlukan bantuan seseorang untuk melaksanakan tugas ini. Lantas dia menghubungi Kak Rini. Kak Rini tahu selok belok jalan di Kota Bharu. Bila dihubungi, Kak Rini bersetuju. Fazila memang sudah mengagak kerana Kak Rini memang terkenal dengan sikapnya yang suka shopping. Cara menghilangkan stress katanya.

Syarat yang kedua pula ialah, Fauzi dan keluarganya mesti datang ke rumah untuk menjemput Fazila. Emak dan abah mahu mengenali keluarga teman yang akan membawa anak daranya itu keluar nanti. Malu sungguh rasa di hatinya. Apa tidaknya, emak dan abahnya ini memberikan syarat macamlah orang datang untuk meminang anaknya pula. Siap mahu kenal keluarganya dahulu. Padahal mereka cuma mahu mengajak dia untuk menunjukkan jalan sahaja kepada mereka. Tiada niat lain. Fazila yakin, pastinya Fauzi sudah faham dengan keengganannya untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan sahabatnya itu.

Apabila Fauzi menghubunginya sepuluh minit kemudian, kedengaran ceria sekali suara anak muda itu apabila mendengarkan jawapan positif daripada Fazila. Biarlah berapa banyak sekali pun syarat yang emak dan abah berikan, dia sanggup memenuhinya asalkan mereka sudi membenarkan Fazila pergi bersamanya, itu katanya. Hati Fazila jadi sedikit curiga, terasa seolah-olah bagaikan kehadirannya untuk menemani keluarga Fauzi amat-amat diharapkan. Entahlah..

No comments:

Post a Comment