DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 10 February 2015

Titik Mula Cinta - Bab 6

AHAD itu, Fazila kembali ke kampus UTM Skudai yang terletak di selatan tanah air setelah hampir tiga bulan berada di kampung. Kebosanan dalam perjalanan dengan bas yang mengambil masa hampir sepuluh jam itu bagaikan tidak dirasakan dek kerana ada sesuatu yang indah dan mendebarkan memenuhi ruang ingatannya. Cincin merisik dan meminang yang bertakhta di kedua jari manisnya, kiri dan kanan, ditatap penuh rasa serba salah. Di sepanjang waktu itu dia asyik terbayangkan wajah Faris, yang kini telah dinaik tarafkan kepada ‘Abang Faris’ oleh emak dan abah. 

Hampir-hampir Fazila tidak dapat membayangkan bagaimana raut wajah itu di matanya. Maklumlah, waktu itu terasa malu sekali untuk terang-terangan menatap wajah lelaki itu. Kalaulah bukan dek kerana gambar-gambar kenangan yang diambil oleh Kak Rini dan juga adiknya Hafiz, pasti nanti wajah itu akan terus berbalam dalam ingatannya. 

Sewaktu dia keluar ke ruang tamu untuk diperkenalkan kepada keluarga sebelah pihak Abang Faris semalam, terdengar bisik-bisik daripada tetamu perempuan yang hadir. Bukannya ramai pun yang hadir daripada pihak mereka. Sekadar lima orang termasuk Mak Cik Hasmah dan Farisya. Tetamu lelaki juga seramai lima orang termasuk Fauzi dan Abang Faris. Majlis yang diadakan itu ringkas sahaja kerana terlalu tergesa-gesa dijalankan. Setelah cincin merisik dan cincin pertunangan disarungkan ke jari manisnya oleh Mak Cik Hasmah, Fazila bersalam dengan semua tetamu wanita. Tidak mampu untuk dia gambarkan bagaimana perasaannya bila dia tiba-tiba menjadi perhatian semua orang. Debaran di dadanya bagaikan gendang dipalu, menggegarkan seluruh tubuhnya. Mak Long yang berada di sisi saat itu menggenggam tangannya erat untuk melegakan rasa seram sejuk yang wujud dek rasa gementar.

“Macam berjanji-janji aje kan? Muka pun dah ada iras-iras ni. Lebih kurang sama aje nampaknya,” masih terngiang-ngiang  lagi kata-kata salah seorang tetamu lelaki semalam.

“Itulah yang dikatakan jodoh. Ikut orang tua-tua, kalau seiras macam ni, katanya serasi. Aman rumah tangganya nanti...” Kedengaran suara lain pula yang menyambut.

“Insya-Allah... begitulah hendaknya...” Sahut abah pula. Menambah lagi rasa malu di hati Fazila. Abang Faris... sungguh kenangan antara mereka terlalu sedikit untuk dikenang. Malah, bagaikan tiada langsung kenangan itu untuk diingati. Bertemu hanya dua kali dan setiap renungannya hadir tanpa sepatah kata. Namun bicara hati mereka saat sejenak mata bertentangan, sewaktu tetamu di pihak lelaki berangkat pulang bagaikan menyatakan segalanya. 

Kehadiran lelaki itu di majlis pertunangan mereka semalam bagaikan menambahkan lagi keyakinan Fazila terhadap perasaan lelaki itu kepadanya. Meskipun Abang Faris hanya duduk di luar rumah bersama Fauzi sepanjang perbincangan diadakan, masih Fazila dapat rasakan kehadirannya. Apa lagi yang dia inginkan selain daripada ketulusan hati Abang  Faris untuk membina bahagia bersama dirinya?
 
