DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2016

Bahagia Dalam Rahsia - Bab 11

KERETA bergerak laju sebaik sahaja melepasi
pemeriksaan imigresen. Perjalanan dari Rantau Panjang,
Kelantan menuju ke bandar Songkhla, Thailand mengambil
masa kira-kira 4 jam.
Di sepanjang perjalanan itu, dia terpaksa
memberhentikan keretanya beberapa kali kerana Farha kurang
sihat. Perjalanan itu membuatkan perutnya berasa tidak selesa
apatah lagi dia kini sedang berada pada awal kehamilan.
“Abang minta maaf sebab buat keputusan datang ke
sini dengan kereta. Sepatutnya kita naik flight lagi cepat sampai.
Tapi abang fikir nak berlama-lama sikit dalam perjalanan
sebab nak berbual-bual dengan Farha. Kalau kita naik flight
masanya singkat. Nak berbual panjang pun tak sempat,” tisu
dihulurkan kepada Farha. Kemudian, tangannya teragak-agak
mahu menggosok belakang gadis itu. Bimbang pula kalau dia
dimarahi.
Farha tidak membalas tetapi tisu yang dihulurkannya
itu diambil. Kemudian, tangannya sibuk mengusap leher
selepas berasa sedikit lega.
“Boleh kita teruskan perjalanan? Atau Farha nak
berehat lagi?” Soal Wadi Ridhuan inginkan jawapan segera
daripada Farha. Dia sudah tidak mahu berhenti terlalu lama di
situ.
Farha membuka pintu kereta. Bersedia untuk masuk
ke dalam tanpa menjawab walau sepatah. Wadi Ridhuan yang
melihatnya, mula faham. Itu bermaksud Farha bersetuju untuk
meneruskan perjalanan.
“Tak lama lagi sampailah kita. Farha nak makan tak?
Dari tadi lagi abang tengok asyik muntah aje. Tentu Farha dah
rasa lapar sekarang ni,” soalnya memecah kesunyian dalam
kereta.
“Saya tak ada selera nak makan. Tekak saya mual,”
balas Farha lemah. Kepalanya disandarkan dengan selesa.
Wadi Ridhuan menoleh seketika sambil tangannya
masih kemas memegang stereng. Tumpah rasa simpatinya
apabila melihat keadaan Farha. Kemudian, pandangannya jatuh
pada beg tangan yang berada di atas ribaan gadis itu.
Kelihatannya Farha begitu sayang sekali pada beg
tangan yang baru sahaja dibeli sehingga sering memeluknya
di sepanjang perjalanan. Lantas, kenangan manisnya berputar
pada situasi di pusat membeli belah Billion tengahari tadi.
Ketika itu, hati lelakinya berasa senang apabila melihat Farha
yang malu-malu selepas dia bergurau dan mengusik.
“Nanti kalau tak makan, perut tu sakit pulak. Kesian
anak abang kat dalam tu. Kalau Farha sakit, baby pun akan
sakit jugak. Farha tak ada selera nak makan tapi baby kat dalam
perut tu perlukan makanan untuk membesar supaya dia sihat.
Nanti abang carikan kedai makan, Farha makan ye?” Ujarnya.
Bicara Wadi Ridhuan yang tersusun, membuatkan Farha berasa
terharu.
“Suka hati abanglah. Saya ikut aje,” sebaik sahaja dia
menyatakan persetujuan, lekas-lekas dia menutup mulut.
Wadi Ridhuan tersengih. Panggilan ‘abang’ yang
terkeluar daripada mulut Farha membuatkan dia hampirhampir
mahu melompat. Alangkah girang hatinya apabila
mendengarkan panggilan mesra itu.
“Kalau Farha panggil macam tu daripada dulu, kan
bagus? Sedap aje bunyinya.”
“Tersasul,” Farha menyembunyikan senyum. Lidahnya
yang menyebut panggilan itu secara tidak sengaja membuatkan
dirinya menjadi tidak tentu arah. Terasa pipinya panas
membahang.
