DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 February 2015

Hantu Punya Bos - Bab 10

KAU nak apa, hah?!” Abby terhenti melangkah saat dia terdengar satu suara yang amat dikenalinya menjerkah kuat. Dia melilau mencari empunya suara namun tiada. Eh? Kepala yang tak gatal digaru-garu. Air mata yang merembes tadi diseka. Dia masih tersedu-sedan sebenarnya. Perit hatinya usah dikata. Baru lagi dia bekerja di situ dan sekarang, dia dihalau dengan cara paling tak berhormat sekali.

Suara itu kedengaran macam suara Arrayyan! Ya. Suara itulah yang selalu mengganggu ketenteramannya selama dua hari dia bekerja di Syarikat Avaloft itu. Dia menjerkah siapa? Dan, dia sebenarnya di mana? Abby membawa kotak barangnya dan bersembunyi di sebalik
tembok. Dia terintai-intai ke arah punca suara. Kenapa pula dia sibuk nak ambil tahu tentang Arrayyan? 

Dia nampak Arrayyan sedang dipegang dengan kasar oleh dua orang lelaki dengan kuat. Seorang lelaki berbadan agak kecil dan berdiri tegak di hadapannya. Tentu itulah ketuanya! Abby mengetap bibir. Nak tolong ke tak nak? Kenapa nak tolong? Dia dah halau aku dengan cara yang paling hina sekali tadi. Abby menanam dendam dalam hati. Melihat keadaan Arrayyan itu bagaimanapun, membuatkan hatinya sayu.

Cepat-cepat Abby menampung kotak yang dipegangnya tadi dengan sebelah kepala lutut manakala sebelah tangan memegang kotak tersebut dan sebelah lagi kaki mengimbang dirinya. Tangan kiri menyeluk beg bimbit lantas mencapai telefon bimbit. Dia menelefon polis, berbisik-bisik selama beberapa saat dan menyatakan tempat jenayah berlaku. Kasihannya Arrayyan, beberapa kali perut dan mukanya ditumbuk lelaki itu.

“Kau, lelaki yang tak tahu adab. Bodoh! Kau menghina orang sesuka hati kau. Hari ni aku nak kau tahu macam mana bila kau dihina orang lain pula!” Lelaki itu mencekup dagu Arrayyan dan meludah mukanya. Abby terbuntang! Ludah? Gila!

“Jangan pegang akulah, sial!” jerkah Arrayyan kuat sehingga terhinggut bahu Abby dan laju sahaja dia melatah. 

“Sial, mak kau meletup!” Kotak yang dipegang serta-merta terlepas dari pegangan dan Abby menekup mulutnya kuat-kuat. Debaran di dada sudah menggila. Bergema bunyi kotak yang terjatuh ke bawah itu. Abby ketap bibir kuat. Kenapalah dia tidak balik sahaja tadi? Sekarang, dia sudah menyusahkan diri sendiri. Berharap agar dirinya tidak dijumpai.

“Weh, ada oranglah!” Seorang lelaki bersuara.

“Kau orang pegang jantan keparat ni kuat-kuat.” Lelaki kecil itu bersuara geram. Dia melilau mencari kelibat orang yang melatah tadi. Abby menggigil-gigil dari tempatnya. Adakah hari ini merupakan hari malangnya? Dipecat dan mungkin, bakal dipukul? Abby menyorok di celah-celah tiang di situ. Kat mana lagi dia nak lari? Baru sahaja matanya tertancap pada tempat yang selamat, dia disergah!

“Haaa! Gotcha!” sergah lelaki itu menyebabkan Abby tertampar pipinya kuat. Terkejut sungguh dia dengan sergahan lelaki itu yang datang dari arah sisi. Jantungnya memecut laju. Takut! Seram! 

“Bodoh!” jerkah Abby akibat terlalu terkejut. Si lelaki yang bengang akibat ditampar oleh Abby cuba menarik lengan Abby namun Abby meronta-ronta minta dilepaskan. Akhirnya, Abby ditolak ke arah Arrayyan sehingga dia tersungkur ke kaki Arrayyan. Lututnya mula berdarah. Aduhai. Menyesal pakai skirt paras lutut! Abby menilik lututnya. Mak! Sakit!!

