DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 1

Selepas lima tahun…
Tiara cepat balik!
Sudah beberapa kali Tiara mendapat mesej itu
daripada emak. Hendak membalas dan bertanya, telefon Tiara
kehabisan kredit. Tiara merenung jalan yang sedang disirami
hujan lebat.
Tiara cepatlah balik, ada kecemasan ni!
‘Ya Allah! Kenapa ni? Mak ni pun beritahulah apa
halnya. Buat aku tak sedap hati aje!’ getus Tiara dalam hati.
“Isy! Tak boleh jadi ni! Aku kena balik jugak! Hati
aku dah tak tenteram betul ni!” Tanpa membuang masa Tiara
terus menyarung baju hujan dan membungkus begnya ke
dalam plastik.
“Eh? Kau dah nak balik ke, Tiara? Hujan lagilah. Kau
tak takut ke?” Yana terkejut melihat Tiara tiba-tiba bersiap.
“Hurm… aku tak boleh tunggu lagilah. Mak aku dah
mesej aku banyak kali dah ni. Dia suruh aku balik sekarang
jugak.”
“Tapi… kan hujan lebat ni. Bahayalah Tiara.”
Tiara hanya tersenyum mendengar kata-kata Yana.
Memanglah dia takut, tetapi apabila terfikir mungkin ada
perkara buruk sedang berlaku di rumah, semua ketakutan itu
hilang dengan sekelip mata.
“Aku pergi dululah Yana.”
“Hati-hati Tiara.”
Tiara melambai tangannya ke arah Yana sambil
melemparkan senyuman mesra. Tanpa membuang masa,
Tiara terus meredah hujan menuju ke tempat letak motosikal.
Namun belum pun sempat dia tiba di tempat letak motosikal,
Tiara berhenti seketika sambil memandang ke arah seseorang.
“Apa hal tu?” Tiara berjalan perlahan ke arah
pasangan sejoli yang asyik bergelut membantu sesama
sendiri.
“Er… er… apa hal ni, cik? Boleh saya tolong?” soal
Tiara sambil memaut lengan si gadis yang layu wajahnya.
Bagaikan orang terkena racun sahaja lagak pasangan itu.
Terhuyung-hayang di tengah hujan. Tiara pandang wajah
lelaki yang terbongkok-bongkok lemah.
‘Apa kenalah dia orang ni?’ bisik Tiara. Namun
tiba-tiba….
“Cik Bidadari! Cik pergi mana? Dari tadi saya cari
cik,” Syed Wafi terus merangkul pinggang Tiara.
“Argh!!! Apa hal ni!” Tiara yang terkejut terus
menolak tubuh lelaki itu dengan kasar sehingga lelaki itu
jatuh tersembam ke atas jalan.
“Hei! Kenapa you tolak boyfriend I, hah?”
“Huh, boyfriend kau?” Tiara mencekak pinggang
garang. Kalau gadis itu kekasih lelaki gila ini, kenapa pula dia
yang dipeluk lelaki itu? Kini Tiara sudah pasti apa yang tidak
kena dengan pasangan muda ini.
“Cik Bidadari sayang, saya sayangkan awaklah,”
dengan mata yang tidak mampu dibuka Syed Wafi cuba
bangun dan mahu memeluk Tiara.
“Kurang ajar! Ambil ni!”
Buk!
“Argh!!!” Syed Wafi tersembam ke arah keretanya.
“Hei! You ni dah gila ke hah? Kenapa you tumbuk
dia macam tu?” Lily cuba membantu Syed Wafi biarpun
dia tak berdaya. Wajah wanita yang berbaju hujan itu cuba
diperhatikan, namun tidak nampak kerana wanita itu
memakai topi keledar.
“Huh! Dasar pemabuk! Gila! Ee… nasib baiklah aku
tumbuk aje! Kalau tak... aku dah sagat muka boyfriend kau ni
kat atas jalan raya. Kurang ajar betul!”
Ketika Tiara sedang meluahkan segala kemarahannya
itu tiba-tiba...
“Uwek!”
“Eee… bodoh betullah kau orang ni. Bodoh! Gila!!!
Grrr…” Tiara mengetap giginya. Habis kotor baju hujan dan
seluarnya kesan muntah lelaki pemabuk itu. Tiara merengus
kuat lalu meluru masuk ke dalam tandas untuk mencuci
seluar dan bajunya yang terkena muntah.
Hei Tiara! Kau tak pandai nak balik ke?
Sekali lagi Tiara mendapat mesej. Berkerut dahinya
kerana tidak faham dengan mesej-mesej emak itu. Kenapa
emak marah sangat ni? Setelah betul-betul memastikan najis
busuk itu sudah tiada, Tiara keluar semula. Tiara perasan
kereta pasangan tadi masih ada di kawasan tempat letak
kereta. Dengan sisa-sisa marah yang masih berselaput, Tiara
meneruskan langkahnya ke arah motosikal. Dia harus segera
sampai ke rumah biarpun hujan masih lagi mencurah-curah
menimpa bumi.
