DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 10

SYED Wafi masih lagi tidur dengan nyenyak di
atas katil. Sesekali nafasnya kedengaran sayu dan lemah.
Kesan minuman keras yang diteguknya tadi, kini kepala Syed
Wafi terasa berat dan pening. Sukar baginya untuk bangun
semula. Semalaman masanya dihabiskan bersama Lily.
“Wafi,” bisik Lily ke telinga Syed Wafi. Dia yang
masih berselimut di sebelah Syed Wafi mengurut-urut
telinga Syed Wafi yang kemerahan. Wajah Syed Wafi yang
masih tertidur direnungnya lama. Bibir Syed Wafi yang
selama ini menjadi idamannya itu disentuh perlahan-lahan.
Biarpun dia agak takut, namun hati Lily tidak dapat bertahan
lagi. Perlahan-lahan dia cuba mengucup bibir merah Syed
Wafi namun....
“Lily!” Syed Wafi tiba-tiba bangun dengan wajah
merah menyala. Matanya bulat memandang Lily yang juga
turut terkejut.
“Why?” sakit hati Lily melihat Syed Wafi
menonyoh-nonyoh bibirnya.
“I’ve told you before! And I will remind you again,
kalau you tak mahu tengok muka I lagi, you boleh langgar
janji you tu!” Syed Wafi terus menyarung seluar jeannya dan
mula bersiap-siap. Kecewa betul dia dengan Lily kerana sudah
berani melanggar perjanjian mereka selama ini. Memang
benar Lily itu perempuan simpanannya. Lily itu teman tidur
dan berhiburnya. Namun hanya sampai di situ. Tak lebih atau
kurang!
Cepat-cepat Lily bangun dan memeluk tubuh Syed
Wafi. Takut betul dia tindak balas Syed Wafi yang tidak
disangka itu. Fikirnya setelah dua tahun bersama, Syed Wafi
tidak akan kisah dan lupa janji mereka. Namun, lelaki itu
masih kuat ingatan rupanya.
“I love you Wafi. I love you. Tak boleh ke you
terima I? We've been together two years Wafi!” dengan air
mata berlinang Lily meluahkan perasaannya yang telah lama
dipendam. Sungguh dia tidak faham kenapa hati Syed Wafi
begitu keras seperti batu.
“Lily, I’m so sorry. I can’t. Bukan sebab you tak
bagus. Tapi I masih tak bersedia untuk ada hubungan
cinta. I can’t give any commitment based on that type of
relationship. Maafkan I Lily. Kalau you tak tahan lagi dengan
I, you boleh pilih jalan you. I tak akan ganggu you lagi,” Syed
Wafi memegang bahu Lily.
“No! I can’t leave you and I won’t let you go! I sanggup
tak dapat cinta you, tapi I tak sanggup nak berpisah dengan
you. I terima pendirian you, as long as we are together,” luah
Lily pasrah. Biarpun perit untuk terima kenyataan itu, Lily
tetap mengalah. Dia sanggup terima apa sahaja arahan Syed
Wafi selagi jejaka itu terus menemuinya.
Syed Wafi memeluk tubuh Lily dengan erat. Dia
tahu biarpun Lily kecewa dengan keputusannya tetapi Lily
pasti akan mengalah. Bukan Syed Wafi tidak mahu bercinta
dengan Lily, tapi hatinya langsung tidak ada perasaan cinta
terhadap gadis itu. Bukan dia tidak pernah mencuba, namun
ternyata gagal. Lily bukan gadis yang dinantinya. Biarpun
dia lelaki yang punya segalanya dan mampu tertarik atau
menarik perhatian mana-mana gadis, namun sehingga hari
ini, dia masih belum temui gadis yang berjaya menggetarkan
jiwanya.
“Wafi, gelang ni you nak bagi I ke?” Tiba-tiba Lily
menunjukkan seutas gelang emas di atas tapak tangannya.
Terbeliak Syed Wafi tatkala melihat gelang itu
berada di dalam genggaman Lily. Pantas dia merampas
semula gelang itu.
“Argh!” Lily terkejut dengan tindakan pantas Syed
Wafi.
“Lain kali jangan ambil barang orang lain!” marah
Syed Wafi. Dia betul-betul tidak sangka Lily sudah berani
menyelongkar poket bajunya.
“Sorry,” jawab Lily terpaksa. Dalam hati dia mula
menaruh syak. Patutlah Syed Wafi tidak mampu memberikan
komitmen terhadapnya. Sebab sebenarnya lelaki itu dah ada
orang lain!
“I balik dululah Lily, dah nak subuh ni. See you,”
Syed Wafi mengucup pipi Lily. Biarpun hati Syed Wafi sangat
marah tetapi dia terus melayan Lily dengan baik. Kalau dia
tidak melayan Lily begitu, bimbang juga Lily akan fikir yang
bukan-bukan nanti.