Mungkin saat ini hati mereka masih belum mampu untuk berbicara kata-kata cinta. Tapi kesungguhan Abang Faris untuk menjadikan dirinya sebahagian daripada hidup lelaki itu terasa begitu meyakinkan Fazila. Selama ini belum ada lelaki yang setulus itu ingin menjalinkan hubungan dengannya. Kalau ada pun yang menyapa untuk berkenalan, kebanyakannya mengharapkan sesuatu yang tak mampu untuk dia berikan. Dia tidak mampu pergi jauh dalam hubungan yang tidak tahu ke mana arah tujuannya.


SEPERTI YANG dia jangkakan, kejutan ini mengundang pelbagai tohmahan daripada teman-teman sekuliahnya. Masing-masing begitu terperanjat dengan keberanian Fazila menerima perhubungan ini apabila berita itu sampai ke telinga kawan-kawannya  melalui Nadia. Semua terperanjat bila mendengar kesudian Fazila untuk mengikat tali pertunangan tanpa ada apa-apa rasa cinta yang tersemai dalam hati. Yang paling terkejut adalah Nadia kerana dia langsung tidak menyangka semua itu akan berlaku.

“Eee... berani ye engkau terima dia?” Kata Nadia selepas Fazila menyampaikan berita itu kepadanya. 

“Insya-Allah dia jodoh aku agaknya,” kata Fazila separuh yakin.

“Tapi Ila, engkau tak pernah kenal dia, kan? Macam mana engkau boleh yakin dengan dia?”
Fazila menarik nafasnya panjang. Cuba meyakinkan dirinya sendiri tentang semua yang telah terjadi.

“Aku ada satu rahsia, kau nak dengar tak?” Kali ini kata-katanya  itu cuba ditegaskan demi untuk meyakinkan Nadia.

Sedangkan di dalam hatinya sendiri pun masih ada keraguan dengan semua yang berlaku.


“Apa?”


“Masa bulan puasa lepas, kitakan buat Qiamullail kat masjid. Engkau ingat tak?” Kelihatan Nadia menganggukkan kepalanya.


“Lepas solat hajat malam tu, aku ada mohon pada Allah, minta Allah kurniakan aku dengan suami yang soleh untuk bawa aku ke jalan yang diredhai. Aku yakin, sekarang ni Allah dah makbulkan doa aku tu,” 


“Eii... solehlah sangat. Dia tu kan orang yang engkau tak kenal. Manalah tau kot-kot dia tu iblis bertopengkan manusia. Berani ye engkau?” 


Tersentuh hati Fazila mendengarkan kata-kata pedas Nadia. Saat itu terasa hatinya bagaikan diramas. Bagaikan ada suara-suara halus yang berbisik mengiakan kata-kata Nadia itu. Mengapa selama ini aku tidak pernah terfikir akan kemungkinan itu?

“Ila, taulah engkau tu baik, tapi janganlah engkau fikir semua orang tu baik. Sepatutnya kenalah ada sikit rasa curiga. Jangan senang-senang nak percaya pada orang,”


“Tapi, yang kenalkan kami tu kan, Fauzi. Adik dia sendiri Nad... Takkanlah Fauzi nak aniaya aku. Kalau abang dia jahat, takkan dia nak kenalkan kami.”


“Mana kita tahu, kan?” Terdiam Fazila mendengarkan kata-kata Nadia. Ya, kemungkinan yang tidak sekali-kali dapat dia nafikan.


“Itulah engkau Ila, bukannya tak ada yang nakkan engkau. Bila ada, engkau buat jual mahal. Macam mana lelaki berani nak dekat dengan engkau. Tengoklah Baharin, Jamal, Tojo... Diaorang tu kata, susah sangat diaorang nak tackle engkau. Sampaikan diaorang tu semua back off... surrender. Yang buat betting pun ada, siapa yang berjaya ajak kau keluar dating, dapatlah habuannya. Ada pulak yang minta kita orang pujuk kau supaya diaorang dapat bawa engkau keluar. Siap nak belanja kita orang makan kalau diaorang berjaya. Kita orang  je yang tak berani nak cakap kat kau, takut kau marah...” Kata Nadia, ketawa kecil sambil membuka rahsia yang dia simpan selama ini.