“Menyesal aku pergi tengok dia orang tu! Bodoh
betullah!” ngomel Tiara sambil menunggang motosikal
kapcainya perlahan.
Tapi apa yang dah terjadi sebenarnya ni? Kenapa
emak nak dia balik cepat? Persoalan itulah yang sering
bermain-main dalam fikiran Tiara. Namun tiba-tiba Tiara
terkejut apabila air jalan terpercik ke arahnya.
“Kurang ajar punya kereta!” jerit Tiara. Dia
menggeleng kepalanya perlahan.
Dalam marah, Tiara terus menunggang motosikal
dengan berhati-hati. Air hujan yang menerjah ke wajahnya
disapu berkali-kali. Memang nasib Tiara begitu setiap kali
hujan. Hendak membeli topi keledar baru yang mampu
menutupi seluruh wajah, Tiara tak mampu. Jadi terpaksalah
dia guna topi keledar yang tak ada visor itu.
Dalam hujan yang lebat, ingatan kepada pasangan
mabuk tadi timbul tiba-tiba. Sakit hati, terkejut semuanya
masih lagi bersarang. Jika tidak kerana emak memang hendak
sangat dia pulang cepat, mahu rasanya dia menumbuk muka
lelaki itu sekali lagi. Namun Tiara hairan dengan panggilan
yang diguna lelaki tadi.
‘Dah kenapa dia panggil aku ‘Cik Bidadari’ pula? Dah
gila! Dua-dua gila!’ bebel Tiara dalam hati.
TIARA MELANGKAH perlahan menaiki tangga menuju ke
rumah. Giginya berselisih hingga naik ngilu. Bibirnya juga
terketar-ketar kerana terlalu sejuk. Warna bibir pun sudah
kebiruan dan kecut kerana panahan air hujan yang tak
henti-henti ke wajahnya tadi. Tiara hairan melihat orang
ramai berkerumun di hadapan pintu rumahnya. Laluan ke
rumah juga sesak dengan budak-budak dan orang tua.
“Apa hal ni? Ada kenduri ke?”
“Mak! Kak Tiara dah balik!” laung Fairuz.
Tiara berjalan perlahan dengan wajah hairan. Ah,
apa yang dah berlaku ni? Siapa yang meninggal? Tiara tidak
mampu bertanya kepada sesiapa. Dia merenung satu per
satu wajah di dalam rumah itu. Bacaan surah Yasin bergema
kuat di dalam rumahnya. Otaknya tiba-tiba berhenti berfikir.
Mukanya tiba-tiba jadi panas dan air mata tiba-tiba bertakung
dan luruh tanpa diminta.
“Masuk Tiara,” arah salah seorang wanita yang ada
di dalam rumah itu.
Tanpa melihat pada wajah yang berkata, Tiara masuk
lalu duduk di sebelah wanita itu. Matanya tidak berganjak
daripada merenung sekujur tubuh yang terlantar sepi.
“Sabar Tiara, banyak-banyakkan sedekah Al-Fatihah,”
bisik Mariam dengan suara yang perlahan dan lembut.
Tiara merenung wajah Mariam dengan sejuta
pertanyaan. Mak su? Kenapa mak su cakap macam tu? Ingin
dilontar soalan itu kepada ibu saudaranya yang paling rapat
itu namun Tiara tidak mampu bersuara. Lidah Tiara kelu dan
fikirannya terasa berat. Siapa yang meninggal? Itulah yang
menjadi tanda tanya Tiara waktu ini.
“Tiara, pergilah tengok muka arwah buat kali
terakhir,” arah Mariam. Dia tahu Tiara masih keliru dengan
apa yang terjadi. Dia sendiri juga bagai tidak percaya apabila
menerima berita itu tadi.
Tiara tidak membantah, sebaliknya dia terus
merangkak perlahan menghampiri jenazah. Perlahan-lahan
Tiara menyelak selimut yang menutup wajah jenazah.
“Ya Allah! Chi Cha?” Tiara terkedu hingga hilang
kata-kata. Terus waktu itu jugalah kata-kata terakhir Chi Cha
terngiang-ngiang di telinganya.
“Mana tipon dola chi-cha kak?”
Itulah soalan yang Chi Cha ajukan kepada Tiara
petang tadi. Sejak seminggu lalu, Chi Cha diserang demam
panas. Biarpun sudah beberapa kali dibawa ke klinik, demam
Chi Cha tak juga kebah. Petang tadi kesihatan Chi Cha masih
agak lemah. Tetapi dalam lemahnya, Chi Cha tetap buat
perangai kerana telefon mainannya yang baru dibeli di pasar
malam telah hilang. Demi memujuk Chi Cha, Tiara berjanji
akan membeli telefon mainan lain untuk Chi Cha, namun…
Air mata Tiara menitis laju. Dia memeluk
sekuat-kuatnya tubuh Chi Cha.
