“IMAN, temankan Zara pergi joging, jom!” Ajak Zara. Dia mahu berjoging kerana pahanya sudah membesar sehingga seluarnya yang bersaiz dua puluh tujuh itu sudah tidak muat lagi! Itu membimbangkannya.
“Iman ada kerja yang nak kena siapkan ni. Mana kawan-kawan Zara?” Soal Aiman di hujung talian. Zara mendengus. Kalau dia sudah mempunyai kawan untuk menemaninya, buat apa dia minta Aiman untuk temankan dia?
“Ala... mereka semua tak nak joging dengan Zara sebab Zara selalu pecut tinggalkan mereka.” Kata Zara seakan-akan berjauh hati dengan kawan-kawannya. Yalah!
Dah namanya joging! Mestilah berlari perlahan begitu. Bukannya berjalan. Kawan-kawan dia pula sibuk melenggang kangkung di sekitar UiTM itu. Bertambah lenggang apabila melewati padang ragbi. Tahulah tumpuan siapa yang cuba dicuri mereka. Pantang nampak abang senior yang kacak-kacak sedang beriadah sama, mulalah mereka membaiki tudung. Hembus atas tepi. Berjalan pun bukan main gemalai lagi. Huh! Tak ada kerja!
“Iman ada kerjalah Zara. Sorry. Dah dekat nak submit ni.” Aiman bersuara serba salah. Zara mengeluh hampa.
“Boleh la...” Pujuk Zara lagi. Dia pasti akan kesunyian nanti. Kalau tidak memikirkan yang dia hendak mengurangkan lemak di pahanya, sudah tentu dia batalkan sahaja hasrat untuk
berjoging itu.
“Alah, tangan Iman ni baru aje baik.” Kata Aiman lagi. Mencari alasan.
“Hmm... yang nak berlari tu nanti kaki ke tangan?” Sindir Zara geram. Aiman tergelak di hujung talian. Tahu adiknya sudah naik marah.
“Hesy! Kakilah. Iman ada kerja lagi ni.” Ujar Aiman berlembut. Belum pernah dia menolak pelawaan adiknya tetapi pada hari itu, dia benar-benar terpaksa. Dia ada kerja yang hendak dibereskan. Kerja itu pula yang menentukan markah dia nanti. Sebolehnya, dia mahu mencapai markah tertinggi bagi membolehkan dia untuk mendapat dekan.
“Tak apalah kalau macam tu, Zara pergi sorang ajelah nampaknya.” Sayu sahaja suara si adik. Talian dimatikan tanda memprotes. Zara mencapai earphone lalu disumbat ke dalam telinga dan memegang kemas telefon bimbitnya. Sejurus selepas itu, larian bermula. Lagu dipasang sekuat hati. Pedulilah kalau ada yang ingin menguratnya atau apa. Dia tidak mahu melayan. UiTM Jengka harus ‘ditawaf’ sebanyak dua kali pada setiap hari mulai hari ini.
Bermula di padang ragbi, Zara berlari dengan konsisten melalui blok kolej ijazah di mana abangnya tinggal dan kemudian dia berlari sehingga ke bangunan yang berwarna ungu dikenali sebagai bangunan Fast Track yang berada agak jauh dari tempatnya bermula tadi. Mungkin dalam satu kilometer jaraknya. Di Fast Track, dia berehat sebentar di pondok bas akibat rasa mengah. Sudah lama dia tidak joging.
Harus mati semput kalau dia menyambung lariannya tanpa berehat tadi. Setelah hampir lima minit dia berdiri di tempat hentian bas itu, dia melangkah semula dengan penuh semangat untuk ‘tawaf’ bangunan UiTM itu. Lagu Destiny Child yang bertajuk Survivor dipasang sekuat hati lantas dia berlari mengikut rentak itu. Terasa bersemangat! Cantik...
Tiba-tiba tubuhnya dihimpit oleh sekumpulan lelaki sehingga menyebabkan dia terkeluar dari garisan jalan dan hampir terjatuh ke dalam lopak air. Mujur saja dia sempat mengimbang badan dan menarik tangan salah seorang pemuda yang mengekor langkah sekumpulan lelaki tadi.