Bulat mata Fazila mendengarkan semua itu. Memang selama ini dia tidak tahu ada yang meminatinya hingga ke tahap itu. Terkedu seketika jadinya.


“Aku tak sukalah Nad. Orang yang nak main-mainkan aku macam tu. Kalau nak, biarlah buat betul-betul. Jangan nak main-main...” Kata Fazila dengan nada sinis. 


“Siapa kata diaorang nak main-main. Ada tu yang memang serius nak kenal kau. Kalau diaorang tak jumpa, tak dapat cakap dengan kau, mana nak kenal? Diaorang tegur, request friend, hantar pm kat facebook, kau tak layan. Whatsapps apatah lagi. Diaorang nak call, kau tak ada telefon. Kalau cakap berdepan, kau selalu buat tak layan... strict pada  benda-benda yang penting je... cakap pun sikit-sikit... lepas tu buat alasan ada hallah... ada kerjalah... Orthodoks betullah kau ni tau...” Panjang lebar Nadia membebel tentang sikap jual mahal Fazila.


“Nad, biarlah kau nak kata aku orthodoks ke... apa ke... yang penting aku bahagia. Aku bukan rajin sangat nak layan borak yang entah apa-apa. Pasal facebook pulak, bukan aku rajin sangat nak layan facebook tu. Setakat nak bersembang kosong kat maya gitu... buang masa aku aje... kalau sekali-sekala tu tak apalah jugak. Kita ni tengah belajar, kalau asyik duk layan facebook, kerja utama tak jadi nanti tau. Kau taulah, facebook tu macam berhantu. Sejam layan facebook tu macam sekejap aje rasanya. Kalau yang tegur elok-elok tu okeylah jugak, tapi kalau yang pm benda ngarut-ngarut malaslah aku nak layan. Sebab tu aku malas nak selalu online. Lagipun, aku cuma online kat pusat pelajar atau library aje sebab kat sana ada wifi. Kat asrama, kalau perlu sangat nak browsing cari maklumat untuk
assignment, baru aku guna broadband aku tu. Jimatlah sikit data broadband aku...” Panjang lebar Fazila memberikan hujahnya. 


“Kedekut tak habis-habis...” Komen Nadia.

“Aku kena kedekut la dalam hal-hal gitu Nad... aku tak nak membazir. Aku bukannya anak orang senang... boleh belanja lavish macam kau orang semua...” Jelas Fazila lagi tentang keadaan dirinya yang sudah sedia diketahui oleh Nadia. 


Nadia mencebirkan bibirnya.

“Yalah... dah berapa puluh kali kau cakap kat aku...” Katanya sambil menyambut kata-kata Fazila dengan bersahaja. 


“Kau janganlah kutuk aku... jangan sebab diaorang tak dapat contact aku, kau kutuk aku pulak... kecik hati ni tau...” Kata Fazila sedih. Mukanya mula masam mencuka.


Dia tahu Nadia tidak pernah memandang dirinya rendah kerana keadaan hidupnya yang serba kekurangan. Malah Nadialah yang sering membantu tiap kali dia dalam kesusahan. Selalu menabur budi dalam keadaan yang langsung tidak mampu untuk dia menolaknya. Dia cukup tahu bahawa Nadia ini cukup ikhlas orangnya dan tidak pernah meminta apa-apa balasan daripada dirinya. Cuma yang selalu dia tidak tahan ialah mulut Nadia yang sering dalam gurauannya, kuat sekali mengutuk dirinya. Adakalanya ingin saja dia jahit mulut yang juga selalu manis bergula itu.


“Jual mahal...” Ulang Nadia lagi sambil menjelirkan lidahnya.


