DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 22 February 2015

Dia Yang Terpilih - Bab 3

Beberapa bulan lalu...

JAUH aku mengelamun menelusuri kembali detik-detik zaman remajaku dahulu, waktu dan saat-saat terindah bergelar pelajar. Kini enam tahun sudah berlalu, satu masa yang cukup lama telah ditinggalkan tanpa aku sedari.

“Oit termenung pulak dia ni, takde kerja eh?” Aku menarik nafas perlahan-lahan cuba meredakan rasa terkejut yang baru sahaja dihadiahkan oleh teman sekerjaku, Naziah dan lebih tepat lagi merupakan teman sekampungku. Wajah si dia serta-merta hilang berganti pula wajah manis Naziah yang menegurku.

“Kalau ya pun nak tegur aku cik kak, janganlah main redah aje. Lain kali ketuk pintu tu dulu.” Aku menjeling geram ke arahnya. Dengan senyuman melebar bersama kening nakalnya, Naziah pantas melangkah lalu duduk di hadapanku tanpa sedikit pun terkutik dengan kata-kataku tadi. Lenggok dan gayanya seperti biasa. Harum semerbak wangian Christian Dior memenuhi ruangan bilikku. 

“Dengan kau aje aku buat macam ni pun, dengan orang lain tak...” jawabnya selamba, bagaikan syarikat ini dia yang punya.

“Kenapa pulak?” Aku tidak berpuas hati dengan jawapan selamba badaknya itu.

“Cik puan, dah pintu tu terbuka... nak ketuk buat apa lagi? Kau tu yang syok sangat termenung sampai aku tercegat kat situ pun kau tak nampak. Ingatkan siapa? Buah hati  ek...” duganya.

Siapa pula yang keluar tak tutup pintu? Aku pura-pura menyibukkan diri. Bagaikan terkena batang hidung sendiri, nasib baiklah dia tidak perasan rona wajahku yang mulai bertukar warna. Namun benarkah dia buah hatiku? Tidak... tidak... kami belum pernah declare sebagai pasangan kekasih. Dia pun entah ke mana menghilang, meninggalkan aku tanpa pesan.

“Bukan aku sengajalah! Aku ‘ter’ termenung aje, tetiba aje teringatkan zaman-zaman belajar dulu.” Terangku apabila melihat Naziah mula tersengih-sengih. Tentu dalam kepala otaknya memikirkan yang bukan-bukan. 

Wajah Kamil Hakim mula menjelma kembali saat aku sedang berhadapan dengan Naziah. Mengapalah sejak akhir-akhir ini wajah itu kerap benar menjelma. Jika Naziah dapat melihat apa yang terpapar di layar mataku kini, pasti dia tidak menang mulut bertanyakan itu dan ini. 

Aku tersenyum sendirian, namun hanya seketika. Ada sesuatu yang belum diselesaikan di antara kami dan sehingga kini aku mengharapkan agar dia menunaikan janjinya. 

“Eh... dah lama aku tak nampak Pian, dia ke mana ek?” Tiba-tiba nama Pian terpacul dari bibirku sedangkan aku sekarang mengingati Kamil Hakim. 

Pian? Ya... Pian teman sepermainan masa kecil kami dahulu. Sudah lama aku tidak melihatnya. Ada juga aku terdengar bisik-bisik opah dan emak, katanya Pian tidak sempat menamatkan pengajiannya. Aku bertambah hairan. Pian pelajar terbaik sekolah kami, apa yang  menyebabkan dia tak dapat menamatkan pengajiannya. Patutlah sejak peristiwa dulu itu aku tidak pernah nampak Pian lagi. Aku dan dia terus terputus hubungan sejak itu. Hajat hati hendak juga mengorek cerita, namun sebaik sahaja aku menjejaki rumah opah, pasti ‘kajian tempatanku’ terbengkalai di situ. 


“Best juga bunyi soalan kau ni Maira. Tiba-tiba aje kau sebut nama Pian ni kenapa? Kau teringatkan dia ek.” Mata nakal Naziah menggambarkan isi hatinya.

