“DIELA, awak dah jumpa ke pengganti awak?” Arrayyan menyindir Diela dengan senyuman senget lagi sinis. Diela rasa tercabar dengan sindiran Arrayyan yang kedengaran sungguh angkuh dan kasar itu. Dia kemudiannya menjawab dengan yakin sekali;
“Sudah bos!” Namun lain pula katanya dalam hati.
‘Aduhai. Cari penyakit tak sudah aku ni! Manalah nak jumpa orang yang sanggup bekerja dengan Arrayyan ni? Kalau tak ada nanti, macam mana pula ya?’ Arrayyan tersenyum sinis
bagaikan memperkecilkan Diela. Mata bundarnya dikecilkan bersama cebikan mengejeknya. Punggung disandar ke meja kerjanya sambil berpeluk tubuh. Kaki disilangkan dengan segak.
“Dia tu macam mana orangnya? Telinga dia besar macam awak juga ke?” Arrayyan berterusan menganjing-anjingkan pekerjanya yang kelihatan cukup tenang tetapi sudah berubah pucat rona kulitnya. Dia tahu, Diela masih belum mampu mencari penggantinya lagi. Tengok air muka gelabah Diela pun, Arrayyan boleh tahu.
“Orangnya cantik, manis, telinga tak besar macam saya, langsing, tinggi sikit daripada saya, berkarisma, hidung mancung, mata cantik, gigi tersusun, jalan lenggang lenggok tali kecapi.” Diela menyebut satu persatu perwatakan sahabat karibnya, Abby! Entah kenapa dia boleh menyenaraikan ciri-ciri Abby kepada bosnya pun dia tidak tahu. Tapi, dia nampak Abby di wajah Arrayyan!
“Baiklah, saya nak awak bawa dia pada hari awak berhenti kerja nanti. Dia sebagai pengganti awak, jadi awak perlu mengajarnya terlebih dahulu sebelum dia boleh bekerja dengan saya.” Arrayyan berkata dengan nada mengejek. Tidak percaya langsung dia kepada kata-kata Diela itu.
“Baik bos!” Diela berkata dengan penuh kemarahan tetapi cuba ditahan. Arrayyan tersenyum sinis sambil berjalan ke kerusi sandarnya. Dia kemudiannya mengarahkan Diela untuk meninggalkan dia bersendirian di bilik pejabatnya itu. Diela akur. Sedikitpun dia tidak membantah malah dia lebih suka untuk keluar dari neraka itu.
Sepanjang masa bekerja, Diela terpaksa berulang-alik dari laman web Blog Abby ke laman web Gmailnya. Dia mahu melihat respons orang ramai terhadap kerja kosong ini.
“Baru ada satu respons? Esh. Susahnya nak cari pekerja baru untuk bos cerewet aku ni! Lagi dua hari sahaja tempoh yang tinggal. Aduhai. Kena speed laju-laju ni.” Diela berkata sendirian. Sekejap-sekejap dia menekan butang Minimize kerana dia harus menyiapkan sedikit lagi tugasan untuk bosnya yang kejam itu.
Tiba-tiba, dia disergah dari luar. Azham sedang membuat muka gelabah. Diela jadi tidak sedap hati. Aduhai. Kenapa muka Azham gelabah semacam sahaja ni? Macam ada masalah...
“Kenapa Zaham?” Diela bertanya kalut.
“Diela, Dato’ turun padang!!!” Azham terjerit-jerit kalut. Diela terbelalak. Alahai! Masalah besar. Masalah besar!!! Dia ikut kalut. Dia mengemas apa yang patut. Menyusun segala dokumennya dengan kemas dan meluru keluar bagi menyambut kedatangan Dato’ Zainuddin.Habislah!
“ASSALAMUALAIKUM..” Abby terdengar suara Diela memberi salam. Diela dilihatnya sedang melangkah masuk ke rumah sewa mereka dengan langkah longlai. Kasihannya. Tentu ada lagi hinaan daripada Arrayyan seperti hari-hari sebelumnya.
