DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 10 February 2015

Titik Mula Cinta - Bab 7

MATANYA buntang memandang keluar dari pintu gelangsar kondominium. Terlalu asyik dia memerhatikan beberapa orang kanak-kanak yang sedang berenang gembira di kolam renang di bawah sana. Unit kondominiumnya yang terletak di tingkat dua puluh itu memberikan sedikit ketenangan untuknya daripada gangguan deruan kenderaan yang  kelihatan kecil, bergerak perlahan menuju ke destinasi masing-masing. 

Menatap dari kejauhan, panorama indah Taman Tasik Titiwangsa membuatkan dia merasa damai daripada suasana hingar kota raya Kuala Lumpur yang menjadi tempat untuk dia mencari rezeki. Suasana lewat petang yang redup ini terasa bagaikan mengimbangi perasaannya yang resah gelisah. Terasa sedikit tenang dengan keadaan itu walaupun dia tidak mampu untuk menafikan betapa kuatnya perasaan gundah yang merajai hatinya sejak hampir sebulan yang lalu. 

Perlahan dia melepaskan keluhan. Betulkah tindakannya itu? Tidakkah segalanya berlaku dengan terlalu terburu-buru? Tiada cinta di hati, namun sudah sanggup menjalinkan hubungan yang sebegitu akrab, yang memerlukan ketahanan jiwa untuk terus berpegang pada janji yang dipatri. Apa kata kalau dia atau Fazila tidak mampu untuk berpegang pada janji mereka?

Pulang dari rumah Ila hampir sebulan yang lalu, dia terus meninggalkan mamanya dan Fauzi di rumah mereka di Bangi dan kembali ke kondominiumnya walaupun waktu itu jam sudah menunjukkan ke pukul dua pagi. Selepas meninggalkan Kia Sorentonya di rumah mama, dia terus menunggang motosikal berkuasa tingginya untuk pulang ke kondominiumnya di The Orion, Jalan Tun Razak yang terletak berhampiran dengan tempat kerjanya di Institut Jantung Negara (IJN).

Tidak betah untuk dia terus bersama mama yang masam mencuka. Sehingga ke hari ini dia masih lagi belum pulang ke rumah walaupun setiap hari dia menelefon mama untuk bertanyakan khabar. Setiap panggilan yang dibuat untuk mama sering disambut dingin oleh orang tua itu. Jelas sekali rajuk mama masih belum reda.

Dia perlu menjarakkan diri seketika daripada mama. Orang tua itu tentunya berkecil hati dengan sikapnya, tetapi dia perlu berbuat begitu kerana bimbang akan terkeluar sesuatu dari bibirnya yang akan membuatkan mama berkecil hati lagi. Dia amat berharap kehadiran Fauzi di sisi mama mampu membuatkan mama tidak terlalu merasakan sedih akibat sikapnya itu.

Sepanjang perjalanan pulang daripada bercuti di negeri Kelantan, dia cuba untuk menegakkan pendiriannya tentang pertunangannya dengan gadis manis itu. Terasa amat bersalah apabila melihatkan wajah gadis yang naif itu bagaikan mengharapkan perhatian daripadanya. 

Entah berapa kali dia cuba menjelaskan kepada mama tentang kemungkinan satu kesilapan telah berlaku. Tetapi seperti biasa, mama bukannya mahu mendengar katakatanya. Bila orang tua itu sudah berkata sesuatu, semuanya bagaikan arahan mandatori bagi anak-anaknya. Selama ini dia tidak merasakan sikap mama itu menyusahkan dirinya.  Malah mamalah tempat dia mengadu segala kesedihan yang dia rasakan selama ini meskipun tidak semuanya dikongsikan bersama mama. Tapi kali ini, dia bagaikan terpukul kerana keputusan mama yang begitu mengenepikan perasaannya.

“Habis semalam kenapa tak cakap yang Faris tak nak kat dia? Bila mak tanya, kenapa Faris diam, tak cakap apa-apa... bila dah macam ni takkan kita nak tarik balik... diaorang dah terima... tidak ke semua tu memalukan mereka... engkau ni betul-betullah Faris... jangan nak malukan mak... Dahlan tu orangnya baik... apa kata dia kalau kita tarik balik...”