“Sorry, sorry!” Luah pemuda itu kelam-kabut. Kedua belah bahu Zara dipegang. Zara mengangkat wajahnya memandang si lelaki yang begitu berani memegang bahunya. Bagaikan terpaku, dia memandang wajah lelaki itu dengan mulut yang hampir ternganga akibat terkejut. Irsyad lagi, Irsyad lagi! Kenapa begitu kerap dia terserempak dengan Irsyad sekarang ini? Selepas kejadian Aiman patah tangan. Pasti sahaja mereka asyik terserempak di mana-mana. Kalau tidak di universiti, di bandar pun ada. Kadang-kadang di kedai makan di kawasan perumahan pelajar Non Resident. Di Taman Jengka Impian, Taman Permatang Syahbandar ataupun di Taman Desa Jaya. Mana-mana sahaja. Semuanya ada muka Irsyad! Jantungnya usah katalah! Berdegup kencang apabila melihat wajah yang satu ini.
“Maaf ya! Awak okey?” Soalnya sambil tersenyum. Pertama kali dia berasa dekat dengan Zara. Muka mereka hanya berjarak dua jengkal sahaja. Indah sungguh wajah gadis di hadapannya ini. Wajah orang yang sentiasa disayangi dalam diam. Bahu Zara dilepaskan setelah menyedari kekhilafannya.
“Apa?” Soal Zara kuat dengan muka blurnya. Dia nampak mulut Irsyad bergerak-gerak tetapi suaranya tidak ada! Irsyad hanya tersengih apabila suara Zara tiba-tiba memekik menyoalnya. Dia faham kenapa. Matanya mengerling pada telefon bimbit di tangan Zara. Zara ternganga sebelum ikut memandang ke tangannya. Eh! Aku pasang earphone! Dengan
kalut dia menekan butan pause lagu yang dipasangnya tadi.
“Apa awak cakap tadi?” Soal Zara sekali lagi. Kali ini suaranya lebih lembut dan perlahan berbanding sewaktu dia mendengar lagu tadi.
“Saya cuma cakap, saya minta maaf.” Ujar Irsyad sambil menahan senyum.
“Oh! Tak apa.” Ujar Zara dengan suara mendatar lantas terus meninggalkan Irsyad di situ. Pipi ditampar berkali-kali. Betul ke Irsyad yang memegang bahunya tadi? Betul ke Irsyad meminta maaf dengannya tadi? Betul ke dia dapat melihat wajah Irsyad sedekat itu? Jantungnya bagaikan tersumbat di saluran esofagus! Tidak percaya. Mungkin dia sedang bermimpi. Hendak berpaling atau tidak?
Kalau dia berpaling, buatnya Irsyad tiada di situ? Mimpilah namanya. Dan bila mimpi, tentu dia bakal kecewa jika Irsyad tiada di situ. Kalau pun Irsyad masih di sana, sanggup ke
dia nak menatap wajah Irsyad? Sedangkan berpandangan tidak sampai seminit dua pun hatinya tersangat tak tenteram! Huh! Akhirnya dia mengabaikan sahaja rasa hatinya yang ingin tahu mengenai ‘kewujudan’ Irsyad itu.
Lagu dipasang semula sekuatnya. Dia yakin, memang Irsyad yang menegurnya tadi. Senyuman perlahan-lahan menguntum di bibirnya. Tadi, bibirnya terasa beku untuk mengukir senyum buat Irsyad. Senyuman Irsyad berjaya membekukannya. Ah! Malu betul! Mesti Irsyad kata dia sombong! Padahal dia masih dalam mood susah nak percaya kejadian tadi.
Rambut tocang Zara beralun mengikut rentak kakinya. Sampai di sebuah tasik, sekali lagi Zara menghentikan langkahnya. Dia menyeberangi jambatan untuk ke tasik kecil itu. Penat sungguh dia rasa. Seperti tidak boleh bernafas! Sudah lama benar dia tidak berjoging. Satu UiTM ini pun masih belum habis pusing. Ada hati nak buat dua pusingan? Kalau Aiman ada, tidaklah terasa bosan sangat dia.
