DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 9 February 2015

Kurelakan Kasihmu - Bab 9

ALIDA dan Arissa berjalan-jalan di sebuah pusat membeli-belah berhampiran Sogo. Alidalah yang beria-ia mengajak Arissa keluar. Katanya mahu Arissa pilihkan baju untuk jamuan makan malam jabatannya yang bakal diadakan di kampusnya dua hari lagi. Namun sebenarnya, ada tujuan lain juga Alida mengajak Arissa keluar. Dia ingin tahu mengapa Irfan dan Arissa berpisah kerana abangnya tidak pernah mahu menceritakan apa-apa kepadanya. Jadi, jika dia bertanya Arissa sendiri dan mengenal pasti masalah antara mereka, Alida mungkin tahu bagaimana untuk menyatukan dua hati itu kembali.

“Kak Rissa, baju ni okey tak? Atau pun beli gaun warna maroon ni?” soal Alida penuh teruja.
Arissa hanya tersenyum kecil memerhatikan gelagat Alida yang penuh keletah itu. Maklumlah orang muda-muda yang baru menginjak ke umur 21 tahun. 

“Akak rasalah, baik lagi Lida pakai gaun tu... Sebab dinner tu, kena pakai formal attire, kan? So, lebih sesuai gaun tu pakai dengan selendang yang kita beli tadi tu...” saran Arissa dengan penuh yakin.
 
Alida terangguk-angguk dengan wajah gembira. Dengan tidak membuang masa lagi, dia membawa gaun itu ke kaunter untuk membuat bayaran. Arissa tersengih seraya membontoti langkah Alida yang agak laju itu. Maklumlah, dapat beli baju baru. Siapalah yang tidak teruja. Selepas membayar, mereka mengambil keputusan untuk mengisi perut yang kosong pula. Lagipun, sekarang ini dah sampai waktu makan tengah hari. Alidalah yang sejak tadi merungut-rungut kelaparan. Tak sempat bersarapan pagi katanya, sebab itulah dia lapar sangat. Teruja sangat agaknya dia hendak keluar berjalan-jalan dengan Arissa. Maklumlah sudah lama mereka tidak berkesempatan melepak bersama-sama sejak Irfan dan Arissa berpisah. Dulu, Arissa selalu juga ke rumahnya menjenguk abah dan umminya. Hampir setiap minggu Arissa meluangkan masa untuk bersama-sama keluarga Alida. Abangnya Irfan memang bodoh kerana memutuskan hubungan dengan gadis sebaik Arissa. Abangnya itu memang terlampau kuat egonya. Kalau dah salah pun, tak mahu mengaku salah. Jadi, bila Arissa sendiri yang bersalah, lagilah ego abangnya itu menjulang-julang tinggi. Jangan haraplah abangnya itu hendak memaafkan Arissa dengan hanya kata-kata maaf gadis itu. Pernah dulu berkali-kali Arissa merayu, malah berhari-hari, barulah abangnya sudi memaafkan. Alida selalu menyaksikan keegoan abangnya dan juga ketabahan Arissa melayan kerenah ego abangnya. Walaupun Alida berbuih mulut berleter dan memarahi Irfan, abangnya itu tetap dengan ego menggunungnya itu. Kasihan Arissa, sentiasa menjadi mangsa ego abangnya. Alida pula yang selalu terasa geram dengan perangai abangnya itu. Kalaulah dia mempunyai kuasa, sudah lama dia mengugut Irfan ikut cakapnya supaya bersetuju kahwin dengan Arissa.
 
“Lida, nak ke mana pulak tu? Cakap lapar tadi. Nak makan dekat Secret Recipe, kan?” Arissa menarik lengan Alida yang seperti mengelamun jauh dan gadis itu seperti tidak sedar yang dia sudah berjalan melepasi restoran yang mereka ingin singgah makan.

Angan-angan Alida tadi terbang entah ke mana selepas tersentak dengan sapaan Arissa. Dia tersengih macam kerang busuk memerhati ke wajah Arissa yang sedikit tertanya-tanya.

“Kak Rissa belanja, kan? Kan?”