“Apa pulak yang bestnya? Hah dah... jangan nak gosipkan aku dengan dia pulak.” Naziah ketawa sebaik sahaja  aku mengeluarkan ayat amaran itu. Tidak sia-sia juga aku terkeluar nama Pian, sekurang-kurangnya tidaklah aku digasak dengan soalan mautnya melihat aku termenung tadi.

Sebut sahaja nama Pian, pasti berseri wajahnya. Aku tidak pasti dan tidak mahu menebak perasaan Naziah terhadap Pian. Sememangnya aku tak kisah apa yang mahu diusiknya, yang penting hati aku masih lagi kepada si dia yang berada entah di mana. Ke manakah dia menghilang selepas mengikat hatiku dengan janjinya? Aku ingin sekali menatap wajahnya kerana di hati ini terlalu lama menyimpan rasa rindu. Aku mahukan jawapannya.

“Ada juga aku teringatkan dia, dah lama betul tak nampak dia kan, kalau balik kampung pun belum tentu terserempak dengan dia. Mana dia pergi ek Maira?” Naziah juga menyatakan hal yang sama seperti apa yang ada dalam fikiranku.

“Aku rasa dia kecewalah Zie...”

“Kecewa? Dengan siapa pulak?”

Tersentak aku dengan suara Naziah itu, pantang hal berkaitan dengan Pian disebut, mulalah mahu jadi penyiasat persendirian. Teringat pula aku pada zaman kanak-kanak kami. 

Naziah sering kali mahu digandingkan dengan Pian setiap kali kami bermain bersama, tidak kiralah permainan apa sekalipun. Dia tanpa segan silu akan menarik tangan Pian dan Pian  hanya tersipu-sipu malu dengan kelakuan Naziah. Ah! Itu zaman kanak-kanak. Apa yang Naziah tahu, yang ada dalam fikirannya hanya untuk menang dan menjadi juara, mengalahkan aku ialah misinya yang utama. Pianlah Hero Malaya dan juga hero hatinya.

“Dengan kaulah... kau tolak cinta dia, kan...” kataku sambil ketawa kecil. Naziah membulatkan matanya geram. Aku sempat mengelak jari-jemari runcing miliknya daripada menyakiti lenganku. Sakit giler kalau sepit ketamnya sudah mendarat di kulit lenganku.

“Hei! Tolong sikit cik puan! Bila masa pulak aku sukakan dia dan dia sukakan aku? Tapi aku rasalah kan, dia kecewa dengan kau la Maira, ya la dulu masa kita kecik-kecik dulu kan, dia paling rapat dengan kau. Tapi bila besar, dia macam jauhkan diri aje, kau ada tolak cinta dia ke? Manalah tahu dalam diam, kau orang pernah bercinta masa belajar dulu,” provoke Naziah. Langsung tidak berbekas di hatiku. Rahsia hatiku hanya aku dan Dia sahaja yang tahu.

“Amboi-amboi... kau punya teori mengalahkan saintis la. Suka hati mulut kau je nak cakap ek…”

Aku diam seketika memutarkan kembali kenangan-kenangan silam kami.

“Entah la... masa belajar dulu pun, dia tu macam bermusuh dengan aku. Mulanya aku pelik juga. Tapi apabila  fikir-fikirkan, aku anggap aje mungkin dia segan dengan aku tak. Yalah... bila dah besar, jadi lain la kan.” Naziah cuma mengangguk dengan kenyataanku. Khusyuk benar dia mendengar ceritaku. Nasiblah Zie, kau dah termakan umpanku. 

“Kau tak pergi merisik dia ke Zie?” 

“Hajat hati tu nak juga, tapi kena tunggu aku balik kampung la.” Katanya selamba.

Aku terdiam tidak menyangka dia akan menjawab begitu. Bukan boleh dipercaya sangat dengan Naziah ni. Kalau aku suruh merisik bertanyakan khabar, bukan menjadi satu masalah kepadanya, maklumlah seluruh kampung mengenali siapa Naziah. Seorang yang peramah, hatta dengan orang yang baru dikenalinya sekalipun.

