DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 12

SYED Wafi berjalan lemah ke arah gazebo di
taman. Sampai sahaja di situ dia terus merebahkan badannya
sambil melepaskan lelah. Belum pernah dalam seumur
hidupnya dia sakit hati begitu teruk.
“Kenapa? Kenapa mesti dia tu? Kenapa bukan
Lily atau orang lain?” luah Syed Wafi sambil memejamkan
matanya rapat.
“Itulah kau! Cakap umi tak nak dengar langsung!
Setiap kali balik rumah, mabuk! Tengoklah sekarang ni! Dah
nak makin nyanyuk dah. Bilik sendiri pun dah tak ingat lagi,”
marah Syed Waris terhadap adiknya.
Syed Wafi bangun lemah tatkala mendengar suara
abang longnya membebel betul-betul di hujung kaki. Dia
malas hendak menjawab segala leteran Syed Waris. Bukan
kerana dia tidak mahu bertengkar atau hormatkan abangnya
itu. Tetapi fikirannya waktu ini tidak dapat langsung
menangkap butir-butir leteran Syed Waris. Dalam fikirannya
hanya timbul satu persoalan sahaja. Kenapa Tiara yang dia
paling benci itu yang menjadi igauannya?
“Wafi, umur kau ni dah 28 tahun. Sepatutnya dah
berumah tangga. Tapi along tak faham kenapa kau nak hidup
macam ni? Kau tak teringin ke nak ada isteri dan anak?
Kau tak fikir ke perasaan umi dengan abi? Berdosa tahu tak
kau kecilkan hati umi.” Syed Waris terus membebel tanpa
mengetahui keadaan sebenar Syed Wafi.
“Along, Wafi nak masuk dulu. Wafi mengantuk.”
Syed Wafi terus bangun dan berjalan perlahan ke arah
motosikalnya. Kunci dan jaket yang masih tersidai di atas
tempat duduk ditarik malas. Tanpa mempedulikan Syed
Waris, dia terus melangkah menuju ke biliknya di tingkat
paling atas rumah banglo itu.
Syed Waris yang hairan melihat Syed Wafi,
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kalau tak mabuk tu cakap ajelah. Buat letih mulut
aku aje membebel dekat dia,” ngomel Syed Waris.
“Arghhhh!!!!!” Syed Wafi menekup mukanya dengan
bantal dan menjerit sekuat-kuatnya. Adegan Tiara memeluk
pinggang Hisham masih bermain-main dalam fikirannya.
Sakit, geram dan rasa seperti orang bodoh. Itulah yang
dirasainya tika ini. Kesakitan yang tak pernah dirasai sebelum
ini.
Sungguhpun hubungannya dengan Lily sudah
hampir dua tahun, namun dia tidak pernah marah atau
cemburu apabila melihat Lily rapat dengan lelaki lain ketika
di kelab. Tetapi kenapa pula dia boleh sakit hati melihat Tiara
membonceng di belakang Hisham?
Malam itu Syed Wafi tidak dapat melelapkan matanya.
Fikirannya asyik menerawang jauh teringatkan Tiara. ‘Kenapa
aku boleh jadi sampai macam ni, hah? Hari-hari Tiara kerja
dekat dengan aku, setiap minit dan setiap masa aku bercakap
dengan dia di tempat kerja, tapi aku tak pernah rasa dekat
dengan dia. Kenapa Tiara pilih lelaki ‘mat rempit’ sedangkan
dia lebih hebat berbanding lelaki itu?
“Wafi!”
“Umi? Kenapa tak tidur lagi ni?” Syed Wafi terbangun
dari katil apabila Datin Sharifah tiba-tiba menolak pintu
biliknya.
“Nak tidur macam mana kalau umi asyik fikirkan
Wafi,” Datin Sharifah sudah tidak tahan melihat perangai
anaknya itu. Tadi sebelum dia masuk ke biliknya, dia
ternampak Syed Wafi terlentang di bawah gazebo di taman.
Dia yakin anaknya itu pasti mabuk lagi.
“Apa hal ni umi? Tiba-tiba aje nak marah.”
“Tak marah macam mana? Umi dah cakap dengan
Wafi dulu, kan? Wafi nak ke umi buat apa yang umi cakap
dulu tu, hah?”
Syed Wafi menghembus nafas lemah. Dia tidak
faham kenapa umi suka mendesak dia begitu.
“Umi, Wafi tak minum araklah. Tak payahlah nak
ugut-ugut pulak.”
