DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 February 2015

Isteri Dambaan Dia - Bab 6

SUAPAN nasi di mulutnya terhenti. Terkejut tak usah cakaplah. Sedap-sedap dia menikmati nasi campur di gerai bawah pokok ni tiba-tiba Nediesha muncul di depannya. Halimunan ke apa anak CEO Sirna Jaya ni. Zamri di sebelahnya boleh buat tak tahu. Dia yang nyaris terkeluar biji mata member di sebelah baik punya babak. Buat derkk bodoh.

Kaki di bawah meja laju menendang betis Zamri. Berkerut dahi Zamri menahan sakit. Nediesha pula dengan riak selamba buat iklan ubat gigi Fresh n White. Nasib baik gigi cantik kalau jongang tak sanggup dia nak pandang.

“Cik Nediesha nak makan sini juga ke?”

“Tak. Nak tengok awak,” balas Nediesha. Kedua tangannya duduk menongkat dagu dengan mata yang tak lepas menatap wajah Rifqi. Zamri yang mendengar lepas ketawa dalam hati. Sempat dia berpaling ke belakang dan menyengih seorang. Tidak keruan Rifqi dibuatnya. Diam dan kelu tak tahu nak jawab apa. Sudahnya teh o ais disedutnya perlahan. Memberi kesejukan pada anak tekaknya yang mula kehilangan air liur.

“Saya tahu Cik Nediesha tak makan di gerai macam ni?”

“Betullah tu. Sebab tu saya kata just nak tengok awak. Saya ajak keluar makan dengan saya Rifqi yang tolak. Jadi terpaksalah saya datang sendiri tengok awak makan.”

“Kenyang ke tengok saya makan?”

“Memang saya dah kenyang.”

“Kalau dah kenyang eloklah cik masuk ke pejabat dulu. Zohor pun dah masuk waktu. Saya dan Zamri pun mahu ke surau sekejap lagi ni.”

Berubah tiba-tiba wajah Nediesha. Padam tiba-tiba niatnya untuk terus menggoda. Terdengar dia merengus sebelum menolak kerusi dan berlalu. Rifqi sambung makan tetapi Zamri hamburkan ketawa. Sahabatnya dikerling dengan hujung mata.

“Ketawa sikit-sikit sudahlah. Karang ada air lebihan masuk dalam teh o ais aku ni. Berubah rasa aku curah dalam mulut kau nanti.” Marah Rifqi. Dia faham benar mengapa Zamri terkekek ketawa. Depan Cik Nediesha tadi rela kemam dalam perut.

“Qi dia memang suka kaulah. Tiba-tiba datang bertenggek kat gerai ni sebab kau ada. Memang bertuahlah kau.”

“Bertuah amendenya, dapat dosa percuma. Dengan baju tak cukup kain dia tu. Rambut tak bertutup.” 

“Sekali-sekala cuci mata bro.”

“Tengkorak kau cuci mata. Itu namanya berbulu biji mata. Ha... satu lagi kalau Datuk Rosli nampak dia kat sini, habislah. Tak pasal-pasal aku kena pecat.”

“Apa punya pendek kau punya akal. Takkanlah sebab anak dia duduk semeja dengan kita kau nak dipecatnya. Tak relevan langsung. Tapi kan cepat pula dia pergi bila kau suruh solat.”

“Dia pun tahu tak baik lewatkan solat.”

“Lurusnya kau ni. Kalau badan pun dia tak reti tutup, aku rasa sembahyang pun dia tak tahu.” 

“Don’t judge the book by its cover Zamri. Entah-entah solat dia lebih baik daripada kita cuma dari segi pakaian dia belum dapat hidayah.” Nasihat Rifqi pada kawan baiknya itu.

Kita tak berhak menilai seseorang melalui luarannya. Kadang-kadang orang yang nampak buruk di mata kita baik budi bahasanya. Yang hitam pada pandangan kita mana tahu putih hatinya. Yang cantik pada kita pula tidak semestinya cantik lahiriahnya.