“Boleh pulak dia tersasul, ye..,” balas Wadi Ridhuan
bernada menyakat. Farha mengukir senyuman manis.
Saat itu juga kepala Wadi Ridhuan tertoleh.
Terpempan dia sebentar apabila terpandang senyuman semanis
itu. Sungguh ayu air wajah Farha ketika tersenyum begitu.
Pandangannya juga sempat menangkap pada lesung pipit di tepi
bibir Farha ketika senyuman gadis itu semakin melebar.
“Farha pun ada lesung pipit?” Soalnya dengan reaksi
wajah teruja.
“Ya, ada. Tapi tak dalam sangat macam lesung pipit
abang...” sebutan ‘abang’ nampaknya semakin selesa diucapkan
oleh Farha.
“Jadi selama ni, Farha selalu curi-curi pandang pada
muka abanglah, ya...” Wadi Ridhuan menduga. Dia tertawa
senang hati.
Farha tidak menjawab pertanyaan itu. Dia malu mahu
mengaku kadangkala dia juga sering mencuri pandang ke arah
Wadi Ridhuan sekiranya dia terdengar lelaki itu tertawa di
rumah.
“Kalau baby kita lahir nanti, tentu comel macam
mama dia.”
“Dan kacak macam...” balasan Farha terhenti. Dia
tidak tahu mahu menggunakan panggilan apa kepada Wadi
Ridhuan untuk bayi yang akan lahir nanti. ‘Ayah’? ‘Papa’?
‘Abah’?
“Kacak macam papa dia...” Wadi Ridhuan tiba-tiba
memotong. Dia memuji diri sambil tersengih. Semakin lama
kedengarannya semakin terserlah kemesraan mengiringi setiap
kata yang terlontar di antara kedua-duanya.
Farha tersenyum dan Wadi Ridhuan juga begitu.
Masing-masing membalas senyum. Mungkin di antara mereka
berdua itu sedang melayan perasaan bahagia yang semakin
menjengah ke relung hati.
“Abang ni hensem tak?” Soal Wadi Ridhuan sekadar
mahu mengusik.
Farha pula nampaknya tidak sanggup mahu mengakui
kebenaran. Dia hanya mengangguk malu sebagai tanda
memberikan jawapan untuk soalan itu.
Namun, kemesraan yang ditunjukkan Farha tidak
bertahan lama apabila mengenangkan keadaan dirinya selepas
bergelar isteri kepada Wadi Ridhuan nanti. Kepala ditoleh
seraya membuang pandang ke arah Wadi Ridhuan yang sedang
tekun memandu.
“Lepas kita kahwin, kita nak tinggal di mana?” Soalnya
tiba-tiba.
Apabila soalan itu yang diajukan, Wadi Ridhuan
tersenyum kelat. Soalan daripada Farha itu agak berat untuk
dijawab.
Namun, dia tidak mahu Farha berteka-teki. Biarlah
dia berterus-terang sahaja, “Farha pun tahu kan abang ni anak
tunggal. Ibu dan ayah dah tak ada anak lain lagi yang boleh
mereka harapkan. Jadi, abang buat keputusan untuk tinggal
dengan mereka lepas kita kahwin.”
Tatkala mendengarkan jawapan itu, Farha kelihatan
resah. Manakan tidak, pasti akan jadi isu pula oleh mereka yang
tinggal di villa itu apabila melihat perutnya semakin membesar.
Mana mahu disorokkan perutnya yang akan memboyot
apabila sudah berbulan-bulan usia kandungannya nanti. Wadi
Ridhuan ini pun satu hal. Buat keputusan langsung tidak
terfikir akan kesannya. Bebel Farha sekadar di dalam hati.
Wadi Ridhuan menyedari keadaan Farha itu, lalu
menyoal, “Kenapa ni? Farha nampak macam tak suka aje bila
abang buat keputusan macam tu?”
