DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 27 June 2016

1st Class Mistress - Bab 6

“TERIMA kasih.”
“Untuk apa?”
“Ini...” Jasmine tunjuk beg plastik yang penuh dengan
bungkusan makanan untuk Manaf dan kawan-kawannya.
Gembira betul Manaf saat bekas makanan dibuka.
Chicken chop! Lepas jamah sedikit, Manaf mula minta nasi
campur. Jasmine tergelak. Perut orang Malaysia! Pasti akan
cari nasi juga. Mujur Yusuf memang sudah buat persediaan
untuk membawa nasi campur juga.
Sudah masuk dua minggu Yusuf dan Jasmine
bersama-sama membawa makanan untuk golongan
gelandangan di tempat yang sama. Setiap kali Jasmine
bertugas, Yusuf dengan Luthlah yang menggalas tugas
Jasmine. Malahan, mereka bertiga bersama Anis sesekali akan
membawa makanan untuk golongan gelandangan di tempat
yang lain pula. Semakin rasa bersemangat, Yusuf sudah
berura-ura untuk membawa kakitangan hotelnya pula untuk
projek sosial seperti ini pada masa hadapan.
“Aku yang patut berterima kasih. Kau buka mata
aku. Hampir tiap-tiap hari aku makan sedap-sedap di restoran
hujung tu, aku lupa ada yang tak berapa bernasib baik. Si
Manaf ni, contohnya. Nak alas perut pun susah.” Jasmine
diam tertunduk.
“Alas perut tu satu hal. Yang aku fikir sekarang,
macam mana nak pastikan yang diaorang tak hanya terus
menunggu orang datang untuk sedekah makanan.” Ujar
Jasmine perlahan. Matanya tunak memerhatikan Manaf
dan kawan-kawan gelandangannya yang lain makan dengan
senang hati.
“Maksudnya?”
“Nak tolong mereka cari kerja dan tempat tinggal.
Aku pernah berborak dengan mereka ni, Yusuf. Diaorang
cuba nak cari kerja, tapi tak dapat. Ada antara diaorang
ni memang dah ada kerja tetap, ada jugak yang buat part
time. Ada yang cuci kereta, ada pulak yang buat kerja-kerja
buruh dan macam-macam lagi. Tapi, masih tak cukup untuk
mendapat tempat berteduh yang lebih baik. Ada pulak yang
lebih rela hidup begini kerana kos sara hidup yang tinggi.”
Yusuf mengangguk faham.
“Macam mana kau boleh terlibat dengan semua ni?”
Jasmine pandang tepat ke mata Yusuf yang masih
menanti jawapan.
“Dalam dunia ni, hampir semua manusia perlukan
bantuan, Yusuf. Sebab tu semua manusia ni perlu pasang
telinga, buka mata dan besarkan hati untuk sentiasa bersedia
menghulurkan bantuan walau di mana saja kita berada.
Untuk orang yang macam aku, yang juga serba kekurangan,
ini saja yang mampu aku sumbangkan.”
“Kau pulak bagaimana? Bantuan macam mana yang
kau perlukan?” soal Yusuf tiba-tiba.
Jasmine menjongket kedua bahunya.
“Bantuan?”
“Kau cakap tadi hampir semua manusia perlukan
bantuan, kan?”
“Susah nak bantu aku, Yusuf.”
“Susah tak bererti tak boleh. Jangan teragak-agak
untuk minta bantuan. Manalah tahu ada jejaka kacak dan
bersuara merdu boleh jadi your knight in shining armour
coming to your rescue?”
Jasmine tersengih mendengar seloroh Yusuf.
“Okey. Kalau aku dail 911, janji dengan aku yang
kau akan bertukar jadi kesateria berkuda dan akan jawab
panggilan aku.”
Yusuf mengangguk sambil tersenyum.
“Janji.”
JASMINE MELIRIK biasan tubuh di cermin. Bosan! Malam
ini, buat kesekian kalinya dia terpaksa berlakon lagi. Berlakon
di hadapan lelaki-lelaki tua yang kaya-raya. Dia akan diarak
dengan bangganya oleh Dato’ Adam sebagai trofi. Kepada
Dato’ Adam, dia itu cuma barang yang boleh dijaja ke sana
ke mari.
Jasmine mengeluh panjang. Kepala ditolehkan
ke belakang, merenung Dato’ Adam yang ralit membaca
dokumen yang menimbun seperti bukit dibawa dari pejabat.
'Orang tua ni, boleh lagi dia sambung buat kerja?
