DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 9 February 2015

Kurelakan Kasihmu - Bab 10

FIZUL tertawa besar ketika itu. Cerita Irfan menjadikan dia geli hati entah mengapa. Takkanlah lelaki ego seperti Irfan itu mahu mengahwini gadis buta seperti Najwa? Takkanlah kerana sebuah kemalangan sahaja, Irfan nekad sampai sanggup mahu mengahwini gadis itu? Irfan yang memang terkenal dengan sifat mementingkan diri sendiri itu kini bercerita bahawa dia rasa bersalah menyebabkan gadis itu buta dan ingin berkahwin dengan gadis itu? What’s a joke!

“Apahal kau ketawa pulak ni? Aku seriuslah, Zul...” marah Irfan.

“Cop, cop, cop! Kau serius nak bertanggungjawab? Dah dia tak nak, kau nak paksa buat apa? Kau ni tersilap makan ke, apa ni? Bukan ke kau selalu tak kisah pasal orang sekeliling kau. Kau tu hanya tahu pentingkan diri kau je selama ni... Kan?” kutuk Fizul sambil tertawa lagi.
Memang dia sudah masak dengan perangai Irfan yang ego itu. Selalunya Irfan takkan peduli pasal orang lain kerana dia hanya pentingkan egonya sahaja.

“Kau ni memang tak sayang mulut. Sekali aku cepuk karang, berterabur gigi kau...” gertak Irfan geram. Fizul tidak langsung menunjukkan yang dia takut dengan kata-kata Irfan itu. Sebaliknya, dia ketawa semakin kuat pula. 

“Kau janganlah buat serius, Ir... Lawak pulak aku tengok kau...”

“Please, kau jangan ketawa kalau kau tak tahu kisah sebenar. Karang betul-betul kau kena cepuk dengan aku!” terjah Irfan lantang. Dia geram sungguh dengan Fizul. 

Fizul terdiam sambil memandang tepat ke wajah Irfan yang muram.

“You seems in trouble .... Why? Tak nak cerita ke? Apa maksud kau, kisah sebenar tu?” soal Fizul, tiba-tiba serius pula. 

Irfan membungkam seribu bahasa. Dia lebih suka mendiamkan diri di kala ini. Tidak tahu apa yang patut dilakukan. Takkanlah dia kena ceritakan semuanya pada Fizul kut? Apa pula nanti kata sahabatnya itu? Fizul tentu akan memberi tanggapan buruk terhadapnya. Tapi... Memang patut kan aku cerita...

“So?” tanya Fizul lagi, inginkan kepastian.

“Kau sebenarnya tak tahu kisah di sebalik apa yang berlaku sekarang ni... Takdir Allah memang jelas, Zul. Dan aku terperangkap dalam kisah hidup aku sendiri...” ujar Irfan seolah
berkias. Fizul sudah berkerut dahi mendengarnya. 

“Maksud kau? Hesy, main tarik tali pulak dengan aku. Cubalah kau cerita betul-betul... Mungkin aku boleh tolong... Beban dalam hati kau pun mesti kurang...” Fizul tersengih macam kerang busuk, ingin memancing Irfan bercerita. Mungkin dia ingat, masalah Irfan tidaklah seberat mana...

Irfan mengeluh lagi. Dia tunduk buat seketika sebelum memandang semula ke wajah Fizul. Sahabatnya itu memang sahabat yang paling memahaminya. Dan Fizul juga merupakan seorang yang pandai menyimpan rahsia. Rasanya jika dia menceritakan kisah perbuatan terkutuknya terhadap Najwa pun, Fizul tentu akan menyimpan rahsia itu. Cuma mungkin dirinya akan disalah anggap terlebih dahulu sebelum dia menerangkan bahawa dia telah insaf dan sebab itulah dia ingin bertanggungjawab terhadap Najwa.

“Hey, hey, hey... Helo?” Fizul memetik jari betul-betul di depan muka Irfan menyebabkan lelaki itu tersedar daripada lamunan.

“Kalau kau dengar cerita aku ni, mesti kau terkejut dan marah pada aku... Tapi aku nak tegaskan kat sini yang aku memang betul-betul menyesal dan dah insaf sekarang ni. Rasa bersalah sentiasa menghantui hidup aku sebab aku memang tak pernah pun buat benda macam tu sebelum ni... Kau kena janji akan tolong aku lepas aku cerita pada kau. And please, do not tell anyone about this. Please keep it as a secret between you and me...” ujar Irfan memulakan kata.

Lagilah Fizul bertambah hairan dan pelik. Tumpuannya kini sudah seratus-peratus pada wajah sugul Irfan yang nampak serius itu. Nampaknya, masalah Irfan bukanlah masalah biasa-biasa saja. Dan masalah yang dihadapi oleh sahabatnya itu tentu masalah yang sungguh berat sehingga boleh membuatkan lelaki itu berubah terlalu mendadak begini.
 
