DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 9 February 2015

Kurelakan Kasihmu - Bab 8

APA yang terjadi pada aku, Tie? Kau cakaplah perkara yang betul. Dah banyak kali aku tanya kau tapi kau tak nak jawab! Aku tahu, kau sembunyikan sesuatu daripada aku... 

Please, tell me! Aku dapat rasa sesuatu yang tak kena. Kenapa mata aku ni rasa sakit sangat? Kenapa, Tie?!” soalan Najwa itu sudah berkali-kali rasanya didengari oleh Tinie namun dia tidak mampu untuk menjawab.

Lidah Tinie terasa kelu. Hanya air mata sahaja yang terbit tanpa henti dari tubir matanya. Esakannya ditahan supaya tidak didengari oleh Najwa. 

“Tie? Kau ada kat situ, kan? Kau jawablah soalan aku!” panggil Najwa sambil mengawang-awangkan kedua belah tangannya ke sekeliling.

Walaupun dia tidak dapat melihat, dia tahu yang Tinie masih berada di situ. Najwa menyeringai kesakitan apabila terlalu banyak bergerak. Bukan sahaja matanya yang terasa perit, bahagian ari-arinya juga terasa sakit. 

“Wawa...” getus Tinie perlahan lalu dia segera memeluk tubuh Najwa.

Esakannya sudah kedengaran manakala air matanya terus galak meniti di pipinya. Dia sungguh sebak melihat keadaan Najwa.

“Aku harap, hang boleh bersabaq dan tabahkan hati hang bila aku bagitau hang ni... Janji dulu dengan aku, Wawa...” kata Tinie seraya melonggarkan pelukan. 

Najwa menelan air liur yang terasa pahit. Dia berasa tidak sedap hati mendengar kata-kata Tinie yang jelas sedang menangis teresak-esak. Beranikah dia berjanji yang dia boleh bersabar apabila mengetahui kebenaran yang bakal Tinie katakan?

Najwa memegang dadanya yang berombak kencang. Mampukah aku, Ya Allah? Najwa nekad. Dia perlu juga mengetahui kebenaran. Akhirnya dia mengangguk-angguk.

“Aku... Janji...”

“Wawa... Hang keguguran. Dan... Hang... Hang... Dah tak boleh melihat...” tangis Tinie sambil menggenggam tangan kanan Najwa.

Najwa tersentak apabila mendengar kata-kata Tinie.

Aku... Keguguran? Anak... Aku... Dah tak ada? Najwa menggigit bibir bawahnya manakala tangan kirinya mengusap perut yang terasa pedih. Entah mengapa perasaan sebak kini bergayut-gayut di tangkai hatinya. Jiwanya perit mengenangkan bayinya yang sudah tiada. Terlupa sudah ayat Tinie yang mengatakan bahawa dia buta.

Walaupun hanya sekejap mengandungkan bayinya itu, rasa kasih sayangnya sudah mulai bercambah buat anaknya itu. Ya, dia sudah merancang mahu hidup berdua bersama-sama anaknya selepas dia melahirkan. Tapi, Allah lebih menyayangi kau, nak... Ya Allah, kuatkanlah hati hamba-Mu yang sangat lemah ini...
 

“Anak ibu...” terasa air matanya terbit. Walaupun matanya masih pedih dan perit, dia tidak peduli.  

“Anak ibuuu...” tangis Najwa lagi. Dia seperti sudah tidak terkawal. 

“Anak ibuuu!!” 

Tinie memegang badan Najwa kemas-kemas. Dia tahu yang dia perlu menyokong Najwa pada saat sahabatnya itu begitu memerlukan sokongan begini. Esakannya semakin menjadi-jadi melihat keadaan Najwa yang sudah tidak keruan itu. 

“Wawa... Sabar, Wawa... Aku tahu, masa sekarang ni mesti sukar untuk hang lalui... Hang ingat Allah banyak-banyak...  Ingat Allah, Wawa... Banyakkan mengucap... Tabahkan hati hang...” pujuk Tinie sambil mengelap air mata di pipinya. 

Dia nampak balutan pada mata Najwa sudah dibasahi air mata gadis itu. Bimbang pula dia bila mengenangkan luka pada mata Najwa yang masih tidak sembuh sepenuhnya. 

