DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 27 June 2016

1st Class Mistress - Bab 2

SEBELAS tahun hidup begini. Bukan Jasmine
tidak mahu mengubah nasib diri. Tapi, sukar. Kadang-kadang
dia terfikir juga, semua ini berlaku sebab terpaksa atau dia
sebenarnya dalam diam merelakan? Rela dalam terpaksa?
Terpaksa dalam kerelaan? Persoalan kedua yang selalu
bermain dalam mindanya juga ialah bahagiakah dia dengan
kehidupannya sekarang? Malas nak jawab! Malas nak jawab
soalan itu sebab sekarang ada bala baru yang muncul.
Tingtong!!!
Siapa? Yusuf cuma mampu membatukan diri.
Jasmine pula menelan air liur yang terasa kesat. Seketika
mereka berdua bertukar pandang. Yusuf angkat kening.
Siapa? Jasmine geleng kepala. Tak tahu!
Tingtong!!!
Lantunan bunyi loceng pintu yang bertalu-talu
membuatkan Yusuf mula berjalan menuju ke muka pintu.
Bingit pula telinga dibuatnya. Menambah kusut fikiran.
“Jangan!” Sepantas kilat Jasmine memintas. Tubuh
tegak berdiri sambil mendepangkan tangannya.
Langkah Yusuf terhenti. Melihat aksi wanita di
hadapannya ini buat dahinya jadi berlapis.
'Eh! Dia ingat dengan badan kecik macam ni, dia
mampu nak halang-halang aku?'
“Tepi.”
“Tak nak!”
“Tepilah. Aku nak buka pintu tu. Telinga aku bingit
ni!”
“Bahayalah.”
“Bahaya apa pulak? Apa bahayanya kalau kita buka
pintu tu?” Yusuf sudah bercekak pinggang.
“Kita tak tahu siapa kat luar. Macam mana kalau
perempuan tua tu dengan bodyguard dia sedang tunggu
masa untuk serang aku?” ujar Jasmine sungguh-sungguh.
Yusuf mendengus.
“Jangan nak merepek. Datin Mirrah sekarang
agaknya tengah sibuk mengganyang suami dia.” Tenang saja
suara Yusuf kedengaran.
Langkah diatur semula. Tapi, dia masih tidak berjaya
menggapai tombol pintu. Apa tidaknya, Jasmine dengan
tubuh kecilnya masih lagi menghalang di hadapan. Yusuf ke
kiri, Jasmine ikut ke kiri. Yusuf ke kanan, Jasmine ikut ke
kanan.
'Dia ingat aku ni teringin nak main ‘police and thief’
dengan dia ke?'
Tingtong!!!
Yusuf mengeluh. Meletihkan!
“Ada lubang intai, tahu tak? Kau ingat hotel ni cikai
ke? Kita boleh tengok siapa kat luar sebelum buka pintulah.”
Yusuf semakin rimas.
Jasmine menoleh sekilas. Kening terangkat melihat
lubang kecil di pintu. 'Memanglah ada, dia ingat aku pulak
yang cikai ke tak tahu pintu ni ada lubang intai? Cuma...'
“Aku tak percayakan kau. Mana nak tahu kau
sengaja nak serahkan aku ke dalam mulut singa betina tu?
Aku tak boleh ambil risiko. Macam mana kalau aku pula yang
diganyang? Aku masih muda, masih banyak benda nak buat,
okey?”
Yusuf dongak kepala ke atas. Belakang leher
diurut kasar sebelum berarak gagah dan nekad ke hadapan.
Tanpa perlu kudrat yang banyak, tubuh Jasmine ditolak ke
tepi dengan sebelah tangan saja. Tubuh ringan itu terus
terperosok ke atas lantai karpet.
“Aduh!”
Erk! Yusuf terkedu. Sumpah, dia tidak sengaja!
Manalah dia tahu tubuh Jasmine itu ringan macam kapas.