Bukankah dia yang beria-ia minta aku bersiap awal? Ikutkan
hati, nak aje aku hempuk dahi berkedut dia tu dengan tumit
kasut 6 inci aku ni.' Jasmine mengomel dalam hati.
Sabarlah Jasmine, sabar! Sabar, itu kuncinya.
“Ehem!”
Tiada balasan.
“Dato’!”
Senyap.
Jasmine bercekak pinggang.
“Dato’! I dah siap ni.”
Dato’ Adam panggung kepala. Tajam biji mata
mengimbas susuk ramping yang jelas menunggu kelulusan
ujian piawaiannya.
Jasmine pamer muka bosan.
“Tak cukup seksi. Not enough cleavage, Hannah.”
Jasmine mengeluh perlahan. Kepala menunduk
untuk melihat dada sendiri. 'Tak cukup terdedah lagi ke
ni? Berapa liter air liur lelaki-lelaki tua kat sana dia nak
tumpahkan sebenarnya? Banjir pulak ballroom tu!'
“Kalau nak seksi sangat, baik I pakai yang
dalam-dalam aje. Tak pun... kalau nak lagi best, I bogel
ajelah!” bentak Jasmine.
“I don't appreciate your tone.” Perlahan saja nada
dan tutur Dato’ Adam. Namun, ada ketegasan yang jelas di
situ.
Jasmine spontan menegakkan badan. Sarang tebuan
jangan dijolok, dia lebih daripada tahu.
“Berjam-jam I luangkan masa untuk berdandan
sesuai dengan dress ni. Takkan you nak I tukar pakaian
lagi? Tukar pakaian, bermakna I kena tukar style dandanan,
termasuk mekap. Kalau tak, tak perfectlah. Nanti kita lambat,
you jugak yang marah.” Lembut lidah Jasmine memberi
alasan.
Pap!!! Dokumen yang agak tebal berjilid dihempas
keras ke atas meja kopi. Terhinggut kedua bahu Jasmine.
Sarang tebuan dah terjolok ke ni? Mampus!
“But then again, this is not about you, Hannah!
This is about me. Satu-satunya tugas you adalah untuk buat I
nampak hebat di hadapan semua jerung-jerung tu. Make me
look good! Kalau itu bermakna you terpaksa berbogel, then so
be it! Afterall, I bayar you bukan sikit tau!”
Jasmine menahan lidah daripada bercakap. Itulah
saja guna dirinya di mata orang tua ini. Saat soal duit mula
diutarakan, Jasmine tahu dia sudah kalah. Jari mula mencari
zip yang tersembunyi di belakang. Malas mahu bertelagah,
sudahnya nanti dia juga yang rugi.
Baru hendak melangkah masuk ke bilik persalinan
pakaian, lengan kanannya direntap kasar.
“Sudah. Kita memang dah lewat ni. Majlis akan mula
tak lama lagi, I don't want to be late.”
“Argh!!!” Sepelaung jeritan Jasmine kedengaran
saat kedua tangan Dato’ Adam mula memperkemaskan
cengkaman ke atas kulit dan daging lengannya. Tengkuk
Jasmine ditarik kasar.
“Tapi, ingat. I will not tolerate sikap macam ni pada
masa akan datang, Hannah.”
Hampir saja Jasmine menitiskan air mata. Batang
leher dan lengannya terasa sakit berdenyut. Pasti tangan tua
itu akan meninggalkan kesan lebam di kulitnya nanti.
“Kau jangan menangis. Aku benci tengok!” desis
Dato’ Adam geram. Melihat Jasmine menangis hanya
mengingatkannya tentang masa silam.
'Happy thoughts... happy thoughts. Fikirkan
sesuatu yang boleh menggembirakan hati kau, Hannah.' Saat
itu entah kenapa minda memutarkan lagu Sugar, dendangan
kumpulan Maroon 5. Wajah Yusuf yang panik dikejar anjing
gila bermain dalam kotak khayalan. Kemudian, Jasmine
terbayang pula wajah Manaf yang teruja makan chicken
chop idamannya. Tunggul-tunggul gigi yang menguning
dipamerkan dengan senang hati. Manaf... Manaf...
Jasmine Hannah tersenyum semula.
“KAU NI betullah menyusahkan aku.”
“Alaaa... relakslah bro.” Luth menepuk-nepuk bahu
Yusuf. “Kalau tak penting, aku tak ajak.” Sambung Luth.
“Inilah rupa sebenar orang-orang tua ni. Kagum
aku.” Yusuf tersenyum tawar.