Pantas Fazila memukul bantal spongebobnya ke tubuh Nadia yang duduk di sebelahnya di atas katil tempat dia berbaring. Mereka baru sahaja selesai mengangkat barang-barangnya yang Nadia bawa. Penat sekali memunggah barang-barang tersebut ke tingkat tiga di mana biliknya berada. Setelah menjawab tawaran pengajiannya, dia telah menempah bilik sewaan di asrama Kolej Tun Fatimah. 


Kebetulan dia dapat menyewa sebuah bilik single yang dilengkapi dengan sebuah katil bujang, sebuah almari kecil dan sebuah meja belajar. Dia lebih suka untuk tidak berkongsi bilik dengan sesiapa. Lebih bebas rasanya. Tambahan lagi dia lebih banyak belajar secara bersendirian sekarang ini. 

“Nad... engkau tau ajelah. Diaorang tu, sikit-sikit nak ajak keluar. Kononnya nak kenal hati budilah katanya... Mana boleh macam tu. Takkanlah aku nak langgar pesan mak abah aku pulak. Berdosa tau.”

“La... sebab itulah aku ajak kau double date dulu. Bukannya kau keluar berdua aje dengan Tojo tu. Itupun tak sempat apa-apa engkau dah balik, tinggalkan Tojo sorang-sorang.  Siapalah tak marah. Kalau aku jadi dia pun, tentu aku marah jugak.”


“Hah, double date apa? Keluar aje bersama. Bila dah sampai kat sana, engkau dengan Man tinggalkan aku dengan dia. Mana boleh macam tu. Itulah yang aku balik tu.” 


“Yelah... kau tu jual mahal sangat, bila ada yang nak berkenalan, kau jual mahal. Sekarang ni, bila dah desperate, ha... ikut saja siapapun yang masuk meminang... terus terima... kalau jadi apa-apa... merana badan... baru engkau tahu.” 

“Apa? Kau kata aku desperate?” Kata Fazila sambil membulatkan matanya tanda terkejut.

“Yelah, desperatelah tu. Dah habis belajar pun belum ada boyfriend. Habis tu siapa aje yang masuk meminang, terus terima. Tak ke desperate namanya tu?” Gulp, tak mampu dia menjawab kata-kata Nadia itu. 


Terdesakkah dirinya bila dia menerima pinangan ini atas rasa yakin dengan ketulusan hati Abang Faris? Kata-kata Nadia itu memberi kesan ke atas dirinya. Membuatkan dia terus rasa serba salah. Bimbang dengan kemungkinan yang satu itu. 

“Heee... bencilah kau ni... sampai hati cakap kat aku macam tu... Mentang-mentanglah kau dah ada Man... kau kutuk aku gitu ya...” 


Hanya hilai tawa Nadia yang menyambut kata-kata rajuk daripada Fazila. Sikap Nadia yang seperti mempermainkannya membuat Fazila jadi semakin geram terhadap teman baiknya itu. Lama dia diam, membawa rajuk di hati. Dan apabila Nadia memeluknya kembali sambil mencium pipinya, hati Fazila terus sahaja kembali sejuk. Tak pernah ke mana marahnya terhadap temannya itu.


“Asyik cerita pasal engkau je... Kau tau tak... minggu hadapan aku ada temuduga kat Pasir Gudang...” Tiba-tiba Nadia menukar topik yang diperbualkan.


“Eh... ya ke? Bestnya...” Jawab Fazila dengan rasa cukup teruja. Terus hilang rajuknya sebentar tadi. 


“Jawatan apa?” Sambungnya lagi.


“ Jurutera pengeluaran... harap dapatlah kat aku...” 


“Insya-Allah... aku doakan...” Kata Fazila sambil kembali tersenyum.

“Ha... senyum gitukan cantik. Tak adalah macam cuka je masamnya... okey, marilah... aku belanja kau ais kacang...” 


“Laaa... ais kacang je?”


“Engkau jangan mintak lebih-lebih ye... aku belum kerja lagi ni...” Kata Nadia sambil mengangkat jari telunjuknya seperti memberi amaran.