“Umi ni marah demi anak umi. Kalau Wafi rasa umi
ni asyik nak memekak, lebih baik buat perangai elok-elok
sikit. Ini tak, haru-biru! Tak rasa segan ke dengan anak-anak
buah Wafi tu?”
“Okey fine! Kalau macam tu biar Wafi keluar dari
rumah ni.”
“Wafi! Kenapa kau kurang ajar sangat ni, hah! Kau
sedar tak kau tengah bercakap dengan siapa sekarang ni?”
Tiba-tiba Syed Waris tercegat di depan pintu bilik Syed Wafi.
Syed Wafi menjeling tajam. Semua orang mahu
menyemburnya. Semua orang membencinya. Umi, along
dan Tiara jugak. Wajah Syed Wafi merona merah. Entah dia
salah atau betul kerana menjawab kata-kata umi. Dia tak
berniat mahu melawan tapi fikirannya betul-betul berserabut
mengenangkan apa yang sedang tidak rasa dengan dirinya.
“Umi, Wafi minta maaf,” ujarnya perlahan.
Datin Sharifah menghela nafas kecewa. Dia berpaling
dan terus keluar dari bilik anaknya itu.
Syed Waris pula masuk merapati Syed Wafi.
“Apa hal kau ni, Wafi? Sejak bila kau jadi kurang ajar
macam ni, hah?”
“Sorrylah along, Wafi tengah berserabut tadi.”
“Kau fikir serabut kau aje? Kau tak pernah ke fikir
umi tu pening kepala dengan sikap kau ni. Bila kau nak
berubah hah?”
“Along, Wafi tak faham kenapa semua orang asyik
nampak salah Wafi aje. Apa lagi yang tak kena dengan Wafi ni?
Kerja dekat ofis satu pun tak salah. Kat rumah ni pun Wafi tak
ada kacau sesiapa.”
“Kerja bagus tak guna kalau peribadi kat dalam tu
buruk. Umi bimbangkan masa depan kau.”
“Masa depan apa? Nak suruh Wafi kahwin? No way
along!”
“Umi risau masa depan kau kat akhiratlah! Kau nak
ke umi kena soal dengan Allah sebab salah kau tu? Kau nak
umi dengan abi masuk neraka sebab tak berjaya didik kau jadi
manusia yang baik?”
Syed Wafi terdiam, tertunduk.
“Kau fikirlah baik-baik Wafi.”
“SEJAK BILA kau kerja dekat pejabat Tiara? Kenapa kau
tak beritahu mak?” Fatimah yang baru dapat tahu berita itu
meradang tidak tentu pasal.
Tiara yang sedang menonton televisyen di ruang
tamu juga terkejut mendengar soalan keras emaknya. Bilalah
dia ada ruang hendak berbual dengan emak tentang kerjanya
itu jika setiap kali dia duduk di hadapan emak, pasti orang tua
itu akan angkat punggung meninggalkannya. Emak semakin
hari semakin membenci dirinya. Sejak Chi Cha meninggal
dunia, Tiara sangka emak akan kurang membencinya namun
sakit hati emak semakin parah.
Fairuz yang turut berada di ruang tamu memandang
tepat ke arah emak tirinya. Orang tua itu tiba-tiba sahaja
boleh meletup. Tak habis-habis hendak marah Tiara. Apa
salahnya kakaknya kerja di pejabat? Takkan kerana tidak
beritahu pun menjadi kesalahan juga? Bukannya kerja Tiara
itu kerja haram. Mahu sahaja Fairuz tolong jawabkan. Namun
dia sedar diri lagi. Mana boleh anak muda sepertinya melawan
orang tua. Sungguh biadab!
“Kau sengaja sorok-sorok kerja baru kau tu, kan?
Kau tak nak mak tahu supaya bila kau dapat gaji banyak
nanti, kau bolehlah simpan senyap-senyap.”
“Ya Allah, mak? Sampai hati mak tuduh Tiara
macam tu.” Tiara berdiri tegak dengan bahunya mula
terhinggut-hinggut. Air matanya meladung dan jatuh
bertimpa-timpa ke pipi. Di hadapan Fairuz, emak sanggup
menanam syak terhadap anak sendiri. Sampai bila harus dia
bertahan dengan sikap emak itu?
“Aku bukan nak tuduhlah Tiara. Tapi kau memang
ada niat macam tu, kan?”
“Mak, tak baik mak buruk sangka pada kakak macam
tu mak.” Fairuz yang tidak mampu bertahan terus mencelah.
“Kamu diamlah Fairuz. Tak payah masuk campur.
