DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2016

Akad Kedua - Bab 14

MAJLIS pertunangan yang sederhana itu
berjalan dengan lancar. Dhia kelihatan cantik berpakaian
kurung moden berwarna cornflower blue yang dihiasi
susunan manik berwarna merah jambu di sekitar lengan dan
bajunya. Dhia duduk bersimpuh di atas pelamin kecil yang
direka indah oleh sepupunya sendiri, Anis iaitu kakak kepada
Saiful. Fiqa di sisinya tersenyum gembira menemani.
Datin Azizah menjatuhkan lutut di hadapan
Dhia. Cincin diambil daripada seseorang yang sedia
menghulurkannya. Setelah disarungkan cincin, Dhia
mencium tangan Datin Azizah dan pelukan erat diberikan
biarpun pelbagai persoalan kini bermain di kepalanya.
Usai semua, Dhia bersama kedua orang tuanya
menghantar rombongan meminang itu sampai di halaman.
Di kesempatan yang ada, Dhia menghampiri Datin Azizah.
“Datin, macam mana Datin boleh...” Dhia tidak
mampu meneruskan kata-katanya. Sungguh! Dia sangat tidak
mengerti. Apa kaitan Datin Azizah dengan pertunangannya
pada hari ini dan kenapa majikannya yang menyarungkan
cincin? Siapa Datin Azizah dengan Tan Sri Junaidi?
Datin Azizah tersenyum seakan-akan sudah dapat
menangkap apa yang mahu dikatakan oleh Dhia.
“Dunia ni ternyata sungguh kecil, kan? Di mana pun
kita pergi, kita akan berjumpa dengan orang yang sama,” kata
Datin Azizah.
Dhia tidak mengerti.
“Apa maksud Datin?” soal Dhia.
“Saya ni sebenarnya kawan baik kepada Tan Sri
Junaidi dan juga arwah isterinya, Aliya. Jadi, saya mewakili
pihak keluarga lelaki untuk menyarungkan cincin pada
awak,” jawab Datin Azizah.
Dhia mengangguk faham. Tidak hairanlah jika Datin
Azizah merupakan kawan baik kepada Tan Sri Junaidi. Mereka
sama-sama mempunyai empayar yang besar.
“Nampaknya melepaslah saya nak ambil awak jadi
menantu,” seloroh Datin Azizah membuatkan Dhia sedikit
terkejut mendengarnya.
'Menantu? Untuk Encik Irsyad yang suka menyakat
tu ke? Sebab... itu saja anak lelaki yang Datin ada.'
Tidak jauh dari situ, Tan Sri Junaidi melihat Dhia
sedang berbual-bual dengan Datin Azizah.
“Tan Sri... kalau ada masa, selalulah ke sini. Rumah
ni sentiasa terbuka untuk Tan Sri sekeluarga,” kata Haji
Rahman.
“Ya, insya-Allah. Bukan ke tak lama lagi kita akan
berbesan?” Tan Sri Junaidi ketawa meleret. Diikuti pula
dengan Hajah Sakinah dan juga Haji Rahman.
“Kami minta diri dulu ya. Terima kasih daripada
kami semua untuk jamuan yang sedap-sedap tu,” ucap Tan
Sri Junaidi.
“Biasa aje, Tan Sri. Masakan kampung aje.” Hajah
Sakinah merendah diri. Dalam hati, dia amat bersyukur
kerana pihak rombongan menyukai makanan yang
dihidangkan. Pada awalnya, agak bimbang dia memikirkan
soal menu untuk dimasak pada majlis ini. Maklumlah,
mereka semua orang-orang yang sudah biasa makan mewah.
Dapat ke terima masakan kampung seperti sambal belacan
dan ulam-ulaman?
“Sebenarnya itulah yang paling sedap,” kata Tan Sri
Junaidi.
Datin Azizah datang bersalaman dengan Hajah
Sakinah dan memberikan senyuman kepada Haji Rahman.
“Mak, ayah... sebenarnya, inilah majikan Dhia, Datin
Azizah,” beritahu Dhia sambil berdiri di sebelah Datin Azizah.
Hajah Sakinah dan Haji Rahman saling
berpandangan. Kaget mendengarnya.
“Owh... tapi, macam mana boleh...” Kini pelbagai
persoalan mula singgah di kepala Hajah Sakinah.
“Saya yang minta tolong Datin Azizah ni. Dia
sebenarnya kawan baik saya dan arwah isteri saya,” jawab
Tan Sri Junaidi pantas. Dia pun sebenarnya tidak menyangka
bahawa Dhia merupakan setiausaha kawan baiknya itu.
“Hajah, Haji... saya pun tak sangka orang yang saya
sarungkan cincin tadi ialah setiausaha kesayangan saya
sendiri. Dhia pulak langsung tak beritahu saya yang dia nak
bertunang hari ni,” cerita Datin Azizah.
“Ya ke? Isy, apalah kamu ni... tak senonoh betul.
