Selepas enam tahun.
“WEH, kau kat mana ni? Aku call dari tadi tak ada satu pun kau angkat. Kau tengah buat apa ni?” Laju pemanggil di hujung talian menyoal. Terasa bingit telinganya seketika kerana baru sahaja keluar dari mahkamah, menguruskan perbicaraan kes seorang pelanggan.
“Laa.. aku ingatkan kau ada kat pejabat. Aku ingat nak ajak kau makan tengah hari,” jawab Akmal.
“Hmm.. kat mana?” Harith bertanya lagi. Tangannya ligat memasukkan fail dan beg kerjanya ke dalam kereta dengan sebelah tangan sementara sebelah lagi memegang telefon bimbit.
“Kat mana? Kat mana apa?” Akmal pelik. Tiba-tiba
“Kau nak ajak aku makan kat mana? Tadi beriya sangat ajak aku keluar makan tapi boleh pula tanya balik aku macam tu. Apasal dengan kau ni?” macam-macam Akmal ni. Getus hati Harith. Kunci kereta dia cucuk ke dalam suis sebelum dihidupkan.
“Kat The Chicken Rice Shop lah. Aku dah ada area sini ni,” balas Akmal.
“Okey set. Aku dah tak jauh ni.”
Kereta Myvi hitam yang dipandu oleh Harith berlalu keluar dari pekarangan mahkamah.
HARITH melangkah longlai masuk ke dalam rumah keluarganya. Kerja di pejabat semakin bertambah dari sehari ke sehari memaksa dia pulang bila malam menjelmakan diri.
“Along, lambat balik?”
Harith berpaling. Wajah tua Haji Ahmad yang sedang duduk di atas kerusi di ruang tamu menggamit pandangannya. Senyuman lesu dihulurkan kepada ayahnya.
“Banyak kerja, yah. Sejak akhir-akhir ni banyak betul kes cerai yang masuk.”
“Dah isyak ke belum ni?”
“Dah, yah. Ayah, along ke bilik dulu ya. Rasa penat sangat.”
“Hmm… baiklah.” Harith berlalu ke biliknya. Tuala yang disangkut di belakang pintu bilik dia capai dan berlalu ke bilik air. Harith mahu membersihkan diri dahulu sebelum tidur. Begitulah rutin hariannya. Dari pagi hingga ke malam terpaksa berada di pejabat. Dunia sosial memang tak pernah ada dalam kamus hidupnya. Jika orang lain sibuk dengan Facebook dan Twitter atau Instagram tapi sejujurnya dia tak pernah ada akaun itu semua. Entahlah. Bagi dia, itu semua membazir saja buat kerja lagi baik dari layan benda-benda tak berfaedah begitu.
Usai mandi, Harith terus berbaring di atas katil bujangnya. Mata yang tadinya layu dan akan tertutup bila-bila masa sahaja tiba-tiba terasa keras. Rasa kantuk yang menguasai diri sejak tadi entah terbang ke mana. Semua rakan-rakan sebaya dengannya sudah pun punya keluarga sendiri. Ada yang telah punya anak sendiri. Hanya dia yang masih terumbang-ambing tanpa hala tuju. Pada umur 33 tahun, sepatutnya hidup Harith juga seperti orang lain. Punya keluarga yang saling melengkapi. Punya isteri dan anak-anak yang menyambut kepulangannya setiap kali sampai di rumah. Tapi dia…
Nafas dia tarik dan keluhan berat dia lepaskan. Emaknya tidak sudah-sudah menyuruh Harith berkahwin tapi semua itu dia tolak dengan alasan masih belum bersedia. Sedangkan bukan dia tak bersedia tapi dia punya satu hakikat sendiri iaitu dia telah berkahwin! Namun, hanya dia sahaja yang tahu rahsia besar itu. Seluruh keluarganya masih lagi tak tahu. Jika dia memberitahu kepada emak dan ayahnya, pasti mereka akan bertanya, siapa menantu mereka? Dan siapa yang Harith perlu bawa berjumpa dengan mereka berdua? Dia memang tak tahu di mana perempuan yang dia kahwini 6 tahun dahulu tinggal.
Sekali lagi dia melepaskan keluhan berat. Siling biliknya terus dipandang tanpa lepas. Ah, tidurlah wahai mata. Esok banyak lagi kerja yang menanti. Sudahlah perlu ke mahkamah lagi esok. Ujar hatinya. Mata terus dipejam rapat dan mahu terus terlena tanpa apa-apa gangguan.
“ALONG, hari ni balik kerja awal tak?” soal Puan Hasnah ketika Harith bersarapan di meja makan. Sarapan Harith tidaklah berat, cuma secawan teh atau kopi sahaja. Untung tau siapa dapat dia. Bab makan langsung tak cerewet. Bedal aje semua yang ada depan mata.
