“ABBY, kau doakan aku agar aku dapat berhenti kerja ni, eh?” Abby mencelikkan matanya dengan berat sebaik sahaja terdengar satu suara mendayu-dayu menyapa telinganya. Berkerut-kerut keningnya cuba menahan silau cahaya yang menerjah masuk ke kamar sebaik sahaja sahabatnya membuka tirai biliknya. Dia mengeluh. Muka inilah yang selalu membuatkan dia terjaga daripada lenanya. Diela, sahabat karibnya sedang merayu kepadanya. Diela melangkah menghampirinya dan melutut di sisi katil dengan wajah kasihan. Cuba memancing simpati daripada Abby. Abby menggeliat malas. Semenjak menjadi penganggur terhormat pada minggu lepas, dia semakin malas hendak bangun pagi. Menggeliat sana sini dan kembali tidur. Itulah kaedah dia menaikkan berat badan.
“Abby, doakanlah aku!” Diela mendesak sambil menggoyang-goyangkan badan Abby yang berpaling daripadanya itu.
“Orang lain nak aku doakan mereka bekerja dengan elok, kau pula nak aku doakan untuk berhenti kerja. Apa macam perangailah!” Abby membebel geram. Geram apabila lenanya diganggu. Dia menggaru-garu belakang telinganya yang gatal. Matanya macam diapit dengan penyepit makanan. Rapat. Terkatup dek rasa mengantuk yang menggoda mata.
“Alah. Aku dah tak larat nak kerja situ lagi. Bos aku tu, macamlah kau tak tahu perangai dia? Dia tu berperangai macam orang tak siap!” kutuk Diela geram. Terkacip giginya ketika meluahkan rasa marah yang berhimpun dalam hati.
“Itulah. Lain kali pilih bos elok-elok dulu. Tidaklah menyesa kemudian hari.” Abby membebel lagi. Matanya masih lagi terpejam. Dia tidak mahu membuka mata langsung. Diela menderam marah. Beginikah perangainya sahabat yang sering diagung-agungkannya? Cis!
“Bukan aku yang pilih, dah bos itu yang aku dapat! Tak sangka aku kena amuk sampai macam ni sekali. Enam bulan aku bertahan. Jantung ni bagai nak tercabut dah sesaknya setiap kali kena jerkah. Entah-entah kedudukan jantung aku ni dah teralih jatuh ke perut sebab hari-hari kena jerkah tanpa perasaan.” Diela membebel lagi. Kali ini dia bangun lalu berpeluk tubuh. Muka tidak puas hati dipamer lagi.
“Kau yang menggeletis nak menggatal dengan dia dulu!”
DAMM!!! Macam terkena tembakan berpandu maha dahsyat apabila disindir begitu. Diela mengemam bibirnya geram. Berani Abby mengutuknya? Menggeletis? Dulu mungkin ya! Tetapi sekarang, tidak lagi!
“Cuci mata. Biasalah kalau menghadap orang handsome. Sekarang tak lagi. Muka handsome pun, kalau tahap kesabarannya, zero, tak guna! Aku pun dah bertunang sekarang. Dah tak ada maknanya nak menggeletis bagai lagi.”
Diela memberi alasannya sambil berjalan ke arah tingkap. Cuba mengawal nada suaranya agar tidak melangkaui batasnya.
Dia memalingkan mukanya ke atas katil. Abby terbongkang! Tidak langsung mendengar alasannya tadi. Abby dipandang dengan pandangan kecil besar kecil besar juga dari atas sehingga ke bawah katil. Berani Abby mencabar iman yang bertakhta dalam hati nuraninya?
‘Baik punya alasan aku bagi, kau boleh buat derk!’ Hati Diela bagai disimbah api!
“Abby!!!” jeritnya geram sehingga melengking suaranya menyapa gegendang telinga Abby. Abby yang sedang enak tidur itu pun, apa lagi? Terbuntang matanya dan dia melompat turun dari katil apabila mendengar pekikan Diela. Apa lagi? Buka langkah silatlah dia di tepi katil!
“Kenapa... kenapa... kenapa? Siapa yang kacau kau? Meh sini aku lepuk kepala dia!” Hah! Latahnya mula berbunyi. Diela terkekeh-kekeh melihat Abby membuka langkah silat. Abby ni, latahnya boleh tahan teruk juga. Bukan Diela sengaja hendak menjerit tadi. Dia rasa geram dengan Abby. Tak sangka pula Abby akan melatah.
“Hush kau ni. Teruklah Dee. Janganlah terperanjatkan aku. Aku tak boleh. Aku nak hentikan latah aku. Bukan nak tambahkan lagi.” Abby membebel geram. Diela mengangkat kedua-dua belah tangannya. Mengalah.