“What’s wrong?” Abby menyoal setelah menjawab salam yang diberi Diela. Diela mengeluh kuat. Mukanya masam mencuka. Geram.
“Biasalah, kena tengking. Bos salah letak fail, aku dimaki sesuka hati. Bukan salah letak sebenarnya, tapi fail itu dia dah pegang sekali dengan fail lain. Dia kata aku cuailah, apalah.” Diela mengeluh hampa dengan sikap bosnya yang garang macam harimau jadian itu. Teringat kejadian di pejabat tadi, membuatkan dia rasa nak tembak si bos itu dengan rifle. Tak ada rifle, revolver mainan pun jadi!
“Alahai. Kalau aku jadi kau, dah lama aku tempelaknya bos kau tu.” Abby berkata bengang. Simpatinya jatuh kepada Diela. Kasihan Diela. Diela mengeluh sekali lagi. Bukan salahnya pun dia tetap terkena juga. Kalau Abby yang berhadapan dengan bosnya itu, tentu tak sampai dua bulan bos itu dilentur. Abby sangat berbahaya! Nampak lembut tetapi berbisa. Kenapalah Abby tidak mahu menggantikan dia?
“Hajat hati memang nak tempelak juga. Dengan tempeleng sekali. Disuruhnya aku cari sampai dapat. Aku dah macam orang gila menyelongkar rak dia. Bila aku terpandang pada tangan dia, aku tegur, mulalah merah muka menahan malu. Disuruhnya aku kemas semula bilik dia. Sakit betul hati aku ni. Mujurlah ada Dato’ di situ. Kalau tak, kesabaran aku memang dah tak ada tadi. Mahu aku hambur semuanya sehingga terpelanting gigi aku ni.” Diela berkata tidak puas hati. Nik turun nafasnya menghamburkan kata itu dengan laju.
Dia bersandar di sofa dengan malas sekali. Kepenatan. Kasihan Diela. Abby rasa geram dengan sikap bos Diela yang semacam alien tak cukup sifat ini. Kalaulah ditakdirkan dia bertemu dengan Arrayyan itu, mahu dia lempang sampai lumat pipi lelaki itu. Kena pecat pun dia rasa puas sebab dah berjaya tangankan si bos yang sangat tak beradab itu.
Kasihan Diela, bagaikan robot yang kehabisan bateri.
“Macam mana dengan bakal pekerja baru?” Abby menyoal Diela. Diela mengeluh lebih berat.
“Kau tau tak? Memang tak ada harapan.” Diela berkata lemah. Mukanya bertambah sedih. Abby ikut sedih mendengarnya.
“Belum cuba belum tahu. Kenapa pula ni?” Abby menyoal.
“Sebab dah cubalah aku tahu. Beberapa orang saja yang beri respons. Selepas itu ada anonymous seorang, komen kat iklan tu yang bos di Syarikat Avaloft itu berperangai macam harem. Setan durjana dan berbagai lagilah kutukan. Dia pernah bekerja di Syarikat Avaloft dulu. Memang failed. Semua yang request tu tak jadi nak apply. Yang terdesak pun ada empat orang aje tapi semuanya ranking bawahlah, babe.” Diela berkata tidak bersemangat. Mata dipejamkan seketika. Penat. Fikiran cuba ditenangkan.
“Meh sini aku nak tengok calon-calon penerima petir.” Abby menyoal. Diela mengeluarkan laptopnya dengan lemah dan membuka Internet. Selepas itu dia menunjukkan gambar dan resume setiap responden yang ada.
“Ada empat respons, satu pun tak layak!” Diela berkata selamba dengan nada angkuh.
“Apa yang tak kena dengan dia ni? Cuba kau cakap sikit dengan aku? Apa yang tak layaknya? Okeylah ni!” Abby berkata tegas bila melihat gambar seorang perempuan di dalam skrin laptop Diela itu. Diela memandangnya lesu.