“Tak tahu lagi mak. Kenapa mak?” Harith menyoal emaknya kembali. Dia sudah bangun dari kerusi, mahu ke tempat kerja pula.
“Petang nanti kakak mak nak datang. Kamu ingat tak kakak mak yang mak cerita duduk dengan keluarga angkat tu?” dahi Harith berkerut. Kakak mak?
“Hmm.. Mak Long Ani ke mak? Kalau yang tu along ingat, apa tak ingat pula. Mereka nak datang? Mereka nak tidur kat sini ke?”
Harith masih ingat. Dulu Puan Hasnah ada bercerita tentang kakak sulungnya yang telah terpisah sejak kecil lagi kerana arwah neneknya dahulu menyerahkan Mak Long Ani kepada sebuah keluarga yang tidak punya anak. Tambahan pula, kesempitan hidup di zaman dahulu menyukarkan untuk membesarkan anak yang ramai. Segala-galanya memerlukan perbelanjaan.
“Eh, taklah. Mereka nak datang melawat saja sebab dah alang-alang datang ke Terengganu ni. Kamu boleh balik awal tak?”
“Oh, macam tu. Tak boleh nak janjilah mak sebab kerja kat pejabat tu bertimbun-timbun. Hari ni nak pergi ke mahkamah lagi,” Harith menyalami tangan emaknya.
“Kalau along tak dapat balik, emak kirim salam sajalah kepada mereka. Along pergi dulu mak.” Harith meminta diri. Sebelum berlalu, dia sempat menyalami tangan emaknya seperti biasa dan terus mendapatkan kereta Myvinya.
Perjalanan ke pejabat sangat lancar kerana masih awal lagi. Harith memang suka keluar awal ke tempat kerja kerana tak mahu terperangkap dalam kesesakkan lalu lintas. Sejak akhir-akhir ni, situasi jalan sesak pada waktu puncak di Terengganu, sudah menjadi satu kebiasaan. Tak ada yang peliknya sebab sudah ramai anak perantau kembali menabur bakti di bumi sendiri. Kereta dia parkir berdekatan dengan pintu masuk pejabat sebab nanti senang nak keluar. Pintu yang bertanda Tetuan Malik Ismail dan Harith itu dia tolak perlahan. Usai meletak beg kerja, dia terus membuka komputer ribanya. Sempat lagi untuk dia menyambung kerja yang tertangguh semalam.
“Hei, awal kau masuk pejabat? Hari ni tak ada kes ke?” sergahan seseorang buat Harith sedikit terkejut. Malik berdiri di tepi pintu biliknya.
“Kau ni, suka betul main sergah-sergah. Biasalah aku sampai masa ni. Pukul 10.00 kejap lagi aku kena pergi mahkamah,” jawab Harith.
“Ada kes hari ni? Kes yang mana satu?” tanya Malik lagi.
“Kes cerai mak datin tulah, tak selesai-selesai lagi. Entah bila nak selesai pun aku tak tahu. Nak mintak macam-macam tapi tak selesaikan sekaligus, sampai aku naik pening dengan dia ni. Banyak sangat kerenahnya,” rungut Harith.
Kes ni paling mencabar mindanya. Mencabar dari segi kerenah pelanggan yang buat dia bosan. Tahulah pelanggan bayar tapi dia juga seorang manusia biasa. Ada juga rasa nak marah.
“Itulah, aku dah pesan dulu. Mak datin tu memang banyak sangat fiilnya. Tapi dah kau sanggup nak handle kes dia, tanggunglah. Okeylah, aku ke pantri dulu,” pinta Malik.
Memang pun. Sebelum ni Malik dah pesan tapi dia tak ambil peduli tu semua. Baginya belum cuba belum tahu. Dan sekarang, bila dah cuba, dia dah tahu. Dia rasa nak selesai cepat-cepat kes ni! Bosan! Bunyi interkom di atas meja mengganggu kerjanya.
“Ada apa Kak Mas?” soal Harith pada Mastura, kerani serta telefonis di pejabatnya itu.
“Encik Harith, ada call line three. Nak saya pass masuk ke?” tanya Mastura.
“Siapa?”
“Datin Maya.”
Ceh, Datin Maya konon! Nama Salmiah aje pun tapi suruh orang panggil Datin Maya! Kutuk Mastura di dalam hati. Bibirnya mencebik. Mastura memang betul-betul menyampah dengan mak datin sorang ni. Dahlah mengada-ngada, kes cerai tak selesai lagi tapi ada hati nak goda Encik Harith!
“Pass aje la,” bosan Harith menjawab. Baru aje sebut, dah muncul. Panjang umur betul! Desis Harith.
“Assalamualaikum, datin. Ada apa datin call saya ni?” sehabis lembut Harith bersuara. Walau tak suka, periuk nasi kena jaga jugak.