“Bukan saya tak suka tapi Encik Wadi... err... maksud
saya, abang... abang kenalah fikir jugak keadaan saya kalau
terus tinggal di villa tu. Macam mana nanti kalau semua orang
tahu yang saya dah mengandung? Mana saya nak sorok perut
saya ni?” Soalnya risau.
Wadi Ridhuan menggaru kepala. Apa yang
dibimbangkan oleh Farha itu ada betulnya juga. Kasihan Farha.
Keputusan yang dibuatnya tadi benar-benar menampakkan
bebanan di pihak gadis itu sendiri.
Keputusan itu juga tidak menguntungkan Farha malah
hanya menguntungkan dia seorang diri. Ah, begitu mudah
sekali dia membuat kata putus begitu. Sungguh tidak adil.
“Saya ada satu cadangan. Lepas kahwin, saya akan
beritahu Datin yang saya nak berhenti kerja. Lepas tu, saya akan
balik kampung untuk tinggal dengan nenek.”
Sebaik sahaja cadangan itu menerjah masuk ke
gegendang telinga, kaki Wadi Ridhuan segera menekan brek.
“Abang tak setuju. Abang tak mahu kita tinggal
berasingan.”
“Habis tu, apa lagi pilihan yang kita ada? Saya memang
tak boleh tinggal lebih lama di rumah abang tu. Abang juga
pernah minta daripada saya supaya merahsiakan perkahwinan
tu nanti. Kalau ada yang bertanya kenapa saya mengandung
sedangkan saya belum berkahwin, takkan saya nak beritahu
semua orang yang abang dah memperkosa saya dan lepas tu
nak beritahu mereka yang kita dah kahwin? Tak mungkinlah
abang. Saya takkan buat macam tu sebab saya berpegang pada
janji. Lainlah kalau abang nak mungkir janji yang abang buat
sendiri.” Farha mengeluh sejenak.
“Saya tetap dengan keputusan saya. Saya nak berhenti
kerja. Nak balik kampung. Sekurang-kurangnya nenek tahu
yang kita dah nikah,” sambungnya lagi.
“Dan memalukan nenek pada semua orang kampung?
Macam tu?” Keras Wadi Ridhuan menyoal.
Dahi Farha berkerut seraya menyoal Wadi Ridhuan
kembali, “Maksud abang apa?”
“Farha tak terfikir ke, apa tanggapan orang kampung
pada nenek bila mereka dapat tahu Farha mengandung
sedangkan Farha masih belum berkahwin? Farha tak terfikir
ke kalau orang kampung mencemuh? Nak beritahu mereka
yang Farha dah kahwin lari dengan abang? Farha nak nenek
beri jawapan tu pada orang kampung? Nenek tu dah tua, Farha.
kasihanlah pada dia,” ujarnya sambil menggeleng. Keluhan
berat mula terlepas keluar.
“Habis, apa bezanya kalau saya tinggal di rumah
abang? Bukan ke semua orang dalam rumah tu akan nampak
perut saya yang akan membesar nanti? Bukankah saya juga
akan dicemuh? Apa bezanya? Cuba abang cakap dengan saya!”
Farha meninggikan suara seraya menangis tiba-tiba. Wajahnya
ditekup menahan tangis yang kian menjadi-jadi.
Wadi Ridhuan terdiam. Sungguh rumit keadaan
mereka berdua ketika itu. Berani buat, berani tanggunglah!
Desis hati kecilnya sekaligus meletakkan kesalahan di bahu
sendiri.
“Macam ni lah. Sebaik saja kita dah nikah, nanti kita
fikirkan semula, ye? Dah, janganlah menangis...” pujuk Wadi
Ridhuan sambil tangannya melepaskan hand brake, kakinya
menekan pedal minyak untuk menyambung perjalanan.
“ALHAMDULILLAH, semuanya dah selesai. Esok kami akan
bawa kamu ke pejabat Konsulat Malaysia untuk serahkan
surat pengesahan nikah ini,” kata Haji Nik Hassan sambil
menghulurkan sampul surat besar berwarna putih kepada Wadi
Ridhuan.