IRSYAD MENGELUH hampa. Dipandang tangannya yang digenggam Zara secara tidak sengaja tadi. Lembutnya jemari gadis itu. Harus dia tidak tidur malam angaukan Zara. Malangnya, gadis itu terlalu sombong. Senyum pun tak! Ucap terima kasih lagilah tidak! Bukannya dia yang melanggar Zara tadi tetapi sekumpulan lelaki di hadapannya. Dia meminta maaf bagi pihak lelaki itu. Semasa di padang ragbi lagi dia sudah mengejar langkah gadis itu secara perlahan-lahan.
Semakin tidak keruan dia apabila melihat Zara disiul-siulkan sekumpulan lelaki nakal yang menaiki motor yang lalu lalang di kawasan itu. Lepas satu peewit ke satu peewit yang lain. Terbakar sungguh jiwa raganya. Akhirnya dia menyaingi langkah Zara dan berlari sehingga beriringan dengan Zara. Tetapi malang menemuinya apabila Zara mengelak daripada beriringan dengannya. Zara berlari lebih laju ke hadapan. Irsyad mengeluh lagi. Sukarnya mendapatkan perhatian daripada seorang gadis yang dipanggil Zara! Kalau gadis lain, baru ditegur ‘hai’ pun terus berebut-rebut ingin berlari dengannya. Sedangkan Zara? Gadis itu ternyata berbeza benar! Dia rasa tercabar apabila tidak dikejar!
Dia tidak berputus asa, langkah Zara dikejar lagi. Baru lagi beberapa langkah hendak menyaingi langkah Zara, tiba-tiba telefon bimbit gadis itu berbunyi. Zara berhenti seketika untuk berjalan sambil menjawab panggilan. Irsyad ikut berjalan sama di belakang Zara.
“Helo!” Suara Zara mendatar sahaja. Siapa? Dalam hati Irsyad mula tertanya-tanya. Aimankah?
“Ya, Iman.” Zara menyahut tidak lama kemudian. Tersentak Irsyad mendengar sepatah nama itu. Tidak bolehkah sehari dia tidak melihat Zara dengan Aiman ataupun tidak mendengar nama Aiman disebut Zara? Hatinya sakit! Cemburu menguasai dirinya lagi apabila sepatah nama lelaki yang cukup dibencinya itu meniti lembut di bibir Zara. Tak apa, cinta zaman universiti tak akan kekal punya! Kau masih ada harapan, Ichat! Irsyad cuba menyedapkan hati sendiri.
“Hmm... Tadi Iman kata tak nak lari sama. Zara larilah sendirian aje. Zara dah nak lengkapkan satu pusingan dah pun!” Zara bersuara merajuk. Kaki dihentak-hentak geram. Irsyad menahan rasa sakit hatinya mendengar rengekan Zara itu.
Bermanjalah tu. Irsyad mencuka waktu itu juga. Mana Aiman ni? Nak kena tonyoh dengan kayu hoki agaknya! Dia baru sahaja mencari peluang untuk mendekati Zara. Tadi sebenarnya dia baru sahaja memakai kasut untuk bermain ragbi, tiba-tiba matanya melihat kelibat Zara bersendirian. Terus sahaja dia menarik diri dan mengejar langkah Zara. Bukannya senang untuk dia melihat Zara bersendirian seperti sekarang!
Biasanya Zara dengan Aiman itu macam belangkas. Kalau sebatang pen itu boleh berkongsi pun mereka akan berkongsi bersama. Aiman ni, apa yang susah? Layan sahajalah Zarina yang sudah lama menaruh hati kepada dia! Kasihan Zarina beberapa kali makan hati disebabkan Aiman tidak melayannya. Malah, Aiman sering keluar bersama dengan Zara ke mana-mana. Sampaikan dia naik rimas melihat Aiman dan Zara!
“Yalah, yalah. Kita jumpa dekat depan kolej tu kejap lagi. Iman tunggu ya!” Suara Zara mematikan lamunan Irsyad. Dia berjalan menghampiri Zara dan menghadiahkan senyuman
mesra. Tiba-tiba ada pula seorang makhluk yang muncul entah dari mana.