Daripada seorang yang ego serta tidak pentingkan perasaan orang lain, kini Irfan berubah menjadi seorang yang penuh rasa bersalah dan ingin bertanggungjawab pula. Apa agaknya yang berlaku pada Irfan? Fizul sudah tidak sabar-sabar lagi hendak mengetahui kisah selanjutnya daripada Irfan.

“Hmmm... Aku janji, Ir...” getus Fizul perlahan. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.

“Kisah ni bermula hampir 3 bulan yang lalu... Masa tu, aku masih bertunang dengan Rissa….” kata Irfan, memulakan cerita. 

Dia menceritakan segala-galanya kepada Fizul, sampailah ke kemalangan yang berlaku baru-baru ini. Takdir Allah SWT telah menemukan Irfan dan Najwa dalam situasi yang amat tidak dijangkakan sama sekali. Itulah yang membuatkan Irfan begitu buntu.

 
10 minit berlalu...

FIZUL BERKERUT dahi mendengar kisah itu. Dia tidak menyangka yang Irfan sampai sanggup merogol Najwa hanya kerana egonya rasa tercabar. Bahaya benar rupanya jika ego terlalu menggunung tinggi. Walaupun dia tahu Irfan sudah insaf dan mahu bertanggungjawab, hatinya bagai memberontak marahkan sahabatnya itu. Namun dia cuba bersabar. 

Tiada guna juga dia bising-bising jika Irfan sendiri sudah sedar akan kesilapannya. Lagi pula, nasi dah pun menjadi bubur. Tiada jalan lagi untuk berpatah balik melainkan cuba memperbetulkan apa yang patut.

“Kau memang gila, Ir...” geleng Fizul berkali-kali.

“Habis tu, apa kau nak buat ni? Dia kan tak mahu kahwin dengan kau...”

“Aku pun tak tahu, Zul... Aku ingat nak pikat dia. Tapi, aku ni manalah tahu cara nak memikat... Kau pun tahu aku ni kan jenis yang fikir pasal perasaan aku aje selama ni. Rissa tu, tak tahulah macam mana dia bertahan dengan perangai aku selama ni...” lirih bunyi suara Irfan. 

Irfan mengeluh dalam kekesalan. Ya, dia menyesal kerana telah mempersia-siakan masanya bersama gadis tercinta, Arissa.

“Itulah kau. Sekarang ni baru nak sedar diri... Dari dulu lagi aku dah cuba nasihatkan kau berkali-kali tapi kau tak nak dengar. Kesian aku tengok Rissa tu selalu aje makan hati dengan perangai ego kau tu. Nak ucap kata-kata sayang kat dia pun, kau susah...” sempat Fizul membebel. Irfan hanya mampu menadah telinga dalam perasaan menyesal.

“Aku kena lupakan Rissa... Aku dah tak layak untuk dia. Lelaki jahat macam aku ni, memang patut terima nasib yang macam ni. Kena bertanggungjawab sampailah aku mati nanti... Sebabnya, dosa aku ni terlalu besar kerana telah merosakkan hidup seorang gadis tak bersalah!” ucap Irfan dengan sepenuh hati.

Fizul menggeleng-geleng lagi kepalanya. Dia tahu, Irfan memang benar-benar ikhlas mahu bertanggungjawab. Mungkinkah Allah SWT telah takdirkan Najwa sebagai teman sehidup semati Irfan? Fizul terfikir-fikir sendirian. Bagus juga jika dia membantu Irfan untuk memikat Najwa. 

“Aku akan tolong kau pikat Cik Najwa tu... Hmm, aku tengok dia tu lawa sungguh. Sesuailah dengan kau... Kau tak terpikat langsung ke bila tengok dia?” sempat lagi Fizul mengusik.

“Hesy! Kau ni... Ke situ pulak... Hmm, mungkin sekarang ni aku belum ada rasa cinta dekat dia sebab aku masih belum boleh lupakan Rissa. Tapi, Insya-Allah bila dah kahwin nanti, aku akan berikan cinta dalam hati aku ni hanya untuk perempuan bergelar isteri aku aje... Aku akan pastikan dia bahagia bukan atas dasar aku ingin bertanggungjawab terhadap dia atau bersimpati, tetapi dia akan bahagia kerana cinta aku terhadap dia yang terlalu mendalam...” jelas Irfan panjang lebar. Dia yakin yang dia boleh mencintai Najwa selepas mereka berkahwin nanti.