TIARA MERENUNG gambar Syed Wafi yang berbaju sejuk
penuh bergaya pada sebuah bingkai kecil di atas meja.
Latar belakang di dalam gambar itu tak ada rupa seperti di
Malaysia. Pasti London atau Amerika Syarikat. Semalam
Tiara langsung tidak perasan bingkai gambar itu. Kalaulah
dari awal dia sudah nampak gambar itu, pasti dia cabut lari
awal-awal lagi sebelum bertembung Syed Wafi dan sekali gus
bertemu semula dengan Khalid.
Namun nasi sudah jadi bubur. Nak berpatah semula
pun tidak sempat lagi. Awal pagi tadi Tiara terus ke Jabatan
Sumber Manusia bertemu Kak Habsah. Permohonan
peletakan jawatannya itu terus diajukan ke telinga Kak
Habsah, tetapi apa yang Kak Habsah cakap sama sahaja
seperti Syed Wafi. Semacam berpakat pula dua insan itu
untuk menggunakan ayat yang sama terhadapnya.
“Hurmm… nasib kaulah Tiara. Sebulan ni kau
terpaksalah menghadap muka dia ni,” luah Tiara lalu
meletakkan semula bingkai gambar itu. Usai menyusun
dokumen dan menyediakan segelas susu panas di atas
meja, Tiara keluar semula ke mejanya. Di situ Tiara duduk
termenung mengenang nasib. Dia bukan berniat mahu
berhenti, tetapi dia tidak sanggup bersemuka dengan Syed
Wafi.
Syed Wafi itu penyebab semuanya. Tiara berdengus
tika teringat semua pergaduhannya dengan lelaki itu.
Semuanya berpunca daripada Syed Wafi, daripada pertemuan
pertama di tengah hujan malam itu, kes telefon mainan,
membawa kepada tumpahnya air susu itu. Semuanya sebab
Syed Wafi. Argh! Tiara menjerit dalam hati. Dia benci kerana
ditakdirkan menjadi setiausaha Syed Wafi. Sudahlah dia
memang mahukan sangat kerja itu. Tetapi kerana lelaki yang
bernama Syed Wafi, dia terpaksa undur diri.
Dan Khalid pula menjadi penyebab kedua. Tiara
sedar Khalid pasti akan datang mengganggunya lagi lepas ini.
Huh! Naik fed up dia tengok muka dua orang tu!
“Ehem! Ehem!” Syed Wafi berdeham kuat. Dia
menjeling Tiara yang buat muka selamba terhadapnya.
Sedikit kecewa dengan sambutan tidak meriah Tiara itu. Jika
dia menegur pekerja wanita lain, pasti mereka akan menjawab
dan tersenyum meleret. Tetapi dengan Tiara, langsung tidak
ada tindak balas. Dah macam nasi tak berlauk, memandang
tak lalu, menjamah pun tak berselera. Tawar hambar!
Tiara terus membatu diri di mejanya. Dia masih
marah terhadap Syed Wafi kerana kejadian semalam. Gara-gara
Syed Wafi, dia tidak sempat hendak ke tol untuk bekerja.
Sungguhpun dia sudah punya jawatan yang baik dan gaji
yang agak selesa, namun pekerjaannya di tol itu tak sanggup
dia lupakan. Hanya di tol itu sahaja tempat dia menghabiskan
masa dan melepaskan semua tekanan. Dia tidak mahu ada
di rumah kerana emak tidak suka memandangnya. Dia lebih
sanggup berada lama di luar rumah demi menjaga hati emak.
“Tiara, awak dah sarapan? Ini saya ada belikan awak
kuih. Makanlah,” Khalid tiba-tiba muncul dengan menjinjing
satu beg plastik, membuatkan Tiara memandang getik.
Tiara yang pura-pura melayan skrin komputer
mengerling sedikit. Dia menyampah sungguh dengan orang
seperti Khalid itu. Sudah berkahwin tapi menggatal pula.
Tidak rasa bersalah sikit pun dengan isteri sendiri.
“Apa ni?” soal Tiara cemas. Dia bimbang kalau ada
orang yang akan bercakap mengenainya dengan Khalid. Dia
tidak mahu dituduh menggatal dengan suami orang.
“Hai, mengelamun ingat dekat siapa ni? Kan saya
dah beritahu tadi, ini kuih. Saya belikan buat sarapan awak.”
“Saya tak nak. Ambil balik!” garang suara Tiara.
Khalid termangu. Tiara terus menolak pemberian
ikhlasnya tanpa ragu-ragu. Semalam setelah mendapati
Tiara bekerja satu bumbung dengannya, dia terus ke Jabatan
Sumber Manusia untuk memastikan suatu perkara penting.
Status Tiara saat ini. Dan jawapan yang diperoleh sungguh
melapangkan dadanya. Tiara masih bujang dan tinggal di
sekitar Kuala Lumpur sahaja. Tetapi kenapa Tiara yang
dulunya dikenali dengan sikap periang dan manja boleh
berkelakuan begitu garang dan serius? Mana hilangnya suara
lembut dan senyuman Tiara yang manis itu?
