DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 10 February 2015

Titik Mula Cinta - Bab 4

LAAA... mama... tak habis lagi ke... buat apa nak pergi ke Pengkalan Kubur pulak... kan sama je dengan Rantau Panjang ni...”

“Mama tak kira... mama nak pergi juga... bukannya tiap-tiap bulan mama datang sini. Lepas ni entah bila la pulak nak jejak kaki kat sini. Abang kau tu asyik sibuk je memanjang. Engkau pulak, dah nak mula kerja nanti. Lagilah mama susah nak berjalan nanti.”

Fazila tersenyum mendengarkan perbualan antara Fauzi dengan mamanya.

“Itulah mak cik... kalau kat Rantau Panjang ni banyak jual pakaian... tapi kat Pengkalan Kubur tu banyak jual barang-barang dapur, pinggan mangkuk...” Kata Kak Rini, menambahkan lagi keinginan Mak Cik Hasmah untuk ke sana pula. Fazila menjeling ke wajah Kak Rini. Kalau boleh ingin sahaja dia berbisik pada Kak Rini supaya tidak menggoda Mak Cik Hasmah dengan keterujaannya itu.

“Rini, jauh ke Pengkalan Kubur tu dari sini?” Tanya Mak Cik Hasmah.

“Tak jauh mak cik... campur dengan jammed atas jalan, dalam sejam je...”

“Faris, kita pergi ye?” Seperti meminta izin sahaja lagaknya Mak Cik Hasmah berpaling sambil menyapa Faris. Kelihatan seperti anak-anak kecil yang sedang meminta gula-gula  pula lagaknya.

“Okey ma, kita pergi,” tanpa sepatah kata bangkangan Faris memberikan persetujuan. Ada senyum di bibirnya saat itu. Wahhh... baiknya dia dengan mama dia... bisik hati Fazila.

“Rini, kalau pergi sekarang sempat tak solat Jumaat kat sana nanti?” Soalnya pada Kak Rini pula. 

“Insya-Allah sempat rasanya. Sekarang ni baru pukul 11:30,” jawab Kak Rini. 

Faris merenung jam di tangan. Mungkin berkira-kira tentang waktu.

“Okey... jom kita pergi sekarang...” Katanya sambil tersenyum lagi kepada mamanya. Hai... bagai mahu luruh rasanya jantung Fazila melihatkan senyuman itu. Kalaulah senyuman itu untuknya, pasti saat itu terjelepuk dia di tempat dia berdiri.

Selepas itu mereka menyambung perjalanan mereka ke Pengkalan Kubur. Sepanjang waktu itu Mak Cik Hasmah begitu mesra membuka kisah-kisah lama yang satu pun tidak Fazila ingati lagi. Dan Fauzi pula yang kelihatannya begitu teruja mengupas satu persatu kisah-kisah itu. Memandai aje, padahal dia sendiri pun masih kecil lagi pada waktu itu, bisik
hati Fazila. 

Di Pengkalan Kubur, Mak Cik Hasmah shopping sakan lagi selepas Fauzi dan Faris selesai menunaikan solat Jumaat. Kali ini pinggan mangkuk dan pelbagai peralatan dapur pula yang dipunggahnya. Fauzi tidak habis-habis merungut tentang kegilaan mamanya berbelanja. Cuma Fazila merasa cukup pelik dengan sikap Faris. Dia langsung tidak mengambil peduli dengan sikap mamanya. Semua yang diinginkan oleh Mak Cik Hasmah akan ditunaikannya. Semua perbelanjaan dia yang tanggung. Bila mamanya meminta untuk membeli set pinggan mangkuk yang sangat mahal pun dia sanggup bayarkan. Lemah rasanya Fazila melihatkan sikap Mak Cik Hasmah yang satu itu. Banyak duit betul mamat ni, bisik hati Fazila.

“Mama... dah lah... dah banyak ni... mana kita nak letak semua ni nanti... nanti tak pasal-pasal mama kena buat kabinet baru pulak kat dapur mama tu...” Rungut Fauzi bila melihatkan Mak Cik Hasmah mula membelek cawan kristal yang jelas sekali tidak murah harganya. 

