DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 23 February 2015

Dia Yang Terpilih - Bab 10

MAAFKAN mak cik, Maira. Mak cik tahu Maira kecewa tapi mak cik tak mampu meneruskan niat Kamil Hakim untuk memutuskan pertunangan dengan Imah dan meminang Maira.”

Memang betul telahanku. Kedatangan mereka sebenarnya adalah untuk memutuskan pertalian suci itu. Dan jika benar terjadi, opah takkan mungkin memaafkan aku. Sudah tentu juga keluarga Haji Khalid malu. Memutus pertunangan anaknya dengan Imah dan meminang aku pula untuk anaknya. 

“Dulu kami pernah meminang Maira untuk disatukan dengan Kamil tetapi Maira menolak lamaran kami dengan alasan mahu belajar dan bekerja terlebih dahulu. Jadi untuk tidak menghampakan hasrat arwah, kami beralih kepada Imah. Maira tahu, kan.”

Aku cuma mampu mengangguk mengingati detik itu. Cincin belah rotan itu langsung tidak kupandang. Semangatku terus menebal untuk menyambung pelajaran. Aku tidak mahu melibatkan sebarang perhubungan ketika hatiku sudah nekad untuk menggenggam kejayaan. Memang benar apa yang dikatakan Hajah Rohana kerana pinangannya aku tolak, dia beralih pula kepada Imah demi arwah abah.

“Mak cik tak sampai hati melihat Imah kecewa apatah lagi sekali lagi kami akan meminang Maira untuk Kamil. Sudah tentu Imah akan lebih terluka. Mak cik tak sanggup lakukan itu. Tentu Maira juga, kan. Mak cik rasa bersalah pada Imah, mak cik turutkan aje kemahuan Kamil hingga langsung tak memikirkan hati dan perasaan Imah. Mak cik minta maaf Maira.”

“Tak, mak cik. Mak cik jangan rasa bersalah dengan apa yang mak cik dah buat. Memang keputusan mak cik tu betul. Maira yang salah mak cik. Maira yang patut terima rasa kecewa ni.”

Aku menerima keputusan yang disampaikan oleh Hajah Rohana. Itu juga impian abah dan Haji Khalid. Merapatkan lagi silaturahim antara mereka dengan menyatukan Imah dan Kamil Hakim. Aku melihat Hajah Rohana hanyut seketika. Tentu dia juga tidak menyangka ini terjadi. 


Tidak kuduga dari kenalan wujudnya cinta 
Hingga aku tersungkur di lembah hiba yang kian berdenyut 
Menyentap segala rasa yang ada 
Mematikan segala suka lalu dibalut luka 
Warna-warna bahagia yang semakin pudar hiasannya
 Bagai menunggu masa menjadi debu berselerakan 
Dihembus sang bayu tidak berupa 
Walau tidak meninggalkan kesan 
Kenangannya tetap ada
Aku sering terleka dengan kemanisan ungkapan cinta
Hingga aku terlupa pada madahnya hati yang terluka
Segala rasa yang ku ada lenyap kini dibawa buih sepi
Hanya pasir nan memutih menjadi saksi
Aku tersungkur lagi di dada bumi
Berbumbungkan langit tidak bertepi
Menunggu kasih yang belum pasti…

BEGITULAH YANG dapat kugambarkan hatiku ketika ini. Air mata yang tentunya menjadi temanku saat ini terpaksa kutahan daripada melimpah di hadapan opah dan emak. Inilah ujian terberatku setelah pemergian abah. Kepedihan dan kekecewaan itu sering sahaja mengganggu fikiranku. Pun begitu aku harus tabah menghadapinya. Mengapa Kamil Hakim tidak berterus terang denganku bahawa dia tunangan orang? Tegarnya dia menghancurkan hati tunangnya yang setia menunggu sekian lama. Lebih-lebih lagi tunangnya itu ialah adik kandungku sendiri.

Tentunya aku merasa bersalah dengan keterlanjuran aku memberi sekeping hati kepadanya. Aku juga ralat dengan keputusan yang aku ambil dahulu. Menolak lamaran yang terlebih dahulu datang kepadaku. Suratan atau kebetulan? Hendak kuundurkan waktu, mustahil ia berlaku. Ah! Untuk apa aku kesali apa yang telah tertulis di lohmahfuz. Segalanya telah diatur. Aku sebagai hamba tidak layak mempertikaikan setiap apa yang terjadi. Aku beristighfar di dalam hati mencari kekuatan yang semakin surut. Aku harus reda walaupun sedikit perit jiwaku menanggungnya dan menampung rasa kecewa yang kucipta sendiri.