NEDIESHA TIDAK menunjukkan minat untuk belajar sewaktu mengikuti Artini ke kilang mereka. Kilang yang terletak di kawasan perindustrian itu adalah kilang yang sepenuhnya mengeluarkan produk kosmetik Sirna Jaya. Kilang itu seratus peratus milik Sirna Jaya Kosmetik Sdn. Bhd.

“Malik bagaimana proses pengeluaran produk kita minggu ni? Ada sebarang masalah ke untuk mendapatkan kuantiti yang telah ditetapkan oleh syarikat?” soal Artini kepada Malik. Pekerja yang bertanggungjawab dalam hal pengeluaran produk.

“Tiada sebarang masalah puan. Bekalan bahan untuk kita hasilkan produk juga masih mencukupi.” 

“Baguslah macam tu. Jika ada sebarang masalah cepat beritahu saya. Satu lagi Malik pastikan kualiti produk kita terjaga. Dari segi campuran bahan mahupun kebersihan. 

Walaupun kita bukan pengeluar makanan tapi produk kita ini  melibatkan wajah wanita. Jika berlaku kesan negatif kepada si pemakai maka jatuhlah Sirna.”

“Ya puan. Saya faham.” Malik mengangguk patuh dan kembali meneruskan kerjanya. Artini pandang adiknya yang tadinya membisu saja.

“Diesha ada masalah ke?”

Nediesha gigit bibir. Beberapa detik dia berfikir sebelum mengutarakan pertanyaan.

“Kak Tini pernah jatuh cinta?”

“Mestilah pernah… dengan abang ipar Diesha tulah. Kenapa tanya soalan luar syllabus ni?” Artini ketawa kecil. “Diesha rasa macam jatuh cinta pada seseorang.” Lancar butir kata yang tertitip. Tanda tidak segan memberitahu kakak sendiri.

“Kak Tini tak pelik pun kalau Diesha jatuh cinta. Sebelum ni bukan Diesha tak pernah couple. Kat UK tu lama Diesha jalin hubungan cinta dengan Paul.”

“Tapi kali ni lain...” tangkis Nediesha. Jika perasaan dalam hatinya boleh dilukis, dia mahu tunjukkan rupa. Susah sebenarnya untuk dia terangkan mengenai rasa yang sedang teranyam itu.

“Lain macam mana tu?” Artini sengetkan hujung bibir. Nediesha pegang pipinya. Lama.

“Rasa sepertinya syok sendiri. Macam Diesha seorang saja sedang jatuh cinta. Betul ke perasaan Diesha ni?” Artini mula memberikan perhatian penuh apabila bibir adiknya muntahkan luahan hati. Tadinya matanya melilau memerhatikan pekerja-pekerja kilang membungkus produk Sirna Jaya.

“Cuba cerita betul-betul Diesha jatuh cinta pada siapa. Kenapa rasa syok sendiri pula?”

“Entahlah. Diesha pandang mata dia tapi dia tak mahu pandang mata Diesha. Diesha renung wajah dia tapi dia macam nak lari. Diesha cuba ajak dia keluar makan tapi dia  menolak.”

Pembayang yang diberikan si adik dapat diagak siapa gerangan tuan badan.

“Hmmm… maksud Diesha si Rifqi tu ke?”

“Yalah siapa lagi…” Mendatar tanpa nada. Hati di dalam mahu mengadu betapa kecewanya dia dengan layanan dingin si jejaka.

“Diesha dia bukan orangnya untuk Diesha test market. Dia tak sesuai untuk Diesha uji setinggi mana saham Diesha. Dia bukan lelaki yang sepatutnya untuk Diesha jatuh cinta. Jangan permainkan perasaan orang Diesha.” Artini salah faham.

Baginya Nediesha tidak serius tentang ‘rasa’ itu.