“Awak tak balik lagi?” soal Arrayyan dengan mata buntangnya. Abby buat-buat tak dengar sahaja. Benci dengan Arrayyan. Dia cuba bangun. Kakinya sakit benar, namun dia cuba untuk tidak mengendahkan luka di lututnya. Dia hanya mahu balik!

“Heroin nak selamatkan hero? Wah! Bravo!” Si lelaki kecil itu menepuk-nepuk tangannya. Dua orang lelaki berbadan sasa yang memegang Arrayyan itu berdekah-dekah ketawa. 

“Hei, lepaskan dia!” Abby menjerkah. Lagi kuat tawa lelaki itu bersama kuncu-kuncunya.

“Auuw! Takut I, nyah!” Lelaki itu membuat gaya lelaki lembut dan mengekek-ngekek ketawa. Arrayyan sakit hati melihatnya. Dia mendapat satu idea. Jika Abby melatah teruk, mungkin ideanya berkesan! 

“Abby, cepuk kepala dia!” jerkah Arrayyan kuat membuatkan Abby melatah lantas dia mencepuk kepala lelaki yang mengejeknya dengan beg tangannya. Beberapa kali sebelum sempat lelaki itu bertindak. 

“Ini makan dia! Ini ambil ni!!” Abby mengacipkan giginya dan memukul dengan geram. Seorang lelaki cuba membantu dengan melepaskan pegangannya pada Arrayyan dan Arrayyan mula bertindak. Dia menghentak celah kelengkang si lelaki yang masih memegangnya sehingga lelaki itu bergulung di atas tanah.

Abby sudah dipegang oleh lelaki sasa yang melepaskan tangan Arrayyan tadi. Abby jadi pucat. Macam mana ni?

“Hentak anu dia kuat-kuat!!!” Arrayyan sekali lagi menjerkah sekuat hati dan seperti yang dijangkakan, Abby menurut perintahnya dengan tangkas. Melatahlah katakan. Lututnya yang masih berdarah itu dihentak tepat ke celah kelengkang lelaki yang memegangnya. Lelaki itu tertunduk menahan kesakitan dengan erangan yang menyeramkan! 

Arrayyan mengambil kesempatan itu dengan membelasah dua orang lagi lelaki lain. Dalam masa tak sampai lima minit, mereka semua mengerekot jatuh dan memegang ‘anu’ mereka yang dihentak oleh Abby dan Arrayyan. Semua mengerang kesakitan tahap diva terpelecok di pentas.

Lelaki yang baru dihentak anunya oleh Abby tadi disepak lagi oleh Arrayyan di bahagian perut. 

“Ambil kau! Hilang dara!” Terperanjat Abby bila mendengar bekas bosnya berkata dengan ayat yang sangat tak sopan. Tetapi, bila dia melihat celah kelengkang lelaki itu, dia berusaha menahan senyum. Benarlah. Darah dilututnya yang menghentak lelaki itu tadi melekat tepat-tepat pada celah kelengkang lelaki tersebut.

Arrayyan menarik tangan Abby dan membawa dia jauh dari situ. Dia bertindak untuk menelefon polis. Abby akhirnya berkeputusan untuk kembali mengambil kotaknya yang jatuh tadi dan juga beg tangannya yang sudah tercampak jauh. Dia mahu pulang. Polis sudah sampai! Dia tiada keterangan mahu diberi kerana dia masih lagi dalam ketakutan!

Abby berjalan pergi meninggalkan Arrayyan sendirian yang masih termengah-mengah akibat bergasak dengan tiga lelaki tadi.

“Lutut awak!” Arrayyan berkata sambil mengesat mukanya yang terdapat sisa air liur lelaki kecil yang meludahkan itu tadi dengan sapu tangan. Dia menyaingi langkah Abby. Abby melajukan lagi langkahnya. Dia tidak sangka... Arrayyan menarik lengannya dan dia segera tempis. 

“Hah?” Abby masih lagi terkejut dan keliru. 

Dadanya berombak kencang. Dia sudah membelasah orang? Biar betul? Ini tak normal. Dia tidak sepatutnya bertindak membelasah orang sehingga macam itu sekali! Dia sudah melakukan dosa! Ini semua Arrayyan punya pasal! Kenapa Arrayyan menjerkahnya sehingga dia termelatah dengan teruk lantas terpukul orang?