“Bukannya Faris nak tarik balik mak... tapi semua ni terburu-buru sangat... semalam masa mak tanya, Faris rasa macam tak sempat fikir apa-apa. Pagi tadi, sepanjang masa kat rumah dia, entah kenapa Faris rasa bersalah pada Ila sebab bagi harapan pada dia...”

Fauzi dan Farisya hanya diam membisu mendengarkan pertelingkahan antara abang sulung dan mama mereka itu. Masing-masing tidak berani untuk memberikan apa-apa komen. Masing-masing bimbang jika dituduh melawan cakap mama. Mama memang punya sikap prejudis sebegitu, terutamanya bila kehendaknya disanggah. Rajuknya nanti tentu akan dibawa sampai bila-bila. Dan nanti akan diungkit satu persatu bila timbul masalah lain walaupun semua permasalahan sedia ada sudah reda nanti. Itulah mama mereka. Walaupun sayang, namun ada juga sikap yang sungguh memeningkan kepala ketiga-tiga orang anak-anaknya ini.

Samsung Galaxy Note II miliknya yang terletak di meja kopi berdekatan berdering minta diangkat. Perlahan dia mendekati telefonnya dan menatap nama si pemanggil. Fauzi... Sebaik sahaja menatap nama yang terpapar di skrin telefonnya, terus hatinya disapa kebimbangan. Cepat-cepat dia mengangkat telefonnya dan meletakkan ke telinga.

“Assalamualaikum Pudji...”

“Waalaikumussalam Faris, apa khabar?”

“Alhamdulillah... aku baik... kat sana macam mana? Mama sihat tak?” Sahutnya sambil duduk di sofa berhadapan dengan televisyen.

“Mama sihat... cuma nampak sedih sikit sekarang ni... kenapa kau dah lama tak balik? Sibuk sangat ke?” 

“Hmm.. biasalah... kau tahulah kerja aku ni...” Lambat-lambat  Faris memberikan alasan.

“Alah... dulu pun kau sibuk jugak... kerja yang sama jugak... tapi sempat jugak balik jenguk mama walaupun sekejap. Ini dah sebulan kau tak balik... merajuk sangatlah tu...” Faris mengeluh perlahan. Matanya terus menatap rancangan di kaca televisyen tanpa sedikit pun mindanya mampu menyerap apa yang dia tonton. Cerita Ip Man yang penuh dengan aksi-aksi lasak yang selalunya mampu menarik minatnya untuk menonton tidak lagi dapat memaku pandangan matanya. Wajah Fazila, gadis manis yang kini menjadi tunangnya pula yang menggamit ingatannya untuk terus tertumpu kepada wajah yang satu itu.

“Baliklah... mama rindu kat kau ni. Dia tak cakap apa-apa, tapi aku dapat rasa... Farisya pun kata gitu jugak. Sampaikan sekarang ni, hari minggu je dia masakkan apa yang kau suka. Mesti dia berharap engkau balik...” Kata Fauzi bila melihatkan abangnya diam tanpa kata.Faris diam lagi.

“Aku nak tanya kau ni... kau tak suka ke kat Ila tu? Sampaikan kau jadi macam ni?” Faris mengeluh perlahan. Lama kemudian barulah dia mampu meluahkan perasaannya kepada adiknya.

“Tak... bukan aku tak suka... Umur aku dah tiga puluh tiga, memang aku dah patut fikir balik pasal kahwin. Tapi, kami baru je kenal... aku belum pun tahu apa-apa pasal diri dia... banyak yang aku kena tahu pasal dia. Dan dia pun sepatutnya tahu pasal aku. Aku tak nak frust lagi macam hari tu... dan aku pun tak nak dia frust kalau dia tahu pasal aku...”