“Cuba kau tengok dia ni betul-betul. Tak menepati piawai. Dia ni tak ada kelayakan akademik. SPM pun failed.” Diela berkata lagi. Kini dia sudah memicit kepala.
“Kau ni. Tak baiklah kutuk dia macam tu.” Abby cuba membela. Tapi, memang betul pun. Kalau tiada kelayakan SPM, dan diploma mahupun ijazah, bagaimana mahu bekerja sebagai seorang PA kepada Arrayyan yang perfectionist itu?
“Tak baik sekarang, tak apa. Dia bukan tahu pun aku kutuk dia. Kalau Arrayyan tahu, macam mana dia nak bertahan dengan sumpah seranah bos aku tu? Teruk bos aku maki dia nanti. Aku tak boleh terima dia. Sudahlah pengalaman bekerja pun tak ada. Bos aku tu mulutnya macam puaka haram! Puaka haram pun tak haram macam tu.” Diela membela diri serius. Abby menahan suka. Diela ini ada sahajalah ayat yang boleh menggeletek perutnya.
“Yang seorang ni?” Abby menyoal calon yang lainnya pula. Nampaknya Diela mengambil masa untuk menyedut udara.
“Itu budak baru habis SPM. Keputusan tiptop!” Diela berkata selamba sambil memeluk tubuh.
“So, sesuailah ni!” Abby berkata dengan riak teruja. Namun, hanya sementara sahaja keterujaan dia bila dia terpandangkan riak keruh Diela.
“Kau tak fikir ke kalau-kalau dia nak sambung belajar? Result dia gempak. Kalau dapat tawaran belajar, mana nak cekau pekerja lain? Sekejap aje ni. Budak, sekali kena jerkah, terus report mak abah. Tak nak kerja! Bos aku paling pantang dengan orang yang tak serius bekerja. Balik-balik nanti dia carinya aku pula dan makikan aku sebab carikan dia pekerja macam tu.” Diela mengadu. Dia memicitmicit otaknya.
Abby terangguk-angguk sendirian. Ada benarnya juga kata Diela itu. Budak keputusan tiptop, tiada pengalaman bekerja pula. Memang susah nak diterimalah. Kasihannya. Tentu payah untuk dia memikirkan perkara ini.
“Okay, tell me now, what’s wrong with this lady?”
Abby menyoal Diela dengan menunjukkan gambar responden yang ketiga. Diela mengeluh bertambah kuat. Kusut pemikirannya.
“Yang ini lagilah tak!” Diela membentak. Abby semakin berkerut.
“La, kenapa?” Abby menyoal sedih. Semuanya tak!
“Sebab dia punya badan dan muka dia.” Diela berkata lagi perlahan. Abby naik angin.
“Kau tak baik tau tak? Dia pun manusia juga. Kalau gemuk tak boleh bekerja ke? Kalau halus macam cicak kobeng pun tak boleh kerja ke? Kulit gelap tak boleh bekerja ke? Yang albino tak boleh ke?” Abby menempelak Diela geram. Diela menghembuskan nafasnya perlahan-lahan. Dia sudah mengagak bahawa Abby akan menghamburkan kata-kata seperti itu kepadanya.
“Sebab dia macam itulah aku tak boleh terima. Aku sedang kasihankan dia, bukannya sedang mengutuk dia. Sebab dia manusialah aku tak sampai hati nak ambil dia bekerja gantikan tempat aku!” Diela menjawab butir bicara Abby. Abby semakin panas!
“Hei kau ni dah kenapa?!” Abby sudah meninggikan suara. Diela cuba untuk bertenang. Katakan apa sahaja mengenai dia yang pasti, dia sedang memikirkan alasan yang sesuai kenapa dia tega berkata sebegitu.