“Nanti aku nak tanya Haji Din, kenapa Pian jadi macam tu. Aku nak selidik, sama ada kau pernah kecewakan dia tak. Lepas aku dapat jawapannya, aku nak suruh Haji Din tu masuk meminang kau. Aku cakap la Maira dah lama tunggu anak pak cik, yang sudah tu sudah la.” Kata Naziah sambil melepaskan tawanya.

Aku menghempuk fail ke lengannya, pun begitu dia sempat mengelak.

“Kalau Haji Din tu tak nak... kau nak buat macam mana?” dugaku lagi. Masih mahu meneruskan omongan kosong kami. Kerja bertimbun di atas meja bagaikan bukan satu masalah kepadaku. Seronok pula berbual pasal anak teruna Pak Din.

“Kalau Haji Din tak nak, aku pujuk la dia. Aku cakap macam ni... pak cik, kawan saya si Maira tu dah lama tunggu anak pak cik. Sampai sekarang dia tak kahwin-kahwin lagi tau. Saya rasa baik pak cik pinangkan Maira tu untuk Pian. Lagipun Pian tu tentu sukakan Maira pak cik. Mereka nampak sepadan aje bagai pinang dibelah dua.” Ujarnya dengan suara yang dilembutkan. Naik meremang bulu tengkukku apabila Naziah berbicara begitu.

“Kalau kau pujuk dengan gaya macam ni, aku gerenti Haji Din tu terus masuk meminang, tak bertangguh lagi dah...” 

“Amboi suka nampak. Takkan kau tak kenal siapa aku  ni Maira, ini Naziah la... kacang aje semua tu.” Sengaja suara dan mimik mukanya disombongkan.

“Aku belum habis cakap lagilah kau dah potong, aku nak cakap Haji Din terus masuk meminang kau... bukan untuk si Pian tapi untuk dia. Pian akan panggil kau Mak Uda Zie la lepas ni... hahahaha.” Naziah menudingkan jari telunjuknya ke arahku, mungkin geram dengan kata-kataku yang terkena batang hidungnya. Haji Din pun dah lama menduda.

“Malaslah aku nak layan kau.” Katanya sengaja merajukkan diri. 

“Sebenarnya, ada apa hal kau ke sini?”

“Kau tak tengok jam ke? Sekarang dah lunch hour tau tak?” jarinya ditudingkan ke dinding. 

Aku mengerling jam di dinding, jelas menunjukkan pukul 1 petang. Sangkaku dia hanya bergurau tetapi ternyata aku silap. Aku segera mengemas apa yang patut, nanti lambat pula masuk office. Baru terasa perut sudah minta diisi. 

“Itulah kau, asyik termenung aje kerjanya. Nasib baik  tak terlepas waktu makan tau. Mujurlah kau ni kawan aku, kalau bukan... dah lama aku tinggalkan kau sorang-sorang berangan kat sini. Biar kebulur satu hari.”

Aku hanya tersengih memandangnya. Ya betul juga katanya, kalau tidak tentu aku akan kebulur seharian di sini, kenyang dengan khayalan yang menjelma tidak kira waktu itu. 

“Jom KFC... aku belanja.” Ajakku sambil mengemas seberapa segera kerja yang masih berbaki.

“Orrait... dah lama aku tak pekena ayam kampung KFC tu,” balasnya sengaja mengenakan aku yang sememangnya takkan lupa pada ayat itu. Yalah mana mungkin aku melupakannya ayam kampung KFC, satu baris ayat yang boleh mengimbau kembali detik-detik terindah dalam hidupku. Aku yang teringin hendak makan ayam KFC sewaktu zaman kanak-kanakku dahulu disajikan dengan ayam kampung yang disalutkan dengan tepung.

Apabila digoreng, rupanya sebiji macam ayam KFC. Cuma isinya sahaja yang terasa sedikit liat. Tapi dek kerana terlalu inginkan ayam KFC, emak menyediakan juga untukku dan Imah. Dan akhirnya kami berjaya menghabiskan seekor ayam kampung yang digoreng bersalut tepung. Naziah juga turut menikmatinya bersama kami walaupun pada mulanya dia malu-malu kucing menyertai kami. Tapi dialah yang paling banyak habiskan ayam KFC kami.

