DATIN Kesuma dan Bella sudah pulang. Wadi
Ridhuan terus menyatakan ketidaksanggupannya untuk
mengahwini Bella kerana dia tidak mencintai gadis itu sebaik
sahaja bayang kereta Datin Kesuma sudah tidak kelihatan.
“Apa ni ibu? Saya tak mahulah. Saya tak mahu kahwin
dengan Bella,” rungutnya sambil menayangkan wajah tidak
berpuas hati.
“Wadi jangan nak membantah cadangan ibu. Apa
salahnya kalau Wadi kahwin dengan Bella? Lagipun kamu
berdua dah lama berkawan,” bidas Datin Wasilah pula.
“Tapi saya tak cintakan dia. Saya dan Bella hanya kawan
biasa. Saya tak pernah ada perasaan istimewa pada dia,” Wadi
Ridhuan memberikan alasan lagi.
“Tak pernah ada perasaan istimewa kamu kata? Habis
tu, yang kamu mengusung dia ke sana ke mari, boleh pulak
kamu cakap macam tu?” Dato’ Wan Chik mencelah tiba-tiba.
“Dah dia yang nak ikut. Saya bawa ajelah,” Wadi
Ridhuan nampaknya masih mahu memenangkan diri.
“Senangnya cara kamu bercakap. Macam orang yang
tak ada tanggungjawab. Kamu dan Bella tu dah berkawan lama.
Di mana ada kamu, di situlah ada dia. Apa alasan lagi yang
kamu nak bagi untuk tolak cadangan kami?” Dato’ Wan Chik
berpeluk tubuh sambil menghayunkan langkahnya mendekati
Wadi Ridhuan.
“Tapi ayah. Saya tak cintakan dia. Macam mana saya
nak kahwin dengan dia?” Sanggah Wadi Ridhuan lagi tidak
mahu berputus asa.
“Kahwin dulu. Cinta tu boleh datang kemudian,” jawab
Dato’ Wan Chik sambil menggeleng berulang kali. Ternyata,
sifat degil yang ada dalam diri Wadi Ridhuan itu sukar benar
mahu dikikis. Memang begitulah sifat anak lelaki tunggalnya
itu sejak dari kecil lagi.
“Cara ayah bercakap pun macam senang saja bunyinya.
Ayah fikir ini zaman batu ke? Ibu bapa yang aturkan perkahwinan
anak-anak? Kalau zaman ayah dan ibu bolehlah. Berkahwin
atas pilihan ibu bapa. Zaman saya ni, lain ayah,” bersungguhsungguh
benar lagaknya Wadi Ridhuan membentangkan hujah.
Sepasang mata ayahnya direnung tidak berkelip.
“Walau apa pun alasan yang Wadi nak bagi, ibu dan
ayah tetap dengan keputusan yang sama. Ibu berkenan sangat
dengan Bella tu. Orangnya cantik, latar belakang keluarganya
pun dari keturunan orang baik-baik, berpelajaran tinggi pulak
tu. Apa lagi yang Wadi nak?” Datin Wasilah menyampuk tibatiba.
“Memanglah Bella tu semuanya cukup sempurna depan
mata ibu. Tapi dia tidak cukup bagus untuk saya jadikan isteri.
Bella tu terlalu sosial. Berpakaian pun entah apa-apa. Perempuan
macam tu ibu nak buat menantu? Nak suruh saya jadikan isteri?
Tak payahlah,” Wadi Ridhuan menyatakan kebenaran kepada
ibunya. Memang benar apa yang dikatakannya.
Bella adalah seorang gadis yang terlalu bebas. Selain
daripada Wadi Ridhuan, gadis itu pernah keluar dengan lelaki
lain untuk berhibur dan bersuka ria. Begitu juga dengan cara
pemakaiannya yang agak menjolok mata. Langsung tidak
berkenan di hati Wadi Ridhuan bagi memasukkan nama gadis
itu ke dalam senarai ciri-ciri gadis idamannya untuk dijadikan
sebagai isteri. Yang ada dalam hatinya sekarang cuma seorang
gadis yang bernama Adilah Farha.
“Habis kamu fikir, kamu tu baik sangat ke? Alim
sangat?” Dato Wan Chik menyanggah kata-kata si anak.