Nasib baik dia cuma guna tidak sampai separuh tenaga. Kalau
sampai separuh tenaga, rasanya boleh melayang Jasmine ke
hujung bilik.
Tingtong!!!
Baru hendak pasang niat membantu Jasmine berdiri,
loceng pintu berbunyi lagi. Kali ini Yusuf terus menuju ke
muka pintu. Biar saja perempuan itu bangun sendiri. Bukan
cedera parah pun. Bagaimana kalau ada hal kecemasan?
Hal-hal pengurusan hotel? Masalah kakitangan? Masalah
pelanggan? Oh... bagaimana kalau hal ini sudah sampai ke
telinga Datin Khadijah? Mampus!
“No!” Jasmine sudah nekad. Pintu itu tidak boleh
dibuka! Mata sudah terbayang wajah bengis Datin Mirrah dan
ganasnya wanita itu mengganyang tubuh kecil moleknya,
tatkala mendapat maklumat yang memang dialah, Jasmine
Hannah, perempuan yang baru saja bersama suaminya, Dato’
Adam sepanjang malam ini. Tak sanggup!
“Argh!” Melayang semangat Yusuf saat Jasmine
melompat dan memanjat belakangnya. Kedua tangan kecil
itu melingkar erat di lehernya. Sementara kaki Jasmine yang
panjang itu pula elok menyangkut di pinggangnya.
“Oi! Turunlah!”
“Tak nak! Nanti kau buka pintu!” Sedaya upaya Yusuf
cuba untuk memaksa Jasmine meleraikan pautannya.
'Gila! Perempuan ini jelmaan Dewi UHU ke? Melekat
gila!'
Jasmine pejam mata saja. Seluruh tenaga disalurkan
ke tangan dan kakinya. Nama hendak lepaskan mamat ni,
sorry! Dia tidak mahu tanggung risiko. Nehi!
Tingtong!!!
Dalam percubaan untuk meleraikan kaki Jasmine,
tangan kanan Yusuf akhirnya dapat juga menggapai tombol
pintu. Jasmine cuak. Spontan mulutnya mendapatkan telinga
kanan Yusuf, dan terus membenamkan giginya ke cuping
telinga Yusuf. Gigit!
“Argh!!!” jeritan jantan Yusuf bergema serentak
dengan terbukanya pintu bilik hotel.
Terpacul wajah pucat kakitangan hotel yang sedang
tegak memegang sut Yusuf yang baru saja siap cucian kering.
“Tu... tuan... err... Tuan Yusuf, your suit is... err...
ready.” Mata budak muda itu masih terpaku kemas ke arah
dua insan yang masih dalam keadaan mencurigakan itu.
Sensasi!
Yusuf yang masih berdiri tegak laksana tiang cuma
diam terkaku dengan wajah yang masih berkerut. Telinga
kanannya sibuk buat bunyi. Nyut, nyut, nyut.
Melihat wajah tergamam budak lelaki itu, Yusuf
jadi bingung. Macam mana hendak dijelaskan perasaannya
sekarang? Berdiri di hadapannya sekarang ialah salah seorang
daripada ribuan pekerja Hotel Impiana Sutera, milik penuh
Iltizam Corporations. Sebuah perusahaan terkenal milik
Dato’ Khalil. Walidnya! Ya... macam mana hendak dijelaskan
perasaannya sekarang? Malu!!!
Jasmine juga jadi terdiam. Mata pekerja di
hadapannya jelas tertancap ke arahnya. Kening terjongket.
Eh? Gigitan dilepas serta-merta kemudian digantikan dengan
senyuman manis. Pasti budak ini fikir yang dia dan mamat
ini...
“Okay... thanks... ermm...” Yusuf menyentap sut
tersebut. Mata dikecilkan. Cuba membaca tag nama yang
tersemat di dada budak muda itu. “Thanks, Farid.”