“Meh saya tengok!” Arrayyan menunduk dan memegang kaki Abby sehingga Abby tanpa sengaja tersepak kaki Arrayyan. Dia geli dan terkejut dengan sentuhan itu. Berani betul Arrayyan memegang lututnya?

“Jangan!” tegah Abby lantas berjalan pergi. Arrayyan masih lagi mengejar langkahnya. Nampak sangat Arrayyan rasa bersalah! 

“Awak!” panggil Arrayyan kuat. Abby buat pekak.

“Awak jangan buat derk aje eh, kalau saya panggil? Awak tu pekerja saya!” jerkah Arrayyan sehingga menyebabkan Abby termelatah pendek. Opocot!

“Awak bukan lagi bos saya.” Abby menjawab tegas. Tiada lagi sopan santun. Dia malas bercakap dengan Arrayyan. Teringat bagaimana teruknya cara dia dihalau keluar tadi. Siap diberi cek lagi. Ingat dia gila? Ingat dia mata duitan?

“Yes you are my worker! Mulai hari ini, saya nak awak bekerja semula dengan saya sebagai hutang budi saya kepada awak tadi.” Arrayyan berkata dengan nada yang lebih tegas dan menarik lengan Abby ke keretanya. Abby meronta-ronta namun Arrayyan tetap tenang mengheretnya pergi dari situ. Dia membawa Abby ke satu tempat yang Abby sendiri pun tak tahu di mana.

“Awak nak bawa saya ke mana ni?” Abby menyoal kalut.

“Saya nak bawa awak ke rumah saya,” jawab Arrayyan selamba. Lagi mahu tanya ke mana? Balut lukalah! jawabnya geram dalam hati.

“Ya Allah! Saya mungkin telah difitnah dengan teruk tetapi jangan awak sangka saya gadis murahan! Saya tak rela dihina lagi! Cukuplah dengan fitnah yang dah orang tua keparat tu sebarkan. Saya tak mahu lagi ditimpa sebarang fitnah! Tolong berhenti kat sini!” Abby mula mengamuk. Arrayyan ketap bibir. Apa ni? Cadangnya dia jawab main-main sahaja. Tak sangka Abby ambil serius.

“Hei! Terlalu jauh! Terrr... lalu jauh. Apa awak ni? Awak ingat saya nak terkam awak ke apa? Saya tak bawa awak ke rumah saya pun. Ingat sikit, saya ni bos awak, awak tak boleh panggil saya dengan panggilan awak. Mana perginya rasa hormat awak?” Arrayyan berkata dengan nada tinggi lantas dia berhenti di tempat Abby arahkan dia berhenti.

“Awak dah halau saya. Awak dah berhentikan saya!” Abby membentak.

Belum pun Abby dapat membuka pintu, Arrayyan terlebih dahulu mengunci pintu di bahagian Abby. Seketika, tubuh mereka bersentuhan. Abby menahan debaran. Dup dap semacam saja apabila tercium haruman pewangi yang dipakai lelaki itu. Hugo Boss. Nampak sangat ketagih dengan pangkat ‘bos’ tu sehinggakan pewangi pun ada perkataan ‘Boss’.

“Tunggu kat sini, saya nak belikan ubat untuk lutut awak tu.” Arrayyan keluar dari kereta. Abby terkejut dengan perilaku Arrayyan. Rasanya, inilah kali pertamanya dia mendengar Arrayyan berkata dengan nada yang sungguh lembut dengannya.

Sementara menanti Arrayyan membeli ubat, Abby mendail nombor Wandi, iaitu kekasih hati kesayangannya. Dia dengan Wandi sudah lama menjalin hubungan cinta. Tentulah dia mahu mengadu kepada kekasih hatinya. 

“Helo.” Suara Wandi serak-serak basah di hujung talian menjawab panggilan.

“Helo abang.” Abby mula hendak merengek. Dengar suara Wandi pun buat dia rasa nak menangis. Sangat-sangat hendak menangis. Terkenang kejadian tadi, itu bukan diri dia! Diri dia takkan memukul orang sesuka hati.