“Waalaikumussalam. Ala you ni. Dah berapa kali I pesan, janganlah panggil I datin. Nampak tua pula bila you panggil macam tu. Panggil Maya aje,” manja sekali Datin Maya bercakap.
Erk! Terasa seperti ada sesuatu terlekat di kerongkongnya. Inilah jadinya bila kubur cakap mari, rumah cakap pergi. Dah memang kau tu tua, ada hati lagi nak jadi orang muda. Umur dah sebaya dengan ayah aku, ada hati lagi nak goda aku! Dengus Harith di dalam hati.
“You ada lagi ke tak ni?” soalan Datin Maya menyentakkan Harith.
“Hah? Err… ada aje ni. Ada apa yang boleh saya tolong, Maya?”
“Tak ada, I nak tanya pasal kes I tu? Macam mana dengan permintaan I dengan mahkamah tu?”
“Oh, pasal hak bahagi harta sama rata tu ke? Hari ni akan dapat tahu keputusan dengan mahkamah. Err.. Maya datang ya. Dalam pukul 10.00 nanti,” ujar Harith.
“Kalau I tak datang boleh tak? Ada hal la,” rengek Datin Maya. Terasa meremang bulu roma Harith. Geli-geleman sebenarnya! Telinga yang mendengar pun dah rasa berbulu semacam aje.
Tak ambik berat betul mak datin ni! Tapi masa dalam mahkamah barulah terhegeh-hegeh nak mintak itu, mintak ini. “Maya, hari ni awak kena pergi ke mahkamah. Kalau tidak, keputusan tidak akan dibacakan,” sedikit keras Harith bertutur. Dia sudah malas mahu mendengar alasan demi alasan dari Datin Maya. Ini dah masuk dua kali tak ke mahkamah. Jika tak datang juga, alasan apa yang Harith boleh berikan kepada hakim?
Tanpa menunggu lama, Harith terus memutuskan perbualan selepas memberi salam. Buat kerja lagi elok dari layan mak datin tak sedar diri ni!
“HARITH!”
Harith yang sedang mengemas fail-fail penting di dalam kereta setelah selesai tugasnya di mahkamah pantas berpaling. Dia ni lagi! Nak apa lagi ni?! Mahkamahkan dah keluarkan keputusan. Harta tu memang tak boleh dibahagi dua sebab Datuk Hamadi beli sebelum mereka kahwin. Takkan tak faham-faham lagi. Bosan betul Harith dengan makcik ni!
“Hmm…”
“Kenapa I tak dapat tuntutan tu? Kenapa mahkamah tolak?” Datin Maya bertanya. Jelas sekali nada tak puas hati pada suaranya.
“Kan dah jelas-jelas hakim cakap tadi. Harta tu bukannya harta sepencarian sebaliknya harta yang telah datuk beli dan peroleh ketika belum berkahwin dengan datin. Jadi harta tu memang tak boleh dibahagi dua. Cuma harta yang dibeli sepanjang perkahwinan sahaja dikira sebagai harta sepencarian dan boleh dibahagi dua,” panjang lebar Harith menjawab. Terpaksa dia mengulang perkara yang telah diterangkan oleh tuan hakim ketika di dalam kamar mahkamah tadi.
“Habis, takkan you tak boleh guna kuasa you untuk dapatkan harta tu? Cakap peguam terkenal, takkan benda sekecil ini pun you tak dapat handle,” sindir Datin Maya.
Memang mata duitan betul Datin Maya ni! Dahlah harta yang direbutkan tu cuma tanah sekangkang kera saja. Bukannya tanah yang berekar-ekar. Beginilah manusia, tak bersyukur
dengan apa yang telah ada!
dengan apa yang telah ada!
“Datin, saya tak pernah cakap pun saya ni peguam terkenal,” Harith menarik pintu kereta di bahagian pemandu dan masuk ke dalam perut kereta.
“Kalau susah-susah sangat, datin cari orang lain sajalah. Saya memang tak dapat membantu kali ni,” ujar Harith sebelum kereta berlalu dari situ. Bosan dia bercakap dengan mak datin perasan ni. Bersyukurlah dengan harta yang dah ada tu. Songkok yang ada di atas kepala dia tanggalkan dan letak di atas kerusi sebelah.
Harith memulas stereng dan kereta membelok masuk ke dalam petak parkir. Alang-alang dah ada di kawasan Hiliran ni, dia terus mengambil keputusan untuk makan di Tcafé Food Court. Senang, tak payah dia mencari tempat makan lain. Sebaik duduk, terus datang seorang pelayan ke meja yang Harith duduki. Usai memberikan pesanan, mata Harith melilau memandang ke sekitar kawasan medan selera itu. Sakitnya mata dia dengan pemandangan yang tak elok. Perempuan dengan lelaki berpeleseran tanpa batasan. Perlakuan bebas mereka buat dia terfikir, mereka ni tak ada emak ayah ke sampai berpelakuan seperti orang tak ada pegangan agama. Hmm.. Entahlah. Keluhan berat Harith
lepaskan.