Buk!!! Sekali kilas tubuh Jasmine terperosok lagi
ke atas lantai karpet. Cuma kali ini, Yusuf sudah tidak ada
rasa timbang rasa. Simpati? Jauh sekali. Jelas perempuan ini
menjadi penyebab kepada kekecohan yang berlaku. Perempuan
ini juga rasanya bakal menyusahkan dia. Pembetulan, bukan
bakal lagi, perempuan itu sudah menyusahkan dia pun.
“Keluar!”
“Tapi...”
“Don't make me drag you out of this room! Keluar!!!”
Suara Yusuf yang seperti guruh membelah langit
itu cukup membuatkan kedua bahu Jasmine terhinggut.
Tubuh jadi menggeletar. Renungan mata Yusuf jauh lebih
menakutkan daripada Datin Mirrah dan Paul.
“Tapi...”
“Out!!! Kau nak aku heret kau atau nak aku panggil
sekuriti?” Berani wanita ini gigit telinga dia! Yusuf memegang
telinganya.

AIR PANCURAN mencurah-curah membasahi wajah dan
tubuh kekar Yusuf. Segar! Terhalau semua keletihan tubuh
sepanjang hari. Lincah tangan mengurut kulit kepala yang
dipenuhi dengan buih syampu. Tiba-tiba urutan kepala
terhenti. Jemarinya kaku di atas kepala. Ingatan melayang
hinggap pada kejadian yang berlaku beberapa minit yang lalu.
“Don't make me drag you out of this room! Keluar!!!”
“Tapi...”
“Out!!! Kau nak aku heret kau atau nak aku panggil
sekuriti?” Berani wanita ini gigit telinga dia! Telinga dia ni
sensitif tau? Yusuf menggosok-gosok telinga kanannya.
Hesy... meremang bulu roma!
“Kau nampak kan Datin Mirrah tadi dengan
bodyguard dia? Tak dengar apa dia nak buat dengan
perempuan yang err... suami... err... aku takut.” Jasmine buat
muka minta simpati. Sungguh, dia memang takut. Sanggup
dia melutut kalau itu yang Yusuf minta untuk membenarkan
dia bersembunyi di dalam bilik ini buat sementara waktu.
“Jadi, memang tepatlah apa yang aku fikirkan.
Kaulah perempuan yang dimaksudkan oleh Datin Mirrah?
Perempuan yang punya hubungan sulit dengan Dato’
Adam? Yang sepatutnya tertangkap di dalam bilik suaminya
sekarang?” Yusuf menggelengkan kepala perlahan. Hatinya
melahirkan macam-macam rasa. Kesal. Kecewa. Tidak
pasal-pasal dia terjebak dalam permasalahan rumah tangga
orang lain.
“Semua ni bukan seperti apa yang kau fikir.
Sekurang-kurangnya bukan semua.” Perlahan suara Jasmine
mengutarakan kata. Jemarinya bersulam antara satu sama
lain. Dia malu hendak mengaku. Tapi, dia juga terdesak.
“I don't care. You're on your own.” Tegas Yusuf.
Langsung tidak menghiraukan rayuan Jasmine.
Gila nak main hirau-hirau? Dia juga tidak mahu
mengambil risiko untuk terus berada bersama perempuan ini
di dalam bilik. Berdua-duaan pula tu!
Pertama kali bunyi loceng pintu berbunyi, dia sudah
boleh kira bernasib baik. Cuma kakitangan hotel. Kali kedua,
dia tidak pasti sama ada dia masih boleh bertuah sebegitu.
Bagaimana kalau kali kedua mereka dikunjungi dengan
kumpulan yang memakai serban, ketayap atau songkok? Yang
dengan yakin akan memulakan bicara, ‘kami dari Jabatan
Agama Islam...’ Oh! Jangan cari penyakit Yusuf Dzulkarnain.
Jasmine mengetap bibir. Raut muka sudah diukir
sebaik mungkin untuk meraih simpati. Sayangnya gagal.
'Padan muka kau Hannah! Yang kau cari pasal
dengan mamat ni kenapa? Sekarang dah kena halau. Aduh!'
Wajah Datin Mirrah terbayang di depan mata.