“Kenapa call abang?” soal Wandi. Dingin. Abby sudah mencemik. Salahkah dia menelefon kekasih hatinya sendiri? Habis, dia hendak menelefon siapa lagi? Tunang Diela?
 
“Tak boleh call abang ke?” soal Abby pula. Tersentuh hatinya bila Wandi menyoal dia seolah-olah dia tidak diperlukan lagi. Selalu Wandi macam ini bila menjawab setiap panggilannya. Terkadang sampai lima puluh kali dia menelefon pun Wandi tak angkat.

“Bukan tak boleh. Sekarang ni, masa tak sesuailah. Tolonglah faham.” Wandi bersuara sedikit membentak. 

“Abang kan baru balik kerja? Tak sesuai kenapa?” soal Abby lembut.

“Abang cakap masa tak sesuai tu tak sesuailah maknanya. Hisy! Orang nak berehat, dia mengganggu,” bebel Wandi geram. Abby gigit bibir. Semakin hendak menangis. Wandi sudah berbeza!

“Abang ni. Orang nak report, kaki orang luka. Tadi ada orang nak pukul saya.” Abby mengadu. 

“Habis tu? Abang boleh buat apa? Report polislah senang. Teruk ke?” soal Wandi. Abby lega sedikit. Sekurangkurangnya Wandi bertanya keadaan dia.

“Tak adalah teruk. Mujur ada bos,” jawab Abby pula. Dia semakin terasa dengan nada Wandi yang kedengaran mendatar dan bosan itu.

“Dah tu?” Wandi menyoal. Sedikit pun tiada nada risau. Abby mengeluh pula.

“Kaki saya lukalah! Besar jugalah.” Abby mengulang lagi. Mungkin Wandi tak perasan akan apa yang dituturnya tadi.

“Alah, esok lusa baiklah tu. Luka sikit pun nak mengadu.” Wandi bersuara mendatar. Abby mencekup rambutnya yang berserabai itu dengan geram. Bercakap dengan Wandi sama macam bercakap dengan mesin basuh! Luka sikit? Wandi bukan tengok pun! Memanglah tak berjahit tapi, kulitnya terkopek agak besar. Sebesar penumbuk.

“Yalah. Abang bila nak...” Belum pun habis bersuara, Wandi terus mencelah.

“Abang ada hal, bye!” Tap! Talian dimatikan. Abby hanya mampu menahan rasa. Dalam masa yang sama, Arrayyan masuk ke dalam kereta. Abby menahan air matanya agar tidak tumpah. Sudah beberapa bulan Wandi melayannya dengan endah tak endah.

“Awak? Mata awak tu berair kenapa? Sakit sangat ke lutut tu?” soal Arrayyan yang baru muncul itu dengan prihatin. Abby menggeleng-gelengkan kepalanya. Sakit di lutut tidak dapat menandingi sakit dalam hatinya. Sakit hati dengan Dato’ Rahman, sakit hati dengan Arrayyan dan sekarang, dia sakit hati dengan Wandi! Malangnya nasib dia.

“TERIMA kasih sebab selamatkan saya tadi.” Arrayyan ucap dengan berat hati. Jatuh egonya apabila dia diselamatkan oleh seorang gadis! Tiga lelaki tadi sudah berjaya diberkas. Lega dalam hati usah dikata. Tiadalah lagi yang bakal menyerangnya sebegitu. Sudahlah ditumbuk dan diterajang di perut dan muka. Sakit sungguh dia rasa! Tetapi sakit itu seolah-olah hilang bila Abby muncul menyelamatkannya. Terasa bertenaga dan bersemangat pula. Tidak tahu mengapa. 

“Saya tak berniat nak selamatkan bos pun tadi sebenarnya. Tapi, benda dah nak jadi,” jawab Abby selamba. Cis! Tak nak selamatkan aku rupa-rupanya. Hati Arrayyan mendongkol marah. 

“Awak ni, mulut pedas juga, kan?” soal Arrayyan geram. Dia masih lagi mengelap lutut Abby dengan kain kapas yang baru dibelinya tadi dengan ubat antibakteria. Sesekali Abby berkerut dan mengaduh kesakitan. Perit lukanya terasa.