Kamil... kau bukan milikku. Aku lepaskan kau pergi dari hidupku. Aku mahu Kamil Hakim menerima Imah seikhlasnya. Lupakan aku untuk selamanya. Senangnya aku meminta namun dapatkah aku sendiri melupakan dirinya? Aku tahu dia juga masih tidak dapat menerima orang yang hendak dijodohkan dengannya dahulu ialah aku. Apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Perkahwinan Imah juga bakal terjadi. Aku pandang wajahnya untuk sekian kali. Kami diam membisu. Kata-katanya sudah tidak mampu mengubah apa-apa lagi. Naziah setia menemani kami dari jauh. Biarlah dia menjadi saksi sebuah kisah yang bakal ditamatkan oleh kami berdua. 

Kamil Hakim memulakan bicara apabila dia rasa aku takkan mungkin memulakan dulu. Dengan bersungguh dia meminta aku supaya menyatakan isi hatiku pada kedua orang tua yang aku sayangi. Aku ketawa sebaik sahaja dia berkata begitu. Mengapa dia sendiri tidak mengatakan begitu kepada mereka. Takut dan bersalah. Mungkin itulah yang dirasainya malah itu juga yang aku rasainya andai perhubungan kami dihidu Imah.

Tahukah Kamil Hakim siapa mereka itu bagiku? Aku tidak sanggup lagi melukakan hati-hati mereka yang aku kasihi. Apakah akan terjadi kiranya aku meneruskan saranan Kamil Hakim? Apakah aku tegar untuk menghancur lumatkan hati Imah yang sanggup berkorban masa menunggunya? Tidak sama sekali! Takkan mungkin aku lakukan. Biarlah hatiku yang
terluka daripada hati mereka aku calarkan. Biar apa pun yang dirasai Kamil Hakim, dia harus terima suratan ini dengan reda. Biarlah kisah cinta kami berkubur tanpa nisan. Aku percaya Imah mampu membahagiakan Kamil  Hakim. Aku nasihatkan Kamil Hakim supaya membuka pintu hatinya menerima Imah. Aku yakinkan dia bahawa Imah layak menjadi isteri, malah pantas menjadi ibu kepada anak-anaknya. Hatiku menangis lagi. Menangis pada sesuatu yang telah pasti tidak mungkin aku miliki. 

Sempat aku lemparkan sebuah senyuman pengubat lara buatnya. Hanya redup matanya sahaja yang membalas senyumanku. Pergilah Kamil... pergilah… Aku sambut kedatanganmu nanti sebagai adik iparku. Aku terima kehadiranmu menjadi sebahagian keluargaku walaupun bukan sebagai suamiku.

Kamil Hakim pulang dengan wajah yang sugul. Aku tahu hatinya teramat kecewa dengan keputusanku. 

AIR MATA yang jatuh kuseka daripada terus membasahi pipi. Aku tidak mahu Imah mengesyaki sesuatu antara kami dengan adanya kesam lebam dan bengkak di bawah mataku. Hanya Naziah yang mengerti. Di hadapannya aku tewas untuk bertahan. Dialah yang menenangkan diriku daripada terus meratapi kekecewaan itu. Aku akui, perit aku tanggung setelah sekian lama hati ini sering mengingati namanya. Dan saat ini aku harus belajar melupainya. Bantal pelukku sedikit basah menampung air mata yang bagaikan tidak mahu berhenti itu. Kusapu air jernih yang adakala mengalir tanpa aku sedari. Telah aku kuatkan hatiku, bulatkan tekad untuk tidak menangisi. Tapi apakan daya, aku insan yang lemah untuk terus kuat dan tabah. Telefon berbunyi nyaring menyentakkan aku. Nama Naziah tertera. Rasanya tidak sanggup untuk aku menjawab panggilan itu. Aku mahu terus sendirian melayan perasaan. Pun begitu tidak sanggup pula aku membiarkan Naziah terus resah risaukan aku.

“Maira... kau okey ke?” suaranya kedengaran risau di hujung talian. Aku tersenyum kelat.

Macam mana aku nak okey Zie? Hatiku bagaikan dimamah-mamah, disiat-siat. Namun tak mampu untuk aku ungkapkannya. Hanya mampu bermain di hati.

“Aku okeylah Zie. Apa yang kau risau sangat ni?” Aku cuba menipunya tapi masakan dia tidak dapat mengagak apa yang aku sedang lakukan ketika ini. 

“Kau nangis, kan Maira. Kau jangan bohong aku.”

Aku ketawa halus menutupi pembohonganku. Suaraku yang sedikit parau itu menjadi buktinya. 