Mampus kalau rahsia terbongkar. Perlahan kakinya dibawa
menuju ke pintu. Mata sempat memberi jelingan tajam
kepada Yusuf. Sampai hati!
KEPALA DITOLEH ke kiri dan ke kanan. Mencari kelibat
manusia yang ingin dihindari. Senyap. Sunyi. Wah! Ini sudah
bagus. Agaknya Datin Mirrah sudah selesai mengganyang
Adam. Huh! Lantaklah. Janji dia selamat.
Cepat-cepat Jasmine berlari anak menuju ke arah lif.
Sampai saja ke kawasan lobi, langkah semakin dicepatkan.
Berdebar juga dada Jasmine. Takut kalau-kalau terserempak
dengan Datin Mirrah. Takut kalau dia masih belum selamat
sepenuhnya. Selagi masih berada di dalam perut hotel ini,
Jasmine masih tidak boleh menarik nafas lega.
“Tuan Yusuf ada check-in kat bilik biasa dia tak?”
Uits? Langkah Jasmine terhenti. Telinga saat
menangkap nama ‘Tuan Yusuf’ itu terus bergerak-gerak
meminta untuk mencuri dengar lagi. Spontan tubuh
berpaling menghadap ke arah kaunter concierge hotel. Mata
mengamati batang tubuh seorang wanita bersaiz sederhana,
berjubah dan bertudung labuh. Tengok dari segi material
baju dan tudung, wanita itu bukanlah sembarangan orang.
Beg yang elok dijinjit itu pula berjenama Hermes, okey...
Siapa? Otak Jasmine ligat berputar. 'Tuan Yusuf
tu mamat tadi, kan?' Ya. Itulah nama yang pelayan hotel
merangkap tukang hantar baju cucian kering itu sebut. Pasti
orang yang sama.
“Ada Datin. Hah! Tu pun Farid. Dia baru saja ke bilik
Tuan Yusuf, menghantar cucian kering. Kalau Datin nak
jumpa Tuan Yusuf, biar saya minta Farid iring Datin naik ke
tingkat atas. Farid!” Encik Jabbar laju saja membuat kerja.
Dia merupakan salah seorang pekerja senior di hotel tersebut.
Semua pekerja Iltizam Corporations memang
kenal benar dengan Datin Khadijah, isteri pemilik Iltizam
Corporations, Dato’ Khalil. Wanita berusia itu memang
sangat ramah dan baik hati kepada semua pekerja mereka.
Sebab itu juga ringan sahaja Encik Jabbar menawarkan
bantuan dengan segera. Hendak ambil hati mem besar!
Datin Khadijah tersenyum manis sambil
mengangguk kepala. Dia baru selesai majlis makan malam
bersama rakan perniagaan suaminya. Tiba-tiba teringat pula
si anak tunggal yang mengadu terlalu penat. Malas hendak
pulang ke rumah. Katanya dia akan bermalam di hotel saja.
Naluri seorang ibu. Cepat saja risaukan keadaan si anak, tak
kiralah umur sudah menjangkau dewasa.
“Farid, tadi awak hantar cucian kering Tuan Yusuf,
kan? Tuan masih kat dalam bilik? Awak tolong iring Datin ke
atas.”
“Err, ya. Tuan Yusuf masih berada di biliknya. Err...
isteri tuan pun ada.”
“Isteri?” Suara Encik Jabbar dan dan Datin Khadijah
berpadu.
“Ya, isteri... err... Tuan Yusuf dengan sorang
perempuan, rasanya isteri... err...” Farid menggaru kepala.
Mulut dia ni terlajak bagi info ke? Tiba-tiba mata tertancap
kepada Jasmine yang sedang elok memasang telinga di
sebelah sebatang pokok hiasan.
“Ya, isteri tuan. Eh! Tu... puan kat sana.”
Jasmine toleh ke belakang. Jasmine toleh kiri dan
kanan.
“Puan!” Farid sedikit menjerit.