“Eh, bila masa pulak Kak Rissa cakap nak belanja Lida ni?” Arissa cuba berlagak seperti tidak tahu. Padahal sewaktu awal mereka bersetuju keluar tadi, Arissa sendiri yang berjanji mahu belanja Alida makan. Alida sudah berkerut dahi dan memuncungkan mulutnya tanda merajuk.
 
“Kak Rissa dah janji kan tadi...” rungut Alida. Mukanya dah seperti kanak-kanak merajuk tidak dapat gula-gula. Arissa tertawa lucu sambil memaut bahu Alida mesra. 

“Ala, akak gurau je pun. Lida sekarang ni sensitif sungguh la?” usik Arissa dengan tawa yang masih berbaki. 

 “Nasib akak gurau... Kalau tak, Lida nak merajuk setahun! Lida tau Kak Rissa Lida ni memang the best among the best in the world!” kata Alida. Mereka tertawa bersama sambil berjalan beriringan memasuki restoran Secret Recipe. Selepas memesan dua pinggan Spaghetti Meatball dan sepotong kek White Chocolate Macadamia untuk dikongsi bersama, mereka memesan minuman pula. Arissa hanya memesan secawan Cappucino manakala Alida memesan Ice Lemon Tea.

“Bertuahlah Lida hari ni, Kak Rissa belanja. Dapat jugak makan mewah macam ni. Kalau datang sendiri dengan kawan-kawan, Lida beli kek je sepotong. Kena jimat duit belanja yang abah bagi...” ujar Alida sambil menyedut minumannya dengan penuh teruja.

Jarang dia dapat makan begini di luar kerana duit belanja yang abahnya bagi memang cukup-cukup makan sahaja. Walaupun dia anak seorang Tan Sri, abahnya itu selalu mengajar dia malah abangnya supaya berbelanja dengan bijak dan berjimat. Dia faham, bukanlah niat abahnya itu mahu menyeksanya dengan memberikan duit belanja yang sedikit, tetapi abahnya itu hanya mahukan anak-anaknya tahu kesusahan untuk memperolehi wang. 
 
“Sekali-sekala, Lida... Bukan selalu pun Kak Rissa nak belanja Lida ni. Kita dah tak macam dulu lagi, selalu berjumpa... Sekarang ni kan kita susah nak ada masa berjumpa macam ni. Jadi, apalah salahnya Kak Rissa belanja Lida...” getus Arissa lembut. Tidak sedar yang dia sedang membangkitkan perkara yang sudah berlalu.

Alida terdiam seketika. Perasaan sayu tiba-tiba bergayut di tangkai hatinya. Dia rasa bersimpati pula kepada Arissa. 
 
“Kak Rissa, boleh Lida tanya sesuatu?” soal Alida sambil mengacau-ngacau minumannya dengan straw berwarna hitam yang berada di dalam gelas Ice Lemon Tea itu. Pandangannya
masih terhala ke gelas minumannya sebelum dia mengangkat kepalanya memandang Arissa yang sedikit terkebil-kebil.
 
“Hmm? Nak tanya apa? Tanyalah...” balas Arissa mesra. 

Air Cappucinonya dihirup sedikit sebelum dia meletakkan semula cawan tersebut ke atas alasnya di atas meja itu. Keningnya sedikit terangkat menantikan soalan seterusnya daripada Alida.

“Kenapa Kak Rissa dengan Abang Ir dah tak boleh bersama lagi? Lida nak tahu dari mulut Kak Rissa pulak kali ni sebab Abang Ir memang tak nak sebut apa-apa lagi pasal Kak Rissa...” kata Alida dengan wajah ingin tahu. 

Arissa mengeluh kecil. Hatinya kembali teringatkan Irfan. Lukanya masih bernanah. Ternyata cintanya kepada Irfan masih belum luput. Wajah lelaki itu juga selalu bermain-main di fikirannya setiap masa dan ketika, walaupun dia telah cuba sedaya-upayanya untuk melupakan Irfan. Ya, mana mungkin dia melupakan Irfan kerana dia terlalu mencintai lelaki itu.  

Tetapi kerana perangai lelaki itu yang terlalu kuat ego dan cepat marah, Arissa menjadi tawar hati. Kerana Irfan sendiri yang hendak memutuskan perhubungan mereka, Arissa sudah tidak nampak lagi harapan untuk mereka terus bersama. Dia tak akan menerima Irfan lagi dalam hidupnya.  