Kiri dan kanan dipenuhi dengan golongan elit
dan VIP yang terdiri daripada kaum lelaki dewasa pelbagai
peringkat umur. Masing-masing kelek perempuan muda yang
jelas bukan isteri mereka. Bercumbu-cumbuan di khalayak
ramai, tak ingat dosa. Terasa berada di parti luar negara.
Kalau di luar negara, Yusuf tidak hairan, tapi ini Malaysia.
Yusuf tarik nafas panjang-panjang. Patutlah konon
majlis tertutup. Kehadiran hanya melalui undangan eksklusif.
Eksklusiflah sangat! Majlis tertutup untuk tutup perangai
diaorang yang sebenar rupanya. Ini kalau mak-mak encik,
Datin-datin, Puan Sri-Puan Sri nampak suami diaorang kat
sini, mesti ada siaran langsung WWF bakal jadi ni!
Luth tersengih mendengar pernyataan sahabat
baiknya. Kalau ikutkan hati, dia pun tidak sanggup
menyusahkan diri begini. Tapi, ini untuk kebaikan mereka
berdua juga. Suka atau tidak, inilah caranya untuk
mendapatkan pelabur. Tengoklah sekarang, majlis ini penuh
dengan para jutawan dan hartawan dari luar dan dalam
negara yang berpotensi menjadi pelabur dalam perniagaan.
Mocktail di tangan dihirup perlahan.
“Tu pasal aku ajak kau datang. Kalau kau takde,
mesti bosan. Nak mengumpat orang-orang tua ni pun takde
geng.”
“Otak kau! Menyesal aku datang. Aku rasa lelaki
baya kita dua tiga ketul aje kat sini. Yang lain, tahap nak jadi
fosil dah. Yang kau mengada-ada nak datang jugak, kenapa?
Buang masa, tahu tak? Menyesal aku setuju.”
“Networking my man... networking... Majlis ni
merupakan lautan yang dipenuhi dengan jerung-jerung kaya
yang berguna untuk kita. Kita boleh kenal-kenal. Mana nak
tahu, ada yang nak melabur dalam bisnes kita. Kau sabar
ajelah. Kalau kau tak nak mingle, bersosial, serahkan kat aku
aje. Biar aku do all the talking and all the ‘bodekking’. Adeh!”
“Kau kenapa?” Yusuf kerut dahi melihat Luth yang
tiba-tiba mengaduh.
“Okey, aku nak cari toilet dulu. Bergelas dah
mocktail ni masuk dalam pundi kencing aku.”
Yusuf menjeling malas.
Network untuk bisnes dalam majlis sebegini? Yalah
tu... di mana berkatnya nanti? Walidnya, Dato’ Khalil pun
tidak kurang kaya dan berjaya dalam bisnes. Setahunya tidak
perlu pun mengatur atau hadir ke majlis seperti ini. Betul ke?
Entah, entah...
Leher dipanjangkan ke kiri dan ke kanan. Manalah
tahu terserempak dengan Dato’ Khalil yang nak buang tabiat,
memang laju dia akan hantar laporan khas kepada Datin
Khadijah! Nauzubillah...
Eh? Dalam satu kumpulan kecil yang sedang duduk
bersama di meja khas, seorang wanita muda bersalut gaun
biru lembut menarik perhatian Yusuf. Belakangnya dilingkari
tangan kepunyaan lelaki yang hampir sebaya walidnya.
Jasmine? Oh! Ya... baru teringat, Luth memang ada
memaklumkan kepadanya yang Dato’ Adam akan menjadi
salah seorang tetamu kehormat malam ini. Tidak hairanlah
si Jasmine ini pun ada.
Yusuf buat muka hampir hendak muntah. Wanita
secantik Jasmine, kenapalah lelaki tua macam Dato’ Adam
itu yang dapat? Sakit matanya melihat gerakan gatal jari
lelaki tua itu yang menggeliut seperti ulat di atas tubuh genit
Jasmine.
Jasmine mengalihkan wajah daripada Dato’ Adam.
Tangan Dato’ Adam yang masih menggatal ditepis lembut.
Yusuf tersengih. Good girl! Tidak sampai beberapa saat,
tangan jelmaan sotong kurita itu kembali melingkar di tubuh
Jasmine. Kali ini, Jasmine tidak lagi menepisnya, malahan dia
membenarkan sahaja Dato’ Adam membisikkan sesuatu ke
telinganya, kemudian melayangkan pula ciuman ke pipinya.