Jasmine acu telunjuk ke dada sendiri. 'Aku? Puan?'
Beberapa pasang mata tepat memandangnya.
'Ah! Sudah. Dia ingat aku isteri mamat tadi ke? Suci
sungguhlah otak si Farid ni.'
Mata Datin Khadijah sudah membulat. Encik Jabbar
pula hampir saja terduduk. Aduh! Farid ini baru bekerja
sekalipun, takkan tak tahu Tuan Yusuf tu belum berkahwin?
Habislah... habislah!
Suasana kafe hotel sunyi sahaja. Cuma ada beberapa
orang pelanggan termasuk Datin Khadijah dan Jasmine.
Jasmine pula jadi tidak betah duduk sejak beberapa minit
yang lalu. Rasa seperti duduk di atas bara api sahaja. Hendak
angkat muka pun dia tidak berani. Mana tidaknya, Datin
Khadijah sedang memberi renungan makrifatnya!
Aduh! Jika dibandingkan dengan Datin Mirrah,
kemudian mamat berlagak tu, Datin Khadijah ini lagi hebat.
Air mukanya tenang sahaja. Tapi, lebih menakutkan. Tanpa
senyuman, tapi tidak juga pamer muka bengis. Susah hendak
diteka apa juga yang bermain dalam fikiran wanita ini.
Jasmine semakin resah.
“Hmm...” Perkataan pertama yang keluar dari mulut
Datin Khadijah.
Jasmine angkat muka. Hendak senyum, rasa takut.
Hendak mulakan bicara, rasa tak patut. Aduh! Jasmine rasa
hendak menghentak kepala sendiri di dinding konkrit. Layan
lelaki tua yang gatal lagi senang kalau begini.
“Nama anak ni siapa?”
“Hah?” Jasmine tunjuk dada sendiri.
“Takkan anak yang duduk di meja depan tu pulak.
Yang depan aunty ni la.” Seloroh Datin Khadijah mesra.
Jasmine terkedu menangkap senyuman manis
wanita itu.
'Dia tak marah ke? Kalau perempuan lain, mesti
dah syak yang bukan-bukan ni. Mana tak syak, anak bujang
sendiri tertangkap berdua-duaan dengan perempuan bukan
muhrim dalam bilik hotel. Nak-nak dengan perempuan
macam aku. Tengok saja dengan penampilan aku.' Jasmine
sempat menjeling tubuh sendiri, kemudian ke tubuh Datin
Khadijah yang lengkap menutup auratnya. Malunya!
“Jasmine, Datin. Err... nama saya Jasmine Hannah.”
“Amboi, sedapnya nama. Jasmine, bunga melur.
Hannah, rezeki, kebahagiaan ataupun kasih sayang?” soal
Datin Khadijah.
Jasmine tertunduk semula. 'Permainan jenis apakah
ini? Nak buat aku keliru ke apa?'
“D... datin...”
“Panggil aunty saja Hannah. Aunty panggil Hannah,
boleh kan?”
Jasmine mengangguk perlahan.
“Aunty... se... semua ni salah faham saja. Percayalah.”
Datin Khadijah tersenyum. Manis. Tangan kanan
mencapai kekura tangan Jasmine, kemudian mengusapnya
dengan lembut.
“Aunty tahu, Hannah. Jangan risau. Aunty tahu, dan
aunty percaya. Aunty cuma mahukan penjelasan. Mustahil
salah faham ni boleh berlaku tiba-tiba, kan? Aunty kenal anak
aunty, Yusuf. Kenal sangat. Mesti ada penjelasan yang baik di
sebalik semua yang berlaku ni.”
Jasmine serba salah. Penjelasan? Macam mana
nak buat penjelasan tanpa buka aib sendiri? Menipu? Part
yang mana? Macam mana seorang perempuan boleh pulak
tiba-tiba sebilik dengan lelaki yang baru saja dia kenal? Habis
nak cerita macam mana ni? Hentam sajalah, Jasmine!