Lelaki ego seperti itu memang susah untuk dibawa berbincang. Bagaimana jika suatu hari nanti rumah tangganya berantakan hanya kerana sikap ego Irfan yang tidak boleh berubah itu? Kelak anak-anak mereka juga yang bakal menjadi mangsa nanti. Arissa tidak mahu melibatkan anak-anak pula dalam masalah mereka berdua. 

“Kak Rissa?” panggilan Alida mengejutkan Arissa daripada terus mengelamun.

Arissa berdeham kecil lalu segera menghirup lagi Cappucino. Tangannya sedikit menggigil, membuatkan Alida pelik.

“Lida, dah lama dah perkara ni berlalu... Akak dah tak nak ungkit apa-apa lagi...” getus Arissa perlahan, dengan tenang. Cawan Cappucino diletakkan semula ke atas meja. Sebuah senyuman pahit terbit tanpa dipinta.
 
“Tapi, Kak Rissa... Lida nak tahu je...”

“Takde tapi-tapi lagi... Lida pun tahu macam mana perangai abang Lida tu kan? Akak bukannya apa, Lida. Akak sebenarnya terseksa... Dan alhamdulillah, sekarang akak rasa hidup akak dah lebih happy berbanding dulu walaupun akak masih tak dapat lupakan abang Lida tu... Bukannya senang tau, nak melupakan orang yang kita sayang...” ucap Arissa dengan hati yang sedikit tersentuh. 

Ya, cintanya masih segar buat Irfan. Dan kerana itu, hatinya sedikit sensitif ketika nama lelaki itu disebut-sebut. Walaupun terasa sayu, senyuman dipaksa juga terbit dari bibir halusnya yang bergincu nipis itu. Alida terdiam seketika. Wajah Arissa yang tersenyum itu dipandang penuh simpati. 
 
“Kalau Kak Rissa nak, Lida boleh cakap dengan Abang Ir... Suruh dia ubah perangai dia tu...” 
 
“Tak payah, Lida. Bukan senang seseorang tu nak berubah perangai... It will take a lot of time, dear...” senyum Arissa lagi dengan mata yang digenangi air.

“Tapi, betul ke akak boleh bahagia hidup tanpa Abang Ir?” soalan cepumas Alida itu benar-benar mencabar hati dan minda Arissa.

Dia tidak tahu tentang masa depan yang menanti. Yang dia tahu, buat masa sekarang ini dia memang okey. Tiada masalah berjauhan dengan Irfan walaupun tanpa ada apa-apa lagi ikatan. Mungkinkah nanti dia akan merana di kemudian hari? Arissa menelan liur seraya merenung ke cawan Cappucinonya. Airnya sudah tinggal separuh.

Arissa kembali memandang ke wajah Alida dengan tenang. Apa lagi reaksi yang dia mampu buat? Hanya reaksi itulah yang paling sesuai ketika ini.

“Insya-Allah... Doa banyak-banyak pada Allah. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita...”

Alida terkesima mendengar. Arissa memang tabah. Dengan tidak semena-mena, ada air jernih yang terbit dari tubir mata Alida. Dia bagai dapat merasakan perasaan Arissa yang begitu terseksa.
 
“Kak Rissa, sabarlah ya... Sabar banyak-banyak...” ucap Alida sambil menggenggam tangan kanan Arissa. Sebelah lagi tangannya menyeka air jernih yang tadinya menitis ke pipi. 

“Tengah sabarlah ni, Lida. Takpe, akak okey aje... Dah biasa dah... Payah memanglah payah akak nak lupakan Ir tu... Tapi, akak terpaksa terima kenyataan ni. Dia pun nampak macam dah tak kisah kalau kami berpisah sekalipun. Mungkin dia lebih bahagia sekarang ni tanpa akak...” balas Arissa lirih.
 
“Eh tapi kan kak, Lida nampak Abang Ir tu macam ada problem je. Selalu termenung sana, termenung sini. Kadang-kadang tu pegang kepala macam gaya nak hantuk-hantukkan ke dinding pulak... Pelik Lida tengok... Mungkin dia masih teringatkan akak, tapi ego dia tu yang menghalang dia daripada contact akak semula kut?” terang Alida dengan kerutan di dahi.
 