 

SUASANA RESTORAN makanan segera itu sedikit lengang, sudah tentu banyak pilihan tempat duduk. Aku dah Naziah memilih untuk duduk di bahagian tepi bersama dulang yang penuh berisi.

“Maira, cuba kau tengok budak tu. Cute, kan. Dia pandang aku la.”

Aku berpaling ke arah kanak-kanak yang dikatakan oleh Naziah tadi. Kanak-kanak yang sedang memandang kami itu begitu comel sekali. Dia tersenyum apabila aku dan Naziah mengacahnya. Sesekali ibunya turut berpaling ke belakang. Kami saling berbalas senyuman.

“Bertuah la mak budak tu, dapat anak comel macam tu.” 

“Kalau dah rasa teringin sangat nak menimang anak, baik kau kahwin aje Zie. Tak payahlah tunggu si Pian tu. Tak ke mananya kau.” Aku cuba menyakatnya. Dia memandang tepat ke arahku sebaik sahaja nama Pian disebut tanpa sengaja oleh mulut gatalku ini. Lagi-lagi nama itu yang terpacul. 

“Lagi-lagi Pian, kau ni kenapa Maira? Dah rindu sangat dengan dia ek. Kalau rindu, kata rindu. Jangan sampai rindu-rinduan. Kalau sayang, kata sayang. Jangan sampai dia melayang.” Giliran dia pula mengenakan aku. Entah pantun dari mana yang ditibainya.

Itulah mulut takde insurans, nama Pian juga yang terkeluar dari mulutku sedangkan fikiranku ketika ini melayang mengingati Kamil Hakim. Seraut wajah itu aku rindui. Terlalu lama aku menanti kehadirannya. Enam tahun satu jangka waktu yang panjang. Setiap waktu aku berdoa agar dipertemukan dengannya.

Naziah masih lagi leka mengacah kanak-kanak comel itu tanpa jemu walaupun jarak kami dipisahkan dengan beberapa meja pengunjung.

“Hei cepatlah makan. Nanti mak budak tu kenyang, kau pulak yang kebulur.” Aku menegur Naziah. 

 “Orang nak main sekejap pun tak boleh.” Balasnya sambil mengambil seketul ayam lalu disuakan ke mulutnya.

“Maira... kau rasa, kalau aku kahwin lima tahun lepas, agak-agaknya anak aku dah berapa ek?” 

Dia menyoalku dengan bersahaja. Nasib baik coleslow di dalam mulutku tidak tersembur keluar. Jika tidak, sudah tentu free aje dia merasa masker buatanku.

“Manalah aku tahu Zie. Apa punya soalanlah kau ni. Usia perkahwinan bukan penentu berapa orang anak kau keluar. Tengok... berapa ramai yang dah lama kahwin, tak dapat-dapat lagi anak, yang tak kahwin pulak berlambak beranak sampai dibuang macam tu aje. So... berbalik kepada soalan kau tu, jawapan aku macam ni la. Bergantung kepada rezeki yang Allah Ta’ala nak bagi.”

“Kau ni kalau bercakap mengalahkan ustazah la. Kau patut kahwin dengan ustaz la Maira.”

“Amin... kau doakan aku ek. Moga-moga aku jumpa seorang lelaki yang boleh menjadi imam dalam hidup aku.” Kataku sambil tersenyum mesra.

“Haaa... dah nak start berangan la tu, pantang puji sikit.” Tegur Naziah seperti tahu-tahu sahaja yang aku hampir-hampir terbabas sebentar tadi. Dia cuba mengutil lenganku tapi dengan pantas aku mengelak. Kerana mengelak dari cubitannya tadi tanpa sengaja tanganku terkena sesuatu... Tang!!!

Aku melihat ke bawah, tray berwarna coklat itu sudah terlungkup ke bawah. Cawan kertas yang berisi air pepsi itu berhamburan di lantai lalu bergolek ke arah kasut lelaki itu dan sudah tentu nasi ayam KFCnya juga tidak menjadi rezekinya kali ini. Aku tidak berani mengangkat wajah maluku. Naziah masih diam di tempat duduknya, mungkin juga tergamam. 