“Engkau ni kan... masih duk kenang lagi kisah lama... Sudah-sudah la... lupakan saja yang dah lepas tu... lagipun mama dah bincang panjang lebar, kan dengan mak abah dia. Mereka yang nak kita rahsiakan pasal engkau pada Ila. Bila dah sampai masanya nanti mereka sendiri akan beritahu Ila. Itu cakap mama. Dan aku tahu Ila tu baik. Aku yakin dia tak akan kecewakan kau. Dalam masa bertunang ni, kenal-kenallah dengan dia... contact dia...” 

Faris diam kembali.

‘Hmm... betul juga cakap Fauzi tu...’ Bisiknya dalam hati.

“Dia tak ada handphone... tunang kau tu orthodoks sikit... Jadi kalau kau tak boleh contact dia guna telefon... Kau emel je dia tu... contact kat facebook pun boleh... tapi biasanya dia jarang online... cubalah... kot-kot dia online, dia mesti jawablah. Nanti aku text email address dengan akaun facebook dia pada kau...”

“Aku tak ada facebook... tak ada masa aku nak mengadap komputer... bersosial macam tu...” Kata Faris. 

“Heee... kau ni... nak seribu daya.. tak nak seribu dalih... kau kan pakai smart phone... kalau kau tegur dia online, dan dia jawab, kau tak perlu mengadap komputer... tegur aje lah dia kat smart phone kau tu... Hee... nama je doktor...dah jadi pakar bedah jantung pulak tu... benda macam tu pun aku kena ajar ke? Teruk kau ni tau tak... poyo betul...” 

Faris diam lagi. Hanya hela nafasnya sahaja yang menjawab kenyataan pedas yang diberikan oleh Fauzi itu.

“Kau nak balik tak ni... minggu depan aku out station... baliklah... temankan mama...” Lama Faris diam. Akhirnya dia bersuara.

“Okeylah... aku check schedule aku dulu... kalau ada free weekend ni... aku balik... kalau tak.. aku balik masa aku free.” 

“Hmmm... baguslah tu... kesian mama...”

“Kerja kau macam mana?”

“Hmm... aku dah kerja sebulan kau baru nak tanyakan khabar ye?” Sinis lagi Fauzi menyindir abangnya. 

“Kerja aku tu okeylah... penat betul kau tahu... tapi seronok... Minggu depan aku kena pergi Melaka... ikut bos jenguk kilang kat sana. Sambil-sambil belajar...”

“Baguslah... jangan nak membodek bos sudahlah...” Kata Faris cuba untuk bergurau.

“Wei... kau ingat aku ni apa? Bodek–bodek tak mainlah...” Lalu mereka tertawa. Hilang seketika gundah yang beraja di hati Faris. Dia akan cuba cari masa untuk lakukan apa yang dicadangkan oleh adiknya nanti. Akan cuba mendekati gadis yang masih asing dalam hidupnya, yang kini sudah menjadi tunangannya, dan akan menjadi teman hidupnya dalam tempoh tidak lebih dari setahun dari sekarang. 

“MA...”

“Yelah... anak-anak memang macam tu... bukannya dia peduli apa yang mama rasa...” Faris terdiam. Dia sedar dia salah kerana membiarkan rajuk mama berpanjangan. Tapi dia juga punya perasaan. Dia juga ingin dimengertikan. Namun, buat seketika ini dia perlu biarkan dulu perasaannya itu. Letak duduknya mama adalah di tangga teratas dalam hidupnya. Mama adalah keutamaan dalam segala-galanya. Lantas dia memeluk mama yang duduk di sebelahnya itu demi untuk memujuk.

“Ma jangan cakap macam tu... Faris minta maaf sebab buat mama susah hati. Faris salah... maaf ye ma?” Katanya untuk meleraikan gundah di hati wanita yang sudah cukup menderita hidupnya selama ini. 

“Kalau Faris tak nak kat Ila tu, cakap ajelah... nanti mama carilah jalan untuk bincang dengan keluarga dia. Mama tak nak paksa anak-anak mama,” kali ini suara itu sudah tidak setegang tadi.