“Sabar Maira, kau harus kuat. Aku percaya Allah ambil Kamil lalu Dia gantikan kau dengan seseorang yang lebih baik daripada Kamil. Maira kau jangan bersedih. Kalau kau sedih, aku
pun sedih tau.” Naziah cuba memujuk, suaranya kedengaran sebak. Ya, aku lega dengan pujukannya tapi itu cuma sementara. Hatiku lemah untuk menerimanya kerana rasa kasihku itu telah tertumpah kepada Kamil Hakim. Siapakah lelaki yang dapat menggantikan Kamil Hakim dalam hidupku?

“Siapa yang mahukan aku Zie?”

“Ramai lagi Maira. Aku percaya Maira, tentu ada lelaki yang lebih baik dari Kamil yang Allah utuskan untuk kau. Sabar ya.” Naziah masih lagi memujukku. Aku menarik nafas dalam. Air mata bagaikan sudah tidak mampu berhenti lagi. Semakin kutepis semakin laju pula ia mengalir.

“Zie... Dia lelaki pertama yang aku cintai. Selama enam tahun hanya namanya yang aku simpan Zie. Akhirnya dia muncul dan cintaku berbalas tapi sayang Zie, dia tunang Imah. Apa yang aku tunggu selama ini terasa sia-sia.” Aku meluahkan apa yang terbuku di hati. Malam ini juga rahsia hatiku pecah. Tidak mampu lagi untuk aku simpan.

“Sabar Maira. Aku faham perasaan kau. Tentu ada hikmah di sebalik kejadian ni. Kau harus kuat Maira, kau bukanlah seorang yang lemah. Aku percaya kau boleh hadapinya dengan tabah.”

“Esok kita balik Zie. Aku dah tak sanggup tinggal lama di sini. Aku tak sanggup tengok wajah Imah, wajah mak dan opah. Aku rasa bersalah Zie. Aku rasa bersalah.” Aku merintih
mengharapkan Naziah bersetuju dengan permintaanku.

“Maira, kau tak bersalah, jangan letakkan diri kau di tempat yang salah. Semua ni takdir Maira. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Kalau kita balik esok, apa kata opah, apa kata Imah. Kau nak mereka mengesyaki sesuatu antara kau dan Kamil Hakim?” Aku terdiam. Ada benarnya juga kata Naziah. Aku tidak mahu mereka mengetahui sejauh mana hubungan aku dengan Kamil Hakim. Biarlah Naziah sahaja yang mengetahui kedudukan Kamil Hakim di hatiku. Aku percaya dia tak akan membocorkan rahsia hatiku. Pesanan dan kata-kata perangsang Naziah cuba kuserap agar sebati di dalam jiwaku.

“Maira... kau kena kuat. Tabahkan hati kau. Aku percaya kau boleh harungi semua ni.”

 
“CUBALAH KAU tanyakan pada Maira tu Nab. Baik budak tu. Mak tengok, takde cacat celanya. Sesuai sangat dengan dia. Lagipun budak tu kita dah kenal lama. Takkanlah kita tak kenal lagi hati budinya.” Telingaku dapat menangkap sesuatu dari balik tabir dinding yang memisahkan ruang dapur. Aku masih berdiri di situ menanti kata-kata seterusnya. Pasti bicara mereka tentang diriku.

“Nantilah mak, Nab tanyakan.” Balas emak bersahaja.

“Nanti... nanti sampai bila? Khalid kan dah datang. Kalau Maira setuju, kita nikahkan dia dulu. Baru kita kahwinkan Imah. Buat kenduri sekali, jimat sikit kosnya. Kalau dia dah ada pasangan, suruh saja budak tu masuk meminang. Berapa lama lagi kita nak ikat Imah tu, tak kesian ke kau pada Imah?” Opah sudah mula bersuara.

Nampak tegang perbincangan opah kali ini. Aku kira emak tersepit juga hendak memihak kepada siapa. Emak diam tanpa kata. Aku memunculkan diri. Opah terkejut namun berlagak selamba. Aku menarik nafas dalam lalu aku kuntumkan senyuman buat opah dan emak. 

“Apa yang duk sebut-sebut nama Maira ni opah?” sengaja aku memancing opah membuka cerita, seolah-olah aku baru sahaja muncul. Emak menggamit aku duduk di sisinya. 

“Hmm... Maira tak sibuk ke?” soal emak canggung. 

“Sibuk... nak sibuk apa mak?” Aku ketawa dengan soalan emak. Opah hanya memandang. Nampak benar emak serba salah.

“Macam ni la Maira. Opah nak tanya kamu ni.” Opah mula mengambil alih bicara emak membuatkan emak semakin tidak kena duduknya. Aku menunggu dalam debar. Sudah aku jangkakan apa soalan yang bakal ditanyakan opah nanti. 