Dahi Arissa turut berkerut. Ir masih ingat pada aku ke?  Tapi sebab ego, dia tak nak hubungi aku lagi? Dia nak tunggu aku dulu yang pergi pujuk rayu dia? Hmm, Ir memang tak berubah langsung kalau macam tu.  

Aku tak nak bersuamikan lelaki ego macam tu. Tak mungkin! Sebelum kahwin pun aku merana, takkan selepas kahwin pun aku perlu merana kerana ego dia yang tinggi melangit tu? Ya, biarkan... Aku takkan sesekali merayu pada dia lagi. Baik aku cuba melupakan dia perlahan-lahan. Fikir Arissa sendiri. Allah sentiasa ada untuk membantu, Arissa yakin itu. 

“Kak Rissa dah tak kisah dah, Lida... Yang penting, maruah akak yang masih ada ni, baik akak pertahankan. Tak guna juga akak terus nak layan ego dia tu... So, I think I’m gonna forget him forever...” suara Arissa masih kedengaran lirih. Hatinya memang pedih, pedih sangat! Alida termenung buat seketika memikirkan betapa bodohnya abangnya itu. Irfan memang lelaki yang terlalu kuat ego. Alida kenal abangnya itu. Mungkin ini adalah jalan terbaik untuk Arissa melarikan diri daripada hidup bersama lelaki yang salah dalam kehidupannya. Bukannya senang untuk berkahwin dan hidup bahagia jika perangai lelaki itu sebijik macam perangai Irfan. Memanglah Arissa layak mendapat lelaki yang lebih baik kerana Arissa adalah gadis yang sangat baik hati. 
 
Selepas seketika, pelayan datang menghantar makanan yang dipesan pula.

“Jom, makan! Kan tadi Lida yang beria-ia merungut-rungut kelaparan. Kan?” ujar Arissa sambil memaksa bibirnya untuk tersenyum manis. 

Alida merenung kosong pada pinggan lebar yang dipenuhi spaghetti yang nampak begitu lazat itu. Kemudian, matanya menyorot Arissa yang kelihatan berselera menyuap pasta itu ke dalam mulutnya. Namun Alida tahu, Arissa cuba menyembunyikan perasaan dengan tersenyum begitu.  Senyuman pahit! Alida kemudiannya mengangguk perlahan dan turut menjamah makanannya.

 
AWAK MEMANG dah gila!” terjah Tinie dengan sedikit lantang. Wajah Najwa yang tergamam itu ditenungnya lagi dengan perasaan yang entah apa-apa. Dah gila agaknya Irfan tu? Kenapa tiba-tiba timbul soal Wawa kena kahwin dengan dia pula ni? Wawa kenal dia pun tak. Terlalu mendadak kut sampai ajak kahwin hanya kerana sebuah kemalangan yang berlaku. Bayarlah ganti rugi ke, apa ke... Ini tidak, ajak kahwin pula. Macamlah perkara kahwin ni perkara yang boleh dibuat main-main.

Irfan hanya terdiam dan dia sendiri pun sebenarnya tergamam. Bagaimanalah dia boleh terfikir untuk melamar Najwa. Itu pun secara spontan. Tentunya ini adalah kerja gila. Memang layaklah dia dipanggil gila oleh Tinie seketika tadi. Irfan mengeluh kecil. Biarlah walaupun orang nak panggil dia gila ke, apa ke. Janji dia dapat meluahkan isi hatinya yang terpendam. Dan alang-alang sudah terlajak kata begini, bagus juga dia teruskan. Harapannya, jawapan Najwa tidak akan mengecewakan.

“Maafkan saya, Encik Irfan... Saya tak boleh kahwin dengan awak...” balas Najwa dengan wajah yang masih seperti tergamam. Memang dia tidak boleh berkahwin dengan lelaki itu.

Alasannya cukup jelas sekali. Dia kenal pun tidak dengan Irfan itu. Tambahan pula, dia sekarang cacat penglihatan. Takkanlah dia sanggup menjadi beban buat Irfan? Dan yang paling utama, lelaki itu bernama Irfan Naufal! Nama yang cukup sama sebutannya dengan nama lelaki jahanam yang pernah merosakkannya. Dia tidak mahu terkenangkan kisah silamnya yang pahit itu nanti bila saja nama lelaki itu disebut-sebut. Jadi, sudah tentulah alasan-alasan ini terlalu konkrit dan akan sentiasa tersemat kemas di hati dan mindanya.
 