“Kenapa mesti Chi Cha?” rintih Tiara perlahan.
“Sabar Tiara, istighfar banyak-banyak.” Mariam
mengusap bahu Tiara perlahan-lahan.
“Mak su, kenapa boleh jadi macam ni mak su? Chi
Cha ni kecil lagi mak su. Kenapa dia boleh mati pulak?” Tiara
mengucup jenazah Chi Cha yang pucat dan lesu.
“Sabar Tiara. Jangan ikutkan sangat kata hati tu.
Tak baik persoalkan kehendak Allah. Kita ni manusia Tiara.
Kita ni semua milik Allah. Chi Cha juga milik Allah,” pujuk
Mariam dengan suara yang lemah.
Tiara terdiam, dia memandang wajah Chi Cha buat
kali terakhir.
‘Chi Cha, kakak minta maaf dik. Kakak minta maaf.
Pergilah dik, pergi dengan aman dan berbahagialah di syurga.’
Biarpun masih berharap apa yang sedang terjadi hanyalah
sebuah mimpi, namun Tiara mulai reda dan pasrah.
“Mak su kita kebumilah arwah malam ni jugak,”
pinta Tiara. Dia tak sanggup melihat jenazah itu di depan
matanya lagi.
“Tapi dah lewat sangat ni Tiara. Dah pukul 1.30 pagi
ni. Pak su cakap, lepas subuh nanti baru kita boleh kebumi
jenazah Chi Cha. Sabar ya, Tiara.”
Tiara mengangguk kepala tanda faham.
“Mak su, sebenarnya apa yang dah terjadi pada Chi
Cha ni?” setelah sekian lama berdiam, baru waktu ini Tiara
tergerak hati ingin mengetahui hal yang telah menimpa
anaknya itu. Sejak dilahirkan ke dunia, Chi Cha diajar agar
memanggil dia dengan panggilan kakak. Semua itu emak
yang suruh. Kata emak, kalau Chi Cha memanggil dia dengan
panggilan ibu, dari mana pula nak dapatkan bapanya? Malah
apa pula nak dijawab kepada jiran di flat itu nanti.
Selepas malu dihina orang kampung, emak dan
suami barunya iaitu Pak Cik Salleh telah membuat keputusan
berpindah ke Kuala Lumpur. Setelah setahun mereka
menetap di situ, barulah Pak cik Salleh membawa anak
tunggalnya iaitu Fairuz tinggal bersama mereka sekeluarga.
Hanya Fairuz dan penghuni flat itu sahaja yang tidak tahu
bahawa Chi Cha itu anaknya. Tetapi orang kampung di Batu
Gajah semuanya tahu.
“Chi Cha jatuh dalam bilik air,” luah Mariam dengan
bibir yang terketar-ketar.
Tiara menekup mulutnya kuat-kuat. Air matanya
berlinang dan jatuh berjurai-jurai. Ingatkan kerana demam
Chi Cha, tapi hal lain rupanya yang menjadi penyebab
anaknya itu menutup mata.
“Kenapa Chi Cha pergi bilik air tu? Chi Cha nak buat
apa masuk bilik air tu?” bahu Tiara terhinggut-hinggut lagi
tatkala dia cuba menahan esakannya daripada terkeluar.
“Tiara, sudahlah. Jangan difikirkan lagi perkara
yang dah terjadi. Ingatlah, cara kematian Chi Cha tu
semuanya sudah tertulis. Banyak-banyakkanlah berdoa demi
kesejahteraan roh adik.”
“Kalaulah Tiara….”
Belum pun sempat Tiara menghabiskan kata-katanya,
Mariam sudah memotong.
“Tak baik Tiara. Jangan sesekali mengeluarkan
perkataan ‘kalau’ tu. Setiap perkara yang berlaku adalah
di dalam perancangan Allah. Inilah takdir namanya. Allah
berikan Chi Cha untuk menguatkan semangat Tiara yang
hilang dulu. Sekarang Allah ambil kembali Chi Cha kerana
ingin menguji Tiara. Ujian daripada Allah tu adalah tanda
kasih sayang kepada hamba-Nya. Jadilah manusia yang reda
dan bersabar. Mak su yakin Tiara mampu tempuhi dugaan
ni.”
Tiara menyapu air matanya. Biarpun dia hanya
berdiam diri, air mata itu tetap terus mengalir ke pipi. Memang
benar kata-kata mak su itu. Namun bagaimana dia mampu
menempuh dugaan itu tanpa Chi Cha bersama? Jika dahulu,
Tiara sanggup meredah segala kesukaran semata-mata demi
anaknya itu tetapi kini untuk siapa lagi Tiara harus hidup?

No comments:

Post a Comment