“Hmmm... dah kerja nanti... poket dah tebal... kau kena belanja aku yang best-best...” Fazila pula yang mengangkat jari telunjuknya.


Dan gelak ketawa berterusan menyambut gurauan demi gurauan dua sahabat itu.



MACAM MANA prof, tajuk kajian saya tu?” Professor Ruquiyah menatap kertas kerja Fazila yang bertajuk ‘A Local Ventilation Unit for Chemical Laboratory” yang telah dihantarnya minggu lepas untuk diteliti. Wanita berusia awal empat puluhan itu mengangguk-angguk perlahan sambil tersenyum.

“Okey... saya minat dengan tajuk awak ni Fazila. Menarik... dan saya rasa projek begini boleh dibuat. Cuma awak rasa sempat tak, nak siapkan dalam masa satu tahun? Nampaknya ada bahagian fabrikasi alat ni, lepas tu kena buat kajian untuk hasil dapatannya ni. Sempat ke?” 


“Insya-Allah prof... saya akan cuba. Saya dah pergi jumpa juruteknik kat makmal tu, dia kata kalau budget ada, Insya-Allah boleh buat sebab kita boleh guna ventilation system yang dah sedia ada. Cuma saya perlu lengkapkan dengan sensor yang sesuai untuk detact fumes atau gas-gas bahaya hasil daripada uji kaji bahan kimia. Kalau sensor tu ada, programnya boleh dibuat untuk sistem detect dan janakan suction system untuk sedut keluar gas-gas beracun tu...” Terang Fazila panjang lebar.


“Okey, saya nampak ada beberapa rujukan yang awak gunakan ni... agak meyakinkan. Hmmm... program jenis apa awak nak gunakan? PLC, Programmable Logic Controller ke atau PIC, Programmable Intergrated Circuit?”


“Masih belum pasti lagi prof. Saya perlu buat kajian lagi. PIC lebih murah... tapi kalau diikutkan, PLC lebih reliable sebab kita boleh kawal lebih banyak output. Mungkin saya akan gunakan PLC. Tapi, saya masih perlu buat lebih banyak bacaan lagi...” Kata Fazila untuk meyakinkan Professor Ruquiyah tentang projeknya itu.


“Memang... dan nampaknya kertas cadangan awak ni masih belum betul-betul kukuh, jadi saya nak awak tambahkan lagi litreture review supaya lebih menyakinkan. Cuba cari jenis-jenis  sensor yang mampu kesan gas-gas bahaya itu. Atau kalau tak ada sensor yang sesuai, awak mungkin perlu buat variables untuk setiap asap dan particles yang merbahaya dan masukkan dalam program awak supaya program tu dapat kenal pasti bahan-bahan itu,” jelas Professor Ruquiyah pula panjang lebar.


“Okey ... Insya-Allah prof, saya akan cuba.”


“Kalau ada apa-apa masalah, awak boleh jumpa saya... just give me a call ya... atau emel?” Kata Professor Ruquiyah dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya. 


“Baiklah prof...” Jawab Fazila, juga dengan senyuman manis, menunjukkan dia berpuas hati dengan cara Professor Ruquiyah memberikan nasihatnya. Sekurang-kurangnya Professor Ruquiyah memberikan cadangan yang baik untuk dia meneruskan kajiannya itu.


Sememangnya Professor Ruquiyah adalah idolanya sejak dari tahun satu pengajiannya. Wanita ini pernah mengajar dia dalam kursus Teknologi Bahan iaitu salah satu kursus yang dia ambil semasa di tahun tiga dulu. Sejak itu dia selalu mengikuti perkembangan pensyarahnya itu. 


