DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 27 June 2016

1st Class Mistress - Bab 10

DATO’ Adam tunak menghantar bola golf dengan
mata, saat ia bergolek menuju ke lubang laman yang direka
khas untuknya berlatih bermain.
Kluk!
Tepat! Javier, pembantu peribadi yang setia berdiri di
sebelahnya menepuk-nepuk tangan dengan ceria.
“Well done, Dato’. You makin lama makin handallah.
Charity tournament tahunan ni pasti you yang akan menang.”
Bodek Javier, mengasah bakat melembutkan gigi dari lidah.
“Javier, mulut manis you memang selalu buat I rasa
senang hati. Pandai ya? Lepas ni, temankan I pergi shopping.
You pun dah lama I tak belikan apa-apa, kan?” ujar Dato’
Adam sambil mengusap-usap bahu Javier.
Semakin lebar senyuman Javier dibuatnya.
Bayang-bayang jam tangan mewah Roger Dubuis yang baru
saja dilihatnya melalui internet, berlegar-legar di ruangan
mata. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Kena
bodek lebih sikit ni, mana tahu dapat beli jam idaman di kota
London.
“Amboi! Merpati dua sejoli ni...” Mendada Datin
Mirrah berjalan menuju ke arah Dato’ Adam yang tidak dapat
melindungi rasa sebal dengan kehadirannya. Kaca mata
hitam Prada, megah tersangkut di hidung buatan Doktor
Kim, pakar pembedahan plastik yang terkenal di 'teukbyeolsi'
a.k.a. Seoul, Korea Selatan. Siapa yang tidak kenal akan
Datin Mirrah? Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki,
semuanya sudah diubah. Sudah tidak ada yang semula jadi
lagi.
“Tak pernah-pernah nampak muka you di rumah
waktu hujung minggu macam ni. Kenapa? Anak ikan you
sibuk layan mak datin yang lain ke?” sindir Dato’ Adam
bersahaja.
Datin Mirrah ketawa berdekah-dekah. Sungguh
jelik bunyinya kedengaran di cuping telinga hingga boleh
mengundang jengkel dalam hati sesiapa. Punggung bersalut
gaun ketat dilabuhkan ke kerusi rehat. Kaki kanan disilangkan
ke atas kaki kiri. Gaya seorang mak datin!
“Adam... Adam... Jangan cakap you masih marahkan
I pasal perempuan tak guna tu.”
“Perempuan itu ada nama, Mirrah.”
“Oh, please. Adam, you tak boleh salahkan I, tahu
tak? You yang tak pandai simpan perempuan! I dah cakap
terus terang, malah berkali-kali. Kalau nak buat hal di
belakang I, pastikan ia kekal di belakang I. Sebab, sekali I
dapat tahu, nahas!”
Dato’ Adam mengulum kata-kata makian di dalam
mulut. Perempuan di hadapannya ini tidak pernah gagal
untuk menyakitkan hatinya. Mujur Datin Mirrah masih
banyak gunanya. Kalau tidak, sudah lama dia ingin hapuskan
saja perempuan ini.
“Ingat Adam. Pandai makan, pandailah simpan.
Jangan sampai I kerjakan perempuan tu tanpa belas
kasihan suatu hari nanti. Air muka I, lebih penting daripada
mana-mana perempuan jalanan seperti dia. Di mana I nak
letak muka I yang cantik ni, kalau kat mana-mana I pergi,
orang asyik bergosip pasal orang tua ganyut macam you yang
asyik mengendeng perempuan murah macam tu?”
Dengan kata-kata terakhir itu, Datin Mirrah
meninggalkan Dato’ Adam dengan rasa sebal yang
menyakitkan. Langkahnya tiba-tiba terhenti. Datin Mirrah
memusingkan badannya, sambil mencekak pinggang sebelah.
“By the way, dari ceruk mana kisah Yusuf boleh
masuk dalam hikayat Dato’ Adam ni? Jangan cakap
perempuan you tu jatuh cinta pulak dengan Yusuf, ya?
Habislah you, Adam... I kenal benar dengan Yusuf. Nanti, tak
pasal-pasal luka lama berdarah kembali. Hahaha. I tak hairan
kalau perempuan tu pilih Yusuf, muda, segak and very, I
repeat, very manly. Kesianlah you tinggal sorang-sorang
sebatang kara. Mana nak cari perempuan yang bodoh ikut
telunjuk you lagi?” sindir Datin Mirrah buat kesekian kalinya,
meninggalkan bom di hati Dato’ Adam sebelum benar-benar
berlalu pergi.