“Tapi Tie, anak aku… Anak aku, Tie... Ya Allah!” tangis Najwa semakin menjadi-jadi. 

Dia memegang lagi perutnya. Perasaan sayangnya yang menggebu buat anaknya kini menjadi kedukaan yang terlampau hebat dalam hatinya selepas mengetahui bahawa dia sudah kehilangan anaknya itu. 

“Mengucap, Wawa...” betapa Tinie berasa kagum walaupun bersimpati dengan nasib Najwa. 

Antara penglihatannya dan juga anak yang dikandung, Najwa lebih sedih kehilangan anaknya. Sudah tidak dihiraukan lagi matanya yang buta. Yang dia fikirkan hanyalah mengenai anaknya yang sudah tiada. Inilah kasih sayang seorang ibu. Tinie kini sedang menyaksikan secara langsung betapa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya. 

Tinie memeluk lagi Najwa, kali ini dengan lebih erat. Dia mengusapi belakang gadis itu untuk menenangkannya. Dan air matanya juga sesekali terbit kerana tidak dapat menahan perasaan simpati serta sedih...


IRFAN DUDUK di atas batu besar di tepi laut Kuala Perlis dengan perasaan yang dia sendiri tidak dapat mengertikan. Selepas mengetahui mengenai keadaan Najwa selepas pembedahan tadi, hatinya terus menjadi tidak menentu. Jiwanya lebih tertekan ketika ini. Perasaannya kacau-bilau dan dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Sedihnya hati Irfan ketika ini, hanya Allah saja yang Maha Mengetahui. Namun air matanya cuba ditahan seboleh mungkin. Ini bukan masanya untuk dia menangis lagi. Tetapi ini adalah saat-saat genting di mana dia harus berfikir tentang tindakan selanjutnya yang perlu dia lakukan. 

Dan yang pastinya, selepas ini dia tidak mungkin akan melepaskan Najwa pergi lagi. Dosanya terhadap gadis itu terlalu besar. Dia perlu berbuat sesuatu supaya dia dapat menebus segala kesalahannya. Gadis itu perlu jadi miliknya dan dia akan usahakan untuk memiliki Najwa. 

Jika gadis itu sudah menjadi miliknya, Irfan bersumpah pada dirinya sendiri yang dia akan belajar menyayangi Najwa supaya gadis itu akan sentiasa bahagia di sisinya. Tidak mungkin dia akan benarkan Najwa menderita lagi. 

Ya Allah, permudahkanlah... Dan kepala Irfan terus ditundukkan tatkala ada setitis air jernih yang tiba-tiba gugur... Rambutnya diramas-ramas menahan sebak. 

‘Najwa, please forgive me...’ rintih hatinya.



Dua minggu berlalu...

TINIE DUDUK berteleku di kerusi menunggu, berhampiran wad yang menempatkan Najwa. Dia termenung mengenangkan kesedihan yang masih dialami oleh Najwa. Dia tahu, tentu sukar untuk Najwa lalui semua itu. Perasaan simpatinya semakin menebal ketika ini lalu matanya kembali bergenang dengan air mata. 

Sebenarnya Tinie ingin bertanya Najwa mengenai kandungan gadis itu yang keguguran. Tetapi dia masih tidak mempunyai keberanian untuk bertanya. Bimbang emosi Najwa kembali terganggu. Gadis itu juga tidak pernah menceritakan kisah di sebalik kandungannya itu. Sebab itulah Tinie berasa terlalu ingin tahu tentang itu. Tapi, dah kalau Najwa tidak sudi untuk bercerita, tak apalah. Dia faham, mungkin ada masalah peribadi yang dialami oleh gadis itu yang mahu dirahsiakan. 

Najwa memang seorang perempuan yang tabah dan Tinie sungguh kagum dengan ketabahan hati Najwa. Seminggu juga Najwa seperti hilang pertimbangan selepas mengetahui mengenai keguguran kandungannya. Seminggu Najwa meraung-raung meratapi nasib dirinya yang malang sehingga beberapa kali juga dia dibius oleh doktor untuk menenangkannya. 

Tetapi alhamdulillah, selepas seminggu itu, dia seperti sudah dapat menerima kenyataan. Najwa sudah mampu tersenyum walaupun hanya senyuman pahit. Tinie tahu Najwa masih terseksa dan bersedih, tetapi semua itu dipendamkan sahaja dalam hatinya kerana memang Najwa seorang yang suka memendam rasa.