Yusuf terdiam kaku. Ada rasa pedih dalam hati. Apa
yang nak dihairankan, Yusuf? Beberapa sisi baik yang ada
dalam diri Jasmine tidak akan mampu mengusir kenyataan
yang dia dengan lelaki tua itu memang ada hubungan.
'Aduh! Sakitnya hati. Aik? Aku ni cemburu ke apa?'
Apa sudah jadi Yusuf? Bukankah sudah awal-awal
lagi otak beri amaran kepada hati? Jangan sekali-kali hendak
bermain dengan rasa yang satu ini. Rasa yang tidak mungkin
akan bersambut. Rasa yang tidak mungkin menerima restu
daripada takdir dan waktu. Haih, Jasmine Hannah... apa yang
kau dah buat kat Yusof ni?
Seakan sedar ada mata yang melihat, ada bibir
yang menyeru namanya, Jasmine menoleh ke belakang.
Mencari-cari sesiapa yang mungkin dikenali. Terpandang
seorang lelaki yang masih lagi setia memandangnya, wajah
spontan bertukar ceria. 'Yusuf?'
“Erm... sayang, I pergi jumpa kawan dulu.” Jasmine
sudah bangkit dari kerusi.
Dato’ Adam kerut dahi. Kawan? Mata mencari arah
pandangan Jasmine. Lelaki ini lagi?
“Sejak bila you berkawan dengan Yusuf?”
“Kami kan jiran?” jawab Jasmine malas.
“Tadi kawan, sekarang jiran? I tak suka you rapat
sangat dengan budak tu, Hannah. I jugak tak suka dengan
cara you pandang dia!” bentak Dato’ Adam melalui celah
giginya. Sedaya upaya dia mengawal api kemarahannya.
“Macam mana cara I pandang dia?” soal Jasmine
curiga.
“You blushed, Hannah. Mata you tu, bersinar-sinar
setiap kali Yusuf ada. Mulut saja selalu kata menyampah, tapi
kalau berdepan dengan Yusuf, you look happy. Jangan-jangan
you dah jatuh hati dengan Yusuf tak?”
Jasmine sedikit tersentak. Tidak menyangka begitu
tajam perhatian lelaki tua itu terhadapnya. Namun, Jasmine
cuba menyembunyikan perasaan terujanya. Hati tidak dapat
menafikan berasa suka mendengar ulasan Dato’ Adam
tentang perasaannya terhadap Yusuf. Cepat-cepat kekura
tangan Dato’ Adam diusap lembut.
“Nonsense. We're getting along just fine sebab kami
jiran, sayang. You think too much. Let me just say hi to him,
then nanti I datang balik, okey?” Kucupan lembut singgah ke
pipi Dato’ Adam. Riuh seketika suasana meja tetamu khas itu.
“Adam, you son of a gun. You're so lucky!”
“Wow! Bertuah dapat perempuan selembut Hannah.
Adam! You're the man!”
“Hahaha... betul... betul. Kalau I dapat perempuan
secantik dan semanja Hannah, I pasti melayang ke syurga!”
Pecah gelak yang lain mendengar komentar rakan-rakan
mereka.
Dato’ Adam pun tersenyum bangga, seketika.
SENGAJA JASMINE melembutkan lagi gerak langkahnya
sambil menuju ke tempat Yusuf berdiri. Senyuman sekarung
gula dilemparkan. Entah apa jenis permainan yang Jasmine
cuba lakukan, tapi dia tetap teruskan. Melihat betapa
kacaknya Yusuf dengan persalinan sut formal menyebabkan
adrenalinanya meningkat laju.
Dup dap dup dap dup dap... tiba-tiba jantung Yusuf
mula buat irama konga. Mata tunak memerhatikan Jasmine
yang semakin hampir. Pantas tangan ditekap ke dada kiri.
Wajah mulus itu ditatap tanpa bosan. Mekap tebal tidak
mampu menyembunyikan kelembutan semula jadi wajah
Jasmine. Itu memang Yusuf akui.
Entah sudah berapa malam, lenanya enak diigau
kenangan bersama Jasmine. Dari saat mulut mereka tidak
sunyi dengan ayat-ayat sinis, sehinggalah ke saat mereka
mula bertukar jenaka dan usikan.
“Badan kau dah macam sotong. Berjalan macam
takde tulang. Rugilah. Kalau kau cuba nak menggoda aku,
aku mana ada pangkat Dato’? Bak kata Manaf, aku ada pangkat
‘abang’ aje.”
Okey. Sebab inilah yang menyebabkan Jasmine selalu
mempersoalkan suara hatinya tentang perasaan sebenarnya
terhadap mamat berlagak ini.