“Dato’, don't tell me Yusuf yang Datin mentioned tu,
Yusuf Dzulkarnain?” Perlahan suara Javier bertanya. Tangan
diletakkan ke atas bahu Dato’ Adam sebelum ditepis kasar.
“Diam, Javier. I tak nak dengar apa-apa sekarang.
Contact Hannah. I nak jumpa dia besok pagi.” Tegas Dato’
Adam terus berlalu. Putter di tangan dihempas keras ke atas
bumi.
Diri terasa diperbodoh-bodohkan. Baik oleh Mirrah,
Hannah, sekarang tambah seorang lagi, Yusuf! Ingatkan dia
boleh hidup baik-baik saja lepas apa yang berlaku. Sekarang?
Mereka memang hendak menguji sejauh mana dia boleh
bersabar agaknya!
“KAHWIN? DENGAN Jasmine Hannah? Ya, Allah... Yusuf!
Apa kena dengan Yusuf ni?” Datin Khadijah langsung berdiri
tegak menghadap si anak yang melenggakkan kepala dengan
muka tidak bersalah.
“Tak kena apanya, umi?” soal Yusuf buat-buat tidak
faham. Nada suaranya tenang sahaja meskipun dalam hatinya
berdentam-dentum dengan debar. Nampaknya, niatnya untuk
mengahwini Jasmine bakal menemui halangan. Halangan
yang besar!
“Tak kena apanya? Allahuakbar. Yusuf Dzulkarnain!
Jasmine Hannah itu kan perempuan simpanan Dato’ Adam?
Yusuf ni kenapa? Dah tak ada anak dara lain dalam dunia ni
nak dijadikan isteri? Atau Yusuf saja nak buat hati umi ni
sakit?” tempelak Datin Khadijah sambil bercekak pinggang.
Matanya melotot tajam ke arah anaknya.
“Umi tahu?” Yusuf sedikit terperanjat. Wah! Kalau
gosip liar begini, memang senang tersebar, kan?
“Manalah umi kau tak tahu, Yusuf oi! Umi kamu ni,
walaupun sentiasa jaga mulut, jaga pandangan, tapi tetap
sukar nak jaga telinga. Pantang diajak bergosip dengan
kawan-kawan datinnya yang lain, mulalah cuping telinga
melebar serupa piring ASTRO!” sampuk Dato’ Khalil yang
sedari tadi senyap sahaja. Mukanya cepat-cepat disembunyikan
di sebalik surat khabar.
Yusuf kemam bibir menahan gelak. Dalam keadaan
begini, walidnya masih lagi mampu hendak berseloroh. Haih!
Makin hanginlah Datin Khadijah nampaknya. Muka masam
si umi dijeling sebelum menundukkan kepala. Bimbang
gelaknya pecah nanti.
“Abang, ini soal serius ya. Saya minta abang
nasihatkan anak abang ni. Saya lebih daripada gembira dia
nak dirikan masjid. Itu memang harapan kita. Tapi, bukan
dengan perempuan yang macam itu! Allah! Mana nak letak
muka umi kalau kaum keluarga kita tanya apa kerja menantu
umi, Yusuf?” Datin Khadijah terduduk semula di atas sofa.
Pelipis kiri dan kanan diurut perlahan-lahan.
“Umi cakap aje Jasmine kerja sebagai pramugari, apa
nak susah?”
“Menjawab!” bentak Datin Khadijah membuntangkan
mata ke arah si anak.
Yusuf spontan menekur lantai.
“Bawak bersabar uminya. Ni nak berbincang atau
nak bertekak? Kalau bertekak, awak dah buat yang terbaik.
Kalau nak berbincang, rasanya tujuan tak sampai ni.” Ujar
Dato’ Khalil. Surat khabar dilipat dua, kemudian diletak
elok ke atas meja bulat kecil di tepi sofa. Kena masuk
campur cepat-cepat. Kalau tak, nanti si isteri akan mula
mendapat migrain. Si anak pula merajuk tak balik rumah
berminggu-minggu. Dato’ Khalil juga yang pening kepala
dan susah hati. Haih!
