APABILA Kak Rina dan Abang Aeril balik,
awal-awal pagi lagi rumah mama sudah riuh-rendah. Makanya
selepas solat subuh aku pun turun dan terus ke dapur untuk
menolong apa yang patut. Patutlah bau harum semerbak pagi
ini. Rupa-rupanya Kak Rina sedang kukus nasi lemak.
Sambil menikmati nasi lemak kukus yang diiringi
oleh sambal sotong yang dimasak oleh Kak Rina, telur rebus,
kacang dan ikan bilis goreng, kami berbual-bual. Aku tidak
berasa canggung berada dalam keluarga mama. Dua orang
lagi anaknya, Kak Rina dan Abang Izelan sudah menganggap
aku sebagai adik mereka sendiri dan melayan aku dengan
baik.
Selepas mengemas meja makan aku bermain-main
dengan anak Kak Rina, Tania Nisya yang tua setahun daripada
Nabil Iman, anak sulung along. Tania baru bangun tidur dan
sedang menggigit puting botol susunya. Tania sangat cantik
dan petah bercakap. Wajahnya lebih mirip Abang Aeril.
Aku kerling jam dinding. Sudah pukul sembilan
setengah pagi. Aku naik ke bilik, tukar pakaian dan capai
beg sandang. Selepas memberitahu mama dan bersalaman
dengan Kak Rina, aku keluar.
Ketika sedang menghidupkan enjin skuter, aku
teringatkan peristiwa malam tadi. Rasa marah dan bengang
belum hilang. Bos 1B3K suka-suka hati kata aku gatal. Merah
padam muka dia selepas aku simbah dengan air sirap. Dia
tenung aku macam singa lapar tenung mangsa. Selepas itu,
dia langsung tak bercakap dengan aku. Tapi dia hantar aku
ke pejabat semula untuk ambil skuter aku. Aku tak takut pun
kalau dia tak mahu hantar, sebab Nafiz ada.
KETIKA AKU sampai di rumah Naani, Thia belum sampai.
Aku tunggu di luar kerana tidak elok kalau aku berdua-duaan
dengan Naani dalam rumah.
Aku dongak ke atas dan pandang rumah Naani
yang dibeli selepas dia mengikat tali pertunangan dengan
Thia. Timbul rasa bangga kerana kawan baik aku sudah ada
harta. Rezeki Naani murah sejak dia bekerja sebagai PA Dato’
Ibrahim. Dato’ puas hati dengan kerja Naani dan beri dia
bonus yang banyak.
Semua wang bonus yang diperoleh disimpan untuk
majlis perkahwinan dan melengkapkan rumahnya. Dia mahu
Thia masuk rumah yang sudah lengkap. Sebab itulah sejak
dua minggu lepas, selain daripada sibuk dengan persiapan
majlis, mereka juga sibuk melengkapkan rumah ini yang
bakal mereka diami selepas nikah nanti.
Bahu aku ditepuk. Terkejut beruk aku dibuatnya.
Thia tersengih. Dia sudah sampai bersama adiknya Shaza.
“Jauhnya kau termenung. Ingat bos yang kacak dan
kaya tu ke?”
Aku jeling Thia.
“Isy, tak ada maknanya aku nak ingatkan dia.”
“Manalah tahu, lepas berdating dengan dia semalam,
persepsi kau terhadap dia berubah.”
“Mana ada dating. Aku kena kerjalah. Sengal betul dia
tu. Bila masa entah dia telefon supplier dan suruh diaorang
datang hari Sabtu. Aku kena kerja sampai ke petang, tahu
tak?”
“Kau berdua sajalah dengan dia kat pejabat?”
“Yalah.” Aku jeling Thia lagi sekali. Shaza sudah
masuk ke dalam rumah. Naani pun sudah muncul depan
pintu. Dia tersenyum mendengar perbualan aku dan Thia.
“Beraninya engkau. Buatnya dia apa-apakan engkau,
macam mana?”
“Beranilah dia sentuh aku. Aku belasah dia nanti. Kau
tahu Thia, si bengkeng tu tak suka perempuan bertudung. Dia
kata semua perempuan yang pakai tudung hipokrit. Kurang
ajar, kan?”