Abby mencuri lihat wajah Arrayyan yang begitu tekun mencuci lukanya. Inilah pertama kali dia dilayan sebegini oleh seorang lelaki. Lebih memeranjatkan lagi jika lelaki itu ialah bosnya yang berperangai macam saka! Terharu betul rasanya. Wandi pun tidak pernah melayannya begini. Bila kaki Abby melurut jatuh, Arrayyan mula mengangkat kaki Abby dengan tinggi tetapi kali ini Abby menempeleng mukanya.

“Awak ni kenapa?” marah Arrayyan geram. Dia hanya hendak membantu. Boleh Abby menampar pipinya? Eee. Abby ni semakin hari semakin agresif! Dengan bos pun boleh dia buat perangai hantu dia ni! Disebabkan Abby berjasa kepadanya, jadi dia tolak sahajalah kesalahan Abby itu. Bak kata orang Kelantan nei tolok nei (enam tolak enam).

“Bos tu angkat lutut saya tinggi-tinggi apa pasal? Terselaklah skirt saya!” Abby mengamuk pula. Mukanya sudah memerah menahan malu. Skirt pejabat formal yang berwarna hitam separas lutut itu ditarik-tarik ke bawah. Arrayyan mengetap bibir. Lupa pula yang Abby hanya memakai skirt.

“Itulah, lain kali lagi senang kalau pakai seluar panjang. Terjaga maruah,” bebel Arrayyan. Dia kembali mengelap luka Abby dengan lebih berhati-hati. Sanggup dia melutut di atas lantai dan membiarkan Abby duduk di kerusi semata-mata untuk mencuci luka gadis itu.
 

Abby rasa malu bila ditegur sedemikian. Alahai! Segannya.

“Tahulah saya,” jawab Abby menahan malu. Sumpah aku takkan pakai skirt lagi dah! Hatinya bersumpah geram dan malu. Menjatuhkan maruah sungguh. Sejurus selepas siap lututnya dirawat oleh Arrayyan, Arrayyan mengajak Abby untuk makan memandangkan perutnya sudah berasa lapar benar. Abby hanya menurut sahaja disebabkan Arrayyan mula
menggunakan kuasa vetonya. 

“AWAK ceritalah, apa yang menyebabkan awak kata Dato’ Rahman memfitnah awak.” Arrayyan membuka mulut. Abby menguis-nguis makanannya. Satu persatu cerita yang dibuka, akhirnya siap dia bercerita. Bagaimana Dato’ Rahman cuba mencabulnya dan bagaimana Dato’ Rahman mengugutnya. Dia juga menceritakan bagaimana payahnya dia untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan kerana Dato’ Rahman sentiasa menggunakan kuasanya. 

“Saya akan balas perbuatan dia terhadap awak.” 

Arrayyan memberi komen selepas Abby habis bercerita lantas menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Dia jadi bengang dengan kaum lelaki seperti itu. Menjatuhkan maruah kaum lelaki yang lain. Kalau kena dengan pandangan masyarakat, tentu mereka berkata, tengoklah lelaki sekarang, tak boleh pakai! Sebagai seorang lelaki, dia rasa tercabar jika itu yang diperkatakan oleh masyarakat.

Orang seperti Dato’ Rahman ini seharusnya mendapat pengajaran yang setimpal. Memfitnah dan memalukan orang lain. Mencalarkan maruah orang. Dia tahu apa yang ingin dilakukan terhadap Dato’ Rahman. Cuma perlu ada bukti yang kukuh dan masa yang sesuai untuk dikenakan balik.

“Nak balas macam mana?” soal Abby pelik.

“Suatu hari nanti saya akan balas. Awak jangan risau. Sekarang saya nak awak habiskan makanan awak secepat mungkin,” kata Arrayyan dengan nada tegas. Dia kembali menyuapkan makanan ke mulutnya. Dia sebenarnya rasa malu dan terhina dengan perlakuan si lelaki yang menyerangnya tadi. Barulah dia tahu  sampai ada yang sanggup berdendam dengannya. Dia meminta maaf kepada lelaki tadi sebelum polis membawa lelaki bertiga tadi ke balai. Ego yang jatuh, tidak dipedulikan. Ikutkan rasa malu, memang dia tak mahu menjelmakan diri lagi di dunia ini. Sampai kena ludah di muka! Tersangatlah hina!