“Yusuf... bukan walid tak sokong Yusuf nak
kahwin. Kahwin itu sunnah nabi. Gerbang kehidupan yang
akan menjadikan hidup seorang muslim lebih indah dan
bermakna. Tapi nak, kalau setakat kahwin ikut sunnah, tapi
cari calon ikut suka hati, tak betul jugak. Kena cari yang
beragama dulu, Yusuf. Jasmine Hannah tu, muslim yang baik
atau tidak?” soal Dato’ Khalil dengan lembut.
“Kalau dah sara hidup jadi perempuan simpanan,
muslim yang baik ke tu?” selar Datin Khadijah.
“Umi! Yusuf tak faham umi ni. Siapa yang asyik
puji konon Jasmine Hannah tu baik hati? Pandai masak,
bersopan-santun, malahan seorang jiran yang baik? Siapa yang
pernah cakap dekat Yusuf yang dia sukakan Jasmine Hannah,
seronok berbual-bual dengannya? Ni kenapa tiba-tiba cakap
yang tidak elok pulak pasal Jasmine?” Nada suara dikawal
sebaiknya oleh Yusuf. Sekalipun dia berasa tidak puas hati,
dia juga tidak mahu mengecilkan hati uminya.
“Memanglah umi tak nafikan, Hannah tu memang
baik. Tapi...”
“Tapi? Tapi tak cukup baik untuk jadi menantu umi?
Begitu?” tebak Yusuf.
“Selama ni, umi jumpa Hannah sebagai kenalan,
Yusuf. Bukan sebagai calon menantu! Sebab itu umi tak
kisah dengan jalan hidupnya. Bagi umi, itu bukan hal umi.
Itu hal peribadi dia. Apa yang dia buat untuk menyara hidup,
tidak ada kena-mengena dengan umi. Tapi, kalau dia nak
dijadikan calon menantu umi, memang umi akan kisah siapa
dia, apa kerjanya! Ibu mana dalam dunia ni bertepuk tangan
suka kalau anaknya bawa menantu yang pernah jadi bekas
perempuan simpanan?” bentak Datin Khadijah, menutup
mulut Yusuf serta-merta.
“Kenapa diam? Tadi bukan main membela lagi.”
Sambung Datin Khadijah, sudah yakin kemenangan akan
berpihak kepadanya. Namun, dahi tuanya berkerut seribu
melihat Yusuf menggelengkan kepalanya. Ada rasa hampa
yang terlukis di wajah anaknya itu.
“Yusuf tak pernah nak cuba menafikan apa jugak
yang umi katakan pasal Jasmine, baik yang buruk mahupun
yang baik-baik. Betul... walid memang betul tentang sunnah
mencari calon isteri tu. Pun begitu, kalau nak cari calon
isteri yang beragama, Allah takkan turunkan saja calon isteri
solehah dari langit. Mungkin saja jodoh itu asalnya bukan
seorang muslim yang baik, tapi sebagai bakal imamnya,
suamilah yang sepatutnya mendidik isterinya supaya menjadi
wanita solehah.” Ujar Yusuf panjang lebar.
“Kalau semua lelaki di dunia ni hanya berharapkan
calon isteri yang sedia baik, alim dan warak, apa akan jadi
kepada wanita yang punya sejarah silam yang penuh dosa tapi
punya harapan untuk bertaubat?” sambung Yusuf lagi.
Dato’ Khalil dan Datin Khadijah masing-masing
terdiam. Mereka masih cuba untuk menghadam dan
memahami kata-kata anak tunggal mereka.
“Tak semua lelaki bernasib baik mendapat bakal
isteri yang sudah terdidik akhlaknya seperti walid dan umi.
Yusuf mungkin salah seorang daripada lelaki yang kurang
bernasib baik itu. Tapi, Yusuf bersyukur kerana dalam rasa
kurang bernasib baik itu, Yusuf dianugerahkan pula peluang.
Peluang untuk mendidik diri dan bakal isteri Yusuf untuk
sama-sama menjadi yang lebih baik. Siapa tahu, kami
mungkin boleh menjadi pasangan yang sama baiknya dengan
pasangan yang sedia alim dan warak itu.” Kata-kata Yusuf
yang berupa sindiran itu memang tajam bunyinya. Namun,
terkandung harapan di dalamnya. Harapan dan doa Yusuf.