“Sa... saya cuba nak larikan diri daripada seseorang,
aunty. Kebetulan, Yusuf ada di tempat yang sama. Saya
minta dia tolong sembunyikan saya di dalam bilik dia,
untuk sementara waktu. Saya tahu memang salah, tapi saya
terdesak. Ini soal keselamatan saya, aunty. Anak aunty, Yusuf
memang baik hati. Dia setuju untuk hulurkan bantuan.
Tapi, sumpah! Saya di bilik Yusuf pun tak sampai beberapa
minit, aunty. Sekejap aje. Waktu itulah, Farid datang hantar
cucian kering, kemudian... err... agaknya waktu itulah dia
salah faham tentang kami.” Jasmine ketap bibir. Fuh! Fuh!
Janganlah Datin ini tanya lebih-lebih. Fuh! Fuh!
“Oo... macam tu rupanya.” Datin Khadijah tersenyum
lagi. Lega agaknya.
“Sumpah, aunty. Tak ada apa-apa yang berlaku.
Kami pun baru saja berjumpa malam ni, nama pun tak tahu
lagi. Jangan marahkan Yusuf, ya? Dia dah banyak tolong saya.
Saya minta maaf sebab menyusahkan keluarga aunty. Maaf
sangat-sangat.”
Datin Khadijah bangkit dari kerusinya. Lengan
Jasmine ditarik lembut.
'Alamak! Mak cik ni nak lempang aku ke? Nak
ganyang?' Jasmine sudah cuak.
“Erk?” Jasmine terpinga-pinga. Tubuh kecilnya
sudah di dalam pelukan Datin Khadijah. Hangat rasanya. Buat
Jasmine rasa terbuai. Sudah lama dia tidak merasa pelukan
hangat seperti ini. Lebih-lebih lagi daripada seorang ibu.
Perlahan tangannya menyambut pelukan itu. Tanpa sedar,
Jasmine memeluk lebih erat. Bahu terasa diusap perlahan.
“Aunty faham. Jangan susah hati. Terima kasih,
Hannah.” Pelukan terlerai.
“Terima kasih? Untuk apa aunty?”
Datin Khadijah tersenyum lagi. Pipi gebu Jasmine
diusap pula.
“Kerana berterus terang. Kerana menjaga nama
baik Yusuf. Manusia zaman sekarang, ramai yang dah tak
pedulikan semua tu. Jangankan orang asing seperti kita,
kaum keluarga sendiri pun belum tentu boleh jadi sejujur
Hannah. Kamu memang budak yang baik, Hannah.”
Jasmine tertunduk lagi. Kata-kata Datin Khadijah
sedikit pun tidak dapat memujuk hatinya yang rasa bersalah.
Yalah, kalau Datin Khadijah tahu hal yang sebenar, hal yang
sebenar-benarnya, mana mungkin dia dapat pelukan itu?
Dapat pelempang adalah agaknya!
'Positif, Jasmine! Sekurang-kurangnya hal ini
sudah selesai. Pertumpahan darah antara ibu dan anak dapat
dielakkan. Hehe... jadi, wahai mamat berlagak... kita seri satu
sama, ya? Kalau aku mulut jahat, aku dah buat cerita sensasi,
tahu tak? Jangan lupa cakap terima kasih, Yusuf!'
“Boleh tolong, aunty?”
“Apa saja, aunty.”
“Temankan aunty naik jumpa Yusuf.”
Jasmine terlongo. Menyesal!
KELUHAN YANG berat dilepaskan. Yusuf cuba membuat
regangan di bahagian leher. Urutan di kepala nampaknya
tidak dapat mengeluarkan tekanan. Kesal. Sebenarnya dia
agak kesal tidak mampu untuk membantu perempuan itu
tadi. Dia juga kesal kerana bersikap kasar dengan seorang
insan yang bernama wanita.