“Kamu dah ada pilihan ke?”

“Pilihan?” soalku bodoh. Sengaja memanjangkan cerita sedangkan aku sudah tahu jurus pada soalan opah itu. Macam mana aku hendak menjawab ‘ada’ opah, sedangkan aku baru sahaja kehilangannya.

“Pilihan... orang zaman sekarang cakap pakwe,” kata opah lanjut. Aku geli hati melihat opah menyebut ‘pakwe’. Bersungguh sahaja bunyinya. Aku tarik nafas dalam-dalam. Hatiku telah kosong kini walaupun lopaknya masih kekal. Jadi baik kiranya aku berterus terang daripada terus membiarkan mereka di dalam keadaan berteka-teki. Biarlah jodohku, opah dan emak yang pilihkan. Aku sudah nekad tidak akan berganjak dengan keputusanku. 

“Mak... opah...” aku tarik nafas dalam-dalam. Aku pandang wajah opah dan emak yang penuh mengharap. Sanggupkah aku mengecewakan lagi hati mereka? Belum puaskah aku membiarkan Imah menanti dirinya disatukan disebabkan kekerasan hatiku? Aku mahu mengalah sahaja. Siapa pun pilihan opah dan emak, aku akan terima. 

“Maira terima sahaja siapa pilihan opah dan mak...” jujur aku katakan kepada mereka kerana hatiku sudah hilang serinya.

Opah dan emak saling berpandangan. Aku cuma tersengih. Ya... mungkin opah dan emak hairan dengan sikapku. Tertanya-tanya di mana kekerasan hatiku selama ini, mana perginya kepala batuku itu yang pantang jika cadangan itu tidak kena dengan diriku.

“Betul ke apa yang kamu cakapkan ni Maira?” soal emak, masih belum yakin dengan apa yang baru aku sampaikan kepada mereka. Aku angguk kepala. Opah sudah mampu mempamerkan baris-baris gigi palsunya. Mulutnya terkumat-kamit, mengucap syukur barangkali.

“Kamu sanggup terima pilihan kami?”

“Ya mak. Maira sanggup terima siapa sahaja pilihan mak dan opah, asalkan dia bukan suami orang.” Ucapku tenang. Emak tersenyum hambar bagaikan tidak mempercayai apa  yang baru sahaja aku katakan. Biar apa pun yang difikirkan emak, aku mahu mereka tersenyum bahagia. 

“Alhamdulillah. Kalau macam tu, nanti opah suruh pihak lelaki masuk meminang kamu.” Celah opah dengan penuh perasaan gembira. Aku tutup walang di hatiku dengan sebuah senyuman. Rupanya opah sudah mempunyai calon untuk aku.

“Opah... kalau boleh, Maira tak nak bertunang. Kiranya kita langsungkan sahaja majlis pernikahannya. Dan kalau boleh, biarlah Maira jumpa bakal suami Maira tu masa akad  nikah nanti.” Ternyata sarananku itu mengejutkan opah dan emak.

“Kenapa Maira?”

“Takde apa-apa mak. Maira rasa, elok begitu. Maira mahu kenal dia selepas bernikah.”

“Tapi...”

“Mak... please... permintaan Maira tak sebesar mana pun. Kalau pihak lelaki betul-betul berkenankan Maira, tentu dia dapat terima apa pun alasan Maira.” Emak dan opah saling berpandangan. Masing-masing keliru dengan apa yang sedang aku katakan. Aku mahu melapangkan dadaku menerima dia sebagai sebahagian daripada hidupku. Jadi aku perlukan waktu untuk menerima dirinya tanpa desakan sesiapa. Aku ingin merawat sedikit kelukaan di hati ini.

“Opah... Maira terima siapa pun pilihan opah. Maira cuma minta kami dipertemukan pada majlis akad nikah sahaja. Boleh, kan... atau opah sanggup tunggu lama lagi?” Aku sengaja memprovokasi mereka. Ternyata cepat-cepat mereka menyetujuinya. Aku menarik nafas lega walaupun terasa salur darahku semakin menyempit.

SAYUP-SAYUP KEDENGARAN laungan azan subuh berkumandang. Perlahan-lahan mata aku buka. Hatiku menjadi tenang. Siapakah gerangan pemilik suara yang sedang melaungkan azan itu? Sungguh merdu suaranya. Mata yang layu menahan kantuk tadi bagaikan segar disimbahi air. Aku terus asyik mendengar kalimah-kalimah tauhid sedang berkumandang di jagat raya. Nyata terus menusuk ke jantung hati.