“Pleaselah. Wow! Kau nampak segak malam ni.”
Jasmine tukar topik serta-merta.
“Of course. Ini Yusuf Dzulkarnainlah!” Yusuf
tegakkan badan sambil seluk poket seluar.
Jasmine juih bibir. Perasan!
“Aku pulak macam mana? Okey tak? Amacam dress
aku? Tak seksi sangat, kan? Boleh capai standard piawaian kau
tak?” soal Jasmine dengan nada mengusik. Tubuhnya sengaja
dipusing-pusingkan sambil menunggu jawapan Yusuf.
“Tak seksi? Mana hilang bahagian belakang gaun ni?
Dato’ Adam ambil buat lap air liur dia ke?” jawab Yusuf sambil
tergelak kecil.
Jasmine hanya mampu mengetap bibir geram. Laju
tangannya menepuk lengan Yusuf.
“Tak sudah-sudah kau ejek Adam, kan? Dia takdelah
tua sangat sampai air liur mengalir pun dia tak boleh nak
kawal.”
Yusuf menyambung gelak.
“Tualah jugak, kurang-kurang lebih tua daripada
kau, Jasmine. Malah lebih tua daripada aku pun! Entah apalah
yang kau cari dengan lelaki tua macam tu. Setakat kaya aje,
ramai aje lelaki muda yang berduit malah kaya-raya, dan
B-U-J-A-N-G. Kalau sebab segak, eh! Segak orang tua macam
tu ajelah, berkedut jugak!”
Jasmine tergelak sama. Nak marah kenapa? Memang
betul pun apa yang Yusuf cakap. Ini kalau Adam dengar,
berdesing telinga dia.
“Orang tua okey apa. Ada perumpamaan dulu-dulu
kata, orang tua ni macam kelapa tau. Makin tua, makin banyak
santannya. Banyak pengalaman.” Jasmine jongket-jongket
kening.
Yusuf tersenyum sinis.
“Santan? Itu saja yang kau cari? Kelapa tua
memanglah banyak santan, banyak santan tu banyaklah
lemak, lemak tu punca penyakit! Cubalah pulak kelapa muda,
airnya lebih banyak beri khasiat, sedap pulak tu. Segarrr...
Sekarang kau tanya diri kau sendiri, nak cari penyakit ke
nak cari sesuatu yang berkhasiat?” Yusuf tersengih lagi.
Gilirannya pula bermain tarian kening.
Jasmine ketap bibir. Kadang-kadang dia lupa, yang
bercakap dengan lelaki yang bernama Yusuf Dzulkarnain ini
memang boleh bagi tekanan perasaan.
“Hai... marah? Aku gurau ajelah.” Yusuf tundukkan
kepala mencuri pandang wajah Jasmine.
“Takdelah. Nak apanya? Betullah yang kau cakap
tu. Jadi bila kau nak masuk meminang wahai Encik Kelapa
Muda? Aku dahaga ni!”
“Uhuk! Uhuk! Uhuk!” Berair mata Yusuf tersedak.
Jasmine tekup mulut. Padan muka!
Melihat Jasmine sedang berusaha menahan ketawa,
Yusuf tersenyum.
“Kau perli eh?”
“Mana ada perli. Kau yang berhujah panjang lebar
pasal santan dan kelapa muda tadi, kan?” Jasmine tergelak.
Yusuf ikut serta.
“Wah! Suka, nampak? Apa yang lawak sangat?”
“Err... Dato’!”
Begitu sahaja waktu yang baik berlalu dengan
kehadiran Dato’ Adam. Jasmine kerling Yusuf yang
tenang-tenang sahaja.
“Takde apa Dato’. Kita orang tengah berbual tentang
khasiat kelapa muda dan saya terangkan juga dekat Jasmine
keburukan santan kelapa tua. Tak boleh makan benda
bersantan selalu, bahaya untuk kesejahteraan diri.”
Jasmine terlongo mendengar luahan Yusuf.
Sementara dahi Dato’ Adam pula berkerut seribu.
“Apa-apa sajalah. Hannah, kita balik sekarang. Dah
lewat. Selamat tinggal Yusuf.” Pamit Dato’ Adam, terus
memaut lengan Jasmine.
Yusuf menghantar Jasmine pergi dengan rasa yang
sukar dimengertikan.
“Jasmine Hannah... kelapa tua itu juga yang kau
pilih...” Yusuf geleng kepala.

No comments:

Post a Comment