“Irsyad sayang, bukan ke you biasa main ragbi petang-petang macam ni? Apa yang dah mengalih perhatian you ni?” Soal Kay. Senyuman Irsyad mati. Senyuman yang baru hendak
terbit dari bibir Zara juga mati. Dasar lelaki buaya darat! Semuanya nak bersayang! Irsyad garu kepala. Depan Zara dia dipanggil sayang oleh Kay! Kenapa masa macam tak kena sangat ni? Nanti apa pula yang Zara fikir? Memanglah Kay ada hati dengan dia dan dia pun tahu hal itu tetapi dia tidak sukakan sesiapa selain daripada Zara! Rasa nak buat pengumuman di Dataran Integrasi itu sahaja bahawa dia cintakan Zara seorang! Kenapa setiap kali dia cuba mendekati Zara, pasti ada halangannya? Irsyad memandang Zara dengan pandangan takut-takut.
Pandangan Zara begitu tajam sekali. Sempat gadis itu menghadiahkan jelingan maut sebelum kembali berjoging. Irsyad menelan liur. Dia tersekat di situ disebabkan oleh Kay! Huh!
“I tukar selera hari ni.” Jawab Irsyad. Earphone dipasang lagu sekuat hati. Tidak mahu melayan Kay lagi. Lagi pula, memang itulah tabiat pelajar yang berjoging di UiTM Jengka itu. Berjoging sambil mendengar lagu melalui mp3. Mungkin dengan cara itu dapat mengurangkan tekanan semasa berjoging kut. Dia meninggalkan Kay dan cuba mengejar kembali langkah Zara yang semakin menjauh. Dia tiba di hadapan Dewan Serba Guna atau lebih dikenali sebagai ‘Dewan Sejuk Gila’ dalam kalangan pelajar UiTM itu kerana kesejukannya yang melampau. Sekali lagi Irsyad diganggu. Kali ini dia diganggu oleh gadis yang lain pula.
“Cattt...” Leret Shila. Irsyad mendengus geram!
“Mesej boleh? Nanti Ichat call!” Kata Irsyad tetapi tangannya dipaut Shila. Irsyad memandang lesu sahaja langkah Zara yang semakin menjauh. Zara teruskan larian. Jangan
pusing! Jangan pusing! Kalau awak pusing, tentu awak fikir yang bukan-bukan tentang saya. Tolong lari Zara! Lari laju-laju!
Tiba-tiba, Zara berpusing. Perasaan Irsyad hampa saat itu juga. Zara memandangnya dengan tangan Shila yang masih melekat di lengannya. Mesti Zara akan fikir dia buaya darat! Memang dia kelihatan seperti playboy sejati! Dalam proses mendekati si gadis idaman, dia ditahan oleh seorang yang memanggilnya dengan panggilan ‘sayang’. Tidak cukup dengan itu, kini lengannya dipaut oleh seorang gadis hot stuff di UiTM Jengka yang juga merupakan rakan sekelas sekali gus merangkap gelaran rakan karib kepada Zara! Apalah nasib dia. Aduhai, masaklah aku kalau macam ni!
Kali ini jelingan Zara lebih tajam dari tadi. Tentu Zara sedang berfikir yang dia itu lelaki yang suka berfoya-foya. Payah sungguh untuk membuktikan kesungguhan...
“LAMANYA ZARA ambil masa nak sampai ke sini? Jalan jammed ke?” Sindir Aiman. Sudah lama dia menunggu Zara di hadapan kolej itu. Kalau dia buat satu pusingan tadi, tentu sahaja boleh terserempak dengan adiknya. Termengah-mengah Zara berlari menghampirinya yang sudah bersedia dengan pakaian sukannya.
“Nah! Air.” Hulur Aiman kepada Zara. Sebotol air mineral.
Dia tahu adiknya pasti kepenatan. Zara mencapai air tersebut lalu diminum. Selepas itu, dia menghulurkan semula botol air yang sudah tinggal separuh itu kepada Aiman. Aiman merunyai-runyaikan rambut si adik. Itu caranya memujuk adik yang berjauh hati dengannya tadi. Akibat rasa tidak sedap hati membiarkan Zara berjoging sendirian, dia berusaha menyiapkan kerja secepat mungkin. Zara bila dah merajuk, lama betul!