“Assalamualaikum...” tegur seseorang membuatkan lamunan Tinie terhenti. Tinie mendongak seraya menyeka air mata yang baru ingin terbit.

“Waalaikumussalam... Encik Irfan...” balas Tinie apabila ternampak Irfan yang sedang tersenyum pahit ke arahnya. 

Sudah dua minggu berturut-turut lelaki itu datang tanpa mengenal erti putus asa untuk berjumpa Najwa. Tapi Tinie yang masih tidak benarkan mereka berjumpa. Tinie bimbang emosi Najwa akan terganggu lagi. 

“Cik Najwa dah okey? Boleh saya melawat dia tak?” soal Irfan sedikit gelisah. Dia bimbang untuk bersemuka dengan Najwa walaupun gadis itu kini buta. 

“Dia dah okey dari segi fizikal... Tapi emosi dia masih belum okey sepenuhnya... Walaupun dia cakap dia okey, dalam hati dia tu saya tau yang dia still sedih...” jawab Tinie dengan jujur. 

“Tapi, saya ada hal nak jumpa dengan dia...” kata Irfan penuh harapan.

“Hal apa? Tentang kemalangan tu? Saya rasa, sekarang bukan masa yang sesuai. Saya takut dia tak mau jumpa encik. She’s still in trauma... Please?” sahut Tinie dengan wajah serius. Dia menjeling Irfan yang masih tegak berdiri di hadapannya. 

“Siapa tu, Tie?” tiba-tiba sahaja wajah Najwa terjengul dari muka pintu wadnya. Tangannya memegang sebatang tongkat. Betapa terkejutnya Tinie ketika itu lalu dia segera meluru ke arah Najwa. Risaunya Tinie ketika ini hanya Allah sahaja yang tahu. 

“Wawa! Awatlah hang ni degil sangat? Aku kan suruh hang panggil aku kalau hang nak ke mana-mana...” leter Tinie sambil memimpin tangan Najwa. 

Irfan menelan air liur yang terasa perit untuk melalui kerongkongnya. Wajah pucat lesi Najwa membuatkan dia takut dan kelu untuk berbicara. Balutan masih kemas tersarung di bahagian matanya. Najwa berbeza dari waktu dia mula-mula mengenali gadis itu kerana sekarang gadis itu sudah bertudung dan berpakaian seperti seorang perempuan. 

Benarkah itu adalah Najwa yang sama? Lama juga Irfan mengamati hidung mancung dan juga bibir pucat milik Najwa. Renungannya terhenti pada bibir gadis itu yang menawan. Ya, itu bibir yang sama. Hidung pun sama... Kulit pun sama gebu seperti waktu dulu. Memang tidak syak lagi. Itulah Najwa yang dia kenali.

“Aku bukannya apa, Tie... Tadi aku dengar suara kau tengah bercakap-cakap. Tu yang aku keluar, nak tahu siapa yang datang. Tunang kau datang ke? Dia dah balik dari overseas?” tanya Najwa lalu tersenyum. Tangan Tinie dicapai dan diusapusap lembut. 

“Bu... Bukan... Dia tu...” balas Tinie, gagap. Tiba-tiba pula telefon bimbit Tinie berbunyi.

“Wawa, hang duduk sini sat. Buah hati aku call... Nak cakap sat dengan dia... Hang duduk sat kat sini tau... Sat jaa...” Najwa hanya terangguk-angguk dalam senyum simpul.

Bahagianya kau, Tie! Hidup kau memang sempurna... Najwa tiba-tiba teringatkan lelaki yang berbual dengan Tinie tadi. Siapalah agaknya ya? Dia masih kat sini ke?

“Assalamualaikum?”

Irfan tersentak mendengar suara serak-serak basah Najwa itu. Betapa berdebarnya hati dia ketika ini, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Salam Najwa dijawabnya dengan penuh debaran yang sungguh kencang. Bimbang gadis itu cam suaranya. Wajah lembut Najwa direnungnya lagi. Gadis itu memang sungguh cantik. Irfan seperti sedang terpukau dengan kecantikan Najwa.

“Saya Adnin Najwa... Awak ni siapa, ya? Kawan Tie, ek?” soal Najwa dengan penuh tanda tanya. Namun bibirnya sentiasa tersenyum.