Kenapa tak dijemput bos sendiri?” marah Hajah Sakinah.
“Dhia bukan sengaja, mak. Tapi, semuanya macam
terlalu pantas. Lagipun, Dhia fikir ini majlis bertunang aje
pun. Kalau majlis kahwin, bolehlah Dhia jemput.”
Datin Azizah menggelengkan kepalanya.
“Takpe, saya faham. Takkan semua perkara nak
cerita pada saya, kan?” katanya kepada Hajah Sakinah.
“Saya betul-betul minta maaf ya, Datin.” Dhia
diruntun rasa bersalah.
“Dhia...”
“Ya, Tan Sri.” Dhia menyahut dan berjalan mendekati
Tan Sri Junaidi yang sudah mula menapak ke arahnya, namun
Dhia lebih pantas. Ditinggalkan Datin Azizah yang sedang
berbual dengan orang tuanya.
“Tak payahlah panggil Tan Sri. Panggil aje abi. Lagi
senang. Lagipun, tak lama lagi Dhia akan jadi menantu abi.”
Dhia hanya membalas dengan senyuman. Dia masih
terasa segan. Ini merupakan pertama kali dia berbual dengan
bakal bapa mentuanya. Seorang lelaki awal 60-an yang
dikatakan seorang jutawan, tetapi sentiasa merendah diri dan
senang untuk didekati.
Tan Sri Junaidi memandang Dhia penuh kasih dan
sayang seperti seorang ayah melihat wajah anaknya. Dia yakin,
pilihannya tepat untuk menjadikan Dhia sebagai menantu.
Mata Dhia jelas terpancar betapa dia ikhlas menerima semua
ini.
“Abi nak ucapkan terima kasih kepada Dhia sebab
sudi terima anak abi. Abi tahu, pasti payah untuk Dhia buat
keputusan setelah Dhia tahu yang anak abi tu, dulu pernah
berkahwin. Sebenarnya, abi tidaklah terlalu berharap untuk
Dhia terima. Tapi, bila abi dah tahu keputusan Dhia... abi
bersyukur sangat,” ujar Tan Sri Junaidi.
“Jujur Dhia cakap, memang pada awalnya susah
untuk Dhia buat keputusan. Dhia dah buat solat istikharah,
abi. Entah kenapa, hati Dhia kuat mengatakan ini adalah
jodoh yang Allah beri. Mungkin dah tiba masa kut. Dhia
betul-betul ikhlas abi,” kata Dhia.
Tan Sri Junaidi tersenyum mendengarnya. Satu
kad dikeluarkan dari poket baju batik yang dipakainya dan
diberikan kepada Dhia.
“Green Holdings?” soal Dhia. Tergamam apabila
terbaca nama syarikat yang tertera di atas kad itu. Dhia cuba
mengingati sesuatu.
'Owh ya! CEO Green Holdings yang Datin Azizah nak
kenalkan pada aku tu, anak kepada Tan Sri Junaidi? Bermakna
sekarang, aku ni tunangan kepada CEO Green Holdings?
O-M-G! Betullah cakap Datin Azizah. Dunia ni kecil sangat!'
“Kenapa?” tanya Tan Sri Junaidi.
“Tak... takde apa-apa,” balas Dhia. “Erm... untuk apa
ya abi bagi kad ni?”
“Di situ ada tertulis nombor telefon dan alamat
syarikat Khuz. Nanti, bolehlah Dhia telefon Khuz ajak jumpa
dan berkenalan. Sambil-sambil tu, boleh berbincang soal
majlis perkahwinan sekali,” jelas Tan Sri Junaidi.
“Urm, yalah... insya-Allah. Nanti Dhia telefon dia,”
balas Dhia lalu menguntum senyum.
“Semua dah tunggu kita. Jomlah kita bertolak balik
sekarang,” ajak Datin Azizah sebaik sahaja mendekati Tan Sri
Junaidi.
Pandangannya dilemparkan pula kepada Dhia.
“Dhia, kita jumpa di ofis Isnin nanti.”
“Baik, Datin. Hati-hati balik sana ya,” kata Dhia.
“Assalamualaikum,” ucap Tan Sri Junaidi sambil
mengangkat tangan kepada Hajah Sakinah dan Haji Rahman
sebelum melangkah masuk ke dalam kereta bersama-sama
Datin Azizah.
“Waalaikumussalam,” balas Dhia dan kedua
orang tuanya serentak. Mereka berdiri di situ sehinggalah
kelima-lima buah kereta yang baru sahaja bergerak hilang
dari pandangan.
Dhia menoleh ke belakang. Kedua ibu bapanya sudah
masuk ke dalam rumah. Dia pula masih tidak berganjak dari
situ. Tangan kirinya diangkat lurus setinggi wajah bersama
jari-jemarinya. Gayanya seolah-olah sedang menahan sesuatu.
Dia mengecilkan mata memandang cincin platinum
yang tersarung di jari manisnya. Mempunyai tiga butir
berlian bersaiz sederhana di tengah-tengah dan di kelilingnya
ditanam berlian kecil.