“Ma... jangan cakap macam tu... Faris akan ikut cakap ma...”

“Hari tu mama rasa seronok sangat bila jumpa kawan yang pernah rapat dengan mama... yang banyak bantu mama masa mama susah dulu. Faris ingat lagi tak? Kat rumah Pak Cik Dahlanlah kita empat beranak tumpang masa kena halau dengan bapak Faris dulu?” 

Ada air mata bening bertakung di kolah mata mama saat itu membuatkan luluh hati Faris melihatkan kesedihan yang telah dia terbitkan di hati mama. Matanya juga mula menakungkan genang air mata bila mengingatkan kisah sedih yang mereka lalui lama dulu.

“Ingat mak... Faris ingat...” Jawabnya perlahan.

“Sebab tu mak terus nakkan Ila jadi menantu mak... sampai lupa perasaan anak sendiri...” Keluh Mak Cik Hasmah. 

“Mak... dahlah... Jangan nangis lagi. Faris akan cuba terima dia... Demi mak...” Ucap Faris menyatakan tekadnya. 

Mata Mak Cik Hasmah mencari anak mata Faris untuk mendapatkan kepastian daripada kata-kata yang diucapkan itu. Mata bertaut seketika, dalam diam ia menceritakan selaut kesedihan yang pernah mereka lalui bersama satu masa dahulu. Waktu yang telah lama meninggalkan mereka. Yang meninggalkan parut luka yang dalam. Hinggakan tiada yang mampu memadamkan kenangan pahit itu.

Faris memeluk tubuh separuh gempal mamanya. Tiada yang lebih dia sayangi dalam hidupnya selain daripada wanita yang melahirkannya ini. Dan setiap apa yang dia lakukan adalah untuk membahagiakan mama. Menjadi tanggungjawab bagi dirinya untuk menghilangkan segala kesedihan di hati mama. 

“Mama jangan risau ye?”

Puan Hasmah hanya menganggukkan kepalanya. Sungguh dia terharu dengan apa yang dikatakan oleh Faris. Anaknya ini sanggup mengenepikan perasaannya demi dia. Sungguh dia bersyukur mempunyai anak yang sebaik Faris. Sejak dari kecil Faris mampu mendamaikan jiwanya yang sering berantakan semasa masih lagi bergelar seorang isteri. 

Farislah yang membuatkan dia jadi terus kuat untuk meredah kepayahan yang mereka lalui. Waktu itu Fauzi dan Farisya masih terlalu kecil untuk mengerti apa-apa. Saat dia keguguran anak keduanya akibat daripada dipukul oleh bekas suaminya, Farislah yang menjaganya meskipun waktu itu anaknya itu baru berusia lima tahun. Farislah yang merawat luka-lukanya, sama ada yang nampak di mata, mahupun luka-luka di hatinya.

Mungkin kini dia sudah cukup bahagia dengan anak-anak yang berjaya mencapai apa yang mereka inginkan. Faris kini seorang pakar bedah di IJN, Fauzi pula seorang jurutera proses
di sebuah kilang yang ternama, iaitu Texas Instruments Malaysia manakala Farisya pula akan menamatkan pengajiannya dalam bidang Reka Bentuk Dalaman di UiTM, Shah Alam. Dia sudah cukup berbangga sekarang. Walaupun dalam keadaan dirinya yang amat terseksa suatu masa dahulu kerana mempunyai seorang suami yang melupakan tanggungjawabnya, namun ia masih mampu untuk mendidik anak-anaknya sehingga ke peringkat mereka sekarang. 

Setelah dia diceraikan oleh suaminya sebaik sahaja dia melahirkan Farisya, kepayahan demi kepayahan telah dia lalui. Semasa mengandungkan Farisya, dia telah dihalau keluar dari rumah oleh suaminya sehingga terpaksa membawa diri dan anak-anaknya. Dahlan dan Norhayatilah yang menumpangkan dia, Faris dan Fauzi di rumah mereka waktu itu. 

