DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 24 February 2015

Setulus Kasih Indah - Bab 2

Rykal menghentikan keretanya betul-betul di hadapan tempat perhentian bas. Dia turun dari kereta Ferrari merahnya dengan penuh bergaya. Kehadirannya di situ menimbulkan tanda tanya kepada semua pelajar yang duduk menunggu bas di situ. Indah tersenyum kepada sahabat barunya itu. Dia berasa kagum dalam hati melihat kereta mewah yang Rykal pandu. Mesti dia anak orang kaya! desis hati Indah.

Rykal tersenyum lalu menghulurkan tangannya kepada Indah. “Jom saya hantar awak balik.” 

Indah ternganga. “Ha?”

Rykal tergelak lalu dicubit pipi Indah. “Saya kata saya nak hantar awak balik rumah awak. Jomlah.” Dia mengulang kembali ayatnya.

Indah menggigit bibir lalu menggaru kepala yang tidak gatal. Dia memandang ke kiri dan ke kanan apabila mendengar bisikan mereka yang ada di situ. 

“Errr... Terima kasih sahajalah. Saya boleh balik naik bas. Saya dah biasa.”

Rykal faham apa yang menyebabkan Indah menolak pelawaannya. Dia menjeling pelajar yang ada di situ dan serta-merta semua bisikan terhenti begitu sahaja. Rykal mengambil beg sandang Indah lalu tangan gadis itu ditarik agar mengikut langkahnya.

“Rykal, saya boleh balik naik bas. Janganlah paksa saya macam ini.” Indah merayu agar dilepaskan. Dia malu kerana dirinya hanya pelajar biasa tetapi dapat menaiki kereta Rykal yang mahal dan mewah itu pula.

Rykal tidak menghiraukan kata-kata Indah lalu pintu kereta dibuka lantas ditolak tubuh kecil itu masuk ke dalam. Setelah itu, pintu kereta ditutup dan dia berlari ke tempat pemandu.

“Terima kasih, Rykal.” Indah memulakan bicara setelah mereka berdua diam sepanjang jalan.

Rykal tersenyum. “Takpe. Kita kan kawan. Tak ingat ke?”

“Tapi boleh tak awak jangan ulang lagi perbuatan awak ini?” Perlahan sahaja Indah menyoal. 

Rykal menoleh. “Kenapa? Awak tak suka ke?”

“Sebenarnya saya tak selesalah. Saya ini pelajar biasa sahaja, bukannya popular macam awak pun.” 

Rykal tergelak. “Saya popular? Ada kena-mengena ke soal populariti dengan persahabatan kita?”

Indah menggigit bibirnya. Buat-buat tak faham pulak dia ni! “Awak inikan anak orang kaya, kacak, pandai, popular... Manalah sesuai dengan saya ini. Lagipun baru sebulan sahaja saya belajar di sini. Jadi saya tak naklah dibenci pelajar lain pulak. Entah apalah yang mereka akan mengata saya nanti.”

“Mereka nak mengata apa? Berani ke dia orang tu semua mengumpat awak?”

“Manalah saya tahu mereka mengata apa. Mungkin mereka mengata yang saya ini nak kikis duit awak ke apa. Sebenarnya awak tak takut ke berkawan dengan saya?” 

Rykal mengerutkan kening. “Takut apa? Awak bukannya makan orang pun. Ke awak memang spesies manusia makan orang?” Rykal cuba berlawak untuk menghidupkan suasana.

Indah mencubit pipi Rykal. “Kalau saya boleh makan pun, tak naklah saya makan awak. Kurus sangat. Tak ada banyak daging!”

“Hahaha... Tak apa. Nanti saya makan lebih sikit, lepas itu saya pergi gim bina badan. Mesti awak tak jadi nak makan saya sebab waktu itu saya dah gagah perkasa. Cakap orang, badan dia tu pun kurus sekeping aja. Kalau angin tiup pun silap-silap awak boleh terbang sekali tau.” Rykal membalas kembali dengan panjang lebar.

Indah tergelak kecil. “Kalau cakap dengan awak memang saya tak boleh menang, kan?” 

“Tahu pun...” Rykal menjelirkan lidahnya. 

Indah kembali serius. “Saya tanya ni, awak tak takut ke kawan dengan saya?”

