DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2016

Aku Dan 1B3K - Bab 4

TERDENGAR-DENGAR di telinga aku dia minta
jangan pakai tudung apabila aku datang kerja esok. Dia orang
Islam, tidak mungkin dia tak tahu menutup aurat itu wajib
bagi semua perempuan Islam yang sudah baligh. Eh, tapi...
ramai perempuan Islam yang tahu kewajipan menutup aurat,
namun masih berani melanggar perintah Allah. Ada juga
yang sekadar bertudung tapi tidak betul-betul menutup aurat
seperti yang dituntut oleh agama. Itu lagi parah!
Arahan pelik Bos 1B3K tadi buat aku rasa takut.
Macam mana kalau selepas ini ada lagi arahan-arahan yang
sangat-sangat tidak boleh aku laksanakan? Bab buka tudung
ni memanglah aku tak akan ikut. Dia pun tak boleh paksa
aku. Aku rela dipecat daripada melanggar suruhan Allah. Tapi
kalau ada arahan yang mana dia boleh paksa aku lakukannya
macam mana? Isy, si bengkeng ni menakutkanlah.
Peliklah, kenapa Datin hendak sangat aku jadi PA
anak bongsu dia sedangkan Naani cuti sebulan saja. Kak
Razia pembantu Naani tentu boleh uruskan aktiviti Datin dan
Bos 1B3K sebab dia berpengalaman. Naani lagi pelik. Orang
lain cuti kahwin paling lama pun dua minggu. Dia sampai
sebulan!
Cukuplah berfikir. Aku nyahkan Bos 1B3K dari
fikiran aku. Aku buka Skype. Seperti yang dijanjikan, malam
ini aku nak bersembang dengan kak long. Seronoknya dapat
tengok wajah manis kakak ipar terbaik dalam dunia. Dia
dukung Nabil. Bulat mata si kecil tu. Agaknya terkejut tengok
muka mak usu dia di skrin. Kak long cerita pasal Nabil yang
sudah semakin lasak. Kata kak long, Nabil selalu sakat Zety.
Itu ikut perangai ayah dialah tu, yang sampai sekarang belum
bertaubat daripada menyakat aku.
Lama juga berbual dengan kak long. Sembang pasal
resipi kek terbaru yang kak long buat. Kek lapis coklat Horlick
katanya. Kak long janji bila aku balik kampung nanti dia akan
buatkan kek tu. Kemudian kami sembang pula pasal jubah.
Kak long ajak pakai jubah untuk raya tahun ni. Aku ajak kak
long datang KL kalau hendak beli jubah. Akhir sekali kami
bersembang pasal bercuti. Kata kak long dia teringin hendak
pergi bercuti ke luar negara tapi along sentiasa sibuk. Along
macam aku juga, hyper!
“NAANI, SI 1B3K ni kerja ke tak? Dah pukul sepuluh setengah
ni.” Aku bertanya kerana sampai sekarang batang hidung dia
belum nampak.
“Masuk. Memang tiap-tiap hari dia lambat. Kalau
ada meeting baru dia masuk awal.” Jawab Naani. Patutlah
sebelum ni Naani kata jangan aturkan janji temu atau
mesyuarat di awal pagi.
Aku semak semula jadual aktiviti Bos 1B3K untuk
minggu depan. Kata Datin biarkan penuh dengan aktiviti
supaya si bengkeng tu tak ada masa untuk berfoya-foya. Tapi
masalahnya, apa aktiviti yang boleh aku aturkan di sebelah
malam? Kalau siang, memang hampir penuh pun.
Bunyi derapan kaki di atas lantai berjubin yang setiap
hari digilap sampai berkilat membuatkan aku mengangkat
kepala. Bos 1B3K sedang berjalan ke arah sini. Pintu kaca
ditolak dan dia terus berjalan. Matanya melekat pada mata
aku. Renungan tajamnya membuatkan jantung aku berdegup
laju. Aku bagi salam apabila dia sampai depan aku. Dia
berhenti sekejap, angguk kepala dan terus masuk ke biliknya.
“Dah datang?” soal Naani yang baru keluar dari bilik
Datin Nuridah.
“Baru sampai.”