Usai azan dilaungkan, aku bergegas ke bilik air. Langkahku terhenti tatkala melihat Imah sudah mendahuluiku. Kesejukan dinihari terus menggigit tulang-temulang. Hati teringin dan meronta-ronta untuk menunaikan solat subuh berjemaah di surau berhampiran. Setahuku, surau tu dah lama tak digunakan. Siapa pula yang menghidupkan surau Al-Iman? Siapa? Apakah aku sedang bermimpi atau suara yang kudengari tadi hanyalah khayalanku atau mungkin juga suara itu datangnya dari masjid yang berdekatan? Tapi... mustahil. Suara itu sangat jelas di pendengaranku. 

“Kak long! Pagi-pagi dah nampak macam orang bingung ni kenapa? Mamai lagi ke?” teguran Imah mengejutkan lamunanku.

“Huh! Terkejut akak.”

“Yang kak long tu pagi-pagi dah termenung kenapa? Peliklah Imah tengok.” Memang jelas dia hairan melihat aku  agaknya. Mana tidak hairannya dia, aku dengan Imah bagai langit dan bumi. Bangun seawal pagi sudah menjadi perkara biasa bagi Imah tapi bagi aku yang agak liat sedikit ini menjadi luar biasa pula.

“Imah...” Terhenti langkah Imah yang mahu melangkah pergi.

“Ada apa kak?” soalnya lembut. Ah kelembutan Imah tiada bandingannya denganku.

“Imah, akak tanya sikit boleh?” Aku serba salah hendak bertanyakan kepada Imah, patutkah aku menyoalnya sedangkan aku sendiri tidak pasti apa yang baru kudengari dinihari tadi.

“Tanya banyak pun takpe kak,” jawab Imah dengan tawa kecil. Sempat lagi dia mahu bergurau denganku. Mungkin hatinya gembira. Maklumlah tak lama lagi nak jadi suri hidup
Kamil Hakim. Tiba-tiba jantungku berdebar. Debaran yang tidak kuundang itu bagaikan mengocak kedamaian hati yang baru aku perolehi. Mengapa nama itu terus hidup di hatiku?
Ya Allah... bawalah nama itu pergi jauh dari relung hati yang terluka ini. Apakah hatiku masih belum dapat menerimanya? Memang benar kekecewaan itu masih menyelubungi sekeping hati ini. Masih...

“Kak long... kenapa?” rupanya Imah sedang menanti soalanku. Aku tersengih.

“Errr... tadi Imah ada dengar tak suara azan dari surau belakang rumah kita tu?” soalku perlahan. Takut juga Imah mengata aku yang bukan-bukan. 

“Suara azan? hmmm... tak dengar pulak kak.”

“Betul ke ni Imah tak dengar langsung?”

“Betul, Imah tak bohong. Akak salah dengar tak ni.”

“Tapi Imah, akak dengarlah. Memang ada orang azan kat surau tu. Lagipun bilik akak dekat sebelah sana, kan.”  Kataku bersungguh-sungguh.

“Surau tu kan dah lama tak digunakan sejak Imam Moktar meninggal dulu. Lagipun orang-orang kampung suka pergi ke masjid baru tu. Siapa pula yang hidupkan kembali surau tu kak?” Imah menyoalku kembali.

“Itulah yang akak tanya Imah ni. Manalah tahu kot-kot Imah tahu siapa yang guna surau lama tu.” 

“Perasaan kak long aje tu. Lagipun semua orang suka solat dekat masjid hujung sana. Takkanlah surau tu ada orang guna. Kak Long salah dengar tak ni.” Aku kebingungan. Ah! Biarkan... mungkin ada benar juga kata-kata Imah. Aku tersalah dengar agaknya.

“Eh akak mandi dululah, nanti subuh gajah pulak akak hari ni.” Aku terus menuju ke bilik air tanpa menghiraukan Imah yang terpinga-pinga. Mungkin dia juga sedang memikirkan
pertanyaanku tadi. 


BEG PAKAIAN telah aku kemaskan. Hanya tunggu Naziah datang ambil sahaja. Aku mengerling jam di pergelangan tangan, terasa waktu lambat berlalu. Aku keresahan. Kalau boleh tidak mahu berlama di situ. Opah sejak semalam asyik tersenyum. Masakan tidak, hajat opah dan abah insya-Allah akan tertunai.

Aku menjeling Imah di tangga. Wajah mulusnya tetap tidak berubah, duka atau gembira dia tetap begitu. Ketabahannya membuatkan aku jadi malu sendiri. Aku sangat beruntung mempunyai adik seperti Imah. Dia langsung tidak bertanyakan perihal Kamil Hakim kepadaku. Nasib baiklah Naziah memberitahu mereka Kamil Hakim ialah teman lamaku.