“Kak Tini, Diesha tak berniat mahu permainkan perasaan dia. Bukan juga untuk menguji hati lelakinya. Sekarang ni Diesha yang rasa dipermainkan sebab dia tidak mahu melayan Diesha,” tegas Nediesha. Dia yang seolah-olah bertepuk sebelah, dia pula yang diberikan amaran.  Artini silang tangan ke dada.

“Diesha sedar tak apa yang Diesha cakap ni? Rifqi tu siapa untuk Diesha suka? Sebelum hati Diesha tu keluarkan bunga cinta yang kembang, matikan pucuk yang baru berputik tu. Ingat siapa Engku Masitah.”

“Kak Tini…” Eh kakak aku ni dah kenapa? Tiba-tiba marah pula. Bodoh sangat ke jatuh cinta kepada Rifqi? 

“Enough about him! Kak Tini tak nak dengar. Pastikan mama tak tahu perasaan bodoh Diesha tu. Belum sampai sebulan lagi Diesha di Sirna Jaya, jadi jangan buat hal.” Tiba-tiba  Artini keluarkan amaran keras.

Nediesha hentak kaki dengan geram. Sakit hatinya diberi amaran oleh Artini. Silap masa ke sesi meluah isi hati petang ini? Tak pasal-pasal Artini emosional. Tahulah orang tu tak pernah bercinta sebelum kahwin. Nikah dulu pun kena paksa.

Huh! Ingat boleh jadi penasihat peribadi tapi belum apa-apa sudah membantah. Ingat aku takut ke apa. Nediesha membentak tanpa suara.

PEMANDANGAN MALAM yang indah ditemani kocakan air dari kolam renang, Nediesha duduk bersantai bersama bapanya. Kepala dijatuhkan ke bahu bapanya. Entah kenapa malam ni terasa ingin bermanja dengan lelaki yang dikasihinya itu. 

“Diesha tak keluar ke malam ni? Dulu sebelum masuk  ke Sirna Jaya hari-hari keluar dengan kawan.” 

“Penatlah daddy. Petang tadi kan ikut Kak Tini pergi kilang.”

“Ha... macam mana seronok pergi kilang kita? Bangga tak Sirna mempunyai kilang sendiri di Malaysia. Bukan calang-calang perusahaan kita tu sayang...” Dengan masih berbantalkan bahu bapanya air kolam direnungnya. Pujian Datuk Rosli mengenai Sirna Jaya tidak menarik minatnya.

“Bukan kita daddy, tapi mama…”

Wajah anaknya dipandang. Datuk Rosli tarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara.

“Diesha... mama chairman Sirna Jaya. Itu yang tertulis di atas kertas, semua orang tak dapat nafikan. Sebagai anak, Diesha perlu bangga kerana mama Diesha ialah pengasas produk kosmetik Sirna. Bukan senang mama bangunkan semua itu, jadi wajarlah dia terlalu peka dan sensitif dengan hal Sirna Jaya. Siapa yang mahu apa yang mereka usahakan musnah di tangan orang lain. Daddy sebagai suami, menghormati mama. Malah daddy berbangga memiliki seorang isteri yang bijak sepertinya.”

Nediesha bangunkan kepalanya setegak dengan badan.

“Bangga sehingga daddy tidak boleh keluarkan pendapat sendiri? Bangga tidak perlu andai mulut terpaksa membisu. Bangga berpada-padalah daddy jangan sampai hilang hak sebagai suami.”

“Astaghfirullahalazim. Diesha cakap apa ni? Daddy tidak pernah hilang hak dalam keluarga kita Diesha. Sehingga kini daddy tak faham kenapa Diesha begitu paranoid dengan mama? Apa salah mama? Jika kerana ketegasannya yang buat Diesha tak suka itu tidak patut sama 
sekali.”