“Maaf. Aku tak sengaja nak buat kau melatah. Kau doakan ajelah aku. Aku minta itu saja daripada kau. Doakan aku agar bos aku tu tak maki aku bila aku minta berhenti ni. Doakan aku berjaya berhenti tanpa ngauman dia.” Diela mendesak. Abby mengeluh. Dia mengangguk kemudiannya dan kembali merebahkan badan ke katil. Penat bersilat. Katakata rayuan daripada Diela tadi tidak diendahkan.
“Dah, pergi kerja. Hati-hati.” Abby sempat berpesan sebelum matanya terkatup semula. Dia kepenatan! Penat menambah lemak.
ARRAYYAN melangkah dengan penuh bergaya memasuki pejabatnya. Setiap langkahnya penuh gaya bagai disertai dengan alunan lagu muzik rock kapak serta angin bertiup lembut dan langkahnya pula bagai dilambat-lambatkan. Segak! Pekerja wanita mula mengambil tempat masing-masing dengan tangan memegang dada. Terkena panahan cinta sang arjuna! Mata pula terukir bentuk hati. Mereka jatuh cinta lagi dan lagi kepada bos segak mereka ini!
“Pagi bos!” Setiap kali melalui meja pekerja bawahannya, pasti pekerjanya memberikan ucapan selamat pagi buatnya yang membuatkan dia lebih disegani di syarikat itu. Dia menganggukkan kepalanya tanpa memandang kepada si pemberi ucapan pagi. Wajah seriusnya memang dipamerkan pada setiap hari bermula dari hari Isnin sehingga Jumaat.
Derap langkahnya menjadi kegilaan pekerja dara yang menggetik hebat hendak memenangi hati si ais kutub selatan milik Arrayyan. Bagaikan selebriti mereka memuja Arrayyan. Bos mereka hanya berkemeja biru laut digandingkan dengan tali leher biru tua. Rambutnya yang panjang separas leher diikat satu dan digel rapi. Anak mata kelabunya begitu fokus pada pintu pejabatnya yang berada di hadapan. Sesampai di pintu pejabat, tombol dipegang tetapi tidak dipulas.
Dia berpaling. Semua pekerja sedang leka memerhatikan dia. Dia mengangkat kening, semua pekerja bagaikan tahu renungan dan tanda jika kening bosnya diangkat itu. Itu tandanya, mereka perlu buat kerja! Arrayyan tersenyum sinis apabila semua pekerjanya tekun membuat kerja setelah renungan maut diberi. Dia hanya ingin melihat satu kelibat sahaja! Iaitu setiausahanya merangkap penolong peribadinya. Di mana ‘makanan’ dia itu pergi? Sehari tak nampak kelibat pekerja yang sentiasa kalut itu membuatkan dia tidak tenang. Rasa tak aman dunia jika sehari tidak membuli setiausahanya.
“Diela!” jeritnya kuat sambil berdiri tegak di hadapan pintu pejabatnya. Diela terkocoh-kocoh berlari ke arah bosnya. Hampir tercampak kasut tumit tingginya akibat memecut maraton lima ratus kilometer sejam.
“Ya bos!” Bagaikan tentera, Diela menabik hormat bosnya.
“Hmmph, ada bunga lagi untuk saya?” Dia menyoal Diela. Kerek! Diela menelan liur. Dianggukkan kepalanya perlahan-lahan. Biasalah, orang kacak, setiap hari, adalah sampai beberapa jambak bunga buat si jejaka. Yang untungnya, setiap kali bunga yang diterima, bosnya itu diarahkan agar dibuang ke tong sampah, Diela memilih untuk ‘membuang’ bunga-bunga tersebut di dalam biliknya.
“Ada bos. Saya dah letakkan di atas meja bos.” Diela menjawab dengan lutut yang mula terketar-ketar menahan rasa gentar terhadap bos segak bergayanya.
“Kan saya dah cakap awal-awal, buangkan semuanya!!” Arrayyan mula menjerkah. Terhinggut bahu Diela dijerkah sebegitu hebat di hadapan rakan setugasnya yang lain. Melayang terbang semangatnya akibat terlalu terperanjat. Rakan-rakan sekerja lain juga turut sama terhinggut dengan jerkahan yang maha hebat itu.
“Maafkan saya, bos. Perempuan tu minta saya jangan buangkan bunga tu, dia nak bos simpan.” Diela tergagap-gagap merencanakan jawapan.