“Maaf encik, saya minta maaf banyak-banyak. Tak sengaja.” Aku cuba mengangkat tray yang isinya sudah terlungkup ke lantai. 

“Eh takpe-takpe, biar adik tu aje yang kemas.” Katanya perlahan.

“Saya ganti balik makanan encik tu.” Mataku masih lagi menatap nasi ayam KFC di atas lantai, sayu melihat nasi yang tidak sempat dimakan itu. Kata-kataku tidak bersambut. Jejaka itu masih diam membisu. Mengiakan tidak, dan menolaknya juga tidak.

“Pemilik pipi yang merah, sirna matanya yang cantik,” sebaris ayat terluncur lembut dari bibir jejaka itu membuatkan aku tergamam. Ayat itu ayat keramat yang menghantuiku sehingga kini. Ayat yang tercipta kerana suatu peristiwa enam tahun lalu...

“HAI SI pemilik pipi yang merah, jalan laju-laju tu nak ke mana? Boleh abang ikut?” Salah seorang lelaki yang berjaket hitam dan bert-shirt merah bersuara. Aku hanya memekakkan telinga membutakan hati. Biarlah. Usikan itu tidak memberi apa-apa bekas kepadaku. Aku meneruskan langkah bersama rakan-rakanku, Sarah dan Julia. Sememangnya aku tahu namaku yang terlalu panjang itu menarik minat lelaki-lelaki berketurunan buaya untuk menyakat, pun begitu aku biarkan sahaja perlakuan mereka asalkan tidak mencabar kesabaranku.

“Mil kau tengok tu, makin laju la diaorang tu berjalan. Jaga-jaga cik kak, tersepak batu karang jatuh pulak nanti, kalau jatuh tu pandai-pandailah bangun sendiri. Kalau kami yang tolong nanti, kan timbul salah faham pula.” Usik satu suara, lalu diikuti gelak tawa rakan-rakan yang lain. Ejekan mereka langsung tidak kami hiraukan. Biarlah dia hendak cakap apa pun aku tidak kisah. Langkahku semakin laju sementara hati semakin terasa bahangnya.

“Kalau tergolek pun takkan aku senang-senang nak minta tolong dengan buaya macam korang.” Aku melepaskan geram perlahan. Julia dan Sarah menoleh ke arahku. 

“Man kau tahu tak apa maksud Najla…”

“Najla kalau tak silap aku... maksudnya mata yang cantik... kenapa kau tanya?”

“Kau rasa-rasa pemilik nama tu matanya cantik tak?” Aku kenal suara itu. Suara Kamil 

Hakim, budak bandar yang menjadi kegilaan ramai gadis kampus, entah apa  kelebihan yang ada padanya menjadikan dia antara pelajar yang menjadi perhatian mungkin hanya berbekalkan kekacakannya atau mungkin juga berkelebihan sebagai anak orang senang. Soalan tidak bertamadun jejaka perasan itu semakin membangkitkan rasa sakit hatiku yang mulai tumbuh. 

“Okey la…”

“Okey aje ke?” 

“Yalah okey la pasal mata dia tak juling.”

“Hahahahaha...” Ketawa sekumpulan lelaki itu bergema menambahkan lagi rasa sakit di hati. Ini tidak boleh jadi. Kalau dibiarkan makin galak pula dia mengutuk. Sabar Maira... sabar... Aku cuba memujuk hati sendiri membias bisikan syaitan.

“Anis tu maksudnya apa pula?”

“Anis... Entah la. Aku tak tau la… kot-kot maksudnya sirna.”

“Sirna? Apa tu?”

“Ala itu pun tak tahu ke. Sirna tu tak bercahaya la, lebih kurang macam pudar…” bersungguh-sungguh suara itu menerangkan untuk memberi kefahaman kepada yang lain-lain. Ah! Dia pula yang bersuara. Suara yang tidak asing lagi dari pendengaranku, Suffian teman sepermainanku semasa kecil dahulu. Tapi mengapa sejak menginjak dewasa kami bagaikan seteru. Dia atau akukah yang menjauhkan diri? Mungkin kedewasaan membatasi perhubungan hingga menjadikan kami sebagai musuh.