“Saya Irfan Naufal!” ujar Irfan tanpa sedar. Entah mengapa dia tercakap nama sebenar kepada Najwa. Berderau darahnya apabila wajah gadis manis di hadapannya itu berubah terkejut dan terus pucat lesi. Irfan sudah berasa tidak menentu. Kenapalah aku boleh tercakap nama aku dengan begitu mudah? Ya Allah, apa yang aku patut buat ni? Jantung Irfan sudah berdegup kencang menanti kata-kata  Najwa yang seterusnya.

Najwa hampir jatuh terduduk selepas mendengar nama lelaki itu. 

“Saya pergi dulu...” sahut Najwa dengan suara bergetar. 

Tubuhnya terasa menggigil selepas terbayang kembali peristiwa hitam bersama Irfan lebih dua bulan yang lepas. Dia takutkan lelaki itu. Mungkinkah itu adalah Irfan yang sama yang pernah menodai kesucian dirinya? Najwa kalut ingin mempercepatkan langkahnya dengan perasaan yang sudah tidak menentu. 

Irfan kaget melihat tingkah Najwa yang ingin berlalu. Tentulah gadis itu takutkan dia kerana dia memberitahu nama sebenarnya tadi. Kenapalah aku ni bodoh sangat? Bengap nak mampus! Irfan mengutuk dirinya sendiri. Selepas berfikir-fikir, Irfan mengambil keputusan untuk berpura-pura tidak mengenali Najwa.

“Cik masih tak sihat ke? Hati-hati berjalan, nanti jatuh...”

“Kau jangan dekat dengan aku! Kau jangan apa-apakan aku lagi... Tolonglah... Kalau kau sentuh aku, nanti aku jerit panggil nurse hospital ni!” ugut Najwa. Tangannya melayang-layangkan tongkat supaya Irfan tidak dapat mendekatinya. 

“Cik? Kenapa ni? Are you okay?” Irfan memulakan lakonannya seolah-olah dia tidak mengenali Najwa. 

Memang nada suaranya cukup menjadi. Dia cuba mengawal perasaan gemuruhnya. Mujurlah Najwa kini buta. Kalau tidak, tentu gadis itu akan melarikan diri lagi. Dia takkan lepaskan Najwa lagi. Peluang hanya datang sekali. Dia akan pastikan gadis itu sah menjadi isterinya seperti permintaan Tan Sri Haji Zainal.

Najwa terkedu selepas mendengar suara lelaki itu seperti tidak mengenalinya. Tetapi, dia takkan semudah itu untuk jatuh sekali lagi ke dalam perangkap Irfan. Najwa mengentalkan hatinya. Walau siapa pun lelaki itu, sama ada lelaki yang sama atau tidak, Najwa takkan mudah untuk percaya. Nama Irfan merupakan nama yang paling dibencinya. Dia takkan sesekali lupa pada nama lelaki terkutuk itu. 

“Kau jangan dekat dengan aku!” bentak Najwa dengan tegas.

“Wait, wait, wait... Cik dah salah orang kut?” Irfan mencuba sedaya-upayanya untuk berlakon tidak mengenali Najwa.

Najwa tergamam. Eh? Macam mana kalau aku betul-betul tersalah orang? Takkanlah seorang lelaki aje dalam dunia ni yang bernama Irfan kut? Aduh... Najwa menelan liur.

Dia hanya mampu berdoa supaya Allah SWT memberikan dia pertolongan. Agar dia terlepas daripada situasi yang dia sendiri tidak pasti ini.

“Kau siapa?!” tanya Najwa dengan suara terketar-ketar. Kedengaran suara keluhan Irfan.

“Wawa! Kenapa ni, Wawa? Awat hang berpeluh-peluh ni?” soal Tinie yang baru datang.

Dia sungguh risau melihat keadaan Najwa yang menggigil. Adakah Irfan telah membangkitkan trauma gadis itu selepas menyebut tentang kemalangan yang menimpa mereka?

“Siapa lelaki tu, Tie? Siapa?!” Najwa mengalihkan pertanyaan kepada Tinie pula. Dia memegang lengan Tinie erat seraya berkata-kata. Dan hatinya berasa sungguh lega dengan kehadiran gadis itu di sini. Syukurlah, Ya Allah... 

“Dia tu...”

