TERBAHAK-BAHAK Luth ketawa sehingga
hampir tersedak. Cepat-cepat dia mencapai gelas air kosong
di atas meja. Yusuf tersenyum lebar. Ya. Kalau sebulan lalu
Luth berperangai begini selepas dia berkongsi cerita, hampir
pasti dia akan meninggalkan kawan baiknya itu di meja
makan, dan memastikan Luth akan makan pinggan untuk
makan tengah hari mereka hari itu. Tapi, entah kenapa dia
hanya mampu tersenyum kali ini.
“Bro, aku mesti jumpa awek ni. Tangkal apa dia pakai
sampai boleh buat kawan baik aku, Mr. Perfect 24/7 ni boleh
keluar kelam-kabut dari rumah sampai lupa nak zip seluar?
Hahaha...” Luth kesat air mata.
“Guilty as charged. Aku kelam-kabut sebab nak
jumpa punya pasal. Dua hari dah tak jumpa. Entahlah.” Yusuf
membelek gelas di tangan.
“Rindulah tu,” usik Luth lagi.
“Takdelah. Aku saja nak jumpa. Rindu apa pulak?
Kenal pun tak sampai sebulan.”
“Bro, kalau dah boleh lupa zip seluar semata-mata
sebab nak jumpa awek, rindulah tu. Plus, angau.”
“Merepek!”
“Hek eleh... merepek apanya? Wahai Yusuf
Dzulkarnain bin Dato’ Khalil, aku kenal kau dari zaman
belum sunat, tahu tak? Kau kalau dah terpikat atau berkenan
dengan sesuatu, memang macam nilah exactly perangai kau.
Entah apa-apa. Impulse driven.”
Yusuf dan Luth bertukar pandang. Otaknya cuba
mencerna ayat-ayat Luth tadi. Setelah meletak dua keping
not lima puluh di atas meja, Yusuf pantas bangkit dari kerusi.
“Tunggulah, oi!” Cepat-cepat Luth habiskan air
kopinya. Tengoklah! Betul tak, apa dia cakap? Ikut suka hati
Yusuf aje. Nak makan ajak dia macam tu aje. Tiba-tiba. Dah
habis makan pulak, tinggalkan dia pun macam tu aje. Suwey
punya kawan!
“Bro! Oit...” jerit Luth berlari anak mengejar Yusuf
yang sudah hampir ke medan tempat letak kereta.
Perhatian Luth terganggu dengan kehadiran seorang
wanita yang menawan sedang berjalan seorang diri. Wow! Ini
memang taste dia. Mata Luth bersinar melihat wanita itu
kebetulan menuju ke arah kereta Gen 2 berwarna kuning
yang terletak selang satu petak sahaja dari kereta Yusuf.
“Hai, baby. Jalan seorang?” sapa Luth sambil
tersenyum manis.
Yusuf di sebelahnya sudah juling mata ke atas.
Romeo!
Sementara itu Anis, wanita yang sedang dipikat oleh
Luth membalas senyuman itu dengan jelingan tajam.
“Kalau setakat mampu bawa kereta buruk, jangan
nak hai hai sangat, eh?”
Luth jadi bingung, kereta Toyota Corolla model lama
yang sudah berkarat, tempat dia sedang bersandar direnung
lama. Beberapa saat barulah dia faham. Hesy... mata duitan
pulak!
“Oh! Zaman sekarang, kalau nak mengurat kena ada
kereta mewah eh?” usik Luth pula. Diperhatikan saja Anis
dengan muka cemberutnya memuatkan barang-barang ke
dalam but kereta.
Anis mendengus geram. Pintu kereta
dibuka. Menyampah betul dengan lelaki yang sedang
tersenyum-senyum ini. Yang seorang lagi, eh? Macam kenal.
“Hei! Saya kenal awak. Yusuf, kan? Jiran Jasmine.”
Yusuf yang baru hendak membuka pintu kereta
menoleh semula.
“Ya, saya Yusuf. Awak colleague Jasmine, kan?
Ermm... Anis?”
“Yup! Anis.”
Yusuf angguk kepala.
“Tak fly hari ni?” Yusuf menutup pintu kereta
Hummer H2 6.0nya.
Anis tahan hati hendak kipas muka guna tapak
tangan. Lelaki bernama Yusuf ini memang sesuai dengan
satu perkataan sahaja. Hot!