Salahnya juga kerana terlalu sombong, bongkak dan berhati kering. Allah berfirman: “... sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang menyombongkan diri.” (An-Nahl 16: 23). Rasulullah juga bersabda : “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam dirinya terdapat kesombongan (meskipun hanya) sebesar biji sawi.” (Riwayat Muslim daripada Ibnu Mas’ud). Tak masuk syurga? Gulp! Arrayyan menelan liur. Teringat pula dia kepada satu surah. Surah al-Hujurat, ayat 11 di mana menyatakan :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan sekumpulan lelaki yang lain kerana boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka. Jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Janganlah suka mengaibkan orang lain dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. (Larangan yang tersebut yang menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasiq, maka) amatlah buruk gelaran nama fasiq (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Ingatlah sesiapa yang bertaubat (daripada perbuatan fasiq), maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Sekali lagi Arrayyan tertelan liur sendiri. Setelah apa yang berlaku pada hari ini barulah dia teringat akan surah itu. Surah yang sering kali mamanya meminta untuk dia baca dan hafal sejak kecil lagi memandangkan dia hidup dalam kemewahan...

“Saya dah tak kisah.” Abby menjawab perlahan. Arrayyan tersentak mendengar suara Abby. Terlupa bahawa dia masih dengan Abby. Muka sayu Abby dipandang lama. Mata gadis itu berkaca. 

“Kenapa pula awak cakap macam tu??” soal Arrayyan terkejut. Tidak risaukah Abby kepada maruahnya yang tercalar disebabkan fitnah Dato’ Rahman? 

“Sebab, dia dah jaja fitnah tu kat semua orang. Bikin saya malu dan tadi, saya dibuang kerja. Dia dah pernah bersumpah nak gelapkan masa depan saya. Betul atau tidak fitnah tu, sama aje. Dah tak ada guna lagi. Masa depan saya dah hancur sebab dia.” Abby berkata tenang. 

Namun, perasaannya tidaklah setenang kata-katanya. Air mata mula bergenang di pelupuk mata. Teruk dia dikenakan oleh Dato’ Rahman itu. Arrayyan kaget melihat air mata Abby yang mula bertakung itu. Janganlah dia main drama kat sini! doa Arrayyan dalam hati. Pantangnya sejak dahulu lagi ialah melihat air mata wanita. Aduhai. Rasa sebak mula bertandang!

“Hancur apa ke bendanya? Awak ni, jangan merepeklah. Saya dah bagi awak kerja dengan saya, awak nak emo apa lagi? Saya cakap, nanti saya balaslah balik perbuatan dia tu. Dia tentu ingat saya dah pecat awak. Dah-dah! Rimas betul saya tengok air mata awaklah! Rasa nak cungkil biji mata tu,” bebel Arrayyan geram.

‘Sudahlah mata tu besar, berkaca-kaca pula! Dah kalah mata Garfield dah aku tengok! Buat sayu hati aku aje.’ Arrayyan bermonolog dalam hati. Kalau dulu dia ada pekerja yang telinganya sebesar cawan, sekarang, dia sudah ada pekerja yang bermata besar, sebesar bola golf! Lepas ni, dia rasa nak kutip pekerja yang berhidung besarlah pula. Biar cukup korum.

“Dah! Makan cepat. Awak buat lembab-lembab, saya tinggal awak kat sini,” ugut Arrayyan apabila melihat Abby menguis-nguis makanannya. Abby memandangnya dengan pandangan tajam sebelum menjelingnya tajam.

“Eh, jeling-jeling pula!” marah Arrayyan geram. Dia membuntangkan matanya kepada Abby dan malang sekali nasibnya apabila Abby membuntangkan matanya kembali dengan lebih besar. Sepantas kilat Arrayyan mengurut dadanya kalut. Terperanjat dengan mata besar Abby. Kalau ada sepuluh pekerja yang macam Abby ni, habislah merana jantung dia. Niatnya hendak menakutkan Abby dan tak sangka langsung, dia pula kembali ditakutkan
oleh Abby. Apa punya pekerjalah!

No comments:

Post a Comment