“La... harganya murah ni kat sini... kalau kat KL, harganya dua tiga kali ganda ni Fauzi... betul tak Ila,” jawab Mak Cik Hasmah, cuba menarik Fazila yang kelihatan sedikit leka sendiri. 

“A... ya... ha’ah mak cik... memang...” Jawab Fazila pantas. Sekadar mengiakan sesuatu yang dia sendiri tidak pasti akan kebenarannya.

Matanya kembali tersorot kepada Faris dan Kak Rini yang begitu asyik meneliti harga satu set pinggan jenama noritake yang turut sama dijual di kedai tersebut. Sambil itu masing-masing memberikan komen, mungkin tentang harganya yang mencecah hampir lima hingga enam ribu ringgit. 

Lagaknya bagai pasangan yang sedang membeli peralatan dapur untuk rumah mereka.
Sepanjang masa mereka melayan kerenah membeli-belah Mak Cik Hasmah itu, tidak sekali pun Faris menegur Fazila untuk berbual walaupun dia kelihatan mesra sekali dengan Kak Rini. Ada ketikanya mereka berdua tertinggal di belakang kerana asyik sekali melihat barangan yang dipamerkan di kedai yang mereka kunjungi.

Fazila tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ada sesuatu yang bagai menyekat di kerongkongnya. Ada sesuatu yang terasa bagai menghiris hatinya. Dia sendiri tidak mengerti perasaan ini. Cemburukah dia melihat kedua mereka semesra itu, sedangkan Faris bagaikan langsung tidak ambil peduli padanya. Mungkinkah tidak terlihat dek mata Faris kehadiran dirinya antara mereka? Hmm... cemburu? Beginikah perasaan itu? Bagai belati tajam menusuk ke hati. 

Walaupun baru kali pertama berjumpa, entah mengapa kehadiran Faris terasa bagaikan menarik perhatiannya. Ada ketikanya tanpa sedar mata Fazila merenung ke wajah Faris, mengharapkan lelaki itu juga menyedari kehadirannya. Tapi, dia sedar siapalah dirinya. Terasa bagaikan terhiris hatinya menyedari hakikat itu.

Dan akhirnya setelah seharian bersama, Fazila terpaksa mengalah dengan perasaannya. Dia terpaksa akur dengan hakikat bahawa dia telah terpikat pada Faris. Dia sendiri tidak mengerti bagaimana dia boleh berperasaan begitu. Hatinya tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang menarik pada diri lelaki itu. Mungkinkah ketampanan Faris, atau mungkin wajah dan sikapnya yang serius itu yang terasa begitu menyentuh naluri gadisnya. Ternyata dia cukup berbeza daripada Fauzi. Tubuhnya yang tegap sasa, wajahnya yang sederhana tampan dan suaranya yang garau bagaikan menggetar perasaan Fazila. Pertama kali dia merasakan perasaan sebegitu terhadap seorang lelaki.

Dan ada ketikanya dia merasakan seperti sedang di perhatikan oleh Faris. Bila dia berpaling ke arah lelaki itu, dan mata mereka bertentangan, dadanya jadi berdebar-debar. Angaukah dia? Atau sebenarnya hati gadisnya sudah ditusuk dengan panahan asmara lelaki itu? Ah... sungguh dia buntu dengan keadaan itu.

Namun, semua ini bagaikan tidak bermakna buat Faris. Fazila tahu dia bukan seorang yang menarik di pandangan mata Faris. Jika tidak, pasti Faris sudah menegur atau cuba  berbicara dengannya bila saja ada waktu yang terluang. Bukankah itu yang selalu dilakukan oleh lelaki bila ada gadis yang menarik perhatiannya? Pun begitu Fazila masih lagi mengumpul anganan. Mengharapkan sesuatu akan dilakukan oleh Faris demi untuk memulakan kata bicara di antara mereka. 