“Jadi juga kamu nak balik hari ni Maira. Tak nak berkenalan dengan keluarga pihak lelaki dulu.” Sapa emak. 

Aku tersenyum menyambut sapaan emak. Aku cuba sembunyikan hati yang terluka. Sempat lagi emak bergurau. Baru semalam aku katakan setuju dengan pilihan opah, hari ini sudah diminta berkenalan pula. Emak berlabuh di sebelahku. Acu yang sedari tadi rancak mengejar anak ayam terduduk kelelahan. Aku ketawa kecil walaupun perasaan lucu itu bagaikan tidak hidup di jiwaku.

Aku cuba tutupi pelbagai perasaan yang bergolak daripada terus menyesakkan dada. Cepat benar lelaki itu mahu masuk meminang. Apakah dia sudah lama menyimpan perasaan terhadapku? Aku jadi keliru. Siapakah bakal suamiku nanti?

“Takpelah mak. Maira tak sempat. Lagipun esok dah kerja.” Jawabku walaupun sebenarnya aku ingin tegaskan sekali lagi kepada emak tentang permintaanku semalam. 

“Kalau ya pun, tunggu la sehari lagi. Telefon bos minta sambung cuti. Takkan bos kamu marah.” Emak cuba memujukku. Aku diam seketika. Wajah emak aku pandang mohon simpati. Jangan didera perasaanku yang semakin parah terluka.

“Maira kan dah setuju dengan pilihan mak dan opah. Segala urusan, Maira serahkan pada mak dan opah. Baik pilihan mak dan opah, baiklah pada Maira.” Aku memandang ke arah lain. Tidak sanggup pula berbohong pada hati. Terapung dalam arus pengertian yang mencabar fikiran. 

“Apa kenalah budak ni.” Dapat aku dengar omelan emak. Agaknya emak perasan tingkahku lain sejak bertemu keluarga Khalid. Masakan tidak, jika dahulu apa yang mereka sarankan pasti sahaja aku membantah. Kata emak keras kepalaku sama seperti arwah abah. Tapi hari ini perangaiku sedikit mengikut perangai Imah. Sudah tentu sebagai ibu dia dapat merasakan ada sesuatu yang terjadi kepadaku. Cuma dia tidak tahu untuk menyatakan kerisauannya itu dalam bentuk pertanyaan.

“Mak... Maira dah nak balik ni.” Ujarku. Aku merapati emak yang nampak seperti kebingungan memikirkan sesuatu. Aku mengerti ada sesuatu yang bermain dalam kotak fikiran emak. Untuk tidak menyusahkan emak, eloklah aku meminta diri. Kereta Naziah sudah terpakir di halaman. Aku hulurkan tanganku kepada emak. Tiba-tiba emak menarik aku sedikit ke belakang.

“Kenapa mak?”

“Maira.. mak nak tanya Maira ni.”

“Ada apa mak? Tanyalah.” Jantungku berdebar, apakah emak sudah dapat mengagak sesuatu antara aku dan Kamil Hakim?

“Mak tengok Maira berubah sejak keluarga tunang Imah datang semalam. Kenapa Maira? Maira ada sembunyikan sesuatu daripada mak ya.”

Bagaikan mahu luruh jantungku saat ini. Apakah aku tidak mampu menutupi rahsia hati sehinggakan emak dapat membacanya dengan jelas? Perasaan yang dirasuk kebimbangan cuba aku kikis sedikit demi sedikit. Biar apa pun soalan yang boleh menjerat leherku, aku harus bertindak tenang.

“Eh! Takdelah mak. Maira nak rahsiakan apa?” Aku terpaksa berbohong, walaupun hatiku tidak menginginkan itu. 

“Kalau Maira ada masalah, Maira beritahu mak. Maira tak suka kami carikan calon suami untuk Maira ya?” Aku terus diam. Wahai emak, jangan dicungkil rasa hatiku ketika ini. Bimbang aku akan tewas di dadamu. Aku cuba menahan agar titisan air mata kecewa itu jatuh ke pipi. Aku sabarkan hati agar ia tidak terus merintih.

“Kamu kena beritahu kami. Mak tak nak memaksa, yang nak kahwin kamu, yang nak menjalani hidupnya kamu, kami nak yang terbaik untuk kamu.” Bagaikan mahu gugur air mataku mendengar luahan emak tapi sanggupkah aku membongkar segala perasaanku. Tidak... tidak... aku tidak sanggup melihat lebih ramai yang terluka. Biarlah aku tanggung segalanya demi mereka. Aku korbankan rasa kasih yang tumbuh ini demi kebahagiaan semua.