Kelembutan dan ketegasannya itu membuatkan Fazila turut menyimpan cita-cita untuk menjadi pensyarah sepertinya. Dan apabila dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian tempoh hari, Professor Ruquiyah adalah pilihan utamanya untuk dijadikan pensyarah penyelia bagi kajian tesisnya. Tambahan lagi beliau adalah salah seorang pakar dalam bidang pemprograman sistem automasi yang melibatkan penggunaan pelbagai peralatan elektronik yang lain. 

Sambil mengemaskan bahan bacaan yang dia berikan untuk semakan Professor Ruquiyah sebentar tadi, Fazila jadi teragak-agak. Ada sesuatu bantuan yang ingin dia minta daripada wanita itu, tetapi dia tidak pasti patut atau tidak dia meminta daripadanya. Mungkinkah wanita ini akan melayan permintaannya itu? Atau mungkinkah dia akan menyusahkan Professor Ruquiyah nanti?

“Kenapa Fazila? Nampak macam ada sesuatu aje yang awak nak cakap pada saya?”


“Hmmm... ada prof... cuma... saya segan sikit ni... hal peribadi ni prof...” Jawab Fazila sambil senyum. 


“Cakaplah... apa dia?” Terpamer riak yang menggambarkan perasaan terkejut wanita itu.


“Hmmm... saya ni tengah cari kerja sampingan prof... saya ingat nak ajar tuisyen, atau jadi pembimbing peribadi untuk budak-budak yang akan ambil peperiksaan...” Katanya perlahan-lahan. Matanya bulat memandang ke dalam mata Professor Ruquiyah. Bersedia untuk soalan-soalan yang pastinya akan ditanya oleh wanita di hadapannya itu.


“Okey? Awak tak cuba pergi kat mana-mana pusat tuisyen? ”


“Ada jugak... tapi kalau kat situ saya terikat dengan jadual. Saya ingat... saya nak buat yang freelance prof. Jadi saya bebas... tak terikat.”


“Owh...okey... jadi apa yang saya boleh bantu?”


“Emm... boleh tak prof cuba tanya-tanyakan manamana pensyarah yang boleh ambil saya kerja jadi chaperone untuk anak-anak mereka?”


“Owh... okey... bagus jugak tu... tapi... tak ganggu masa belajar awak ke?”


“Insya-Allah tak prof, nanti saya cuba arrange masa supaya tak ganggu masa belajar saya. Mungkin masa hujung minggu, atau kalau malam mungkin saya boleh jadi peneman mereka sambil saya buat kerja saya...” Jelas Fazila untuk pertanyaan itu.


“Boleh saya tanya soalan peribadi sikit tak?” 


Tanya Professor Ruquiyah selepas seketika. Fazila cuma menganggukkan kepalanya. Ada debar di hati saat menanti soalan itu. 

“Setakat ni, siapa yang keluarkan perbelanjaan untuk awak belajar ni?” Lega hatinya mendengarkan persoalan yang diajukan. Sangkanya Professor Ruquiyah akan bertanyakan tentang mengapa dia perlukan kerja tersebut.

“Abah saya prof... sementara belum dapat biasiswa ni. Tapi saya tak nak susahkan dia... saya bukan anak orang berada. Kenalah cari duit tambahan prof.”


“Hmmm... Tawaran masters awak ni dah sekali dengan biasiswa, kan? Masih lagi tak cukup? Awak tak mohon sebagai RA (Research Assistant) untuk fakulti?”


“Offer untuk RA masih belum dibuka untuk pelajar semester pertama ni prof. Semester kedua baru dapat mohon jadi RA. Saya sebenarnya dapat elaun prof, tapi masih belum masuk lagi. Jadi sementara nak dapat biasiswa ni... kenalah cari sumber lain. Buat pinjaman, rasanya saya kena cuba elakkan, lagipun masa buat degree dulu, hutang dah berlambak. Kalau boleh... saya tak nak tambah hutang...”


“Wah.. baguslah kalau awak berpandangan begitu... sebelum mula kerja dah ada hutang, jadi cubalah elakkan kalau boleh. Okey... subjek apa yang awak boleh ajar? 