“Datin nak jumpa dia. Tapi sebelum tu, kau masuk
dulu. Datin nak tengok jadual aktiviti Encik Rifqi.”
Aku capai kertas jadual aktiviti, buku nota dan terus
bangun. Baru hendak berjalan ke bilik Datin, Bos 1B3K
keluar dari biliknya.
“Kopi aku mana?” Dengan garang dia bertanya.
Eh, Naani kata dia tak minum kopi!
“Lain kali sebelum aku masuk, pastikan kopi aku dah
tersedia. Satu mug kopi panas mesti ada. Faham?”
Aku mengangguk sebelum cepat-cepat mengerling
ke arah Naani. Mangkuklah dia ni! Sengaja nak kenakan
aku kut? Aku tekan nombor pantri dan sebaik saja Kak Biah
menjawab, aku minta dia hantar satu mug kopi panas ke bilik
Bos 1B3K.
“Kau kata dia tak minum kopi!” Aku jerit ke arah
Naani sambil mendekatinya.
“Mana aku tahu? Sebelum ni dia tak pernah minta!”
Aku mendengus dan menjeling Naani sebelum
mengetuk pintu bilik Datin. Datin sedang duduk di atas
sofa ketika aku masuk. Dia menggamit aku agar duduk di
sebelahnya.
“Aktiviti syarikat saya ikut apa yang Naani, eh Azwan
dah aturkan. Saya cuma tambah sikit aktiviti lain, seperti
bawa Dato’ pergi check-up, makan malam dengan Dato’
dan Datin serta bawa Dato’ bersiar-siar di hujung minggu.
Tak tahulah betul ke apa yang saya buat ni.” Aku terangkan
kepada Datin selepas duduk dan menghulurkan kertas kepada
Datin Nuridah.
Datin Nuridah mengangguk. Matanya masih
menyorot patah-patah perkataan yang tercetak di atas kertas
A4.
“Kenapa tak ada aktiviti lain selain daripada makan
dengan saya dan Dato’?”
“Maaf Datin, saya tak tahu apa nak dimasukkan.
Lagipun tak guna saya susun aktiviti untuk Encik Rifqi kalau
dia tak ikut.”
“Dia akan ikut. Saya akan pastikan dia ikut jadual
yang Fina buat. Tak mengapalah. Cukup dulu buat masa ni.
Perlahan-lahan kita ubah dia. Dia anak yang baik sebenarnya.”
Kita? Alamak, perkataan ‘kita’ yang Datin sebut buat
aku takut.
“Dulu dia tak macam tu. Dulu dialah orang yang
pertama sampai pejabat dan orang yang terakhir balik. Saya
ingat bila Dato’ sakit dia akan insaf. Tapi dia nampaknya
macam balik sini dengan hati yang terpaksa.” Kata Datin
Nuridah lagi.
Suara Datin Nuridah perlahan. Matanya merenung
kosong, jauh ke dinding biliknya. Aku rasa simpati
sangat-sangat terhadapnya. Tentu dia sedih dengan keadaan
anak kesayangan yang satu masa dulu adalah harapan
keluarga untuk meneruskan legasi perniagaan yang Dato’
Ibrahim mulakan.
“Datin, maaf Fina nak tanya sikit. Semalam Fina
dengar Datin sebut perkataan ‘bodyguard’. Boleh Datin
terangkan part tu?” Aku harus tanyakan soalan itu, biar jelas
apa yang aku kena buat.
“Apa yang saya maksudkan bukanlah kerja-kerja
pengawal peribadi dalam erti kata sebenar. Sejak Rifqi balik,
ramai perempuan daripada golongan terkenal, macam artis,
model dan anak-anak orang ternama yang cuba mendampingi
dia. Sejak kebelakangan ni makin kerap cerita pasal dia
keluar di newspaper dan internet. Ini tak elok untuk reputasi
syarikat dan menjejaskan nama baik keluarga kami. Jadi
saya nak minta Fina perhatikan siapa perempuan yang rapat
dengan dia dan maklumkan kepada saya. Setiap hari kena
semak surat khabar dan internet, mana tahu kalau-kalau ada
gosip yang melibatkan dia.”
Alamak! Apa kerja aku sebenarnya ni? Pembantu
peribadi merangkap pengawal peribadi merangkap spy
ke? Lepas ni entah apa lagilah Datin minta daripada aku.