“Maira takde apa-apalah mak. Kan Maira dah cakap, Maira terima siapa aje pilihan mak dan opah. Lagipun Maira ni dah lama jadi kepala batu, biarlah kali ni Maira jadi kepala angin pulak.” Gurauku sambil ketawa. 

Emak berwajah kelat, dari raut wajahnya bagaikan dia dapat membaca hatiku yang sedang walang ketika ini. Sudah tentu dia masih tercari-cari jawapannya. 

“Maira dah lambat ni mak. Opah tu tengok Maira semacam aje. Nanti tak pasal-pasal Maira tak dibaginya balik. Esok dah kerja.”

“Yalah Maira, nanti sampai jangan lupa telefon mak. Jangan dah terbongkang sampai pagi esok, baru nak beritahu kamu dah sampai.”

Aku ketawa menutupi kesalahan yang menjadi kebiasaanku. Aku lihat Acu menghampiri kereta Naziah di halaman bagi meletakkan beg pakaianku ke dalam bonet kereta. Imah menghampiriku lalu menghulurkan tangannya. Sebaik sahaja masuk ke perut kereta proton wira Naziah, masing-masing membisu. Mataku masih memandang cermin pandang sisi, merenung satu per satu wajah yang aku sayang sebelum mereka hilang dari pandangan. Kurenung wajah Imah. Dia bakal suri hidup Kamil Hakim, lelaki yang aku tanam rasa kasihku untuknya. Sedih... Ya, aku memang sedih. Kesedihan ini bagaikan tidak dapat lari dari relung hati. Air mata tiba-tiba bertakung, aku cepat-cepat melarikan pandanganku ke hadapan. Aku ingin terus melupakan sebaris nama milik Kamil Hakim tapi mana mungkin dalam waktu sesingkat ini. Ya Allah... berikanlah aku kekuatan agar aku tidak tewas dengan perasaanku sendiri. 

“Kau macam mana, dah okey?” Naziah bersuara, mungkin dia tidak mahu aku terus melayan perasaan dengan diam membisu.

“Aku okey...” jawabku bersahaja.

“Sabarlah Maira, aku tahu hati dan perasaan kau tengah sakit sekarang ni. Nanti balik KL, kita enjoy ya. Aku belanja kau tiket ke Genting Highlands. Macam mana?” Ujar Naziah separuh ceria, pandai pula dia mengumpan aku dengan tiket percutian.

“Wahh! Bestnya. Kalau macam ni, aku nak kecewa selalulah. Nanti kau boleh bawak aku ke Disneyland pulak.” 

“Isy! Kau ni teruk betullah Maira. Dekat-dekat sudah  la. Kau kecewa, aku pulak yang kena keluar duit. Hesy... teruk betul!” Naziah separuh menjerit. Berjaya juga dia menceriakan suasana.

“Maira... aku nak cakap sikit.”

Aku menoleh kepada Naziah yang sedang menumpukan perhatiannya pada pemanduan.

“Cakaplah... tapi kalau pasal Kamil Hakim, aku tak nak dengar.” Aku menebak dan ternyata tebakan aku mengena sasaran.

“Tapi ni memang pasal Kamil Hakim pun.”

“Dah la Zie, hati aku masih terasa sakitnya. Aku masih rasa tertipu.”

“Tapi Maira...”

“Zie, kalau boleh aku tak nak tahu pasal Kamil Hakim, aku tak nak dengar nama dia lagi. Aku tak mahu ingat apa-apa tentang dia Zie. Lagipun tak lama lagi aku akan jadi milik  orang, aku harus belajar melupakan dia, Zie.” Naziah terkejut mendengar pengakuanku. Dia segera memberhentikan keretanya di tepi jalan. Mungkin ayat yang aku tuturkan tadi begitu memeranjatkannya.

“Apa kau cakap tadi Maira? Apa maksud kau?” soalnya bertalu-talu.

“Macam tu la Zie. Kau baru saja dengar apa yang aku cakapkan tadi, kan.” Aku tidak mahu mengulang kembali kata-kataku.

“Habis... kau sanggup buang segala cinta kau pada Kamil Hakim macam tu aje?”

Aku memandang wajah Naziah memerhati wajahnya yang sedang menahan rasa. Apa tidak kenanya kawanku ketika ini? Semalam dialah orang yang memberi semangat kepadaku untuk menerima takdirku.

“Kenapa Zie? Kau juga pujuk supaya aku bersabar. Kata kau, insya-Allah aku akan temui lelaki yang jauh lebih baik lagi daripada Kamil Hakim. Tapi sekarang, kau macam tak puas hati pulak.” Naziah mengeluh. Dia memegang kemas stereng keretanya.

“Ya, itu memang aku tahu. Tapi...” Apakah lagi yang ingin diperkatakannya? Tidak puas hatikah dia?