“Kau jangan salah anggap, babe. Aku tak sampai hati nak biarkan dia dicerca bos nanti. Sedangkan aku yang bertelinga capang ini pun dikutuknya hari-hari setiap masa, inikan pula perempuan ni. Kau tak kesiankan dia ke? Kalau boleh, aku nak cari yang perfect betul supaya bos aku tu tak marah-marah dan pengganti aku pun tak stres. Kau tengok air muka dia ni, kau sendiri pun dapat tahu yang dia ada hati yang lembut. Tak mungkinlah dia dapat bertahan dengan mulut puaka haram saka bos aku tu.” Diela menerangkan sebab dia berkata begitu tadi. Abby terdiam seketika.
“Babe, sorry. Aku salah anggap.” Dia meminta maaf. Diela mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Tak apa. Aku faham. Aku kasihankan dia orang ni. Serius. Aku pun tak cantik. Selalu kena kutuk dengan bos aku. Telinga macam gajahlah, apalah. Sakit hati ni, tau tak?
Kau ingat aku boleh ke bagi kerja kat orang macam ni untuk dikutuk bos setiap hari macam aku?” Diela mengeluh. Abby menunduk.
“Kejamnya bos kau!” Abby mampu berkata begitu sahaja. Sampai tergenggam tangannya akibat merasa geram dengan perangai bos Diela yang tak makan saman itu. Patutlah Diela panggil bos hantu. Memang dah hantu perangainya!
“Ya, dia bos yang kejam. Kau tak tahu yang budak despatch baru-baru ni kena macam mana dengan dia.” Diela membuka cerita pula. Abby menunggu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai budak despatch itu. Tentu nasibnya sama macam mak cik cleaner dulu...
“Kenapa?” Dia menyoal dengan penuh teruja.
“Dia cakap macam ni, yang kau ni hidung kembang semacam. Aku rasa, aku tak ada puji kau pun! Macam itulah dia kata kepada budak tu. Taulah muka dia handsome tapi, tak teragak nak hina orang macam tu. Merah muka budak tu kena tuba. Dah hidung dia memang macam tu, nak buat macam mana? Reasonnya, budak tu melangut kat depan meja budak-budak ofis sebab nak mengurat pekerja dia. Salah budak tu juga tapi bos aku tu tak perlulah sampai menghina muka orang.” Diela bersuara bengang.
Abby mendengus geram. Kalau dapat dilanggar lari bos Diela ini, sudah lama dia buat. Entah siapalah insan malang yang sanggup menemani hidup insan bongkak dan angkuh seperti Arrayyan itu. Patutlah umur tiga puluh satu pun masih tidak berkahwin lagi! Kecil-kecil tak nak mati, besar-besar menyusahkan hati orang! tempelak Abby dalam hati.
“Kejamnya!” Abby bersuara bengang.
“Hah tau tak apa. Kalau kau tengok calon keempat, kau tak payah tanya akulah. Kau sendiri pun dapat jawapannya. Tak sesuai.” Diela berkata dengan tenang. Abby mengepal penumbuknya. Ada masa, dia mahu ‘mengajar’ bos Diela itu agar menghormati orang.
“Aku dah cakap kepada bos aku, ciri-ciri pengganti aku. Dah dia menganjing, aku cakaplah ciri-ciri kau. Babe, tolonglah aku, ya?” Diela merayu lagi. Abby menggeleng-gelengkan kepalanya. Tak sanggup dia dihina sebegitu oleh bos Diela itu nanti.
“Tak naklah!” Ditolaknya mentah-mentah.
“Alah. Tolonglah, aku cakap macam ni, orangnya cantik, manis, telinga tak besar macam saya, langsing, tinggi sikit daripada saya, berkarisma, hidung mancung, mata cantik, gigi tersusun, jalan lenggang lenggok tali kecapi. Aku senaraikan ciri-ciri kaulah, babe. Aku boleh buat apa? Dia nak pekerja yang macam tu. Nanti, dia suruh aku bawa kau.” Diela bersuara cemas. Abby terbuntang bagai nak gila. Bukan main lagi kau puji aku ya, Diela?!!
“No way!” Muktamad keputusan Abby.
No comments:
Post a Comment