“Disebabkan saya sedar yang diri saya ni kurang
baiklah, saya perlukan seorang isteri yang boleh membimbing
saya. Bukannya semakin menghanyutkan saya seperti Bella
tu. Belum apa-apa lagi dah pandai nak kontrol saya. Ada hati
pulak tu nak ajak saya tinggal di luar negara. Macam tu ke salah
satu ciri menantu yang baik? Awal-awal lagi dah ada niat nak
jauhkan saya daripada ibu dan ayah. Saya ni anak tunggal. Dah
memang jadi tanggungjawab saya untuk berada lebih dekat
dengan ibu dan ayah walaupun selepas saya berkahwin nanti,”
ujarnya panjang lebar menjelaskan apa yang sedang bersarang
dalam hati kecilnya selama ini.
“Pelik cara kamu berfikir ni, Wadi. Kamu sebagai lelaki
sepatutnya kamulah yang kena jadi pemimpin dan pembimbing
kepada Bella sebaik sahaja kamu dan dia disatukan nanti,” balas
Dato’ Wan Chik pula sambil tersenyum sinis.
“Ayah nak suruh saya yang bimbing dia? Sedangkan
ayah tahu, saya sendiri pun tidak dididik dengan sempurna sejak
dari kecil. Ibu dan ayah hanya tahu mencari harta kekayaan saja
dan kurang ada masa dengan saya.”
“Wadi, jangan kurang ajar! Jaga sikit mulut kamu tu!”
Marah Dato’ Wan Chik tiba-tiba.
“Saya tak ada niat nak bersikap kurang ajar tapi ibu
dan ayah kenalah faham kehendak saya. Saya dah dewasa. Saya
ada hak untuk menentukan masa depan saya. Saya nak kahwin
dengan siapa, itu saya punya suka,” sanggahnya lagi dengan
bersungguh-sungguh.
“Wadi! Kamu memang dah banyak berubah sekarang.
Ayah perhatikan sejak sehari dua ni sikap kamu lain macam aje.
Apa yang tak kena?? Sebelum ni, kamu tak pernah membantah
cakap ayah dan ibu. Tapi sekarang???” Dato’ Wan Chik semakin
berang.
Wadi Ridhuan terdiam. Dia tunduk. Kemarahan yang
termuntah keluar daripada ayahnya, membuatkan dia tidak
berani untuk bertentang mata.
“Ibu tahu, Wadi dah kemaruk sangat dengan budak tu,
kan?” Datin Wasilah mencelah.
“Siapa? Budak Farha orang gaji kita tu ke?” Soal Dato’
Wan Chik sambil pandangannya ditalakan ke arah si isteri yang
sedang duduk di atas sofa.
“Siapa lagi bang kalau bukan orang gaji kita tu,”
Datin Wasilah memuncungkan mulutnya ke arah Farha yang
sedang sibuk mengemas meja makan. Serentak itu juga Farha
berpaling apabila terdengar namanya disebut.
“Kamu masih ada keinginan lagi ke nak kahwin dengan
dia? Kamu jangan nak buat gila!” Bentak Dato’ Wan Chik.
“Ya, saya nak kahwin dengan dia. Saya betul-betul
sukakan dia,” jawab Wadi Ridhuan tanpa mengangkat muka.
Kepalanya masih lagi tunduk seperti tadi.
“Ayah tetap tak setuju! Kalau kamu masih ada hubungan
dengan dia, ayah takkan teragak-agak untuk berhentikan dia,”
tegas Dato’ Wan Chik sambil menjegilkan matanya.
Apabila mendengar kata-kata ugutan itu, Farha segera
meninggalkan kerja-kerja mengemasnya dan langsung sahaja
meluru ke arah Dato’ Wan Chik.
“Dato’! Tolonglah jangan pecat saya. Saya orang susah.
Saya perlukan kerja ni. Saya nak menyara adik saya yang masih
belajar. Nenek saya di kampung juga perlukan bantuan saya.
Tolonglah jangan buang saya, Dato’... saya mohon,” Farha
mengangkat kedua-dua tangan dan merapatkannya ke dada.