“Entahlah daddy. Mungkin daddy dan Kak Tini bangga dengan apa yang mama ada dan gapai selama ini tapi tidak Diesha. Segala yang terpentas di depan Diesha sejak dari kecil umpama wayang yang merobek hati. Daddy pun tahu di ambang kegemilangan Sirna Jaya Kosmetik, di mana mama letakkan diri Diesha.”

“Maksud Diesha, mama abaikan Diesha? Mama terlampau tegas dengan daddy dan Kak Tini hingga buat Diesha tak gembira. Itu ke yang merobek hati?”

Nediesha kemam bibir. Serta-merta setitik air matanya luruh. Tiba-tiba sebak membelit hati.

“Banyak daddy...” tuturnya perlahan. Jari kasarnya menyeka air mata yang luruh di pipi comel anaknya. 

“Apa yang dapat daddy simpulkan... Diesha belum mengenali mama sepenuhnya. Separuh sisi mama sahaja yang Diesha tahu. Malangnya separuh sisi baik yang ada pada mama tidak cuba untuk Diesha selami. Ya, daddy tak boleh salahkan Diesha. Diesha pun baru balik ke Teratak Masitah. Sewaktu kecil pula Diesha rapat dengan nenek dan Mak Chombi. Atau mungkin jua hubungan yang renggang antara mama dengan keluarga daddy yang buat Diesha sakit hati. Daddy boleh cerita semuanya sekarang. Diesha cukup dewasa kini untuk mengetahui segalanya.” Liurnya ditelan. Lidah bertutur lagi.

“Tentang Artini dan Nik Rizal pula, ia memang perkahwinan aturan keluarga tapi Diesha sendiri maklum yang mereka bahagia. Paksaan mama kepada Artini tidak buat dia menderita walau sekelumit pun. Sirna Jaya pula tidak bermasalah walau segala keputusan perlu dapat hitam putih terlebih dahulu daripada mama.”

Nediesha kalih badan menghadap bapanya.

“Perlu ke Diesha selami hati mama sedangkan Diesha tak rasa kasih sayangnya? Wajar ke daddy mengungkit kisah silam keluarga sedangkan daddy tahu semua itu tak merubah apa-apa pun?”

“Ya perlu sayang, sebab mama sentiasa kasihkan Diesha. Bukan mengungkit tapi menceritakan perkara sebenar. Tentu wajar bukan?” Nediesha geleng kepalanya.

“Maaf daddy, Diesha rasa mengantuk sangat. Kalau pun daddy bercerita Diesha tak mampu hadam sekarang ni. Diesha naik bilik dulu.”

Sorotan mata tua Datuk Rosli menghantar bayangan Nediesha ke tingkat atas. Benarkah anaknya sudah mengantuk atau sengaja tidak mahu mendengar? Benar dia cintakan Engku Masitah. Kerana cinta itulah dia kuat untuk berada di sisi wanita besi itu. Mengalah selama ini bukan bermakna dia kalah. Diam mengikut telunjuk selama ini bukan bererti dia lemah. Itu namanya sayangkan keluarga tetapi dia bukannya dayus.

Sungguh Datuk Rosli tidak faham dengan anak bongsunya itu. Artini tidak pernah sekali memburukkan ibunya. Anak itu lembut dan mudah beralah seperti dirinya. Patah katanya tiada yang menggores hati. Jarang sekali hendak dengar isterinya meninggikan suara kepada Artini. Tetapi Nedieshalah yang selalu buat darah isterinya itu naik. 

Nediesha suka melawan. Kelakuan agak kurang sopan malah bibir gemar memuntahkan butir kata yang kasar. Nediesha jauh di UK tetapi hal anaknya tetap sampai ke telinganya. Bukan Engku Masitah tidak pernah mengamuk tapi dialah yang selama ini pertahankan Nediesha. Cuba menyorokkan segalanya. Namun begitu, Nediesha tidak berani berlawan kata depan-depan dengan isterinya. Janganlah Nediesha bertindak sebegitu, tidak sanggup dia bayangkan kemudaratan yang bakal terjadi nanti.

No comments:

Post a Comment