Rykal memandang sekilas wajah Indah di sebelahnya. “Kenapa pulak saya takut? Saya suka berkawan dengan awak tau.”

“Awak tak takut ke kalau sebenarnya saya hanya mahukan duit awak? Awak tak takut ke?” Indah menyoal Rykal. 

Rykal mengusap rambut Indah menggunakan tangan kirinya. “Saya tahu awak bukan orang yang macam itu. Sudahlah, tak payah cakap pasal perkara ini lagi.” 

Indah memuncungkan bibirnya. “Okey.” “Awak kerja ke hari ini?” Rykal menyoal sewaktu mereka sudah tiba di hadapan bangunan tempat tinggal Indah. 

“Yup, saya kerja. Kenapa?”

“Takde apa-apa. Take care.” Rykal memberi pesanan kepada Indah yang sudah pun keluar dari keretanya.

Indah mengangguk. “You too. Take care, okay?” 

Rykal membuat isyarat okey menggunakan tangannya. Indah melambaikan tangan sehinggalah kereta mewah Rykal hilang di hujung jalan. Dia mengerling jam sambil kakinya
laju meniti satu per satu anak tangga untuk ke rumahnya. Sudah hampir waktu makan tengah hari, jadi dia perlu segera menyiapkan makan tengah hari. 

Indah bercekak pinggang di hadapan meja yang diduduki oleh Rykal. Dia geram dengan Rykal yang datang mengacaunya di tempat kerja.

“Encik nak order apa?” Rykal membuka menu yang disediakan di hadapannya.

“Apa makanan yang paling sedap di sini?”

“Kimchi Bokkeumbap With Cheese...” Indah memberitahu pendek.

“Saya nak itu dan Carrot Milk Shake.” Rykal membuat pesanan.

Indah ingin berpusing untuk menghantar order ke dapur namun suara Rykal menyebabkan langkahnya terhenti. “Saya nak Cik Indah Nur Sakinah yang masak kimchi bokkeumbap untuk saya. Okey?”

Indah membesarkan mata. Tugasnya di kafe ini hanyalah sebagai pelayan dan bukannya tukang masak. Dia bercekak pinggang. “Saya hanya pelayan, bukan tukang masak di kafe ini, mister playboy.” 

Rykal tersenyum nakal bersama kening yang diangkat.

“Awak menggoda saya ke, miss gorgeous?” 

Indah menjelirkan lidahnya. “Nope. You are not my type.”

“Really? Saya ada kereta mewah. Nak date dengan saya?” Rykal mengacau lagi. Dia mengenyitkan matanya. 

Indah membesarkan mata. “Sorry, saya tak berminat.” Indah terus mengayunkan langkahnya ke dapur untuk membuat pesanan Rykal. Dia menggeleng dengan telatah Rykal
sebentar tadi.

“Patutlah dia tanya tadi aku kerja atau tidak. Rupa-rupanya dia nak datang mengacau.” Indah menggumam sendirian di ruang dapur.

Amran yang memasuki ruang dapur untuk ke stor terus mendekati Indah yang sedang memakai apron. “Indah, kenapa awak pula yang memasak? Kenapa tak suruh tukang masak kita sahaja yang buat?”

“Ada seorang pelanggan kita minta saya sendiri yang masakkan makanan yang dia pesan.” Indah memberitahu Amran sambil tangannya pantas memotong kimchi yang akan dicampur di dalam masakan.

“Pelanggan yang mana? Dia tak tahu ke yang awak itu hanya pelayan sahaja? Biar saya pergi cakap dengan dia.” Amran bertanya prihatin.

Indah menahan Amran. “Tak payah. Dia itu kawan sayalah.”

“Ooo... Tapi betul ke awak tak apa-apa ni? Saya bayar awak untuk menjadi pelayan sahaja, bukannya tukang masak.” Amran bertanya sekali lagi untuk memastikan Indah tidak apa-apa. 

Indah tersenyum lebar. “Saya tak apa-apa, Encik Amran.”

Amran berpuas hati lalu meneruskan langkahnya ke stor yang terletak di sudut belakang dapur. “Saya ada dekat stor kalau awak nak apa-apa.” Sempat dia berpesan sebelum pergi. 

“Okey...” Indah membalas kembali.