Dia dan Dahlan berkerja di tempat kerja yang sama dan sememangnya rapat kerana simpati pasangan itu terhadap nasibnya. Waktu itu Fazila baru berumur tiga tahun, sebaya dengan Fauzi dan Faris pula berumur dua belas tahun. Norhayati pula sedang mengandungkan anaknya yang kedua. Kedua-dua suami isteri itulah yang membantu mereka sehinggalah dia dapat berpindah untuk bertugas di Kuala Lumpur, pulang ke tempat asalnya. Dia tidak akan dapat melupakan kebaikan pasangan itu terhadapnya waktu itu. Sampai bila-bila pun dia tidak akan mampu untuk lupakan.

Pada awal perpisahan, mereka sering berhubung. Namun akhirnya disebabkan kesibukan masing-masing, hubungan mereka terputus. Dan setelah dua puluh satu tahun, mereka dipertemukan kembali dalam keadaan yang amat menggembirakan. Sesungguhnya dia ingin meneruskan hubungan ini. Kerana itulah dia meminta izin untuk menyuntingkan anak gadis kawannya itu untuk anak terunanya.  Dia tahu Fauzi juga sukakan Fazila. Dan dia faham kini mengapa hatinya sering tertarik setiap kali Fauzi menceritakan tentang gadis itu.

Namun dia tahu masanya belum sesuai lagi untuk Fauzi membina kehidupan. Anak keduanya itu seharusnya mengutip lagi pengalaman hidup sebelum memulakan sebuah kehidupan berkeluarga. Dia juga seharusnya belajar untuk bertanggungjawab demi untuk masa depannya. Kerana itulah dia mahu menyunting Fazila untuk Faris. Dan dia bersyukur Fauzi memahami keadaan ini. Tambahan lagi di saat ini Faris lebih memerlukan seseorang di dalam hidupnya. Dia perlu pastikan Faris tidak lagi terus hidup dalam kenangan silam. Biarlah semua itu berlalu sebagaimana daun-daun yang berterbangan dihembus angin.

“Mama... panjang je menung... mama tak percaya pada Faris?” 

Matanya kembali menatap wajah anak sulungnya. Tenang sekali rasa hatinya melihatkan wajah itu. 

“Tak... mama percaya pada Faris, Cuma jangan hampakan mama ye... jangan hampakan Fazila jugak...” Faris menganggukkan kepalanya perlahan. Sambil menarik nafas panjang dia cuba tersenyum semanisnya. Cuba seboleh-bolehnya menyembunyikan keresahan di hatinya. 

FAZILA MENUTUP komputer ribanya. Hampa lagi. Hampir satu jam dia online di akaun facebooknya, tapi yang dicarinya langsung tidak ada. Malah dia sendiri tidak yakin sama ada lelaki itu punya akaun facebook ataupun tidak. Terasa seperti orang bodoh apabila dia mencari-cari di ruang search dengan menaip nama lelaki itu, Muhammad Faris Haikal bin Muhammad Amin, namun tidak satu pun akaun yang keluar itu milik tunangnya. Dan terasa seperti orang bodoh waktu dia melayari setiap akaun yang menggunakan nama yang sama. Mengharapkan ada terselit wajah yang ingin sekali ditatapnya. Namun hampa. Memang ternyata tunangannya itu tidak punya akaun facebook. 

Hampir setiap malam sejak sebulan yang lalu Fazila online di akaun facebooknya. Mengharap. Menanti. Namun apa yang dia harapkan dan nantikan sedikitpun tidak membuahkan hasil seperti yang dia inginkan. Tiap kali selepas online dan akhirnya hampa, dia berjanji pada dirinya supaya tidak akan online lagi untuk hari-hari yang mendatang. Namun bila tiba esok, perasaannya membuak-buak ingin tahu sama ada kemungkinan Faris juga online dan akan menegurnya, atau mungkin juga akan request friend kepadanya. Jika itu berlaku, pasti dia dengan rela hati akan menerimanya. Tapi tetap juga hampa. Ternyata tiada sesiapapun yang menunggunya seperti dia yang setia menunggu si dia.

No comments:

Post a Comment