Gayanya seperti orang yang sedang merayu. Dia tidak sanggup
menerima kenyataan bahawa dia akan dibuang pekerjaan. Dia
tidak mahu itu berlaku.
“Kalau kau dah sedar diri yang kau tu orang susah,
buatlah cara susah. Ingat sikit dalam kepala tu yang kau perlu
menyara keluarga. Jadi, tak payahlah nak menggatal cari laki
pulak,” Datin Wasilah menyindir. Dia mencebik memandang ke
arah si gadis yang kelihatan hina di matanya.
“Ya, saya sedar siapa diri saya. Dato’ dan Datin tak perlu
risau apa-apa. Saya dan Encik Wadi tak ada apa-apa hubungan
istimewa. Encik Wadi tak cintakan saya dan saya juga tak
cintakan dia. Mungkin dia hanya bergurau saja agaknya,” Farha
cuba menangkan suasana yang sedang tegang sambil terpaksa
berbohong.
Dia tidak cintakan Wadi Ridhuan? Dia sedang menipu
diri sendiri. Ah, tak kisahlah kalau aku menipu sekalipun.
Asalkan aku tak dibuang kerja itu dah cukup bagus bagi aku.
Terdetik ucapan itu di hatinya.
“Sudahlah. Kami tak perlukan apa-apa pendapat
daripada kau. Pergi masuk ke dalam. Jangan nak campur urusan
kami anak-beranak. Kau tu cuma orang gaji aje!” bentak Datin
Wasilah dengan melantangkan suara.
“Kamu fikirlah habis-habis, Wadi. Ingat amaran ayah.
Kalau kamu masih ada niat untuk berkahwin dengan budak ni,
hari ni juga ayah akan pecat dia,” dengus Dato’ Wan Chik kasar
sebelum dia berlalu dan diekori pula oleh Datin Wasilah dari
belakang.
Wadi Ridhuan terduduk di atas sofa sementara Farha
pula sudah menghilangkan diri menuju ke dapur untuk
menyiapkan kerja-kerja mencucinya yang tergendala.
Wadi Ridhuan memicit kepala. Kalau ditolak cadangan
itu, pasti akan dituduhnya pula sebagai anak derhaka. Kalau
diterima, bagaimana pula dengan rasa cintanya yang semakin
berputik untuk Farha.
Lebih membuatkan dia berasa tertekan kalau
sekiranya gadis itu hamil akibat daripada perbuatannya
tempohari. Mustahil dia akan membiarkan Farha yang akan
menanggungnya seorang diri? Dia tidak mahu itu yang berlaku.
Dia semakin menyayangi Farha. Dia mesti melindungi gadis itu
dan tidak mahu lepas tangan begitu sahaja. Sudah dilakukannya
dosa-dosa sebelum ini, mustahil mahu ditambahnya lagi?
Wadi Ridhuan mengusap rambut. Melepaskan keluhan
secara perlahan. Kemudian, dia bingkas dari sofa untuk mencari
Mak Hendon. Mungkin ibu tua itu dapat memberikannya
nasihat yang lebih baik.
FARHA duduk berteleku di atas katil. Pertelingkahan besar di
antara keluarga majikannya sebentar tadi sekaligus dihalaunya
supaya beredar dari ruang tamu itu, membawa Farha ke sini.
Ke bilik sempitnya yang selama ini menjadi tempatnya untuk
bersendirian.
Selepas berlaku perbalahan di antara Wadi Ridhuan
dengan Dato’ Wan Chik dan Datin Wasilah, nampaknya lelaki
itu nekad benar mahu mengahwininya. Jauh di sudut hati dia
tersentuh dengan keputusan berani Wadi Ridhuan itu.
Rasa cinta yang kian berputik di hati lelaki itu untuknya
adalah satu perkara yang tidak terduga. Dia juga tidak boleh
menipu diri. Perhatian yang diberikan Wadi Ridhuan kepadanya
sudah menerbitkan rasa kasihnya terhadap lelaki itu.
Kalaulah dia tidak diperkosa, pasti keadaannya berbeza.
Mungkin sampai sekarang, Wadi Ridhuan tidak akan memberi
perhatian kepadanya. Sudah tentu hati lelaki itu tidak mungkin
akan terbuka untuknya. Malah, mahu dipandangnya pun tidak.