“Diterbalikkan nama Anis tu jadi Sina tambah R kat tengah-tengah tu jadi Sirna. Jadi kalau kau gabungkan nama keseluruhannya tu jadi maksudnya macam ni... si pemilik pipi yang merah sirna matanya yang cantik…” kata Pian bersungguh-sungguh.

Rasa geram yang cuba aku pertahankan semakin nipis pula kali ini. Aku sudah mencongak-congak. Mahu menyerang atau mengalah.

“Apa pulak macam tu?” Dua tiga orang mulai membantah serentak. Perbalahan yang tidak ada faedah langsung bagiku. Mereka mula bertelagah sesama sendiri dengan maksud namaku. Beberapa orang pelajar yang melintasi turut menjeling-jeling ke arah kami. Julia dan Sarah cuba menahan tawa. Tangan kiriku yang mendakap buku-buku kuliah tiba-tiba terasa menggigil. Aku hilang sabar dengan rasa membahang di dada, jantung mulai berdegup kencang dan akhirnya aku lencongkan kakiku ke arah mereka tanpa memberi sebarang isyarat membuatkan temanku terpinga-pinga.

“Hoi korang! Dah takde kerja lain ke? Apasal nama aku pulak jadi bahan lawak.” Marahku dengan sikap kurang ajar mereka. Ternyata jerkahan itu memeranjatkan mereka. Jangan diduga wajah yang tenang ini tidak mampu memucatkan wajah-wajah kematu buaya-buaya ini. Sarah dan Julia kelihatan sedikit kalut. Suffian sedikit terkebelakang, mungkin tidak menyangka teman sekampungnya ini sudah naik hantu.

“Oi... oii... dia dah marah la...” Amarahku tidak diendahkan. Jelas suara itu sengaja mengejek aku semula. 

“Kau ingat kau tinggi macam Hrithik Roshan aku takut ke?” Aku merenung ke dalam anak mata lelaki yang menjadi ketuanya dengan perasaan marah. Beberapa orang rakannya ketawa kecil termasuk Suffian atau lebih aku kenali dengan gelaran Pian. Lalu aku hadiahkan jelingan maut kepada Pian. Biar dia mengerti yang  aku tidak suka namaku dipermainkan mereka. Dia melarikan pandangan seakan terkesan akan kemarahanku. Aku kembali menatap wajah lelaki bertubuh sasa itu. Ketinggiannya bukan menjadi ukuran untuk aku berdiam diri atau merasa takut kepadanya. Bukan hari ini sahaja mereka mengejek tapi sudah seminggu dan sesuatu perlu aku lakukan untuk menutupi mulut mereka.

“Nama kau ke yang kami duk sebut-sebut ni?” soal lelaki itu dengan lagak sombong. Ada ke patut dia boleh tanya aku balik, dasar buaya tak sekolah! Memang dia tepat cari ‘cikgu’ untuk menyekolahkannya. 

“Kalau bukan nama aku, takkan aku marah macam ni, bodoh!” Aku melepaskan geram yang tersimpan dari tadi. Rasa yang sudah tidak terbendung lagi. Hari ini biarlah gunung berapi di dadaku meletus. Sudah seminggu juga asyik berasap dan mengeluarkan debu.

“Oit…jaga-jaga Mil, dia dah naik minyak tu.” Aku merenung ke arah suara yang semakin membakar  jantungku. Mataku tepat memandang ke arah Pian. Dia melarikan anak matanya daripada ditenung olehku, mukanya sedikit menyusup di belakang badan rakannya, mungkin tidak sanggup bertentang mata denganku ketika ini. Sarah dan Julia sudah beberapa kali menarik lenganku supaya menjauh. Ah! Aku tidak peduli. Selama ini aku biarkan mereka mengutuk sesuka hati tapi tidak kali ini. Biar aku ajar mereka cukup-cukup. 