Masalahnya bila tengok wajah sayu Datin, aku tak sampai hati
berkata tidak kepadanya.
“Tolong buat dua salinan jadual aktiviti ni dan suruh
Rifqi masuk jumpa saya.”
Aku buat dua salinan seperti yang Datin minta.
Kemudian aku ketuk bilik Bos 1B3K. Selepas ketuk beberapa
kali, aku buka pintu. Patutlah dia tidak jawab, sedang bergayut
di telefon rupa-rupanya. Dia habiskan perbualan apabila aku
berdiri tegak di depannya.
“Kau tak reti ketuk pintu ke sebelum masuk?”
“Saya dah ketuk, rasanya dekat tujuh kali. Tapi bos
senyap saja… saya masuklah. Mana tau kot-kot bos tertidur
ke, pengsan ke?”
Dia renung aku dengan pandangan tak puas hati.
Aku buat selamba. Tadi Datin pesan lagi sekali jangan takut
dengan Irsyad Rifqi. Jadi aku beranikan diri. Lagipun kalau
setakat pandang aku macam tu, memang aku belum takut.
“Datin nak jumpa bos sekarang.”
Dia bangun. Tanpa sebarang kata lagi dia berjalan
ke arah pintu yang sengaja aku biarkan terbuka. Tiba-tiba dia
berhenti dan berpaling.
“Aku tak suka pintu ni dibiarkan terbuka. Ramai
sangat orang yang busybody dalam ofis ni.”
“Okey.” Aku jawab. Bukan susah sangat, lain kali aku
pastikan pintu bilik dia sentiasa tertutup.
“Come here,” dia panggil sambil jari telunjuknya
menggamit aku.
Alamak, kenapa ni? Dada aku tiba-tiba berdebar-debar,
tapi sikit saja. Belum sampai serancak lagu k-pop. Aku mara
mendekati Bos 1B3K yang berdiri lebih kurang enam langkah
daripada aku.
“Bukan ke semalam aku cakap jangan pakai tudung
datang kerja?” Bos 1B3K menyoal apabila aku berhenti lebih
kurang dua kaki dari tempat dia berdiri.
Aku mengangguk. Dia diam tapi muka dia seperti
mahukan penjelasan.
“Menutup aurat wajib ke atas saya dan cara saya
menutup aurat ialah dengan memakai tudung. Boleh bos
datang kerja esok tak pakai baju?”
Bos 1B3K pandang aku lama sebelum dia tersenyum.
Tak kacak pun wajah dia apabila dia senyum sebab dia senyum
mengejek.
“Kalau aku tak pakai baju esok, kau sanggup ke?”
Hesy melampaunya dia ni, hukum Allah dia buat
main-main saja. Takkanlah baru dekat dua tahun berkelana
di Eropah sudah lupa jati diri sebagai orang Islam?
“Tak. Saya tak sanggup buka tudung saya. Bos tak
ada hak nak suruh saya buka tudung. Saya tak akan buat.”
Aku jawab dengan suara yang tegas dan aku buat muka serius.
Jangan ingat dia boleh suka-suka bagi arahan mengarut.
Bos 1B3K mara setapak. Tangannya mencekak
pinggang.
“Aku bukan tanya pasal buka tudung. Aku tanya
sanggup tak? Sanggup tengok aku kerja tak pakai baju?
Jangan nanti kau tak boleh kerja, terliur tengok body aku.
Aku ada six pack and I am hot.”
Hot? Haah memang panas pun pipi aku sekarang.
Mana tidaknya, selamba saja dia cakap macam tu. Mata dia
pula tepat menikam ke dalam mata aku, tembus sampai ke
otak. Senyuman mengejek masih tergaris di bibirnya. Isy
tak malu mengaku dia tu hot. Hot tak hot, kalau perangai tu
bengkeng, kerek, tak ada maknanya.
Aku yang terkedu hanya mampu berdiri tegak.
Dengan selamba dia berjalan keluar dari biliknya. Aduhai,
ingatkan hendak bagi dia terkedu dengan jawapan aku,
rupa-rupanya aku yang terkedu dengan kata-kata dia. Tak
apa, ada ubi ada batas.

No comments:

Post a Comment