“Kenapa awak dah lain Tiara?”
Tiara dengar pertanyaan Khalid itu dengan jelas
sekali. Perlukah Khalid ambil tahu semua itu? Dia hendak
berubah perangai, berubah muka atau suara pun, apa Khalid
peduli? Kisah sahajalah Khalid dengan hal rumah tangganya.
“Tiara! Masuk pejabat saya, sekarang!”
Tiara yang baru hendak menjawab pertanyaan Khalid
tergamam kerana dipanggil kasar oleh Syed Wafi. Khalid juga
terkejut melihat Syed Wafi tiba-tiba terjengul di muka pintu.
Syed Wafi merenung Khalid lama. Dadanya berombak
kencang. Apa sahaja butir bicara Khalid tadi didengarinya
dengan jelas. Dia tidak faham, kenapa Khalid tiba-tiba baik
terhadap Tiara?
Tiara mencapai jurnalnya dan melangkah masuk ke
dalam pejabat Syed Wafi. Mujur jugalah Syed Wafi tiba-tiba
memanggilnya masuk ke situ. Jika tidak, tak tahulah apa
yang harus dia jawab kepada Khalid.
Dum!
Tiara tersentak lalu mengurut dadanya kerana
terkejut besar. Kuat bukan main Syed Wafi menutup pintu
pejabatnya itu. ‘Dah kenapa dengan dia ni?’ detik Tiara.
“Pagi-pagi lagi dah menggatal!” luah Syed Wafi.
“Huh?” Tiara terpinga-pinga. Apakah benar apa yang
dia dengar tadi? Syed Wafi mengata dia atau mengata Khalid?
Mulalah rasa geram menjengah ke dalam hati.
Syed Wafi berjalan dan duduk di atas kerusinya.
Kedua belah tangannya memeluk tubuh dan renungannya
tajam menikam. Dia sakit hati melihat Tiara bersembang
dengan Khalid. Dia geram Khalid cuba mahu dekat dengan
Tiara dan dia tidak puas hati dengan semua yang berlaku itu.
Dengan dia, Tiara angkat muka pun tak sudi. Tetapi dengan
Khalid, Tiara nak pula berlawan mata.
“Awak ni suka dekat Khalid tu ke?”
“Apa?” Tiara berkerut dahi.
“Khalid tu dah ada isterilah Tiara. Jangan berangan
nak berkepit dengan dia. Lagipun awak ni bukan taste dia
pun. Dia tu suka perempuan cantik aje. Awak ni… bukan
cantik mana pun.”
“Syed Wafi!” jerkah Tiara kuat. Wah! Bukan main
sedap Syed Wafi mengutuk dirinya dan menuduh dia gatal
hendakkan Khalid. Apakah Syed Wafi fikir dia mencari kerja
dekat situ kerana mahu berkasih sayang dengan lelaki? Mahu
cari jodoh! Tiara mengetap giginya kuat. Nasib baiklah jurnal
tebal di tangannya tidak sempat terbang ke kepala Syed Wafi.
Syed Wafi tersenyum sinis. Dia bangun dan
menghampiri Tiara.
“Kau sedar tak kau tengah bercakap dengan siapa ni,
Tiara? Kau tu pekerja, aku ni bos kau! Jangan nak naik suara
macam tu, faham!”
“Kalau kau rasa kau tu bos besar dekat sini, tolong
jaga diri kau tu. Jaga lidah kau tu supaya tak terkeluar ayat
fitnah macam tadi. Kau fikir, kalau kau bos aku nak tunduk
kalau kau tuduh dan mengata aku macam tu? Kau ingat aku
ni ketagih sangat dengan jantan dekat sini? Mata aku ni sakit
bila pandang orang lelaki dalam bangunan ni. Aku getik! Kau
faham tu!” luah Tiara tegas.
Syed Wafi terkebil-kebil. Beraninya Tiara menjerkah
dan memarahinya begitu. Lupakah Tiara yang sedang
ditentang itu adalah ketuanya? Tapi Syed Wafi sedar, dia juga
salah dalam hal ini. Dia yang buat Tiara sakit hati.
Syed Wafi tidak menjawab dan membiarkan Tiara
keluar dari pejabat itu.
Dum!
Syed Wafi tersentak lagi. Sudahlah tadi Tiara baru
sahaja menjerkahnya, kini pintu juga Tiara hempas. Syed
Wafi menggeleng kepala. Semuanya gara-gara cemburu yang
terpercik.
‘Hurm… Wafi... Wafi... nak kata kau ni tak sekolah,
ada jugak segulung ijazah. Nak kata mata kau ni buta, kau
celik saja. Tapi kenapa kau boleh ada hati dengan perempuan
kasar macam dia tu?’ Syed Wafi menggeleng-geleng.

No comments:

Post a Comment