Memang benar apa yang orang selalu kata, setiap kejadian
buruk yang berlaku, pasti ada hikmahnya.
Satu bulan lebih kemudian..
FARHA memicit kepala. Usai menunaikan solat subuh tadi, dia
terpaksa menyambung tidurnya kembali. Rasa kepalanya yang
pening dan pandangan matanya pula seakan-akan berpinar,
tidak membenarkan dia untuk terus melakukan rutin hariannya
seperti biasa.
Baru sahaja dia mahu memejamkan mata untuk
meredakan sedikit rasa pening, tiba-tiba pula dia menangkap
bunyi ketukan pintu dari luar.
“Bangun, nak! Dah lambat ni. Nanti Datin bising lagi!”
Bunyi laungan suara Mak Hendon dari luar membuatkan Farha
terus bangkit. Kepalanya dipicit untuk mengurangkan sedikit
rasa pening yang dialaminya.
“Yelah, makcik. Kejap lagi saya bangun,” dia membalas
laungan Mak Hendon dengan intonasi suara yang lemah.
“Cepat sikit tau!” Laung Mak Hendon lagi.
“Baik, mak cik,” balas Farha kembali sambil
membetulkan kain batik yang dipakainya. Sepasang matanya
digosok berulang kali. Kemudian, kakinya bergerak perlahan
menapak ke arah cermin kecil untuk membetulkan tudung
yang dipakainya.
Pintu bilik dikuak perlahan. Terjojol wajah tua Mak
Hendon dengan muka yang manis. Farha pula membalas
dengan senyuman tawar.
“Eh, kenapa muka Farha pucat aje ni?” Mak Hendon
menilik wajah Farha. Dahinya berkerut.
“Pucat?” Farha meraba-raba wajahnya dengan keduadua
tangan.
“A’ ah. Pucat betul. Farha tak sihat ke?” Mak Hendon
menyoal lagi.
“Tak adalah, mak cik. Saya okey. Cuma hari ni kepala
saya pening sikit,” jawabnya pula sambil menutup daun pintu.
Sepasang kakinya diatur perlahan.
“Farha dah makan ubat?” Mak Hendon masih lagi
mahu menyoal sambil kakinya melangkah seiringan dengan
gadis itu. Gadis yang sudah dianggapnya seperti anak sendiri.
“Belum. Lagipun panadol tak ada,” balas Farha bernada
simpati.
“Kalau macam tu, Farha pergi klinik ajelah. Nanti mak
cik minta tolong dengan Pak Rahim suruh dia hantarkan Farha
ke klinik,” Mak Hendon memberi cadangan.
“Tak apalah, mak cik. Saya tak nak menyusahkan Pak
Rahim tu. Lagipun tentu dia nak berehat lepas hantar Dato’ ke
pejabat,” Farha menolak dengan memberikan alasan.
“Tak adalah menyusahkan. Macam tak biasa pulak
Farha dengan Pak Rahim tu. Lagipun, macam mana Farha nak
buat kerja kalau dah sakit nanti? Lebih baik pergi klinik cepatcepat,”
sanggah Mak Hendon dengan wajah serius. Bimbang
juga hati tuanya saat itu kalau terjadi apa-apa kepada Farha.
“Tak mahulah. Nanti kalau Datin dapat tahu, kena
marah lagi saya ni macam selalu. Biar saya pergi dengan teksi
ajelah,” Farha masih menolak lalu dia membuat cadangannya
sendiri.
“Hai. Degil jugak budak ni. Erm, ikut suka Farhalah,”
akhirnya Mak Hendon mengalah.
WADI Ridhuan kelihatan gelisah. Ibu dan ayahnya sedang
rancak bersarapan tetapi dia langsung tidak menjamah apa-apa
makanan. Kelibat Farha yang tidak muncul-muncul sejak dia
berada di meja makan, mengundang kegelisahan itu.
Apakah gadis itu sudah merajuk atau mahu
memusuhinya? Selepas insiden pertengkaran dengan ibu dan
ayahnya dahulu, dia terpaksa menjauhkan diri daripada Farha.
Tidak berbual dan langsung tidak bertegur sapa dengan Farha.