Dato’ Khalil tersenyum nipis. Dalam diam, dia
memuji anaknya kerana mampu berfikiran seperti itu.
“Yusuf juga banyak buat dosa, umi, walid.
Alhamdulillah, Yusuf diberi peluang untuk bertaubat. Siapa
lagi kalau bukan Yusuf, yang lebih memahami keadaan
Jasmine?” Wajah uminya yang masih kucam direnung
lembut. Perlahan Yusuf Dzulkarnain melutut di hadapan
Datin Khadijah. Lutut yang beralas jubah hitam itu diusap
perlahan, sebelum dia meletakkan pipinya ke atas tempurung
tua itu.
“Yusuf datang bukan untuk berbincang, apatah lagi
untuk bertekak. Sebab, Yusuf sudah tekad. Yusuf sebenarnya
datang hanya untuk memberitahu hajat Yusuf. Mohon agar
walid dan umi merestuinya. Percayalah umi, sebagai wanita
nombor satu dalam hati Yusuf, tidak terlintas di hati Yusuf
nak sakitkan hati umi. Tapi, Yusuf juga mahu Jasmine jadi
seperti umi, bahagia dengan suami yang mencintainya dan
boleh memimpinnya menjadi wanita yang solehah. Restuilah
hajat Yusuf ini, umi.”
RASA SESAK di dalam dada membuatkan Yusuf lemas di
dalam rumah sendiri. Pintu gelangsar kaca yang memisahkan
bilik tidur utama dengan sebuah balkoni kecil dibuka luas. Di
dinding konkrit putih Yusuf menyandarkan tubuhnya. Mata
tak lepas merenung jauh ke langit malam.
Pagi tadi, Yusuf pulang dari rumah walid dan uminya
dengan rasa sedikit hampa. Setelah puas dia meluahkan rasa,
uminya hanya berdiam diri. Mengiakan hajatnya pun tidak,
menidakkan semula pun tidak.
Umi masih lagi berfikir agaknya. Walid, memang
dari awal lagi tidaklah membantah sangat. Menggalakkan pun
tidak juga. Tapi, katanya dia berdoa semoga urusan anaknya
itu dipermudahkan. Terutama dalam memujuk hati umi.
Haih! Itu yang payah. Buat hati jadi tidak keruan.
“Your sugar... Yes, please... Won't you come and
put it down on me?” Suara lunak ala-ala budak perempuan
baru hendak belajar pegang mikrofon berlegar-legar di udara
malam itu.
Lupa. Balkoni bilik mereka memang bersetentangan
di bahagian tepi bangunan ini. Pun begitu, ini kali pertama
mereka berada di situ serentak.
Yusuf tersengih-sengih melihat aksi Jasmine
menari-nari dengan teddy bear coklat pemberiannya awal
pagi tadi sebelum bertolak ke rumah walid dan uminya.
Yang paling manis, lagu yang meniti di bibir wanita itu. Lagu
keramat yang mengingatkan peristiwa mereka berdua dikejar
anjing gila. Lucu tapi manis memorinya.
Tiba-tiba saja Yusuf teringat sesuatu. Secepat kilat
dia masuk ke bilik semula, mengambil telefon bimbit yang
tersadai di atas tilam.
Assalamualaikum.
Yusuf menekan butang ‘send’. Mata menjeling
kelibat Jasmine yang masih seronok menari.
Sesaat...
Dua saat...
Bersaat-saat kemudian, tanpa jawapan daripada
Jasmine barulah Yusuf terfikir, mungkin Jasmine tidak
membawa bersama telefon bimbitnya. Punat telefon ditekan
semula. Dua tiga deringan kemudian, kelihatan Jasmine
berlari masuk ke dalam biliknya.
“Helo!”
“Assalamualaikum. Lambat angkat? Buat apa?”
“Sorry lambat angkat. Saya kat bilik air tadi.”
Jawapan Jasmine membuatkan Yusuf ketawa kecil.
“Kenapa gelak?”
“Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap
bohong, lama-lama mencuri.”
Jasmine merenung telefon bimbitnya. Dah kenapa
siap nak berpantun pula malam-malam ni?
“Yang berpantun bagai ni kenapa?”
“Sayang ni...”