Tidak berapa lama kemudian, Rykal tersenyum lebar apabila Indah datang menghampiri bersama pesanannya. “Thank you so much, miss gorgeous.” 

Indah menjelirkan lidahnya. “You are welcome, mister playboy.” 


Indah yang sedang berada di rak buku memerhatikan langkah Rykal yang menghampirinya. Dia mengalihkan pandangannya apabila melihat ada seorang pelajar perempuan telah menyekat laluan Rykal. Cara sekatannya tu pulak bukan main seksi. Dah macam nak menari tiang pulak. Hmmm... Mesti salah seorang peminat dialah tu. Hatinya berbicara seraya dia kembali menyambung pembacaan yang tergendala sebentar tadi.

“Sakinahku!” Rykal memeluk gadis yang sedang khusyuk membaca itu.

Indah menolak Rykal sekuat hatinya. “Kenapa? Gila ke?”

Rykal tergelak lalu mencubit pipi Indah. “Gila kerana awak.”

Indah menjelirkan lidahnya. “Dasar mister playboy.”

Mata Rykal terbuntang. “Apa?” Sekali lagi dia mencubit pipi Indah.

Indah menolak tangan Rykal. “Janganlah macam ini. Kalau muka saya rosak nanti siapa yang nak saya?” 

Rykal tersenyum lantas menarik Indah duduk di atas lantai perpustakaan. 

“Saya nak awak.”

Indah menampar lembut pipi Rykal. “Sindrom playboy awak dah datang balik.”

Rykal membesarkan matanya. “Berani awak tampar muka saya? Muka saya ini adalah aset yang paling berharga tau.” 

Indah tergelak. “Maaf, siapa suruh awak kacau saya?”

“Jom makan tengah hari? Saya dah laparlah.” Rykal membuat muka sedih sambil memegang perutnya.

Indah tergelak kecil. “Saya bawa bekal hari ini. Bekal untuk awak pun saya ada sediakan.”

Rykal membesarkan matanya. “Betul ke? Terima kasih banyak-banyak. You are really my princess.” Rykal mengusap kepala Indah.

Indah memuncungkan mulutnya seraya bangun sambil membetulkan rambutnya yang sudah kusut. “Isy! Rosaklah rambut saya ini.” 

Rykal buat tidak tahu sahaja. Dia mengambil beg sandang Indah di atas lantai lalu tangan gadis itu dipaut. “Cepatlah... Saya dah lapar ni.”

Indah terpinga-pinga mengikut langkah Rykal. Dia perasan mata pelajar-pelajar perempuan memandang dirinya dengan pandangan sinis. Indah menggigit bibir apabila perasan mereka marah mungkin kerana Rykal memegang tangannya. 

Rykal tiba-tiba menghentikan langkah apabila muncul Sarah di hadapannya. Dia menarik Indah supaya berdiri di sisinya. “Nak apa?”

Sarah mendekati Rykal. “Honey, jom kita date hari ini? Dah lama kita tak keluar berdua.”

“Sorry, hari ini I tak ada masa. Lain kali sahaja kita keluar.” Rykal membalas dengan ton suara yang lemah. Sebenarnya dia cuba mengelak daripada berjumpa dengan Sarah. Tapi entah kenapalah hari ini dia malang sangat sampai bertembung dengan gadis berambut perang ini. 

Sarah menjeling Indah dengan tajam. Sakit hatinya melihat Rykal memegang tangan pelajar baru itu. “Alah, honey... Kita dah lama tak keluar. You tak rindu I ke? Honey, please...” Sarah membuat suara manjanya.

Rykal menghela nafas. “Hari ini I sibuk. Lain kali sahajalah...” Rykal membalas sambil lewa.

“You tak ada masa untuk I tapi untuk perempuan gedik ini ada masa pulak?!” Sarah meninggikan suaranya. 

Sarah mula menjarakkan dirinya dari Rykal namun lelaki itu kembali menarik tangannya. 

“Sarah, jangan nak buat perangai manja you di sini,” ucap Rykal dengan perasaan geram. Kemudian Rykal segera menarik tangan Indah lalu meninggalkan Sarah. Sarah yang ditinggalkan berasa sakit hati dan dia menghentakkan kakinya sebagai tanda protes.

No comments:

Post a Comment