Dia terpaksa berbuat begitu kerana tidak mahu Farha
dibuang pekerjaan. Dia tidak mahu kalau Farha dipecat oleh
ayahnya. Kalau itulah yang berlaku, sanggupkah dia berjauhan
dengan gadis itu? Sudah pasti jawapannya tidak.
“Mana budak Farha ni Hendon? Saya langsung tak
nampak dia pagi ni. Curi tulang ke?” Datin Wasilah menyoal
sambil berburuk sangka.
“Eh, taklah Datin. Budak Farha tu, kan rajin orangnya.
Mana pernah dia pandai-pandai nak curi tulang?” Jawab Mak
Hendon dengan membela Farha.
“Isy, awak ni. Lain yang saya soal, lain pulak cara
awak jawab. Saya cuma tanya dia pergi mana. Yang awak jawab
macam nak membela dia tu kenapa?” Bentak Datin Wasilah.
“Maaf Datin. Saya tak sengaja. Err, Farha ke klinik. Dia
kurang sihat. Kepala dia pening,” jelas Mak Hendon.
“Habis tu, kerja-kerja dia dah siap ke belum?”
“Dah, Datin. Awal-awal lagi dia dah selesaikan
semuanya.” Sebaik sahaja mendengarkan penjelasan daripada
Mak Hendon mengenai Farha, Wadi Ridhuan terus bingkas.
Sarapannya ditinggalkan seraya kakinya menapak laju untuk
beredar.
“Eh, Wadi nak ke mana tu?” Datin Wasilah menyoal
tetapi soalannya itu tidak diendahkan. Anaknya itu terus
melangkah tanpa menoleh.
Wadi Ridhuan mundar-mandir di halaman.
Sangkaannya tadi meleset sama sekali. Dia fikirkan Farha sudah
berkecil hati selepas satu bulan lebih dia tidak bertegur sapa
dengan gadis itu. Tetapi rupanya Farha tidak sihat dan pergi ke
klinik. Sakitkah dia? Wadi Ridhuan menyoal sendiri.
Menurut kata Mak Hendon tadi, Farha pening kepala.
Tiba-tiba sahaja langkah kakinya mati apabila mengingati
bicara Mak Hendon. Kedua-dua pinggang dicekak, sepasang
mata polos miliknya juga terbuntang.
Farha mengandungkah? Dia mula penasaran. Kalaulah
betul Farha mengandung, makin kuatlah alasannya mahu
menikahi Farha dan sekaligus Farha tidak lagi boleh mengelak
seperti selalu.
Kemudian, dia mengukir senyuman lebar. Iphone
dikeluarkan daripada poket seluar. Lantas jari-jarinya laju
menekan keypad untuk menghubungi Salmiha yang merupakan
pembantu peribadi kepadanya.
“Assalamualaikum, Encik Wadi. Selamat pagi,” suara
Salmiha mula kedengaran di hujung talian.
“Sal...”
“Ye Encik Wadi. Ada apa?”
“Batalkan semua appointment saya dan batalkan jugak
meeting yang sepatutnya dibuat pada hari ni dan tunda pada
tarikh yang lain,” Wadi Ridhuan mengeluarkan arahan.
“Tapi kenapa Encik Wadi?”
“Jangan banyak tanya. Ikut saja arahan saya,” suaranya
ditekankan supaya Salmiha tidak lagi mahu bersoal jawab
dengannya.
“Baiklah. Nanti saya uruskan.”
“Satu lagi. Saya tak masuk office hari ni,” maklumnya
lagi.
“Okey.”
Iphone dimasukkan kembali ke dalam poket
seluar. Lehernya dipanjangkan meninjau ke luar halaman.
Pandangannya juga ditalakan ke atas jalan raya. Tidak sabar rasa
di hatinya mahu menunggu kepulangan Farha. Mungkin pada
bila-bila masa sahaja Farha akan pulang dengan pengangkutan
awam.
Kalau diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia pergi
menjemput Farha pulang tetapi tidak pula dia tahu ke klinik
mana Farha pergi. Tak apalah. Aku tunggu saja! Wadi Ridhuan
memujuk hati.
No comments:
Post a Comment