Bila petang menjelma dan mereka sudah dalam perjalanan untuk menghantar dia dan Kak Rini pulang, hati Fazila tiba-tiba menjadi cukup sayu. Tidak mungkin hari seperti ini akan berulang kembali dalam hidupnya. Terasa seperti satu kehilangan menerpa di sudut hati.
Ya, dia kini sudah merasakan kehilangan lelaki itu kerana tidak ada sesuatu pun yang Faris lakukan demi untuk memberikan dia harapan bahawa mereka mungkin akan dapat berkenalan, malah mungkin akan jadi lebih mesra. Sebagai seorang gadis, perasaan malunya tidak memungkinkan dia untuk memulakan sesuatu di antara mereka.

Dia terlalu malu untuk itu. Dan dia cukup resah bila pandangan mata Fauzi bagaikan dapat membaca perasaan yang bergelodak di dalam hatinya. Nasib baik Fauzi hanya mendiamkan sahaja tetapi senyuman di bibir Fauzi seakan-akan menyergahnya, ‘ha... Fazila...’ membuatkan perasaan malu semakin memasung lidahnya daripada terus berbicara mesra
bersama Fauzi seperti kebiasaannya. 



MAMA AKU nak datang merisik engkau esok.” Kata-kata Fauzi yang kedengaran begitu polos sekali berbicara membuatkan Fazila tersentak. Hampir terlepas gagang telefon yang sedang dalam genggamannya saat itu.

“Kami memang cadang nak balik esok, tapi lepas semuanya selesai. Kalau kau setuju, dia nak terus meminang.” Makin Fazila terkejut dibuatnya mendengarkan kata-kata itu.

“Apa ni Fauzi?”

“Apa ni apa... kau tak dengar ke apa aku cakap tadi?”

Tanya Fauzi dengan nada gembira. Bila Fazila diam, dia terus menyambung ayat.

“Okey, aku ulang... mama aku nak meminang kau, faham?”

“Saya... saya...” Tergamam lagi Fazila mendengarkan kata-kata itu.

Semua ini bagaikan mimpi buat Fazila. Belum pun hilang penat seharian menjadi tourist guide mereka, malam ini dia dikejutkan pula dengan berita ini. Sungguh dia tidak mengerti dengan keadaan ini. 

“Tapi Fauzi, hari tu kan saya dah cakap... saya tak boleh terima awak. Saya ingatkan awak faham maksud saya. Kita sebaya, nanti kalau kita bergaduh, orang nanti cop saya ni queen control pulak. Memang hari ni tak nampak beza umur kita, tapi esok bila dah...” Fazila tidak mampu menghabiskan kata-kata. Segan rasanya untuk menyebut perkataan itu.

“Dah apa? Dah kahwin? Dah beranak pinak? Dah tua?” Sampuk Fauzi bagaikan mengerti apa yang ingin Fazila sampaikan.

“Hmmm...mmm...”

“Engkau takut nanti engkau nampak lebih tua daripada aku masa tu?”

“Emm... mmm...” Aku masih lagi teragak-agak. 

“Tak usah risaulah pasal tu... habis, kenapa pulak kalau kau nampak lebih tua daripada aku... masa tu kan kau dah jadi kakak ipar aku, memang sepatutnyalah kalau kau tu nampak lebih tua daripada aku...”

Entah mengapa kata-kata itu bagaikan menyentap tangkai hatinya. Lutut Fazila terasa makin lemah dan longlai, seperti tidak percaya apa yang didengarkan sebentar tadi. Kakak ipar? Apa maksud Fauzi?

“Mama aku nak pinang kau untuk Farislah... Jealous betul... aku nak kat kau, tapi kau tak nak kat aku. Sayang pulak rasanya sebab aku berkenan betul dengan kau ni. Jadi aku ceritalah pada mak aku. Kebetulan Faris tengah mencari...” 

Bla... bla... bla.. Dan kata-kata selanjutnya seperti sudah tidak Fazila dengarkan lagi. Terkejut tidak terhingga dengan apa yang disampaikan oleh Fauzi. Bagaikan orang yang sedang bingung, Fazila langsung tidak menyedari apabila Fauzi bertanyakan sama ada dia bersetuju atau tidak untuk mereka datang merisik. Dan bagaikan faham dengan keadaan dirnya  yang dalam keadaan terkejut, Fauzi meminta untuk berbicara dengan emaknya.