“Tak. Saya dengan Jasmine kebetulan sama-sama off
duty. Kita orang baru aje keluar dari restoran hujung sana
makan tengah hari.”
Yusuf dan Luth saling bertukar pandangan. Tak
perasan pulak tadi?
“So, err... Jasmine kat mana sekarang?” Suara Yusuf
jelas teruja.
Anis tersengih. 'Wah! Beb, kau kena cabutan bertuah
ni!'
“Kita orang datang separately. Dia kat belakang
bangunan sana, buat projek biasa dia.”
“Projek?” Apasal macam lain macam aje bunyinya
tu? Yusuf panasaran.
“Haah. Dia tengah agih-agih lunch untuk homeless
people kat belakang bangunan tu. Saya tengah bantu tadi,
tapi ada emergency call kena pergi du... eh!” Anis terkedu.
Ayatnya tidak habis lagi, Yusuf sudah berdesup berlari
menuju ke bangunan yang dia maksudkan.
“Beb! You’ll thank me later. Ini memang kes dah
jatuh hati!”
“Hmm... dan dia meninggalkan aku begitu sahaja?
Nasib baik ada wanita jelita di sini temankan. Kan, Anis?”
Luth pamer senyuman memikatnya.
Anis pula buat muka menyampah. Malas melayan
Luth. Anis mula melangkah masuk ke perut kereta.
“Hei! Tunggulah. Kita belum lagi berkenalan.”
Anis mencebik.
“Tak payah!”
“Alahai, sombong betul awek ni.” Keluh Luth. Kepala
yang tidak gatal digaru-garu. 'Whatever! Perempuan macam
kau, bersepah.'
Poket seluar diseluk untuk mengeluarkan kunci
kereta. Punat kunci ditekan. Perlahan-lahan Luth berjalan
menuju ke arah keretanya yang terletak di sebelah kereta
Toyota Corolla model lama tadi. Anis yang dalam diam
memerhatikan Luth terlopong. Kaca mata hitamnya terlorot
jatuh dari batang hidung.
“Lamborghini Aventador Lp 750-4!” jerit Anis
sekuatnya. Mujur di dalam kereta. Kalau tidak, mahunya
orang ingat dia gila. Perlahan kereta mewah berwarna merah
itu bergerak keluar dari ruang petak tempat letak kereta,
kemudian berhenti tepat di hadapan kereta Anis. Cermin
kereta sebelah pemandu terbuka sedikit demi sedikit.
“Bye bye baby!”
Vroom!!!
Sepantas kilat Luth dan keretanya hilang dari
pandangan.
Anis semakin melopong.
“Dia ‘bye’kan aku macam tu aje? Argh! Menyesal tak
layan tadi. Lamborghini tu!!!” Anis menjerit lagi.
“AIK? TAKKAN nasi campur lagi? Takde chicken chop ke,
steak ke?” Manaf tunjuk giginya yang kuning. Dia merupakan
salah seorang gelandangan yang tinggal di belakang bangunan
pejabat sepuluh tingkat ini bersama lebih kurang dua belas
orang yang lain.
“Takdelah Manaf. Kalau awak nak chicken chop, atau
steak, kena pergi kerja, dapat gaji baru boleh belanja makan
di restoran.” Jawab Jasmine selamba. Bekas-bekas polistirena
yang kosong dimasukkan ke dalam plastik sampah berwarna
hitam. Semua gelandangan sudah kenyang mengisi perut,
cuma tinggal Manaf seorang yang masih menguis-nguis
nasinya.
“Hui... gurau kasar. Aku mana boleh kerja, Jas.
Tulang aku kalau gerak laju sikit mesti bunyi kriuk, kriuk,
kriuk. Hesy! Patah pulak karang.”
Jasmine geleng kepala. Melayan si Manaf ni,
memang rosak fikiran dibuatnya. Dalam ramai-ramai, Manaf
ni istimewa sedikit bagi Jasmine. Entahlah!
“Kalau kau tak nak kerja, jangan memilih makan,
eh? Karang aku merajuk, tak nak bawak nasi ke sini lagi.”
Jasmine mula mengusik Manaf.
Hampir tercekik Manaf dengar gurauan Jasmine kali
ini.
“Aku bergurau ajelah Jas. Kau ni cepat sangat kecik
hati. Itu pasal kau masih bujang. Tak laku!” Manaf garu
kepala yang sudah lama tidak disyampu. Menangis shampoo
girl kalau dapat tugas syampukan rambut si Manaf ni!
“Yalah, yalah! Aku pun gurau. Dah, aku nak balik
dah ni.” Jasmine bangkit segera. Plastik sampah yang sudah
penuh diikat simpul agar sampah tidak melimpah.
Tiba-tiba ada tangan lain yang mengambil plastik
sampah itu dari tangannya.
“Yusuf?”
“Come to the rescue.” Yusuf menjinjit plastik
sampah dengan tangan kiri.
“Siapa dia ni Jas? Ensom oo... boipren kau ke?” soal
Manaf dengan mulut penuh nasi.
Jasmine ketap bibir. Si Manaf ni penyibuk betul!
“Bukanlah!”
Yusuf cuma senyum nipis.
“Dia tak nak kat aku Manaf. Sebab aku takde pangkat
Dato’.”
Terbeliak mata Jasmine mendengar jawapan Yusuf.
“Laa... ya ke? Kau ni bodohlah Jas. Kalau kau nak
yang pangkat datuk, nanti kau pulak tentu-tentu jadi nenek!
Rugi woo... kau kan masih muda?”
Yusuf tergelak. Jasmine yang baru hendak marah
pun tergelak sama. Manaf, Manaf...
“Eh! Gelak pulak. Aku cakap betul woo. Kau kahwin
aje dengan abang ni, Jas. Jadi, paling teruk nanti orang
panggil kau kakak aje.”
Ketawa Yusuf dan Jasmine meledak lagi.
Jasmine mengesat air matanya dengan sehelai tisu.
Masih bersisa gelaknya apabila Manaf buka mulut membebel
lagi pasal datuk dan nenek.
Yusuf terus saja memerhatikan kedua orang manusia
itu dengan perasaan yang bercampur baur. Dalam diam, dia
kagum kepada Jasmine. Manaf yang lebih menyerupai orang
gila berbanding dengan seorang gelandangan, langsung tidak
membuatkan Jasmine rasa geli atau kurang selesa. Malah,
Jasmine melayan Manaf seperti seorang kawan.
'Yang mana satu diri kau yang sebenar wahai si bunga
melur? Seorang pramugari yang mesra, seorang wanita muda
yang pandai menjaga hati orang tua, seorang insan yang
mempunyai jiwa yang besar dan dermawan, ataupun... kau
cuma seorang perempuan yang mempunyai hubungan sulit
dengan suami orang?'
KEDUA BELAH tangan diseluk ke dalam poket seluar chinos
D & G. Tubuh yang selesa dan kemas bersarung kemeja dari
jenama yang sama disandarkan santai ke dinding konkrit.
Sukar hendak menghalang niat hendak bersiul-siul. Rasa
macam sesuai sangat dengan keadaan sekarang, Yusuf
tersengih. Jam tangan dipandang sekali lagi.
'Hmm... biasanya waktu macam ni la dia keluar,
kan? Hari ni lambat pulak. Ke hari ni dia ada rancangan lain?
Alaa...' Kaki nakal menujah roda depan basikal barunya.
Yusuf tersengih lagi. Lebar. Tidak pernah dia terfikir
hendak membeli sebuah basikal. Dah tua begini, buang tabiat
pulak ya, Yusuf? Kepala tergeleng-geleng mengenangkan
perangainya yang berubah 360. Bukan dia yang cakap, orang
lain yang cakap. Siapa? Yusuf mencongak dalam minda. Umi,
walid, Luth, staffnya, dan ramai lagi.
Pada awalnya, Yusuf tidak mahu mengaku, tapi
rasanya dia tidak mampu menafikan hakikat yang berlaku.
Ya, semua kerana seorang perempuan yang bernama Jasmine
Hannah. Mereka kata, sikapnya berubah. Lebih ringan mulut.
Yusuf juga semakin mudah ketawa, dan kurang serius apabila
berhadapan dengan orang lain.
Sesekali tangannya meraup rahang yang sudah
dilatari jambang 5 o'clock shadownya. Mulut pula tidak
henti-henti melantun melodi lagu yang tidak jelas butirnya.
Kepala terangguk-angguk asyik. Memanglah Yusuf sudah
berubah. Mana datang entah rasa suka mendengar muzik dan
menyanyi ni?
“Your sugar. Yes, please. Won't you come and put
it down on me. I'm right here, 'cause I need. Little love and
little sympathy...”
“Oh my...”
Yusuf tersentak. Cepat-cepat dia berdeham. Malu
pulak tertangkap basah sedang bernyanyi-nyanyi kecil lagak
budak remaja.
“Apa?” Muka sedaya upaya dilukis dengan riak
bersahaja. Kelibat Jasmine yang sedang menuju ke arahnya
sambil menyorong basikal dipandang dengan rasa teruja yang
cuba disorokkan.
Jasmine mencebik. Berlagaknya!
“Sugar? Maroon 5? Like seriously? Tak sangka...”
“Huh? Tak sangka kenapa?”
“Aku ingat jenis macam kau ni, mana nak
nyanyi-nyanyi. Lagu rancak pulak tu.”
Yusuf memalingkan tubuh supaya sejajar dengan
tempat Jasmine berdiri.
“Kenapa dengan lagu rancak? Kau ingat aku ni tua
sangat ke tak boleh nyanyi lagu rancak? Aku masih muda,
okey? Takkan kena nyanyi lagu slow ala-ala 'malam bulan
dipagari bintang' pulak? Lainlah...”
“Hmm... lainlah?” Kenapa Jasmine rasa dia akan
menyesal kerana bertanya?
“Lainlah kalau boyfriend tua kau tu. Orang zaman P.
Ramlee. Sesuai sangat!”
Jasmine ketap bibir geram. Satu jelingan dipanah ke
wajah Yusuf yang masih tersengih-sengih. Tanpa pamitan,
Jasmine terus berlalu mengayuh basikalnya. Taman yang
berdekatan dengan bangunan apartmen mereka menjadi
destinasi.
“Jasmine! Tunggulah!” Pantas Yusuf mengejar
Jasmine dengan basikalnya. Kekok juga sesaat dua semasa
kakinya mula mengayuh. Maklumlah, kali terakhir beriadah
dengan benda alah ni sewaktu dia berusia 5 tahun. Lama tu...
“Jas! Jasmine! Tunggulah. Kau mesti terharu dengar
suara aku tadi, kan? Kau rasa, lagu apa yang sesuai untuk
suara merdu aku ni? Kau nak buat permintaan lagu tak?”
Jasmine juling mata ke atas. Perasannya!
Sekejap sahaja Yusuf sudah berjaya menyaingi Jasmine.
Perlahan-lahan kayuhan mereka memusing roda basikal.
Kelajuan semakin kurang, mereka lebih santai berbasikal.
Yusuf curi pandang wajah di sebelahnya. Sesekali
Jasmine memejamkan mata. Wajah jelas menikmati udara
segar dan suasana hening di taman itu.
“So? Lagu apa?” Sengaja Yusuf mendekatkan wajah
ke telinga Jasmine di sebelah yang tidak habis dengan wajah
menyampah.
“Bukan lagu.”
“Bukan lagu? Jadi, apa? Takkan syair kut?”
“Surah ke-12, al-Quran. Surah Yusuf!” Jasmine
pantas mengayuh basikalnya cuba meninggalkan Yusuf yang
berhenti mengayuh basikalnya.
“Hai, perli nampak?”
“Hai... orang baik-baik, lidahnya basah dengan
al-Quran, kan? Betul ke tak?” soal Jasmine sengaja mengusik.
Yusuf tersenyum nipis.
'Berapa ramai muslim yang tahu surah Yusuf ialah
surah ke-12, al-Quran? Siapa sebenarnya kau, Jasmine
Hannah?'
“Eh! Tunggulah Jas. Laju sangat macam nak race kat
trek aje! Oit! Tunggulah!”
Jasmine buat acuh tak acuh dengan jeritan Yusuf.
Rasa seronok pulak dia mengayuh semakin laju. Thrill kena
kejar.
“Firasat aku la kan... kau memang tengah tunggu
aku tadi, kan?” soal Jasmine separuh menjerit. Masih tidak
memperlahankan kayuhannya.
“Kau ingat kau tu Nujum Pak Belalang ke? Pakai
firasat-firasat ni? Tunggulah! Bahaya sorang-sorang tau.
Mana tahu ada anjing terlepas.” Mengah Yusuf jadinya. 'Boleh
tahan jugak kudrat perempuan ni. Aku ni rasa macam nak
kena heart attack!'
“Hai... kata real man? Siap pakai luar dalam warna
pink! Takkan takde kudrat nak kejar aku? Takkan takut
setakat anjing terlepas? Apa kelas!” jerit Jasmine lagi. 'Aik?
Senyap pulak.'
“Yusuf?” Jasmine memperlahankan kayuhannya.
Belum sempat kepala ditolehkan ke belakang, berdesup
kelibat Yusuf melepasinya.
“Kayuh cepat! Lari!!!” jerit Yusuf tiba-tiba.
Jasmine panik. Kepala ditoleh ke kiri dan ke kanan.
Mencari apa saja yang menyebabkan Yusuf mengayuh basikal
macam pelesit. Saat itu juga telinga tertangkap suatu bunyi
yang amat tidak menyenangkan.
“Grrr... Raf! Raf! Raf! Grrr...”
“Argh! Anjing!!!” Serentak jeritan Jasmine dan Yusuf
berpadu. Macam duet pulak.
Bagai tidak cukup tanah kedua-duanya mengayuh
basikal dengan laju. Seekor anjing sederhana besar kelihatan
tidak jauh mengejar di belakang.
“Grrr... Raf! Raf! Raf! Grrr...”
“Tunggulah!” jerit Jasmine tercungap-cungap.
“Hai... tadi sombong sangat! Kayuhlah cepat!” jawab
Yusuf terus memecut laju.
'Kurang asam punya Yusuf!' sumpah Jasmine dalam
hati.
“Argh!!!”
Jeritan Jasmine kali ini menghentikan kayuhan
Yusuf. Kepala berpaling. Terperanjat Yusuf melihat Jasmine
yang terperosok di dalam belukar. Sementara anjing yang
mengejar tadi kelihatan semakin hampir.
Alamak! Secepat kilat Yusuf berpatah balik untuk
mendapatkan Jasmine. Sempat dia berhenti mencapai
sebatang kayu yang agak panjang terbaring di tepi laluan
kecil itu.
“Shummum bukmun 'umyun fahum laa yarji'un
(Al-Baqarah, ayat نوعجري ال مهف يمع مكب مص : 18 )” Kumat-kamit
mulut Yusuf membaca ayat tersebut.
“Grrr... Raf! Raf! Raf! Grrr...”
Yusuf terus mengacah anjing tersebut dengan
kayu di tangan. Mujur berkesan. Mencicit anjing itu lari
meninggalkan mereka berdua.
Bunyi esak tangis Jasmine yang kedengaran
membuat Yusuf tidak tentu hala. Terpandang kepala lutut
Jasmine yang berdarah menambahkan rasa bersalah yang
sudah menyelubungi hati.
“Sakit?” soal Yusuf sambil bercangkung di sebelah
Jasmine yang sibuk meniup luka di lutut kanan sambil
menarik hingus.
“Tak. Sedap sangat!” 'Lagi mahu tanya.' Desis hati
Jasmine.
“Dah! Jangan nangis. Jom balik. Kita rawat luka tu
dulu.”
Jasmine memandang sayu basikal yang sudah rosak
akibat bertembung dengan sebatang pokok. Macam mana
hendak balik?
Bagai memahami, satu tangan disuakan ke depan
wajah.
“Mari. Aku tolong kau bangun.” Yusuf menarik tuala
kecil yang tergantung di lehernya, kemudian membungkus
tangannya.
Pada mulanya, Jasmine teragak-agak untuk
menyambut tangan Yusuf. Perlahan-lahan mata mencuri
pandang senyuman yang terukir di bibir lelaki itu, seolah-olah
ingin meyakinkan Jasmine, yang dia ikhlas hendak menolong.
“Marilah.” Ujar Yusuf dengan nada perlahan.
Jasmine membalas senyuman itu. Luka di lutut pun
terasa hilang tiba-tiba. Saat tangan bertaut, minda Jasmine
berdendang lagu. Jantungnya pula memainkan rentak lagu
yang sama dengan mindanya.
Your sugar
Yes, please
Won't you come and put it down on me?
I'm right here, 'cause I need
Little love, a little sympathy
Yeah, you show me good loving
Make it alright
Need a little sweetness in my life...
No comments:
Post a Comment