“Dia cakap macam tu kat engkau? Memang kurang
ajar. Apa kau jawab?” Thia pula yang terlebih emosional.
Sebagai perempuan yang berhijab, tentulah Thia terasa juga.
“Aku tak jawab apa-apa. Kalau dijawab nanti
berpanjangan. Aku nak kerja. Macam mana nak kerja kalau
hati sakit. Jadi, baik aku diamkan. Tapi, esok-esok… kalau dia
melampau, aku tak akan berdiam diri.”
Telefon aku berbunyi. Alamak! Apa dia nak?
SELEPAS MAKAN tengah hari dan solat zohor di rumah
Naani, aku bergerak ke rumah Datin. Bos kata mesti sampai
sana sebelum pukul tiga. Alahai, pukul tiga itulah waktu
perlawanan badminton Piala Thomas bermula. Bos 1B3K
sudah kacau program aku. Walaupun dia kata akan bagi aku
cuti esok, tapi tetap tak sama. Aku nak tengok final Piala
Thomas petang ni, bukannya petang esok.
Ini kali ketiga aku datang ke rumah Datin Nuridah.
Kali pertama semasa jamuan hari raya tahun lepas, kali kedua
ketika Datin mengadakan majlis tahlil tidak lama selepas
Dato’ Ibrahim diserang strok. Semua kakitangan dijemput
dan diminta membacakan Yasin serta mendoakan Dato’
supaya cepat sembuh.
Aku menegur Kak Iqa yang kebetulan ada di ruang
tamu bersama anaknya. Kami bersalaman dan bertanya
khabar. Aku kenal Kak Iqa, anak sulung Dato’ Ibrahim
dan Datin Nuridah kerana pernah melatih anak sulungnya
tekwando. Masa itu anaknya hendak masuk pertandingan
kebangsaan. Dia minta Naani carikan orang yang boleh
melatih anaknya. Seminggu aku tinggal di Alor Setar melatih
anaknya dari pagi sampai petang. Dengan izin Allah, anaknya
dapat pingat gangsa. Aku pula dapat bayaran yang boleh tahan
lumayan dan bercuti dua hari di Hard Rock Hotel, Penang.
“Encik Rifqi suruh saya datang.” Aku menerangkan
kepada Datin yang terkejut dengan kehadiranku.
“La... Rifqi ni, apalah angin dia? Semalam dia suruh
kamu kerja. Hari ni suruh datang rumah pulak. Dia nak buli
kamu agaknya. Nanti dia. Dia balik sekejap lagi, saya akan
marah dia.”
Datin tahu pasal semalam? Baguslah! Tapi yang
sekarang ni apa kes? Dia suruh aku datang, tapi dia sendiri
tiada di rumah. Memang sah dia hendak ganggu program
aku. Kalau semalam program aku tercuit sikit sebab tak dapat
tolong Naani dan Thia, aku kena pastikan program hari ini
tidak terganggu.
Aku jeling jam.
“Tak apalah Datin. Mungkin Encik Rifqi betul-betul
ada kerja untuk Fina buat. Sementara dia balik, boleh tak
Fina tumpang tengok TV? Nak tengok final Thomas Cup.”
“Eh boleh, boleh... Dato’ pun ada di bilik TV. Pergilah
temankan dia tengok badminton.”
Leganya hati. Aku senyum kepada Kak Iqa dan Datin.
Lepas itu ikut bibik ke bilik TV sambil dalam hati berkata yes!
Yes! Yes! Selepas telefon mama dan beritahu dia aku balik
lewat petang nanti, aku menegur Dato’ Ibrahim.
“Dato’ sihat?”
“Daddy tu dah boleh jalan, tapi tak macam dulu.
Slow sikit pergerakan kakinya. Jari-jari tangan kanan tu
masih keras. Cakap dia pun kita dah boleh faham, tapi belum
balik ke tahap asal.” Dengan ramah Kak Iqa bercerita, macam
dia tahu aku hairan apabila bapanya hanya menjawab soalan
aku dengan anggukan.
Aku menonton perlawanan akhir badminton Piala
Thomas bersama-sama dengan Dato’ Ibrahim, Kak Iqa,
suaminya Abang Zaid dan anak-anaknya Johan dan Syasya.