Irfan terkedu. Tidak tahu apa yang boleh dikatakan lagi. Ikut logiknya, tentulah gadis itu menolak. Takkanlah senang senang Najwa mahu berikan jawapan ‘ya’ selepas orang yang baru sahaja dikenalinya mengajak dia berkahwin. Betul juga tu... Irfan menggigit bawah bibir berkali-kali sambil mengusap rambutnya.

“Maafkan saya, Cik Najwa... Tapi saya memang serius nak bertanggungjawab... Sebab sayalah Cik Najwa hilang penglihatan. So, saya harap sangat dapat menjaga Cik Najwa selalu untuk menebus kesalahan saya ni...”
 
No!” getus Najwa lagi seraya tergeleng-geleng.

“Saya tak harapkan sampai macam tu sekali untuk awak tebus kesalahan awak. And, for your info, kemalangan ni berlaku pun atas kesilapan saya jugak. Lampu kereta saya terpadam waktu tu... So, this is not 100% your fault. It’s my fault too... Dan saya harap Encik Irfan faham serta tak payah rasa bersalah sampai macam tu sekali... Kahwin ni bukan boleh dibuat main-main. Lagipun, saya takkan berkahwin dengan orang yang tidak sayangkan saya sebaliknya hanya bersimpati atau rasa bersalah macam yang Encik Irfan cuba buat ni... I need love to go on a marriage life...” sambung Najwa panjang lebar.

Irfan mengeluh lagi. Nampaknya bukan senang untuk memenangi hati Najwa. Alasan gadis itu memang bernas dan Irfan begitu kecewa apabila lamarannya ditolak.

“Baiklah Cik Najwa. Kalau Cik Najwa perlukan cinta untuk berkahwin dengan saya, saya akan pastikan Cik Najwa jatuh cinta pada saya. Lambat atau cepat, saya tak kisah. Asalkan saya berjaya membuatkan Cik Najwa jatuh hati pada saya...” balas Irfan, nekad.

Tergamam lagi Najwa dan Tinie dibuat Irfan. Memang lelaki itu nampaknya serius, detik hati Tinie. Najwa juga dapat merasakan bahawa Irfan memang serius mahu memperisterinya. Tetapi, bukan semudah itu untuk dia menerima Irfan. Tidak sekali-kali.

“Sudahlah Encik Irfan... Tolong jangan buang masa awak untuk saya. Tak perlu awak korbankan hidup awak untuk gadis buta macam saya ni...”

“Saya tak kisah awak buta. Lagipun, salah saya juga awak menjadi buta... So, please give me chance to protect you until the end of my life... I am ready to love you. Only you!” jawab
Irfan lagi.
 
Najwa menelan air liur. Cakap memanglah senang. Ingat mudah ke untuk rasa cinta itu hadir dalam hati seseorang? Tawa sinis Najwa kedengaran meletus.

“Thanks, but no thanks... Saya faham, niat awak memanglah baik. Tapi, saya rasa awak dah dipengaruhi oleh emosi yang entah apa-apa... Tak perlu pun awak bercakap dengan yakin sampai macam tu. Saya ni buta, saya ni bakal menjadi beban untuk semua orang... So, just leave me alone... I am so sorry, I can’t marry you...”

“Tapi...” Irfan cuba bersuara lagi. 

“No! And it’s still no! You got it? Saya minta maaf banyak-banyak ye Encik Irfan... Jom, Tie... Kita masuk...”  tekan Najwa. Hatinya ditetapkan supaya berpegang teguh pada pendiriannya.

Tinie mengangguk dalam perasaan serba-salah melihat wajah Irfan yang memang kecewa habis itu. Rasanya lelaki itu dah pun frust menonggeng-nonggeng ketika ini. Lengan Najwa dipegang Tinie semula. Dia memimpin tangan Najwa memasuki bilik wad, meninggalkan Irfan sendirian di luar. Irfan duduk di kerusi berdekatan. Keluhan besar dilepaskan lalu rambutnya diusap kasar. Susahlah kalau macam ni! Apa yang perlu aku lakukan ni? Irfan sudah buntu.

No comments:

Post a Comment