“Assalamualaikum,” sapaan salam menyedarkan lamunan Harith. Pantas kepalanya berpaling. Seorang wanita yang sangat anggun sedang berdiri di sebelahnya.
“Waalaikumussalam,” salam dijawab tapi dahinya kerut seribu. Tak tahu siapa yang sedang menegarnya itu.
“Err.. siapa ni?” soal Harith.
“Tak kenal ke?” soal wanita itu. Laju Harith menggelengkan kepala. Sememangnya dia betul-betul tak kenal dengan wanita awal 60-an ini. Tanpa dipelawa, wanita itu duduk di hadapannya.
“Ingat tak peristiwa enam tahun lalu, yang berlaku di Kuala Lumpur tu. Ingat?” soal wanita itu selepas memberikan klu.
Kepala Harith ligat berfikir. Enam tahun lalu? Air mukanya tiba-tiba berubah. Peristiwa hitam dulu kembali menerjah fikiran. Pantas tangan wanita itu dia salami. Walaupun tak kenal pada awalnya tapi kerana hormat, dia tunduk juga mengucup tangan tua itu.
“Err.. maaf puan, saya tak perasan. Puan datang seorang ke?” Harith menyoal dalam tergagap-gagap.
“Hisy, apa pula berpuan-puan. Panggil aje mama, kitakan dah jadi satu keluarga. Mama datang dengan along tapi along pergi cari barang sikit kat dalam Giant,” ujar Puan Aini ramah sekali.
Along? Siapa along? Along mana? Hati Harith tertanya-tanya. Dia memang tak kenal sepenuhnya lagi semua ahli keluarga Puan Aini. Yang dia kenal anaknya yang mewalikan perkahwinan Harith dahulu. Yang lain dia memang tak kenal dan tak pernah tahu jika Puan Aini punya anak yang lain. Perbualan antara mereka terhenti seketika kerana datang pelayan yang menghantar pesanan ke meja Harith.
“Makan, ma.”
“Tak apa, makanlah. Mama tak lama ni.”
“Err.. pu.. mama ada hal ke datang ke Terengganu ni?” soal Harith, cuba beramah mesra dengan ‘emak mertua’. Namun, masih nampak janggal dan kekok di situ.
“Mama memang orang sini. Kampung mama tu kat Tanjung tu tapi rumah pusaka dah tak ada kat sana sebab dah lama jual. Sekarang rumah mama ada kat Chendering. Marilah ke sana,” ajak Puan Aini. Harith hanya melorekkan senyum nipis. Tak tahu nak jawab apa.
“Mama. Eh, ada orang rupanya,” sapaan satu suara mengejutkan Harith.
Seorang lelaki sedang berdiri dihadapan mereka kini. Wajah lelaki itu seakan pernah Harith jumpa tapi lupa di mana. Dia bangun tanda hormat dan huluran salam dari lelaki itu dia sambut jua walau hati masih berbelah-bagi. Tanda tanya besar bagai sedang terlukis di dahinya.
“Harith, tak kenal ke?” soal Puan Aini. Harith menggelengkan kepala. Manakala lelaki di hadapannya itu sudah mengukirkan senyuman.
“Ni alonglah, Syed Yusri. Yang walikan Lys dulu,” ujar Puan Aini.
“Ooooh…” panjang ‘oh’ Harith.
“Dari mana ni?” tanya Syed Yusri kepada Harith.
“Dari mahkamah tadi, ada kerja. Lepas tu singgah makan kat sini alang-alang dah masuk waktu rehat. Eh, jemputlah duduk,” pelawa Harith berbasa-basi.
“Tak apalah. Kami tak lama ni sebab petang dah nak balik KL,” ujar Syed Yusri. “Jom, ma.
Hari nampak nak hujan tu,” Syed Yusri berkata kepada mamanya. Harith hanya memerhati sahaja perlakuan dua beranak itu.
“Harith, nanti kalau datang ke KL, singgahlah rumah kami. Ini kad along,” kata Syed Yusri lagi sambil menghulurkan sekeping kad kepada Harith. Harith menyambut huluran itu dan dia menghulurkan kadnya pula.
“Telefonlah bila senang,” pesan Syed Yusri kepada Harith sebelum berlalu bersama Puan Aini. Harith hanya memandang sebelum menyambung kembali menikmati juadah yang sudah sejuk itu. Waktu rehatnya sudah tinggal hujung dan maknanya dia perlu cepat-cepat beredar dari situ.
No comments:
Post a Comment