Fazila masih lagi dalam keadaan terkejut apabila Puan Norhayati meletakkan gagang telefon ke tempatnya setelah selesai berbicara di telefon. Emaknya lantas memeluk tubuh Fazila sambil membawa anak gadisnya itu duduk di sofa berhampiran dengan Encik Dahlan.

“Emm... mereka datang nak tengok Ila sebenarnya. Buat olok-olok ajak Ila jadi pemandu pelancong. Padahal nak tengok bakal menantu...” Meleret suara emak menyampaikan berita kepada abah. Senyum terukir di bibirnya. Dan suaranya kedengaran di telinga Fazila seperti mengusik. 

“Ada apa ni Yati?” Tanya abah tanda turut tak mengerti. 

“Ini hah, Kak Hasmah... minta izin dengan saya, nak datang merisik Ila. Kalau kita setuju, dia nak terus datang meminang. Yelah... mereka tu jauh. Kiranya datang ni buat sekali harunglah,” jelas emak pada abah. Fazila yang bingung turut mendengar. Masih lagi tak mampu untuk berfikir dengan waras. Terasa bagaikan tidak berpijak di bumi nyata lagaknya.

“Amboi Ila, pandai ye sembunyikan hal ni? Mak kamu yang cukup pandai menelah orang ni pun, tak dapat menangkap tujuan sebenar mereka tu datang,” usik abah pula. 

“Ila tak tau abah... mak... mereka tak cakap apa-apa pun. Ila pun tengah terkejut ni.” Rungut Fazila dengan perasaan yang sungguh tidak dimengertikan. 

Jauh di sudut hati, terselit rasa bahagia. Sungguh dia tidak menyangka sebenarnya ada agenda lain yang terselindung di sebalik ajakan mereka pagi tadi. Rupa-rupanya di luar sedar, keluarga Fauzi ingin dia dan Faris bertemu dan berkenalan. Patutlah Fauzi galak mengusik, Mak Cik Hasmah dan Farisya asyik senyum meleret dan Faris... Aduhai, mata lelaki itu... 

Sungguh Fazila tidak menyangka yang Faris sebenarnya menyembunyikan hasrat hatinya sepanjang hari. Mati-mati dia menyangka yang Faris tidak langsung tertarik kepadanya. Dalam sikap selamba, rupa-rupanya ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik renungan lelaki itu yang sekali-sekala jatuh ke wajahnya. Tapi, benarkah begitu? Tidakkah semua ini terlalu terburu-buru? Minda Fazila bagaikan masih belum mampu menerima kejutan ini.

“Habis, Yati jawab apa? Yati jemput mereka datang tak?” Pertanyaan abah itu disambut oleh senyuman daripada emak.

“Saya jemput mereka datang. Takkan nak tolak pulak kan? Cuma, saya beritahu mereka, jawapannya kenalah tanya empunya diri dulu,” kata emak sambil matanya kembali melirik
ke wajah anak gadisnya. Abah turut senyum sambil matanya cuba meneka apa yang ada di dalam hati anak gadisnya itu. 

“Hah macam mana Ila? Setuju ke mereka nak datang ni?”Fazila hanya diam, hanya mampu memandang tepat ke dalam mata emak. Tidak pasti apa jawapan yang dia patut berikan. Dalam bahagia terdetik rasa curiga di hatinya. Sejak bila Faris mengenali dirinya? Adakah Fauzi yang menceritakan tentang dia kepada Faris tanpa pengetahuannya? Bukankah dulu, Fauzi yang beria-ia suka padanya, tapi kini mengapakah pula dia akan dirisik untuk abangnya?

Adakah kerana Fazila pernah menolak permintaannya untuk menjadi teman wanitanya menyebabkan Fauzi memperkenalkan dia kepada abangnya. Dan, apakah perasaan Faris terhadapnya? Sukakah Faris kepadanya? Atau terlalu terdesakkah lelaki itu sehinggakan sanggup meminang dirinya tanpa ada sekelumit pun perasaan terhadapnya? Ahh... Terlalu
banyak persoalan yang merasuk mindanya saat itu.

No comments:

Post a Comment