“Uhuk! Uhuk! Uhuk!” Jasmine menepuk-nepuk
dadanya. Fuh! Meremang bulu roma dengar perkataan
'sayang' itu!
Lagi seronok Yusuf ketawa.
“Buat apa kat balkoni tadi? Jangan cakap bilik air
yang kau maksudkan tadi, balkoni tu ya?”
Jasmine menekup mulut yang hampir terlopong.
Berlari dia keluar menuju ke balkoni. Jelas wajah Yusuf tidak
berapa jauh dari tempat dia berdiri. Rasa hendak menangis
pun ada. Jasmine cebik bibir.
“Ingatkan kau dah jadi nujum pak belalang
tadi. Rupa-rupanya, kau sekodeng, eh?” Jasmine
menggoyang-goyangkan jari telunjuknya.
“Mana ada sekodeng. Kau yang duk menyanyi-nyanyi
macam saja aje nak seru aku. Tu yang aku keluar tu. Tak
sangka pulak rezeki aku dapat tengok konsert free. Siap ada
penari latar lagi.”
“Penari latar?”
“Teddy bear yang aku kasi tu. Comel tak? Kau suka,
kan?”
“Oh! Ucop...”
“Ucop???”
Jasmine tergelak mendengar suara Yusuf memetir
siap dengan pakej cekak pinggang.
“Haah. Aku bagi nama dia Ucop. Yang putih tempoh
hari pulak, aku bagi nama Melur.”
Yusuf tidak jadi mahu merungut. Ucop dan Melur?
Yusuf dan Jasmine? Sengih semakin lebar. Hati semakin
tidak sabar.
“Ucop ada reben besar kat leher. Dah cek reben tu
ada benda apa terikat?” soal Yusuf. Dalam hati, dia semakin
yakin dengan apa yang dia mahu.
“Hmm? Tak perasan pulak, kejap eh?” Jasmine
masuk ke dalam bilik semula.
Seminit...
Dua minit...
Tiga minit...
Yusuf jadi hilang sabar. Skrin telefon diperiksa.
Panggilan masih belum terputus.
“Jasmine? Helo? You okey? Helo!” Yusuf naik
cuak. Cupingnya menangkap suara Jasmine yang sedang
teresak-esak.
“Jasmine! Jangan buat aku takut. Kau okey tak ni?
Kau nak aku panggil Melati? Aku datang sana eh?
“Tak payah.”
“Kenapa menangis tiba-tiba ni?” Suara Yusuf sudah
pasti berlagu cemas. Jantung pula berdegup pantas.
“Kau tak adil...”
“Tak adil?”
“Kenapa buat aku macam ni?” Tangisan Jasmine
semakin menjadi-jadi. Sudah meraung.
“Apa aku dah buat? Apa?”
“Kenapa ajak aku kahwin? Kenapa buat aku
semakin keliru? Kenapa bagi cincin yang cantik macam ni?
Kenapa romantik sangat? Kenapa boleh bagi cincin yang
cukup-cukup muat kat jari ni?” Jasmine terus menangis
sambil membelek-belek cincin berlian di jari manisnya.
Sungguhlah dia tidak perasan, cincin itu terikat elok di reben
Ucop, teddy bearnya.
Dia mati-mati ingat cahaya kemilau dari pagi tadi
itu cuma sebahagian daripada ornamen hiasan untuk si
Ucop. Riben satin itu pula terlakar kata-kata 'marry me'.
Oh! Jasmine rasa hendak pengsan. Jadi, Yusuf memang
benar-benar ajak dia berkahwin?
Yusuf mengurut belakang leher. Ingatkan apa tadi.
Jasmine, Jasmine... Sikit lagi dia hendak meluru keluar
menuju ke rumah Jasmine tadi. Bagai nak pecah dadanya
asyik berfikir yang bukan-bukan. Ingatkan apalah yang
berlaku.
“Cincin tu aku ukur dengan jari kelengkeng.
Syukurlah muat. Itu tanda aku tak main-main tau. Untuk
kesekian kalinya, Jasmine Hannah... kita kahwin, ya?”
Di corong sebelah sana, Jasmine sudah
melompat-lompat di atas katil sambil menggawangkan
tangan yang berhias cincin berlian di jari manisnya.
'I love you, Yusuf Dzulkarnain!'

No comments:

Post a Comment