Bukan dia tidak tahu apa akan berlaku kepada wanita
itu sekiranya bertembung dengan Datin Mirrah setelah
mendapat tahu siapa sebenarnya perempuan yang baru saja
keluar dari bilik suaminya itu. Memang teruklah hidup
perempuan itu dikerjakan Datin Mirrah. Dia kenal Datin
Mirrah itu. Dia tahu apa yang Datin Mirrah mampu lakukan
terhadap seseorang yang mencabar kemarahannya. Yusuf
hela nafas panjang-panjang.
'Hai... apa saja yang kau fikir Yusuf? Kau susah
hati sangat pasal wanita yang tak sampai 24 jam kau kenal
tu kenapa? Dia sendiri yang cari penyakit. Cari pasal dengan
suami orang.' Marah Yusof sendiri. Tapi, kenapa wajah
sugul itu juga yang bermain-main dalam kotak fikiran?
Kenapa jelingan mata itu juga yang menghiasi layar mata?
Kenapa susuk tubuh putih mulus itu juga yang mengganggu
konsentrasinya sehingga sekarang?
'Snap out of it, Yusuf! Sekarang, fokus dengan
proposal untuk dibentangkan esok! Semua orang di Iltizam
Corporations bergantung dengan kau!'
Tuala dicapai. Usai mengeringkan badan ala kadar,
sehelai boxer Dolce & Gabbana yang tersangkut di batang
besi disarung. Tubuh pula dibiarkan bogel tanpa baju dan
berjalan keluar dari kamar mandi.
Eh? Yusuf rasa kehadiran seseorang di bilik itu
selain dirinya. Wajahnya dipanggung sedikit. Terpelohong
Yusuf melihat tubuh yang sedang santai dengan enaknya di
atas sofa bilik itu.
“Kau?”
Jasmine tersengih-sengih.
“Macam mana kau boleh masuk dalam bilik aku
ni?” Yusuf mencekak pinggang. Pelik betul ni. Bukankah dia
sudah halau wanita ini keluar tadi? Dengan dua biji mata, dia
nampak wanita ini melangkah keluar dari perut bilik. Jadi,
macam mana boleh masuk semula? Pintu bilik rosak ke? Ada
kunci pendua? Mustahil!
Jasmine selamba menyilangkan kakinya. Nak
tergelak juga dia melihat air muka Yusuf yang semakin
ketat. Bertambah nak tergelak lagi apabila mengingatkan
bagaimana dan kenapa dia masuk semula ke dalam bilik
mamat ni.
“Hei! Mengelamun pulak. Aku tanya ni, macam
mana kau boleh masuk balik dalam bilik ni, hah?” Sengihan
Jasmine yang semakin lebar menjadinya Yusuf semakin tidak
sabar. Sebiji bantal kecil yang terampai di atas lantai dicapai.
Masa untuk membalas serangan tadi.
Buk!!! Tepat ke muka Jasmine.
“Ku...” Kurang asam! Jasmine gigit lidah. Sikit lagi
dia hendak mencarut. Sabar, Jasmine, sabar! Jasmine meraup
wajahnya. Jarinya menyebak juntaian rambut di wajah.
“Jangan buat mukalah. Macamlah kuat sangat aku
lempar. Bantal aje pun, bukan bom!” tempelak Yusuf.
Jasmine berdegil, sempat pamer sengih lagi.
'Bom, eh? Kau tunggu bom meletup di telinga kau
sekejap aje lagi.'
“Eh! Datin Mirrah ganyang kau sampai sewel ke apa
ni?” Pelik Yusuf melihat senyuman ganjil yang terukir di bibir
mungil itu. 'Dah kenapa perempuan ini? Takkan diserang
teruk oleh Datin Mirrah sampai boleh jadi gila? Tengok badan
dia... ermm... takde pun tanda-tanda kecederaan. Takde luka,
takde darah. Pendarahan dalaman ke?'
“Yusuf Dzulkarnain! Kalau ya pun, tolong pakai baju
dulu!”
Yusuf tersentak. Suara itu. Suara itu sangat-sangat
dia kenal. Sangat dia kenal! Perlahan-lahan tubuh dipalingkan.