“Mungkin, subjek Sains... Matematik?” Jawab Fazila. 


“Untuk budak tingkatan berapa?”


“Sampai tingkatan limalah kut prof...”


“Okey... nanti saya tanyakan... Tapi, saya pun macam berminat juga. Yang sulung sekarang dalam tingkatan dua, tahun depan tingkatan tiga... kalau ada yang temankan dia belajar malam-malam tentu dia suka. Saya pulak selalu sibuk, outstation sana sini. Suami saya pun sama... jadi selalu dia mengadu pasal kami tak ada. Orang gaji Indonesia kami, setakat nak temankan bolehlah.Tapi kalau nak mengajar, tak mampulah dia. Selama ni mereka dua beradik tu saya hantar pergi tuisyen. 


Tapi itulah... bila saya atau suami kena pergi outstation, tak ada yang boleh hantar dan ambil mereka tu. Susah juga kalau nak ikut jadual yang terikat macam tu. Sebenarnya mereka tu ada bapa saudara yang belajar kat sini, tapi ada masanya, susah jugak nak minta tolong dia. Dia pun selalu sibuk juga...” 

Tidak semena-mena terbit rasa gembira di hati Fazila. Professor Ruquiyah ada anak yang perlukan perhatian seseorang? Alhamdulillah... mungkin ini rezeki buat dirinya. “Owh... berapa orang anak prof?” Tanya Fazila dengan penuh minat.


“Dua orang... yang sulung tingkatan dua... lelaki. Adiknya... perempuan, sekarang dalam tahun lima.” 


“Wahhh... Mesti anak-anak prof sweet, kan?”


“Hmmm... biasalah Fazila... budak-budak... kalau pun sweet, ada masanya tetap memeningkan kepala...” Katanya sambil tersenyum.


Fazila juga turut tersenyum. Dalam hatinya dia merasa cukup bersyukur.


“Jadi, bila awak boleh datang ke rumah? Boleh kenal-kenal dengan mereka?”


“Dah confirm ke prof nakkan khidmat saya?”


“Tak ada masalah... datang aje ke rumah saya... nanti saya bagikan alamatnya. Upahnya tak payah bimbang... awak ada kenderaan ke nak ke rumah saya?” Fazila tersenyum sambil perlahan-lahan menggelengkan kepalanya.


“Tak prof... saya naik bas je... eh... lupa nak tanya, kat mana rumah prof?”


“Saya tinggal kat Mont Callista... susah sikit kalau naik bas... kena berhenti kat luar kawasan rumah. Tapi... kalau naik teksi lebih senang. Cuma, saya ni tak suka sangat kalau awak naik teksi sorang-sorang. Terutamanya malam-malam, masa balik dari rumah saya tu. Sekarang ni macam-macam boleh jadi, kan? Hari tu ada student kita yang kena rogol bila naik teksi sorang-sorang waktu malam.” 


Menggeletar tubuh Fazila mendengarkan kata-kata Professor Ruquiyah itu. Biar betul...

“Tak apa... Kalau jadual kita boleh match... boleh awak tumpang saya balik aje. Bila nak balik saya akan minta adik saya hantarkan awak ke kampus. Waktu malam dia tak terikat dengan jadual, jadi boleh minta tolong dengan dia.”


“Owh... tak menyusahkan prof ke nanti? Atau adik prof tu?”


“Tak... bagi saya tak susah pun. Bukannya jauh sangat rumah saya dengan kampus ni. Dalam lima belas minit je. Kalau masa jammed, lamalah sikit. Saya pun nak bantu awak juga,” kata Professor Ruquiyah dengan senyuman yang cukup menawan.


Seketika itu juga Fazila jadi makin semakin hormat pada pensyarahnya ini. Sudahlah cantik, baik pula... ucapan Alhamdulillah berbisik di hatinya. Moga Allah merahmatinya dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment