“APA nak jadi dengan kau ni, Tiara? Seminggu
lebih kau tak pergi kerja. Tak sihat-sihat lagi ke kau ni! Kau
ingat kalau kau demam, sakit macam ni, Chi Cha tu boleh
hidup balik ke?” marah Fatimah.
Tiara yang terbaring di atas katil bangun
perlahan-lahan apabila melihat emak berdiri terpacak di
muka pintu biliknya. Sudahlah tidak mengetuk pintu, malah
tak pulak meminta kebenaran.
“Petang ni lebih baik kau pergi kerja, jangan nak
mengada-ada lagi. Mak tak mahu tengok kau buat muka tak
larat lagi. Faham tu! Huh!” Fatimah berdengus kasar. Dia
terus berlalu ke dapur mendapatkan suaminya yang sedang
melangut di meja dapur. Kalau Tiara asyik tak pergi kerja
habislah keluarga mereka. Siapa nak tolong suaminya sara
keluarga? Dengan gaji sebagai pemandu teksi yang sedikit
itu, memang tak cukuplah. Kerja bawa teksi, berapa sangatlah
yang Salleh boleh dapat.
“Kenapa tu Timah?” soal Salleh kepada isterinya.
“Tiara tulah, asyik sakit aje memanjang. Pemalas
betullah! Dia aje ke yang sedih dalam rumah ni? Kita pun sedih
juga Chi Cha tak ada. Tapi tak adalah sampai nak mengurung
dalam bilik tu sampai sakit-sakit. Dia tu, mengada-ada aje
lebih! Bukan saya tak tahu yang dia tu dah malas nak kerja
lagi. Yalah, selama ni dia kerja nak bagi Chi Cha tu aje
makan. Chi Cha dah tak ada ni, dia ambil kesempatanlah!
Membongkang aje dalam bilik tu!” Fatimah menghempas
kuat cerek elektrik di atas para dapur.
Berkelentong kuat bunyi cerek itu hingga Salleh
pun turut terkejut. Dia yang berhajat mahu menghisap rokok
terus mematikan niatnya.
“Biarlah dia rehat dulu Timah. Dia tu tak dapat
terima lagi adik dia meninggal,” ujar Salleh perlahan.
“Huh! Dia tak dapat lupakan Chi Cha atau dia sedih
sebab zuriat dia dengan jantan yang buntingkan dia tu dah
tak ada lagi!”
“Timah! Kamu ni kalau bercakap tu tak boleh ke
pandang-pandang sikit! Buatnya dengar dek Fairuz macam
mana?”
“Ah! Biarlah dengar dek satu flat ni pun bang. Saya
dah tak peduli lagi dah! Dari membunting sampai sekarang
taknya dia beritahu siapa budak jantan tu! Duk simpan, duk
peram sampai anak dia tu pun dah tak ada! Huh! Dah gila
sungguh anak saya tu bang oi! Sanggup dia selindung jantan
yang dah buat dia macam tu.”
“Timah, Timah... sudah-sudahlah tu. Sampai bila
kamu nak berperang dengan Tiara tu? Anak dia pun dah tak
ada lagi dah. Lupakan ajelah hal lama tu.”
“Huh! Abang cakap senanglah. Bukan anak abang
yang buat tahi. Bukan anak abang yang tempek muka abang
ni dengan najis. Bukan telinga abang yang tadah dan kena
cucuk dengan caci maki orang kampung…”
“Yalah... aku tahulah semua tu, Timah. Tapi kita ni
pun dah tak duduk lagi di kampung. Orang kat sini mana ada
yang tahu pasal hal Tiara tu.”
“Abang oi, lama-lama nanti semua orang akan tahu
juga hal sebenar. Dalam dunia ni mana ada rahsia yang boleh
tahan lama-lama!”
“Tak baik kamu cakap macam tu pada anak kamu
sendiri, Timah. Kalau kamu diam dan lupa semua tu, takkan
adalah orang nak korek hal tu. Tapi kalau kamu sendiri yang
hu ha hu ha macam ni. Ermm… jiran yang duduk tingkat
paling bawah tu pun boleh dapat tahu. Hurmm… aku nak
keluar dululah Timah.” Salleh mula menyampah dengan
perangai Fatimah. Dinasihatnya baik-baik, melawan sahaja
ayatnya.
“Abang tak nak makan dulu ke?” soal Fatimah. Dia
mengekori langkah Salleh ke pintu hadapan.
“Hurm… tadi aku lapar jugak. Tapi bila kamu duk
membebel tu, hilang terus selera aku ni. Lagipun muak pulak
tekak aku ni asyik makan pekasam dengan masak lemak kamu
tu saja. Sekali-sekala nak juga aku merasa yang sedap-sedap,”
luah Salleh seakan merajuk.
Fatimah tidak sampai hati melepaskan Salleh pergi
dengan perut kosong. Rasa bersalah mula menyelubungi
dirinya. Kemarahannya tadi semuanya berpunca daripada
Tiara. Kalau tidak kerana Tiara yang buat hal, takkan dia
membebel begitu di depan suaminya. Setelah Salleh pergi,
Fatimah terus menyusur ke bilik Tiara.
“Tiara! Kau ada duit tak?” soal Fatimah tegas.
Tiara yang sudah mendengar segala bebelan emak
itu terus bangun dan mengeluarkan beg duitnya.
“Tiara ada seratus aje,” Tiara menghulur dua keping
not lima puluh ringgit kepada Fatimah.
Fatimah menyambut dengan wajah bengis. Tanpa
berkata apa, dia terus meluru keluar dari rumah. Ingin dibeli
ikan segar dan sayur kegemaran suaminya. Ingin dimasak
sedap-sedap buat Salleh demi memujuk hati suaminya yang
jelas kecewa.
Tiara duduk termenung di atas katil. Semua kata-kata
emak tadi disimpan kemas dalam hati. Tiara tak marah atau
bersedih. Tiara juga sudah lali dengan semua itu. Emak yang
dulunya lembut dan penuh kasih sayang sudah lama bertukar
watak. Sejak Tiara memberitahu tentang kandungannya itu
dulu, sejak itulah Tiara hilang kasih sayang seorang emak.
Tiara berlalu ke bilik mandi untuk membersihkan
diri. Sungguhpun tidak bersemangat hendak ke tempat
kerja, tetapi demi menggembirakan hati emak dan tidak
mahu orang tua itu beranggapan buruk terhadapnya, Tiara
gagahi juga. Daripada duduk di rumah dan menadah telinga
mendengar emak berhujah, lebih baik dia ke lebuh raya itu
dan mendapatkan duit demi emak. Sekurang-kurangnya duit
dapat juga menutup mulut emak daripada berkata buruk
terhadapnya.
“TIARA, MAAFLAH. Aku tak dapat pergi kenduri tahlil hari
tu. Mak aku tak sihat,” jelas Yana sambil berjalan seiringan
dengan Tiara.
“Tak apalah Yana,” jawab Tiara kendur. Dia pun
bukan kisah sangat hal itu.
“Ah, tapi Hisham pergi, kan?” terbayang wajah
lelaki berkulit putih itu dalam fikiran Yana. Hisham peminat
nombor satu Tiara di tol itu. Jika digandingkan kedua-duanya,
memang mereka nampak sangat sepadan. Tiara cantik dan
Hisham boleh tahan kacaknya. Cuma dia tak faham kenapa
Tiara langsung tidak membalas.
Tiara hanya mengangguk kepalanya perlahan. Dia
masih ingat Hisham datang menegurnya ketika di surau.
Bukan kerana seronok bertemunya, tetapi Hisham cuma
mahu bertanya khabar dan punca Chi Cha meninggal sahaja.
Namun balik sahaja di rumah, Tiara kena marah teruk dengan
emak. Kata emak, Tiara gatal kerana melayan lelaki ketika di
surau. Sempat lagi emak ungkit kisah lama dia hingga boleh
terlepas cakap di depan Fairuz. Namun mujurlah Pak Cik
Salleh dapat kawal keadaan.
“Hurm… Tiara, malam kau balik dalam hujan tu,
aku nampak kau bergaduh depan tandas kat luar tu. Kau
bergaduh dengan siapa? Aku dengar suara kau menjerit. Aku
nak tolong, tapi aku takut.”
Tiara terus mengecilkan matanya. Barulah dia
teringat kepada pemabuk yang ditumbuknya tempoh hari.
Kalau tak kerana Yana membuka cerita, dia memang tidak
ingat apa-apa tentang kejadian malam itu.
“Hurm… tak ada apalah. Aku cuma terserempak
dengan orang mabuk aje malam tu.”
“Ya ke? Hii… aku takutlah kalau jadi macam tu.
Kakak aku dulu pun pernah kena kacau dengan orang mabuk.
Balik rumah aje dia terus pengsan sebab terkejut sangat.”
“Pemabuk tu buat apa dekat kakak kau?”
“Dia tarik beg tangan kakak aku. Lepas tu dia nak
kacau kakak aku. Kakak aku punyalah pecut sampai tak
cukup tanah. Tapi bila sampai aje depan pintu rumah, dia
terus pengsan.”
Tiara mengangguk kepalanya. Nasib baiklah tarik
beg aje, kalau kena macam aku tak tahulah kakak Yana ni jadi
apa pula. Meroyan agaknya.
“Tiara, malam ni kau bertugas lorong nombor
berapa?” Yana sibuk memasukkan beg dan baju panasnya ke
dalam lokar.
“Nombor sepuluh,” jawab Tiara pendek. Dia terus
berjalan meninggalkan Yana. Sebaik sahaja tiba di kaunter
lorong sepuluh, Tiara mengeluh lemah.
“Eh, Tiara? Kau dah masuk kerja ke?” soal Hisham.
Terkejut dan gembira. Itulah perasaannya waktu ini.
Sangkanya Tiara akan berhenti kerja, tetapi akhirnya gadis
pujaan hatinya itu muncul semula.
“Hurm….” Tiara berdiri di sebelah Hisham yang
sudah bersiap-siap mengakhiri syifnya. Tak pasal-pasal pula
dia kena bertukar syif dengan Hisham. Sebolehnya Tiara
mahu elak berjumpa dengan Hisham.
Melihat Tiara tidak berminat hendak bersembang,
Hisham akur. Tak ada guna dia duduk di dalam bilik kecil itu
lama-lama. Buat malu muka sendiri sahaja.
Tiara mengerling ke arah Hisham. Lelaki itu sudah
jauh menyeberangi lorong-lorong tol. Sikit pun dia tidak
rasa bersalah kerana tidak melayan Hisham. Memang Tiara
belum sanggup hendak bersembang-sembang dan tersenyum
sedangkan dalam hatinya masih bersedih teringatkan Chi
Cha. Dia tak sanggup hendak mengukir senyuman walau
secebis pun.
Jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Tiara
menyusun duit syiling di atas meja mengikut kumpulannya
sambil mengikat duit yang sudah dikira. Tiara memandang
ke hadapan jalan. Sebuah motosikal besar dengan enjin yang
berderu kuat menarik perhatiannya.
“Macam pernah nampak aje motosikal tu,” luah
Tiara. Tiba-tiba dia menggelengkan kepalanya. Motosikal
besar tadi mengingatkan Tiara kepada seseorang.
No comments:
Post a Comment