“Terima kasih saya ucapkan pada tuan haji dan rakanrakan
tuan haji kerana bersusah payah membantu saya dalam
keadaan saya terdesak macam ni,” ucap Wadi Ridhuan lalu
mengambil sampul yang dihulurkan itu.
“Ya, sama-sama. Dah memang kerja kami di MAIS ini
untuk jalankan tugas sekiranya diminta. Kami faham keadaan
sesetengah pasangan yang mahu berkahwin tapi ada pulak
halangan daripada pihak tertentu. Jadi, kami di sini cubalah
bantu mana yang patut,” balas Haji Nik Hassan pula.
Akhirnya mereka berdua selamat diijabkabulkan
di pejabat Majlis Agama Islam Songkhla itu. Wadi Ridhuan
memberikan Farha seutas rantai emas peninggalan neneknya
Wan Chom sebagai hantaran. Rantai itu juga pernah
dipakaikannya kepada Farha sebelum ini.
Farha memanjatkan kesyukuran dalam hati. Separuh
bahagian sudah selesai tetapi ada separuh bahagian lagi yang
sedang menanti. Bagaimana dia dan Wadi Ridhuan mahu
menjalani kehidupan sehari-hari sebagai suami isteri dalam
keadaan sembunyi-sembunyi supaya tidak diketahui oleh
sesiapa.
Namun, perasaan risau itu ditolaknya ke tepi untuk
seketika. Dia memandang ke arah Wadi Ridhuan yang masih
rancak berbual dengan Wan Aiden. Ya, lelaki yang pernah
memperkosanya itu sudah sah menjadi suaminya.
Lelaki yang sudah banyak berubah tingkah laku itu
semakin hari semakin menunjukkan rasa cinta dan kasih
kepadanya. Begitu juga dia, perasaan sayang terhadap Wadi
Ridhuan kian menebal. Cinta yang semakin hari semakin
bersulam itu, sudah tersimpul erat.
Selepas urusan di MAIS berjalan dengan sempurna,
Wadi Ridhuan dan Farha dibawa ke sebuah hotel untuk
menginap. Kalau diikutkan, Wadi Ridhuan mahu bermalam di
rumah Wan Aiden tetapi memandangkan sepupunya itu sudah
membayar wang untuk pakej perkahwinannya, niat itu terus
dilupakannya sahaja. Nanti kerugian pula.
“Marilah berehat kat sebelah abang ni. Kenapa berdiri
aje? Tak penat ke?” Soal Wadi Ridhuan tatkala matanya tertancap
ke arah Farha yang masih berdiri di muka pintu sedangkan dia
pula sudah selesa berbaring di atas katil.
Farha menurut. Kakinya menapak perlahan menuju ke
arah Wadi Ridhuan seraya melabuhkan duduknya di birai katil
itu.
“Farha tak nak buka tudung? Nak malu apa lagi. Abang
ni, kan dah jadi suami Farha,” ujarnya sambil tersenyum.
Reaksi malu-malu yang ditunjukkan Farha itu membuatkan dia
giat mahu menyakat. Farha diam. Tidak tahu bagaimana mahu
menjawab.
Tetapi selepas itu, akhirnya dia bersuara, “Saya sejuk.
Kalau pakai tudung macam ni, kurang sikit rasa sejuknya.”
“Sejuk? Erm, kalau macam tu abang peluk.” Wadi
Ridhuan segera bingkas lalu duduk di birai katil bersebelahan
dengan Farha. Tangannya segera merangkul pinggang Farha
seraya menarik tubuh isterinya itu rapat ke sisi.
Pada awalnya Farha berlagak keras seperti patung
apabila Wadi Ridhuan bertindak begitu. Dia masih tidak biasa
dan gugup. Tetapi sedikit demi sedikit, dia mula berasa selesa
apabila Wadi Ridhuan pandai melayaninya sehingga dia sendiri
melentokkan kepala di bahu suaminya itu. Entah kenapa,
apabila berada di dalam pelukan Wadi Ridhuan, dia berasa
selamat, aman dan tenteram.