“Siapa, Tie?!” soalan Najwa yang seolah-olah menekan Tinie itu menjadikan Tinie berasa agak berdebar-debar. Wajah Najwa yang seperti orang takut itu terpampang jelas. Tinie sungguh pelik.

“Dia tu lah orang yang terlibat sama dalam kemalangan pada malam tu. Dia yang pandu kereta dari arah bertentangan dengan hang... Dan...” Tinie tidak dapat menghabiskan katakatanya. Bimbang Najwa teringat semula mengenai kemalangan itu.

“Saya tak nampak kereta awak waktu tu sebab jalan gelap sangat... Cik Wawa, saya... Saya berasa amat bersalah sebab...” belum lagi habis ayat Irfan, Tinie terlebih dahulu berdehem kuat dan menggeleng-geleng kepala kepada Irfan tanda menyuruh lelaki itu berhenti bercakap.

“Jom, Wawa... Kita masuk rehat dalam bilik...” potong Tinie dengan pantas.

“Encik Irfan, awak boleh balik dulu...” 

“Tapi, Tie...” Najwa pula yang serba-salah. Nampaknya benarlah lelaki itu bukan Irfan yang sama. 

Lagipun, mana mungkin kebetulan seperti ini berlaku. Jauh dia berpindah dari kota raya Kuala Lumpur, ingin melarikan diri daripada lelaki tak berguna itu. Mustahil ini adalah Irfan yang berjiwa iblis itu. Lelaki itu bukannya kisah pun sama ada dia hidup atau mati. Lelaki sekejam Irfan yang pernah menzaliminya itu bukanlah lelaki ini. Najwa pasti itu. Dia sudah yakin kini. 

Walaupun dia masih bersedih kerana hilang penglihatan disebabkan kemalangan itu, dia tidak boleh juga menyalahkan Irfan kerana sebenarnya pada waktu itu memang kebetulan lampu keretanya tiba-tiba terpadam. 

“Wawa... Hang perlukan rehat... Jangan terlampau fikir pasal kemalangan tu. Kan doktor suruh hang berehat?” potong Tinie lagi.

“At least, bagi saya tebus kesalahan saya? Maksud saya, kesalahan saya langgar awak... Dan menyebabkan awak hilang penglihatan... Saya sanggup buat apa aje, sanggup berikan apa-apa aje yang awak mintak... Saya tahu kesalahan saya ni terlalu besar. Tolonglah maafkan saya... Ampunkan saya, Cik Najwa...” pinta Irfan tiba-tiba dengan penuh mengharap.

Dia benar-benar berharap Najwa sudi mendengar kata-katanya lagi. Dia yakin gadis itu sudah percaya bahawa dia bukanlah Irfan yang pernah dikenali gadis itu. Langkah Najwa dan Tinie terhenti. Najwa menoleh walaupun dia tidak dapat melihat di manakah kedudukan Irfan ketika ini.

Entah mengapa hatinya seperti menyuruh dia mendengar kata-kata seterusnya daripada Irfan. Irfan yang memang berbeza daripada Irfan yang pernah dikenalinya. Lelaki ini tahu erti bertanggungjawab dan tahu rasa bersalah. Bukan macam Irfan yang dayus itu!

“Wawa...?” panggil Tinie apabila Najwa seperti terkaku di situ. Bagai menunggu kata-kata seterusnya daripada Irfan.

“Cik Najwa, saya tahu permintaan saya ni mungkin agak melampau atau mungkin nanti awak akan fikir yang saya ni dah gila atau tak betul... But... Would you marry me, please? 

Kalau Cik Najwa kahwin dengan saya, saya janji akan menjaga Cik Najwa seumur hidup saya... Saya akan buatkan hidup Cik Najwa bahagia buat selama-lamanya... Sampailah ke hujung nyawa kita...” getus Irfan dengan penuh keikhlasan. Dia tahu, inilah peluang untuk dia melamar Najwa.

Biji mata Tinie terbeliak sakan manakala kerongkongnya terasa tersekat-sekat selepas mendengar lamaran yang tidak terduga daripada Irfan itu. Mak aii... Lelaki ni memang full of surprises... Tinie menelan air liur sambil memandang Najwa yang jelas tergamam. Yalah, siapa yang takkan tergamam mendengar sesuatu yang tidak terjangka seperti itu?

No comments:

Post a Comment