Kakak kamu ni memang teruk! Dia jadi setiausaha orang
berpangkat besar tapi dia tak cerita pun pada mak. Mak
dapat tahu ni pun dari jiran kat bawah sana. Wah! Dengan
orang bukan main kau canang kerja baru kau ya, Tiara. Tapi
dekat mak kau yang suap mulut kau waktu kau kecik ni, kau
rahsiakan?”
“Mak, kalau itu pun dah jadi salah besar, Tiara minta
maaf. Tiara minta ampun sebab tak beritahu mak. Tiara bukan
tak nak beritahu mak, tapi waktu Tiara nak cakap tu mak….”
“Mak apa? Kau nak cakap yang mak tak ada? Mak
tak sudi nak dengar? Kau buat silap, lepas tu kau nak alih
kesalahan kau tu pada orang lain pulak? Anak jenis apa kau
ni Tiara?”
“Mak, sudahlah tu mak. Tak baiklah mak bergaduh
dengan Kak Tiara macam ni. Kakak, sudahlah tu kak,” Fairuz
cuba menjadi orang tengah. Dia sudah bingung hendak
mendamaikan kedua anak-beranak itu. Sebelum ini, bukan
dia tidak tahu Tiara acap kali bertegang urat dengan emak
tirinya itu.
Tetapi yang kerap cari pasal adalah emak mereka.
Dulu semasa dia mula-mula masuk ke dalam keluarga itu, dia
tidak faham kenapa emak jarang sekali bertegur sapa dengan
Tiara. Sangkanya memang begitulah hubungan mereka.
Namun akhirnya dia sudah boleh membaca. Segalanya dia
lihat sendiri melalui pertengkaran yang kerap tercetus.
Orang di dalam rumah itu fikir dia tidak tahu apa-apa kerana
dia masih bersekolah. Tetapi umurnya bukan setahun dua.
Dia sudah 17 belas tahun. Telinganya sudah besar dan boleh
mendengar segalanya.
Ketika pertama kali terdengar emak bersembang
sambil marah-marah dengan ayah, telahannya emak
bergaduh dengan ayahnya. Namun setelah dia cuba amati
perbualan itu, semuanya tentang Tiara dan Chi Cha. Fairuz
tahu arwah anak kecil itu ialah anak Tiara. Namun dia tidak
pernah bertanya dan mahu menyelidik.
Melihat situasi Tiara, Fairuz tahu wanita itu punya
sejarah hitam yang tersimpan kemas. Tetapi dia tak mahu
menghukum atau menilai Tiara. Tiara yang ada di depan
matanya ini sudah cukup sempurna dan baik orangnya.
Tidak patut emak berdendam dan menganggap Tiara masih
bersalah.
“Kau keluar dari rumah ni!” pekik Fatimah kuat.
Tiara dan Fairuz terkejut besar. Kenapa kemarahan
emak boleh jadi teruk sampai begitu sekali? Selama ini emak
membebel juga, tapi tidaklah sampai mahu menghalau
keluar.
“Mak? Sampai hati mak,” Tiara terduduk di atas
lantai.
Fairuz yang cemas cepat-cepat mengheret Tiara
masuk ke dalam bilik.
“Kak, jangan keluar dulu kak. Mak tengah marah tu.
Jangan dengar cakap dia.”
Tiara tersedu-sedan di atas katilnya. Biarpun emak
mahu mengheret dia keluar dari rumah itu, dia tidak akan
sesekali pergi. Dia tidak mahu jauh daripada emak. Biar emak
membenci seumur hidupnya, tetapi dia takkan pernah putus
berbakti dan memelihara emaknya. Tiara tahu emak marah
sebentar tadi. Dan dia tak pernah kisah apa sahaja yang
terkeluar dari bibir emak. Namun hati anak mana yang tega
menadah semuanya. Walau sudah hancur hatinya dengan
kata-kata emak, namun Tiara masih punya rasa.
Fairuz menggeleng kepalanya kesal. Emak di ruang
tamu masih lagi membebel macam-macam. Hendak dicelah
pun tak ada kudrat. Akhirnya Fairuz terkulai di muka pintu
bilik Tiara. Sesekali dia memandang Tiara yang sudah tertidur
bersama esakan yang masih belum hilang.
“Fairuz tak tahu macam mana kakak boleh bertahan
sampai macam ni sekali. Dah bertahun Fairuz tinggal dengan
kakak. Tapi kakak tak pernah melawan cakap mak. Sabarlah
kakak. Kakak akan bahagia di akhirat kerana kesabaran kakak
ni,” luah Fairuz lalu menarik tombol pintu dan menutup
rapat.

No comments:

Post a Comment