“Dah tak sejuk lagi?” Soal Wadi Ridhuan seraya
tangannya menggosok lembut pada bahu Farha.
“Tak dah...” jawab Farha ringkas.
“Abang ni pandai tak?”
Farha berkerut dahi, “Pandai apa?” Soalnya semula
kepada Wadi Ridhuan yang sedang tersenyum.
“Pandai tak abang hilangkan rasa sejuk tu?” Mata kiri
dikenyit ke arah Farha tetapi hanya dibalas dengan senyuman
simpul sahaja daripada isterinya itu.
“Abang...”
“Ya...”
“Semalam abang kata, lepas kita nikah, kita akan
fikirkan di mana kita nak tinggal nanti. Err... boleh tak kita
fikirkan sekarang? Bukannya apa, selagi kita tak putuskan di
mana kita nak tinggal, selagi itulah hati saya tak senang,” tutur
Farha lembut.
Baru sahaja dia ada niat mahu menikmati malam
pertamanya bersama Farha, tiba-tiba pula Farha membangkitkan
soal itu. “Abang tak ada idea lagilah, Farha.”
“Habis tu macam mana?” Sebaik sahaja soalan itu yang
terlontar, Farha segera membetulkan kedudukan. Tidak lagi
berada dalam pelukan suaminya seperti tadi.
Wadi Ridhuan menoleh lalu menyoal. “Berapa usia
kandungan Farha sekarang?”
“Tiga minggu...” jawabnya.
“Kalau perempuan mengandung, bila perut mereka
akan nampak besar?”
“Entahlah. Saya tak tahu sangat. Mungkin bila usia
kandungan dah masuk 4 atau 5 bulan, barulah nampak.”
“Lambat lagi, kan?” Soal Wadi Ridhuan lagi. Farha
mengangguk.
“Kalau macam tu, kita tinggal di rumah abang
dululah. Sambil-sambil tu, kita akan fikirkan perkara ni, okey?”
Dia membuat cadangan. Sepasang matanya mengharapkan
persetujuan daripada isteri tersayang.
“Tapi abang...”
“Syyy... janganlah kita bincangkan hal ni sekarang.
Abang letih. Farha tak kesian pada abang, ya...”
“Kalau abang letih, abang tidurlah. Saya nak mandi,”
Farha mula muncung. Tidak senang dengan tingkah Wadi
Ridhuan yang nampaknya seperti tidak serius apabila mahu
membincangkan soal itu.
Wadi Ridhuan mengeluh kecil. Kepala digaru seketika
sebelum kakinya cepat-cepat melangkah mengekori Farha
sehingga ke muka pintu bilik air.
Belum pun sempat Farha mahu membuka pintu bilik
air tersebut, Wadi Ridhuan segera menyambar pergelangan
tangannya sehingga membuatkan langkah kakinya terhenti.
“Farha marah abang ke ni?” Soalnya sambil memeluk
pinggang Farha daripada belakang. Dagunya diletakkan dengan
selesa di atas bahu isterinya itu.
“Saya tak marah tapi abang cubalah serius sikit.”
Kedua-dua tangan Wadi Ridhuan memegang bahu
Farha sambil memusingkan tubuh isterinya supaya berdiri
menghadap secara bertentangan.
“Cuba Farha tengok muka abang, tak serius lagi ke
macam ni?”
Farha menarik wajah kelat. Tidak tahu hendak
memberikan jawapan apa. Ternyata, Wadi Ridhuan mahu
menyakat. Dia tahu benar tentang itu. Baru dia kenal siapa
suaminya kini. Seorang lelaki yang suka mengusik dan suka
bergurau.