Apa-apa sajalah alasan, janji, dia terselamat daripada jerkahan yang maha hebat daripada Arrayyan ini. Kalau terpaksa kelentong, dia pasti akan melakukannya untuk menyelamatkan diri. Lagi pula, dia berasa kasihan kepada perempuan tadi... Kasihan kepada bosnya yang berhati batu ini juga. Gaykah dia? Takkan Arrayyan langsung tiada minat kepada perempuan secantik Natasha tadi? Sedangkan dia yang melihat Natasha itu tadi pun sudah ternganga luas. Kagum dengan kecantikan rupa paras Natasha yang tidak dihinggapi sebarang jerawat mahupun bintik hitam dan sewaktu dengannya.
“Hmmph, saya bos awak ke dia bos awak?!” Memetir sekali lagi. Diela rasa seperti nyawanya terbang dibawa angin. Kalau macam inilah, dari tak ada sakit jantung, boleh jadi sakit jantung dia dikerjakan bos machonya ini.
“Maaf bos!” Diela meminta maaf lagi.
“Lain kali saya tak nak perkara ini berulang lagi. Kalau tidak, nahas awak!” Dummm! Kena lagi. Disertai dengan ugutan dan pandangan mata yang menikam anak matanya. Jari telunjuk Arrayyan menghala tepat ke hidungnya sehingga Diela naik juling merenung jari telunjuk Arrayyan yang hampir seinci hendak menyentuh hidungnya itu.
Pekerja-pekerja lain hanya mampu memandang Diela dengan pandangan simpati sahaja. Hmm. Tak lamalah nampaknya Diela bekerja dengan Arrayyan. Itu tanggapan mereka. Arrayyan memang sering kali bertukar PA. Siapa yang dapat bertahan dengan sikapnya yang gemar memetir itu? Angin tak ada ribut pun tak ada, sedar-sedar petir menyambar telinga mereka. Mahu tak goyah?
“Baik bos.” Diela patuh kepada bosnya. Lemah suaranya.
“Yang lain ni tertilik-tilik, terjengket-jengket mahu melihat apa? Nak saya amuk sekali ke?!” Tak payah ugut, petirnya menyambar lagi membuatkan pekerja-pekerja lain terus berlari lintang-pukang membuat kerja! Arrayyan menjeling pekerja-pekerjanya dengan tajam. Dia memulas tombol pintu bilik pejabatnya lalu melangkahkan kaki ke dalam tanpa berpaling lagi. Pekerja di belakangnya mula bersoksek-soksek setelah pintu bilik bosnya kedengaran GEDEGANGG!!!!
Kot ditubuhnya dilucutkan lalu disangkut ke kerusi empuk di pejabatnya. Dia menghempaskan tubuhnya dengan kasar ke kerusi tersebut. Dipusing-pusing kerusi itu dengan muka bengis. Jari mengetuk-ngetuk permukaan meja yang berkaca itu.
‘Sehari tak buat hidup aku tenang tak boleh ke? Ini betina mana pula yang hantar bunga kepada aku? Tak tahu malu betullah perempuan zaman sekarang ni. Berani lebih, kalah lelaki.’ Amarah dihamburkan hanya dalam hati. Dia membelek kad yang disertakan bersama bunga yang diterimanya. ‘Khas untuk Abang Handsome, terimalah bunga ini
sebagai tanda perkenalan kita. I Natasha. Gadis yang terserempak dengan you waktu you makan dekat Bubba Gump dulu.’ Apa punya singkatlah otak? Kenal macam itu terus nak hantar bunga. Miang! Sejak bila aku jadi abang dia entah? Hatinya mendengus. Dia mencampakkan bunga itu ke dalam bakul sampah. Seketika kemudian, dia menekan pembaz.
“Diela, bawakan saya air!” Setelah penat memetir dia meminta air. Barangkali sudah kehilangan suara. Kering tekak? Tentu sekali. Setiap hari memekak sahaja kerjanya, tentu makan Strepsils pun tak jalan!
“Baik bos!” Suara Diela bersemangat seperti pada awal pagi tadi. Dia menyandarkan kembali tubuhnya di kerusinya. Menanti air kopi daripada Diela. Dia sempat membelek-belek beberapa dokumen yang sudah tersedia di atas meja untuk disemak.
‘Hmmph! Boring! Kerja yang sama. Cop dan tanda tangan. Kursus dan jumpa klien. Mesyuarat dan bersurai! Entah apa-apalah. Benda-benda macam ini pun nak kena sahkan juga!’ Dia merungut dalam hati. Tangannya giat menanda tangan dokumen yang disemak sekali lalu itu. Seketika kemudian, fail dicampak ke tepi. Dia mula menongkat dagunya, termenung. Anak mata kelabunya memandang tepat ke muka tombol pintu. Fikiran terawang ke lain.
TOK TOK TOK! Ketukan pintu mengganggu konsentrasi Arrayyan. Dia mendengus. Dia memang tidak suka diganggu. Tambah-tambah ketika dia sedang termenung dan juga sedang bekerja!