“Kamil call aku malam tadi. Dia dah luahkan segala-galanya pada aku.” Ucap Naziah perlahan, namun dapat aku tangkap jelas ucapannya.

“Mulanya aku marah dia habis-habisan sampai dia tak terkata apa. Tapi serius aku cakap, aku tak pernah dengar lelaki menangis seperti dia Maira. Dia buat aku terkedu Maira. Dia luahkan pada aku, dia memang sayangkan kau. Sayang sangat-sangat. Tapi dia silap... silap tak berterus terang dengan kau. Sebenarnya kedatangan mereka sekeluarga ke rumah kau hari tu bukan sebab nak tetapkan tarikh kahwin Imah tapi...” Aku geleng kepala sambil menekup kedua-dua belah telingaku.

“Zie, kan aku dah cakap aku tak nak dengar lagi nama dia disebut-sebut. Apa yang dia beritahu kau, kau ajalah yang tahu. Aku tak nak ambik tahu lagi.” 

“Maira, dengar dulu apa aku nak cakap ni.” Aku menekup sekali lagi telingaku. Sengaja mematahkan semangat Naziah untuk bercerita tentang Kamil Hakim. Naziah menggeleng kecil.

“Kau tutup telinga macam tu sekalipun, aku tetap akan cerita. Terserahlah pada kau Maira. Nak dengar atau tak.” Naziah sudah nekad untuk terus menyambung ceritanya tentang Kamil Hakim. Wahai sahabat mengertilah hatiku sedang merintih pilu tiap kali nama itu disebut-sebut, hatiku tersayat luka tiap kali perihal dirinya digali. Aku tidak mahu tahu lagi kisah cinta kami. Tolonglah mengerti Zie... Namun ia hanya bergumam di hati. Sebak. Itulah perasaanku. Aku pasti Naziah tidak dapat mendengar suara hatiku.

“Kamil cakap, dia tetap sayangkan kau. Dia mahu kau fikir masak-masak tentang hubungan korang. Dia sanggup jumpa opah dan emak kau sendiri jika kau setuju untuk berkahwin dengannya. Dia sebenarnya dah lama ingin memutuskan pertunangannya. Tapi bila mengenangkan mak dan ayahnya yang beria-ia sangat, dia tak sampai hati. Tapi Maira, bila dia jumpa kau, dia dah nekad untuk berterus terang dengan mak dan ayah dia.” Bersungguh-sungguh Naziah bercerita namun itu semua takkan merubah apa-apa. 

“Zie, cukup Zie... kau tahu tak siapa tunang Kamil? tunang dia... Imah. Adik kandung aku sendiri, darah daging aku Zie. Imah dah banyak berkorban demi kedegilan aku. Dia dah banyak bahagiakan aku. Kau tahu tak! Dengan rela hati dia sanggup pinangan itu beralih kepadanya asalkan aku dapat sambung belajar ke luar negara. Asalkan aku dapat lari  daripada belenggu wasiat tu. Imah dah banyak merasa susah Zie, susah untuk membaja rasa kasih pada tunangnya dan bila dia sudah belajar menyayangi, aku merampas pula daripadanya. Kau nak macam tu? Apa salahnya aku berikan dia kebahagiaan miliknya pula. Kau sanggup melihat aku lukakan lagi hati Imah, hati orang yang dah banyak berkorban untuk aku? Aku benci Kamil Hakim. Aku benci dia! Kerana sikap tak jujur dia, semua jadi tak menentu!” Aku hamburkan segala rasa hatiku kepada Naziah.

“Habis tu... kau nak Kamil Hakim jadi suami Imah sedangkan Kamil Hakim tak cintakan dia?”

“Aku percaya dengan Imah, Zie. Lelaki yang jadi suaminya tidak akan menyesal memperisteri dia. Aku kenal Imah. Antara aku dan Kamil Hakim, sudah ada titik  noktahnya. Kau tolong beritahu Kamil Hakim, jangan bicara lagi tentang hati dan perasaan denganku. Dan kau tolong beritahu dia, aku dah bertunang.” Aku lontarkan segala rasa yang ada sehabis mungkin. Aku tidak mahu menyimpan apa-apa lagi. Hanya kepada Naziah tempat aku mencurahkannya. Aku menangis semahunya, biarlah air mata ini air mata terakhir aku titiskan atas kekecewaan ini. Aku tak mahu lagi menjadi lemah. 

“Maira, maafkan aku...” Naziah memelukku erat. Tangisan yang tadinya perlahan kini menjadi kuat. Aku rebah di bahu Naziah. Kami sama-sama menangis kerana rasa kecewa itu terpalit juga di hatinya.

No comments:

Post a Comment