Kata-kata Irfan itu disambut dengan wajah tidak percaya Fizul. Memang jiwang pulak mamat ni. Tadi cakap tak reti nak mengayat atau memikat. Ni kalau dia rakam dan mainkan semula kepada Najwa, tentu gadis itu akan terus terpikat dan bersetuju untuk berkahwin dengan Irfan. Fizul tersengih-sengih, lucu pula dia apabila Irfan yang egois itu boleh mengeluarkan ayat-ayat pujangga seperti tadi. Tawa lucunya meletus dengan tiba-tiba.

“Yang kau ketawa tiba-tiba ni apasal? Kau dah tak betul ke?” soal Irfan pelik. 

Fizul menekan perutnya sambil menudingkan jari telunjuknya ke muka Irfan. Tawanya masih bersisa banyak. Dia tidak tahan melihat muka dungu Irfan selepas habis berpujangga.

“Hahaha!! Kelakar! Kau tak pernah jiwang macam tadi. Sebab tu lah aku ketawa... Hahahahaha!” 

Darah terasa menyerbu naik ke wajah Irfan. Habis merona merah wajahnya ketika ini. Ya Allah! Malunyaaaa… Memang betul cakap Fizul tu, aku tak pernah pun guna ayat-ayat cinta macam tadi tu. Jauh sekali untuk berbicara begitu dengan seorang gadis, walaupun gadis itu adalah Arissa sendiri. Desis hati Irfan sendirian.

Arissa yang terlalu dia cintai itu tentu terseksa mendapat tunang sepertinya. Entah apalah yang membuatkan Arissa terpikat padanya selepas mereka diperkenalkan oleh Fizul. Sebulan selepas perkenalan mereka, Arissa dan dia tiba-tiba sahaja menjadi rapat lalu hubungan mereka menaiki ke fasa seterusnya iaitu bertunang. Irfan sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh jatuh cinta pada Arissa sehingga bersetuju untuk bertunang dengan gadis itu. Dan selama mereka bertunang, Irfan tidak pernah menuturkan isi hatinya terhadap gadis itu. 

Tawa Fizul masih gamat. Lucu sangat ke? Irfan terasa mendongkol geram. Wajah Fizul yang masih ketawa lepas itu dijeling tajam.

“Woii! Agak-agaklah! Kau dah melampau dah tu…” terjah Irfan kegeraman.

“Okey, okey, okey... Biar aku try untuk cool down a bit...” Fizul menarik nafas dalam-dalam lalu dilepaskan. Berkali-kali juga dia buat begitu. Tapi hatinya masih terasa bagai digeletek lalu dia tertawa lagi dengan gamatnya. 

“Hahahaha!! Tak boleh tahanlah... Adesss...”

“Dah, kau diam! Aku lesing baru tau... Kau kena ingat janji kau nak tolong aku pikat Cik Najwa tu ye? Janji kena tepati, faham? Sekarang ni, aku nak kau hentikan ketawa kau tu sebelum gigi kau hilang...” ugut Irfan.

“Baik, tuan…” jawab Fizul, namun masih dalam tawa yang berbaki. Irfan menepuk dahinya berkali-kali, tidak betah melihat perangai suka ketawa Si Fizul itu.



“WAWA...” PANGGIL Tinie tiba-tiba. Najwa menoleh ke arah suara Tinie di sebelah kanannya. Senyuman terukir indah buat Tinie.

“Hmm?”

“Kalau aku cakap sesuatu, hang jangan marah atau salah faham pulak tau?” kata Tinie memulakan bicara. Najwa kelihatan berkerut dahi. Apa pula yang hendak dimarahkan? 

“Apa dia, Tie?” soal Najwa ingin tahu lebih lanjut. Tangannya meraba-raba buah oren yang dikupas oleh Tinie tadi. Dia menyuap oren itu seulas demi seulas ke dalam mulutnya. Manis betul oren yang dibeli oleh Tinie ini, desis hati Najwa.

“Aku rasalah…” ujar Tinie teragak-agak. Sebenarnya dia berfikir tentang perkara ini daripada tadi lagi. Sekarang barulah dia mempunyai keberanian untuk berkata-kata. 

“Hmm? Rasa apa pulak?” tanya Najwa lagi dengan muka pelik.

“Aku rasalah… Encik Irfan tu memang betul-betul ikhlas dan boleh jaga hang dengan baik la...” sempat Tinie menelan air liur melihat wajah Najwa yang terkedu. Kening gadis itu berkerut-kerut. Najwa mengeluh kecil.

“Aku tak boleh, Tie... Ada banyak sangat sebab kenapa aku tak boleh kahwin dengan dia. Salah satunya sebab, aku tak nak dia kahwin dengan aku hanya kerana dia bersimpati dengan aku atau atas rasa dia nak bertanggungjawab aje. I need love from my husband, not sympathy... Do you get it, Tie?” 