“Masuk.” Dingin arahannya. Muncul kelibat Diela yang tersenyum sambil menatang air dengan tangan yang terketar-ketar.
“Ni dia bos, airnya.” Diela menyerahkan secawan air. Dia meletakkannya ke atas meja bosnya lantas menunduk hormat meminta diri. Baru lagi hendak sampai di muka pintu pejabat Arrayyan, dia dipanggil.
“Diela,” panggil Arrayyan. Tegas.
“Ya. Saya, bos?” soal Diela. Dia takut-takut. Tiada sesiapa yang pernah terlepas daripada berasa takut jika menghadap bosnya yang seorang ini. Mukanya bengis semacam. Setiap hari pun begini. Setiap kali salah seorang daripada pekerja di situ dipanggil Arrayyan, tentu
mereka menadah tangan di hadapan pintu pejabatnya. Berdoa banyak-banyak sebelum melangkah masuk bersua muka dengan Arrayyan. Pekerja yang tidak dipanggil sempat mengucapkan takziah kepada yang dipanggil.
“Lain kali, tolong buat dalam cawan yang satu lagi. Yang lebih besar! Macam telinga awak. Ini cawan kecil, setaraf telinga saya saja.” Ada sahaja kesalahan pekerjanya di mata Arrayyan. Sampaikan telinga gajah pekerjanya ditegur. Diela mengangguk-angguk tanda faham. Sakit hatinya usah dikata. Berani Arrayyan mengutuk telinganya? Hey, telinga aku ni special tahu tak? Satu dalam seribu! Setelah keluar dari bilik Arrayyan, dia memasuki pantri. Di situ, dia hamburkan kemarahannya sesungguh hati. Geramnya dia. Boleh bos dia bandingkan saiz telinga mereka? Mentang-mentanglah telinganya lebih besar daripada telinga pekerja lain di situ. Eee. Tak ada hati perut punya bos!
“Eee, hantu punya bos! Kejam! Syaitan berkepala lima. Iblis bertanduk sepuluh! Memang durjana! Kepala masuk air! Bongok!” Nah! Segalanya dilepaskan di dalam air Horlicksnya kemudian dia meneguknya dengan rakus! Ambil kau! Kena telan.
“Marah betul ya Diela? Ada lesen memaki hamun ke?!” tegur satu suara garau. Memetir. Diela terkejung di tempat dia duduk. Perlahan-lahan dia berpaling. Nafas lega dilepaskan. Bukan bosnya! Azham sahaja.
“Kau ni Zaham! Terperanjat aku. Bagilah salam!” Diela membebel sambil tangannya mengusap dada. Lega. Bukan Arrayyan yang memetir tadi. Kalaulah Arrayyan yang mendengar tadi, tentu dia sudah dipecat sebelum meletak jawatan.
“Aku pula! Aku dah lama berdiri kat sini. Kau yang tak perasankan aku. Sedap dengar kau kutuk bos. Kalau bos tahu…” Belum pun habis ayat itu, Diela sudah menjegilkan matanya memberi amaran. Gigi diketap geram.
“Syhhh! Kalau kau berani beritahu, siaplah! Aku ganyang mulut kau sepuas hati dengan berus sabut!” Diela mengugut Azham. Mukanya berkerut-kerut memarahi Azham.
Azham terkekeh-kekeh ketawa. Sifat Diela ini, unik amat! Cepat sungguh melenting, tapi apabila dengan bos, tertunduk-tunduk macam kepala ditonyoh dari arah belakang. Entah apa-apa. Kalau garang sangat, pergilah berperang dengan bos! Tunjuk berani di belakang sahaja. Hmmph!
“Kau ni! Ada-ada sahajalah ugutannya. Tak ada maknanya aku nak beritahu. Aku pun sakit hati juga dengan dia tadi. Mana boleh sebab sejambak bunga aje, ditengking kau semahunya. Kalau aku kat tempat kau, aku dah buka payung menahan air liurnya daripada tersembur ke muka.” Azham melawak. Tidak mahu Diela terus memarahinya. Dia hanya bergurau tadi. Tidak sangka Diela menjadi sepucat itu melihat kehadirannya.
Diela tergelak mendengar kata-kata Azham. Legalah dia. Azham memang baik dengannya malah Azham sering kali melindunginya daripada amarah bos. Lega! Pemuda yang baru berusia dua puluh enam tahun yang berpakaian segak itu menghampiri Diela lalu dia meneguk minuman yang dibuatnya.
“Okeylah. Aku pergi dulu. Aku tak boleh berlama kat sini. Takut nanti kena sambar petir lagi sekali. Black out minda aku.” Diela meminta diri. Azham tergelak. Dia terangguk-angguk tanda setuju.
No comments:
Post a Comment