Sedang dia ralik membelek cincin yang tersarung,
tiba-tiba ada sesuatu yang meredupkan pandangan
hadapannya. Dhia mengangkat wajah. Tanpa sedar, senyuman
diukirkan apabila melihat Saiful berdiri betul-betul di
hadapannya sambil menayangkan barisan gigi hadapan yang
tersusun cantik.
SEPERTI BIASA, apabila bertemunya dua orang sepupu ini
di kampung, tempat letaknya buaian itulah menjadi lokasi
untuk mereka berbual. Dhia duduk diam di atas buaian
sambil memandang Saiful dengan wajah cemberut.
“Kau cakap tak dapat balik sebab ada program di
kolej la apa la. Ini, apa citer?” Penjelasan diminta.
“Soal program tu memang betullah ada. Tapi
tanggungjawab aku dah selesai, sebab tu aku cepat-cepat lari
balik sini. Selebihnya, aku serahkan pada pensyarah-pensyarah
lain untuk handle. Mana boleh aku tak datang majlis tunang
kau,” kata Saiful.
“Owh ya, Kak Anis beritahu dua bulan lagi kau akan
bernikah. Betul ke?” tanya Saiful pula.
Dhia menganggukkan kepalanya.
“Haah. Bakal bapa mentua aku yang nak
dipercepatkan. Ayah dengan mak aku pulak setuju dan aku ikut
aje. Perkara yang baik bukan ke elok kalau dipercepatkan?”
“Yalah baik... tapi, tak ke terlalu cepat? Banyak benda
yang perlu disiapkan tau? Aku yang bertunang dulu daripada
kau pun lambat lagi nak kahwin,” ujar Saiful seolah-olah tidak
setuju. Semakin lama dia dapat merasakan Dhia semakin
menjauh daripada hidupnya.
“Itu sebab kau yang nak lambat. Cuba kau
percepatkan majlis pernikahan kau tu. Aku yakin, mesti Kak
Nadia pun setuju. Lagipun, aku nak buat kenduri sederhana
aje. Dalam masa dua bulan, insya-Allah sempat nak siapkan
semuanya,” balas Dhia yang sudah merencanakan untuk
melakukan majlis perkahwinan yang simple, tetapi meriah
dengan kehadiran saudara-mara. Itu yang lebih penting
baginya.
“Tunang kau ada datang sekali tak tadi?” tanya Saiful.
Dhia menggelengkan kepala.
“Tak… ini kan majlis pertunangan. Tak kisahlah dia
tak datang sekalipun,” ujarnya. Cincin di jari digosok dengan
jari-jemari sebelah kanan. Sesekali dia tersengih seorang diri.
Sungguh terasa bahagia. Bukan kerana cincin yang mahal ini
tersarung di jarinya, tapi kerana satu ikatan yang terikat di
sebaliknya. Hanya tinggal selangkah lagi untuk dia menjadi
milik seorang lelaki yang belum dikenalinya itu.
“Bila kau nak jumpa dengan dia?” Saiful bertanya
lagi. Wajahnya masih menunjukkan riak kerisauan waima
gadis di sebelahnya ini boleh pula tersengih suka bertunang
dengan lelaki yang tidak dikenali.
“Nanti bila aku dah balik ke KL, aku jumpalah dia.”
Spontan Dhia membalas sambil memandang tepat kad di
tangannya. Hesy, tak sabar pula dia hendak berjumpa dengan
encik tunang. 'Harap-haraplah kau baik macam abi kau.'
Dhia berharap.
“La, budak bertuah ni... Epol datang bukannya
nak diajak masuk dalam rumah makan ke apa,” leter Hajah
Sakinah setelah melihat anaknya berbual dengan Saiful di
bawah pokok mangga.
“Dhia... ajaklah Epol tu masuk, makan. Kamu ingat
kenyang ke duduk bawah pokok mangga tu?” Kedengaran
nyaring sekali suara Hajah Sakinah. Kepala digelengkan.
“Ya, ya, sekejap!” balas Dhia.
“Eh, jom masuk makan. Tu, kau tak dengar petir
sambung-menyambung? Karang nanti aku yang disambar,”
kata Dhia kepada Saiful. Lantas Dhia mengangkat punggung
dari buaian.
Tubuh Saiful sudah terhinggut-hinggut tergelak.
“Isy, tak patutlah kau ni samakan suara mak kau
dengan petir,” kata Saiful yang sudah berdiri.
“Habis tu, kau samakan mak kau dengan angin
monsun, boleh pulak?” Dhia membalas.
Mati terus ketawa Saiful.
“Itu sebab memang betul. Mak aku tu memang
banyak angin dalam badan. Puting beliung pun dia pernah jadi
tau. Hah, jangan main-main,” ujar Saiful sambil membuntuti
Dhia berjalan masuk ke dalam rumah.

No comments:

Post a Comment