“Umi!”
“Umi dan abah tak pernah ajar anak kami buat
macam ini, Yusuf!” Datin Khadijah menggelengkan kepala
kesal. Rasa hendak benam saja muka anak tunggalnya ke
dalam air. Biar lemas! Wajahnya kelihatan muram.
Yusuf telan air liur. Rasa berpasir. Mampus!
“Ap... apa umi buat kat sini? Adoi!!!” Terjerit Yusuf
saat jemari Datin Khadijah menarik telinganya. Kuat pula tu!
“Apa umi buat kat sini? Pakai baju!” Satu tamparan
kuat hinggap di lengan Yusuf pula kali ini. Kelam-kabut
Yusuf mencari baju. Ngeri sungguh dia dengan uminya kalau
mengamuk. Habislah badan berbirat-birat.
Menggertuk gigi Datin Khadijah menahan geram.
Sakit telinga dan matanya melihat cara Yusuf melayan
Jasmine. Tak gentleman langsung! Datin Khadijah paling
tidak suka lelaki yang melayan perempuan dengan kasar.
Walau apa sekalipun, baginya perempuan harus dilayan
dengan lemah lembut.
Datin Khadijah melabuhkan punggung di sebelah
Jasmine yang terhinggut-hinggut menahan gelak. Paha
Jasmine dilepuk lembut.
“Nakal! Entah apa yang kamu buat sampai Yusuf
marah sangat dekat kamu, Hannah.”
Jasmine terkedu. Tepat sekali tekaan Datin Khadijah.
Bahaya ni!
“Umi...” Tangan kanan Datin Khadijah diraih oleh
Yusuf, kemudian dikucup lembut.
Spontan Datin Khadijah mengusap kepala anaknya
itu. Yusuf sempat menjeling Jasmine sebelum mengambil
tempat di sebelah kiri Datin Khadijah.
“Umi... sebelum umi nak marah Yusuf, umi kena
dengar penjelasan du...”
“Umi dah tahu.”
“Hah?” Yusuf menegakkan badan. Dah tahu? Tahu
apa? Jasmine yang masih berdiam diri dipandang sekilas.
“Jasmine dah jelaskan semuanya.”
Mampus! Entah apa yang perempuan ini cerita
kepada uminya. Yusuf jadi gelabah.
“Umi...”
“Yang umi tak senang hati, kenapa layan Hannah
macam tu?”
“Hah?”
“Maksud umi, yalah... umi senang hati, Yusuf dah
tunjuk contoh yang baik dengan membantu Hannah daripada
kesusahan. Tapi, kenapa layan Hannah dengan kasar? Kenapa
pulak baling dia dengan bantal? Kenapa guna bahasa yang
kesat dan kasar? Umi dan walid tak pernah ajar Yusuf
berperangai macam ni kepada sesiapa pun, tahu? Walau
sesiapa pun, tak kira dengan alasan apa!”
Yusuf tersandar di belakang sofa. Ya, Allah! Pasal ni
rupanya. Adoyai...
Jasmine sedaya upaya mengawal senyum. 'Padan
muka kau mamat berlagak! Tak payah buang tenaga nak buat
pembalasan, mak kau sendiri yang dah bantu aku! Hahaha...'
Bukan Yusuf tidak nampak betapa berusahanya
Jasmine menahan ketawa. Yang uminya pun satu, dia sudah
tua bangka ni pun kena bebel lagi. Depan perempuan ni pula
tu!
'Wah! Senangnya hati dia, ya? Tunggulah nanti, aku
dapat peluang, aku pulak yang akan ganti gelakkan kau.' Yusuf
menjegilkan matanya kepada Jasmine yang menjelirkan lidah
mengejek.
Datin Khadijah pula mana hendak sedar, mulutnya
masih lagi membebel tentang sifat seorang lelaki yang
sepatutnya berlemah lembut terhadap wanita... bla bla bla...
Pasrah dan reda saja, Yusuf oii!

No comments:

Post a Comment