Tinie terdiam seketika. Dia yakin yang Irfan itu adalah lelaki baik-baik yang boleh membahagiakan Najwa. Tinie dapat melihat keikhlasan yang ditunjukkan oleh Irfan, sebab itulah Tinie merasakan yang dia perlu memujuk hati Najwa untuk menerima lelaki itu. Lagipun, Najwa itu tinggal sebatang kara di dalam dunia ini dan kini cacat penglihatan. 

Sampai bila Tinie boleh menjaga Najwa kerana dia pun tidak lama lagi akan berkahwin. Tinie cukup risau memikirkan Najwa selepas dia berkahwin nanti. Tetapi kini, dia sudah nampak sekelumit harapan. Jika Najwa bersetuju mengahwini Irfan, tentu lelaki itu akan sentiasa menjaga Najwa sepanjang waktu. Ya, hanya dengan mengkenenkan Najwa kepada Irfan, nasib temannya itu tentu akan terbela. Dia tentu akan dilindungi selalu oleh Irfan.

“Bagi akulah, cinta boleh dipupuk lepas kahwin nanti. Ramai jugak kut orang yang berkahwin tanpa cinta ni, berbahagia dengan pasangan masing-masing sebab depa tu bercinta lepas kahwin... Bak kata orang, bercinta lepas kahwin la lagi sweet macam madu lebah gitu...” pujuk Tinie lagi. 

“Kau cakap memanglah senang, Tie... Bagi aku, aku tak boleh berkahwin tanpa cinta! Muktamad!” tekan Najwa dengan wajah sedikit serius.

Kalaulah Tinie tahu segala sebab yang dia ada untuk tidak mengahwini Irfan, tentu Tinie faham kenapa dia tak boleh menerima lamaran lelaki itu, malah walaupun lelaki lain yang melamarnya pun dia tidak mahu terima. Salah satu sebab yang paling utama ialah, dia sudah tiada apa-apa keistimewaan langsung untuk diberikan kepada bakal suaminya. Sudahlah buta, dara pun tiada. Nanti dah kahwin, tentu kehidupannya bersama suami bakal menjadi neraka jika suaminya mendapat tahu yang dia sudah tiada dara lagi. Ditambah lagi dengan keadaannya yang buta, tentu suaminya akan rasa terbeban. Dia tidak mahu menyesal di kemudian hari dan terus menderita dalam hidup. Najwa ingin mencari bahagia hanya dengan sisa-sisa hidupnya ini tanpa ada gangguan daripada sesiapa.

“Atau hang dah pun ada suami? Sebab... Hari tu... Emm... Doktor tu cakap...” Tinie tiba-tiba teringatkan kata-kata doktor tempoh hari mengenai Najwa yang hamil dan keguguran. 

Mungkinkah Najwa sudah berumah-tangga atau sudah bercerai sebelum tahu bahawa dia sedang mengandungkan anak suaminya? Mungkinkah gadis itu sudah trauma untuk berkahwin lagi, sebab itulah dia menolak lamaran Irfan? Berbagai-bagai persoalan timbul dalam benak Tinie. 

“Please, Tie. Jangan sebut pasal tu. Aku tak boleh jawab soalan kau tu... Please? Sangat peribadi buat aku,” pinta Najwa separuh merayu.

Terasa matanya basah mengingatkan sejarah silamnya yang pahit dan juga kehilangan anaknya. Penderitaan hatinya masih terasa menyengat. Lukanya masih berdarah dan terlalu
dalam untuk diubati. Semua ini memakan masa untuk dia melupakan segala kisah hitam hidupnya itu. 

Tinie terkedu. Kenapalah aku boleh terlepas cakap macam tu? Setiap orang mempunyai masalah peribadi tersendiri yang tidak boleh diceritakan. Kenapalah aku ni menyibuk pula nak tahu itu dan ini? Ya Allah! Adakah aku telah melukakan hati Wawa? Bisik hati Tinie. 

Dia ternampak badan gadis itu yang terhenjut-henjut menahan tangis. Rasa bersalah kini hadir bersarang di dalam hati Tinie. Air matanya juga terbit dek kerana terlalu sebak. Tubuh Najwa ditariknya ke dalam pelukan lalu dieratkan.

“Maafkan aku, Wawa… Aku tak bermaksud...” 

Najwa menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh Tinie. Rasa bersalah Tinie semakin menebal sehinggakan dia sendiri sudah tidak tahu apa yang patut dilakukan olehnya selain memujuk Najwa begini.

Ya Allah, Engkau tenangkanlah hati Wawa. Berikan dia kekuatan... Aku tak sengaja, Ya Allah... Aku tak sengaja... Doa Tinie sendirian.

No comments:

Post a Comment