“Kau tahu tak apa makna nama yang mak bapak kau bagi pada kau tu?” soalku sambil mendongak kepala memandang lelaki itu.

“Entah…” Jawabnya sambil menjongket bahu. Sama ada dia tahu atau buat-buat tidak tahu, aku malas ambil peduli. 

“Kalau kau tak tahu, biar aku jelaskan. Kamil maksudnya Yang Sempurna, Hakim maksudnya Yang Bijaksana... tapi aku rasa takde ciri-ciri tu dalam diri kau langsung. Entah-entah mak bapak kau panggil kau baby tak? Sebab tu la kau jadi macam ni, kurang sempurna dan terlebih bijaksana.” Aku menceberkan bibir ketika menyebut nama baby. Waktu itu aku lihat wajahnya sudah kemerah-merahan menahan malu, ditambah pula ketawa rakan-rakannya yang semakin menggila.

Puas... Ya puas! Itulah yang dapat aku gambar hatiku ketika itu kerana dapat mengajarnya cukup-cukup. 

“Kau jangan nak kurang ajar ya, jangan main-main dengan nama aku!” Marah lelaki itu, tapi kemarahannya langsung tidak sedikit pun menakutkan aku. Amboi-amboi... marah pula namanya dipermainkan, tapi nama aku boleh pula diejek-ejek. Undang-undang mana dia pakai. Gumamku dalam hati.

“Kau siapa nak mengutuk nama yang mak bapak aku bagi?” Kemarahannya jelas. Urat lehernya sedikit timbul. Bibirnya yang bergerak kecil menahan geram itu aku perhatikan. Raut wajahnya sudah kemerahan. Aku merenung tajam ke dalam anak matanya dan cuba menentang rasa marah yang membuak di hatinya. Berjaya juga aku membuatkan dirinya kepanasan.

“Aku!” Aku menuding jari ke dadaku.

“Anis Humairah Najla gadis yang kau kutuk maksud namanya tadi. Aku hairan ya kenapa nama kau yang tak sedap langsung tu tak boleh dikutuk. Ada akta ke yang mewartakan nama kau tu tak boleh disebut atau dikutuk sesiapa?”

“Ehem… ehem...” suara Naziah berdeham kecil mengembalikan aku ke alam nyata. Kisah enam tahun lalu itu terimbau kembali dalam benakku. Aku melihat di sekeliling. Semua mata tertumpu ke arah kami. Aku tersipu-sipu malu, menjadi perhatian mereka.

Aku mendongakkan sedikit wajahku menatap pemilik suara yang aku rindui sekian lama. Wajahnya sedikit berubah. Berkumis tipis, matanya bercahaya dan senyuman yang meruntun seluruh jiwaku. Diakah yang aku nanti? Lama aku menatap seraut wajah itu, badannya yang tampak sasa jauh berbeza dari dulu. Tuhan telah makbulkan doaku. Pertemuan yang tidak disengajakan telah diatur sempurna oleh Yang Maha Pencipta.

“Kamil Hakim...” Sebaris nama itu aku sebut lancar. Menggigil seluruh tubuhku kini, aku menarik nafas perlahan-lahan. Wajah yang muncul di depan mataku kini benar-benar melarikan ketenangan hatiku. Aku langsung tidak menyangka selama enam tahun, akhirnya dia muncul juga. Dia hanya tersenyum lalu mengangguk kecil mengiakan bahawa hanya dialah pemilik nama itu. 

“Apa tercegat lagi ni? Berapa lama nak berdiri kat situ? Kalau ya pun tergamam, takkan tak boleh nak duduk.” Perlahan suara Naziah menuturnya, menampar hangat cuping telingaku. Nasib baik aku bertudung, jika tidak... sudah tentu jelas kelihatan rona kulit wajahku yang bertukar. 

“Come join us...” ajakku kepada Kamil Hakim yang masih tersenyum dan hanya menurut. Aku pula yang menggelabah saat ini. Kelu lidah bersama kakunya seluruh anggota badanku ini.

No comments:

Post a Comment