“Saya bukannya nak tengok muka abang ni serius atau
tak tapi saya mahu abang serius bila kita nak bincang perkara
yang serius. Bukannya nak bergurau-gurau macam ni. Abang
faham tak?” Bidasnya dengan nada menekan. Bibirnya diketap
rapat. Rasa geramnya pada Wadi Ridhuan tiba-tiba menjengah.
Wadi Ridhuan menjungkit kening. Garang juga
isterinya itu. Nampak sahaja lembut dan manis sekali raut
wajahnya tetapi dalaman Farha itu masih belum dikenalinya
dengan lebih jauh. Okey, baiklah. Seorang serius dan seorang
lagi suka bergurau. Perfect couple! Desis hati kecil Wadi
Ridhuan saat itu.
“Okeylah, abang minta maaf. Tadi Farha kata sejuk,
kan? Ni kenapa nak mandi pulak? Nampak sangat Farha
marah abang. Meh kita duduk dulu. Kita bincang baik-baik, ye
sayang?” Pujuknya sambil tersengih. Ditariknya tangan Farha
menuju semula ke katil. Farha menurut. Namun, wajahnya
tetap mencuka seperti tadi.
“Abang minta sangat dengan Farha. Tolong faham
keadaan abang. Kita tinggal dulu di rumah abang dalam sebulan
dua. Sambil-sambil tu abang akan cuba selesaikan masalah kita
ni. Farha kena faham satu perkara, abang anak tunggal... abang
tak boleh tinggalkan ibu dan ayah untuk tinggal di tempat lain
sebab abang risaukan kesihatan mereka. Tapi dalam masa yang
sama jugak abang tak mahu tinggal berasingan dengan isteri
abang ni.”
“Buat masa terdekat ni, abang tak boleh nak fikir lagi
cadangan yang lebih baik. Ini saja apa yang ada dalam kepala
abang. Kita tutup hal ni dulu ye? Tengok jam dah pukul berapa
sekarang?” Sambungnya dengan bicara panjang lebar.
“Pukul 11...” jawab Farha ringkas. Pujukan Wadi
Ridhuan mematikan terus rasa geram terhadap suaminya itu.
“Ya, dah pukul 11. Baby kat dalam ni perlukan rehat
yang cukup. Jadi, mamanya kena tidurlah. Tak boleh fikir
banyak sangat. Nanti kesannya tak bagus untuk baby,” Tutur
Wadi Ridhuan lembut seakan-akan memujuk. Tangannya
mengusap perlahan pada bahagian perut Farha yang masih
tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa isterinya itu sedang
mengandung.
“Tapi abang janji ye akan fikirkan hal ni,” pinta Farha
dengan bersungguh-sungguh.
“Ya, Farha. Jangan risau, abang janji abang akan
lakukan yang terbaik untuk isteri abang ni nanti,” balas Wadi
Ridhuan pula sambil mencubit sedikit pipi Farha.
“Penat...” rungut Farha tiba-tiba.
“Haaa.. tahu pun penat, ya. Jom tidur.” Lampu
dipadamkan. Semakin lama nampaknya Farha semakin
berasa selesa dan tidak lagi rasa malu atau segan dengan Wadi
Ridhuan. Naluri seorang isteri yang hadir tatkala itu, secara
tidak langsung menerbitkan rasa ingin bermanja dengan suami
tersayang.
“Lepas ni abang tak perlu panggil ‘Farha’ lagi.”
“Kenapa pulak?”
“Sebutan tu panjang sangat.”
“Kalau macam tu, abang nak panggil apa?”
“Panggil ‘Far’ saja pun dah cukup.”
Wadi Ridhuan tersenyum dalam kegelapan itu.
Kedengaran di cuping telinganya bicara Farha semakin lama
semakin bernadakan kemesraan. Sepasang mata dipejam rapat.
Mereka berdua harus tidur kerana awal-awal pagi esok Tuan
Haji Nik Hassan akan menjemput mereka untuk dihantar ke
pejabat Konsulat Malaysia di Wilayah Songkhla.

No comments:

Post a Comment