Seronok juga menonton dengan mereka kerana bila Dato’ Lee
Chong Wei dapat kutip mata, mereka turut bersorak. Jadi aku
pun tak segan bersorak.
Sekali-sekala Dato’ Ibrahim bertanya soalan. Jenuh
juga nak faham soalannya kerana pertuturannya itu belum
baik sepenuhnya. Sedaya upaya aku cuba menjawab. Di
pertengahan perlawanan Dato’ Ibrahim terbatuk. Kesian aku
tengok dia batuk. Kak Iqa urut belakang dada ayahnya. Aku
bangun dan pergi ke dapur. Di dapur aku minta segelas air
suam daripada bibik. Ketika aku membawa gelas ke bilik TV,
satu susuk tubuh menangkap mata aku.
Bos 1B3K yang memakai seluar bermuda paras lutut
dan singlet biru berdiri di jenang pintu sambil memandang
aku dengan mata yang tajam. Aku buat tak tahu dan terus
masuk ke bilik TV. Aku hulurkan gelas kepada Kak Iqa.
Menular rasa simpati terhadap Dato’ Ibrahim ketika aku
melihat Kak Iqa menuangkan air perlahan-lahan di bibir
Dato’. Habis segelas air, dia ucapkan terima kasih kepada aku.
Kemudian dia meminta aku membawa dia berjalan-jalan di
luar.
Alahai, perlawanan badminton belum habis dan
ini set penentuan. Aku serba salah. Belum pun aku beri
jawapan, Dato’ Ibrahim sudah berdiri. Bila aku pandang Kak
Iqa, matanya bagaikan mengisyaratkan aku agar menuruti
permintaan Dato’. Sudahnya aku capai tongkat dan hulurkan
kepada Dato’ Ibrahim. Aku pegang lengannya dan pimpin dia
keluar dari bilik TV.
Di jenang pintu yang terbuka, mata aku bertaut
pandang dengan mata Bos 1B3K. Segaris senyuman sinis
terbentuk di bibirnya. Sukalah tu dapat rosakkan program
aku.
Ketika aku melintas di depannya, dia cuit siku aku.
Aku toleh ke arahnya dan dia berbisik.
“Untungnya orang tu, hari ni dapat tengok final
badminton dengan mama dia.”
Dia ejek aku! Tak serik agaknya kena simbah dengan
air sirap semalam. Aku pandang ke lantai, tepat-tepat ke
kaki dia. Gelas air suam yang sudah kosong aku lepaskan
betul-betul di atas kaki dia.
Buntang mata dia pandang aku. Aku tidak pasti mata
bos buntang sebab dia terkejut gelas jatuh dekat kaki dia, atau
sebab dia nampak ada dua tanduk atas kepala aku.
“Ya Allah! Sorry bos, sorry. Licinlah gelas tu sampai
terlepas. Bos okey? Kena kaki bos tak?”
Aku pura-pura minta maaf kemudian tunduk
pandang lantai. Gelas yang diperbuat daripada kaca berkualiti
tinggi tidak berkecai tetapi pecah kepada beberapa kepingan
kaca.
Dato’ Ibrahim pandang kami. Kak Iqa dan Abang
Zaid pun pandang kami. Aku dengar suami Kak Iqa melarang
anak-anaknya mendekati kami, takut terkena kaca. Kak Iqa
juga menyuruh aku terus membawa bapanya keluar dan
kemudian memanggil bibik untuk membersihkan lantai.
Aku pandang Bos 1B3K semula dan angkat kening.
Dia memandang aku seperti hendak makan aku. Aku pegang
lengan Dato’ Ibrahim dengan lebih kemas dan pimpin dia
keluar. Dato’ Ibrahim pandang aku. Aku rasa mata aku tak
salah apabila aku nampak Dato’ Ibrahim senyum. Aku balas
senyuman Dato’ Ibrahim. Dato’ Ibrahim tepuk lembut tangan
aku yang melilit lengannya.
Aku harap sangat yang kaki Bos 1B3K terkena kaca
gelas yang aku ‘terjatuhkan’ tadi.
No comments:
Post a Comment