Kalau adiknya itu mematikan talian tanpa menggunakan nada yang elok, maknanya dia sedang berjauh hatilah tu. Zara hanya menjeling Aiman. Rambut panjangnya diikat semula selepas teruk dirunyaikan oleh si abang. Lengan
Aiman ditarik untuk berjoging sama. Dia rasa bersemangat hendak berjoging apabila sudah ada teman ini. Earphone kali ini disumbat ke dalam kocek. Dia mahu berbual dengan abangnya sahaja.
“Kelas Zara macam mana? Okey?” Soal Aiman ingin tahu mengenai perkembangan pembelajaran adiknya di kelas.
“Okeylah jugak. Bosan sikit. Zara tak suka betul kat budak kelas Zara tu.” Adu Zara dengan muka mencemik geram.
“Kenapa?” Soal Aiman apabila mendengar aduan si adik. Ada orang yang mengganggu adiknyakah? Dia akan bersua muka dengan sesiapa sahaja yang berani mengganggu Zara.
“Budak kelas kata Zara sombong. Zara mana ada sombong! Cuma Zara tak pandai nak berbual macam mereka. Habis satu topik, kira habislah. Kalau diaorang pulak, bermacam-macam topik ada. Macam Astro.” Bebel Zara. Itulah sebabnya dia mahu Aiman menemani dia tadi. Hanya Aiman yang boleh mendengar luahannya. Dia tidak percayakan orang lain selain abangnya sendiri.
“Pasal itu pun diaorang nak kata Zara sombong? Tak faham betul Iman.” Bebel Aiman pula. Zara terdiam seketika. Mencari nafas.
“Yalah, dulu... bila Zara buka mulut, diaorang kata mulut Zara ni macam bertih jagung. Sampai naik rimas diaorang mendengarnya. Sampai satu tahap, diaorang suruh Zara senyap. Malu tau! Nampak tergedik-gedik kononnya. Bila Zara dah tak banyak cakap sekarang, diaorang pula macam Astro. Zara nak fokus pada pelajaran. Tentulah Zara banyak
diamkan diri. Diaorang kata Zara sombong pulak! Diam salah, tak diam pun salah.” Bebel Zara sambil mendengus geram. Aiman tersengih. Biasa dah. Dalam apa jua keadaan, baik atau buruk, tetap juga akan ada mulut yang mengumpat. Itu lumrah dunia.
“Dah namanya manusia, Zara. Memanglah semuanya nak dijadikan isu.” Komen Aiman selamba. Mereka meneruskan larian dengan konsisten.
“Masalahnya, manusia tu yang buat Zara sakit hati, tau tak? Zara bukannya tak nak bercakap. Cakap lebih salah, cakap kurang salah. Dah bila orang cakap rimas nak dengar suara Zara, Zara diamlah. Lepas tu boleh pulak sindir-sindir Zara. Serba salah Zara jadinya.” Bebel Zara geram. Setelah penat berlari, dia berjalan perlahan. Aiman turut berjalan di sisi adiknya.
“Jalan terbaik ialah mendiamkan diri dan pedulikan mereka. Semua ada mulut nak mengumpat. Yang dapat dosanya, mereka tu! Nanti bila dah penat cari kesalahan Zara, diaorang berhentilah. Zara fokus aje pada belajar okey! Takkan tak ada seorang pun yang boleh dibuat kawan?” Soal Aiman serius. Maksud Aiman ialah, yang betul-betul bergelar kawan...
“Ada. Shila seorang ajelah. Dia aje yang okey dengan Zara.” Akui Zara.
“So, kawan dengan dia sajalah!” Ujar Aiman lantas merunyai-runyaikan rambut Zara. Kemudian dia melarikan diri. Zara menghambat abangnya dengan geram.
“Sepak kang!” ugutan dikeluarkan. Tanpa mereka sedar, ada sepasang mata yang galak memerhati kemesraan mereka adik-beradik. Pedih! Irsyad mendengus geram. Penat-penat dia mengekori Zara untuk menerangkan kejadian sebenar, ini yang dia dapat? Rasa sakit hati yang teramat sangat.
No comments:
Post a Comment